Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘Ini peluang terakhir ahli UMNO selamatkan parti’ – Annuar

    ‘Ini peluang terakhir ahli UMNO selamatkan parti’ – Annuar

    BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa minta ahli dan penyokong UMNO di enam negeri yang terlibat dalam pilihan raya negeri (PRN) menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

    Jelas beliau, ini bagi menyelamatkan parti yang banyak berjasa demi pembangunan negara sejak sebelum kemerdekaan.

    “Hanya ada satu ruang sekiranya UMNO ingin dipulihkan iaitu melalui referendum rakyat pada PRN, 12 Ogos ini.

    “Ini peluang terakhir ahli-ahli UMNO menyelamatkan parti ini dengan menyertai referendum rakyat, walaupun terpaksa melihat UMNO kalah dan hanya dengan kekalahan teruk barulah dapat diselamatkan,” katanya.

    Pengerusi Muafakat Nasional (PN) itu berkata demikian semasa berucap pada Ceramah Umum di Mamba’ul Huda Tanjong Karang di Hulu Selangor malam tadi.

    Sekiranya UMNO terus diberi mandat dalam PRN enam negeri ini, beliau bimbang parti itu terus menjadi alat kepada parti lain.

    Ditanya adakah beliau masih menyayangi UMNO, Annuar berkata, semua orang Melayu yang tahu tentang sejarah politik menyayangi parti itu.

    “Orang Pas sayang pada UMNO dan orang yang faham bermulanya politik negara ini dihidupkan oleh UMNO dan kemudian kita ada berbeza pendapat, maka lahir Pas dan parti-parti lain, tapi semua parti ini perjuangannya bermula daripada UMNO itu sendiri,” ujarnya.

    Jelas beliau, UMNO berada pada landasan dan perjuangan yang betul, tetapi pemimpin UMNO ketika ini menjadikan parti itu tidak lagi dihormati.

    “Jadi rakyat tidak boleh menunggu UMNO, macam saya tak menunggu UMNO kerana parti ini buang (pecat) saya.

    “Kalau saya duduk dalam UMNO akan berusaha baiki (parti ini). Bagaimana hendak baiki? Saya kena bersuara dan tidak boleh dicucuk hidung,” jelas beliau.

    Bagaimanapun, beliau bukan lagi menjadi ahli UMNO setelah dipecat parti itu dan kini telah menyertai Pas.

    Menurut beliau, Pas tidak pernah ‘mematikan’ UMNO, sebaliknya berjuang mirip dengan dasar-dasar diperjuangkan UMNO.

    “Pada saya UMNO dan Pas ada peranan masing-masing dan bila UMNO lemah, Pas wajib menjadi pengganti.

    “Pas mesti mengambil obor-obor yang dicampakkan UMNO yang telah membuang obor-obor dan lari daripada tanggungjawab,” katanya.

    Justeru, Annuar memberitahu, tidak salah sekiranya ahli UMNO memberi sokongan kepada PN dalam PRN enam negeri.

    “Kita akan sampai ke stesen sama dan ibarat kereta (dinaiki) rosak dan kita naik kereta lain dan sampai ke stesen dituju,” tambahnya.

    Mengulas mengenai peluang PN dalam PRN enam negeri, Annuar memberitahu, pengundi Melayu dan bumiputera serta bukan Melayu akan bersatu padu di bawah satu obor sama dengan menyokong PN.

    Katanya, di Selangor ini misalnya menyaksikan penyatuan pada tahap tertinggi dan mampu mengambil alih pentadbiran di Selangor.

    “Saya yakin pengundi Selangor akan bersatu dan bersama-sama untuk bawa perubahan dan jika berubah di Selangor, maka berubahlah Putrajaya,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Ada lagi kejutan ahli, pemimpin keluar UMNO – Nik Muhammad Zawawi

    Ada lagi kejutan ahli, pemimpin keluar UMNO – Nik Muhammad Zawawi

    KETUA Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh memberi bayangan akan berlaku lagi kejutan penghijrahan ahli dan pemimpin UMNO Kelantan ke dalam Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh terdekat.

