Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lelaki ditahan tunjuk kemaluan kepada wanita, beronani sambil bawa motosikal

    Lelaki ditahan tunjuk kemaluan kepada wanita, beronani sambil bawa motosikal

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki berusia 26 tahun ditahan polis kerana berkelakuan biadab menunjukkan kemaluan kepada dua wanita selain beronani sambil menunggang motosikal di Jalan Teroi menuju ke Sungai Yan, Kedah, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, kejadian itu didakwa berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi tadi ketika seorang wanita bersama anak saudaranya melalui jalan tersebut.

    “Wanita itu membonceng motosikal ditunggang anak saudaranya yang juga seorang perempuan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri kursus kulinari. Tiba-tiba, mereka berselisih dengan suspek yang sedang dalam perjalanan ke arah bertentangan sambil beronani.

    “Walaupun tidak mempedulikan tindakan suspek, lelaki itu bagaimanapun secara tiba-tiba memecut dan mengekori mereka sambil terus beronani. Disebabkan itu wanita berkenaan mengeluarkan telefon pintarnya dan merakam perbuatan suspek,” katanya.

    Sehubungan itu katanya, wanita berkenaan hadir ke Balai Polis Yan untuk membuat laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.15 tengah hari tadi.

    “Kedua-dua mereka bimbang kerana sering menggunakan laluan tersebut.

    “Bertindak atas laporan itu, pihak polis kemudiannya melakukan tangkapan terhadap suspek setelah dia dikenal pasti melalui beberapa maklumat diterima,” katanya.

    Tambahnya kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

    Tindakan suspek itu turut dikecam orang ramai apabila perbuatan biadabnya itu tular di media sosial.

  • Zahidi mahu sertai Amanah

    Zahidi mahu sertai Amanah

    BEKAS Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menyatakan hasrat untuk menyertai parti dalam komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Parti Amanah Negara (Amanah).

    Beliau dipecat daripada UMNO baru-baru ini selepas bertanding sebagai calon Bebas semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi.

    “Sebelum ini saya ada memaklumkan akan masuk PH tidak mengira parti komponen yang mana satu pun malah kita sedang berbincang dengan PKR atau Amanah tetapi apabila kita bertanyakan kepada akar umbi (Padang Besar), mereka menyarankan saya supaya menyertai Amanah.

    “Oleh hal demikian, kita tengah menunggu idea daripada akar umbi ini supaya kita dapat sampaikan kepada pihak di atas (PH) dan kepimpinan Amanah kerana hari ini juga seramai 150 orang hadir di sini hendak menyertai PH sama ada PKR atau Amanah.

    “Namun, saya lebih condong penyertaan kepada Amanah malah (pemangku) Setiausaha Amanah Kawasan Padang Besar juga turut hadir dalam majlis hari ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Datuk Zahidi Zainul Abidin Bersama Penduduk Padang Besar di Dewan Bukit Jernih, semalam.

    Turut hadir adalah Ahli Jawatankuasa (AJK) Amanah Perlis merangkap Pemangku Setiausaha Amanah Kawasan Padang Besar, Mat Safar Saad.

    Katanya, sekiranya penyertaannya ke dalam Amanah diluluskan maka sokongan terhadap PH terutama Amanah di Padang Besar akan bertambah kerana dijangka 2,000 orang akan menyertai parti itu secara berperingkat selepas ini.

    Sementara itu, Ketua Amanah Kawasan Padang Besar, Kapten (B) Mohamad Yahaya dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya sudah berbincang dengan semua AJK Amanah kawasan dan mengambil ketetapan bahawa pihaknya terbuka bagi sesiapa yang mahu menyertai parti itu.

  • Ismail Sabri sedia berundur daripada arena politik

    Ismail Sabri sedia berundur daripada arena politik

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, sedia berundur daripada arena politik, dengan perancangan awal untuk berehat sebelum ini sepatutnya selepas berakhir penggal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Perancangan awal itu bagaimanapun terpaksa dilupakan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada 20 Ogos 2021 bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Saya ada merancang jika menang PRU-14, saya akan terus jadi menteri, selepas itu berhenti dan jadi Senator. Tamat perkhidmatan Senator, saya akan terus berhenti,” katanya dalam wawancara khas bersama Berita Harian.

