Author: Wartawan WartaRakyat

  • “Anak beranak jaga perbendaharaan, Malaysia bukan milik Anwar sahaja”

    “Anak beranak jaga perbendaharaan, Malaysia bukan milik Anwar sahaja”

    ENTITI kepimpinan wanita muda dalam Pas, Ameerah Malaysia mempertikai pelantikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri yang juga bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Timbalan Ketua Pengarah 2 Ameerah Malaysia, Ummi Kalsum Ismail berkata, tidak timbul soal mengambil gaji atau tidak, kerana isunya ialah kelayakan Nurul Izzah itu sendiri, sedangkan ramai lagi mereka yang lebih layak memegang jawatan itu.

    Menurutnya, ramai yang kurang faham istilah nepotisme tetapi rakyat tahu bahawa budaya memberi jawatan atau projek kepada anak beranak adalah budaya jijik.

    Beliau menggariskan tiga persoalan utama yang perlu dijawab dalam isu pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kepada bapanya sendiri yang juga PM, walaupun dilakukan tanpa gaji.

    Persoalan itu ialah:

    1. Apakah proses pemilihan yang digunakan dalam menentukan pelantikan Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri Malaysia?
    2. Adakah proses pemilihan ini dilakukan dengan adil dan saksama bagi semua calon yang lebih berkelayakan? dan
    3. Macam mana pemegang Ijazah Kejuruteraan serta Dasar Awam dan Sosial boleh dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan? Layakkah Nurul Izzah?

    “Come on, rakyat Malaysia ada 32.7 juta orang. 69.5 peratus berada dalam kumpulan umur bekerja. Berapa ramai yang ada kelayakan dalam bidang ekonomi ini dinafikan hak hanya kerana mereka bukan berbin atau binti Anwar.

    “Tapi jawapan Anwar mudah, “Nurul Izzah tak terima gaji”.

    “Tidak timbul soal ambil gaji atau tidak, posisi penting Penasihat Kanan Kewangan dan Ekonomi itu perlu dilihat secara profesional dengan fungsinya yang boleh mempengaruhi Perdana Menteri yang juga Menteri Ekonomi.

    “Peranannya besar dan berpengaruh dalam mengurus kekayaan negara. Tindakan melantik anak sendiri ini membuka ruang kepada pelanggaran integriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Ummi Kalsum tindakan tidak bertanggungjawab kerajaan ini perlu dihentikan.

    “Bermula dengan melantik kluster mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri, individu yang kalah sebagai Menteri, Perdana Menteri memegang dua jawatan penting dan sekarang melantik anak sendiri adalah permulaan yang akan membawa kepada kerosakan yang lebih besar.

    “Pentaksub Perdana Menteri ke-10 dan Pakatan Harapan akan mengeluarkan seribu satu hujah bagi membenarkan segala perbuatan ini namun ia tetap tidak dapat menafikan keburukan nepotisme kepada negara,” katanya.

    Beliau mempersoalkan apakah nasib Malaysia jika budaya ini diteruskan, sedang negara ini adalah milik semua, bukan Anwar semata-mata.

    “Rakyat perlu bersuara agar perkara ini tidak menjadi suatu kebiasaan yang merosakkan,” katanya, lapor Agenda Daily.

  • SPRM sahkan beku akaun Parti Bersatu

    SPRM sahkan beku akaun Parti Bersatu

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan membekukan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Beliau berkata, pembekuan akaun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut.

    Menurutnya, ia juga bagi menyiasat beberapa sumbangan yang ditafsir sebagai suapan atau rasuah melibatkan parti tersebut.

    “Kita membekukan bagi membolehkan siasatan dijalankan yang kita klasifikasikan wang diterima secara rasuah atau ditafsir sebagai suapan.

    “Pembekuan itu dibuat sehingga siasatan selesai,” katanya kepada Astro AWANI.

    Difahamkan, pembekuan akaun Bersatu itu ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.

    Disember lalu, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan COVID-19 daripada Kementerian Kewangan.

    SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan kini adalah terarah kepada RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion.

  • GPS, DAP bertikam lidah projek tiang bendera RM30 juta

    GPS, DAP bertikam lidah projek tiang bendera RM30 juta

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) dan GPS bertikam lidah secara terbuka berhubung rancangan kearjaan negeri untuk mendirikan tiang bendera tertinggi di Malaysia.

