Author: Wartawan WartaRakyat

  • Nelayan antara tiga didenda RM7,300, jalan operasi judi piala dunia

    Nelayan antara tiga didenda RM7,300, jalan operasi judi piala dunia

    TIGA lelaki termasuk seorang nelayan didenda RM7,300 di Mahkamah Majistret Melaka, pada Isnin, kerana menjalankan pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2022.

    Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman memutuskan denda itu selepas Richard Danker, 54; Linus Hilary Pinto, 60; dan Lim Soon Boon, 34, mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953 dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

    Berdasarkan pertuduhan, Richard yang bekerja sebagai nelayan dan Linus seorang penganggur didapati bersalah membuat pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA Qatar 2022 secara dalam talian dengan menggunakan telefon bimbit bernilai RM150,250.

    Kesalahan itu dilakukan di Medan Portugis, Kampung Portugis pada pukul 4 dan 4.10 pagi, 14 Disember tahun lalu.

    Seorang lagi tertuduh, Soon Boon yang bekerja di restoran mengaku bersalah melakukan kesalahan sama berjumlah RM75,000 di tepi Jalan Daranjo, Kampung Portugis, Melaka, pada pukul 6.40 petang, 10 Disember tahun lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas kesalahan dilakukan mereka.

    Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda ringan dikenakan terhadap mereka, lapor Sinar Harian.

    Mahkamah kemudian menetapkan Richard didenda RM2,500 selain Linus dan Soon Boon masing-masing RM2,400 atau sebulan penjara jika gagal bayar.

  • Subkontraktor TM antara 14 dituduh curi, hapus kabel

    Subkontraktor TM antara 14 dituduh curi, hapus kabel

    SERAMAI 14 individu dihadapkan di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang pagi ini atas pertuduhan mencuri dan menghapuskan kabel milik Telekom Malaysia (TM) dalam kejadian awal bulan ini.

    Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang antaranya bekerja sebagai subkontraktor; pengawal keselamatan, penternak ikan, penjual vape, kerani dan sebagainya mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret R. Manomani.

    Bagi pertuduhan pertama, 11 tertuduh didakwa telah mencuri kabel milik Telekom Malaysia pada pukul 5 pagi 10 Januari lalu, di persimpangan lampu isyarat Tanjung Bungah.

    Mereka ialah Mohd. Danial Mohd. Nasib, 42; Mohd. Helmie Iswandi Ismail, 40; Muhamad Faiz Yahaya, 31; Mohd. Hishammudin Mohd. Razak, 45; Muhammad Farhan Ridzuan, 31; Muhammad Zulfaqar Ismail, 31; Syed Hasnisham Syed Hassan, 37; Abdul Wafi Fazil, 38; Muhamad Ridzuan Jamaludi, 36; Ahmad Finhas Fazil, 40, dan Muhammad Nasrul Mohamas Rashidey, 30.

    Mereka dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

    Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang kemudian boleh dihukum dengan pemenjaraan dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua pula, 11 tertuduh yang sama serta tiga lagi tertuduh iaitu, Sande Baijuri Abd. Rahman, 40; Ahmad Zulaswad Ismail, 36, dan Muhamad Fauzal Roselan, 27, didakwa dengan sengaja menolong menghapuskan harta curi iaitu kabel milik TM.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 5 dan 7 Januari lalu, kira-kira pukul 6.30 pagi di Kampung Matang Gedong, Sungai Petani, Kedah.

    Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurnajihatul Idayu Mohd. Azuyar manakala tertuduh diwakili peguam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq dan Naqieya Zulkernain.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya memohon supaya kesemua tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 bagi pertuduhan pertama serta RM1,500 bagi pertuduhan kedua dengan seorang penjamin selain menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pada 15 Januari lalu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, seorang subkontraktor Telekom Malaysia (TM) antara yang ditahan polis kerana terbabit kegiatan curi kabel milik syarikat telekomunikasi itu di sekitar Pulau Pinang dan Kedah dengan kerugian keseluruhan RM910,448.

    Kegiatan kumpulan itu terbongkar susulan penahanan 11 lelaki tempatan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di persimpangan lampu isyarat Jalan Tanjung Bungah, pukul 2.40 pagi pada 10 Januari lalu.

  • ‘UMNO akan hilang lebih banyak sokongan pada PRN’ – Mohd. Amar

    ‘UMNO akan hilang lebih banyak sokongan pada PRN’ – Mohd. Amar

    KEPUTUSAN pemecatan dan penggantungan pemimpin UMNO akan menyebabkan parti itu kehilangan lebih banyak sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

    “Tindakan yang dilakukan ini sebenarnya adalah masalah dalaman dalam UMNO, selain ia hak yang ada pada parti untuk mengambil tindakan,” ujar Timbalan Menteri Besar Kelantan itu.

