Author: Wartawan WartaRakyat

  • Safwan, Mazlan kekal ahli Pas jika tarik diri bertanding Bebas

    Safwan, Mazlan kekal ahli Pas jika tarik diri bertanding Bebas

    Oleh BADLISHAH MAT

    DUA pemimpin Pas di Langkawi yang menjadi calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan kekal menjadi ahli parti itu sekiranya mereka segera menarik diri daripada bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat dan Kuah.

    Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, tawaran itu sebagai antara usaha bagi memastikan Perikatan Nasional (PN) menang dalam saingan merebut dua kerusi itu pada 12 Ogos ini.

    “Saya masih beri peluang dan jaminan mereka tidak akan dikenakan tindakan (pecat), dengan syarat kedua-dua mereka perlu segera buat pengisytiharan (menarik diri) dan meminta pengundi tidak lagi mengundi mereka.

    “Mungkin tindakan sebelum ini adalah terlanjur dan tanpa berfikir panjang. Jadi ini peluang kedua bagi mereka,” katanya ketika berucap pada Sembang Santai Jentera DUN Kuah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kelibang di Langkawi, malam tadi.

    Yang turut hadir, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan calon PN bagi kerusi DUN Kuah, Amar Pared Mahamud.

    Kedua-dua calon itu adalah Mazlan Ahmad yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Pas Langkawi dan bertanding sebagai calon Bebas DUN Kuah, manakala bekas Bendahari Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie (Ayer Hangat).

    Sementara itu, Hamzah berkata, dakwaan kedua-dua calon terbabit yang menyatakan tindakan mereka bertanding telah mendapat restu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor adalah tidak benar.

    “Sebelum mai Langkawi, saya dan Takiyuddin berjumpa dengan Menteri Besar di Alor Setar dan dia menafikan serta tidak sesekali memberi restu kepada kedua-dua calon Bebas berkenaan.

    “Kami juga sepakat, hanya seorang calon daripada PN masing-masing bertanding bagi kerusi DUN Kuah dan Ayer Hangat, manakala calon lain (Bebas) tiada kaitan dengan PN. Itu kena jelas dan faham,” katanya.

  • Ada perangkap dipasang untuk Sanusi?

    Ada perangkap dipasang untuk Sanusi?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PROGRAM Jom Pakat Pi Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Bersama MB Kedah di Padang Awam, Taman Ria dekat Sungai Petani, Kedah malam ini seakan kurang serinya setelah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak dapat hadir untuk membuat kemunculan di program tersebut.

    Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Muhammad Sanusi tidak dapat hadir untuk menyampaikan ceramah di situ setelah dinasihatkan berbuat demikian, dalam satu mesyuarat penting dihadiri Menteri Besar tersebut, pagi tadi di Kuala Lumpur.

    “Pagi tadi ‘MB’ mesyuarat di Kuala Lumpur, mesyuarat penting. Dalam mesyuarat itu dibincangkan beberapa perkara besar dan daripada situ dinasihatkan agar beliau tak teruskan ceramah malam ini.

    “Ada perangkap-perangkap yang sedang dipasang musuh dan perangkap itu mengkehendaki MB masuk ke dalamnya, dipegang dan buat sesuatu yang kita tak jangka.

    “Jadi waktu-waktu begini, kita kena bersedia dengan segala kemungkinan. Saya dah sebut tadi, sehari dua ini akan berlaku macam-macam benda dahsyat,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam program tersebut.

    Bagi berdepan semua itu Afnan berkata, semua pihak perlu bersedia untuk menjaga kubu selain sentiasa ingat bahawa kemenangan adalah pemberian Allah.

    “Jangan tinggal solat hajat, doakan keselamatan MB, calon-calon kita serta semua orang sebab pergantungan dengan Allah inilah yang akan menentukan kemenangan pada 12 Ogos nanti, insya Allah.

    “Kita dah ada kekuatan, orang ramai dan sokongan besar… Bimbang kita tersilap langkah , Allah uji kita dengan tidak memberi kemenangan, maka jangan putus berharap dengan Allah,” katanya.

    Terdahulu dalam sesi ceramah tersebut, Afnan melontarkan persoalan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tentang siapa yang akan menjadi Menteri Besar sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan negeri di Kedah.

