Author: Wartawan WartaRakyat

  • Beri rasuah RM7,000 tarik balik laporan polis, penjawat awam ditahan

    Beri rasuah RM7,000 tarik balik laporan polis, penjawat awam ditahan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam di Sandakan hari ini kerana memberi wang rasuah kepada seorang pengadu sebagai dorongan untuk menarik balik satu laporan polis terhadapnya.

    Menurut sumber, suspek lelaki beruusia 40-an bertugas di Beluran telah disiasat polis mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan kes samun berkumpulan.

    Suspek kemudian menawar serta memberikan wang RM7,000 kepada pengadu sebagai dorongan supaya laporan polis berkenaan ditarik balik pada pada 30 Okt 2021.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy, ketika dihubungi pemberita, mengesahkan penahanan suspek ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

    Katanya, suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 beserta deposit RM1,000 dengan seorang penjamin, dan dijadualkan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan dalam masa terdekat. – BERNAMA

  • Dua peniaga gagal batal tulisan jawi di papan tanda premis

    Dua peniaga gagal batal tulisan jawi di papan tanda premis

    DUA peniaga di Kuantan, Pahang gagal membatalkan keputusan kerajaan negeri itu di Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini yang mengarahkan tulisan jawi dipaparkan pada papan tanda premis perniagaannya.

    Keputusan itu selepas panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Yaacob Md. Sam sebulat suara menolak rayuan peniaga-peniaga itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang tidak membenarkan permohonan semakan kehakiman peniaga, Jehan Abdullah dan A. Dana Palan.

    Sebelum ini, permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh tiga peniaga, namun rayuan hanya diteruskan membabitkan dua perayu kerana pemohon kedua, Phang Long Yen telah meninggal dunia.

    Ketika membaca keputusan penghakiman berkenaan, Yaacob berkata, panel hakim berpuas hati bahawa arahan Majlis Mesyuarat Exco negeri menguatkuasakan tulisan jawi jenis Al-Taibah pada papan tanda premis perniagaan adalah munasabah dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

    “Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf ketika menolak permohonan semakan kehakiman ketiga-tiga pemohon itu.

    “Panel ini berpendapat bahawa tiada alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi. Permohonan semakan kehakiman merupakan mod tindakan undang-undang yang betul,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Turut bersidang ialah Hakim Datuk P. Ravinthran dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    Dalam prosiding ini, perayu-perayu diwakili oleh peguam, T. Gunaseelan sementara pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) oleh Ong Siew Wan.

    Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Saiful Edris Zainuddin pula bagi pihak kerajaan negeri Pahang.

    Pada 5 Ogos 2021, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zainal Azman Ab. Aziz berkata, mahkamah berpuas hati, polisi yang diputuskan oleh kerajaan negeri melalui Mesyuarat Exco tidak boleh diganggu.

    Ini kerana katanya, mahkamah hanya berperanan untuk mentafsir undang-undang yang digubal oleh Parlimen.

    Bermula 1 Januari 2020 lalu, kerajaan negeri itu menguatkuasakan pelaksanaan papan tanda tulisan jawi bagi premis-premis perniagaan.

    Peruntukan itu menyebut bahawa semua lesen atau permit yang dikeluarkan adalah tertakluk kepada syarat dan larangan yang difikirkan sesuai oleh pihak berkuasa tempatan.

    Lesen juga boleh ditarik balik pada bila-bila masa tanpa memberikan apa-apa alasan, manakala mereka yang ingkar arahan itu boleh didenda sehingga RM250.

    Pelaksanaan untuk memaparkan tulisan jawi merupakan tindakan bagi menyahut titah Yang di-Pertuan Agong pada 13 November 2018 agar tulisan warisan itu dipaparkan di setiap premis di negeri tersebut untuk dimartabatkan semula.

    Peniaga-peniaga ini kemudiannya mencabar keputusan Majlis Mesyuarat Exco Negeri pada 1 Mac 2018 yang menguatkuasakan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan di bandar Kuantan.

    Mereka juga mahu menarik balik perintah MPK bertarikh 3 April 2019 yang menghendaki semua premis perniagaan di bawah bidang kuasanya menggunakan tulisan itu pada papan tanda mereka.

