Author: Wartawan WartaRakyat

  • Orang Melayu sudah ‘move on’ daripada UMNO – KJ

    Orang Melayu sudah ‘move on’ daripada UMNO – KJ

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, orang Melayu kinj sudah punyai pilihan lain sebagai sandaran untuk pembelaan serta perjuangan bangsa dan agama.

    “Mereka tidak lagi menganggap bahawa isu tersebut tak akan dibela tanpa ada UMNO dan orang Melayu sudah mencari wadah lain yang boleh memperjuangnya,” ujar bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

    Katanya lagi, disebabkan
    itu beliau tetap menegaskan bahawa untuk UMNO kekal relevan, parti itu harus membuka pertandingan di setiap peringkat terutamanya jawatan Presiden.

    “Kalau yang menang itu Zahid, Zahid lah, tapi kena ada mandat sebab tanpa mandat daripada ahli, bagaimana kita nak jelaskan kepada rakyat terutama orang Melayu bahawa kita mahu bawa perubahan?

    “Sedangkan orang Melayu sekarang ini pun kata “alah kalian pun tak berani nak adakan pemilihan untuk Presiden dan Timbalan Presiden, tak berani nak bawa perubahan, tak berani nak beri hak kepada ahli untuk memilih pemimpin, apa perubahan yang kalian katakan,” soalnya.

    Pada masa sama menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak merajuk dengan UMNO walaupun parti yang disayanginya itu telah menyingkirkannya.

    Jelas Khairy, rakan-rakannya masih berada dalam Majlis Tertinggi parti itu malah ramai dalam kalangan mereka mempertahankannya dan bersuara tidak setuju dengan pemecatan beliau.

    “Tapi itu prerogatif Presiden lah,” katanya dalam program Agenda AWANI semalam.

  • Tun Faisal dipecat UMNO berkuat kuasa serta-merta

    Tun Faisal dipecat UMNO berkuat kuasa serta-merta

    BEKAS Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

    Lapor Berita Harian, Tun Faisal memaklumkan ibu pejabat UMNO menghubungi pihaknya pada pukul 4.28 petang tadi dan menghantar surat pemecatan itu melalui aplikasi WhatsApp.

    Tun Faisal yang juga bekas Setiausaha Akhbar Tan Sri Annuar Musa turut berkongsi surat pemecatan itu yang ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, bertarikh 27 Januari lalu menerusi akaun Facebooknya.

    Mengikut surat itu, dimaklumkan bahawa pemecatan Tun Faisal dibuat berkuat kuasa serta-merta selepas ia diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 5 Januari dan Jumaat lalu.

    Tindakan itu dibuat berikutan Tun Faisal dikesan melanggar etika ahli UMNO berdasarkan perlembagaan parti.

    Tun Faisal yang sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepemimpinan UMNO berkata, pihaknya tidak bercadang untuk membuat rayuan kerana mendakwa MKT dan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak terbuka menerima kritikan.

    Beliau bagaimanapun menegaskan, ‘penentangan’ yang dilakukannya selama ini bukanlah terhadap UMNO itu sendiri namun lebih kepada kepemimpinan dan individu.

    “Bagi saya UMNO dan BN itu tiada masalah dan jelas prinsip perjuangannya tetapi yang bermasalah itu adalah pemimpinnya, seperti Ahmad Zahid yang menjadi punca perpecahan di dalam UMNO sebaik beliau mengkhianati dasar parti dan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 dengan menandatangani akuan bersumpah (SD) dan surat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

    “Itu adalah punca perpecahan di dalam UMNO sejak 2020. Saya tidak dapat menyokong Ahmad Zahid disebabkan pengkhianatan ini dan penentangan saya terhadap beliau bermulanya daripada terbongkarnya pengkhianatan terbabit,” katanya.

    Pada masa sama, Tun Faisal turut melahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan UMNO selama ini dalam memajukan rakyat dan negara.

    Malah katanya, beliau akan meneruskan perjuangan Islam dan ummah namun dalam kapasiti dan wadah yang lain di luar UMNO.

