Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bicara kes saman Muhyiddin terhadap Puad kekal Ogos depan

    Bicara kes saman Muhyiddin terhadap Puad kekal Ogos depan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan perbicaraan kes saman bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi, pada 14 ogos depan.

    Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Haslinda A. Raof mengekalkan tarikh perbicaraan berlangsung selama lima hari, ketika pengurusan kes yang diadakan secara dalam talian.

    Peguam, Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Mohd. Puad berkata, dalam prosiding sama, anak guamnya selaku defendan, membuat permohonan untuk meminda pernyataan pembelaan berkenaan kandungan 58.

    “Perkara sama dilakukan oleh Muhyiddin selaku plaintif, untuk meminda pernyataan tuntutan berkenaan kandungan 61.

    “Pendengaran bagi permohonan itu, akan dibuat pada jam 9 pagi, 11 April depan menerusi aplikasi Zoom,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Selain Shahrul Fazli, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO turut diwakili peguam, Intan Hanis Afiqah Razali, manakala Muhyiddin diwakili peguam, Tan Chee Khoon.

    Berdasarkan writ saman, Muhyiddin mendakwa Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu menerbitkan satu hantaran di laman Facebook menggunakan nama ‘Dr. Puad Zarkashi’ bertajuk ‘Kuarantin pun ada dua darjat?’, pada 8 Februari tahun lalu.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa, hantaran tersebut boleh diakses oleh pengguna internet seluruh dunia dan menerima 1,200 reaksi, 215 komen serta 182 perkongsian.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyatakan, hantaran pemimpin UMNO itu dengan merujuk kepada ‘PM’ yang merupakan singkatan kepada Perdana Menteri dan mengandungi kenyataan tidak benar, tidak wajar, tidak berasas, jahat serta memfitnah beliau.

    Muhyiddin mendakwa kenyataan itu membawa maksud bahawa beliau dan rombongannya enggan menjalani kuarantin selama 10 hari selepas mereka pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia.

  • Kilang kitar semula beroperasi secara haram diserbu lagi

    Kilang kitar semula beroperasi secara haram diserbu lagi

    SEBUAH kilang kitar semula di Ijok, Kuala Selangor diserbu sepasukan anggota dan pegawai Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada pukul 10 pagi kelmarin.

    Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPKS, Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, kilang itu sebelum ini pernah dikenakan tindakan sitaan pada 19 Januari lalu.

    “Kita dapati kilang ini masih berdegil dan masih meneruskan operasi haram hasil daripada maklumat awam dan risikan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohamad Lutfi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kilang itu semakin meningkatkan operasi memproses buangan terjadual seperti bahan buangan bateri kering, tembaga dan papan litar plastik.

    Premis itu katanya, diarah tutup serta-merta dan dikenakan kompaun kerana ingkar arahan notis penutupan sebelum ini.

    Selain itu, katanya, dua unit penjana kuasa elektrik dan satu jentera forklift disita bagi tindakan lanjut.

    Jelas Mohamad Lutfi, kes itu disiasat mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKS) 2007.

    “Jabatan Kesihatan MPKS mengeluarkan dua kompaun kerana membiarkan bangunan atau tanah dalam keadaan kotor dan mengalirkan kumbahan ke parit berdekatan,” kata beliau.

    Tambahnya, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga membantu proses pemotongan bekalan air premis terbabit.

    Katanya, JAS turut mengambil tindakan undang-undang mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

    “Pemilik kilang itu dinasihatkan berpindah ke kawasan industri berat kerana aktiviti kitar semula di bawah kategori tersebut,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Isu penipuan tawaran kerja antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

    Isu penipuan tawaran kerja antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

    ISU penipuan tawaran pekerjaan melibatkan rakyat Malaysia dan langkah kerajaan bagi menangani kes berkenaan antara tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, soalan berhubung penipuan pekerjaan itu diajukan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) kepada Menteri Dalam Negeri pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang ingin tahu jumlah terkini rakyat Malaysia yang terlibat, jumlah diselamatkan dan yang dipercayai masih ditahan.

    Turut tersenarai, soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengenai perancangan kerajaan dalam melaksanakan penyelenggaraan dan pembaikan infrastruktur serta kemudahan luar bandar pascabanjir.

    Pada sesi soal jawab pula, Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mahu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjelaskan langkah bagi meningkatkan semula kedudukan Malaysia dalam Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) 2022.

    Selain itu, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah kerajaan meningkatkan kadar dividen dalam membina semula caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada tempoh yang lebih pantas dengan mengambil kira strategi portfolio pelaburan jangka panjang serta risiko ekonomi global jangka pendek dan sederhana.

