Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bekas Ahli Parlimen Jelebu, ADUN Klawang, meninggal dunia

    Bekas Ahli Parlimen Jelebu, ADUN Klawang, meninggal dunia

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat atau lebih dikenali ‘Apak Yunus’, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

    Berita pemergian Allahyarham yang juga bekas Ahli Parlimen Jelebu, pada usia 68 tahun itu dikongsikan isterinya, Datin Juriah Suleiman, ketika dihubungi media.

    “Saya tidak sangka suami pergi… sebelum itu, kami hendak ke mesyuarat dan suami duduk di kerusi di dalam pejabat. Suami mengadu sakit belakang dan tiba-tiba tidak sedarkan diri. Kami segera membawanya ke hospital, namun doktor mengesahkan suami sudah meninggal dunia.

    “Semalam pun arwah tidak tidur sangat. Sebelum ini, arwah ada meminta nama ahli keluarga yang sudah meninggal dunia untuk membuat kenduri tahlil… tidak sangka suami pergi meninggalkan kami pada Jumaat ini.

    “Jenazah masih di Kuantan ketika ini, dan akan dimandi serta dikafankan di sini,” katanya lapor Berita Harian.

    Juriah berkata, jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Seremban, esok.

    Allahyarham menjadi Ahli Parlimen Jelebu mewakili Barisan Nasional (BN) dari 1995 hingga 1999 dan ADUN Klawang (2008 hingga 2018), selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan dari 2008 hingga 2013.

    Beliau kemudian mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2018.

  • ADUN DAP gesa universiti awam longgarkan kod pakaian

    ADUN DAP gesa universiti awam longgarkan kod pakaian

    SEORANG Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Ho Chi Yang menggesa supaya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti melonggarkan kod berpakaian.

    ADUN Tanah Rata tersebut berkata malahan pentadbiran kerajaan campuran baharu dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak mewajibkan pemakaian tali leher bagi ahli Kabinetnya, malahan Speaker Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul juga berkata Ahli Parlimen tidak lagi diwajibkan memakai tali leher semasa sidang dewan.

    “Oleh itu, kedua-dua badan perundangan dan eksekutif telah menunjukkan semangat yang kuat untuk berkhidmat kepada rakyat dan membangunkan negara daripada mematuhi formaliti yang tidak sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

    Pengarah biro hal ehwal universiti Pemuda DAP itu juga berkata universiti harus menumpukan usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan memupuk bakat dan bukannya mengenakan kod pakaian yang ketat.

    “Sebuah universiti seharusnya menjadi institut pendidikan yang menerima dan menerima pandangan, pemikiran dan tingkah laku yang berbeza bagi menggalakkan pelajar sentiasa menyoal dan berfikir secara kritis.

    “Apabila universiti melaksanakan etika berpakaian yang ketat, ia bukan sahaja menyekat kebebasan pelajar untuk berpakaian tetapi juga, secara langsung atau tidak langsung, menyekat kreativiti pelajar.

    “Dalam jangka panjang, sekatan seperti itu hanya menghalang pembangunan pengajian tinggi Malaysia, yang akan berdasarkan kreativiti dan keberanian pelajar dan akademik untuk mencabar pemikiran sedia ada,” katanya lagi menurut Agendadaily.

    Selain itu, Chi Yang turut membangkitkan insiden pelajar didenda oleh pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kerana mewarna rambut atau memakai terlalu banyak subang.

    Sementara Universiti Utara Malaysia (UUM) pula mengeluarkan notis mewajibkan pelajarnya memakai kasut kulit dan pelajar lelaki memakai tali leher semasa peperiksaan.

    Pada masa yang sama, Chi Yang juga menggesa kerajaan mengeluarkan arahan jelas kepada semua agensi kerajaan bahawa keutamaan mereka harus membantu orang ramai dan bukannya mengawal pakaian rakyat.

