Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kod berpakaian di universiti bukan kolot -Bahari

    Kod berpakaian di universiti bukan kolot -Bahari

    PENGARAH Biro Hal Ehwal Universiti Pemuda DAP, Ho Chi Yang didakwa cuba meracuni pelajar dengan doktrin bahawa kod pemakaian pakaian di universiti sekarang ini adalah kuno, selain mahukan perubahan yang boleh menyebabkan berlaku krisis identiti.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Bahari Mohamad Nor berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata itu cuba mengambarkan kononnya universiti seakan-akan kolot dan mundur apabila mendenda pelajar yang memakai pakaian menyalahi peraturan.

    “Saya merasa terpanggil membantah kenyataan Chi Yang yang mempersoalkan kod berpakaian yang kemas dan berprotokol bagi universiti yang mengenakan denda kepada pelajarnya yang terikut-ikut cara pemakaian yang datang daripada pihak luar.

    “Yang mewarnakan rambut dan memakai terlalu banyak subang dengan mengambarkan kononnya universiti seakan akan kolot, mundur dan tidak menepati putaran masa yang saban hari semakin canggih dan maju.

    “Ho cuba meracuni dengan doktrin bahawa kod pemakaian univesiti adalah kuno dan dalam masa yang sama bertentanga dengan sifat semula jadi manusia mahukan suatu pembaharuan yang menepati dengan arus kemodenan yang boleh menyebabkan berlakunya krisis identiti dalam diri masyarakat sehingga boleh menyebabkan salah tanggapan cara pemakaian.

    “Apakah kita boleh membiarkan permakaian seksi dan ketat demi mengikut peredaran zaman di universiti?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini lapor Agendadaily.

    Semalam, Chi Yang menggesa supaya Kementerian Pendidikan Tinggi dan universiti melonggarkan kod berpakaian.

    Menurutya, pentadbiran kerajaan campuran baharu dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak mewajibkan pemakaian tali leher bagi ahli Kabinetnya, malahan Speaker Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul juga berkata Ahli Parlimen tidak lagi diwajibkan memakai tali leher semasa sidang dewan.

    Mengulas lanjut, Bahari berkata dalam sesebuah syarikat atau organisasi, termasuk institusi pendidikan seperti sekolah, kolej dan universiti awam atau swasta telah memang terdapat etika dan protokol yang melambangkan identiti seseorang yang terikat dengan institusi tersebut.

    Bahkan, katanya fesyen dan keterampilan tersebut mencerminkan imej syarikat dan institusi yang maju dan terkehadapan dalam melaksanakan misi dan visinya.

    “Begitu juga dengan pemakaian dalam universiti tidak menghalang secara mutlak untuk pelajar berfesyen dan berketerampilan kerana universiti itu sendiri yang menggalakkan pelajarnya untuk menampilkan apa yang terbaik dan yang elok dalam menzahirkan imej peribadi yang baik dan terhormat sebagai seorang pelajar yang terdidik dari hasil keluaran universitinya.

    “Apatah lagi bersesuaian dengan universiti adalah tempat awam pelbagai bangsa yang pelbagai agama yang harus menghormati antara warganya,” katanya menggariskan tiga tujuan kod etika berpakaian iaitu:

    (1) Menjaga keamanan diri dan kehormatan diri daripada berlaku fitnah ke atas diri dan universiti.

    (2) Memberikan perlindungan kepada mereka kerana pakaian adalah salah satu proses menjaga diri daripada bencana, bahaya dan sakit.

    (3) Membawa imej yang baik dan elok dalam menampakkan jati diri seorang pelajar dan universiti.

  • Status peruntukan ahli Parlimen pembangkang masih misteri

    Status peruntukan ahli Parlimen pembangkang masih misteri

    AHLI Parlimen pembangkang sekali lagi mendesak kerajaan Persekutuan supaya memberi kepastian status peruntukan pembangunan kepada mereka yang disifatkan masih misteri.

    Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dalam kalangan mereka masih tertanya-tanya sama ada akan menerima peruntukan yang sama atau tidak daripada Kerajaan Perpaduan.

    “Perkara itu masih menjadi misteri sedangkan semasa Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, kita memberikan kepada semua ahli Parlimen.

    “Sebelum ini, saya pernah membuat kenyataan meminta Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya memberikan satu jaminan atau kepastian bahawa semua ahli Parlimen termasuk bukan daripada pihak kerajaan akan dapat peruntukan selaras dengan amalan kerajaan terdahulu,” katanya kepada Sinar Harian.

    Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berpandangan, peruntukan tersebut tidak wajar dikurangkan bahkan perlu ditambah bagi memastikan kepentingan rakyat terpelihara.

    “Misalnya di Parlimen Kota Bharu, pengundi sahaja sudah berjumlah 116,000 dan jika dikira dengan mereka yang belum layak mengundi atau berusia 18 tahun ke bawah mungkin lebih daripada 400,000 individu.

    “Saya difahamkan ahli Parlimen daripada kerajaan pun meminta supaya jumlah diberikan lebih tinggi,” katanya.

  • KJ tak ada pengaruh ke atas orang muda luar bandar? Tunggu nanti dalam gelanggang PRN

    KJ tak ada pengaruh ke atas orang muda luar bandar? Tunggu nanti dalam gelanggang PRN

    TIDAK benar dan tidak tepat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin tidak ada pengaruh ke atas orang muda luar bandar yang menyokong Perikatan Nasional (PN).

    Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan, pandangan itu dikeluarkan oleh penganalisis politik ‘goyang kaki’.

    “Tidak apa, kita tunggu nanti dalam gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Rakyat tidak bodoh menilai yang mana satu intan, yang mana satu kaca biarpun JKOM berusaha keras memburukkan parti-parti PN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

    Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan, seseorang akan dianggap sebagai liabiliti oleh pihak yang tidak tahu menghargai bakat dah memanfaatkannya secara betul.

    “One man’s trash is another man’s treasure.

    “If you don’t know how to appreciate a talent and how to utilize it correctly of course you will regard it as a liability,” katanya.

    Dalam laporan FMT bertarikh 7 Februari, seorang penganalisis politik mempertikai sejauh mana Khairy Jamaluddin mampu meraih sokongan pengundi Melayu muda kerana berpendapat bekas ketua pemuda UMNO itu hanya disokong golongan belia di kawasan bandar atau separa bandar.

    Penasihat Utama Pusat Penyelidikan Pasifik, Oh Ei Sun, berkata golongan Melayu muda bandar dianggap progresif berbanding rakan mereka di luar bandar yang lebih konservatif.

    Oh mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa parti itu kehilangan ‘magnet’ yang menarik sokongan orang muda dengan pemecatan Khairy.

    Katanya, Khairy mendapat sokongan kukuh daripada belia progresif bandar dan bukannya majoriti kumpulan itu di luar bandar yang lebih konservatif dan mendominasi ‘gelombang hijau’.

  • PN tak gerun gandingan PH-BN di Pantai Timur, ahli UMNO pun tak berkenan

    PN tak gerun gandingan PH-BN di Pantai Timur, ahli UMNO pun tak berkenan

    PERIKATAN Nasional (PN) tidak gerun dengan gandingan Pakatan Harapan-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan dan Terengganu.

    Sebaliknya kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris percaya perkembangan tersebut akan membantu PN pada PRN.

    “Kebanyakan pengundi Melayu di Kelantan dan Terengganu tidak boleh menerima DAP yang menganggotai PH, malah ahli UMNO sendiri tidak sepakat mengenai kerjasama itu.

    “Baguslah mereka buat kerjasama begitu, baru boleh lihat perpecahan makin ketara dalam kalangan ahli UMNO di Kelantan dan Terengganu,” katanya kepada FMT, dan menambah perpecahan itu akan menular ke Kedah, Selangor, dan Negeri Sembilan.

    Razali berkongsi pengalaman Bersatu ketika bertanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai komponen PH, yang menyaksikan gabungan itu tidak menang sebarang kerusi di Kelantan dan Terengganu.

    Namun sambutan masyarakat Melayu kepada Bersatu berubah sejak tidak bersama DAP, bahkan menang beberapa kerusi Parlimen pada PRU15.

    “Malah keahlian baharu kita dapat dari mereka yang tak pernah berparti … bila BN kerjasama dengan PH keadaan jadi terbalik, anak muda yang minat Umno dulu mula berpaling dan minat kepada Bersatu dan PN,” katanya.

    Bersatu yang bertanding di Kelantan dan Terengganu atas lambang Pas menang di Parlimen Ketereh, Machang, Jeli, Tanah Merah, dan Gua Musang; serta Hulu Terengganu.

    Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamed Fadzli Hassan, berkata masalah mungkin akan timbul dalam kerjasama BN dan PH di Pantai Timur apabila dua gabungan itu berebut kerusi.