    “Momentum Tan Sri Annuar Musa membawa masuk pemimpin dan ahli UMNO untuk bersama PN kelmarin akan berterusan selepas ini bagi menjamin kemenangan Pas untuk diberi mandat terus mentadbir negeri itu.

    “Beberapa hari lagi pula kita akan menyaksikan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mustapha Mohamed isytihar anak buahnya di Jeli Kelantan sekarang ini sedang dipungut beramai-ramai untuk meninggalkan UMNO, BN di Jeli.

    “Mereka akan berduyun-duyun bersama Pas dan Bersatu dan bukan setakat rakan dari UMNO malah dari parti PH (Pakatan Harapan) iaitu PKR, Amanah telah keluar parti dan menyertai Pas dan Bersatu,” dakwanya.

    Beliau berkata demikian pada Ceramah Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di Pangsapuri Seksyen 7 di Shah Alam malam tadi yang turut dihadiri calon PN bagi Dun Kota Anggerik, Mohamed Sukri Omar.

    Jelas Nik Muhammad Zawawi, selepas Gua Musang jatuh ke tangan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, tidak ada lagi kerusi Parlimen di Kelantan dikuasai UMNO-BN.

    “Kalau dalam PRU15 baru-baru ini Kelantan catatkan 15-0, selepas ini bayangkan berapa natijah yang akan dihasilkan dalam PRN kali ini.

    “Jumlah kerusi DUN ada 45, jika diizinkan Allah SWT, kita mahu catat sejarah di Kelantan, sejarah sifar pembangkang 45-0,” ujar Ahli Parlimen Pasir Puteh itu.

    Dakwanya, situasi sama berlaku di Kemaman, Terengganu yang menjadi kawasan orang kuat UMNO dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Md. Said, juga ramai telah memberi sokongan kepada PN.

    “Terengganu pada PRU lalu tidak ada satu kerusi yang dimenangi UMNO dan penghijrahan ahli-ahli di Terengganu di daerah Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu sampai ke Kemaman dengan setiap penghijrahan beramai-ramai dari UMNO menyertai PN,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Ada lagi pemimpin parti kerajaan sertai PN-Bersatu Perak

    Ada lagi pemimpin parti kerajaan sertai PN-Bersatu Perak

    PERIKATAN Nasional (PN) Perak mengesahkan dua pemimpin muda UMNO bahagian di Perak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

    “Mereka ialah bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Dr. Nik Mohammad Azli Nik Ariffin dan bekas Ketua Pemuda UMNO Tambun, Faridzul Azlan Abd. Shani,” ujarnya.

    Menurutnya, kedua-dua bekas pemimpin itu bukanlah baru menyertai Bersatu tetapi dipanggil untuk diumumkan secara rasmi ketika pertemuan dengan Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa kelmarin.

    “Untuk makluman Ketua Pemuda UMNO Bagan Datuk sudah menyertai Bersatu sebelum PRU15 lagi iaitu pada tahun 2019, cuma kita tak umumkan secara rasmi begitu juga bekas Ketua Pemuda UMNO Tambun pada bulan lepas mengisi borang Bersatu bahagian Ipoh Barat.

    “Kalau kelmarin mereka menyertai Pas itu terpulang kepada mereka tetapi rekod yang ada pada kita itulah. Di samping itu mungkin ada pemimpin dari peringkat akar umbi yang menawarkan diri menyertai Bersatu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ipoh, semalam.

    Dalam pada itu, Zainol Fadzi yang juga Setiausaha Bersatu Perak berkata, selain pemimpin UMNO, ada beberapa pemimpin dalam kalangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan menyertai PN.

    “Semua parti dalam PN menyambut baik dan mengalu-alukan kehadiran mereka.

    “Saya tak boleh sebut dengan rasmi (nama pemimpin PKR) sebab yang ini digerakkan beberapa rakan-rakan saya di bahagian di Taiping termasuklah di utara di Parit Buntar, Bagan Serai.

    “Soal apa alasan mereka kita tak pertikaikan yang itu terserah pada mereka dan kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang nak bersama dengan PN sama ada Bersatu atau PN,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Kelmarin, Nik Mohammad Azli dan Faridzul Azlan kelihatan bersama-sama beberapa pemimpin lain yang diumumkan oleh Annuar Musa menyertai PN menerusi satu sidang media khas di Kota Bharu, Kelantan.