    Bagaimanapun katanya, berdasarkan tulisan-tulisan dan maklum balas berhubung perkara itu disifatkan sebagai terlalu drastik.

    “Jika dilihat dari sudut politik, ia adalah satu usaha yang terdesak dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memastikan kedudukannya tidak tergugat di dalam parti.

    “Kita rasa ia memberi kesan yang besar, terutama di Selangor memandangkan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar adalah individu yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat, selain dalam parti UMNO sendiri walaupun ada kelemahan biasa sebagai manusia,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan 2023 di sebuah hotel di Kota Bharu, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam mesyuaratnya memutuskan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Noh dipecat daripada parti.

    Selain Khairy, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

    Sementara itu, Mohd. Amar berkata, sejak dari dulu Pas bersifat terbuka dan sesiapa yang berminat boleh menyertai parti itu.

    “Kita tiada masalah, cuma kita tidaklah mendesak atau sampai ke peringkat memujuk. Kita buka pintu kepada sesiapa saja yang boleh bersama-sama dalam parti Pas,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Warga emas didakwa terima, pindah, lupus wang aktiviti haram lebih RM1.2 juta

    Warga emas didakwa terima, pindah, lupus wang aktiviti haram lebih RM1.2 juta

    SEORANG warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas sembilan pertuduhan menerima, memindah dan melupus wang aktviti haram berjumlah RM1.27 juta, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Ahmad Yusri Mohd Yunus, 67, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hakim Kamarudin Kamsun, pagi tadi, lapor Utusan TV.

    Mengikut empat pertuduhan, tertuduh didakwa telah menerima wang yang merupakan hasil aktiviti haram secara berasingan berjumlah RM705,625 daripada akaun bank milik AYMY Multitouch Enterprise.

    Selain itu, tertuduh turut didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000 daripada akaun bank miliknya secara atas talian sebagai bayaran, kepada akaun bank milik tiga buah syarikat berlainan.

    Sementara dua lagi pertuduhan, dia didakwa melupuskan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM490,285 yang juga merupakan hasil aktiviti haram menerusi akaun bank miliknya.

    Ahmad Yusri Mohd Yunus,67, menghadapi sembilan pertuduhan menerima, memindahkan dan melupuskan wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan jumlah lebih RM1.2 juta selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank tempatan di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur antara 6 hingga 13 November 2020.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (akta 613), dan boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

    Dia berdepan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berkenaan.

    Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memohon supaya mahkamah mengurangkan kadar ikat jamin berikutan tertuduh sudah diisytiharkan muflis, tidak bekerja, menghidap kencing manis dan baru menjalani pembedahan lutut.

    Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 7 Mac depan bagi sebutan semula kes.

  • Anak Najib, Mohd Nazifuddin tawar diri tanding Naib Ketua Pemuda UMNO

    Anak Najib, Mohd Nazifuddin tawar diri tanding Naib Ketua Pemuda UMNO

    ANAK bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Mohd. Nazifuddin mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan parti itu tidak lama lagi.

    Mohd. Nazifuddin dalam kenyataan berkata, beliau mahu membantu Pemuda UMNO menarik semula golongan muda dalam memperkukuhkan wadah perjuangan.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut merasakan mempunyai kelebihan untuk mendampingi golongan muda menerusi penglibatannya dalam persatuan sukan.

    Menurut Mohd. Nazifuddin yang juga ahli Pemuda UMNO Bahagian Langkawi, beliau mahu menyumbang kudrat dalam memartabatkan kegiatan sukan; mencungkil bakat dan kemahiran; meninggikan taraf ekonomi serta kepelbagaian aktiviti berfaedah untuk golongan muda.

    “Sekiranya diberi peluang menjawat jawatan ini, saya akan memfokuskan kepada golongan pengundi lepasan sekolah agar mereka dapat membantu kita untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    “Oleh itu, saya dengan penuh takzim memohon sokongan daripada sahabat-sahabat perwakilan Pemuda UMNO dari seluruh negara bagi merealisasi hasrat saya ini,” katanya dalam kenyataan, lapor Utusan TV.

    Sementara itu, dalam rakaman video yang dimuat naik ke akaun Facebook miliknya, Mohd. Nazifuddin berkata beliau sedar dengan cabaran besar untuk menarik semula minat golongan muda terhadap UMNO.

    Sehubungan itu, katanya, beliau bersedia untuk mendepani segala cabaran tersebut.

    “Keutuhan berpasukan, persepaduan dan kesepakatan dalam setiap gerak kerja amatlah diperlukan.