    Situasi itu akan menyebabkan ‘kerjasama PH-BN tidak banyak memberi kesan’ kepada PN, katanya.

    Komponen PH, Amanah, dilihat paling ke depan dalam usaha PH menawan Kelantan dan Terengganu, manakala bagi BN pula Umno bersaing hebat dengan Pas di Terengganu.

    Sebelum ini, penganalisis ketika menilai situasi di Selangor berkata rundingan kerusi antara PH dan BN mungkin sukar kerana Amanah dan UMNO mensasarkan kumpulan pengundi sama.

    Sementara itu, Razali berkata gandingan PH-BN memberi kelebihan kepada PN daripada segi persaingan menarik sokongan pengundi Melayu.

    “Kita tidak gerun. Kerjasama PH-BN memudahkan satu lawan satu. Ia juga tak menyusahkan Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya.

    Beliau bagaimanapun menambah PN harus sentiasa bekerja keras dan memberi tawaran yang baik kepada pengundi untuk menang.

    “Kita tidak pandang ringan kerjasama PH-BN,” tambahnya.

  • Arkitek ditahan cuba larikan diri selepas apartmen mewah runtuh

    Arkitek ditahan cuba larikan diri selepas apartmen mewah runtuh

    POLIS Turkiye semalam menahan seorang arkitek selepas apartmen mewah yang dibinanya runtuh dalam gempa bumi kuat di negara itu pada Isnin lalu.

    Mehmet Yasar Coskun ditahan di lapangan terbang Istanbul ketika cuba melarikan diri dari negara itu ke Montenegro, lapor agensi berita negara Anadolu.

    Dia juga didakwa membawa wang yang tidak diketahui jumlahnya ketika ditahan.

    Ronesans Residence, sebuah blok apartmen mewah di bandar Antakya, tumbang dalam insiden gempa pada Isnin sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial.

    Ia merupakan antara apartmen paling eksklusif di pusat Antakya, menampilkan blok 12 tingkat seluas 10,500 meter persegi, dilengkapi 249 unit pangsapuri dengan antara dua dan lima bilik tidur setiap satu, kolam renang, gelanggang sukan, dan khidmat penyambut tetamu.

    Ia turut diiklankan sebagai bangunan yang dibuat mengikut ‘standard pembinaan tertinggi.’

    Dianggarkan 1,000 penghuni mendiami apartmen itu ketika ia tumbang. Kebanyakannya masih terperangkap di bawah runtuhan gempa bumi yang kini telah menyebabkan lebih 23,000 maut.

    Media Turkiye melaporkan ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan blok dan usaha menyelamat masih diteruskan.

    Bekas pemain bola sepak antarabangsa Ghana, Christian Atsu, bersama pengarah sukan kelab Hatayspor, Taner Savut dipercayai antara mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan blok bangunan 12 tingkat itu.

    Turkiye memperkenalkan peraturan bangunan yang lebih ketat pada 2013 selepas gempa bumi pada 1999 di barat laut Turkiye mengorbankan lebih 17,000 orang.

    Gegaran 7.8 magnitud dan gegaran susulan pada Isnin memusnahkan sebahagian besar tenggara Turkiye dan negara jiran Syria, mengorbankan hampir 23,000 orang.

    Gempa bumi itu meranapkan ribuan bangunan dan telah mencetuskan kemarahan orang ramai di seluruh Turkiye berhubung kualiti pembinaan yang lemah.

  • Gempa bumi Turkiye, Syria: Angka korban kini lebih 23,000

    Gempa bumi Turkiye, Syria: Angka korban kini lebih 23,000

    JUMLAH kematian susulan gempa bumi kuat yang melanda Turkiye dan Syria minggu ini meningkat kepada 23,726, kata Menteri Kesihatan Turkiye Fahrettin Koca.

    Di Turkiye, angka korban meningkat kepada sekurang-kurangnya 20,213 dengan 80,052 yang lain dilaporkan cedera, menurut Astro Awani.

    Jumlah kematian di Syria setakat ini ialah 3,384 – termasuk 2,166 di kawasan yang dikuasai pemberontak di barat laut, menurut kumpulan pertahanan awam White Helmets.

    Sementara 1,347 kematian dicatat di bahagian yang dikawal kerajaan di Syria, menurut media kerajaan Syria.