  • Undi PN, dapat selamatkan UMNO, kata Hamzah

    Undi PN, dapat selamatkan UMNO, kata Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta ahli UMNO menyokong PN sekiranya mereka sayangkan masa depan parti itu.

    Menurutnya, dengan cara itu saja dapat mengubah masa depan UMNO sekali gus membolehkan parti tersebut diterima semula oleh rakyat.

    “Kepada orang UMNO, cukuplah. Kalau benar sayangkan UMNO, pastikan ‘kepala’ atau presiden kamu itu baik.

    “Kalau ke pasar beli ikan, contohnya ikan senangin kita akan tengok kepala dia dulu, kalau baik kita beli dan kalau kepala baik, ekornya juga baik.

    “Hari ini presidennya busuk. Kita tak mahu seluruh ahli UMNO jadi busuk,” katanya berucap pada Majlis Sembang Santai di Juasseh di Kuala Pilah malam tadi.

    Sementara itu, ketika ditemui pemberita beliau mendakwa, ramai ahli UMNO kini melihat PN sebagai parti alternatif buat mereka.

    Sehubungan itu beliau meminta ahli parti itu yang tidak suka kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya mengundi PN.

    Sebab itu saya minta ahli UMNO kalau tak suka kepada Ahmad Zahid, jangan biar saja tetapi caranya dengan mengundi PN dengan beritahu ‘kau sebagai Presiden telah kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 dan PRN ini.

    “Saya mahu kalau boleh orang UMNO sedar, marilah bersama kita (PN). Kalau tak mahu keluar parti tiada masalah, tapi marilah bersama perjuangan ini dengan mengundi PN,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Tambahnya, PN mahu melihat pemimpin negara tidak kira dari parti mana sekalipun mempunyai tanggungjawab dan penuh integriti dalam menentukan masa depan negara.

    Malah beliau juga menyatakan keyakinan gelombang rakyat yang mahukan perubahan sedang berlaku di seluruh negeri.

  • PRN: Saingan dua penjuru, PN boleh menang di 33 kerusi majoriti Melayu, kata Noh Omar

    PRN: Saingan dua penjuru, PN boleh menang di 33 kerusi majoriti Melayu, kata Noh Omar

    TAN Sri Noh Omar menjangkakan strategi pertembungan dua penjuru di Selangor mungkin memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mengalahkan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

    Namun menurut bekas Pengerusi UMNO Selangor itu, kemenangan di kerusi satu lawan satu bergantung kepada peratusan pengundi Melayu yang keluar mengundi, selain sokongan daripada pengundi bukan Melayu.

    “Jika keadaan itu sekurang-kurangnya 33 daripada 56 kerusi di Selangor yang lebih 60 peratus pengundi Melayu, mampu dimenangi oleh PN.

    “Sebab di seluruh Selangor ini kita ada 33 kerusi, yang pengundian Melayu lebih 60 peratus.

    “Ini adalah target (sasaran) kita. Sebab itu saya ambil contoh, macam dekat PDM (Pusat Daerah Mengundi), kalau PDM itu kalau ada pengundi bukan Melayu, dia 40 peratus, tentu kalah.

    “Sebab pengundi Melayu 60 peratus, pecah tiga (saingan tiga penjuru). Sebab itu dia (saingan kerusi) tak boleh pecah tiga, tetapi kena pecah dua (baru) kita (PN) boleh menang,” katanya.

    Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Sungai Gulang-Gulang, di Hulu Selangor, malam tadi.

    Mengulas lanjut, Noh berkata, walaupun telah dipecat daripada UMNO, teori saingan dua penjuru yang diperjuangkan beliau sejak menjadi Pengerusi UMNO Selangor diteruskan melalui platform Perikatan Nasional (PN) dalam usaha mengalahkan PH.

    Selain itu, beliau berkata, manifesto PN Selangor iaitu ‘Selangor Baharu Kita Bangkit’ disifatkan sebagai menyeluruh kerana merangkumi kebajikan penduduk di luar dan separa bandar, yang pernah diperjuangkannya sebelum ini.

