Author: Wartawan WartaRakyat

  • PN dijangka terus kebal di Ru Rendang, Dr Sam semakin sukar digugat

    PN dijangka terus kebal di Ru Rendang, Dr Sam semakin sukar digugat


    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang dijangka akan terus dimenangi parti Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada 12 Ogos ini.

    Ini kerana Ru Rendang merupakan antara kubu kuat Pas yang sebelum ini sebagai kerusi keramat Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang sejak dahulu lagi. Abdul Hadi tidak pernah tewas kepada mana-mana seteru yang mencabarnya bertanding di kerusi berkenaan.

    Walaupun sewaktu berhadapan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ada pihak mengatakan kedudukan Abdul Hadi bakal goyah, namun perkara itu tidak berlaku. Sebaliknya, Abdul Hadi dan Pas terus menguasai Ru Rendang sehingga melebihi 35 tahun.

    Bagi penganalisis dan pemerhati politik tempatan, Ru Rendang selama ini dilihat sememangnya cukup sinonim dengan Abdul Hadi.

    Beliau dikatakan mempunyai pengaruh terlalu kuat dan para penyokong setia yang sanggup melakukan apa sahaja demi perjuangan untuk parti serta ketaatan kepada ‘Tok Guru’. Beliau mula bertapak kuat di Ru Rendang setelah menang dengan majoriti 531 undi pada tahun 1986, 853 undi (1990), 1,394 undi (1995), 3,843 undi (1999),  1,435 undi (2004), 2,686 undi (2008) dan 2,819 undi (2013).

    Berdasarkan penguasaan itulah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun 2018 lalu beliau tidak bimbang menampilkan seorang calon baharu bagi menggantikannya, iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk bertanding.

    Pada mulanya.nama Muhammad Khalil Abdul Hadi diikaitkan bertanding dikerusi tersebut bagi menggantikannya, tetapi beliau dikatakan terpaksa mengubah fikiran apabila tidak mahu kerusi itu dijadikan sebagai warisan.

    Penganalisis dan pemerhati politik pernah menyifatkan Ru Rendang terlalu ampuh kerana faktor utamanya ialah memiliki ahli dan para penyokong setia dan sentiasa taat kepada parti.

    Rata-rata pengundi di kawasan berkenaan khususnya ahli dan penyokong Pas begitu setia dalam perjuangan politik di mana mereka sanggup berbuat apa sahaja demi kelangsungan parti termasuk bergolak bergadai.

    Sepertimana diketahui ramai, kebanyakan ahli dan penyokong Pas lebih pentingkan parti berbanding calon yang ditampilkan. Justeru itulah ada yang beranggapan bahawa meletakkan unta sebagai calon pun Pas boleh menang di Ru Rendang.

    Maka itu, tidak hairanlah apabila parti itu mengekalkan Dr Ahmad Samsuri sebagai calon, ramai berpendapat tindakan itu sebagai langkah tepat.

    Hal ini kerana Ahmad Samsuri atau lebih dikenali sebagai Dr Sam tidak mempunyai sebarang masalah atau isu besar sepanjang menjadi wakil rakyat di Ru Rendang apatah lagi beliau merupakan Menteri Besar Terengganu. Jadi, penerimaan dan sokongan rakyat serta pengundi di Marang semakin berpihak kepada beliau.

    Maka itu, banyak pihak berpendapat pencalonan Dr Sam dalam PRN kali ini bakal menjadikan Pas terus kebal di Ru Rendang, sekaligus menjadikan Dr Sam semakin sukar digugat.

    Dalam PRN nanti, Dr Sam yang mewakili Pas-PN bakal dicabar oleh calon daripada Parti Amanah Negara (Amanah) mewakili Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman dalam pertandingan dua penjuru di Ru Rendang.

    Memandangkan calon lawan tidak memiliki jentera yang ramai dan terlalu ‘bergantung’ kepada penyokong UMNO, ramai menjangkakan calon ini bakal balik awal serta hilang deposit.

    Perkara ini terbukti ketika hari penamaan calon pada Sabtu lalu, Suhaimi hanya diiringi sekitar 100 orang penyokong sahaja sedangkan Dr Sam diiringi lebih 2,000 penyokongnya sambil melaungkan perkataan Allahu Akbar sepanjang perarakan menghala ke Pejabat Tanah dan Daerah Marang.