    UMNO dalam ‘pembersihan’ parti itu sebelum ini bertindak memecat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

    Selain itu, mesyuarat MKT Jumaat lalu turut menggantung keahlian beberapa pemimpin antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

  • Struktur haram di siar kaki tular dirobohkan MBPG

    Struktur haram di siar kaki tular dirobohkan MBPG

    PENGHADANG laluan pejalan kaki yang dibina seorang pemilik premis di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang hingga tular dalam media sosial sejak semalam akhirnya dirobohkan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

    Menurut Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman, MBPG terpaksa mengambil tindakan tegas itu selepas pemilik premis berkenaan enggan mematuhi notis yang diberikan sejak dua minggu lalu.

    “MBPG sudah memberikan dua notis kepada pemilik premis berkenaan. Pertama kita berikan minggu lalu tetapi ingkar sebaliknya terus mengekalkan struktur binaan berkenaan.

    “Kemudian kita berikan notis sekali lagi untuk mengarahkan merobohkan binaan tersebut, namun mereka abaikan dan setelah cukup tempoh 14 hari, kita ambil tindakan tegas, kita robohkan pagi tadi,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara empat PBT Greater JB dan Persatuan Profesional Johor (Decco+) di Ibu Pejabat MBJB hari ini.

    Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.

    Mengulas lanjut, Asman Shah berkata, pihak MBPG akan memanggil pemilik premis untuk diberi penerangan berkenaan struktur tambahan yang dibenarkan dan tidak dibenarkan.

    Katanya, pihaknya menyedari terdapat segelintir pemilik premis yang melanggar undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) namun enggan terus mengenakan tindakan tegas seperti saman dan sebagainya.

    “Sebagai contoh lokasi berkenaan memang laluan umum, kita tidak pernah galakkan pemilik premis buat seperti itu kerana memang tidak munasabah.

    “Oleh itu, kita juga perlukan maklum balas positif daripada pihak umum, namun biarlah ia adil dan jujur kerana terdapat beberapa permasalahan yang diutarakan adalah di luar bidang kuasa MBPG,” katanya.

    Sebagai contoh kata Asman Shah, aduan kerosakan di Lebuhraya Pasir Gudang kerana berada di bawah seliaan kerajaan Persekutuan.

    “Namun permohonan telah dibuat agar satu kerjasama dapat dijalinkan antara pusat dan kerajaan negeri bagi membolehkan kita membantu kerja-kerja penyelenggaraannya,” tambahnya, lapor Sinar Harian.

  • Cuaca buruk, 66 penumpang pesawat Firefly berdepan detik cemas

    Cuaca buruk, 66 penumpang pesawat Firefly berdepan detik cemas

    SEBANYAK 66 penumpang dan empat kru pesawat penerbangan Firefly berdepan detik cemas selepas berdepan cuaca buruk sebelum ia dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di Johor, hari ini.

    Syarikat penerbangan Firefly berkata, pesawat Firefly FY3124 tersebut dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB), Subang, Selangor ke Lapangan Terbang Seletar (XSP), Singapura.

    Katanya, pesawat itu berlepas dari SZB pada pukul 7.20 pagi dan dijadual tiba di SXP pada 8.40 sebelum mengalami gangguan tersebut.

    “Walau bagaimanapun, pesawat tersebut telah dilencongkan ke LTAS dekat sini sementara menunggu cuaca reda sebelum membuat penerbangan semula ke Seletar.

    “Seramai 66 orang penumpang, termasuk seorang bayi berserta empat orang anak kapal berada dalam pesawat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Pihak Firefly dalam pada itu mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua penumpang atas kesabaran mereka sehingga selamat sampai.

    “Keselamatan penumpang dan anak kapal sentiasa menjadi keutamaan kami dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Terdahulu tular video dalam pesawat berkenaan yang berdepan cuaca buruk dan penerbangan terpaksa dilencongkan.

  • Edar dadah dalam kompleks penjara, warden ke tali gantung

    Edar dadah dalam kompleks penjara, warden ke tali gantung

    SEORANG warden penjara dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis dan methamphetamine dengan berat keseluruhan 410.07 gram (g) di kompleks penjara, empat tahun lepas.