    “Sebagai ahli parti, sudah pastinya ini elemen utama yang menjadi intipati yang sekian lama menjadi didikan pada diri saya.

    “Boleh saya sumbangkan kembali kepada parti yang telah banyak berjasa ini. Bukan sahaja kepada orang Melayu malahan keseluruhan rakyat Malaysia,” jelas beliau.

  • Menteri pun boleh lah lantik keluarga jadi penasihat di kementerian, soal Radzi

    Menteri pun boleh lah lantik keluarga jadi penasihat di kementerian, soal Radzi

    BEKAS Menteri Pendidikan Datuk Dr .Radzi Jidin hari ini mempersoalkan sama ada pelantikan keluarga pemimpin negara akan menjadi kebiasaan baharu dalam tadbir urus kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

    Beliau mengaitkan pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat ekonomi dan kewangan oleh bapanya yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kira-kira sebulan lalu.

    Malah menurutnya, ada yang berpendapat tidak salah melantik Nurul Izzah ke jawatan itu kerana tidak diberi gaji.

    Dr. Radzi berkata sekiranya alasan itu digunakan maka Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan menteri-menteri lain juga boleh melantik ahli keluarga mereka menjadi penasihat tanpa gaji di kementerian masing-masing.

    “Ada yang menyatakan bahawa “Nurul Izzah bukan terima gaji pun sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada ayahnya di Kementerian Kewangan. Jadi, apa salahnya?”.

    “Sekiranya itu hujah yang digunakan, adakah bermakna selepas ini Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri boleh melantik anak isteri mereka sebagai penasihat tanpa gaji di kementerian masing-masing atas pelbagai justifikasi?

    “Adakah ini akan menjadi kebiasaan baharu dalam tadbir urus kerajaan?,” kata ahli Parlimen Putrajaya itu dalam kenyataan hari ini lapor Agenda Daily.

    Tindakan Anwar mengangkat Nurul Izzah sebagai penasihat beliau secara diam-diam menerima kecaman, walaupun setelah lebih sebulan baharu Ahli Parlimen Tambun itu mengakui berbuat demikian.

    Itupun, setelah Nurul Izzah sendiri mengesahkannya dalam satu temu bual dengan media.

    Tindakan Anwar melantik ‘puteri reformasi’ itu juga dilihat membelakangkan ‘kepakaran’ Menteri Ekonomi yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

    Sejak laporan berhubung pelantikan tersebut, reaksi orang ramai sama ada dalam media sosial dan juga orang politik khususnya adalah sangat negatif, malah tidak kurang juga pelbagai sindiran sinis dibuat terhadap kerajaan campuran.

    Tidak kurang juga terdapat dikalangan orang ramai memainkan semula istilah ‘nepotisme’ yang popular sebelum ini di bibir Anwar dalam ceramahnya ketika mengkritik lawan politiknya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan UMNO (sebelum menjadi sekutu politik).

    Bagi anak muda, bait-bait ‘nepotisme’ mungkin sudah jarang kedengaran sekarang sejak Pakatan Harapan (PH) ‘berkahwin’ dengan UMNO, tetapi bagi orang politik yang ‘season’ atau lama, itu adalah kata-kata yang amat sinonim dengan Anwar.

  • Bukan persoal kelayakan Nurul Izzah tapi Anwar langgar janji

    Bukan persoal kelayakan Nurul Izzah tapi Anwar langgar janji

    RAKYAT tidak mempersoalkan kelayakan serta merit dimiliki Nurul Izzah Anwar yang dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga bapa kepada Nurul Izzah.

    Sebaliknya kata Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman, pelantikannya melanggar reformasi institusi dilaungkan bapanya itu.

    “Yang dipersoalkan adalah elemen ‘conflict of interest’, prinsip asas dalam etika urus tadbir yang telah dikompromi, di samping janji reformasi institusi yang dilanggari,” katanya yang juga Setiausaha politik kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Beliau berkata, di Indonesia, Presiden Jokowi melantik tujuh anak muda sebagai penasihat di Pejabat Presiden dan melantik Menteri Kewangan yang disegani dunia, namun di Malaysia sebaliknya.

    “Di negara madani, Perdana Menteri melantik dirinya sebagai menteri kewangan, dan melantik anaknya sebagai penasihat ekonomi dan kewangan kepada dirinya,” katanya dalam Facebook miliknyam hari ini.

    Menjawab kritikan pelbagai pihak, Anwar Ibrahim semalam menjelaskan pelantikan Nurul Izzah dibuat kerana beliau berkelayakan.

    Anwar berkata, ini kerana anaknya itu mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat, sekali gus dilantik bagi membantunya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan.