    Ahli Parlimen Bera itu yang dilihat seperti tidak sehaluan dengan kepemimpinan tertinggi parti berkata, pilihan raya umum (PRU) pada 19 November lalu adalah terakhir disertainya.

    “Sebenarnya saya merancang untuk berehat selepas PRU-14, namun ditakdirkan jadi Perdana Menteri,” kata Naib Presiden UMNO itu yang dilantik ke jawatan tertinggi berkenaan selepas hanya 42 hari menjadi Timbalan Perdana Menteri.

    Mengulas perkembangan dalam UMNO, Ismail Sabri mengakui parti makin hilang sokongan berikutan kekalahan pada dua PRU berturut-turut.

    “Tindakan ‘membuang’ satu pasukan untuk mengekalkan satu lagi pasukan hanya menimbulkan pergolakan, akhirnya semakin kurang penyokong. Ini yang saya bimbangkan mengenai masa depan UMNO.

    “Ahli baharu yang hendak masuk (sertai UMNO) pun kurang, yang ada pula keluar. Mungkin keadaan sekarang dikatakan aman kerana tiada lagi ‘kaki melawan’, tetapi sokongan semakin hilang,” katanya.

    Beliau merujuk keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memecat beberapa pemimpinnya selepas PRU-15 kerana dikatakan melanggar peraturan dan keputusan parti, manakala beberapa yang lain pula digantung keahlian.

    Sebelum PRU-15, antara nama-nama besar yang dipecat adalah Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim, disusuli pemecatan terbaru membabitkan Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar pada 27 Januari lalu.

    Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda, Shahril Sufian Hamdan pula antara yang digantung keahlian selama enam tahun.

    Khairy dan Noh antara yang lantang mengkritik kepemimpinan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi dan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 20222) pertengahan Januari lalu yang meluluskan usul tiada pertandingan dua jawatan tertinggi parti.

  • Janda ditangkap khalwat, tak sempat jumpa bakal mentua

    Janda ditangkap khalwat, tak sempat jumpa bakal mentua

    SEORANG janda tidak sempat bertemu keluarga bakal mentuanya selepas dia dan teman lelaki dicekup kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel bajet di Klebang, Melaka pukul 2 pagi tadi.

    Pasangan kekasih itu ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah sempena cuti Thaipusam.

    Pengarah Jaim Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ketika ditahan pasukan penguat kuasa, pasangan itu gagal mengemukakan sebarang dokumen selain mereka didapati tinggal berdua-duaan dalam bilik tanpa sebarang ikatan yang sah.

    “Daripada keterangan diberikan, wanita berusia 32 tahun itu mendakwa baru pertama kali berjumpa dengan teman lelakinya yang lebih muda 10 tahun daripadanya selepas tiga bulan berkenalan di laman sosial.

    “Dia turut mendakwa ada perancangan untuk berkahwin dengan teman lelakinya selain akan ke Kelantan, hari ini untuk bertemu dengan keluarga kekasihnya itu,” katanya, memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, selain pasangan itu, turut ditahan dua lagi pasangan selepas dipercayai tinggal bersekedudukan dengan pasangan bukan muhrim.

    Kesemua yang ditahan katanya, berusia antara 23 hingga 50 tahun dan mereka kemudian dibawa ke pejabat Jaim untuk diambil keterangan lanjut.

    Beliau berkata, ketiga-tiga pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

    Che Sukri berkata, dalam operasi sama, JAIM turut mengeluarkan tujuh saman hadir mengikut Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

    “Jika individu terbabit didapati bersalah, mereka boleh didenda sehingga RM1,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Dua wanita maut, tiga cedera tersepit dalam kereta

    Dua wanita maut, tiga cedera tersepit dalam kereta

    DUA wanita maut apabila kenderaan yang dipandu masing-masing terlibat dalam kemalangan di Jalan Junid, Muar pukukl 1.15 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan tiga lagi mangsa mengalami kecederaan.