    “Di Selangor, mesti ada manifesto untuk bandar, separa dan luar bandar. Saya masyarakat luar bandar (Tanjong Karang), terima kasih (kerana tawar pemansuhan) parkir.

    “Daripada dulu saya memang tak bersetuju (kena ada bayaran) parkir di kampung dan luar bandar di Tanjong Karang. Kenapa buat (bayaran) parkir, ini luar bandar,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Pada PRN 12 Ogos ini, 26 kerusi menyaksikan persaingan dua penjuru antara gabungan PH-BN dengan PN, 25 kerusi melibatkan tiga penjuru manakala lima kerusi berdepan saingan empat penjuru.

    DUN Permatang menyaksikan saingan dua penjuru antara antara Nurul Syazwani yang juga anak Noh, menentang Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tanjong Karang, Mohd. Yahya Mat Sahri.

  • ‘Ini bukan gelombang PN, tetapi puting beliung’ – Eddin Syazlee

    ‘Ini bukan gelombang PN, tetapi puting beliung’ – Eddin Syazlee

    CALON Perikatan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Datuk Eddin Syazlee Shith, menjanjikan saingan sengit bagi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN enam negeri.

    Beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Pilah berkata, sokongan rakyat kepada PN kini lebih kuat berbanding ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Di Negeri Sembilan hari itu tak cukup besar. Tetapi saya yakin untuk PRN dia lagi besar gelombangnya,” katanya ketika ditemui FMT di bilik gerakan PN.

    Beliau yakin sokongan kepada PN akan membadai Negeri Sembilan jua.

    “Ini bukan gelombang macam PRU15, tetapi puting beliung.”

    PRU15 peringkat Parlimen menyaksikan PN gagal merungkai cengkaman Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di negeri itu.

    Pada peringkat DUN kali ini, PH-BN mengetengahkan nama-nama besar untuk mempertahankan dominasi di Darul Khusus, termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Datuk Seri Mohamad Hasan, Anthony Loke Siew Fook dan Jalaluddin Alias.

    Eddin sendiri bakal berdepan calon BN, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid, yang juga isteri kepada bekas Menteri Besar, Tan Sri Isa Abdul Samad.

    Namun, beliau percaya pengundi rata-ratanya tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan dalam membantu rakyat.

    “Saya fikir ini akan memberi kesan kepada undian yang bakal diterima kerajaan,” ujarnya, lapor FMT.

    Malah, katanya, sambutan yang disaksikan ketika kempen PN menguatkan keyakinannya.

    “Saya lihat dalam kempen hari ini secara jujur banyak sambutan amat memberangsangkan.”

    Pada PRU14, calon BN memenangi DUN Juasseh dengan majoriti tipis 692 undi selepas memperoleh 4,146 undi, berbanding 3,454 yang diraih calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan 624 bagi calon Pas.

    DUN ini terletak bawah Parlimen Kuala Pilah, yang dirampas BN daripada Eddin pada PRU15, dengan majoriti 6,483 undi.

  • Program MB kecoh, penduduk bangkitkan isu penyelengaraan pangsapuri

    Program MB kecoh, penduduk bangkitkan isu penyelengaraan pangsapuri

    PROGRAM Majlis Makan Malam Perpaduan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua malam tadi yang dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjadi kecoh.

    Kekecohan itu berlaku selepas beberapa pengundi bertanya soalan kepada beliau berhubung masalah Pangsapuri Putri Laksamana di Batu Caves.

    Insiden tersebut bermula apabila beberapa pengundi dari kawasan tersebut cuba bertanya soalan kepada Amirudin ketika beliau berjalan ke kereta setelah menghabiskan ucapan.

    Seorang penduduk bertanya kepada Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua selama tiga penggal itu berhubung keadaan pangsapuri yang didakwa teruk.

    Selain mendakwa railing tangga sudah berkarat, dia juga berkata longkang di sekitar pangsapuri tidak ditutup yang menyebabkan bahaya kepada penduduk khususnya warga emas.

    Menjawab aduan penduduk berkenaan, Amirudin meminta dia merujuk kepada badan pengurusan bersama (JMB) pangsapuri tersebut.