    Dalam PRU14 lalu, Dr Sam yang bertanding buat kali pertama memenangi kerusi Ru Rendang selepas menewaskan dua calon lain dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 6,028 undi.

    Beliau memperoleh 13,851 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku yang mendapat 7,823 undi dan Zarawi Sulong (PKR) mendapat 729 undi.

  • ‘Hari ini menang, esok Tawaran PN Selangor dilaksanakan’ – Azmin

    ‘Hari ini menang, esok Tawaran PN Selangor dilaksanakan’ – Azmin

    TAWARAN yang diberikan oleh Perikatan Nasional (PN) untuk rakyat negeri Selangor bukanlah ‘gula-gula’ pilihan raya sebaliknya ia diyakini mampu dilaksanakan.

    Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada rizab besar yang dimiliki oleh kerajaan negeri ketika beliau menjadi Menteri Besar negeri tersebut suatu masa dahulu.

    Malah, beliau juga berjanji tawaran bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ bernilai lebih RM2 bilion itu akan dilaksanakan serta-merta sekiranya PN diberi mandat pada 12 Ogos ini.

    “Hasil negeri sahaja RM2.3 bilion pada tahun 2017, saya percaya sekarang selepas lima tahun hasil ini harus terus meningkat.

    “Insya-Allah kita menang besar pada 12 Ogos, 13 Ogos kita bentuk kerajaan tawaran-tawaran ini akan dilaksanakan serta-merta untuk mengangkat martabat rakyat Selangor,” katanya.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mengadakan sesi soal jawab pada Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Pilihan Raya Negeri Selangor 2023 di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Beliau berkata demikian dalam sesi dialog sempena Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Negeri Selangor di Shah Alam, malam ini.

    Pada masa sama, beliau menegaskan, PN bukanlah parti yang membela satu-satu kaum sahaja sebaliknya ia mewakili kesemua rakyat yang ada di negeri ini.

    Malah, ujarnya, gabungan tersebut komited untuk membela rakyat tanpa mengira kaum dan perkara tersebut boleh dinilai sendiri melalui tawaran yang dikemukakan malam ini.

    “Pengalaman Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, pakej ransangan RM530 bilion bukan hanya untuk satu kaum, bukan hanya untuk satu kumpulan tapi mereka yang dapat manfaat adalah semua.

    “Ini sekali lagi dapat menangkis tohmahan pihak lawan bahawa kita hanya mewakili satu-satu kaum.

    “Kami komited untuk memastikan tawaran ini akan dilaksanakan dan saya percaya sekiranya semua rakyat mendapat manfaat, saya percaya Selangor akan makmur sejahtera,” katanya lagi, lapor Utusan TV.

  • Muhyiddin: PN akan jemput Dominic ceramah di Bayan Lepas

    Muhyiddin: PN akan jemput Dominic ceramah di Bayan Lepas

    TAN Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan penganjuran satu lagi ceramah mega di Bayan Lepas, Pulau Pinang, kali ini untuk menampilkan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau dan pemimpin lain daripada komponen gabungan tersebut.

    Ini berikutan kemelut politik baru-baru ini yang menyaksikan Lau, yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, didakwa dihalau oleh Pas daripada naik ke pentas untuk menyertai ceramah yang menampilkan pemimpin PN lain.

    Muhyiddin berkata, insiden itu berlaku kerana salah faham, dan Pas telah mengeluarkan permohonan maaf melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    “Dengan kenyataan (permohonan maaf) yang telah dikeluarkan oleh Pas, saya percaya ada langkah-langkah susulan.

    “Saya telah pun meminta supaya program ceramah besar diadakan di sana.

    “Di mana calon-calon termasuk Dominic, tokoh Pas yang ada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas satu pentas yang sama,” katanya pada sidang media di Shah Alam malam ini.

    Terdahulu Majlis Pelancaran Tawaran PN Selangor diadakan di Ballroom, Doubletree Hilton, Shah Alam.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mengadakan sesi soal jawab pada Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Pilihan Raya Negeri Selangor 2023 di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pada malam Selasa, Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim menghalang Presiden Gerakan itu daripada menyertai pemimpin PN lain di atas pentas untuk ceramah, malah memberitahu mereka supaya pergi kerana tidak diundang ke majlis itu.