    Mereka juga memohon perisytiharan bahawa Seksyen 107 (2) bertentangan dengan klausa kesaksamaan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

  • Muhyiddin tolak langkah MOF beri PMO kuasa pilih kontraktor

    Muhyiddin tolak langkah MOF beri PMO kuasa pilih kontraktor

    BEKAS perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu Pejabat Perdana Menteri (PMO) diberi kuasa oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi menilai dan memilih syarikat yang bersaing untuk mendapatkan kontrak kerajaan bagi memperkasa kontraktor Bumiputera berprestasi tinggi semasa tempoh pasca pandemik, kata laporan.

    Memetik laporan itu, MalaysiaNow difahamkan, Muhyiddin dinamakan sebagai antara individu yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dakwaan menerima berjuta-juta ringgit sumbangan politik daripada kontraktor yang dianugerahkan projek semasa pentadbirannya.

    Antara dakwaan pemimpin parti pemerintah ialah Bersatu menerima kira-kira RM300 juta daripada kontraktor sebagai ganjaran kepada kontrak oleh pentadbiran Muhyiddin, sebelum pentadbirannya digulingkan berikutan penarikan sokongan beberapa pemimpin UMNO yang dirancang presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

    Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN), berulang kali menafikan salah laku seperti yang didakwa oleh pemimpin PKR dan UMNO termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Katanya, siasatan akan membuktikan bahawa kewangan Bersatu adalah teratur selain memberi amaran tindakan pihak berkuasa yang menyasarkan parti pembangkang bagi mengganggu kewangan mereka menjelang enam pilihan raya negeri tahun ini akan menyebabkan kemarahan rakyat.

    MalaysiaNow diberitahu siasatan tertumpu kepada Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (JanaWibawa), sebuah program diluluskan Kabinet pada November 2020.

    Ia dibentuk bagi memperkasakan syarikat Bumiputera bertaraf tiga hingga lima bintang, memenuhi piawaian Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan selain daripada keupayaan teknikal dan kewangan.

    Di bawah JanaWibawa, yang diluluskan sebagai antara usaha memulihkan ekonomi pasca pandemik, kontrak diberikan melalui rundingan terus atau tender pra-kelayakan.

    Matlamat utama JanaWibawa adalah untuk mempercepatkan kelulusan projek bagi memulihkan kesan ekonomi ke atas sektor bangunan akibat sekatan Covid-19.

    Tugas menilai syarikat yang layak untuk projek di bawah JanaWibawa diberikan kepada MOF.

    Namun, sumber berkata MOF mahu PMO menjalankan tugas menilai dan memilih tersebut.

    “Muhyiddin tak mahu. Hujahnya, bidang kuasa pemerolehan projek terletak di bawah MOF, bukannya perdana menteri,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow, menambah yang perkara itu disampaikan kepada Asri Hamidon, ketua setiausaha perbendaharaan ketika itu.

    “Tidak wajar pejabat PM pilih syarikat mana yang memenuhi kritria untuk projek. Waktu itu kuasa perdana menteri dan Kementerian Kewangan dipisahkan.

    “Sejak itu, MOF kekal sebagai badan yang ditugaskan untuk menyemak semua kontraktor sebelum diberikan projek di bawah JanaWibawa,” tambah sumber itu.

    MalaysiaNow sudah menghubungi Asri bagi mendapatkan maklum balas.

  • Ibu maut, anak cedera ringan dilanggar motosikal

    Ibu maut, anak cedera ringan dilanggar motosikal

    SEORANG wanita maut manakala anak lelakinya cedera ringan selepas dilanggar sebuah motosikal berhampiran Sekolah Kebangsaan Taman Dato Harun 2, Petaling Jaya, petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian pukul 5.30 petang, mangsa dan anaknya dilanggar sebuah motosikal Honda di Jalan PJS 2/2.

    “Mangsa berusia 37 tahun cedera parah di kepala dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia, semalam.

    “Sementara anak mangsa berusia 10 tahun luka di bibir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor UtusanTV.

    Jelasnya, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704.

  • Gempa Turkiye: Warga emas ditemui selamat 187 jam terperangkap bawah runtuhan

    Gempa Turkiye: Warga emas ditemui selamat 187 jam terperangkap bawah runtuhan

    DENGAN hanya minum air kencing sendiri, seorang mangsa gempa bumi di Turkiye berjaya diselamatkan selepas 187 jam terperangkap di bawah runtuhan pangsapuri yang didiaminya di Mersin di Wilayah Antakya kelmarin.

