Author: Wartawan WartaRakyat

  • Ketua Pas Perak mohon maaf kepada Anwar berhubung dakwaan LGBT

    Ketua Pas Perak mohon maaf kepada Anwar berhubung dakwaan LGBT

    KETUA Pas Perak Razman Zakaria memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini kerana mendakwa Anwar membenarkan amalan LGBT, dalam ceramah pada kempen pilihan raya tahun lepas.

    Permohonan maafnya dibuat di Mahkamah Tinggi di Taiping sebagai sebahagian daripada penghakiman persetujuan untuk menyelesaikan kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Anwar terhadapnya.

    Peguam Anwar, SN Nair berkata, anak guamnya bersetuju dengan penyelesaian itu sebagai tanda muhibah dan membiarkan perkara itu selesai ‘demi kepentingan semua pihak’.

    “Apabila seorang individu menyesal (atas perbuatannya) dan memohon maaf dengan suci hati, seorang pemimpin yang baik budinya akan menerima permohonan maaf itu dan menarik balik saman,” kata Nair sambil menambah ,penyelesaian itu telah menyangkal tuduhan terhadap Anwar.

    Saman itu difailkan pada 5 Disember berhubung dakwaan Razman bahawa Anwar berkata dalam ucapan kempennya beliau akan mempromosikan agenda LGBT, membenarkan perkahwinan sejenis dan menyokong agenda komunis, jika menjadi Perdana Menteri.

    Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), bertanding sebagai Ahli Parlimen Tambun pada PRU-15 November tahun lepas.

    Beliau menang dengan majoriti 3,736 undi, mengalahkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu dan dua calon lain. Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri pada 24 November.

    Razman ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN )Gunong Semanggol dan ketua pembangkang di Perak.

    Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Taiping itu, Anwar menuntut ganti rugi RM5 juta dan injunksi untuk menghalang Razman daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah terhadapnya.

    Menurut pernyataan tuntutan, dakwaan Razman membayangkan bahawa Anwar telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Ahli Parlimen, juga seorang penipu, pengkhianat, munafik dan bukan orang Islam yang baik, lapor FMT.

  • Khairy mula tugas sebagai DJ Hot FM minggu depan

    Khairy mula tugas sebagai DJ Hot FM minggu depan

    MEDIA Prima Audio (MPA) hari ini mengesahkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan memulakan tugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM Rabu depan.

    MPA dalam satu kenyataan berkata, Khairy akan mengendalikan segmen Bekpes Hot di stesen radio popular itu, mulai 15 Februari ini.

    Menurut laporan Berita Harian, Khairy mengesahkan akan menyertai Hot FM dalam temu bual menerusi telefon di segmen Bekpes Hot.

    Kenyataan MPA menyebut minggu lalu tawaran Hot FM kepada Khairy dibuat menerusi surat terbuka di Instagram berhubung jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi.

    Tambah MPA, selaras dengan ‘tagline’ stesen radio Hot FM iaitu ‘Yang Hangat dan Terbaik’, pihaknya berharap kehadiran Khairy bersama tonggak utama Bekpes Hot dapat memberikan suntikan baru kepada stesen radio itu.

    Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata peluang menawarkan Khairy sebagai penyampai radio diambil Hot FM bagi memastikan pengisian dan kandungan segmen Bekpes Hot lebih segar dan relevan kepada pendengar.

    “Khairy atau KJ bukan sahaja ahli politik dan pemimpin yang hebat, tetapi juga beliau pempengaruh yang mempunyai impak besar buat rakyat Malaysia.

    “Kehadiran KJ bukan hanya akan memberi sesuatu yang berbeza kepada pendengar menerusi gandingan ahli politik, pelawak dan penyampai radio, tetapi dimensi baharu untuk landskap radio negara.

    “Pengisian dan kandungan segmen akan diolah untuk menjadi lebih segar, komedi yang melucukan, celoteh dan gelak tawa yang menghiburkan serta mampu memberi aura positif kepada pendengar,” katanya.