    “Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar telah bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat mengenai satu kemalangan maut di Jalan Junid melibatkan dua kereta.

    “Hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta jenis Proton Wira dari arah Desa Keroma yang menghala ke Bandar Muar telah bertembung dengan kereta jenis Proton Saga BLM yang memasuki simpang secara mengejut dari arah bertentangan hingga menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbabas ke kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Akibat kemalangan tersebut katanya, seorang wanita yang juga merupakan penumpang kereta jenis Proton Wira berusia 34 tahun dan seorang pemandu wanita kereta jenis Proton Saga BLM berusia 45 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

    Katanya, tiga mangsa lain mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk rawatan.

    Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian terbabit diminta hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    Sementara itu menurut Pegawai Bomba Kanan II yang juga merupakan Komander Operasi bagi kemalangan berkenaan, Misholifadzil Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan berkenaan pada Ahad pukul 12.59 tengah malam.

    Katanya, satu jentera FRT dan dua unit RIM dengan sembilan anggota telah dihantar ke lokasi kemalangan berkenaan.

    “Sebaik tiba ke lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kemalangan berkenaan melibatkan kereta jenis Proton Wira dan Proton Saga BLM.

    “PKO kemudiannya menggunakan peralatan khas rescue tools and stretcher bagi membantu lima mangsa yang tersepit manakala dua lagi mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi.

    “Dua mangsa yang meninggal kemudiannya diserahkan kepada pihak polis manakala tiga mangsa yang tersepit dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Dakwaan sokongan kepada Shahrizat sekadar pecah belah Wanita UMNO

    Dakwaan sokongan kepada Shahrizat sekadar pecah belah Wanita UMNO

    DAKWAAN seramai 147 Ketua Wanita UMNO bahagian seluruh negara, menyokong supaya bekas ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, kembali menerajui sayap itu, didakwa tidak benar sama sekali.

    Pengarah Komunikasi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Rosni Zahari, menjelaskan dakwaan sokongan itu sebaliknya mencetuskan kegusaran terhadap keharmonian, kedamaian serta setia kawan dalam sayap parti itu.

    Beliau yang juga Exco Wanita UMNO berkata: “Saya terbaca kenyataan akhbadan EXCO Wanita UMNO, Dr bertarikh 3 Februari yang dibuat Ketua Wanita Kota Melaka bahawa ada 147 bahagian wanita menyokong Shahrizat sebagai Ketua Wanita UMNO.

    “Selaku orang lama dalam Exco Wanita, saya sudah buat penyiasatan dan kajian terhadap kenyataan itu yang ternyata tidak benar sama sekali.

    “Rata-rata mereka menyatakan kegusaran mereka mengenai keharmonian, kedamaian dan setia kawan dalam parti terutama dalam keadaan UMNO tengah nazak.

    “Wanita mahukan kestabilan dalam membina kekuatan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada asas perjuangan UMNO. Rakyat sudah muak melihat perebutan yang tak sudah. Tidakkah kita semua terfikir apa yang difikirkan oleh rakyat di luar sana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Rosni yang berpengalaman berada di bawah kepemimpinan empat peneraju sayap itu sebelum ini, mengakui setiap daripada mereka mempunyai corak kepemimpinan yang tersendiri dan berbeza.

    “Apa yang pasti dan nyata, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, diangkat menjadi Ketua Wanita di saat UMNO sangat lemah, tiada kuasa dan tiada wang ringgit apatah lagi harta, tidak sama dengan kepimpinan terdahulu yang semuanya ada.

    “Jadi tidak adil kepada Noraini jika ada sesiapa mahu samakan beliau dengan kepimpinan terdahulu. Dalam pada sukar pun, Noraini cuba buat yang terbaik dalam mengarusperdanakan wanita semampu mungkin.

    “Ramai Ketua Wanita UMNO bahagian yang berkelayakan berjaya diangkat dan diletak dalam Ahli Lembaga Pengarah (ALP) universiti,” katanya.

    Beliau mengingatkan sayap UMNO itu untuk mengelak dengan naratif lama dengan mengulangi kesilapan lalu.