    Jumlah mangsa yang cedera di Syria merentasi semua wilayah yang terjejas ialah 5,245, dengan 2,295 di kawasan dikawal kerajaan dan 2,950 di kawasan dikuasai pemberontak.

  • Jadi DJ cara KJ sindir UMNO

    Jadi DJ cara KJ sindir UMNO

    KEPUTUSAN bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerima tawaran menjadi penyampai radio (DJ) disifatkan sebagai satu cara beliau menyindir dan mengkritik UMNO, parti yang memecatnya sebelum ini.

    Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali berpandangan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau mesra dipanggil KJ membuktikan bahawa banyak pihak lain yang ingin bersamanya setelah beliau dipecat.

    Menurutnya, sebagai DJ ibarat satu parodi dan cara beliau sindir kepimpinan.

    “Maknanya nak cakap walaupun dibuang (daripada UMNO), banyak pihak yang sudi menerimanya. UMNO buang Khairy, tetapi sekejap sahaja orang ambil.

    “Maksudnya, mereka telah membuang seseorang yang popular. Ini boleh dianggap sebagai satu kritikan daripada Khairy untuk UMNO.

    “Kita lihat contoh, bagaimana anak-anak muda zaman ini menunjukkan mereka sedang protes? (Tindakan) Khairy ini adalah satu protes kepada dunia politik.

    “Beliau melemparkan kritikan tersebut melalui parodi, dengan menerima tawaran menjadi DJ,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Sebelum ini media melaporkan, selepas tidak menyandang sebarang jawatan dalam parti politik dan kerajaan, bekas Menteri Kesihatan itu bakal memulakan tugas sebagai penyampai di stesen radio HotFM bermula Rabu depan.

    Mazlan turut mengakui bahawa Khairy merupakan ikon anak muda dan majoriti penyokongnya adalah dalam kalangan generasi Y.

    Justeru, ujarnya, tidak hairanlah bekas Ahli Parlimen Rembau itu kini membuat cubaan untuk terjun ke dunia glamor.

    “Tidak sesuai jika ada yang nak bandingkan beliau dengan pemimpin yang pernah keluar UMNO sebelum ini seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Ini kerana individu yang menyokongnya adalah dalam kumpulan generasi Y yang sinonim dengan dunia hiburan dan glamor di media sosial.

    “Cara ini sesuai dengan dunia politik Khairy, orang tidak akan anggap beliau buang tabiat dan tak mustahil beliau akan menjadi pemain bola sepak pula selepas ini,” jelas beliau.

    Tambahnya, Khairy merupakan susuk pemimpin yang popular dalam parti, namun berdepan masalah dengan kepimpinan.

    “Kesilapan Khairy yang nyata adalah semasa berkempen di Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dipilih sebagai calon BN tetapi kritik kepimpinan UMNO dan kesannya beliau dipecat.

    “Sedangkan jika bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, melihat pengalaman dan popularitinya, saya jamin beliau boleh menang.

    “Namun saya tidak fikir Khairy akan tubuhkan parti baharu, beliau tetap setia dengan UMNO. Berdasarkan pengalaman lalu, ada pemimpin yang dipecat daripada parti, akhirnya balik semula jadi pemimpin besar.

    “Khairy juga tidak sesuai dengan Pas atau DAP. Parti Keadilan Rakyat (PKR) mungkin sesuai, tetapi beliau sebenarnya perlu (berada dalam) UMNO juga,” jelasnya.

  • ‘UMNO kini sanjung mulia apa saja dibuat Kerajaan Perpaduan walaupun tidak munasabah’

    ‘UMNO kini sanjung mulia apa saja dibuat Kerajaan Perpaduan walaupun tidak munasabah’

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, terdapat beberapa kekeliruan berkaitan laporan ‘UMNO dilanyak’ seperti diterbitkan dalam wawancara beliau bersama media sebelum ini.

    Naib Presiden UMNO itu menjelaskan, perkara yang sebetulnya adalah mengenai kekecewaan yang tidak pernah ditunjukkan beliau selama ini.

    Kata bekas Perdana Menteri itu, untuk mengukuhkan UMNO, Perdana Menteri dan 14 daripada 29 Menteri Kabinet adalah daripada Barisan Nasional (BN) iaitu separuh daripada pembentukan kerajaan.

    “Saya agak kecewa, tapi saya tidak pernah menunjukkan kekecewaan saya. Saya Perdana Menteri daripada UMNO, untuk mengukuhkan UMNO, daripada 29 Menteri Kabinet, 14 adalah menteri Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri, jadi separuh Kabinet itu.