    Khairy sebelum ini berkhidmat selama tiga penggal sebagai Ahli Parlimen Rembau sebelum tewas dalam pilihan raya umum lalu kepada R. Ramanan dari PKR dalam persaingan merebut kerusi Parlimen Sungai Buloh.

    Selain menerajui Kementerian Kesihatan, beliau juga pernah menjadi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta menteri Belia dan Sukan.

  • Padah komen berbaur perkauman, wakil hoki negara digantung

    Padah komen berbaur perkauman, wakil hoki negara digantung

    TERLAJAK kata buruk padahnya, Hanis Nadiah Onn digantung daripada mewakili pasukan hoki negara ke susulan komennya yang didapati berbaur perkauman.

    Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan berkata, Hanis Nadiah merosakkan imej pasukan dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), yang jelas melanggar kod etika badan itu.

    “Sehubungan itu, jawatankuasa siasatan memutuskan untuk KHM tidak mempertimbangkan Hanis dari mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Cambodia 2023.

    “Pihak KHM  akan menilai semula keputusan ini sekiranya Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

    Menurut kementerian, jawatankuasa siasatan juga berharap tindakan itu menjadi pengajaran kepada Hanis serta semua atlet untuk sentiasa berhati-hati dengan status mereka di media sosial.

    Penggantungan Habis itu dibuat susulan mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Malaysia (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada 7 Februari 2023.

    Hanis Nadiah Onn didakwa menulis komen berbaur perkauman di Instragram berkenaan konsert artis dan penggubah lagu India, AR Rahman pada 28 Januari. 

    Jawatankuasa siasatan dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden KHMS ubahan Kamal.

    Hanis dipanggil untuk sesi temu bual bagi membantu siasatan.

    Dalam sesi berkenaan, menurut kementerian, Hanis mengaku memuat naik komen “bau best la kat dalam tu” serta emoji ketawa sehingga mengeluarkan air mata kepada gambar dan video konsert itu.

    “Hanis menegaskan tidak mempunyai sebarang sentimen perkauman semasa memuat naik ciapan yang sekadar jenaka dan merujuk kepada keadaan stadium dipenuhi puluhan ribu penonton. 

    “Beliau hanya menyedari wujudnya elemen berbaur perkauman setelah ditegur oleh netizen. 

    “Ekoran daripada teguran itu, Hanis telah memadam komen beliau pada pagi 29 Januari 2023 dan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi laman media sosialnya ekoran kekhilafan itu,” menurut kementerian, lapor MalaysiaKini.

    Bagaimanapun, menurut kementerian, Hanis mengakui amat kesal dengan keterlanjuran komennya dan menegaskan bahawa dia bukan ‘racist’ dan membesar dalam masyarakat majmuk serta memiliki ramai rakan India.

    Setelah menilai penjelasan itu, jawatankuasa siasatan bagaimanapun mendapati komen itu ditujukan kepada konsert dihadiri majoriti kaum India dan dia justeru didapati bersalah.

  • Ajak anak masuk Islam, ibu buat laporan polis terhadap guru

    Ajak anak masuk Islam, ibu buat laporan polis terhadap guru

    POLIS membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan seorang guru lelaki sebuah sekolah di Cheras yang mendorong seorang pelajarnya memeluk agama Islam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, siasatan itu susulan laporan diterima daripada seorang wanita yang juga ibu kepada pelajar terbabit, semalam.

    “Laporan tersebut dibuat seorang wanita tempatan pada pukul 10.21 pagi yang mendakwa seorang guru lelaki berusia dalam lingkungan 40-an telah mendorong anak lelakinya yang berusia 15 tahun memeluk agama Islam.

    “Akibat tidak berpuas hati tindakan guru itu, ibu pelajar tersebut tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Menurut Zam Halim, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 298A dan 505(b) Kanun Keseksaan.

