Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan

    Bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan asing dari Indonesia yang dipercayai menceroboh perairan negara pukul 12.46 tengah hari semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan kapal ronda Maritim Malaysia pada kedudukan 37 batu nautika barat daya Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan OP TANJUNG dan OP PERTIWI.

    Jelas beliau, pemeriksaan ke atas bot itu mendapati, bot terbabit berpangkalan di Pangkalan Susu, Indonesia dan dikendalikan lima kru warga Indonesia berumur antara 21 hingga 50 tahun.

    “Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

    Maritim menahan sebuah bot nelayan asing dari Indonesia yang dipercayai menceroboh perairan negara pukul 12.46 tengah hari semalam

    “Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
     
    Tambah beliau, bot serta kru ditahan termasuk hasil laut dibawa di Jeti Limbungan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

    Dalam pada itu, tegasnya, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.

    Ujarnya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

  • Thaipusam: Polis tahan 2 geng kongsi gelap peras ugut peniaga

    Thaipusam: Polis tahan 2 geng kongsi gelap peras ugut peniaga

    POLIS menahan dua lelaki dipercayai geng kongsi gelap selepas memeras ugut seorang peniaga di tapak gerai perayaan Thaipusam di Jalan Utama di Georgetown pada jam 4 pagi, Jumaat lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kedua-dua suspek ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

    “Siasatan awal mendapati, dua suspek berusia lingkungan 20an itu dikatakan tidak membenarkan peniaga tersebut berniaga di situ lalu mengugut mahu merosakkan gerainya.

    “Selepas menerima laporan daripada seorang lelaki, kita menahan dua lelaki tidak jauh dari lokasi kejadian. Pemeriksaan pada badan suspek mendapati, kedua-duanya mempunyai tatu yang menandakan mereka ini adalah ahli kongsi gelap daripada sebuah kumpulan.

    “Mereka juga dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika melakukan peras ugut ke atas peniaga tersebut. Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 7 Februari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau perarakan Thaipusam di Jalan Kebun Bunga di Georgetown hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

    Dalam pada itu, seorang lelaki warga Kanada mengalami kerugian sebanyak RM6,000 selepas menjadi mangsa penyeluk saku ketika sedang leka menyaksikan perarakan pedati di Lebuh Chulia, di Georgetown semalam.

    Mohd. Shuhaily berkata, mangsa yang berusia 79 tahun itu menyedari dompet di dalam begnya hilang pada pukul 9 pagi.

    “Mangsa datang ke sini untuk melancong dan ketika teruja menyaksikan perarakan pedati, dompetnya telah dicuri oleh penyeluk saku.

    “Mangsa hanya menyedari kehilangan dompetnya itu selepas mendapati zip begnya terbuka,” katanya.

    Menurutnya, selain warga emas itu, polis turut menerima tiga lagi laporan berhubung kes yang serupa yang berlaku semalam.

    “Kes kedua melibat seorang wanita berusia 58 tahun yang mengalami kerugian sebanyak RM500 apabila dompetnya dicuri oleh penyeluk saku ketika sedang mengikut perarakan pedati di Lebuh Victoria.

    “Sementara itu, kes ketiga dan keempat berlaku di Jalan Utama melibatkan dua wanita iaitu seorang dari Jelutong dan seorang dari Kulim, Kedah. Kedua-dua kejadian berlaku antara pukul 12.30 tengah malam hingga 1 pagi tadi,” katanya.

    Tambah beliau, wanita dari Kedah berusia 37 tahun mengalami kerugian RM500 manakala mangsa dari Jelutong berusia 38 tahun mengalami kerugian RM150.

    “Saya menasihatkan pengunjung, tidak kira untuk datang menyaksikan atau meraikan perayaan ini supaya tidak memakai barangan kemas berlebihan selain tidak membawa wang dalam kuantiti yang banyak bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

    “Selain itu, saya juga menasihatkan orang ramai rancang perjalanan serta menggunakan jalan alternatif bagi mengelakkan tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Kita menjangkakan kemasukkan kenderaan akan meningkat dari masa ke semasa,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Mohd. Shuhaily berkata, pihaknya sentiasa memastikan keselamatan pengunjung terjamin sepanjang perayaan Thaipusam yang bermula sejak 4 hingga 7 Februari ini.