    “Biasanya calon MB ini ketua parti yang bertanding dan ketua PH ‘hat’ bertanding di Alor Mengkudu sekarang ini (Datuk Mahfuz Omar), pernah kalah di Parlimen Pokok Sena dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan majoriti lebih 31,000.

    “Takkan nak bagi orang yang kalah dengan majoriti 30,000 jadi MB? Seorang lagi Pengerusi UMNO negeri (Datuk Mahdzir Khalid) kalah juga di Padang Terap dengan majoriti lebih 11,000 undi dan kita yakin rakyat setelah rakyat menolak mereka dalam PRU, rakyat takkan beri kemenangan lagi kepada mereka dalam PRN kali ini.

    “Macam kita ini sudah ada calon dan orangnya tak lain tak bukan, Muhammad Sanusi. Kita dah kemukakan nama dan insya Allah tuanku akan terima setelah kita cukup bilangan kerusi untuk bentuk kerajaan,” katanya.

  • Nik Bahrum sedia bertemu Nik Abduh

    Nik Bahrum sedia bertemu Nik Abduh

    CALON Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Bahrum Nik Abdullah mengakui tiada masalah bertanding di kerusi yang pernah menjadi sebutan untuk bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz.

    Beliau berkata, fokusnya kini untuk berjuang membawa amanat parti dan bukan kerana individu tertentu.

    “Saya juga pernah bertemu ibu Nik Muhammad Abduh, Puan Sri Tuan Sabariah Tuan Ishak dan tiada sebarang masalah berkaitan ditimbulkan.

    “Kami bertemu seperti satu keluarga. Insya-Allah saya juga sedia bertemu Nik Muhammad Abduh selepas ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar harian Perikatan Nasional (PN) sempena pilihan raya negeri (PRN) di Pejabat Perhubungan Pas Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

    Media ini sebelum ini melaporkan, terdapat desas-desus Nik Muhammad Abduh dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan di DUN Chempaka.

    Sementara itu, Nik Bahrum yang merupakan calon muka baharu berkata, sepanjang berkempen, penduduk di DUN berkenaan memberi sokongan daripada pelbagai peringkat umur.

    “Setakat ini tidak banyak permintaan melibatkan material tetapi penduduk di situ meminta kebersamaan dan semangat wakil rakyat untuk mendengar luahan mereka,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • ‘Sampel kajian EMGC terpesong’ – Dr Marzuki

    ‘Sampel kajian EMGC terpesong’ – Dr Marzuki

    KESAHIHAN dapatan kajian EMGC mengenai Pilihan Raya Negeri Selangor boleh dipertikaikan kerana mengandungi dua kelemahan besar.

    Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, selain persampelan, kelemahan besar lain kaji selidik tersebut berjaya mencerap 100 peratus parti responden.

    “Saya boleh menerima kesahan kajiselidik ini jika ia menyatakan sekitar 20 peratus responden Melayu mengundi Pakatan Harapan dalam PRU-15 kerana itulah demografi sebenar pengundi Melayu di Selangor.

    “Jika ada mana-mana pollster yang boleh mencerap 100 peratus pilihan parti responden, maka ini adalah suatu keajaiban,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Ahad.

    Terdahulu beberapa media melaporkan dapatan kajian EMGC yang antara lain menyebut 73 peratus responden Selangor berpuas hati dengan prestasi kerajaan perpaduan. Berikuta adalah kenyataan penuh beliau.

    Oleh DATUK DR. MARZUKI MOHAMAD

    Saya meneliti hasil kajian EMGC mengenai PRN Selangor yang disiarkan oleh akhbar-akhbar utama hari ini.

    Kajian ini mendapati 52% pengundi Melayu di Selangor akan mengundi PH dalam PRN nanti.

    Dalam situasi pertembungan 2 penjuru antara PN dan PH, kajian ini mendedahkan 61% pengundi Melayu akan mengundi PH dan 39% akan mengundi PN. Manakala dalam pertembungan 2 penjuru antara PN dan BN, 58% pengundi Melayu akan mengundi BN dan 42% akan mengundi PN.

    Berbeza dengan banyak kajian lain, kajian oleh EMGC ini berjaya mencerap 100% pilihan parti pengundi.