    “Jangan ulangi kesilapan lalu di mana anak-anak muda melaungkan rindu zaman Tun M (Tun Dr. Mahathir Mohamad), sudah menang pilihan raya, jadi kerajaan 22 bulan ternyata hancur berkecai negara.

    “Begitu juga kita dalam wanita, berfikirlah secara waras. Jangan ikut hasutan dan adu domba mereka yang mempunyai agenda dan kepentingan peribadi. Kelak nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran,” katanya, lapor Berita Harian.

    Katanya, wanita UMNO harus istiqamah, muhasabah diri dan merenung jauh dengan melihat ke mana wanita UMNO mahu dibawa, sama ada bergerak ke hadapan atau mengundur ke belakang.

    Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah, dalam satu kenyataan sebelum ini mendakwa seramai 147 Ketua Wanita UMNO Bahagian menggesa Shahrizat kembali menerajui kepimpinan Wanita UMNO Malaysia pada pemilihan bulan depan.

  • Thaipusam ciri unik kepelbagaian budaya, kepercayaan – Pas

    Thaipusam ciri unik kepelbagaian budaya, kepercayaan – Pas

    PAS menyifatkan perayaan Thaipusam yang disambut sebagai ciri unik kepelbagaian budaya dan kepercayaan masyarakat di Malaysia.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebagai perayaan kedua terpenting bagi penganut agama Hindu di negara ini selepas Deepavali, Thaipusam mempunyai tarikan tersendiri terutamanya kepada pelancong asing.

    “Pas mengucapkan selamat sejahtera dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia beragama Hindu yang menyambut perayaan Thaipusam hari ini dan esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, Pas berharap perayaan ini akan berjalan dalam suasana harmoni, lancar dan yang paling utama selamat kepada semua pihak tanpa apa-apa insiden tidak diingini serta membahayakan baik dalam kalangan peserta mahupun khalayak awam.

    “Semoga semua doa dan harapan baik yang mengiringi sambutan ini akan tertunai dan menambah kepada kebaikan bersama semua rakyat dan negara kita,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Akaun beku: Bersatu heret SPRM ke mahkamah

    Akaun beku: Bersatu heret SPRM ke mahkamah

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengheret Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke mahkamah, jika permohonan membatalkan perintah pembekuan akaun tidak diluluskan.

    Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau belum menerima perkembangan lanjut, susulan permohonan pembatalan perintah itu yang dihantar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Saya pun tak pasti sama ada parti sudah tulis surat atau belum, walapun pastinya surat berkenaan akan dibuat dalam kadar segera. Waktu ini hujung minggu. Mungkin minggu depan kita akan dapat tahu jawapan dari SPRM.

    “Tentunya perkara-perkara seperti ini (saluran perundangan) akan kami bincangkan dengan pucuk pimpinan, termasuk bersama Presiden untuk tindakan sewajarnya,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata demikian ditanya perkembangan terkini kenyataan Muhyiddin yang menjelaskan surat permintaan pembatalan perintah pembekuan akaun Bersatu kepada SPRM dihantar kelmarin.

    Ahmad Faizal berkata, pembekuan akaun oleh SPRM memberi kesan sangat besar kepada Bersatu.

    Beliau berkata, pemimpin parti itu tidak perlu mengumumkan secara terperinci sumber wang yang diterima Bersatu hingga membawa kepada pembekuan akaun itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM, bagi menjalankan siasatan.

    “Saya sudah jawab tetapi saya fikir tidak perlu lagi saya jawab secara terperinci kerana tentunya pihak berwajib iaitu SPRM akan siasat,” katanya lapor BH.

  • “Saya akan teruskan perkhidmatan di Tambun walau ada kekangan’ – Ahmad Faizal

    “Saya akan teruskan perkhidmatan di Tambun walau ada kekangan’ – Ahmad Faizal

    WALAUPUN tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi jaminan bahawa beliau tidak akan meninggalkan Parlimen Tambun.

    Sebaliknya, kata bekas Menteri Besar Perak dan bekas Menteri Belia dan Sukan itu, beliau akan meneruskan khidmat yang telah diberikan sebelum ini.