  • Lelaki terjun sungai elak dicekup polis ditemui lemas

    Lelaki terjun sungai elak dicekup polis ditemui lemas

    SEORANG lelaki ditemui lemas selepas terjun ke dalam sungai berhampiran Taman Muara, Sungai Buloh di Kuala Selangor ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis pada Jumaat lalu.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, mangsa, 31, ditemui terapung oleh sepasukan nelayan kira-kira satu kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) pada pukul 7.52 pagi tadi.

    “Bomba membawa mayat lelaki itu ke PKB dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    “Pada masa ini pihak bomba sedang menggerakkan usaha mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang turut sama terjun di sungai itu dalam kejadian terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Norazam berkata, mangsa berusia 24 tahun itu dikhuatiri lemas dan usaha pencarian diteruskan membabitkan kekuatan 15 pegawai dan anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor.

    “Operasi mencari mangsa memasuki hari kedua sejak operasi pertama pencarian dilakukan pada jam 8.56 malam pada Jumaat lalu,” jelasnya.

  • Wang KWSP RM141,000 lesap diperdaya Macau Scam

    Wang KWSP RM141,000 lesap diperdaya Macau Scam

    SEORANG wanita berputih mata apabila wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM141,000 lesap sekelip mata selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

    Sebelum itu mangsa berusia 56 tahun yang bekerja bahagian pentadbiran di sebuah syarikat swasta itu mendakwa telah dihubungi oleh individu dari sebuah syarikat insurans.

    Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, suspek memaklumkan mangsa ada membuat tuntutan insurans namun mangsa menafikannya.

    “Mangsa kemudian telah disambungkan kepada individu yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Qayyum kononnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk membuat laporan.

    “Mangsa telah diberitahu terlibat dengan kesalahan penggubahan wang haram dan telah diarah jangan memberitahu kepada sesiapa,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

    Menurutnya, mangsa telah diberitahu terlibat dengan kesalahan penggubahan wang haram dan telah diarah jangan memberitahu kepada sesiapa.

    Ujarnya, mangsa kemudian telah disambungkan pula kepada pendakwa raya yang mengarahkannya membuat kad bank baharu jika mahu menyelesaikan kes.

    “Pada 25 Januari lalu mangsa telah pergi ke Bank Rakyat di Seremban 2 untuk membuat kad bank baharu dan telah mengikut setiap arahan pendakwa raya tersebut termasuk mengubah nombor telefon rujukan akaun baharu kepada 014-690 8266.

    “Mangsa juga telah mengeluarkan duit KWSP sebanyak RM 130,000 dan telah pindahkan ke akaun Bank Rakyat terbabit,” katanya lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun kata Ahmad Dzaffir, semalam mangsa telah mendapat tahu kesemua wang dalam akaun berkuran.

  • Warga emas maut selepas bergaduh dengan pekerja sendiri di restoran

    Warga emas maut selepas bergaduh dengan pekerja sendiri di restoran

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG warga emas maut apabila tiba-tiba rebah selepas bergaduh dengan pekerjanya yang juga seorang pembantu tukang masak di sebuah restoran dekat Jalan Stadium, Alor Setar, semalam.

    Menurut sumber, lelaki berusia 68 tahun itu tiba-tiba rebah setelah dileraikan daripada bergaduh dengan suspek yang berusia 55 tahun kira-kira pukul 5.15 petang, di belakang restoran tersebut.

    Difahamkan pada mulanya berlaku perselisihan faham antara anak mangsa dan isteri suspek sebelum mangsa tiba-tiba bertindak memarahi isteri suspek.

    “Perbuatan itu tidak disenangi suspek hingga mengundang pergaduhan antara suspek dan mangsa. Dalam pergaduhan itu, suspek dikatakan turut menyerang mangsa dengan kayu dan sempat melepaskan beberapa tumbukan.

    “Pergaduhan itu bagaimanapun berjaya dileraikan. Namun mangsa dikatakan tiba-tiba rebah selepas pergaduhan itu selesai.

    “Pegawai perubatan yang tiba ke lokasi tidak lama selepas itu bagaimanapun mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

    Tambahnya, mangsa mempunyai sejarah darah tinggi, sakit tulang belakang dan jantung.

    Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan lanjut masih dijalankan.

    Beliau berkata, seorang lelaki sudah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian mangsa dan punca hanya akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan dalam tempoh terdekat,” katanya.

