Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bekas guru mengaku tak bersalah cederakan guru

    Bekas guru mengaku tak bersalah cederakan guru

    SEORANG bekas guru Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka hari ini atas tuduhan mencederakan guru wanita lain sehingga parah, September lepas.

    Nurul Hidayah Khairuddin, 24, dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Nurul Nadirah Ahmad Ropei, 24, di dalam sebuah kelas Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Taman Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2.40 petang 28 Sept 2022.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha mencadangkan jaminan RM3,000 dikenakan terhadap tertuduh.

    Nurul Hidayah yang diwakili peguam Mohd Fahmy Mohd Sulaiman bagaimanapun memohon agar jaminan rendah diberikan atas alasan dia telah diberhentikan selepas kejadian itu.

    Majistret Mazan Sinin membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dan menetapkan 13 Mac ini untuk sebutan semula kes.

  • Keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya Parlimen Masjid Tanah ditangguh 7 Februari

    Keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya Parlimen Masjid Tanah ditangguh 7 Februari

    MAHKAMAH Tinggi Melaka hari ini menangguhkan keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    Lapor Astro Awani, Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menetapkan 7 Februari ini sementara mendapatkan hujahan tambahan daripada peguam, Mohd Faizi Che Abu yang mewakili Mas Ermieyati dan peguam Rosfinah Rahmat yang mewakili calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid.

    Hujahan tambahan adalah berkaitan interpretasi rasuah, urusan stem guaman dan pelantikan ejen pilihan raya oleh calon yang bertanding.

    Anselm Charles sebelum ini menetapkan hari ini untuk keputusan bantahan awal petisyen berkenaan.

    Ia selepas, Abdul Hakim pada 3 Januari lalu dilaporkan memfailkan petisyen itu atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15.

    Bantahan awal yang difailkan oleh Mas Ermieyati sebagai responden, antara lain mendakwa petisyen tersebut difailkan di luar waktu ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Selain itu, Abdul Hakim selaku pempetisyen didakwa melakukan kesilapan kerana tidak menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam petisyen tersebut.

    Pada PRU15 lalu, Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman daripada parti Muda dan Handrawirawan Abu Nakar daripada Gerakan Tanah Air (GTA).

  • Kerjasama Maritim Malaysia, komuniti nelayan rampas 300 bubu kambang

    Kerjasama Maritim Malaysia, komuniti nelayan rampas 300 bubu kambang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 300 bubu kambang atau bubu naga dirampas dalam operasi khas dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kedah bersama komuniti nelayan di beberapa lokasi sepanjang perairan Pantai Murni, Yan hingga ke Tanjung Dawai di Merbok, Kedah awal pagi semalam.

    Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd. Nadzir berkata, operasi khas itu dilaksanakan berdasarkan aduan awam di lokasi berkenaan yang kerap diterima Maritim Malaysia.

    Katanya, sepuluh lokasi rampasan bubu naga itu adalah di sekitar 1.3 hingga 1.9 batu nautika merangkumi kawasan perairan Pantai Murni hingga ke perairan Tanjung Dawai.

    10 lokasi rampasan bubu naga itu adalah di sekitar 1.3 hingga 1.9 batu nautika merangkumi kawasan perairan Pantai Murni hingga ke perairan Tanjung Dawai.

    “Semasa rondaan dilakuan, anggota bot ronda Maritim Malaysia menemukan pelampung penanda dan pancang kayu mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran 10 meter panjang.

    “Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai RM36,000 dan dibawa ke Jeti Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, penggunaan bubu naga semakin berleluasa sejak kebelakangan ini dan kegiatan itu perlu dicegah bermula di peringkat penjualan oleh pihak berwajib.

    Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai RM36,000 dan dibawa ke Jeti Maritim Kuala Kedah

    “Jika sekadar mengharapkan kepada usaha merampas bubu itu saja, tindakan itu tidak terlalu memberi kesan kerana bubu tersebut masih boleh dibeeli di pasaran dengan harga murah termasuk melalui dalam talian,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut mengingatkan komuniti nelayan agar mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan seperti diperuntukan.

    “Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang Persekutuan dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

    “Sebarang aduan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Lelaki ditahan perdaya urusan perkhidmatan pembersihan rumah tidak wujud melalui Facebook

    Lelaki ditahan perdaya urusan perkhidmatan pembersihan rumah tidak wujud melalui Facebook

    SEORANG lelaki berusia 20-an ditahan polis Pulau Pinang di Taman Mewah, Kemunting, Perak semalam kerana disyaki memperdaya mangsa dalam urusan perkhidmatan pembersihan rumah yang tidak wujud melalui Facebook.

    Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kerugian yang dialami mangsa penipuan suspek lelaki berusia 20-an itu adalah sekitar RM113,238.

    Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Dalam pada itu, kenyataan tersebut menambah, polis menasihatkan agar orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara atau Macau dan Love Scam serta parcel scam melalui media sosial.

    “Pihak polis juga menyarankan supaya orang ramai membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM melalui link https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau juga boleh memuat turun di aplikasi Google Play semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, kenyataan itu memaklumkan, polis turut menahan seorang wanita berusia 23 tahun kerana disyaki menjadi ejen jualan yang menjalankan urusan jual beli barang kemas yang tidak wujud melalui atas talian.

    Ujarnya, suspek ditahan di Taiping, Perak melibatkan kes yang dilaporkan pada 6 Februari 2022.

    “Hasil semakan lanjut mendapati suspek ialah ejen jualan yang berurusan dengan mangsa dalam urusan penjualan barangan kemas yang tidak wujud melalui atas talian,” katanya.

    Tambah kenyataan itu, suspek juga telah membuat ugutan kepada mangsa untuk membatalkan pembelian dan semua wang pembayaran tidak akan dipulangkan jika mangsa tidak membuat pembayaran pada masa ditetapkan.

    “Jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah RM39,600 dan kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Kenapa lantik Nurul Izzah sedangkan anda bantah nepotisme, TI-M tanya Anwar

    Kenapa lantik Nurul Izzah sedangkan anda bantah nepotisme, TI-M tanya Anwar

    PRESIDEN Transparency International Malaysia (TI-M) mempersoalkan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya, Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan perdana menteri sedangkan beliau menentang nepotisme.

    Muhammad Mohan berkata, Anwar sentiasa bercakap mengenai nepotisme dan kronisme, oleh itu pelantikan Nurul Izzah tidak baik untuknya.

    Walaupun beliau menganggap Nurul Izzah berintegriti, tetapi katanya, persepsi yang timbul daripada pelantikannya ialah nepotisme sudah “kembali”.

    “Saya dipanggil ke Parlimen dua tahun lalu untuk menjelaskan mengapa 71% rakyat Malaysia merasakan rasuah dalam kerajaan merupakan masalah. Daripada semua Ahli Parlimen yang bertanya soalan, beliau satu-satunya orang yang peka dan tanya soalan sangat baik.

    “Nurul Izzah adalah individu sangat berharga kepada negara, tetapi hanya pelantikan oleh bapanya yang menjadi isu,” katanya lapor FMT.

    Muhammad berkata, ia tidak akan menjadi isu jika naib presiden PKR itu dilantik ke kementerian lain.

    Beliau berharap Anwar akan bertindak balas terhadap kritikan dan gesaan untuk beliau membatalkan pelantikan Nurul Izzah secepat mungkin.

    Nurul Izzah merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai selama dua penggal (2008-2018) dan Ahli Parlimen Permatang Pauh selama satu penggal. Beliau gagal mempertahankan kerusi Permatang Pauh pada PRU15, selepas tewas kepada calon Perikatan Nasional.

  • Indeks persepsi rasuah Malaysia terus menurun

    Indeks persepsi rasuah Malaysia terus menurun

    TRANSPARENCY International-Malaysia (TI-M) berkata, Malaysia sekali lagi mencatatkan penurunan mata dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI 2022).

    Dalam laporan terbaharunya, TI-M mendedahkan Malaysia hanya mendapat mata CPI 47, tahun lalu.

    Ini bermakna, negara merekodkan penurunan enam mata dalam CPI tahunan Transparency International, sejak tiga tahun lalu.

    Pada 2019, Malaysia mencatat mata CPI 53, namun berkurang kepada 51, pada 2020 dan 48, pada 2021.

    Bagaimanapun, Malaysia meningkatkan ranking dalam kalangan 180 negara, menokok satu ranking kepada 61, pada 2022.

    Peningkatan itu dicatat berbanding ranking 62, pada 2021.

    Pada 2020, Malaysia berada pada ranking 57, menurun daripada ranking 51, pada 2019.

    Mengambil kira penurunan mata terbaharu, Malaysia berada di belakang Arab Saudi, Namibia dan Mauritius. Singapura satu-satunya negara di rantau Asia Tenggara berjaya berada di ranking 10 teratas di dunia, dengan 83 mata.

    Presiden Transparency International Malaysia Muhammmad Mohan berkata, penekanan perlu diberikan terhadap mata CPI diperoleh, berbanding ranking.