    “Walaupun kita hanya ada 42 kerusi di Parlimen tetapi saya ditekan oleh UMNO sendiri seperti saya bukan menteri UMNO. Itu yang saya maksudkan dalam wawancara bersama media tempoh hari,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

    Bagaimanapun, kenyataan Ismail Sabri itu disangkal Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bahawa pemimpin UMNO dalam kerajaan pimpinannya sebelum ini ‘dilanyak’ seperti pembangkang, disifatkan sebagai pandangan peribadinya.

    Zaid dilaporkan berkata, menjadi kebiasaan juga bagi mana-mana tokoh untuk menyatakan kepimpinannya terdahulu lebih baik daripada yang berikutnya.

    “Itu pendapat beliau (Ismail Sabri). Selalunya begitulah apabila seseorang atau mana-mana tokoh yang sudah meninggalkan jawatan berpuluh tahun, lima tahun, sembilan tahun, 22 bulan, 17 bulan atau lebih 14 bulan, mereka merasakan kepimpinan yang diterajui mereka adalah terbaik dan selepas itu semua tak baik,” katanya.

    Menerusi video berdurasi 1 minit 41 saat itu, Ahli Parlimen Bera itu turut menjelaskan dirinya yang dikritik teruk seolah-olah kerajaan pimpinan UMNO ketika itu adalah pembangkang.

    “Setiap apa yang berlaku, tekanan adalah terlalu kuat kepada saya, cadangan-cadangan yang bagus, saya setuju.

    “Saya boleh kata, kenapa tidak gunakan saluran yang betul, untuk diberi pandangan dari parti, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) setiap bulan, beritahu saya apa patut kita buat, tak payahlah bantai saya dalam surat khabar, ini dalam media secara terbuka serang saya,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan ketika ini, hanya ada enam menteri dari UMNO termasuk seorang Timbalan Perdana Menteri.

    “Namun mereka kata ia pencapaian besar kepada kita (UMNO), sedang saya (ketika jadi Perdana Menteri) ada 14 Menteri daripada BN.

    “Tiada satu kepemimpinan UMNO kritik kerajaan (ketika ini), berbanding dahulu saya sesama UMNO, dikritik begitu teruk seperti kita ini pembangkang, kita dilanyak seperti kita ini pembangkang, UMNO ini seolah-olah pembangkang waktu itu kerajaan saya perintah.

    “Lebih mengecewakan, kerajaan hari ini disanjung begitu mulia, perkara tidak munasabah yang dilakukan oleh kerajaan, mereka yang mempertahankan. Saya sangka saya dipertahankan, kalau kritik itu terlalu keras, mungkin mereka boleh jadi perisai kepada saya, tetapi dahulu mereka sertai bersama untuk serang saya,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Cukai jalan digital bukan langkah bijak, kata warganet

    Cukai jalan digital bukan langkah bijak, kata warganet

    WARGANET mempersoalkan langkah kerajaan mendigitalkan dokumen berkait kenderaan, seperti cukai jalan dan lesen memandu, membangkitkan pelbagai kebimbangan berhubung keputusan itu.

    Pengguna Facebook, Muhamad Ibrahim bertanya apa yang perlu dilakukan pemandu jika melalui sekatan jalan raya di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai akses kepada Internet.

    “Macam mana nak tunjuk cukai jalan dan lesen? Atau adakah anda hendak kata setiap kawasan di Malaysia, termasuk di luar bandar, mempunyai sambungan Internet yang pantas dengan semua syarikat telekomunikasi?

    “Ini bukan soal politik tetapi (tentang) menyelamatkan wang saya daripada undang-undang yang tidak lengkap,” katanya.

    Melvin Goh pula dengan nada sindiran berkata, pengguna boleh melekatkan tangkapan skrin kod QR dalam aplikasi telefon MyJPJ di kenderaan mereka.

    Ramai netizen juga bimbang lesen digital akan menyebabkan mereka menunggu lebih lama di sekatan jalan raya, dengan pengguna jalan raya terpaksa mengambil masa untuk membuka aplikasi tersebut di telefon pintar mereka untuk ditunjukkan kepada polis.

    “Diharapkan cukai jalan digital akan disimpan dalam aplikasi tanpa memerlukan akses kepada Internet selepas menggunakannya buat kali pertama.