  • Apabila jualan, pembakaran mercun dan bunga api ‘dihalalkan’

    Apabila jualan, pembakaran mercun dan bunga api ‘dihalalkan’

    SEWAKTU penulis di alam kanak-kanak, lambakan mercun yang dijual di kebanyakan kedai kampung memang terlalu banyak sebaik sahaja memasuki bulan Ramadan.

    Pelbagai jenis mercun boleh dibeli dengan mudah antaranya mercun bola, katak, roket dan kilat.

    Ketika itu, suasana kampung pada sebelah malam terlalu gelap kerana kebanyakan rumah penduduk hanya menggunakan pelita minyak tanah dan belum ada cahaya elektrik.

    Sebahagian besar rumah di kampung penulis pula adalah beratap zink, asbestos rumbia dan nipah.

    Penulis masih ingat, pernah beberapa kali menjelang umat Islam ingin menyambut hari raya Aidilfitri, berlaku kejadian kebakaran membabitkan rumah penduduk beratap nipah hanya gara-gara tindakan kanak-kanak membakar mercun.

    Ekoran kejadian itu, maka penghuni rumah terbabit terpaksa menumpang di rumah saudara mara dan tidak dapat menyambut hari lebaran sepertimana orang lain.

    Beberapa tahun selepas itu, berlaku pula kejadian remaja putus tangan, jari dan buta mata akibat bermain mercun bola.

    Ia berlaku apabila ada dalam kalangan mangsa terbabit bertindak dengan memasukkan serbuk mercun yang dihancurkan ke dalam batang besi paip sebelum ia tiba-tiba meletup.

    Boleh dikatakan kejadian ini berlaku pada setiap tahun ketika umat Islam ingin menyambut hari raya.

    Kerajaan Perpaduan yang akan membenarkan semula jualan mercun dan bunga api di negara ini dianggap sebagai amat malang.

    Kejadian terakhir dilaporkan berlaku ialah pada tahun lalu (2022) apabila seorang remaja lelaki berusia 14 tahun putus tiga jari tangan kanan setelah terkena mercun bola dalam kejadian di Kampung Lembah Beris Kubur Besar Tawang, Bachok, Kelantan.

    Ketika kejadian mangsa yang sedang bermain mercun bola di belakang rumahnya dikatakan tidak sempat membaling mercun berkenaan lalu ia meletup di tangannya.

    Selain itu, mangsa juga mengalami luka dibahagian leher akibat terkena percikan api mercun tersebut.

    Begitulah antara sedutan betapa bahayanya mercun yang sebelum ini pernah diharamkan penjualan dan pembakarannya oleh pihak kerajaan.

    Bagaimanapun, keputusan jemaah menteri kabinet Kerajaan Perpaduan yang akan membenarkan semula jualan mercun dan bunga api di negara ini dianggap sebagai amat malang.

    Banyak pihak termasuk persatuan bukan kerajaan (NGO) dan ibu bapa tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

    Ada pihak berpendapat, kerajaan tidak sewajarnya menghalalkan semula penjualan dan pembakaran mercun serta bunga api kerana sudah diketahui ia sangat berbahaya.

    Sementara kebanyakan ibu bapa pula berpendapat, selain risiko keselamatan, pembelian dan pembakaran mercun oleh kanak-kanak adalah satu pembaziran.

    Bagi NGO pula, ada yang menyarankan supaya penjualan mercun dan bunga api perlu dikaji semula bagi mengurangkan risiko kemalangan dan episod duka kejadian putus jari atau buta mata akibat pembakaran bahan letupan tersebut.

    Jumaat lalu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengatakan bahawa kerajaan bersetuju untuk membenarkan penjualan mercun dan bunga api, namun ia tertakluk kepada peraturan serta garis panduan yang akan dikeluarkan nanti.

    Sesiapa didapati bersalah memiliki, menjual, membeli, bermain mercun atau bunga api selain daripada yang dibenarkan, boleh dikenakan tindakan ketika ini

    Menurut beliau, bagi tujuan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menentukan garis panduan manakala isu membabitkan duti akan ditetapkan Kementerian Kewangan.

    Katanya, perkara itu dipersetujui melalui mesyuarat Kabinet selepas mengambil kira penjualan mercun dan bunga api boleh menjadi satu lagi punca hasil pendapatan kepada negara.