  • Sumbangan mampu bantu bangunkan masjid untuk umat Islam di tiga kawasan perumahan

    Sumbangan mampu bantu bangunkan masjid untuk umat Islam di tiga kawasan perumahan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DEMI kemudahan lebih 1,000 umat Islam di tiga kawasan perumahan dekat Bandar Mutiari di Sungai Petani, Kedah, sebuah masjid dirancang untuk dibina di situ secepat mungkin.

    Segala kelulusan sudah diperolehi termasuk dari Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) malah tapaknya juga telah disediakan namun hanya kos pembinannya saja yang belum dapat dipenuhi ketika ini.

    Menurut Pengerusi Jawatan Kuasa Penaja Kariah Bandar Mutiara (JKPMKBM), Zahir Said, ketiadaan masjid membuatkan penduduk di Taman Bandar Mutiara, Taman SP Height dan Yara Park terpaksa menunaikan solat Jumaat di luar kariah kerana kawasan perumahan didiami hanya memiliki surau.

    “Penduduk di kawasan ini perlu menunaikan solat sama ada di Masjid Batu 2 Jalan Kuala Ketil, Taman Kelisa dan di Bandar Puteri Jaya yang jaraknya agak jauh dari kediaman masing-masing untuk solat Jumaat kerana tiada pilihan lain.

    “Kita sudah ada tapak masjid seluas 10,100 meter persegi namun sumber kewangan diperolehi setakat ini masih belum mampu menampung perbelanjaan untuk mendirikan masjid yang dianggarkan bernilai RM6 juta,” katanya.

    Tambahnya sejak kawasan perumahan tersebut dibuka pada 2016, hanya sebuah surau didirikan iaitu Surau Al Banna namun ia hanya boleh menampung kira-kira 200 jemaah.

    “Surau ini tidak dapat menampung jemaah terutama ketika solat Aidilfitri serta Aidiladha kerana ia dihadiri ramai penduduk yang pulang menyambut perayaan bersama keluarga hingga ada yang terpaksa menunaikan solat di luar pagar.

    “Jadi, saya amat berharap serta merayu sumbangan derma daripada orang ramai serta pihak korporat untuk pembinaan masjid ini supaya anak-anak kariah di tiga kawasan taman perumahan ini dapat beribadah dengan lebih selesa selepas lama menggunakan masjid di luar kariah,” katanya.

    Orang ramai yang ingin membantu boleh membuat sumbangan ke akaun Bank Islam 02020010083756 atas nama JKPMKBM atau menghubungi Zahir di talian 013-5908406.

  • Bersatu sedia beri KJ jawatan MB Negeri Sembilan

    Bersatu sedia beri KJ jawatan MB Negeri Sembilan

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan sedia menawarkan jawatan Menteri Besar kepada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sekiranya beliau mahu bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu di bawah tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu (Bersatu).

    Pengerusinya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, soal menteri besar adalah persoalan kecil kerana paling penting adalah memastikan kemenangan kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

    “Kalau KJ (Khairy) sertai Bersatu dan bertanding di Negeri Sembilan, kita tiada masalah untuk tawarkan dia kerusi menteri besar,” katanya.

    Menurut beliau, itu adalah persoalan kecil kerana apa yang penting PN mahu memastikan kemenangan.

    “Semestinya siapa saja yang dirasakan ada nilai dan difikirkan sesuai oleh Presiden, jadi dia boleh jadi menteri besar. Itu kita serah pada pucuk pimpinan,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Beliau turut mengakui sekiranya bekas Ketua Pemuda UMNO itu menyertai Bersatu, akan dapat memberi nilai tambah kepada parti terbabit.

    Ini kerana katanya, semua sedia maklum kekuatan yang ada pada Khairy sebagai seorang pemimpin.

    “Tapi sehingga kini kita tak tahu status sebenar KJ (selepas dipecat dari UMNO),” katanya.

    Bagaimanapun beliau yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan berkata, sehingga kini PN atau Bersatu negeri masih belum mengadakan sebarang pertemuan rasmi dengan Khairy.

    Beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk berbincang dengan Khairy.

    “Kita tak mahu terlalu ramai pergi jumpa, takut nanti ada perkara yang tak selari. Jadi kita serah pada pucuk pimpinan saja dan jika ada arahan susulan kita akan ikut,” katanya.

