Author: Wartawan WartaRakyat

  • Isu dana RM300j: Muhyiddin sudah beri keterangan kepada SPRM

    Isu dana RM300j: Muhyiddin sudah beri keterangan kepada SPRM

    TAN Sri Muhyiddin Yasin sudah memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berkaitan siasatan membabitkan wang RM300 juta disyaki diterima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Lapor Harian Metro yang memetik sumber berkata, Presiden Bersatu itu hadir memberi keterangan berhubung kewangan parti di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pagi semalam.

    Menurutnya, selain Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), keterangan beberapa pemimpin tertinggi parti berkenaan juga sudah diambil sebelum ini.

    “Sehubungan itu, kertas siasatan membabitkan wang RM300 juta disyaki diterima Bersatu daripada dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Covid-19 dipercayai di fasa terakhir untuk dilengkapkan sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

    “Kertas siasatan sudah pun dilengkapkan dan keputusan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat ini sama ada saranan untuk mempertimbangkan pertuduhan atau tidak terhadap beberapa individu,” katanya.

    Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan masih giat dijalankan dan beberapa saksi sedang dipanggil untuk memberi keterangan pada masa ini.

    Beliau berharap umum akan memberikan ruang untuk SPRM membuat siasatan dan tidak membuat spekulasi terhadap kes itu.

    “SPRM akan melaksanakan siasatan dengan telus dan profesional ‘without fear or favour’,” katanya.

    Pada 1 Februari lalu, Azam dilaporkan mengesahkan beberapa akaun milik Bersatu dibekukan.

    Beliau dilaporkan berkata, akaun terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram dan siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

    Azam turut dilaporkan mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan SPRM mempunyai kuasa yang tidak terbatas untuk menyemak mana-mana akaun parti politik di negara ini.

    Dalam laporan media susulannya, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman yang turut mengesahkan pembekuan akaun berkenaan dilaporkan berkata, tindakan SPRM membekukan akaun Bersatu mempunyai kaitan dengan siasatan terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

  • Amang sekskual anak lelaki sendiri:Bekas tentera dipenjara 5 tahun, 2 sebatan

    Amang sekskual anak lelaki sendiri:Bekas tentera dipenjara 5 tahun, 2 sebatan

    SEORANG bekas tentera yang melakukan amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya yang masih kecil menerima balasan selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini.

    Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu selepas lelaki berusia 52 tahun itu membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang mempunyai hubungan bapa kandung didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Pokok Mangga Kampung Padang, antara pukul 10.30 malam hingga 3 pagi, pada 5 dan 6 Februari lalu.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

    Tertuduh yang diwakili peguam, Muhamad Syah Azlan Abdullah memohon hukuman rendah dikenakan terhadap tertuduh kerana tertuduh hanya bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan di sebuah hotel dengan pendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menyara keluarga termasuk dua anak masih bersekolah.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain tertuduh merupakan bapa kandung kepada mangsa.

    Berdasarkan fakta kes, bekas isterinya membuat laporan polis selepas kanak-kanak lelaki itu mengadu bahawa kemaluannya berasa sakit selepas alat sulitnya ditarik oleh bapa.

    Wanita kepada lima anak itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah pada 11 Februari lalu.

    Hakim Darmafikri pada penghakimannya berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan seharusnya seorang bapa kandung melindungi dan menjaga keselamatan anaknya.

    Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 Februari lalu.

  • Manipulasi saham: Repco Low dipenjara setahun denda RM5 juta

    Manipulasi saham: Repco Low dipenjara setahun denda RM5 juta

    BEKAS Pengerusi Eksekutif Repco Holdings Bhd, Low Thiam Hock atau lebih dikenali sebagai Repco Low dipenjara setahun dan didenda RM5 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung kesalahan cuba mengelirukan pasaran saham pada 1997.

    Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikan selepas menolak rayuan Repco Low, 60, terhadap sabitan dan denda oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 29 Februari 2016 lalu.

    Bagaimanapun, hakim ini berpendapat, hukuman penjara lima tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen adalah keterlaluan dan menggantikannya dengan penjara setahun manakala denda RM5 juta dikenakan terhadap tertuduh pula dikekalkan.

    “Sabitan adalah selamat, rayuan terhadap sabitan ditolak, namun hukuman penjara lima tahun adalah keterlaluan dan ditukarkan kepada setahun,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Semasa prosiding, peguam, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Repco Low memohon kepada mahkamah, agar dapat menggunakan budi bicara untuk membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

    “Pembelaan juga memohon ikat jamin sebanyak RM1.3 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen serta pasport diserah sebagai syarat jaminan, dikekalkan,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti (SC), Shoba Venu Gobal membantah permohonan penangguhan itu kerana keadaan kes telah berubah selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan terhadap Repco Low selaku perayu.