    Walaupun GPS dan DAP adalah sekutu di peringkat Persekutuan, GPS menguasai kerajaan negeri manakala DAP di pihak pembangkang.

    Projek tiang bendera setinggi 99 meter itu disifatkan kerajaan negeri sebagai sebahagian usaha berterusan untuk meningkatkan keindahan Tebingan Kuching.

    Namun, memandangkan kosnya memakan belanja RM30 juta, DAP dan sejumlah pihak lain menyifatkan wang tersebut lebih baik dimanfaatkan untuk kemudahan awam.

    Semalam, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah menuduh bantahan pembangkang bermotifkan politik.

    Katanya, projek itu yang bersempena ulang tahun ke-60 kemerdekaan Sarawak, akan dibiayai sebuah syarikat swasta sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR).

    Abdul Karim berkata projek sebelum ini di Tebingan Kuching seperti Jambatan Darul Hana dan pancuran air berirama di situ juga menerima bantahan, namun kini tidak lagi.

    “Kita mesti tahu menghargai, bukan semua duit (hasil negeri) digunakan untuk membuat sekolah, hospital dan jalan raya sahaja, kalau (kita) ada hasil lebih tidak salah digunakan bagi membangunkan prasarana lain bagi mencantikkan bandar raya Kuching.

    “Sudah tentu, saya juga tidak akan bersetuju (infrastruktur lain dibangunkan) kalau Sarawak negeri miskin, kalau rakyat Sarawak masih dalam keadaan susah… memang keutamaan patut diberikan kepada isu ini,” katanya seperti dipetik Utusan Borneo.

    Menurut Borneo Post, tiang bendera itu akan didirikan berdekatan bangunan DUN Sarawak dengan ketinggian lebih empat meter berbanding tiang bendera tertinggi negara pada masa ini, yang terletak di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

    Dalam kenyataan semalam, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii berkata, soalan yang wajar berkaitan perkara itu tidak boleh diketepikan sebagai ‘agenda pembangkang’.

    “Persoalan yang perlu ditanya adalah mengapa mereka rasa ini (tiang bendera) perlu didirikan, berbanding banyak lagi keperluan dan masalah lain di seluruh Sarawak, terutama yang memberi kesan langsung kepada penduduk.

    “Bagi saya, ini jelas satu keutamaan yang salah dan ‘obsesi imej berbanding pengisian’,” katanya.

    Kata Yii lagi, kerajaan Sarawak perlu menunjukkan ketelusan dan kebertanggungjawaban berhubung kos projek itu.

    Dia membandingkannya dengan tiang bendera tertinggi di dunia yang terletak di Jeddah, Arab Saudi, yang berketinggian 171 meter dengan kos kira-kira RM21 juta.

    “Amat penting untuk kerajaan bersikap telus dalam soal ini, termasuk menjustifikasikan kos projek, yang dikatakan berjumlah RM30 juta dengan ketinggian 99 meteri.

    “Hakikatnya, kita tidak memerlukan tiang bendera untuk mengingatkan kita berkenaan pentingnya hak kita, untuk kita rasa bangga sebagai orang Sarawak,” katanya lagi.

  • Perlis ikut langkah Kedah tutup premis judi

    Perlis ikut langkah Kedah tutup premis judi

    KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) Perlis bakal mengikut jejak langkah kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam menutup operasi premis perjudian.

    Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri dalam proses meneliti pelbagai sudut sebelum mengumumkan perkara tersebut.

    “Saya yakin langkah menutup premis judi bukan sahaja memberi manfaat dan kebaikan kepada orang Islam sahaja, malah kepada orang bukan Islam.

    “Main judi membuatkan seseorang itu ketagih sama seperti ketagih rokok, dadah, arak dan lain-lain.

    “Apabila ketagihan mereka cenderung terlibat dengan jenayah termasuk mencuri, merompak dan boleh menjurus masalah kesihatan mental,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Perdana di Majid Jamek Beseri di Padang Besar malam tadi.

    Forum perdana tersebut dianjur kerajaan negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti dan Masjid Jamek Beseri.

    Forum tersebut menampilkan Ahli Panel Syariah Jabatan Mufti Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil; Ahli Jawatan Kuasa Pengurusan Wakaf dan Tebus Pusaka MAIPs, Ustaz Mohd Rizal Azizan dan Peguam Syarie Ahmad Jailani Abd Ghani.

