Author: Wartawan WartaRakyat

  • Anggota tentera didakwa rogol anak saudara

    Anggota tentera didakwa rogol anak saudara

    SEORANG anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di Melaka hari ini, atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya, dua tahun lalu.

    Tertuduh yang berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun tanpa kerelaannya di sebuah rumah di Taman Semabok Jaya, di Melaka kira-kira pukul 12 tengah hari, 29 Disember 2021.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minima 10 tahun dan maksima 30 tahun serta sebatan.

    Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dengan cara mencium mulut dan meraba anggota sulit kanak-kanak itu.

    Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11 malam, 28 Disember 2021 lalu di lokasi sama.

    Justeru, tertuduh yang juga bapa kepada dua anak perempuan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

    Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

    Bagaimanapun hujahnya, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa mahupun saksi pendakwaan.

    Ini kerana, ujarnya, tertuduh merupakan adik ipar kepada ibu mangsa dan sewaktu kejadian mangsa di hantar ke rumah tertuduh untuk dijaga oleh isterinya sepanjang tempoh persekolahan.

    Tertuduh yang diwakili peguam Cassian Anthony dan Kent Tan Chow Teng bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan rendah dan menangung isteri serta dua anaknya yang berusia 11 dan 14 tahun.

    Mohd. Sabri pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 serta membenarkan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

    Mahkamah turut menetapkan 16 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia menurut Astro Awani.

  • Datuk Seri mengaku tidak bersalah guna invois palsu

    Datuk Seri mengaku tidak bersalah guna invois palsu

    SEORANG pengarah syarikat perumahan bergelar Datuk Seri didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini, atas satu pertuduhan menggunakan invois palsu, tiga tahun lalu.

    Chin Kok Foong, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nadia Othman.

    Mengikut pertuduhan, dia dituduh menggunakan suatu dokumen yang diketahui palsu iaitu invois bertarikh 28 September 2019 dan 5 Mei 2020 milik sebuah syarikat, pada awal Oktober 2020 di Jalan Stesen Sentral 2, di Kuala Lumpur.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan P. Nom Phot tidak menawarkan ikat jamin kepada tertuduh.

    Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Wan Muhd. Ariff Ameer Wan Normazlan merayu agar diberikan ikat jamin pada kadar yang rendah.

    “Dia perlu menjaga bapa, isteri dan dua anak berusia 14 dan 15 tahun,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nadia membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula kes.

  • Pelajar OKU lemas mandi sungai bersama 5 rakan

    Pelajar OKU lemas mandi sungai bersama 5 rakan

    SEORANG pelajar orang kurang upaya (OKU) ditemukan lemas semasa mandi-manda bersama rakan-rakannya di Sungai Kombat, Felda Perasu di Gua Musang, semalam.

    Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa, Muhammad Fakhrul Imam Zulkepli, 16, yang lembam dalam pembelajaran itu dipercayai hanyut dan tenggelam dibawa arus sungai berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa ke sungai tersebut bersama lima rakan yang juga merupakan jirannya.

    Semasa sedang mandi katanya, mangsa dan seorang lagi rakannya dikenali sebagai Amir telah dihanyutkan ke tempat yang lebih dalam.

    “Menyedari keduanya hampir lemas, rakan-rakannya telah berusaha menyelamatkan mereka. Bagaimanapun, Amir berjaya diselamatkan dan dibawa naik ke tebing sungai.

    “Selepas itu mereka cuba menyelamatkan Muhammad Fakhrul Imam menggunakan sebatang kayu tetapi malangnya ia patah dan hanyut serta tenggelam dibawa arus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Choon Foo berkata, rakan-rakan mangsa kemudian bertindak melaungkan azan dan tidak lama kemudian Muhammad Fakrul Imam telah timbul.

    “Mangsa dibawa ke tebing sungai dan telah dibantu dengan melakukan bantuan pernafasan. Tetapi didapati mangsa tidak memberi sebarang tidak balas.

    “Jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk tujuan bedah siasat,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kerajaan jangan campur tangan kes SPRM, terus fokus isu rakyat

    Kerajaan jangan campur tangan kes SPRM, terus fokus isu rakyat

    KERAJAAN diingatkan supaya tidak mencampuri urusan dalam proses penyiasatan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM), kata Aktivis media sosial, Mohamad Shafiq Abdul Halim.