    Beliau berkata, tiada keadaan istimewa yang mewajarkan penangguhan pelaksanaan diberikan kepadanya.

    “Kami juga memohon kadar ikat jamin ditambah sebanyak RM1 juta, syarat jaminan pasport dikekalkan serta perayu diarah melapor diri kepada pegawai penyiasat SC sebulan sekali,” katanya.

    Pada prosiding ini, pasukan pendakwaan turut diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izzuddin Mohamad and Mohd. Hafiz Mohd. Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam, New Sin Yew dan Chen Yen Hui.

    Pada 1999, Thiam Hock didakwa di Mahkamah Sesyen kerana mengarahkan seorang wakil Sime Securities Sdn Bhd untuk membeli saham Repco Holdings dengan menyerap apa-apa harga tawaran saham itu yang ditawarkan penjual saham di Bursa Saham Kuala Lumpur.

    Perbuatan itu didakwa boleh menimbulkan kekeliruan berhubung harga saham Repco di pasaran.

    Kesalahan dilakukan di Sime Securities, Tingkat 21, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman di Kuala Lumpur antara pukul 11 pagi dan 5 petang pada 3 Disember 1997.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 84(1) Akta Industri Sekuriti 1983 dibaca bersama Seksyen 88(b) akta sama itu memperuntukkan hukuman minimum denda RM1 juta dan penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

    Pada 14 November 2006, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Repco Low daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pertuduhan itu adalah cacat.

    Pada 15 Oktober 2010, Mahkamah Tinggi menolak rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan pembebasan lelaki terbabit.

    Namun pada 28 Februari 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkannya membela diri terhadap pertuduhan cuba mengelirukan pasaran saham itu.

  • Mahu perkuat pasukan, Shahrizat sah bertanding Ketua Wanita UMNO

    Mahu perkuat pasukan, Shahrizat sah bertanding Ketua Wanita UMNO

    PERNAH menerajui Wanita UMNO selama 10 tahun, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengesahkan akan kembali bertanding jawatan yang pernah disandangnya lima tahun lalu setelah menyerahkan kertas pencalonannya awal hari ini di Ibu Pejabat UMNO.

    Menurut bekas Ketua Wanita UMNO dari 2008 hingga 2018 itu, visinya kali ini adalah untuk memperkukuh Wanita UMNO dan melebarkan sayapnya.

    Beliau berkata, Wanita UMNO perlu inklusif dan sentiasa menunjukkan keberadaan sayap itu sebagai pasukan utama untuk membela rakyat seperti yang dilakukan selama ini.

    “Saya bertanding semula bagi jawatan Ketua Wanita UMNO untuk memperkuatkan pasukan ini dan melebarkan sayapnya. Kita perlu memenangi hati dan minda rakyat serta negara ini sekali lagi,” katanya, lapor New Straits Times.

    Mengulas lanjut Shahrizat berkata, beliau mendapat sokongan padu daripada penyokongnya untuk kembali menerajui pergerakan itu dan membuat kemunculan semula.

    Sebelum ini dilaporkan 147 ketua Wanita UMNO bahagian di seluruh negara menggesa Shahrizat menerajui sayap wanita parti itu memandangkan legasi dan reputasi bekas menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu kekal walaupun selepas bersara daripada politik.

    Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata keputusan kolektif itu dibuat ketika pertemuan mereka dengan Shahrizat baru-baru ini.

    Shahrizat berkata kekuatannya untuk bertanding jawatan itu berdasarkan pengalamannya mengemudi pergerakan itu sebelum ini.

    Bercakap mengenai lawannya yang juga Ketua Wanita UMNO sekarang, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Shahrizat berkata, pertandingan itu bukan bersifat peribadi.

    Beliau berkata, pertandingan dalam jawatan adalah perkara biasa dan pergolakan dalam kempen, bukan sesuatu yang peribadi.

    “Saya memberi arahan kepada mereka yang menyokong saya untuk memulakan kempen secara bersih kerana kita sendiri mengetahui mengenai landskap politik sekarang.

    “Paling penting, mereka yang menyokong saya mesti tahu apa yang saya pegang dan ke mana saya mahu membawa Wanita UMNO ini. Ia bukan untuk memburuk-burukkan kem lawan,” katanya.

    Mengulas kes penyelewengan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), yang menamakan suami dan tiga anaknya sebagai defendan, beliau berkata ia adalah ujian yang perlu dilaluinya.