    Turut hadir anggota Exco Muhammad Azmir Azizan; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Institut Kemahiran Mara (IKM), Mohd Khairuddin Mohd Asari.

    Mengulas lanjut Mohd Shukri berkata, segala pandangan penduduk berkaitan masjid, pertanian dan bantuan akan diketengah kepada pihak yang bertanggungjawab.

  • SPRM bekukan akaun bank Bersatu

    SPRM bekukan akaun bank Bersatu

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membekukan akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Malaysiakini melaporkan, itu berlaku sehari selepas parti terbabit mendedahkan akaun mereka untuk tahun 2020 dan 2021.

    Pembekuan akaun berkenaan disahkan salah seorang anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman.

  • Hutang pinjaman peribadi antara punca ramai Melayu bankrap

    Hutang pinjaman peribadi antara punca ramai Melayu bankrap

    HUTANG pinjaman peribadi, sewa beli perniagaan dan pinjaman perniagaan, yang gagal dilunaskan menjadi faktor utama yang menyebabkan rakyat negara ini jatuh bankrap sejak lima tahun lalu.

    Menurut laporan BH Online, faktor penyumbang itu berdasarkan kepada 49,133 kes kebankrapan yang ditadbir Jabatan Insolvensi sejak 2018.

    Mengikut statistik, sebanyak 42.24 peratus (20,754) kes kebankrapan adalah disebabkan pinjaman peribadi, diikuti sewa beli kenderaan (14.39 peratus, 7,072 kes) dan pinjaman perniagaan (14.12 peratus, 6,936 kes).

    Selain itu, pinjaman perumahan (9.47 peratus, 4,653 kes), hutang kad kredit (8.01 peratus, 3,936 kes), keberhutangan lain (5.29 peratus, 2,599 kes), penjamin korporat (2.52 peratus, 1,238 kes) dan hutang cukai pendapatan (2.02 peratus, 994 kes).

    Penjamin sosial (1.13 peratus, 557 kes), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)(0.62 peratus, 307 kes) dan biasiswa/pinjaman pelajaran (0.18 peratus, 87 kes).

    Pada tahun lalu saja, sebanyak 5,695 kes kebankrapan ditadbir Jabatan Insolvensi, sedikit penurunan berbanding 6,554 kes yang dicatatkan pada 2021.

    Pada 2020, jumlah kes bankrap yang ditadbir jabatan itu adalah 8,351 kes, 12,051 kes pada 2019 dan 16,482 kes pada 2018.

    Selain itu, mereka yang berusia antara 35 dan 44 tahun adalah yang paling ramai diisytiharkan bankrap, iaitu 37.57 peratus atau 18,454 orang, diikuti yang berusia 45 hingga 54 tahun (25.95 peratus, 12,752 orang) dan 25 hingga 34 tahun (20.97 peratus, 10,302 orang).

    Kumpulan usia lain adalah 55 tahun ke atas (14.57 peratus, 7,157 orang) dan bawah 25 tahun (0.5 peratus, 245 orang).

    Lelaki lebih ramai diisytiharkan bankrap iaitu seramai 35,856 orang (72.98 peratus), berbanding wanita, seramai 13,254 orang (26.98 peratus).

    Dari segi kaum, Melayu merekodkan jumlah kebankrapan tertinggi dalam tempoh lima tahun lalu, iaitu 28,611 orang (58.23 peratus), Cina (12,083 orang, 24.59 peratus), India (4,280 orang, 8.71 peratus) dan lain-lain (61 orang, 0.12 peratus).

    Jabatan Insolvensi bagaimanapun tidak mempunyai maklumat mengenai jenis pekerjaan bagi majoriti 41.79 peratus (20,532 orang) daripada mereka yang diisytiharkan bankrap kerana ia tidak dinyatakan dalam dokumen petisyen kebankrapan.

    Berdasarkan rekod, 29.01 peratus (14,255 orang) daripada mereka adalah daripada sektor swasta, 14.34 peratus (7,048 orang) ialah peniaga, 9.06 peratus (4,449 orang) daripada sektor awam, 2.45 peratus (1,202 orang) golongan profesional dan 1.93 peratus (950 orang) bekerja sendiri, manakala selebihnya ialah mereka yang tidak bekerja, pesara kerajaan, pekerja sektor hiburan, pelajar dan ahli sukan.