    Sebaliknya kata beliau, kerajaan perlu terus fokus dalam menangani isu permasalahan rakyat.

    “Rakyat kini sedang menilai prestasi kerajaan hari ini dengan janji yang ditawarkan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

    “Jika terdapat salah laku maka pendakwaan akan dibuat dimana rakyat akan menilai sendiri keputusannya. Jangan kita berteki-teki dan membuat andaian berkaitan penyiasatan SPRM, sekejap rasuah RM600 billion selepas itu turun kepada RM92.5 bilion, selepas itu RM5 billion dan sekarang dikatakan RM300 juta selepas ini berapa lagi diskaun. Rakyat tidak mahu dengar andaian-andaian dan teka-teki ini semua.

    “Bab ini kita serahkan kepada kepakaran pegawai penyiasat SPRM yang terlatih untuk membuat penyiasatan, jangan kita mendahului penyiasatan. Kita tidak mahu perkara lama berulang sebagai contoh Low Taek Jho atau Jho Low yang sempat melarikan diri ke luar Negara dan sukar dikesan serta di ekstradisi semula ke Malaysia.

    “Hal berkaitan permasalahan rakyat harus diutamakan khususnya melibatkan kos sara hidup, kenaikan harga barang dan peluang pekerjaan. Banyak janji yang telah ditawarkan sepanjang tempoh berkempen PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya lagi, pencapaian kerajaan dalam mengurus tadbir dan merangka dasar serta polisi demi kepentingan rakyat adalah perkara yang perlu diambil kira oleh kepimpinan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Malah, kerajaan juga perlu memberi fokus terhadap bajet pada 24 Februari ini dengan meletakkan fokus terhadap golongan muda serta B40 yang benar-benar mengharapkan usaha dan dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada mereka.

    “Bajet akan dibentangkan pada 24 Februari 2023 ini di Dewan Rakyat, bayangkan bajet itu sendiri rakyat tidak nampak. Apakah manfaat kepada rakyat khususnya golongan belia dan B40 yang sangat terkesan sekarang ini. Adakah rakyat diberi peluang untuk memberi komen dan pandangan terhadap bajet yang akan dibentangkan dua minggu lagi.

    “Menteri yang dilantik sekarang perlu memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap kementerian dibawah mereka dan kurangkan berpolitik. Jika mereka tidak memberi tumpuan ke atas kerja mereka sudah tentu pelbagai masalah yang timbul tidak dapat diselesaikan dan rakyat akan terus menderita,” ujarnya lagi, lapor Utusan Malaysia.

  • SWASLA bantu Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup ganja dari Thailand

    SWASLA bantu Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup ganja dari Thailand

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SISTEM teknologi digunakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya membantu badan penguatkuasa tersebut mematahkan cubaan menyeludup ganja dari negara jiran pada kedudukan 2.9 batu nautika, barat laut Pulau Dangli di Langkawi, malam tadi.

    Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kira-kira pukul 10.25 malam tadi, pihaknya mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot fiber menerusi Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) yang memasuki perairan negara dari sempadan Thailand dalam keadaan gelap.

    “Sebuah got peronda yang sedang melaksanakan Op Aman digerakkan ke lokasi bagi memintas dan menyerbu bot fiber tersebut.

    “Menedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia itu, suspek bertindak membuang satu bungkusan guni ke laut berpatah balik menuju ke negara jiran itu,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan dijalankan terhadap bungkusan guni berkenaan menemukan sembilan ketul ganja mampat diletakkan dalam balutan plastik berwarna emas.

    “Dianggarkan kesemua ketulan ganja itu seberat sembilan kilogram bernilai RM45,000.

    “Semua hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut di Langkawi sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya.

    Katanya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal daripada sebarang pelanggaran undang-undang Persekutuan.

    “Sebarang aduan dan maklumat serta insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Lelaki ‘mabuk’ ketum langgar polis di SJR

    Lelaki ‘mabuk’ ketum langgar polis di SJR

    SEORANG anggota polis cedera semasa sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) selepas dilanggar sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Kutan, Wakaf Bharu, kelmarin.

    Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa, Konstabel Nor Azwan Adnan yang merupakan anggota dari Balai Polis Wakaf Bharu mengalami kecederaan di lengan dan tapak tangan serta dahi kanan.

    Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dollah berkata, semasa mangsa sedang bertugas, kereta yang dipandu suspek secara tiba-tiba memecut laju dari arah Pasir Pekan dengan memotong kenderaan lain di hadapannya.

    “Tindakan suspek itu menyebabkan mangsa yang ketika itu sedang membuat pemeriksaan kenderaan telah dilanggar dan tercampak ke seberang jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, anggota tersebut kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

    Ujarnya, susulan kejadian itu, suspek telah ditahan dan hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan terbabit mendapati terdapat cecair disyaki air ketum sebanyak 500 milimeter.

    Amran memberitahu, hasil siasatan awal mendapati suspek berada dalam keadaan dan tingkah laku khayal kesan daripada pengambilan pil epam dan minum air ketum.

    Ujarnya, suspek direman selama empat hari mulai semalam hingga Ahad.

  • Bekas diplomat kritik lantik Nazri duta besar ke AS

    Bekas diplomat kritik lantik Nazri duta besar ke AS

    DUA bekas diplomat mengkritik keputusan Putrajaya melantik Datuk Seri Nazri Aziz daripada UMNO sebagai duta besar ke Amerika Syarikat (AS).

    Menurut bekas diplomat, Noor Farida Mohd. Ariffin dan Dennis Ignatius, menggambarkan pelantikan Nazri sebagai mengecewakan.

    “Tidak adil bagi diplomat sedia ada apabila mereka dinafikan peluang dilantik menjadi duta.

    “Saya fikir perdana menteri membuat pertimbangan yang buruk apabila menamakan Nazri sebagai duta kita ke AS,” kata Noor Farida, bekas duta ke Belanda, lapor FMT.

    Beliau juga berkata, langkah itu melemahkan moral diplomat sedia ada, yang mungkin lebih layak bagi jawatan terbabit.

    Semalam, Kementerian Luar memaklumkan bahawa Nazri dan sembilan yang lain menerima watikah pelantikan sebagai ketua perwakilan diplomatik baharu daripada Yang di-Pertuan Agong.

    Nazri sebelum ini dikaitkan dengan pelantikan duta ke AS dan Switzerland ketika pentadbiran terdahulu.

    Ignatius, bekas pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Kanada, dalam maklum balas ringkas berkata: “Hari demi hari, PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengecewakan.”

    Dalam pada itu, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, pelantikan Nazri bukan perkara luar biasa.

    Pada masa lalu, katanya, ahli politik termasuk Dr. Ismail Abdul Rahman dan Zulhasnan Rafique berkhidmat sebagai duta besar Malaysia ke AS.

    Bagaimanapun, berbanding di Barat, pelantikan ahli politik Malaysia sebagai utusan akan mencetuskan kontroversi.

    “Di Barat, (perkara) lazim ahli politik dilantik sebagai utusan. Kerajaan semasa mesti dibenarkan memutuskan (pelantikan utusan),” katanya.

    Tahun lepas, Putrajaya berdepan tekanan daripada Ahli Parlimen pembangkang susulan rancangan melantik ahli politik, yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, sebagai duta ke Indonesia.

    Bagaimanapun, pelantikannya kemudian dibatalkan.

  • Gempa bumi Turkiye, Syria: Angka korban kini lebih 21,000

    Gempa bumi Turkiye, Syria: Angka korban kini lebih 21,000

    ANGKA kematian akibat gempa bumi dahsyat yang melanda Turkiye dan Syria kini disahkan sekurang-kurangnya 21,051, menurut kenyataan pihak berkuasa kedua-dua negara.

    Di Turkiye, angka kematian meningkat kepada sekurang-kurangnya 17,674 dengan 72,879 yang lain dilaporkan cedera pada Khamis, menurut kenyataan Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye.

    Sementara jummlah kematian di Syria pula meningkat kepada sekurang-kurangnya 3,377 orang.