    Sebelum ini media melaporkan Khairy menyatakan berminat untuk bertanding dalam PRN Selangor dan mendakwa beberapa tawaran telah dibuat kepadanya, termasuklah jawatan Menteri Besar sekiranya menang.

    Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan parti politik mana yang menawarkan jawatan itu.

    Bagaimanapun Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Zulkafperi Hanapi memberitahu, Bersatu negeri itu tidak membuat sebarang pelawaan kepada Khairy untuk menjadi calon dan ditawarkan jawatan Menteri Besar.

    “Saya tidak tahu sekiranya pimpinan atas beri tawaran (kepada Khairy) tetapi di peringkat (Bersatu) Selangor tiada pelawaan,” katanya.

  • Miliki bom, pekerja ladang dipenjara 10 tahun

    Miliki bom, pekerja ladang dipenjara 10 tahun

    MAHKAMAH Sesyen Melaka hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan terhadap seorang pekerja di ladang ternakan lembu atas dua pertuduhan memiliki sebutir bom dan senjata tajam, empat tahun lalu.

    Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas PS. Tamil Kumaran, 36, membuat pengakuan bersalah setelah dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Hakim Darmafikri memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap pada 24 Oktober 2019, lapor Sinar Harian.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu di3 Penjara Sungai Buloh kerana tertuduh sedang menghadapi satu lagi pendakwaan kes bunuh di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati bersalah memiliki sebutir bom tangan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang yang ditemui dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios bersama dua lagi rakannya.

    Perbuatan itu dilakukan di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMj), di Serkam, dari arah Muar ke Melaka pada pukul 12.15 tengah hari, 24 Oktober 2019.

    Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 ringgit atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Tertuduh juga didapati bersalah memiliki dua bilah parang dan dua batang kayu rotan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang di tempat, masa dan tarikh sama.

    Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 kurungan 1 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Siva Shangari manakala tertuduh diwakili Peguam Datuk Sheelan Arjunan.

    Hakim Darmafikri dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dengan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.

  • Gempa bumi Turkiye: ‘Saya minum air kencing’ – Mangsa terselamat selepas 4 hari

    Gempa bumi Turkiye: ‘Saya minum air kencing’ – Mangsa terselamat selepas 4 hari

    “SAYA minum air kencing sendiri…”

    Itu pengalaman yang terpaksa dilalui oleh salah seorang mangsa gempa bumi yang terperangkap di bawah runtuhan di bandar Gaziantep, Turkiye sejak 94 jam lalu.

    Mangsa, Adnan Muhammed Korkut, 17, berjaya dibawa keluar oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada Jumaat.

    Remaja itu berkata, dia terselamat kerana meminum air kencingnya sendiri sepanjang empat hari berada di bawah runtuhan berkenaan sementara menunggu bantuan.

    Berkongsi detik sukar itu, Adnan menambah dia terperangkap di tingkat bawah tanah sebuah bangunan tetapi mempunyai ruang untuk bergerak.

    Wartawan: Kamu dalam keadaan okay?

    Adnan: Saya okay.

    Wartawan: Bagaimana kamu terselamat?

    Adnan: Saya pergi ke tandas dan saya minum air kencing sendiri. Saya dapat bertahan kerana cara itu, terima kasih kepada Tuhan.

    Wartawan: Apa perasaan kamu di bawah tanah?

    Adnan: Saya hanya menanti kamu semua untuk tiba, sendirian. Alhamdulillah kerana anda tiba… terima kasih kepada semua.

    Jelas remaja itu lagi, dia berasa cemas ketika pasukan SAR menggunakan jengkaut untuk mencari mangsa.

    Bagaimanapun, pekerja kemudian menghentikan penggalian selepas mendengar pergerakannya.

    Sementara itu, seorang anggota SAR, Yasemin, berkata dia tidak tidur dan berusaha menyelamat Adnan sejak empat hari lalu.

    “Saya mempunyai seorang anak lelaki seperti anda,” katanya kepadanya sambil memeluk anak itu semasa dia berbaring di atas pengusung.