    Mengikut statistik ambang keberhutangan yang dimasukkan sejak Julai 2021, majoriti mereka yang bankrap, iaitu 63.67 peratus (5,453 orang) mempunyai hutang antara RM100,000 dan RM499,999.

    Seramai 22 peratus (1,884 orang) mempunyai hutang antara RM50,000 dan RM99,999, 8.17 peratus (700 orang) antara RM500,000 dan RM999,999, 5.22 peratus (447 orang) RM1 juta ke atas dan selebihnya, 0.95 peratus (81 orang) RM30,000 hingga RM49,999.

    Jabatan Insolvensi turut menyatakan, sebanyak 10,905 kes kebankrapan yang direkodkan mendapat pelepasan dan pembatalan melalui mahkamah dalam tempoh berkenaan.

  • Guru lemas ketika mahu lepaskan jala ikan tersangkut di dasar sungai

    Guru lemas ketika mahu lepaskan jala ikan tersangkut di dasar sungai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG guru yang maut akibat lemas ketika menjala ikan di Kampung Batu 6, Jalan Sanglang, Kedah semalam dipercayai turun ke sungai bagi melepaskan jalanya yang tersangkut di dasar sungai.

    Ketua Polis Daeah Kubang Pasu, Superitendan Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian itu turut dilihat oleh rakannya yang berada hanya kira-kira 10 meter daripada lokasi mangsa, Khairul Azuar Mohd. Saud, 41 dilaporkan lemas.

    Menurutnya, rakan mangsa itu mendakwa sempat melihat Khairul Azuar terkapai-kapai sambil meminta tolong selepas turun ke sungai sebelum hilang ke dasar.

    “Rakan mangsa itu cuba menghampiri Khairul Azuar namun ketika itu, mangsa sudah pun tenggelam. Usaha lelaki itu meraba ke dasar untuk mencari Khairul Azuar turut gagal menemukannya kerana keadaan air yang keruh dan kedalaman sungai mencecah lebih dua meter.

    “Berikutan itu rakan mangsa terus meminta bantuan orang ramai di kawasan berhampiran. Mangsa kemudiannya ditemukan dan dibawa ke darat oleh pihak bomba dengan kerjasama penduduk kampung,” katanya.

    Difahamkan mangsa bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Paya Kemunting, Jitra.

    Warta Rakyat semalam melaporkan mengenai kejadian yang menimpa mangsa ketika dia turun menjala ikan dengan pihak bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.59 petang.

    Mengulas lanjut Rodzi berkata, temu bual bersama isteri mangsa memaklumkan, suaminya itu sememangnya gemar menjala dan memancing ikan namun tidak terlalu pandai berenang.

    “Keputusan bedah siasat menunjukkan punca kematian mangsa akibat lemas dan pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tidak terdapat kesan mahu pun unsur jenayah,” katanya.

  • Gagasan Rakyat tidak lemahkan penstrukturan Bersatu Sabah

    Gagasan Rakyat tidak lemahkan penstrukturan Bersatu Sabah

    NAIB Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, langkah Datuk Seri Hajiji Noor mengambil alih Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tidak akan melemahkan usaha penstrukturan semula Bersatu di Sabah.

    Menurutnya, beliau tidak melihat parti yang akan diketuai oleh bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah itu bakal menyebabkan pemimpin akar umbi Bersatu keluar meninggalkan parti bagi menyertai Gagasan Rakyat.

    “Pemimpin akar umbi di peringkat cawangan masih kukuh. Saya tidak melihat akan ada lagi pemimpin keluar parti, kebanyakan mereka kekal setia bersama kita,” katanya.

    Mengulas lanjut, Ronald berkata, pada masa ini Bersatu Sabah dalam proses melakukan penstrukturan semula peringkat bahagian bagi menggantikan pemimpin yang telah meninggalkan parti.

    “Kami dalam proses melantik beberapa ketua penaja peringkat bahagian sebagai usaha penstrukturan semula Bersatu di Sabah,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

    Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, Bersatu Sabah akan mengadakan mesyuarat cawangan antara 1 Julai hingga 31 Ogos dan diikuti dengan mesyuarat bahagian pada 7 Oktober dan selepas itu barulah perhimpunan agung akan diadakan pada November.