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu dasar dan garis panduan daripada KDN berhubung kebenaran aktiviti pembakaran serta penjualan bunga api dan mercun.

    Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, pihaknya mengikuti apa jua garis panduan dan dasar yang ditetapkan dalam usaha menjamin keselamatan orang ramai.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, setakat ini larangan jual beli mercun masih berkuat kuasa dan menasihati orang ramai supaya tidak memiliki, menjual, membeli dan bermain mercun serta bunga api untuk semua perayaan, termasuk sambutan Chap Goh Meh pada Selasa ini.

    Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani

    Justeru, sesiapa didapati bersalah memiliki, menjual, membeli, bermain mercun atau bunga api selain daripada yang dibenarkan, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

    Penulis berharap semua pihak khususnya ibu bapa agar sentiasa mengawasi anak-anak agar tidak membeli dan membakar mercun serta bunga api menjelang hari perayaan nanti bagi mengelak kejadian tidak diingini.

    Namun, apa yang membimbangkan ialah sekiranya terdapat golongan dewasa yang masih ‘tidak puas’ dengan aktiviti membakar mercun.

  • Rafizi: Lantikan ahli keluarga perlu dielak

    Rafizi: Lantikan ahli keluarga perlu dielak

    BUDAYA nepotisme dengan melantik ahli keluarga ke jawatan tertentu dalam kerajaan perlu dielak pada masa akan datang, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

    Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyedari pelbagai kritikan berhubung pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohammed Iqbal sebagai pegawai majlis khas kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

    “Saya berpandangan beberapa perkara ini perlu dielakkan oleh mana-mana kerajaan pada masa akan datang. Bagaimanapun bagi kes Nurul Izzah dan Iqbal, pelantikan sudah pun dibuat,” katanya dipetik Harian Metro, hari ini.

    Kini katanya pelantikan itu diharap dapat dibuktikan dengan membawa nilai tambah.

    “Ia tidak melibatkan dana awam. Apa yang kita harapkan sekarang ialah mereka perlu buktikan mereka akan membawa nilai tambah. Saya yakin mereka ada peranan masing-masing,” kata Rafizi.

    Terdahulu kerajaan diterajui Anwar itu dikritik hebat selepas Nurul Izzah dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri.

    Ini disusuli isu pelantikan Mohammed Iqbal sekali gus dilihat menebalkan lagi persepsi nepotisme terhadap kerajaan.

    Sementara itu, Rafizi berkata, pihak yang terbabit dalam membuat keputusan sedemikian wajar mengambil perhatian terhadap pandangan rakyat.

    “Di peringkat PKR, kita harap kita ‘move on’ dan cabaran itu ada pada Nurul Izzah dan Iqbal untuk membuktikan mereka ada nilai tambah dalam keadaan mereka tidak mengambil sebarang wang rakyat. Sudah pasti saya faham sentimen itu,” katanya.

  • ‘Apa salah saya’, Tun M hairan ditolak pengundi Langkawi

    ‘Apa salah saya’, Tun M hairan ditolak pengundi Langkawi

    TUN Dr. Mahathir Mohamad masih tertanya-tanya di mana silapnya sehingga ditolak pengundi di kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Beliau yang turut kehilangan wang deposit mendedahkan masih berasa terkilan dan sedih atas kekalahan tersebut

    Bekas Perdana Menteri itu yakin tidak melakukan sebarang kesalahan yang memudaratkan penduduk.

    “Saya ditolak jatuh merudum dan hilang 14,000 undi,” katanya selepas menghadiri sebuah acara di Langkawi malam tadi, lapor Berita Harian.

    “Saya pun tidak tahu apa kesalahan yang telah buat (sehingga ditolak),” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT).

    Katanya, penolakan pengundi Langkawi terhadapnya ‘sedikit mengecewakan’ susulan komitmennya membangunkan pulau itu, seperti menerusi pemberian status bebas cukai pada 1987, seolah-olah tidak dihargai.

    “Bukan merajuk, tapi kecewa sedikit (atas kekalahan teruk pada PRU15) kerana saya sudah buat macam-macam (pembangunan) di Langkawi.”

    Pada PRU15 tahun lepas, Dr. Mahathir kehilangan kerusi Langkawi apabila hanya memperoleh 4,566 undi.