    Tidak ada seorang pun yang kata tidak pasti, tidak tahu atau undi itu rahsia.

    Saya lihat ada dua kelemahan besar kajian ini.

    Pertama dari segi persampelan.

    Kajian ini mendedahkan 52% daripada responden Melayu dalam kajian ini mengundi PH dalam PRU15 di Selangor.

    Sedangkan analisa data sebenar keputusan PRU15 di Selangor menunjukkan hanya 24% pengundi Melayu di Selangor mengundi PH dalam PRU15.

    Untuk analisa lanjut mengenai undi Melayu di Selangor dalam PRU15 boleh rujuk kajian oleh Bridget Welsh di sini dan artikel saya yang disiarkan dalam jurnal ISEAS Perspective.

    Apabila 52% daripada responden dalam kajiselidik ini adalah pengundi PH, maka tidak hairanlah jawapan kepada soalan-soalan dalam kajiselidik ini lebih cenderung untuk menyokong PH.

    Saya boleh menerima kesahan kajiselidik ini jika ia menyatakan sekitar 20% responden Melayu mengundi PH dalam PRU 15 kerana itulah demografi sebenar pengundi Melayu di Selangor.

    Dengan ertikata lain, sampel di dalam kajiselidik ini “skewed” atau terpesong. “Rule of thumb” dalam mana-mana kajiselidik ialah “You must get the right sample in order to get the right findings”.

    Apabila sampel terpesong, maka dapatan kajian juga terpesong.

    Satu lagi, jika benarlah 52% pengundi Melayu menyokong PH dalam PRU15 di Selangor, sudah tentulah PH sapu bersih semua kerusi Parlimen di Selangor dalam PRU15.

    Faktanya tidak begitu. PN menang 6 kerusi majoriti Melayu di Selangor dalam PRU15.

    Keduanya ialah kaji selidik ini berupaya mencerap 100% pilihan parti responden. Ini luar biasa.

    Sepanjang pengalaman saya terlibat dalam pelaksanaan kajiselidik kajian pendapat sejak tahun 2008, saya tidak pernah menemui mana-mana kajian yang berupaya mencerap 100% pilihan parti responden.

    Akan ada lebih kurang 30% – 40% responden yang jawab tidak tahu, tidak pasti, undi itu rahsia atau menolak untuk menjawab.

    Kadang-kadang sehingga hari terakhir kempen pun masih ada responden yang tidak mendedahkan parti mana yang mereka akan undi.

    Ini bukan bermakna mereka gagal membuat pilihan. Sebahagian besarnya telah membuat pilihan tetapi tidak mahu mendedahkannya.

    Jika ada mana-mana pollster yang boleh mencerap 100% pilihan parti responden, maka ini adalah suatu keajaiban.

  • Tawaran ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ realistik – Azmin

    Tawaran ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ realistik – Azmin

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin mampu merealisasikan tawaran Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin bernilai lebih RM2 bilion untuk Selangor sekiranya diberi mandat pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, pakej rangsangan bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ itu realistik dan boleh dilaksanakan berdasarkan rekod cemerlang ketika beliau menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

    Beliau yang pernah menjadi Menteri Besar dari tahun 2014 hingga 2018 berkata, ketika membentangkan Belanjawan Selangor pada tahun 2017, Dewan Undangan Negeri (DUN) dimaklumkan bahawa kutipan hasil adalah berjumlah RM2.6 bilion.

    Maknanya, jelas calon DUN Hulu Kelang itu, negeri Selangor memiliki kutipan pendapatan besar yang boleh digunakan untuk manfaat serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

    “Alhamdulillah PN sudah melancarkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM2 bilion dan beberapa inisiatif lain yang non fiskal yang akan kita teliti dari semasa ke semasa.

    “Namun persoalan yang berbangkit apakah kita berkeupayaan untuk laksanakan pakej ransangan ini, jawaban saya ya.

    “Pakej rangsangan dan tawaran yang telah kita kemukakan ini adalah realistik dan boleh dilaksanakan berdasarkan rekod dan prestasi cemerlang ketika kita berada di dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.