    Lelaki warga emas itu diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat selepas salah seorang petugas mendengar suaranya ketika misi mengesan mangsa dijalankan di kawasan runtuhan.

    Huseyin Berber, 62, yang juga pesakit kencing manis menceritakan detik hitam itu kepada agensi berita antarabangsa hari ini.

    Menurutnya, untuk meneruskan hidup, dia tiada pilihan lain selain daripada terpaksa meminum air kencingnya sendiri ketika terperangkap di antara sisa runtuhan.

    “Saya hanya ingat ketika saya sedar telah terperangkap dalam runtuhan. Ketika itu semuanya gelap, terlalu gelap sehingga saya tidak dapat melihat badan saya sendiri.

    “Saya menjerit minta tolong, tetapi tiada siapa mendengar. Bangunan ini 15 tingkat, saya bersyukur bila saya dengar bunyi dari kawasan atas runtuhan, saya terus menjerit walaupun tekak saya mulai bengkak,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Huseyin berkata, gempa kedua yang berlaku mengakibatkan siling turut runtuh, namun tidak mengenainya.

    “Gempa kedua, siling runtuh tapi tidak kena saya. Saya terpaksa sengetkan badan dan duduk di antara runtuhan yang menimpa peti sejuk dan kabinet rumah saya.

    “Hanya permaidani saya guna untuk menyelimut saya sepanjang masa sebelum saya dapat mencapai satu kerusi berhampiran dan duduk menunggu diselamatkan.

    “Saya pesakit kencing manis, ketika kejadian ubat dan sebotol air jatuh ke arah saya. Saya minum hingga habis, kemudian saya terpaksa kencing dalam botol untuk diminum.

    “Apabila air kencing itu sejuk, saya minum untuk selamatkan diri saya,” katanya lagi.

    Huseyin diselamatkan pasukan penyelamat dan dikejarkan ke Hospital Bandar Mersin untuk diberikan rawatan lanjut.

    Sehingga kini, lebih 41,000 mangsa maut dalam kejadian gempa bumi di Turkiye dan Syria, manakala lebih 12,000 bangunan dilaporkan runtuh akibat gempa itu.

  • Kehilangan, pembaziran RM158.08 juta dikesan di tiga kementerian, empat jabatan

    Kehilangan, pembaziran RM158.08 juta dikesan di tiga kementerian, empat jabatan

    JABATAN Audit Negara mengesan kehilangan atau kerugian wang awam, pembayaran tidak teratur dan pembaziran berjumlah RM158.08 juta di tiga kementerian serta empat jabatan Persekutuan yang diaudit bagi tahun 2021.

    Menurut Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid, tiga kementerian yang diaudit pematuhan itu adalah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) dan Kementerian Pertahanan.

    Selain itu katanya, empat jabatan terbabit adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Nik Azman berkata, pengauditan pematuhan itu membabitkan jumlah semakan audit sebanyak RM1.127 bilion.

    Katanya lagi, pengauditan dibahagikan kepada kategori Terimaan dengan jumlah semakan sebanyak RM78.86 juta dan kategori Bayaran dengan jumlah semakan RM1.048 bilion.

    “Isu yang membabitkan kehilangan atau kerugian wang awam adalah sejumlah RM116.95 juta, pembayaran tidak teratur sejumlah RM26.03 juta dan pembaziran sejumlah RM15.10 juta.

    “Ketua Audit Negara mengemukakan 22 syor untuk tindakan penambahbaikan oleh kementerian dan jabatan persekutuan berkaitan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2, hari ini.

    Nik Azman berkata secara keseluruhannya, terdapat kelemahan dalam kutipan duti kastam bagi kenderaan import di Pulau Bebas Cukai (PBC)) dengan duti kastam berjumlah RM72.32 juta terkutip kurang disebabkan syarat pemastautin dan pemilikan kenderaan tidak dipatuhi serta pengiraan duti eksais tidak tepat.

    Beliau berkata, audit itu dijalankan di Langkawi dan Labuan.

  • Kerusi DUN Batang Kali diisytihar kosong

    Kerusi DUN Batang Kali diisytihar kosong

    SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim mengisytiharkan kerusi bagi kawasan DUN Batang Kali kosong.

    Suee Lim memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar gagal menghadirkan diri dalam persidangan DUN Selangor selama enam bulan tanpa sebarang notis.