    Selesai sesi itu, Ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

    Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 29 hari hingga 30 Mac ini.

  • Bung wajar berundur, kata penganalisis politik

    Bung wajar berundur, kata penganalisis politik

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin wajar berundur dari arena politik negeri itu selepas gagal dalam cubaannya menjatuhkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

    Penganalisis politik, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah berkata, adalah wajar bagi Bung berada dalam tempoh bertenang kerana cubaan itu bukan sahaja menjejaskan imejnya, malah memberi kesan terhadap UMNO Sabah.

    “Bagi UMNO Sabah memperbaiki hubungannya (dengan Gabungan Rakyat Sabah), jelas Bung tidak boleh berada di barisan hadapan dalam kerajaan perpaduan Sabah, jadi orang lain perlu menggantikannya.

    “Ini bukan berkisar (Bung) kena disingkirkan, namun lebih kepada melakukan kompromi politik untuk semua pihak berbaik-baik semula,” katanya lapor FMT, hari ini.

    Seorang lagi penganalisis politik, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) yang berkata, Bung mesti menghormati keputusan dibuat pimpinan pusat walaupun BN Sabah mempunyai autonomi.

    Bung katanya, perlu bersabar dan merancang langkah seterusnya susulan keputusan pimpinan Pusat sekiranya beliau mahu membuat kebangkitan semula dalam pilihan raya negeri Sabah yang akan diadakan tiga tahun lagi.

    Pada Ahad, BN mengumumkan gabungan itu menyokong Hajiji Noor sebagai ketua menteri Sabah dan melantik Timbalan Ketua BN Sabah, Yakub Khan mewakili gabungan itu berbincang dengan kerajaan perpaduan negeri.

    Perubahan hala tuju gabungan itu dibuat selepas Bung gagal menjatuhkan Hajiji daripada terus menerajui pentadbiran selepas mengumumkan BN negeri menarik sokongan terhadap pengerusi GRS itu.

    Bagaimanapun, cubaan Bung yang turut disokong Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) dan wakil rakyat Bebas, gagal selepas Hajiji membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti wakil rakyat.

    Bung kemudian digugurkan sebagai Timbalan Ketua Menteri kesan rombakan Jemaah Menteri dilakukan Hajiji.

    Lee Kuok Tiung dari Universiti Sabah Malaysia, berkata, menamakan Yakub sebagai wakil BN berunding dengan kerajaan negeri jelas menunjukkan Bung secara rasmi dipinggirkan walaupun kedudukannya sebagai ketua gabungan itu di Sabah.

    “Sejak Bung dicop sebagai dalang di sebalik rampasan kuasa, BN memilih Yakub demi meredakan ketegangan dan mengelak timbul keraguan dalam melakukan sebarang rundingan pada masa depan,” katanya.

    Bagaimanapun, Lee berkata, Bung tidak akan kehilangan jawatannya sebagai Pengerusi BN negeri hanya kerana beliau bukan lagi Timbalan Ketua Menteri.

    Walaupun jawatan itu akan memberi kelebihan kepada Bung, beliau berkata, itu juga bergantung sama ada penyokongnya boleh memenangi jawatan di bahagian masing-masing.

  • ADUN Kunak nafi terima imbuhan, sedia disiasat SPRM

    ADUN Kunak nafi terima imbuhan, sedia disiasat SPRM

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas tindakan meninggalkan Parti Warisan (Warisan) baru-baru ini.

    “Jika Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Afdal mempunyai bukti kukuh bahawa saya menerima imbuhan untuk menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Saya sedia disiasat.

    “Saya mengalu-alukan siasatan SPRM sekiranya Mohd. Shafie ada bukti kukuh. Saya beberapa kali menafikan sebelum ini kerana saya difitnah kemudian berani bertindak untuk membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tegasnya, beliau keluar Warisan dengan rela hati kerana tidak lagi setuju dengan hala tuju parti yang tidak konsisten.

    “Jika ada bukti, minta dilaporkan secara rasmi kepada SPRM,” katanya lagi, lapor Sinar Harian.

  • Bot nelayan tempatan gajikan PATI ditahan

    Bot nelayan tempatan gajikan PATI ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 7.15 petang semalam selepas didapati menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai kru.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat ketika pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam rondaan rutin OP PERTIWI dan OP TANJUNG.

    Jelas beliau, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan sekitar 23 batu nautika barat laut Pulau Kendi.

    “Pemeriksaan awal mendapati, bot dikendalikan oleh seorang tekong dan empat kru kesemuanya warga Myanmar berumur  antara 19 hingga 44 tahun.