    Syahir berkata, dalam keadaan ekonomi negara berdepan masalah defisit fiskal semakin menjurang, Anwar tidak boleh membuka ruang kepada defisit kepercayaan yang semakin melebar dalam kalangan rakyat dan pelabur.

    Katanya, Anwar boleh menaruh kepercayaan terhadap rakannya daripada UMNO yang kini menjawat Timbalan Perdana Menteri 1 (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan Timbalan Menteri Kewangan 1 (Datuk Seri Ahmad Maslan).

    Jelasnyam, mereka dilihat memadai untuk membantu dan menasihati beliau dalam urusan kewangan dan ekonomi.

    “Demokrasi, reformasi dan integriti adalah tunjang bagi pembentukan sebuah negara madani, perlukan komitmen dan tindakan, bukan slogan,” katanya, lapor FMT.

  • Budak lelaki jatuh tingkat 11 meninggal dunia

    Budak lelaki jatuh tingkat 11 meninggal dunia

    KANAK-kanak lelaki berusia 12 tahun yang terjatuh dari tingkat 11, Rumah Pangsa Larkin di Jalan Garuda Johor Bahru lewat petang semalam meninggal dunia tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kanak-kanak berkenaan menghembus nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi lapor BH.

    Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak 12 tahun patah tangan kiri selepas terjatuh dari tingkat 11 kediaman berkenaan.

    Pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada 7.31 malam tadi.

    Kanak-kanak itu ditemukan tersangkut di bumbung kedai ditingkat bawah selepas terjatuh dari tingkat 11 bangunan terbabit.

    Anggota bomba membawa turun mangsa yang mengalami patah tangan kiri dengan pengusung dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dibawa ke HSA.

  • Perbicaraan 1MDB ditangguhkan susulan kematian Gopal Sri Ram

    Perbicaraan 1MDB ditangguhkan susulan kematian Gopal Sri Ram

    MAHKAMAH Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak selepas Ketua Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram meninggal dunia semalam.

    Ini bagi membolehkan mereka memberi penghormatan terakhir dan menghadiri upacara pengebumian mendiang yang akan berlangsung pada Selasa.

    Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu, Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika perbicaraan bermula pagi ini, dan meminta kes itu disambung semula pada Khamis memandangkan Rabu adalah cuti umum sempena Hari Wilayah Persekutuan.

    Sri Ram dilantik sebagai pendakwa ad hoc dan mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB Najib serta perbicaraan laporan audit 1MDB bekas Perdana Menteri itu dan Arul Kanda Kandasamy.

    Beliau juga memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan perlu membincangkan dan mengagihkan semula skop tugasnya berikutan kematian secara mengejut Sri Ram.

    Peguam, Tan Sri Muhammad Shafiee Abdullah juga menyampaikan ucapan takziah bagi pihak pasukan pembelaan Najib.

    Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan dijangka menyelesaikan pemeriksaan balas terhadap bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu, menjelang akhir minggu ini.

    Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dakwaan penyalahgunaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014 lapor Astro Awani.

  • Lantik Nurul Izzah salah dari segi moral – Hassan Karim

    Lantik Nurul Izzah salah dari segi moral – Hassan Karim

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegur pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan kewangan dan ekonomi Perdana Menteri.

    Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, ketika penyokong Pakatan Harapan (PH) itu bertanya padanya berkaitan perkara itu, dia menjawab:

    “Legally right but morally wrong. (Betul dari segi undang-undang tetapi salah daripada segi moral.)”

    Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini mempersoalkan tadbir urus Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ‘segala macam jawatan lantikan bertaraf penasihat’ ketika pembentukan Kabinet lebih kecil.

    Jawatan itu juga didakwa bercanggah dengan kedudukan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

    Badan pemikir Pusat Pendidikan Pasaran (CME) pula berkata, Nurul Izzah tidak mempunyai latar belakang khusus dalam ekonomi atau kewangan.

    Menurut CME, walaupun kepakaran tidak diperlukan untuk peranan politik seperti menteri kabinet, ia perlu bagi jawatan penasihat dan kaunselor.

    Anwar kelmarin mempertahankan kelayakan anak sulungnya itu untuk menjadi penasihat tidak bergaji dalam soal ekonomi dan kewangan.

    Perdana Menteri berkata, selain memegang ijazah sarjana muda kejuruteraan, Nurul Izzah juga memiliki ijazah sarjana dalam bidang dasar awam dari Johns Hopkins School of Advanced International Studies.

    Anwar yang turut memegang portfolio kewangan berkata, beliau juga tiada kelayakan formal dalam bidang itu, begitu juga dengan ramai pemimpin yang pernah memegang jawatan menteri.

    Anwar merupakan pelajar jurusan Pengajian Melayu ketika menuntut di Universiti Malaya.