    “Ranking boleh naik turun, tapi mata indeks lebih penting untuk dilihat,” katanya dalam sidang media di ibu negara, lapor Free Malaysia Today.

  • CAP gesa bekas polistirena tidak digunakan ketika sambutan Thaipusam

    CAP gesa bekas polistirena tidak digunakan ketika sambutan Thaipusam

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru pihak pengurusan semua kuil di negara ini yang menyambut perayaan Thaipusam supaya tidak menggunakan bekas makanan polistirena di persekitaran kuil mereka ketika menghidangkan makanan kepada para penganut.

    Pegawai Penyelidik CAP, N. V. Subbarow berkata, semasa Thaipusam, pelbagai pertubuhan amal menyediakan makanan percuma sebagai ‘Anna Thanam’ yang mana kebanyakan mereka menggunakan bekas diperbuat daripada polistirena ketika menghidangkan makanan percuma itu.

    Ujar beliau, pinggan dan cawan polistirena digunakan secara meluas untuk menghidangkan makanan dan minuman kepada para penganut dengan alasan lebih mudah untuk disediakan bagi menguruskan orang ramai.

    “Disebabkan inilah maka banyak sampah polistirena yang dihasilkan setiap tahun.

    “Penggunaan bekas polistirena pakai buang inilah yang menghasilkan sejumlah besar sampah.

    “Sedangkan, ramai yang tidak menyedari hakikat bahawa polistirena mengambil masa sekitar 500 tahun untuk mengurai dalam persekitaran,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Menurut beliau, pembungkusan polistirena biasanya mengandungi beberapa baki stirena kerana proses pembuatannya tidak 100 peratus cekap.

    Ramai yang tidak menyedari hakikat bahawa polistirena mengambil masa sekitar 500 tahun untuk mengurai dalam persekitaran

    Jelasnya, bahan kimia itu boleh berpindah ke dalam makanan apabila ia dalam keadaan baharu dan apabila lama pula ia akan rosak akibat terdedah kepada haba, matahari atau haus.

    “Akhirnya bahan kimia ini diserap pula oleh tubuh dan menimbulkan pelbagai masalah kesihatan.

    “Sampah polisterina ini apabila dibakar boleh mengeluarkan bahan kimia berbahaya yang sekali lagi menimbulkan ancaman kesihatan kepada pengguna,” ujarnya.

    Tambah Subbarow, memandangkan Thaipusam adalah perayaan keagamaan, adalah penting agar para penganut agama itu tidak terdedah kepada bahan kimia berbahaya daripada polistirena.

    “Dengan mengambil kira perkara ini, pihak pengurusan kuil perlu memastikan para penganut dihidangkan dengan makanan dan minuman dalam bekas terbiodegradasikan yang lebih selamat.

    “Para penganut juga boleh memainkan peranan dengan membawa bekas mereka sendiri untuk menerima makanan. Ini secara tidak langsung akan dapat mengurangkan jumlah sampah yang dihasilkan,” katanya.

    Dalam masa ujar beliau, CAP menggesa pihak pengurusan kuil supaya bertegas dengan para pemilik gerai dan mengenakan peraturan yang lebih ketat untuk mengelak pemilik kedai menggunakan pembungkus polistirena atau beg plastik.

    Tegasnya, mereka yang didapati melanggar peraturan itu tidak seharusnya diberi peluang untuk mendirikan gerai mereka sendiri pada Thaipusam yang akan datang.

    “Marilah kita berusaha bersama-sama ke arah Thaipusam yang bebas daripada polistirena dan menggunakan festival ini sebagai platform untuk menyelamatkan dan memupuk kesedaran akan pentingnya untuk menjaga alam sekitar.

    “Ini akan meninggalkan persekitaran yang lebih bersih dan selamat untuk anak-anak kita,” katanya.

  • Pegawai kesihatan dipenjara sehari, denda RM10,000 terima suapan RM5,200

    Pegawai kesihatan dipenjara sehari, denda RM10,000 terima suapan RM5,200

    SEORANG pegawai kesihatan persekitaran dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM5,200 dengan mengesyorkan syarikat milik adiknya berhubung kerja-kerja pembekalan peralatan pada 2016.

    Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Sumardi Yazid, 41, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

    Mengikut kertas pertuduhan, Sumardi yang ketika itu bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran didakwa menerima untuk dirinya suatu barang yang berharga dengan tanpa balasan iaitu wang tunai berjumlah RM5,200 dengan membuat syor memilih syarikat yang dimiliki adiknya bagi melaksanakan kerja membekal peralatan bekalan am.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 8 Mac 2016 di Pejabat Kesihatan Seberang Perai Tengah (SPT) Berapit, Bukit Mertajam.