    “Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, tekong dan semua kru bot itu gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah serta surat kelulusan bertulis atau permit kerja dari Ketua Pengarah Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

     
    Sehubungan itu, tambah Abd. Razak, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

     
    Jelasnya, bot serta kesemua kru ditahan termasuk 300 kilogram hasil laut sebelum dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

    Dalam pada itu, ujar beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun amaran telah diberikan dan beberapa tangkapan telah dilaksanakan.

    “Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

    Ujar beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 – 2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

  • Beri kontrak kepada menantu satu fitnah dan pembohongan, kata Muhyiddin

    Beri kontrak kepada menantu satu fitnah dan pembohongan, kata Muhyiddin

    “ITU adalah suatu fitnah dan pembohongan.”

    Demikian kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau memberikan kontrak kepada menantunya sendiri.

    Penegasan itu dinyatakan Muhyiddin ketika menjawab celahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) semasa Ahli Parlimen Pagoh itu membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut Muhyiddin, beliau akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung dakwaan berkenaan.

    “Tidak ada berlaku. Kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

    Bagaimanapun, Muhyiddin tidak mengulas bentuk tindakan yang akan dilaksanakan.

    Sementara itu, bekas Perdana Menteri itu mendakwa kerajaan ketika ini turut mengambil tindakan berbentuk witch-hunting terhadap kerajaan terdahulu.

    Beliau mendakwa, kerajaan ketika ini mencari kesalahan yang tidak wujud.

    “Mereka melemparkan tuduhan bukan-bukan, kononnya saya seleweng RM600 bilion. Ini Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kata. Lepas itu tukar kepada RM530 bilion; RM90 bilion; RM45 bilion dan selepas itu RM300 juta.

    “Kalau dari segi undang-undang, ini adalah defamation (fitnah). Saya belum nak ambil tindakan undang-undang sebab saya kasihan kepada Perdana Menteri baharu, bagi dia peluang dahulu,” tegas beliau, lapor UtusanTV.

    Muhyiddin turut menegaskan beliau tidak terlibat langsung dalam rasuah seperti yang didakwa.

    “Ada tuduhan saya mengambil wang. Satu sen wallahi pun tak ada.

    “Apa yang disebutkan itu adalah pakej rangsangan, Menteri Ekonomi, Menteri Kewangan pun tahu. Bukan untuk kita dapat kontrak. Nak kata bodoh pun bodoh jugak,” katanya.

    Sebelum ini, Perdana Menteri menyerahkan isu berhubung pemberian tender terhadap menantu Muhyiddin kepada pihak berkuasa untuk disiasat.

    Perdana Menteri berkata, isu berkenaan tidak akan tersebar sekiranya ia tidak benar dan mengingatkan semua pemimpin dalam kerajaan tidak menggunakan kedudukan bagi memperoleh kekayaan.

    Demikian kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau memberikan kontrak kepada menantunya sendiri.

    Penegasan itu dinyatakan Muhyiddin ketika menjawab celahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) semasa Ahli Parlimen Pagoh itu membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut Muhyiddin, beliau akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung dakwaan berkenaan.

    “Tidak ada berlaku. Kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

    Bagaimanapun, Muhyiddin tidak mengulas bentuk tindakan yang akan dilaksanakan.

    Sementara itu, bekas Perdana Menteri itu mendakwa kerajaan ketika ini turut mengambil tindakan berbentuk witch-hunting terhadap kerajaan terdahulu.

    Beliau mendakwa, kerajaan ketika ini mencari kesalahan yang tidak wujud.

    “Mereka melemparkan tuduhan bukan-bukan, kononnya saya seleweng RM600 bilion. Ini Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kata. Lepas itu tukar kepada RM530 bilion; RM90 bilion; RM45 bilion dan selepas itu RM300 juta.

    “Kalau dari segi undang-undang, ini adalah defamation (fitnah). Saya belum nak ambil tindakan undang-undang sebab saya kasihan kepada Perdana Menteri baharu, bagi dia peluang dahulu,” tegas beliau, lapor UtusanTV.

    Muhyiddin turut menegaskan beliau tidak terlibat langsung dalam rasuah seperti yang didakwa.

    “Ada tuduhan saya mengambil wang. Satu sen wallahi pun tak ada.

    “Apa yang disebutkan itu adalah pakej rangsangan, Menteri Ekonomi, Menteri Kewangan pun tahu. Bukan untuk kita dapat kontrak. Nak kata bodoh pun bodoh jugak,” katanya.

    Sebelum ini, Perdana Menteri menyerahkan isu berhubung pemberian tender terhadap menantu Muhyiddin kepada pihak berkuasa untuk disiasat.