    Tidak puas hati dengan jawapan Amirudin, individu itu berkata, Pengerusi JMB pangsapuri merupakan penganjur program makan malam tersebut, dan isu tersebut berlarutan selama 10 tahun.

    Dia juga bertanya mengapa Amirudin tidak turun ke kawasan tersebut selama 10 bulan selepas menjadi Ahli Parlimen Gombak.

    Namun Amirudin sekali lagi meminta dia merujuk kepada JMB supaya isu pangsapuri itu diselesaikan.

    “Isu ini kena bawa ke JMB dulu,” katanya sebelum terus berjalan ke kereta.

    Keadaan menjadi kecoh seketika apabila beberapa ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuba menahan individu tersebut bersama beberapa orang lain yang terus bertanya soalan kepada Amiruddin.

    “Saya hari ini membangkitkan isu ini bagi pihak semua penduduk pangsapuri Putri Laksamana.

    “Apa guna ada MB sedangkan isu 10 tahun tidak dapat diselesaikan,” kata individu itu yang hanya mahu dikenali sebagai Nesh.

    Nesh juga meminta orang ramai yang hadir program itu mengundi calon Bebas yang merupakan penduduk daripada kawasan tersebut.

    Amirudin berdepan saingan tiga penjuru daripada calon PN, Muhammad Hanif Jamaluddin dan Suman Gopal yang bertanding atas tiket Bebas di DUN Sungai Tua pada Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 12 Ogos ini.

    Pangsapuri Putri Laksamana mempunyai lima blok dengan anggaran 400 penghuni terdiri daripada Melayu, Cina dan India.

    Pengerusi JMB, A. Ragunathan ketika ditemui kemudian berkata, masalah di pangsapuri tersebut berpunca daripada sikap penduduk yang tidak membayar yuran penyelenggaraan.

    “Kebanyakan penduduk di sini tidak membayar yuran penyelenggaraan khususnya penduduk Blok A. Daripada jumlah 80 penghuni di situ hanya lapan yang bayar yuran RM30.

    “Penduduk di situ adalah punca masalah di blok mereka. Kita hanya boleh membuat penyelenggaraan jika bayar yuran.

    “Baru-baru ini MB memberi peruntukan untuk membuat penyelenggaraan blok A. Jadi, tidak benar MB tidak menyelesaikan isu ini,” katanya.

    A. Ragunathan yang dilantik sebagai Pengerusi JMB ketika fasa Covid-19 berkata, kekecohan tersebut merupakan drama politik yang sengaja dicetuskan untuk mencemarkan nama baik Menteri Besar.

    Bagaimanapun, Nesh tetap tidak bersetuju dengan penjelasan pengerusi JMB itu dan membawa wartawan melawat pangsapuri tersebut.

    Antara lain dia menunjukkan keadaan air berbau busuk dari tangki septik. Beberapa penduduk juga mengadu keadaan tandas di rumah mereka pernah tersumbat.

    Ketika ditanya, Nesh mengakui terdapat penduduk tidak membayar yuran penyelenggaraan.

    “Saya setuju. Tapi, apa hak saya sebagai penduduk yang membayar yuran. Adakah saya perlu menerima nasib yang sama hanya kerana orang lain tidak bayar yuran.

    “Saya nak bertanya berapa jumlah yang perlu untuk menyelesaikan isu ini. Tak sampai RM500,000. Selaku ADUN Sungai Tua, Ahli Parlimen Gombak dan Menteri Besar Selangor, Amiruddin boleh menyediakan peruntukan dalam sekelip mata.

    “Tapi dia tidak berbuat demikian hanya kerana kebanyakan penduduk di sini adalah dari B40. Jadi, mereka berfikir mengadakan program macam hari ini seperti jamuan makan malam sudah mencukupi untuk meraih undi.

    “Sebab itu, tadi saya meminta penduduk di sini mengundi calon Bebas merupakan anak tempatan yang mungkin memahami masalah kita,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Dakwaan Sanusi ditahan: PDRM nafi, gesa portal berita minta maaf

    Dakwaan Sanusi ditahan: PDRM nafi, gesa portal berita minta maaf

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan laporan sebuah portal berita yang menyatakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor ditahan atau dipanggil untuk dirakam percakapan hari ini.