    “Saya bersumpah dengan awak, saya sudah empat hari tidak tidur. Saya bersumpah saya tidak tidur, saya cuba untuk mengeluarkan awak. Saya sangat sayangkan awak,” ujar Yasemin seperti dilapor AP.

    Isnin lalu, gempa bumi melanda tenggara Turkiye pada jam 4.17 pagi waktu tempatan, diikuti dua gempa susulan yang melanda wilayah Gaziantep.

    Setakat ini dilaporkan kejadian itu meragut lebih 21,000 nyawa di Turkiye dan Syria. – Agensi lapor Astro Awani.

  • Hukuman Hanis peringatan untuk hormat masyarakat majmuk – Ahmad Faizal

    Hukuman Hanis peringatan untuk hormat masyarakat majmuk – Ahmad Faizal

    DUA bekas Menteri Belia dan Sukan menyambut baik penggantungan ke atas pemain hoki negara, Hanis Nadiah Onn daripada mewakili negara selepas membuat komen rasis baru-baru ini.

    Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, hukuman itu merupakan peringatan bahawa komen berbaur perkauman tiada ruang dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

    Jelasnya yang ni juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), rasa hormat antara satu sama lain adalah asas paling penting kepada masyarakat majmuk.

    “Sebagai seorang pemain hoki kebangsaan, Hanis harus bertanggungjawab atas komen tersebut,” katanya dalam kenyataan.

    Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula berkata, hukuman itu perlu dijadikan contoh kepada persatuan dan atlet lain supaya sentiasa menghormati kepelbagaian budaya agama dan bangsa di Malaysia.

    “Ia juga untuk pastikan tindakan sebegini tidak berulang lagi,” katanya memetik laporan FMT.

    Terdahulu, Hanis hari ini dilaporkan menerima penggantungan itu dengan hati terbuka dan bertekad tidak mengulangi kesilapan sama, selain mengingatkan atlet lain sentiasa berhati-hati membuat sebarang hantaran di media sosial.

    Semalam, Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memutuskan Hanis digantung serta tidak dibenarkan mewakili pasukan kebangsaan ke perlawanan antarabangsa, susulan komen berbaur perkauman berkaitan konsert penyanyi AR Rahman bulan lepas.

    Bagaimanapun, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari menganggap hukuman itu sangat keras berbanding kesalahan Hanis.

    Mengulas lanjut, Syed Saddiq mempersoalkan sama ada Fadhli tahu selok-belok sukan berbanding keputusan KHM yang sudah lama dalam industri itu.

    Beliau mencadangkan Fadhli meneliti keputusan KHM dan permohonan maaf oleh Hanis yang mengakui kesilapannya.

    “Pada masa sama, isu ini bukan isu kecil kerana sukan adalah ejen penyatuan terbaik untuk memberikan contoh terbaik, khususnya apabila dia mewakili nama baik negara di persada antarabangsa,” katanya.

  • Bekas banduan menyamun bersenjatakan pistol angin

    Bekas banduan menyamun bersenjatakan pistol angin

    SEORANG lelaki yang baru keluar penjara tidak serik melakukan jenayah apabila menyamun kedai serbaneka di Petaling Jaya bersenjatakan pistol angin sejak sebulan lalu.

    Bagaimanapun, kegiatan itu tidak bertahan lama selepas lelaki berusia 30 tahun berkenaan ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kuala Lumpur pukul 10 pagi pada 2 Februari lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas sebuah motosikal Yamaha Y16ZR, beberapa kad pengenalan, lesen memandu dan kad ATM milik individu lain.

    Sepucuk pistol angin yang dirampas selepas polis berjaya menahan seorang suspek yang terlibat dalam kegiatan samun kedai serbaneka ketika Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Selain itu, kami turut merampas sepucuk pistol angin revolver yang dipercayai digunakan suspek untuk menyamun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

    Mohamad Fakhrudin berkata, semakan dilakukan mendapati suspek baru keluar dari penjara pada Januari lalu atas kesalahan jenayah samun.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid (kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada kenderaan yang dirampas selepas berjaya menahan tiga suspek yang terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, sebaik dibebaskan dari penjara, suspek kembali aktif kembali menyamun sejak bulan lalu dengan menyasarkan kedai serbaneka.