    Pengerusi PN Selangor yang juga Calon Perikatan Nasional DUN Hulu Kelang, Datuk Seri Azmin Ali menyantuni dengan sebahagian penduduk kampung ketika singgah di Warung Kamal pada Program Menyantuni Penduduk di Kampung Klang Gate, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Mohamed Azmin menambah, sekiranya diberi mandat, beliau tidak mahu melihat Selangor berada ditakuk yang lama lagi dan mahu mengangkatnya menjadi sebuah ‘Super Smart City’.

    Beliau menegaskan, ketika negara sedang berdepan kegawatan ekonomi sepatutnya kerajaan mengambil sikap untuk berbelanja dan bukan menabung atau pun menyimpan wang.

    Ini kerana, ujar beliau, tidak ada maknanya pemimpin mendabik dada kononnya simpanan rizab mereka besar sedangkan rakyat tidak mendapat manfaat dan terus sengsara.

    “Dua kali saya telah kemukakan belanjawan defisit pada tahun 2015 iaitu RM 450 juta…maknanya kita berbelanja lebih daripada pendapatan.

    “Dalam kegawatan kita harus merancakkan aktiviti ekonomi supaya rakyat dapat manfaat, jadi kita kena belanja lebih daripada pendapatan, itu dibenarkan ketika berlakunya kegawatan.

    “Daripada belanjawan defisit RM450 juta akhirnya kita mendapat surplus pada tahun itu iaitu RM230 juta, saya menggunakan pendekatan sama pada tahun berikutnya.

    “Saya kemukakan belanjawan defisit RM630 juta tetapi pada bukan Oktober 2016 saya telah mencatatkan surplus RM351 juta, inilah langkah yang berhemah dan bertanggungjwab,” katanya, lapor Utusan TV.

  • Saifuddin diingatkan jangan jadikan isu REE modal politik

    Saifuddin diingatkan jangan jadikan isu REE modal politik

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sepatutnya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berkaitan unsur nadir bumi (REE).

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, Saifuddin tidak wajar mendedahkan secara terbuka maklumat berkaitan REE yang dibimbangi boleh menjejaskan siasatan selain mengelirukan rakyat Kedah.

    Beliau juga mengingatkan Saifuddin supaya tidak menjadikan siri pendedahan itu sebagai modal politik.

    “Prosedur undang-undang cukup jelas dan wajar dipatuhi, seeloknya biarlah pihak penguat kuasa melaksanakan tanggungjawab menyiasat, sebelum dilakukan pendakwaan. Pihak yang menentukan salah atau tidak adalah hakim di mahkamah.

    “Saifuddin tidak boleh berikan bayangan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mencuri atau bersubahat kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, bawah Perkara 5 klausa (1) iaitu tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang,” katanya di Alor Setar hari ini.

    Khairul Anuar berharap semua pihak menyerahkan kepada undang-undang dalam menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau sebaliknya, dan bukan ‘dibicarakan’ atas pentas politik atau debat.

    “Dalam sidang media terbaharu, Saifuddin sendiri mengatakan sebagai Setiausaha Agung PKR beliau mendesak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan polis melakukan siasatan sedangkan beliau adalah Menteri Dalam Negeri.

    “Dalam sidang media sama, Saifuddin juga mengakui pendedahan isu REE adalah bagi tujuan kepentingan politik untuk pilihan raya negeri (PRN) Kedah,” dakwanya.

    Menurutnya, strategi seumpama itu tidak wajar digunakan susulan rakyat kini sudah bijak dan peka terhadap proses undang-undang.

    Khairul Anuar turut mempersoal tindakan Saifuddin sebelum ini yang turut membangkitkan isu kapal peronda generasi kedua kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    “Individu yang dedahkan isu LCS orang yang sama, iaitu Saifuddin. Tentu semua masih ingat Saifuddin cabar agar tiga dokumen projek LCS dinyahklasifikasikan. Selepas membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional (BN), cerita LCS sudah tidak didengari malah peruntukan bertambah dari RM6 bilion kepada RM11 bilion.

    “Dulu mereka cakap ribuan juta wang rakyat hilang dalam projek LCS, sekarang ratusan juta dalam projek REE, selepas ini berbilion wang rakyat, semua itu hanya retorik,” katanya lagi.

    Khairul Anuar yang juga calon PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas berkata, rakyat hanya mahukan tawaran yang menjamin masa depan dan bukan disajikan dengan propaganda politik semata-mata.