    “Siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kejadian ini dan beberapa orang saksi telah dirakam percakapan.

    “Sehubungan itu, kami menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini,” jelasnya.

    Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, atau Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau mana-mana balai yang berdekatan.

  • Warga emas melecur dalam kebakaran di PPR Desa Petaling

    Warga emas melecur dalam kebakaran di PPR Desa Petaling

    SEORANG warga emas melecur selepas kediamannya di Blok B, Projek Perumahan Rakyat Desa Petaling terbakar, pagi tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 6.41 pagi.

    Beliau berkata, sepasukan 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak, Sri Petaling dan Seputeh dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Komander Operasi Roshdi Fitri Roslan berkata, bomba tiba di lokasi kejadian dan mendapati sebuah rumah di tingkat satu musnah 70 peratus dalam kebakaran.

    “Sementara warga emas melecur sebanyak 20 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 7.50 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan.

  • PRN: Bersatu dapat lapan kerusi di DUN Kelantan

    PRN: Bersatu dapat lapan kerusi di DUN Kelantan

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diberi keutamaan untuk bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan disandang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Pengerusi Bersatu Kelantan, Kamaruddin Md. Nor berkata, Perikatan Nasional (PN) pada asasnya sudah bersetuju memandangkan Pas menang 37 daripada 45 DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Beliau bagaimanapun menegaskan, rundingan pembahagian kerusi belum muktamad dan pintu masih terbuka untuk sebarang kemungkinan.

    “Secara dasarnya kita ada persetujuan iaitu Bersatu diberi keutamaan untuk bertanding di kerusi disandang UMNO.

    “Pas juga mungkin akan bertanding di beberapa kawasan yang kini tidak diwakili mana-mana wakil rakyatnya seperti bawah Parlimen Gua Musang dan Jeli…itu antara cadangan yang mungkin akan dibincangkan,” katanya seperti dilapor portal FMT.

    Pada masa sama, Kamaruddin menegaskan, tidak wujud perasaan tak puas hati dalam kalangan parti komponen PN berhubung pembahagian kerusi DUN Kelantan.

    “Kita bertoleransi sesama kita untuk kebaikan bersama dan yang penting kemenangan, supaya kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas sekarang mewakili PN dapat dikekalkan.

    “Kita sasar menang semua 45 DUN seperti mana (menang semua) 14 Parlimen pada PRU lepas,” katanya.

    Beliau menambah hanya Pas dan Bersatu akan mewakili PN di Kelantan, memandangkan pengundi Melayu membentuk majoriti di sana.

    Gerakan pula akan bertanding di kawasan-kawasan majoriti pengundi bukan Melayu di negeri lain, tambahnya.

  • Gempa Turkiye: Mangsa terperangkap di bawah runtuhan minta air untuk dirikan solat

    Gempa Turkiye: Mangsa terperangkap di bawah runtuhan minta air untuk dirikan solat

    USAHA pencarian dan penyelamatan masih giat dijalankan di selatan Turkiye dan utara Syria susulan gempa yang menggegarkan wilayah itu pada Isnin.

    Bukan sahaja disertai oleh anggota keselamatan namun orang awam juga turut membanting tulang menyertai misi itu bagi membolehkan proses penyelamatan waris keluarga dan jiran dapat disegerakan.

    Namun pelbagai reaksi dan momen yang berlaku sepanjang proses pencarian dan penyelamatan yang memenuhi segenap platform media sosial sejak Isnin lalu.

    Antara yang mendapat perhatian termasuk usaha menyelamatkan seorang warga emas yang masih terperangkap dalam runtuhan bangunan.

    Dalam muat naik oleh wartawan, Muhammad Smiry di laman Twitter, video berdurasi 36 saat itu dilaporkan dirakam di salah satu kawasan terjejas di Turkiye memaparkan seorang warga emas dilihat masih terperangkap dan tidak dapat dikeluarkan berkemungkinan terdapat halangan atau kesempitan.