    “Bayangkan menempuh sekatan jalan raya di tempat yang tiada sambungan Internet dan anda tidak boleh mengakses cukai jalan anda di aplikasi,” kata pengguna Facebook Eleazar Joey.

    Andy Bandara bersetuju tetapi berkata, ini “bukan langkah bijak”, dan tanggungjawab harus diletakkan pada pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat pengguna jalan raya dalam sistem mereka. Ini diamalkan di UK dan Amerika Syarikat, tambahnya.

    “(Perlu) ada sejenis peranti yang boleh ‘menangkap’ nombor pendaftaran (kenderaan), dan memaparkan semua maklumat dengan serta-merta, termasuk saman tertunggak, rekod jenayah dan pelanggaran undang-undang lalu lintas.

    “Ini akan menjadi penyesuaian yang kucar-kacir, bukan suatu penambahbaikan,” katanya lapor FMT.

    Pengguna Facebook, Shaza Shaharom pula bertanya apa prosedur bagi individu yang memandu kereta ahli keluarga mereka.

    Terdahulu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengumumkan orang ramai boleh mendaftar akaun JPJ di https://public.jpj.gov.my/ atau aplikasi MyJPJ untuk mengakses cukai jalan dan lesen memandu digital mereka.

    Segelintir warganet yang mengalami masalah menggunakan aplikasi MyJPJ, meluahkan rasa tidak puas hati Twitter dengan berkata, mereka malah tidak dapat melepasi halaman log masuk.

    Ada juga yang mengadu bahawa Kod Pengesahan Transaksi (TAC) untuk pendaftaran akaun baharu di aplikasi tersebut tidak berfungsi dan mereka masih menunggu e-mel untuk mendapatkan nombornya.

    Buntu dengan masalah yang dihadapi, warganet menggesa pembangun aplikasi tersebut menyelesaikannya dengan segera.

  • 2 lelaki ditahan di stesen minyak ketika seleweng diesel

    2 lelaki ditahan di stesen minyak ketika seleweng diesel

    PEJABAT Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menahan dua lelaki selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi dalam dua serbuan berasingan di sekitar Bukit Mertajam semalam.

    Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, suspek pertama ditahan dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim kira-kira pukul 5 petang ketika sedang mengisi minyak.

    Katanya, hasil soal siasat tehadap lelaki berusia 30-an itu membawa kepada penemuan satu unit tangki simpanan tambahan berkapasiti 900 liter dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dipandunya.

    Ketika diperiksa, ujar beliau, terdapat kira-kira 300 liter diesel bersubsidi yang telah diisi ke dalam tangki simpanan tersebut.

    “Kita percaya pemandu MPV itu mendapat upah ratusan ringgit setiap hari untuk membeli diesel-diesel dari beberapa buah stesen minyak khususnya di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPT).

    “Diesel itu kemudian akan dihantar kepada kumpulan sindiket terbabit yang seterusnya akan menjual pula kepada pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Susulan serbuan itu, tambah Jegan, MPV berkenaan disita bersama beberapa barangan lain termasuk satu unit pam motor dan hos; satu unit telefon bimbit; wang tunai berjumlah RM300 serta diesel yang dirampas dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM41,345.

    Sementara itu, katanya, seorang lagi lelaki diberkas dalam serbuan kedua di sebuah stesen minyak di Jalan Baru, kira-kira pukul 9.40 malam tadi ketika sedang mengisi diesel ke dalam sebuah lori.

    Jelas beliau, pemeriksaan lanjut terhadap lori itu menemukan sebuah tangki minyak diesel berkapasiti 2,000 liter di bahagian belakang (lori) dengan jumlah diesel dalam tangki tersebut ketika itu dianggarkan sebanyak 460 liter.

    “Daripada maklumat yang kita terima, lelaki berusia 50-an itu dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek pertama yang ditahan.

    “Mereka dipercayai diupah untuk membeli diesel di stesen-stesen minyak sebelum dihantar kepada sindiket sebelum dijual pula kepada pihak ketiga dengan harga lebih mahal berbanding subsidi, namun lebih murah daripada harga pasaran,” katanya.

    Ujar beliau, beberapa barangan disita termasuk lori jenis Nissan, minyak diesel, pam motor dan hos paip, telefon bimbit, tangki tambahan serta invois belian diesel yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM37,089 daripada suspek dalam serbuan kedua.

    Tambah Jegan, kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman berat termasuk denda dan penjara.