    Ketua Komunikasi Korporat PDRM Asisten Komisioner A Skandaguru berkata, pihaknya sehubungan itu meminta portal berita berkenaan memohon maaf dan menarik balik laporan tersebut.

    “Tiada pihak dari Bukit Aman, peringkat kontinjen Kedah atau Ibu Pejabat Polis Daerah di Kedah melakukan tindakan seperti dilaporkan portal berkenaan.

    “PDRM meminta portal berita yang melaporkan berita palsu tersebut membuat permohonan maaf serta menarik balik laporan berita yang disiarkan,” katanya dalam satu kenyataan,

    Mengulas lanjut, Skandaguru berkata, tindakan mengeluarkan berita tidak sahih sedemikian boleh mendatangkan rasa panik kepada masyarakat apatah lagi dalam senario kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang berlangsung.

    “Laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan dimulakan ke atas penyebaran berita palsu terbabit,” katanya.

    Terdahulu sebuah portal berita mendakwa Muhammad Sanusi ditahan polis pada petang Sabtu.

    Menurut laporan itu memetik rakaman video sebuah program di Padang Serai, seorang individu lelaki yang dipercayai ahli Pas memaklumkan, Sanusi tidak dapat menghadirkan diri atas faktor keselamatan.

    “Panglima perang kita (Sanusi) tak dapat hadir petang ini kerana isu keselamatan. Beliau sebenarnya telah datang (lokasi program) separuh jalan tetapi disebabkan isu serius maka beliau tidak dapat hadir bersama kita namun beliau janji untuk hadir pada waktu lain.

    “Insyaallah walaupun panglima perang kita tak dapat hadir kita tetap menyokong PN, bila dia (Sanusi) umum tarikh yang baru (hadir semula) semua akan datang ramai-ramai,” memetik ucapan menerusi video berkenaan.

    Dalam pada itu, portal berita itu yang memetik sumber mendakwa, penahanan terhadap Sanusi dibuat oleh polis dari Bukit Aman.

  • Infineon: PMX ‘claim’ kerja orang kata Sanusi

    Infineon: PMX ‘claim’ kerja orang kata Sanusi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menepis kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa pelaburan tambahan 5 EUR bilion (RM25 bilion) Infineon Technologies AG (Infineon) di Kulim hasil rundingan kerajaan perpaduan.

    Menurut Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN), pelaburan tambahan itu sudah dimaklumkan syarikat dari Jerman pada tahun lepas.

    Katanya, beliau diberitahu soal itu ketika melawat kilang Infineon itu sekali gus merasmikan bangunan baharu syarikat tersebut.

    “Tahun 2022, saya pergi kilang Infineon di Kulim…kilang Jerman. Pergi tengok rancangan mereka untuk menambah pelaburan lagi RM25 bilion dan merasmikan satu unit di Infineon dan kita pun pakat letak tapak tangan (simbolik perasmian).

    “Dia (Infineon) sudah maklum hendak tambah pelaburan di Kulim, dia minta tanah belakang kilang. Kita pun lulus dan pajak dekat dia lagi tanah di belakang itu. Tahu-tahu Datuk Seri Anwar Ibrahim kata baru meluluskan pelaburan Infineon. Tuan-tuan, main claim kerja orang cukup bijak. Semua dia kata dia buat. Tan Sri Muhyiddin (Yassin) hapus hutang Felda RM8.3 bilion, mai (datang) dia jadi perdana menteri dia kata dia buat.

    “Semua rekod ada, tuan-tuan hendak bohong agak-agaklah. Buka mulut bohong, buka mulut bohong,” katanya ketika Sembang Santai di Pengkalan Kundur, Kedah, semalam.

    Sebelum ini menurut Anwar, keputusan itu dicapai setelah Kerajaan Negeri Kedah membuat rundingan selama 13 bulan namun gagal mencapai kata putus.

    “Yang dia (Kerajaan Negeri Kedah) runding 13 bulan sudah, dia (Infineon) yang sebulan sudah dia mai runding dengan saya, bukan dengan mereka. Sebab apa dia runding dengan saya bukan sebab saya Anwar tapi sebab saya pemimpin kerajaan perpaduan dan kerajaan ini stabil,” dalam ucapannya sempena Ta’aruf Perpaduan di Jitra.