  • Pemilik gudang rugi RM100,000, tangan melecur akibat premis terbakar

    Pemilik gudang rugi RM100,000, tangan melecur akibat premis terbakar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pemilik gudang tidak hanya mengalami kerugian hampir RM100,000 malah turut melecur setelah premis miliknya itu terbakar di Kampung Batu 4, Sanglang dekat Kubang Pasu, Kedah, hari ini.

    Menurut Azli Che Ahmad, 44, kejadian itu berlaku ketika dia bersama empat pekerjanya sedang mengimpal besi dinding gudang tersebut.

    Begitu pun katanya, percikan api kimpalan tersebut jatuh ke atas jerami, mengakibatkan kebakaran berlaku.

    Percikan api kimpalan tersebut jatuh ke atas jerami, mengakibatkan kebakaran berlaku

    “Kami kemudiannya berusaha memadamkan kebarakan namun angin kencang menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat.

    “Saya lalu cuba mengeluarkan jentera pengangkut jentera tersebut tiba-tiba tersangkut. Ketika itulah tangan kanan saya disambar api menyebabkannya melecur sedikit,” katanya.

    Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Bustan Karuddin ketika dihubung memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 10.21 pagi.

    Pemilik gudang melecur tangan semasa cuba mengeluarkan jentera pengangkut tetapi tiba-tiba tersangkut sebelum disambar api

    “Sebaik tiba di lokasi, api didapati sedang marak dan terdapat seorang mangsa melecur di tangan kanan. Pihak kami terus berusaha memadamkan kebakaran sementara mangsa dibawa kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke klinik kesihatan terdekat bagi mendapatkan rawatan.

    “Api kemudiannya berjaya dikawal kira-kira pukul 12 tengah hari daripada merebak ke kawasan rumah yang terletak 100 meter daripada guang terbabit. Namun kejadian itu turut memusnahkan dua kenderaan iaitu sebuah jentera pengangkut dan motosikal,” katanya.

    Katanya, pemantauan awal mendapati gudang terbabit musnah hampir 60 peratus.

  • 3 beradik termasuk 2 bergelar Datuk tidak mengaku salah cederakan ibu tiri

    3 beradik termasuk 2 bergelar Datuk tidak mengaku salah cederakan ibu tiri

    TIGA beradik termasuk dua daripadanya bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Rembau, hari ini, atas pertuduhan mencederakan ibu tiri mereka, pada Ogos tahun lalu.

    Mereka yang juga ahli perniagaan, Datuk Kamarul Halim Muhamad Sharip, 50, Datuk Kamarul Nizam Muhamad Sharip, 55, dan Muhamad Fairuz Muhamad Sharip, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Kartini Kasran selepas kertas pertuduhan dibacakan.

    Berita Harian melaporkan, mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama-sama dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibu tiri mereka yang berusia 42 tahun.

    Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Balai Undang Rembau, di Rembau kira-kira pukul 3.30 petang 23 Ogos 2022.

    Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun.

    Semua tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly mencadangkan kepada mahkamah supaya jaminan tidak ditawarkan kepada semua tertuduh.

    Bagaimanapun, Husni berkata, jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan menawarkan RM10,000 kerana kes membabitkan kesalahan wajib penjara, selain mangsa adalah wanita, manakala semua tertuduh adalah lelaki.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM6,000 dengan setiap penjamin warganegara dan tertuduh dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga prosiding kes selesai.

    Sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada 22 Mac depan.

  • TMJ setuju lantik KJ sebagai penasihat, ahli lembaga JDT

    TMJ setuju lantik KJ sebagai penasihat, ahli lembaga JDT

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersetuju melantik bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Penasihat Belia Johor serta menjadi sebahagian Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

    Menurut pemilik kelab bola sepak tersebut, bekas Menteri Kesihatan itu juga sudah menyatakan persetujuan.

    “Saya telah bertemu dengan Khairy Jamaluddin dan bersetuju untuk melantik beliau sebagai Penasihat Belia Johor dan sebahagian Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim.

    “Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan belia serta kemajuan bola sepak Johor,” kata Tunku Mahkota Johor itu dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Sebelum ini, Tunku Ismail memberi bayangan menawarkan Khairy jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT.

    “CEO masa depan JDT dan penasihat belia Johor,” tulis Tunku Ismail dalam laman Story Instragram miliknya baru-baru ini.

    Khairy juga turut membalas tawaran Tunku Ismail menerusi Story Instragramnya, dan menulis: “One door closes, others will open (satu pintu tertutup, pintu lain terbuka). Rezeki di tangan ALLAH.”

    Untuk rekod, Khairy atau lebih dikenali dengan panggilan KJ dianggap tidak asing dalam sukan bola.