    Ahli Pas tempatan kecewa selepas Lau dinamakan sebagai calon PN bagi kerusi Bayan Lepas kawasan majoriti Melayu dan mengancam untuk memboikot pilihan raya.

    Sebelum ini, Iszuree disebut-sebut bakal menjadi calon untuk kerusi itu.

    Muhyiddin memberitahu sidang media hari ini bahawa apa yang berlaku di Bayan Lepas adalah insiden terpencil dan tidak menggambarkan sikap Pas atau PN terhadap mana-mana pemimpin mereka.

    Beliau juga percaya isu itu tidak akan menjejaskan keyakinan pengundi bukan Melayu terhadap gabungan itu.

    “Ia tidak berikan gambaran itulah keadaan keseluruhan tempat-tempat (kerusi DUN dalam PRN),” katanya, lapor Malaysiakini.

  • PN berpengalaman, nafi tiru manifesto PH – Muhyiddin

    PN berpengalaman, nafi tiru manifesto PH – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan gabungan itu meniru dalam manifestonya di Selangor.

    Jelas Muhyiddin, PN mempunyai banyak pengalaman termasuk menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan sebelum ini.

    “Saya tidak baca pun apa yang ditawarkan sebelah sana (Pakatan Harapan Selangor) (jadi) nak ‘copy paste’ apa.

    “Kita cukup pengalaman, dan kita tak payah tengok apa orang lain buat, kita ikut buat… Sebagai sebuah kerajaan (yang) kita sudah ada pengalaman di (peringkat) Persekutuan tidak diajar pun kita boleh buat, pengalaman lepas yang kita gunakan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini, yang mendakwa tidak menolak kemungkinan manifesto PH akan di ‘copy paste’ oleh PN.

    Terdahulu, PN Selangor menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion sempena PRN di Selangor.

    Menurut Muhyiddin, dengan bertemakan Selangor Baharu, Kita Bangkit, pakej berkenaan merangkumi tujuh tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran.

    Majlis Pelancaran Tawaran PN Selangor di Ballroom, Doubletree Hilton, Shah Alam, malam ini yang turut dihadiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. foto Warta Rakyat

    Tawaran itu, katanya, merangkumi 7 tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran.

    Muhyiddin menambah, tawaran yang diberikan PN itu realistik dan gabungan tersebut komited untuk membawa perubahan di Selangor sekiranya diberi mandat pada 12 Ogos depan.

    “Bagaimana saya sebutkan, komitmen ini kita buat secara bersungguh-sungguh. Kita tak buat janji kosong dan untuk pastikan segala apa dalam buku tawaran.

    “Kita bentuk satu jawatankuasa yang akan memerhati segala yang kita nyatakan itu dilaksanakan,” katanya lagi, lapor Sinar Harian.

    Tambahnya, sepatutnya pertanyaan diajukan kepada Menteri Besar Selangor adakah dalam manifesto PH negeri itu menawarkan pakej rangsangan seperti yang telah ditawarkan PN.

    “Menteri Besar (Selangor) mendakwa kita tiru apa yang dia buat, bukan saya tiru tapi patut tanya dia ada tak ditawarkan RM2 bilion pakej rangsangan, saya nak tanya dia, sama tak,” soalnya.

  • ‘Gelombang PN di enam negeri beri isyarat jelas’ – Takiyuddin

    ‘Gelombang PN di enam negeri beri isyarat jelas’ – Takiyuddin

    GELOMBANG Perikatan Nasional (PN) di enam negeri memberi isyarat jelas Kerajaan Perpaduan akan turun takhta pemerintahan pada Ogos nanti.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sambutan penyokong di enam negeri sehingga kini sangat positif.

    “Kita lihat gelombang di enam negeri yang berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) menunjukkan rakyat sedang memberi isyarat kepada Kerajaan Perpaduan.

    “Isyarat dari rakyat supaya mereka (Kerajaan Perpaduan) membuat persiapan untuk turun daripada takhta pemerintahan kerajaan Pusat.