    Oleh itu, dia telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, peguam tertuduh, Ang Chun Pun memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana tertuduh sudah digantung tugas selain perlu menyara isteri, seorang anak berusia 14 tahun dan ibu mentua yang diserang strok.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee meminta mahkamah menjatuhi hukuman setimpal kerana kesalahan rasuah boleh mendatangkan kerosakan kepada masyarakat sekiranya tidak dibendung.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 yang mana jika denda itu gagal dibayar boleh dipenjara selama lima bulan.

    Difahamkan tertuduh membayar denda itu hari ini.

  • ‘Orang lama’ Reformis pertikai keputusan Anwar lantik Nurul Izzah sebagai penasihat

    ‘Orang lama’ Reformis pertikai keputusan Anwar lantik Nurul Izzah sebagai penasihat

    SEORANG bekas ahli kumpulan pro-Anwar Ibrahim mengkritik langkah perdana menteri itu melantik anaknya, Nurul Izzah, sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan.

    “Persepsinya mudah sahaja, dalam kalangan 32 juta rakyat, tidak adakah orang lain yang boleh menjadi penasihat Perdana Menteri?

    “Kita ada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, tidak cukup lagi,” soal bekas setiausaha Otai Reformis Abdul Razak Ismail.

    Abdul Razak, yang kini Setiausaha Agung Parti Hijau Malaysia, mempersoalkan reaksi Pakatan Harapan (PH) jika Datuk Seri Najib Razak, melantik isterinya, Rosmah Mansor, sebagai penasihat ketika menjadi Perdana Menteri.

    Katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini terpaksa berdepan persepsi membelenggu pelantikan anak perempuannya itu.

    Abdul Razak berkata, ketika menjadi ketua Pembangkang, Anwar juga berdepan persepsi nepotisme ketika isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah menjadi ahli Parlimen.

    “Kini, anda (Anwar) sudah dilantik menjadi perdana menteri dan persepsi itu masih sama,” katanya, lapor FMT.

    Beliau berkata, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, sebaliknya patut menyertai NGO untuk menasihati kerajaan pimpinan bapanya.

    “Itu langkah lebih baik,” ujarnya.

    Pelantikan Nurul Izzah dikecam pembangkang, kumpulan masyarakat sivil, kumpulan pemikir, malah pihak dalam PH sendiri.

    Semalam, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menyifatkan pelantikan itu sebagai “sah di sisi undang-undang, namun salah dari segi moral”.

    Pihak lain berkata, pelantikan terbabit berbaur nepotisme, selain mendakwa Nurul Izzah tidak layak memegang peranan itu walaupun mempunyai dua ijazah.

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendesak Anwar menarik balik pelantikan itu yang dikatakan bertentangan dengan prinsip tadbir urus yang baik.

    Malam tadi, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, belum terlambat bagi Anwar untuk memperbetul kesilapannya sejak menjadi perdana menteri, termasuk berhubung pelantikan Nurul Izzah.

  • Ustaz Abdullah Khairi dakwa digam daripada program ceramah

    Ustaz Abdullah Khairi dakwa digam daripada program ceramah

    PENCERAMAH bebas, Abdullah Khairi Harun mendakwa disekat untuk menyertai program Forum Perdana Ehwal Islam yang akan berlangsung di Masjid Kampung Baru pada 1 Februari ini.

    Perkara itu dikongsikan Abdullah Khairi dalam Instagram miliknya hari ini dengan memaparkan poster beliau dipangkah.

    Menerusi poster tersebut, program itu turut menjemput penceramah lain seperti Haslin Baharin yang dikenali sebagai ustaz Bollywood dan Datuk Mohd. Izhar Arif Kashim dan dihoskan Zakaria Othman.

    Abdullah Khairi memaklumkan beliau ‘digam’ untuk dua program termasuk Forum Perdana berkenaan.

    Beliau juga sempat menyindir pihak terlibat yang disifatkan takut kepada bayang-bayang, bagaimanapun tidak menyatakan sebab dirinya disekat.

    “Dua program dah kena gam! Haaaa takut pada bayang bayang. Dua bulan aku di Mekah (Rezeki itu tetap ada, biarpun bukan di Malaysia, namun di negara luar iaitu Arab Saudi).

    “Masjid Kampung Baru Kuala Lumpur (KL) dan Masjid Al Najihin KL – bye bye (selamat tinggal)!,” katanya, lapor Sinar Harian.