    “Berdasarkan data pada penyata rasmi dan buku kedatangan, ADUN itu tidak hadir tanpa kebenaran Speaker pada keseluruhan persidangan DUN dari 23 hingga 30 November 2022; 1 hingga 2 Disember 2022 dan 5 hingga 6 Disember 2022.

    “Tiada rekod dalam Pejabat DUN Selangor dan pejabat Speaker yang menunjukkan Harumaini memohon kebenaran daripada Speaker untuk tidak hadir pada persidangan pada tarikh berkenaan,” katanya kepada pemberita di Bangunan DUN Selangor hari ini.

    Hadir sama, semasa sidang media pengumuman tersebut ialah Timbalan Speaker DUN Selangor, Hasnul Baharuddin.

    Beliau menambah, penyata rasmi dan buku kehadiran menunjukkan kali terakhir Harumaini hadir ke persidangan DUN Selangor ialah pada 27 Julai 2022.

    “Memandangkan tempoh enam bulan dikira bermula dari 28 Julai 2022, maka seperti yang diperuntukkan Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, tempoh ketidakhadiran Yang Berhormat Batang Kali telah melebihi enam bulan.

    “Maka pada menjalankan kuasa saya sebagai Speaker DUN Selangor mengikut Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, saya dengan ini mengisytiharkan kerusi Harumaini kosong berkuat kuasa mulai 28 Jan 2023,” katanya.

    Sebagai rekod, Harumaini merupakan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding di Batang Kali dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dan memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 8,315.

  • Radzi syor kerajaan sediakan RM2.5 bilion selenggara kuarters kerajaan

    Radzi syor kerajaan sediakan RM2.5 bilion selenggara kuarters kerajaan

    AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin mencadangkan kerajaan menyediakan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion setahun sebagai peruntukan khas bagi penyelenggaraan kuarters kerajaan Persekutuan di seluruh negara untuk tempoh 2023 hingga 2025.

    Sepertimana terkandung dalam tawaran PN ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau berkata, langkah menyediakan peruntukan itu bagi terus memelihara kebajikan penjawat awam di Putrajaya.

    Bekas Menteri Pendidikan itu turut meminta kerajaan menambah bilangan Taska dan Tadika di pejabat kerajaan dan premis kuarters kerajaan.

    “Minta Perdana Menteri kemukakan senarai taska dan tadika di pejabat kerajaan dan premis kuarters kerajaan sedia ada di Putrajaya serta jumlah enrolmen. Berapa lagi akan dibina/disediakan pada tahun 2023 dan 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Kenyataan beliau dibuat setelah tidak sempat mencadangkannya ketika perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau turut mencadangkan kerajaan melalui Perbadanan Putrajaya (PPj) agar menyediakan pas khas kepada penjawat awam yang menggunakan parkir berbayar milik PPj.

    Pas khas tersebut, katanya boleh menawarkan fleksibiliti penggunaan tanpa had keluar masuk setiap hari pada waktu bekerja di semua parkir milik PPj. Adakah PPj mempunyai perancangan untuk mempertimbangkan cadangan ini?.

    Dr. Radzi berkata sebagai sebuah bandar terancang, beliau mencadangkan agar Putrajaya dijadikan sebagai model bandar mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dengan menyediakan kemudahan bersesuaian, termasuk kemudahan riadah dan sukan yang sesuai untuk mereka.

    “Dalam konteks Pendidikan kepada anak-anak Putrajaya, saya minta supaya KPM dapat segara mengatasi masalah kepadatan murid di sekolah.

    “Sepertima mana janji kerajaan lama terdahulu, di mana sekolah di Putrajaya perlu kekal sebagai persekolahan satu sesi. Khusus bagi murid bekerperluan pendidikan khas (MBPK) pula, KPM hendaklah menambah bilangan kelas bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) supaya anak-anak bekeperluan khas ini dapat terus belajar dalam keadaan selamat dan selesa,” katanya, lapor Agenda Daily.

  • Senaraikan pegawai kanan perkhidmatan awam dalam ‘pool’, kata Radzi

    Senaraikan pegawai kanan perkhidmatan awam dalam ‘pool’, kata Radzi

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diminta menyenaraikan jumlah pegawai kanan perkhidmatan awam yang diletakkan ke dalam `pool’ atau peti sejuk sejak PH-BN menerajui kerajaan campuran.