    Ini termasuk 2,030 mangsa di kawasan yang dikuasai pemberontak di wilayah barat laut, dan 1,347 kematian di bahagian yang dikawal kerajaan di Syria, menurut kumpulan pertahanan awam White Helmets dan media kerajaan Syria.

    Jumlah mangsa yang cedera di Syria merentasi semua wilayah yang terjejas meningkat kepada 5,245, dengan 2,295 dalam kawalan kerajaan serta 2,950 di kawasan yang dikuasai pemberontak.

    Sekurang-kurangnya 78,124 orang cedera di Syria dan Turki, menurut angka daripada kerajaan Turkiye, White Helmets dan media kerajaan Syria, lapor Astro Awani.

  • ”Ini fitnah jahat untuk calar maruah saya dan keluarga” – Muhyiddin

    ”Ini fitnah jahat untuk calar maruah saya dan keluarga” – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin malam ini dengan tegas menafikan  sekeras-kerasnya terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantu beliau.

    Dalam satu kenyataan bekas Perdana Menteri itu menyifatkan, dakwaan itu sebagai satu fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruah beliau dan keluarganya.

    Berikut kenyataan penuh beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden Bersatu;

    Saya merujuk kepada laporan portal Free Malaysia Today bertarikh 8 Februari 2023 yang mendakwa kononnya saya terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantu saya.

    Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini. Ia adalah satu fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruah saya dan keluarga.

    Saya sebagai Perdana Menteri pada masa itu sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka. Proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkaitan. Ia bukan berada di bawah tanggungjawab atau bidang kuasa saya sebagai Perdana Menteri pada waktu itu.

    Selain itu, tiada mana-mana ahli keluarga saya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham.

    Bagaimana saya yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarga saya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak, ditohmah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri dan keluarga?

    Saya percaya ini adalah sebahagian daripada siri tohmahan jahat terhadap saya yang dilakukan oleh kerajaan PH-BN pimpinan Anwar Ibrahim. Tohmahan ini sengaja dibuat untuk menutup kepincangan melampau Perdana Menteri dan anggota kerajaannya melantik anak beranak dalam kerajaan termasuk dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus kontrak kerajaan. Amalan nepotisme ini tidak boleh ditutup dengan melemparkan tohmahan tidak berasas kepada orang lain.

  • Adakah orang Arab yang masukkan dana dalam akaun Najib?

    Adakah orang Arab yang masukkan dana dalam akaun Najib?

    PENDAKWAAN hari ini menimbulkan persoalan sama ada orang Arab yang berterusan memasukkan sejumlah wang tunai yang banyak setiap kali baki dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak tidak mencukupi.

    Perkara itu dibangkitkan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika menyoal bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping yang bertanggungjawab menguruskan akaun peribadi bekas Pedana Menteri itu, pada sesi pemeriksaan semula.

    Joanna yang menjelaskan bagaimana akaun peribadi Najib sentiasa ditambah, berkata akaun terbabit menerima dana melalui urusan di kaunter daripada dua individu yang didakwa sekutu Jho Low iaitu Kee Kok Thiam dan wanita hanya dikenali sebagai Josie.

    Ahmad Akram: Adakah mereka orang Arab?

    Joanna: Setahu saya mereka Cina Malaysia … Mereka rakyat Malaysia

    Menurut saksi ke-41 pendakwaan itu, beliau mengenali Kok Thiam dan Josie ketika berurusan dengan Jho Low yang menjadi pelanggan di AmBank sejak tahun 2007.

    Katanya, Najib selaku pemegang akaun tidak pernah bertanyakan kepada bank mengenai transaksi di kaunter yang dilakukan oleh dua individu berkenaan.

    Dalam prosiding sebelum ini, Joanna berkata seorang individu akan dihantar secara fizikal memasukkan wang tunai dalam jumlah yang besar ke dalam akaun peribadi Najib pada tahun 2014 apabila baki tidak mencukupi.

    Akaun itu kadangkala akan menjadi overdraf, dan beliau akan memaklumkan kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan pemegang mandat akaun, Nik Faisal Ariff Kamil.

    Katanya, Kok Thiam kemudian akan menambah dana ke dalam akaun berkenaan, lapor Berita Harian.