    “Perikatan Nasional mempunyai 17 tawaran manifesto untuk rakyat Kedah dengan slogan ‘Kedah Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti’.

    “Ia diyakini mampu memenuhi hasrat menjadikan negeri ini sebagai ‘The Greater Kedah’ menjelang 2035 seperti terkandung dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035. Matlamat kita jelas, hala tuju juga jelas, ini yang rakyat mahu,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Pas tidak ajar budaya kafirkan parti lain, kata Ahmad Fadhli

    Pas tidak ajar budaya kafirkan parti lain, kata Ahmad Fadhli

    PEMUDA Pas menafikan dakwaan kononnya parti itu menerapkan budaya ekstrem seperti mengkafirkan penyokong dan parti lain, tegas Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari.

    “Pimpinan parti tidak sewenang-wenangnya melabelkan orang sebagai kafir secara mutlak dan menghukum sama ada seseorang itu penghuni syurga atau neraka.

    “Kami (Pemuda Pas) membesar dalam situasi tidak melabelkan orang sebagai secara mutlak atau orang itu ke neraka atau ke syurga,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    Ahmad Fadhli mengulas isu seorang nenek penyokong parti Pas yang mengkafirkan parti lain dalam sebuah video tular baru-baru ini.

    Beliau menegaskan, segala yang dikatakan menerusi video berkenaan adalah pandangan peribadi wanita itu sendiri yang tidak pernah diajarkan oleh Pas, khususnya pimpinan parti sekarang.

    Bagaimanapun, Ahmad Fadhli meminta supaya isu tersebut dapat diperbetulkan supaya tidak ada lagi budaya mengkafirkan sesama sendiri.

    Dalam pada itu, beliau turut berkongsi ulasan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan budaya kafir-mengkafir.

    Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, hanya Allah SWT yang layak untuk menentukan sama ada manusia ke syurga atau neraka dan bukannya manusia.

    Tambahnya, manusia dilarang untuk terus menghukum hanya kerana segelintir daripadanya tidak mengetahui atau jahil dalam sesuatu perkara, sebaliknya saling menasihati antara satu sama lain.

    Ujar Ahmad Fadhli, perkara tersebut merupakan ideologi yang diajarkan kepada Pemuda Pas dan juga ahli parti itu kerana agama mengajarkan supaya menasihatkan orang lain supaya tidak terjebak dalam unsur kejahatan.

    “Agama adalah nasihat, maka menasihati orang lain supaya tidak terjerumus ke dalam neraka atau melakukan kejahatan merupakan satu intipati agama, bukan melabelkan kafir dan sebagainya,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • PRN: Bersatu pecat ahli bertanding Bebas di DUN Kota Siputeh-Hamzah

    PRN: Bersatu pecat ahli bertanding Bebas di DUN Kota Siputeh-Hamzah

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan keahlian bekas Ketua Bersatu Bahagian Jerlun, Abdul Ramli terlucut serta-merta kerana bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan Abdul telah melanggar fasal 10.2.4 perlembagaan parti.

    “Bersatu memandang serius isu pelanggaran disiplin dan akan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mensabotaj calon Perikatan Nasional (PN) dalam PRN kali ini.

    “Bersatu sebelum ini juga telah memecat seorang ahli parti dari Bahagian Hulu Selangor dan menggantung keahlian dua yang lain, selama tiga tahun, disebabkan kesalahan sabotaj ketika kempen pilihan raya berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu katanya, berbaki lima hari tempoh berkempen, seluruh ahli serta jentera Bersatu adalah diseru supaya memberikan tumpuan serta fokus sepenuhnya dalam memastikan kemenangan kepada kesemua calon PN.

    Jelasnya, ini sama ada yang bertanding di bawah lambang PN atau Pas bagi menterjemahkan referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, lapor Sinar Harian.

    Bersatu turut mendedahkan surat berhubung kedudukan keahlian Abdul sebagai ahli Bersatu bertarikh 4 Ogos 2023.

    Menerusi surat berkenaan keahlian Abdul adalah terhenti serta-merta berdasarkan Perlembagaan Bersatu kerana tindakannya menjadi calon Bebas DUN tersebut.