    Menurut Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, ada Ketua Setiausaha Kementerian yang kanan difahamkan ditukar ke kementerian lain yang lebih kecil.

    Katanya, tindakan kerajaan sekarang seolah-olah menjatuhkan hukuman lebih awal terhadap pegawai kanan yang berkhidmat secara profesional.

    “Perkara itu didedah Pagoh semalam mengenai ramai pegawai kanan yang di `pool’ oleh kerajaan campuran sekarang.

    “Jadi saya minta Perdana Menteri menyenaraikan jumlah pegawai kanan yang diletak dalam ‘peti sejuk’ sedangkan mereka berkhidmat secara profesional,” katanya sebagai pembahas pertama Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Radzi juga berharap kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin DAP Pulau Pinang, P Ramasamy kerana kenyataannya yang dianggap sebagai menghina penjawat awam.

    Katanya, kenyataan yang menganggap penjawat awam sekarang sudah tepu merupakan satu penghinaan terhadap golongan berkenaan yang berkhidmat secara profesional.

    Baru-baru ini, P Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang menyifatkan kakitangan awam yang terlalu ramai dan didominasi orang Melayu sebagai punca perkhidmatan awam menjadi lapuk atau tepu.

    Pemimpin DAP terbabit juga dilaporkan mendesak supaya ‘dominasi Melayu’ dalam perkhidmatan awam dihentikan.

    Sementara itu, Radzi berkata, amalan nepotisme yang ditentang hebat pemimpin PH ketika berada di saf pembangkang sebelum ini, sekarang dilanggar mereka sendiri.

    Menurutnya, perkara itu juga terkandung dalam manifesto PH yang tidak mahu Perdana Menteri juga menerajui jawatan Menteri Kewangan.

    “Namun apa yang berlaku sekarang, mereka sendiri langgar perjuangan sebelum ini. Sekarang Perdana Menteri menerajui Kementerian Kewangan dan mengetuai Jabatan Wilayah Persekutuan,” katanya lapor Harakahdaily.

    Pada Janji 12 manifesto Pakatan Harapan ketika kempen Pilihan Raya Umum lepas menyatakan Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan kementerian lain, terutama kewangan.

  • Apa status siasatan SPRM terhadap projek kapal tempur luar pesisir? – Ikmal Hisham

    Apa status siasatan SPRM terhadap projek kapal tempur luar pesisir? – Ikmal Hisham

    AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz meminta kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) memberi maklumat terkini mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan skandal Kapal Tempur Luar Pesisir (LCS).

    Menurutnya Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah melengkapkan siasatan mereka dan juga telah dibawanya kepada pihak SPRM.

    “Dan sebab itu kita nak tahu sekarang ini apa jadi dengan siasatan tersebut. Apakah keputusannya?

    “Siapakah lagi yang hendak kita dakwa? Kita nak tahu, kita tak mahu isu ini ‘swept under the carpet’,” katanya membahas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, lapor Agenda Daily hari ini.

    Bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang mencelah dan bertanya sama ada beliau bersetuju supaya kes terhadap mereka yang terlibat disegerakan.

    Sebelum ini, media melaporkan bahawa SPRM telah mengesyorkan beberapa individu yang dikaitkan dengan projek LCS didakwa di mahkamah.

    SPRM berkata ia telah melengkapkan beberapa kertas siasatan ke atas individu yang terlibat dalam projek kontroversi itu dan telah merujuknya kepada Jabatan Peguam Negara, dan berikutan itu menantikan arahan lanjut.

    Memetik laporan FMT, Ikmal juga meminta Kementerian Pertahanan menjelaskan mengapa negara hanya akan menerima lima dan bukannya enam unit LCS, serta sebab di sebalik keputusan itu.

    Beliau berkata unit perancangan ekonomi dan kementerian kewangan perlu melihat keperluan peruntukan bajet tambahan untuk mendapatkan unit LCS baharu bagi memenuhi keperluan tentera laut.

    Pada 30 Januari lalu, Bernama melaporkan bahawa Tentera Laut Diraja Malaysia akan untuk menerima lima unit LCS berbanding enam.

    Panglima tentera laut yang baharu, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob berkata keputusan itu dibuat susulan perbincangan untuk meneruskan projek kontroversi itu.