    “Jenayah itu dilakukan suspek bersendirian pada awal pagi dengan menyamar sebagai pelanggan dan bersenjatakan pistol angin bagi menakutkan pekerja premis.

    “Kami percaya pistol angin digunakan suspek berkenaan dibeli secara dalam talian. Hasil kegiatan itu dipercayai digunakan suspek untuk membeli alat ganti motosikal,” katanya yang memaklumkan lelaki itu memiliki rekod kes jenayah dan dadah.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sepucuk pistol angin serta sebuah motosikal yang dirampas selepas berjaya menahan seorang suspek yang terlibat dalam kegiatan samun kedai serbaneka ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati suspek terbabit memiliki rekod berkaitan kes jenayah dan dadah.

    “Kami percaya berjaya menyelesaikan empat kes samun kedai serbaneka di daerah ini dengan penahanan suspek berkenaan.

    “Lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga semalam dan akan disambung reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • SPRM siasat dakwaan seleweng RM157 juta UiTM Holdings

    SPRM siasat dakwaan seleweng RM157 juta UiTM Holdings

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan penyelewengan yang mengakibatkan kerugian RM157 juta oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Holdings Sdn Bhd.

    Siasatan SPRM memberi fokus kepada beberapa isu khususnya melibatkan dana dan beberapa pelaburan yang dibuat UiTM Holdings sehingga melibatkan kerugian jutaan ringgit.

    Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, tumpuan dan fokus siasatan adalah terhadap kes-kes yang disyaki melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

    “Isu kerugian RM157 juta terlalu umum dan SPRM akan memperincikan setiap isu yang dikatakan tersebut dan sekiranya berlakunya rasuah dan penyelewengan maka ianya tidak akan terlepas dari siasatan SPRM.

    “Bukan semua pelaburan atau perbelanjaan melibatkan perbuatan jenayah. Ianya juga melibatkan isu tatakelola dan pengurusan yang lemah.

    “Jika kita lihat ianya berkaitan jenayah khususnya rasuah maka kertas siasatan akan dibuka,” katanya mengulas dakwaan berhubung ketirisan yang berlaku di UiTM Holdings, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu ketidakcekapan dan ketirisan berhubung kerugian RM157 juta oleh UiTM Holdings Sdn Bhd diserahkan kepada SPRM.

    Laporan akhbar bertajuk ‘UiTM Holdings rugi RM157 juta’, yang disiarkan media tempatan itu mendakwa jumlah kerugian itu berdasarkan kepada kiraan kerugian sebelum cukai terkumpul selama empat tahun iaitu bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021.

  • Enam lelaki ditahan kes sindiket agih kuota tiket umrah

    Enam lelaki ditahan kes sindiket agih kuota tiket umrah

    SERAMAI enam lelaki direman empat hari oleh Mahkamah Majistret di Putrajaya hari ini bagi membantu siasatan kes pengagihan kuota penerbangan bagi agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah kononnya berbentuk komisen.

    Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Keenam-enam suspek berusia antara 34 hingga 55 tahun itu merupakan pengarah dan kakitangan syarikat pelancongan bagi enam syarikat di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.

    Mereka yang hadir di mahkamah dengan memakai baju lokap berwarna oren, ditahan sehingga Isnin depan, lapor Sinar Harian.

    Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

    Baru-baru ini, timbul isu kenaikan harga tiket penerbangan bagi mengerjakan umrah kerana telah dimonopoli sindiket, membabitkan kuota tiket dan penjualannya dengan kadar lebih tinggi.

    Mengikut sumber, modus operandi sindiket ialah mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM250 bagi setiap kuota tiket.

    Bayaran ini bagi memastikan agensi-agensi umrah mendapat kuota tempat duduk dalam setiap penerbangan yang dijadualkan.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan menjelaskan bahawa dijangka lebih ramai individu akan ditangkap bagi membantu siasatan.