    Hakim Nurulhuda Nur’aini Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Elmy Arif Hamid, 40, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berkenaan.

    Mohd Elmy Arif didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Penjara Sungai Buloh, Sungai Buloh pada 11 pagi, 18 Jun 2019 mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

    Tertuduh turut didapati bersalah bagi empat pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah iaitu heroin (4.25g), monoacetylmorphines (1g), etilzolam (38.67g) dan clozapine (50.80g) di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

    Bagi empat kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan bagi kesalahan memiliki heroin, masing-masing penjara satu tahun (monoacetylmorphines dan etilzolam) serta penjara enam bulan (clozapine).

    Nurulhuda Nur’aini turut memerintahkan hukuman pemenjaraan tersebut berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 18 Jun 2019.

    Seramai sembilan saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh, telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak 24 Ogos 2021.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim manakala Mohd Elmy Arif diwakili peguam Zameri Mat Nawang. – BERNAMA

  • Lemas setelah jatuh ke sungai ketika menjala

    Lemas setelah jatuh ke sungai ketika menjala

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki meninggal dunia setelah terjatuh ketika menjala ikan di sungai Kampung Batu 6, Jalan Sanglang, Kedah hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolonng Kanan Penguasa Bomba, Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pukul 4.59 petang.

    “Setibanya di lokasi, pihak bomba terus menjalankan pencarian di permukaan dengan dibantu penduduk kampung.

    “Mangsa kemudiannya ditemukan penduduk kampung kira-kira pukul 5.39 petang dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • Lantikan Nurul Izzah bukan nepotisme, kata Anwar

    Lantikan Nurul Izzah bukan nepotisme, kata Anwar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pelantikan anaknya Nurul Izzah sebagai penasihat kanannya dengan mengatakan ia tidak melibatkan nepotisme.

    “Nepotisme adalah di mana (ahli keluarga) diberi kedudukan untuk menyalahgunakan kuasa, memperkayakan diri, mendapatkan kontrak dan mendapat bayaran yang besar.

    “Ini tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Sukan Negara di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, hari ini.

    Anwar turut menyelar pengkritiknya dengan berkata, bekas perdana menteri dan menteri yang memberikan ahli keluarga mereka “ratusan juta hingga 1 bilion” kontrak sebagai tidak layak untuk bercakap mengenai ketelusan.

    Katanya, peranan Nurul Izzah adalah untuk membantu bagi memastikan projek dan tender kerajaan dilakukan dengan teratur.

    “Saya nak beri jaminan, pentadbiran kita Insya-Allah walaupun ada yang kurang puas hati tentang itu (pelantikan Nurul Izzah) kita akan tentang rasuah, tidak akan salah guna kuasa dan memperkayakan mana-mana pegawai atau pemimpin,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Terdahulu Transparency International Malaysia (TI-M) mempersoalkan keputusan Anwar melantik Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan walaupun pendiriannya menentang nepotisme.

    Presiden TI-M, Muhammad Mohan, berkata perdana menteri sentiasa bercakap menentang amalan nepotisme dan kroni, jadi keputusan itu tidak kelihatan baik untuk beliau.

    Walaupun beliau menganggap Nurul Izzah sebagai seorang yang berintegriti, Muhammad berkata persepsi yang timbul daripada pelantikan itu menunjukkan nepotisme sudah “kembali”.

    Tambah Muhammad ia mungkin tidak menjadi isu jika naib presiden PKR itu menjadi penasihat di kementerian lain.

    Beliau berharap Anwar akan bertindak terhadap kritikan itu dan menggesa beliau membatalkan pelantikan Nurul Izzah secepat mungkin.

    Nurul Izzah pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai selama dua penggal (2008-2018) dan Ahli Parlimen Permatang Pauh selama satu penggal.

    Beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen itu apabila tewas kepada calon Perikatan Nasional pada PRU15.

  • Terima surat tapi tak diberi sebab gantung, kata Hishammuddin

    Terima surat tapi tak diberi sebab gantung, kata Hishammuddin

    AHLI Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendedahkan beliau tidak diberi sebab dan alasan mengapa UMNO mengggantung keahliannya selama enam tahun.