    Berdasarkan kapsyen video berkenaan, Muhammad Smiry menjelaskan, warga emas itu meminta air bagi mendirikan solat dalam keadaan masih terperangkap kerana tidak mahu meninggalkan kewajipan itu.

    “Seorang warga emas meminta air untuk mengerjakan solat, sementara orang ramai memberitahunya bahawa dia boleh mengerjakan solat dalam situasi tersebut,” melalui kapsyen Muhammad Smiry di akaun Twitter miliknya, lapor Astro Awani.

    Ciapan berkenaan mendapat perhatian warganet apabila ia ditonton lebih 500,000 kali dan diulang ciap lebih 3,000.

  • Saya masih trauma – Pelajar Malaysia di pusat gempa

    Saya masih trauma – Pelajar Malaysia di pusat gempa

    “WALAUPUN berlaku gegaran kecil, ia menakutkan saya. Saya masih lagi trauma,” kata Zahirul Amin Moiswa Universiti Gaziantep, yang kini berada di bawah jagaan Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Turkiye.

    Mengimbau detik sebelum gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter menggegarkan Turkiye dan Syria pada Isnin lalu, Zahirul yang mengikuti pengajian Sejarah Islam di universiti berkenaan berkata ketika kejadian, dia sedang menonton televisyen.

    “Kami sering mengalami gegaran kecil di sini (Gaziantep), sekali sekala. Jadi, saya tidak ambil kisah pada mulanya. Tapi pada Isnin, selepas beberapa gegaran kecil, ia berlainan sekali. Kami betul-betul bergoncang (gegaran yang sangat kuat).

    “Pada mulanya, saya tidak tahu apa perlu dilakukan. Asrama saya di tingkat lima dan bila saya lihat rakan di aras sama berlari turun. Saya pun ikut berbuat demikian.

    “Bekalan elektrik juga terputus. Saya tinggalkan bilik sehelai sepinggang, saya hanya sempat mengambil telefon bimbit supaya saya boleh menghubungi keluarga di kampung,” katanya kepada Bernama yang dihubungi melalui telefon dari Kedutaan Besar Malaysia di Angkara, Turkiye hari ini.

    Gempa bumi yang berpusat di wilayah Kahramanmaras di tenggara Turkiye, kira-kira 78 kilometer dari Gaziantep dikatakan gempa paling kuat melanda wilayah itu dalam tempoh lebih 100 tahun dan setakat ini telah mengorbankan 10,000 orang di Turkiye dan Syria.

    Sebelum gegaran susulan, Zahirul, pelajar tahun dua di universiti itu berkata dia dan rakan lain termasuk seorang lagi pelajar Malaysia Wan Isyraf Wan Haziq, 19, yang baru empat bulan mengikuti pengajian Bahasa Turki di universiti sama, telah pulang ke bilik masing-masing untuk mendapatkan barangan keperluan.

    Menurutnya, walaupun bangunan asrama didiaminya tidak terjejas, namun gempa bumi itu telah mengakibatkan berlakunya retakan dan menyebabkannya tidak selamat untuk diduduki.

    “Pada hari pertama, kami tinggal di masjid berhampiran yang kemudiannya menjadi sesak. Pada hari kedua, kami dapat maklumat universiti juga menyediakan penginapan, jadi kami kembali ke sana,” katanya.

    Kedua-dua pelajar Malaysia itu kemudiannya telah dihubungi oleh Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan mereka kini ditempatkan di sana.

    “Kami amat berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh Kedutaan Malaysia dan Indonesia di sini,” katanya sambil menambah fokus utama adalah untuk meninggalkan Gaziantep dan pergi ke tempat lebih selamat.

    “Malah sehingga sekarang, gegaran masih dirasai di Gaziantep setiap tiga jam. Pada hari pertama kami dapat rasai gegaran setiap jam,” katanya.