    “Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim kata insya-Allah Ogos ini. Mudah-mudahan dengan perjuangan, doa serta usaha, kita dapat mencapai kejayaan sebagaimana yang kita hajatkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Pakat Pertahan Parlimen Ketereh, di Kota Bharu, malam ini.

    Yang turut hadir, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

    Takiyuddin turut meminta semua pengundi terus menyokong PN dengan menterjemahkan menerusi kertas undi pada 12 Ogos nanti.

    “Jika petang tadi kita mengumumkan pengisytiharan lebih 200 pimpinan UMNO Ketereh yang keluar parti dan menyokong PN, kita berharap lebih ramai yang akan menyusul selepas ini,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Selangor jadi ‘Super Smart State’ jika PN menang-Azmin

    Selangor jadi ‘Super Smart State’ jika PN menang-Azmin

    PERIKATAN Nasional (PN) tekad menjadikan Selangor sebagai ‘Super Smart State’ jika parti itu diberikan mandat oleh rakyat dan berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara inisiatif akan dilaksanakan adalah menarik pelabur asing yang berkemahiran dan berteknologi tinggi, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan berkualiti terutamanya kepada anak muda Selangor.

    “Kerajaan negeri hari ini gagal menarik pelabur berteknologi tinggi, malah pelaburan yang ada masih berintensifkan tenaga pekerja asing.

    “Kalau ini berterusan, tidak mungkin anak-anak muda di Selangor ini dapat mencipta atau diberikan peluang untuk mendapatkan pekerjaan berkualiti dan kemahiran tinggi.

    “Maka antara cadangan yang kita tawarkan adalah tarik pelaburan berkualiti tinggi dan berteknologi seterusnya cipta 100,000 pekerjaan yang berkualiti. Tawaran diberikan ini memang boleh dilakukan..kita ada pengalaman,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ketika sesi dialog dalam Majlis Pelancaran Tawaran PN Selangor di Ballroom, Doubletree Hilton, Shah Alam, malam ini yang turut dihadiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mengadakan sesi soal jawab pada Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Pilihan Raya Negeri Selangor 2023 di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, Selangor pernah mencatat prestasi baik tahun lalu ketika beliau masih di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

    “Saya membawa Amazon Web Services (AWS) masuk ke Selangor walaupun Selangor bukan ditadbir PN, kita tetap membawa pelaburan bernilai RM25 bilion ke negeri ini.

    “Kalau kita boleh buat ketika itu, Insya-Allah ketika rakyat memberikan mandat pada 12 Ogos ini dengan pengalaman saya dan teman-teman..saya yakin kita boleh angkat negeri Selangor ke tahap lebih tinggi,” katanya, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor membabitkan nilai lebih RM2 bilion sebagai tawaran PN.

  • PN tawar tambang bas sekolah percuma untuk anak Selangor

    PN tawar tambang bas sekolah percuma untuk anak Selangor

    BAGI mempekasakan kecemerlangan pendidikan anak-anak, Perikatan Nasional (PN) Selangor menerusi Tunjang 6 memfokuskan kepada ‘Modal Insan Gemilang’.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini termasuk memperkenalkan inisiatif Selangor Prihatin Anak Sekolah (SPAS) dengan bantuan tambang bas sekolah sebanyak RM100 sebulan kepada 20,000 anak Selangor melalui kerjasama pengusaha bas sedia ada.

    “Selain itu, dana pembelajaran khas sebanyak RM2 juta setahun turut diperuntukkan bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK),” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Tawaran PN Selangor di di Ballroom, Doubletree Hilton, Shah Alam, malam ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mengadakan sesi soal jawab pada Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Pilihan Raya Negeri Selangor 2023 di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurutnya, PN juga akan menubuhkan Akademi Sains Selangor dengan menyediakan pendidikan peringkat sekolah rendah yang memfokuskan pendidikan sains, teknologi dan inovasi.

    Malah katanya, dana bantuan PIBG sebanyak RM5,000 setahun kepada semua sekolah Kerajaan di negeri Selangor termasuk SJK (C) dan SJK (T) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5 juta.