    Calon Perikatan Nasional, Mohd. Suhaimi Abdullah memenangi kerusi itu dengan majoriti 13,518 undi.

    Sementara itu, mengulas isu tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau berkata, perkara itu tiada kena mengena dengan dirinya.

    “Dulu saya yang tubuh Bersatu, tapi ketika itu, tidak curi duit dari mana-mana, kemudian parti berpecah dua, Bersatu sekarang bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Saya tiada kena mengena kerana tidak lagi berada dalam Bersatu. Itu masalah mereka,” katanya.

  • Berubah atau risiko UMNO ditolak rakyat selamanya- Ismail Sabri

    Berubah atau risiko UMNO ditolak rakyat selamanya- Ismail Sabri

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, parti itu perlu melakukan perubahan drastik agar tidak terpisah dengan kehendak rakyat terutama golongan muda.

    Jelas bekas Perdana Menteri itu, jika masih tiada perubahan UMNO bakal berdepan risiko disingkir terus selama-lamanya.

    “Justeru pucuk pimpinan perlu merangka strategi bermula sekarang susulan kekalahan teruk pada Plihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Perlu ada imej dan tawaran baharu serta tidak boleh terpisah dengan golongan muda kerana kalau PRU15 golongan muda sekarang penuhi saluran lima dan enam, mereka nanti akan pindah ke saluran tiga dan empat.

    “Jadi kalau kita tak ubah, waktu mereka saluran lima dan enam sudah tolak kita, apabila mereka pindah ke saluran tiga atau empat, mereka tetap tolak kita. Jangan lupa kita akan ada pengundi baharu saluran lima dan enam.

    “Kalau dulu 4.5 juta terus ke saluran tiga dan empat dan ditambah lagi 4.5 juta di saluran lima dan enam ini, makna sembilan juta. Kalau kali ini tolak kita awal lagi kita kalah. Sebab itu saya kata perlu beri harapan,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Pada PRU15, UMNO sekadar menang 26 kerusi menjadikannya rekod paling buruk parti berkenaan.

    Mengulas berhubung tindakan menggantung dan memecat beberapa pemimpin UMNO, Ismail berkata, parti seperti mengambil langkah mengundur dan perkara itu akan memberi petanda salah kepada golongan muda.

    “Kita memberi petanda yang salah kepada mereka, iaitu parti UMNO tiada demokrasi, dipecat atau digantung. Itulah persepsi mereka sekarang terhadap parti ini.

    “Mereka (orang muda) lebih melihat dan mahukan pemimpin yang dipecat UMNO seperti Khairy. Beliau (Khairy) terbuka dalam mengkritik parti dan pada orang muda itu sesuatu yang wajar,” katanya.

    Ismail berkata, orang muda tidak akan masuk parti yang menyekat kebebasan mereka.

    “Sebab itu, saya kata mereka (orang muda) ideal. Mereka mahu kebebasan diberi pada ahli,” kata Ahli Parlimen Bera itu.

  • Penunggang motosikal maut bertembung kereta masuk laluan bertentangan

    Penunggang motosikal maut bertembung kereta masuk laluan bertentangan

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta jenis Myvi yang datang dari arah bertentangan di KM 17, Jalan Jerantut- Benta berdekatan Kampung Som, Jerantut, semalam.

    Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, kejadian berlaku pukul 10.20 pagi,ketika mangsa berusia 25 tahun yang membonceng isterinya dalam perjalanan dari Damak ke Jerantut manakala kereta berkenaan dari arah bertentangan.

    “Pasangan itu yang menaiki motosikal jenis SYM datang dari Damak ke bandar Jerantut bertembung dengan kereta jenis Myvi yang datang dari arah bertentangan.

    “Apabila tiba di tempat kejadian, dipercayai pemandu kereta Myvi gagal mengawal kenderaan dipandunya lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri itu,” katanya.

    Mazlan berkata, akibat kemalangan itu penunggang yang bertugas di Ladang Risda Damak, Jerantut itu disahkan meningal dunia di tempat kejadian. Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata, manakala isteri mangsa berusia, 25 tahun yang membonceng motosikal itu mengalami patah kaki dan dihantar ke Hospital Jerantut untuk rawatan.

    Katanya, keputusan ujian saringan air kencing pemandu kereta terbabit negatif dan pemandu berumur 19 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

    Mazlan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor BH.