    “Ketika ini, kami masih dalam cuti semester dan tamat pada 20 Feb. Jika selamat untuk kembali ke universiti, saya akan balik tapi jika universiti mahu mengadakan pengajian secara maya, saya mungkin memilih untuk kembali ke Malaysia dan mengikuti pengajian secara maya dari rumah,” katanya.

    Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal berkata pihak kedutaan sedia membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat gempa bumi itu.

    Malaysia adalah antara negara pertama bertindak balas terhadap bencana melanda Turkiye, dengan pengumuman sumbangan AS$1 juta untuk membantu mangsa gempa bumi dan telah mengerahkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kedua ke negara itu.

    Mengenai penghantaran pasukan SMART kedua, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia dilakukan berikutan keberkesanan pasukan SMART pertama iaitu di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang telah berlepas ke Turkiye pada Isnin lalu. – BERNAMA

  • Siasatan terhadap MAINS selesai pada 2019, tiada unsur rasuah

    Siasatan terhadap MAINS selesai pada 2019, tiada unsur rasuah

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan mendapati tidak wujud sebarang unsur jenayah rasuah mengikut Akta SPRM 2009 berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn Bhd.

    Pengarahnya, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail menegaskan, kertas siasatan berhubung isu berkenaan telah dibuka pada 2019 dan siasatan selesai pada tahun sama.

    Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun semalam dilaporkan meminta SPRM dan polis memaklumkan sekiranya ada tindakan diambil berhubung perkara itu.

    Beliau tidak tahu apa yang berlaku kerana tidak lagi berada dalam MAINS.

    “Saya rasa SPRM dan polis masih menjalankan siasatan, jadi kita serah kepada pihak yang menyiasat kes itu,” katanya.

    Terdahulu, tular dalam media sosial dakwaan pecah amanah mengaitkan beberapa pegawai MAINS membabitkan jutaan ringgit kutipan zakat.

    SPRM dilaporkan sudah menerima maklumat berhubung dakwaan itu, tetapi tiada tangkapan dibuat sehingga kini.

    Selain itu, Awgkok turut menggesa mana-mana pihak untuk menghentikan sebarang spekulasi dan menyebarkan berita palsu berhubung perkara itu.

    “Kita komited dalam usaha memerangi rasuah yang melibatkan dana awam di negeri ini. Oleh itu, siasatan lanjut akan dijalankan sekiranya terdapat maklumat baharu yang diterima,” katanya, lapor FMT, hari ini.

  • Gempa Turkiye, Syria: Lagi mangsa ditemukan selamat, angka korban cecah 12,000

    Gempa Turkiye, Syria: Lagi mangsa ditemukan selamat, angka korban cecah 12,000

    PASUKAN penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan susulan kejadian gempa bumi yang kini telah mengorbankan lebih 12,000 nyawa di Turkiye dan Syria.

    Dalam tempoh dua hari sejak gempa berukuran 7.8 magnitud melanda, ribuan anggota penyelamat bekerja tanpa henti mengharungi cuaca sejuk untuk mencari mangsa yang masih hidup di kedua-dua negara itu.

    Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Turkiye, Kerem Kinik memberi amaran 72 jam pertama merupakan waktu kritikal dalam usaha mencari dan menyelamat.

    Namun beliau akui pasukan penyelamat berdepan cabaran akibat ‘cuaca sejuk melampau’.

    Pasukan kecemasan menemui beberapa kanak-kanak yang terselamat di bawah runtuhan bangunan di Hatay pada Rabu, kawasan paling teruk terjejas di Turkiye.

    “Tiba-tiba kami terdengar suara. Dengan bantuan mesin pengorek kami berjaya menyelamatkan mangsa,” kata seorang anggota penyelamat Alperen Centinkaya seperti dipetik agensi berita Reuters.

    Pihak berkuasa berkata sejumlah 9,057 orang terkorban dalam gempa bumi yang melanda Turkiye manakala 2,992 maut di Syria menjadikan jumlah keseluruhan ketika ini kepada 12,049.