    Semasa pertemuan bersama Bersatu Bahagian Tawau pada Ahad, Ronald berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak akan tutup kedai di Sabah dan sekiranya diberi sedikit masa, beliau yakin Bersatu Sabah mampu menyumbang kerusi kepada PN pada pilihan raya akan datang.

    Beliau berkata, penstrukturan semula Bersatu Sabah akan membolehkan kepemimpinan parti di negeri ini bertambah kukuh.

    Katanya, biarpun pelbagai naratif politik diperkatakan tentang PN namun, beliau yakin rakyat Sabah bijak menilai dan meletakkan asas politik yang lebih rasional dengan memilih PN demi pembangunan Sabah.

    Menurut beliau, Hajiji mahu menggunakan platform parti tempatan namun, keputusan itu terletak di tangan rakyat untuk menentukan pemimpin yang mereka mahukan pada pilihan raya umum yang akan datang.

    “Ini bukan pertama kali rakyat Sabah disogok dengan naratif Sabah perlu dipimpin oleh parti tempatan. Kita pernah dipimpin oleh parti tempatan suatu ketika dahulu namun pada akhirnya kita kembali kepada kerajaan Persekutuan.

    “Jadi, terpulang kepada mereka membawa naratif sedemikian, kita serahkan kepada rakyat untuk memilih kerana trend yang boleh dilihat rakyat Sabah dan pengundi di negara ini ingin melihat sebuah gabungan politik yang bersih dan stabil serta mampu mengangkat martabat rakyat Malaysia ke tahap lebih baik,” katanya.

  • Polis buru suspek samun bersenjata pisau di Jalan Nanas, Kuching

    Polis buru suspek samun bersenjata pisau di Jalan Nanas, Kuching

    POLIS kini memburu seorang lelaki samun bersenjata pisau di sebuah kedai runcit dekat Jalan Nanas, Kuching, 3 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, dalam kejadian samun itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM900.

    “Pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Kuching dan Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak digerakkan bagi mengesan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai diminta memberi maklumat bagi membantu mengesan suspek.

    Sejak semalam tular rakaman kamera litar tertutup yang memaparkan aksi suspek melakukan jenayah samun.

    Suspek dilihat merangkul leher mangsa sambil mengacu sebilah pisau lalu menyuruh mangsa mengeluarkan wang tunai yang terdapat di dalam mesin tunai.

    Suspek kemudian melarikan diri selepas mangsa menyerahkan wang.

  • Lelaki rentung dalam kebakaran flat

    Lelaki rentung dalam kebakaran flat

    POLIS sedang mengenal pasti identiti seorang lelaki yang ditemui rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah flat di Bandar Damansara Perdana di Petaling Jaya, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 9.12 malam.

    “Siasatan mendapati kejadian itu berlaku di sebuah rumah di tingkat 21 blok D flat berkenaan yang menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan disahkan meninggal dunia oleh pihak bomba.

    “Setakat ini, butiran penuh mangsa dianggarkan berusia 30-an itu masih belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohamad Fakhrudin berkata, mayat mangsa terbakar kira-kira 40 peratus itu ditemui berdekatan pintu rumah dan dipercayai cuba menyelamatkan diri ketika kejadian.

    “Pihak bomba berdepan kesukaran memadamkan kebakaran itu pada mulanya kerana masalah tekanan air yang rendah.

    “Sebaik kebakaran itu berjaya dipadamkan, pemeriksaan dilakukan dan mendapati rumah berkenaan terbakar hampir 90 peratus,” katanya, lapor BH Online.

    Beliau berkata, pihak forensik turut dipanggil bagi membantu siasatan di lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan dilakukan terdapat dya sampel diambil untuk analisa iaitu cebisan baju dan kulit mayat.

    “Hasil keterangan saksi kejadian memaklumkan terdengar bunyi letupan yang kuat dari rumah mangsa serta bunyi kaca pecah sebelum mendapati berlaku kebakaran di kediaman itu.

    “Saksi cuba mendapatkan bantuan tetapi gagal masuk ke rumah itu kerana api sudah marak,” katanya.

    Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

    “Orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi sarjan aktiviti balai, Sarjan Ahmad Sabran Abdullah di talian 010-5585040 bagi membantu siasatan,” katanya.