    “Ia tidak mencemarkan saya, malah UMNO juga tidak tercemar. Saya tidak mempunyai sebarang kes mengenai NFC, sebaliknya keluarga saya menjadi subjek penganiayaan politik.

    “Saya sudah diuji dan terus kuat dalam politik. Bagi saya, politik bukan untuk mereka yang lemah semangat,” katanya.

  • Pas pertimbang DUN untuk KJ

    Pas pertimbang DUN untuk KJ

    PAS mungkin mempertimbangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sesuai untuk bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, sehingga kini parti itu belum menerima sebarang permohonan daripada Khairy.

    “Pas juga tetap terbuka menerima bekas Ketua Pemuda UMNO itu.

    “Pas dan Perikatan Nasional (PN) turut mengalu-alukan tokoh atau ahli daripada parti lain yang tidak bersetuju dalam muafakat politik parti mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Tahfiz Al Ikhwan Serta Pecah Tanah Fasa II di Kota Bharu hari ini.

    Khairy yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kalah dalam pertandingan enam penjuru dan kerusi dimenangi calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R. Ramanan.

    Ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi pada PRN, Tuan Ibrahim memberitahu, Pas belum membincangkan perkara itu dan menyerahkannya kepada majlis tertinggi dan jawatankuasa perunding parti.

    Bagaimanapun katanya, Pas sudah meninjau simulasi umum untuk memberi fokus kepada negeri yang boleh memenangi PRN.

    “Calon muka baharu kira-kira 40 peratus dan kita minta Muslimah dan Pemuda boleh menyenaraikan nama yang sesuai untuk tapisan sebagai calon,” katanya lapor Sinar Harian.

    Tuan Ibrahim turut memberitahu, Pas menerima purata seramai 5,000 ahli baharu setiap sebulan dengan sebahagian besarnya ialah orang muda.

  • Pemecatan batal, Lokman Adam kembali jadi ahli MKT

    Pemecatan batal, Lokman Adam kembali jadi ahli MKT

    UMNO membatalkan pemecatan Datuk Lokman Noor Adam sebagai ahli parti itu, semalam selepas tiga tahun berbuat demikian.

    Lokman menerusi Facebook rasminya berkata, pembatalan pemecatan itu dimaklumkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melalui panggilan telefon.

    “Kini saya kembali sebagai ahli MKT Umno. Terima kasih presiden, timbalan presiden, ahli MKT dan semua yang mendoakan saya.

    “Dengan pembatalan ini, hak saya untuk bertanding dalam pemilihan kali ini dikembalikan,” katanya di Facebook, lapor Free Malaysiaa Today.

    Pada 7 Feb 2020, Lokman mendakwa beliau dipecat oleh UMNO dalam mesyuarat MKT yang berlangsung pada hari berkenaan melalui undi angkat tangan yang tidak sepatutnya mengambil kira undian pengerusi negeri memandangkan mereka bukan ahli MKT.

    Lokman berkata, beliau reda dengan keputusan itu dan tetap setia kepada UMNO.

  • Wanita didakwa bunuh suami

    Wanita didakwa bunuh suami

    WANITA warga India dan rakan sekerja didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini, atas tuduhan membunuh suaminya di sebuah rumah kebajikan orang tua di Subang Jaya, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Varun Kumar, 30, dan Lachhami Devi, 23, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan secara bersama dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh warga India yang juga rakan sekerja di rumah kebajikan itu kerana kes berkenaan berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Arshdeep Singh, 25, pada pukul 1.30 pagi di sebuah rumah kebajikan orang tua di Subang Jaya, 31 Oktober 2021.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian dan Varun diwakili peguam, Dr Pritam Singh Doal manakala Lachhami Devi tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 14 April depan.

    Media pada 4 Februari lalu melaporkan polis memberkas lelaki warga India disyaki membunuh suami kekasihnya di sebuah banglo di Subang Jaya sebelum menanam mayat di lereng bukit belakang premis itu.

    Suspek ditahan berikutan polis menerima laporan orang awam pada pukul 4.45 petang pada 2 Februari lalu, selepas lelaki itu didakwa mengaku membunuh dan menanam rakan senegaranya lapor Harian Metro.

  • Warga emas maut, kereta langgar rempuh belakang treler

    Warga emas maut, kereta langgar rempuh belakang treler

    SEORANG wanita warga emas maut selepas kereta yang dinaikinya melanggar kon sebelum merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 334.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Tapah, pukul 5.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa yang berusia 81 tahun yang merupakan penumpang kereta berkenaan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tapah.