    “Bagi memastikan persekitaran pendidikan yang kondusif, sejumlah RM120 juta akan diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran termasuk aspek pendigitalan pendidikan, di samping pembinaan sekolah agama rakyat integrasi sains dan teknologi baharu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Tambahnya lagi, bantuan yuran KAFA juga akan diberi kepada murid daripada keluarga yang memerlukan dengan peruntukan RM6 juta setahun.

  • Ekonomi Madani gagal, bersifat sementara – Muhyiddin

    Ekonomi Madani gagal, bersifat sementara – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Ekonomi Madani dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dan bersifat sementara.

    “Pembentangan itu gagal dalam menyediakan satu pelan rangsangan dan pemulihan ekonomi secara menyeluruh dan segera yang amat diperlukan rakyat serta perniagaan pada masa ini,” ujar bekas Perdana Menteri itu.

    Beliau berkata, sebaliknya, rakyat ditabur dengan gula-gula pilihan raya yang bersifat sementara dan masih belum kunjung tiba.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Tawaran PN Selangor di di Ballroom, Doubletree Hilton, Shah Alam, malam ini.

    Sebahagian daripada penyokong-penyokong Perikatan Nasional yang hadir pada Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Pilihan Raya Negeri Selangor 2023 di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

    Terdahulu, Inisiatif Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat diumumkan Anwar pada 27 Julai lepas, bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia dan dijangka membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, kerangka ekonomi itu adalah satu rencana menyeluruh bagi Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan isu berkaitan daya saing dan tarikan negara sebagai destinasi pelaburan serta menggariskan tindakan bagi menangani isu-isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

    Inisiatif Ekonomi Madani menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai dalam tempoh 10 tahun.

    Muhyiddin menambah, penyelesaian terhadap masalah kos sara hidup rakyat masih belum terjawab dan segala janji manis mereka dahulu belum tertunai.

    Beliau berkata, itulah realiti sebenar yang sedang dihadapi oleh rakyat.

    “Rata-rata mengeluh kerana harga barang yang terus mencanak naik, ramai peniaga terpaksa gulung tikar, ditambah pula dengan nilai ringgit masih tidak stabil dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) membebankan peminjam,” katanya.

    Beliau berkata, ini membuktikan kerajaan pada hari ini gagal memahami masalah rakyat, malah tidak cekap dalam serba-serbi sehingga saban hari menjadi bahan jenaka di media sosial.

    “Maka tidak hairanlah ada yang menyebut kerajaan ini sebagai kerajaan kakistokrasi iaitu sebuah kerajaan dikendalikan Perdana Menteri dan menteri-menteri yang tidak cekap atau incompetent,” katanya.

    Sehubungan itu, demi membantu rakyat Selangor meringankan bebanan kos sara hidup serta merancakkan perniagaan dan ekonomi negeri, katanya, PN menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor.

    “Pakej bernilai lebih RM2 bilion yang terkandung di dalam tawaran yang bertemakan Selangor Baharu, Kita Bangkit ini merangkumi 7 tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Bantuan bulanan RM400, parkir, air percuma, kuota khas rumah bagi keluarga muda – Tawaran PN Selangor

    Bantuan bulanan RM400, parkir, air percuma, kuota khas rumah bagi keluarga muda – Tawaran PN Selangor

    KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) Selangor akan memperkenalkan inisiatif Bantuan Prihatin Keluarga Selangor dengan peruntukan sebanyak RM312 juta setahun jika mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri 12 Ogos ini.

    Mengumumkan perkara itu Pengerusi PN, Tan Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif itu dijangka dapat membantu 65,000 keluarga yang memerlukan, menerusi pemberian bantuan bulanan bernilai RM400 bagi pembelian barangan asas.

    “Selain itu kerajaan PN di Selangor juga akan mewujudkan inisiatif Bantuan Prihatin Nelayan Selangor berjumlah RM5 juta setahun dengan menyalurkan bantuan seperti enjin bot dan alatan akuakultur,” katanya berucap mengumumkan Tawaran PN Selangor sempena PRN di Shah Alam malam ini.