    Sebelum ini media melaporkan penolakan terhadap calon PN bagi DUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang didakwa calon luar atau calon payung terjun menjadi punca Abdul bertanding sebagai calon Bebas PRN.

    Abdul berkata, beliau bersedia dipecat daripada Bersatu berikutan tindakan yang dianggap melanggar peraturan parti.

  • Tawaran Selangor terhasil daripada keprihatinan, nasib rakyat-Muhyiddin

    Tawaran Selangor terhasil daripada keprihatinan, nasib rakyat-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Tawaran Selangor Baharu Kita Bangkit dihasilkan daripada rasa keprihatinan beliau dan gabungan politik itu dalam usaha mengurangkan beban rakyat.

    “Jujur saya katakan, tawaran ini terhasil dari rasa keprihatinan saya dan pasukan Perikatan Nasional Selangor terhadap masalah yang membelenggu rakyat di Selangor sekaligus mengurangkan beban mereka dan merancakkan ekonomi di Selangor.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mengadakan sesi soal jawab pada Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Pilihan Raya Negeri Selangor 2023 di Shah Alam, baru-baru ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Dengan tawaran bernilai lebih RM2.0 bilion ini saya yakin mampu memberi sinar kepada rakyat yang sangat memerlukan.

    “Di sini saya sertakan 17 tawaran daripada 112 tawaran keseluruhan yang telah saya umumkan semalam.

    “Boleh layarai https://www.pnbest.my/selangor untuk dapatkan versi penuh Tawaran Selangor Baharu Kita Bangkit yang mengandungi 7 tunjang, 25 pendekatan dan 112 tawaran,” katanya dalam entri terbaharu Facebook miliknya, hari ini.

  • Calon PN DUN Jeram Padang nafi terlibat kongsi gelap

    Calon PN DUN Jeram Padang nafi terlibat kongsi gelap

    CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Seri S. Surash menafikan dakwaan dirinya terlibat dalam aktiviti kongsi gelap seperti dalam video tular di aplikasi Whatsapp semalam.

    Katanya, perbuatan itu terang-terangan bertujuan untuk menganggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang disertainya selaku calon DUN berkenaan.

    “Banyak yang tidak berasas dalam itu…pasal pendidikan saya, isu-isu pasal wang dan kereta saya miliki….itu semua tidak benar kerana kalau saya buat jahat saya percaya pihak polis ada sentiasa memantau saya.

    “Mereka tahu siapa saya sebenarnya, lagipun sebelum jadi calon sebelum dapat watikah kita kena juga buat satu laporan polis untuk saringan.

    “Sekarang ini masih lagi orang hantar (fitnah) yang buruk, bukan sahaja kata saya terlibat kongsi gelap tetapi menyentuh peribadi,” katanya kepada pemberita di Jempol hari ini.

    Katanya, laporan polis dibuat bagi menegakkan keadilan mengikut undang-undang sekali gus mencegah jenayah fitnah yang dilihat mampu mengugat keharmonian negara.

    Beliau menafikan sekeras-kerasnya segala dakwaan fitnah itu dan yakin tindakan pihak tidak bertanggingjawab itu disebabkan tidak berpuas hati atas kebajikan terhadap penduduk DUN Jeram Padang selama ini.

    “Bagaimana pun saya percaya warga DUN Jeram Padang tahu siapa saya dan cara saya berkerja terutamanya sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas, kini PRN,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Video berdurasi 4:12 minit itu antara lain memaparkan Surash mempunyai tatu disyaki ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap, selain sering memakai pakaian dan kereta berjenama termasuklah gambarnya sedang bersosial.

    Surash sebelum itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol pada pukul 10.53 pagi tadi diiringi jentera pilihan raya PN DUN Jeram Padang.

    Sementara itu, Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook mengesahkan menerima laporan polis itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

    Pada PRU14, Surash bertanding sebagai calon Bebas di DUN sama dan berjaya meraih undi kedua tertinggi selepas calon Barisan Nasional (BN) Datuk L. Manickam yang mempertahankan kerusi berkenaan bagi penggal kedua apabila memperoleh 3,702 undi.

    Surash memperolehi 2,640 undi dan sebagai calon bebas undi yang diterimanya adalah luar biasa berbanding calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperoleh 2,302 manakala calon daripada Pas mendapat 785 undi.