    Dalam ucapan sama, Muhammad Sanusi turut menempelak Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang kecewa apabila pelaburan RM25 bilion itu dibawa ke Kedah.

    Kata Muhammad Sanusi, Menteri Ekonomi itu sepatutnya tahu kilang Infineon itu sudah beroperasi di Kulim sejak 10 tahun lalu.

    “Bab Infineon ini Rafizi pun cakap di Negeri Sembilan, aku pun nak marah kat (pada) Anwar Ibrahim kenapa bawa Infineon pergi Kedah. Rafizi, ini nak beritahu Infineon dah ada di Kulim 10 tahun beroperasi dan ini hendak tambah sahaja bukan pelaburan baharu. Bukan pelaburan baharu, Menteri Ekonomi apa (ini)? Ini pun sama saja.

    “Formula dia semua ke laut. Bukan formula saja ke laut, benda sudah ada dia kata baru nak mai,” katanya lapor Agendadaily.

    Untuk rekod, pada 7 Julai 2022 lalu, Muhammad Sanusi telah merasmikan Majlis Perletakan Batu Asas Kilang Infineon di Kulim Hi-Tech Park.

  • Perbicaraan kes Zahid : Peguam Negara didesak jelaskan ketiadaan Raja Rozela

    Perbicaraan kes Zahid : Peguam Negara didesak jelaskan ketiadaan Raja Rozela

    KERAJAAN mesti segera menjelaskan ketiadaan peguam kanan secara tiba-tiba dalam perbicaraan rasuah membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kata Bersatu hari ini di tengah-tengah spekulasi Timbalan Pendakwa Raya Kanan Raja Rozela Raja Toran mungkin disingkirkan daripada pasukan pendakwaan yang diketuainya sejak permulaan kes.

    “Saya menyeru peguam negara dan kerajaan untuk memberikan penjelasan segera dan terbuka, termasuk alasan yang kukuh, untuk penyingkiran atau menggantikan Raja Rozela. Ini penting untuk mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan jenayah kita,” kata peguam Bersatu Sasha Lyna Abdul Latif dari Biro Perundangan & Perlembagaan parti.

    Pada Khamis, NST melaporkan Raja Rozela, yang dilihat mengajukan soalan bertalu-talu terhadap Zahid semasa perbicaraan, tidak hadir sejak Isnin, dan juga tidak berada di mahkamah ketika perbicaraan disambung pada Rabu.

    Akhbar itu bagaimanapun gagal mendapat maklum balas daripada Peguam Negara Idrus Harus serta seorang lagi timbalan pendakwa raya yang terlibat dalam perbicaraan, Mohd Dusuki Mokhtar.

    Namun salah seorang peguam dalam pasukan pendakwaan berkata tidak dapat dipastikan sama ada Raja Rozela “dibuang secara kekal daripada kes itu”. 

    Sasha menyifatkan Raja Rozela sebagai “pendakwa raya yang berkesan dan bekerja keras”, sambil menambah beliau tegas sebagai pendakwa sepanjang perbicaraan, meskipun selepas pelantikan kontroversi Zahid sebagai timbalan perdana menteri walaupun terpalit dengan 47 pertuduhan jenayah terhadapnya. 

    “Pendakwaan terhadap timbalan perdana menteri yang sedang berlangsung ini adalah perkara yang mempunyai kepentingan awam yang tinggi. Ia mesti dilihat dilaksanakan secara bebas dan telus, tanpa sebarang campur tangan. Justeru, adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima Raja Rozela diganti tanpa sebarang alasan yang diberikan kepada orang ramai atau mahkamah. Pendakwaan jenayah mesti dibawa ke kesimpulan mereka, tanpa mengira status orang yang dituduh,” tambahnya lapor Malaysianow.

    Zahid berdepan 47 pertuduhan – 12 pecah amanah (CBT), lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. 

    Antara pertuduhan CBT ialah beliau didakwa menjelaskan hutang kad kreditnya menggunakan Yayasan Akalbudi melalui 44 keping cek berjumlah kira-kira RM1.3 juta antara Januari 2013 dan Disember 2016.