    Tawaran lain yang terkandung di tunjang mensejahterakan kehidupan rakyat adalah seperti berikut:

    • Mengecualikan bayaran parkir di kawasan letak kenderaan bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor Utara;
    • Menaikkan elaun bulanan yang dibayar oleh Kerajaan negeri kepada penggerak masjid dan surau iaitu imam sebanyak RM1,700, bilal RM800, siak RM600 dan nazir RM600;
    • Mewujudkan skim Rumah Pertama Darul Ehsan merangkumi pemilikan rumah pangsa tiga bilik bagi golongan yang memerlukan serta menyediakan kuota khas bagi keluarga muda;
    • Memperluaskan Skim Peduli Sihat termasuk Skim Perlindungan Perubatan dan Kesihatan kepada rakyat Selangor dengan pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah; dan
    • Memperluaskan kemudahan pengangkutan percuma “Van Selangor Care” bagi memudahkan pergerakan warga emas dan OKU ke pusat kesihatan, serta menyediakan dana berjumlah RM15 juta untuk inisiatif jaringan perkhidmatan Ambulans Komuniti Selangor (AKoS).
    1. Bagi menggalakkan penglibatan anak muda dalam bidang sukan serta merancakkan arena sukan di Selangor, pelbagai program pembangunan sukan akan diperkenalkan seperti:

    a. Memperuntukkan dana Infra Sukan Selangor sebanyak RM30 juta setahun bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara fasiliti sukan mesra rakyat;

    b. Menyediakan dana khas Sukan Olimpik dan Paralimpik bagi mencungkil potensi dan menggilap bakat anak Selangor dalam bidang sukan untuk bersaing di peringkat dunia; dan

    c. Menyediakan insentif Darul Ehsan E-Sports (DEES) dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.

    1. PN juga akan memberi tumpuan kepada usaha menyantuni keluarga muda dengan menawarkan pelbagai inisiatif-inisiatif. Antaranya:

    a. Mewujudkan inisiatif Bina Keluarga Selangor (BKS) sebanyak RM500 untuk pasangan pengantin baharu;

    b. Menyediakan insentif Lahir Selangor bernilai RM500 kepada ibu bersalin; dan

    c. Memperbanyak rumah transit dan projek perumahan rakyat di kawasan terpilih untuk sewaan kepada pasangan belia yang baru berkahwin.

    PN peka dan mendengar keluhan rakyat berhubung bantuan air percuma. Oleh sebab itu, program air percuma melalui inisiatif 20 meter padu air percuma akan diperluaskan kepada pemegang akaun dengan pendapatan isi rumah RM15,000 dan ke bawah.

  • PRN:’Saya dapat rasakan angin perubahan di Selangor’, kata Muhyiddin

    PRN:’Saya dapat rasakan angin perubahan di Selangor’, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin angin perubahan akan berlaku di Negeri Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.

    “Insya-Allah, berkat sokongan padu seluruh rakyat di negeri Selangor, baik Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, Perikatan Nasional akan beroleh kemenangan besar dalam pilihanraya negeri pada 12 Ogos nanti dan seterusnya membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih, prihatin dan stabil.

    “Saya dapat merasakan angin perubahan sedang bertiup kencang di negeri Selangor dan mudah-mudahan ia akan membentuk suatu gelombang sokongan rakyat yang kuat dan padu kepada Perikatan Nasional,” jelasnya.

    Beliau berkata demikian sewaktu mengumumkan tawaran PN Selangor menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor yang bernilai lebih RM2 bilion, dalam Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Negeri Selangor di Shah Alam malam ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mengadakan sesi soal jawab pada Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Pilihan Raya Negeri Selangor 2023 di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, PN percaya akan membentuk sebuah kerajaan negeri yang lebih prihatin terhadap rakyat sekiranya diberikan mandat pada 12 Ogos depan.

    “Saya mengambil kesempatan ini untuk merayu kepada semua pengundi di negeri Selangor supaya keluar beramai-ramai pada hari pengundian nanti dan undilah calon-calon Perikatan Nasional.

    “Mudah-mudahan dengan sokongan anda semua, kita akan dapat membentuk sebuah kerajaan negeri yang lebih prihatin terhadap nasib rakyat dan lebih berkemampuan untuk memacu kemajuan dan pembangunan negeri Selangor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi utama bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat global,” katanya, lapor Astro Awani.

    Hadir sama dalam acara berkenaan ialah Pengerusi PN Negeri Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan PN peringkat negeri.