    “Sebelum kejadian tersebut, sebuah treler muatan alat ganti kereta yang dalam perjalanan dari Johor ke Padang Besar, Perlis telah terbabas lalu melanggar pembahagi jalan besi di tengah lebuh raya.

    “Kira-kira sejam kemudian, sebuah kereta yang datang dari arah sama telah hilang kawalan lalu melanggar kon keselamatan dan seterusnya terbabas melanggar bahagian belakang treler itu.

    “Dalam kemalangan ini penumpang belakang kereta yang berumur 81 tahun telah meninggal dunia di Hospital Tapah semasa menerima rawatan di wad kecemasan,” katanya dalam kenyataan di sini.

    Menurutnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Prathiparaj Punasagaran di talian 014-6178095.

    “Pengguna jalan raya diingatkan supaya lebih berhati-hati dan bertimbang rasa semasa memandu kenderaan supaya kemalangan sebegini dapat dielakkan,” ujarnya, lapor Astro Awani.

  • Pecah amanah: Pemandu dipenjara setahun, denda dan 2 sebatan

    Pecah amanah: Pemandu dipenjara setahun, denda dan 2 sebatan

    SEORANG pemandu sebuah syarikat bukan sahaja dihukum penjara 12 bulan malah turut menerima dua sebatan serta didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM14,000 bulan lalu.

    Tertuduh, Mohd. Nazri Malek, 51, dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam jika gagal membayar denda terbabit, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu syarikat Khairi Bina Sdn. Bhd. telah menyalahgunakan harta milik syarikat terbabit iaitu wang berjumlah RM14,000 yang diperoleh daripada sekeping cek milik syarikat itu yang sepatutnya untuk ditunaikan.

    Bagaimanapun tertuduh telah menggunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi.

    Kesalahan berkenaan dilakukan di syarikat terbabit di Seremban 2 pada 10 Januari 2023.

    Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan sebatan serta denda.

    Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman memohon mahkamah mengenakan hukuman yang boleh memberi pengajaran dan setimpal.

    Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara paling minimum atas alasan telah insaf atas kesalahan dilakukan.

    Mengikut fakta kes, pengadu iaitu pemilik syarikat telah menyerahkan satu cek CIMB berjumlah RM14,000 kepada tertuduh pada pukul 9 pagi untuk ditunaikan.

    Namun apabila pengadu bertanya kepada tertuduh berkenaan cek itu pada pukul 11 pagi, tertuduh memberitahu ia belum ditunaikan sedangkan pemeriksaan mendapati ia telah pun ditunaikan pada pukul 10.45 pagi.

  • PDRM rampas dadah, ketum bernilai RM8.76 juta

    PDRM rampas dadah, ketum bernilai RM8.76 juta

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai jenis dadah selain ketum bernilai RM8.76 juta dalam tempoh dua minggu sejak 1 Februari.

    Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM dalam satu kenyataan memberitahu, statistik setakat 15 Februari itu merekodkan 7,946 tangkapan atas pelbagai seksyen kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983.

    “Seramai 10 individu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

    “Sebanyak tiga sindiket melibatkan 11 orang tangkapan telah berjaya ditumpaskan serta sebuah makmal dadah berjaya dibongkarkan.

    “JSJN juga telah merampas sebanyak 210 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah, 189 liter pelbagai jenis cecair dadah, 3,079 kg daun ketum serta 8,539 liter air ketum dengan nilai rampasan keseluruhan adalah berjumlah RM8.76 juta,” katanya dalam Facebook rasminya, hari ini.

    Tambah kenyataan itu, sepanjang tempoh dua minggu ini juga, seramai 1,118 penagih dadah tegar dituduh di bawah Seksyen 39C ADB 1952 dan daripada jumlah tersebut seramai 586 orang telah disabitkan kesalahan di bawah seksyen yang sama.

    Tegasnya, JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

    “Seramai 23 orang penjawat awam telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah,” katanya.

    Selain itu, katanya lagi, sebanyak 3,287 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,980 kertas siasatan berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 60 peratus.

    “Dalam usaha melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, sejumlah RM779,000 aset telah disita manakala sebanyak RM149,000 telah dilucut hak,” katanya.

    Katanya lagi, sepanjang tempoh itu juga terdapat kes menarik iaitu tangkapan 12 individu termasuk lima ‘doktor’ di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor serta merampas 21 kg disyaki dadah jenis ketamin dan 2 kg syabu yang bernilai RM1.27 juta pada 7 Februari.

    “JSJN menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah, sila salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-2087222,” katanya, lapor Sinar Harian.