    Bekas naib presiden UMNO menyatakannya selepas menerima surat penggantungan daripada Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini.

    “Baru sahaja menerima surat rasmi bertarikh semalam berhubung penggantungan keahlian UMNO saya. Tiada sebab penggantungan dinyatakan,” katanya di Facebook lapor FMT.

    Surat itu turut dimuat naik di Facebooknya.

    Surat bertarikh 30 Jan dihantar Ahmad itu hanya menyatakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memutuskan penggantungan keahlian UMNO Hishammuddin selama enam tahun bermula 27 Jan lalu.

    “Adalah dimaklumkan bahawa mesyuarat MKT pada 27 Jan 2023 telah memutuskan bahawa YB (Hishammuddin) digantung hak-hak keahlian dalam parti bawah Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 Perlembagaan UMNO kerana tindakan YB melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO,” kata Ahmad menerusi surat rasmi kepada Hishammuddin.

    Sebelum ini UMNO memaklumkan bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan bekas ketua UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dipecat atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan parti kerana kesalahan ketika PRU-15.

    Sementara itu, Ahmad berkata keahlian Hishammuddin, bekas ketua penerangan Shahril Hamdan, bekas Ahli Parlimen Jempol Salim Sharif dan pemimpin UMNO Tebrau Maulizan Bujang digantung selama enam tahun.

  • Belasah bapa dengan kayu, lelaki dipenjara enam tahun

    Belasah bapa dengan kayu, lelaki dipenjara enam tahun

    SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan memukul bapanya berusia 71 tahun menggunakan sebatang kayu.

    Tertuduh, Yaumiheris Nordin, 42, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap bapa kandungnya, Nordin Dengker, 71, dengan memukul bahagian muka dan badan mangsa menggunakan sebatang kayu.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Paya Keladi, Kampung Bukit Darat dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 7 malam, 26 Januari lalu.

    Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

    Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius dan mangsa merupakan bapa kandungnya sendiri.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman terhadapnya dikurangkan.

    Hakim Mohd. Sabri kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan dari tarikh ditangkap pada 27 Januari lalu.

    Dalam prosiding berasingan, tertuduh juga mengaku bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman atas pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut bapanya dengan mengacukan parang.

    Bagi kesalahan itu dia turut dijatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh ditangkap lapor Astro Awani.

  • Bersatu tuntut Anwar jelaskan berapa ramai lantikan rahsia dibuat

    Bersatu tuntut Anwar jelaskan berapa ramai lantikan rahsia dibuat

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menuntut agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera menyatakan berapa ramai lantikan rahsia telah dibuat dan siapa lagi yang dilantik secara senyap-senyap.

    Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan turut meminta agar Anwar menjelaskan mengapa pelantikan anaknya, Nurul Izzah dirahsiakan.

    “Selain itu Anwar juga mesti jelaskan apa bidang kuasa yang diberikan kepada Nurul Izzah.

    “Kalau tidak kerana Nurul Izzah terlepas cakap, satu Malaysia termasuklah penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak tahu mengenai pembohongan Anwar yang kononnya menentang kronisme, tetapi secara rahsia melantik anaknya sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya, Malaysia sehingga kini melahirkan ramai pakar ekonomi dan kewangan tersohor tetapi tidak dipilih oleh Anwar.

    “Kita ada anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Kadazan, anak Iban dan pelbagai lagi. Tapi rupa-rupanya yang dipilih ialah anak Anwar. Untung jadi anak Papa.

    “Apa juga alasan Anwar dah tak relevan. Hakikatnya Anwar mengamalkan nepotisme,” ujar beliau lapor Sinar Harian.

    Tambah Wan Saiful, rakyat bukan mempersoalkan pro bono atau berbayar, tetapi mempertikaikan mengapa melantik anak sendiri.

    “Rakyat pun tahu kuasa ‘Anak Perdana Menteri’ apabila dilantik sebagai penasihat rasmi, adalah kuasa yang besar.

    “Rakyat persoalkan kuasa dan kedudukan yang diberi. Sama ada bergaji atau tidak adalah tidak relevan,” jelasnya.