    Bagaimanapun, beliau mengakui akan menghadapi kekangan kerana tidak lagi mempunyai peruntukan daripada kerajaan.

    “Ini termasuk peruntukan untuk contohnya, van jenazah, ambulan saya masih beroperasi, kita teruskan kerana perkhidmatan untuk membantu rakyat, tanpa mengira parti, bukan bersebabkan kita mahu menjadi wakil rakyat untuk kita kekal menang, tidak.

    “Ianya adalah satu tanggungjawab sosial bagi semua pihak. Jadi pihak Perikatan Nasional, saya sendiri akan meneruskan apa juga perkhidmatan yang telah saya berikan sebelum ini,” kata Ahmad Faizal.

    Beliau ditemui dalam majlis kenduri kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Tambun dan Pusat Khidmat Rakyat DUN Manjoi di Ipoh, hari ini.

    Pada PRU15 lalu, Ahmad Faizal tewas kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan majoriti 3,736 undi.

    Beliau turut mengucapkan tahniah kepada rakyat Tambun kerana mendapat Ahli Parlimen yang juga Perdana Menteri ke-10 dan menzahirkan kesediaan beliau untuk bekerjasama dengan Anwar untuk membantu rakyat di Tambun, lapor Astro Awani.

  • Hajiji Presiden Gagasan Rakyat, GRS kini sepenuhnya tempatan

    Hajiji Presiden Gagasan Rakyat, GRS kini sepenuhnya tempatan

    BEKAS Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor secara rasmi mengambil alih tampuk kepimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

    Ketua Menteri Sabah itu pada masa sama dilantik sebagai Presiden parti berkenaan menerusi Mesyuarat Agung Khas yang diadakan hari ini.

    Kepimpinan Gagasan Rakyat turut dibarisi oleh Datuk Seri Masidi Manjun sebagai Timbalan Presiden, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif (Naib Presiden I), Datuk Rubin Balang (Naib Presiden II) dan Datuk Masiung Banah (Naib Presiden III).

    Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita ialah Datuk Redonah Bahanda, Ketua Pergerakan Pemuda ialah Datuk Fairuz Renndan dan Ketua Pergerakan Beliawanis, Emmie M. Idang.

    Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, menerusi langkah itu semua ahli kini mempunyai wadah politik yang 100 peratus tempatan untuk meneruskan perjuangan mereka kepada rakyat dan negeri Sabah.

    “Dua ciri utama Gagasan Rakyat yang menjadi faktor penarik saya dan rakan-rakan untuk bersama-sama dalam parti ini ialah parti berbilang kaum yang membawa citra inklusif dan parti suara anak Sabah yang mengangkat citra perjuangan tempatan.

    “Ini juga faktor yang meyakinkan rakan-rakan dalam GRS untuk menerima segera Gagasan Rakyat sebagai rakan komponen terbaharu mereka,” katanya pada mesyuarat itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di Kota Kinabalu.

    Hajiji berkata, hasrat menjadikan GRS sebagai platform tempatan dengan disertai parti tempatan sudah lama dinyatakan sebelum ini.

    “Komponen GRS sudah lama menyatakan hasrat agar GRS menjadi platform tempatan dalam erti kata sebenar, iaitu semua rakan kongsi menjadi parti tempatan.

    “Sekarang kita 100 peratus tempatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau dalam pada itu berkata, penerangan secara lebih terperinci hala tuju Gagasan Rakyat sempena akan dilakukan sempena pelancaran parti itu pada 2 Mac depan.

    Gagasan Rakyat akan menubuhkan struktur organisasi parti di semua 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk pembentukan sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis.

    Mesyuarat agung tahunan cawangan dan bahagian telah dijadualkan pada Julai dan September bersama kongres tahunan pada November depan.

    Hajiji sebelum itu turut mengucapkan terima kasih kepada bekas Presiden parti, Stephen Jimbangan dan kepimpinan parti itu atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadapnya serta atas kesediaannya berkorban demi kebaikan Sabah dan rakyatnya.