Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kabinet setuju pindaan Perlembagaan beri kerakyatan anak lahir luar negara

    Kabinet setuju pindaan Perlembagaan beri kerakyatan anak lahir luar negara

    JEMAAH Menteri bersetuju dengan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia mendapat kewarganegaraan.

    Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan bersama, pindaan itu dijangka dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat semasa selepas memenuhi keperluan undang-undang.

    “Kesan daripada keputusan hari ini adalah anak yang lahir di luar negara sebelum atau selepas Hari Malaysia yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya adalah warganegara Malaysia berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang menurut Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka, lapor Free Malaysia Today.

    Bulan lepas, Azalina berkata, memo Jemaah Menteri yang mencadangkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan ibu mewariskan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara akan diserahkan tidak lama lagi.

    Saifuddin dan Azalina berkata, cadangan pindaan Perlembagaan itu adalah untuk menggantikan perkataan “bapanya” dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan “sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya”.

    “(Ini) bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka.

    Mereka berkata, pindaan lain berkaitan kewarganegaraan akan dikaji dengan lebih terperinci oleh jawatankuasa yang ditubuhkan bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri setelah cadangan pindaan dimuktamadkan, dengan mengambil kira libat urus dengan semua pihak berkepentingan.

    “Perkara ini sejajar dengan komitmen kerajaan perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki, menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita di Malaysia,” kata mereka.

    Tambah mereka, pindaan tersebut bertujuan “mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan yang timbul, menyelesaikan lambakan kes tertunggak bagi wanita terkesan yang memohon kewarganegaraan anak mereka melalui pendaftaran yang mengambil masa terlalu lama dan
    tidak munasabah”.

    Selain itu, pindaan tersebut diharapkan dapat memberikan tafsiran yang jelas dan mengelakkan tafsiran berbeza dari mahkamah.

    Ogos lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia tidak berhak mendapat kerakyatan automatik kerana Perlembagaan hanya memperuntukkan kewarganegaraan melalui bapa.

    Dalam penghakiman 2-1 yang memihak kepada kerajaan, mahkamah memutuskan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia boleh dinafikan kewarganegaraan kerana perkataan “bapa” dalam Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan berkaitannya dalam Jadual Kedua adalah “jelas dan tidak taksa”, dan tidak boleh ditafsirkan untuk merangkumi ibu.

    Keputusan itu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada September 2021 bahawa kerajaan mesti memberikan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia kerana perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua perlembagaan mesti bermakna dan merangkumi ibu.

    Dalam membenarkan beberapa relief pengisytiharan yang diminta oleh NGO dan enam ibu bahawa peruntukan tertentu mengenai kewarganegaraan dalam Perlembagaan bersifat diskriminasi, hakim Akhtar Tahir berpendapat, ibu berhak untuk memberikan kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang dalam semua proses, sama seperti bapa.

  • Mansuh pertandingan, sambutan tak beri impak antara 7 langkah KPM kurang beban guru

    Mansuh pertandingan, sambutan tak beri impak antara 7 langkah KPM kurang beban guru

    SEBARANG bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberikan impak kepada pembelajaran murid dan hanya membeban tugas guru di sekolah dimansuhkan Kementerian Pendidikan (KPM).

    Sebagai contoh ialah, pertandingan keceriaan pusat sumber, tandas tercantik, Bilik Operasi SPBT terbaik dan seumpamanya.

    Menurut KPM dalam satu kenyataan yang dipetik Berita Harian, ia antara tujuh langkah pelaksanaan segera ke arah kesejahteraan guru.

    Enam langkah lain yang diumumkan ialah mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang membabitkan guru kepada setahun sekali saja.

    Turut ditekankan menetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel kepada guru iaitu jam 12 tengah hari untuk sesi pagi dan jam 5 petang untuk sesi petang bagi mengelakkan kesesakan dalam sistem.

    Kementerian juga membuka pelantikan pengawas peperiksaan awam yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) kepada individu selain guru.

    Ini termasuk penjawat awam yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) tetapi perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan.

    Langkah lain ialah mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah saja.

    Menetapkan ringkasan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) di peringkat kementerian bagi memastikan kembali memenuhi keperluan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil.3/1999, yang merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi.

    Kementerian juga memperkukuh autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan.

  • Belum ditayangkan, Pulau diharamkan di Terengganu

    Belum ditayangkan, Pulau diharamkan di Terengganu

    FILEM kontroversi, Pulau yang akan ditayangkan di seluruh negara mulai 9 Mac ini dilapor diharamkan daripada tayangan di Terengganu.

    Perkara itu dimaklumkan penerbitnya, Fred Chong menerusi sidang media secara virtual, hari ini.

    “Alasan mereka filem itu mengandungi adegan-adegan yang keterlaluan. Walhal, belum ada sesiapa lagi yang menonton filem itu,” katanya, menurut Harian Metro.

    Fred berkata, pengharaman filem bergenre seram itu memberi kesan besar buat mereka dan bimbang sekiranya ada negeri lain yang akan mengambil tindakan sama dibuat kerajaan negeri Terengganu.

    “Semalam Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) memaklumkan kerajaan negeri Terengganu mengharamkan penayangan filem Pulau di sana.

    “Saya tak tahu selepas ini negeri mana pula yang akan mengikut langkah mereka. Saya rasa ini adalah langkah yang berbahaya kerana bermula dari tiga pawagam, mungkin boleh menjadi 30 atau 60 pawagam selepas ini. Bagi saya, ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

    Menurut Fred, surat itu dihantar kepada pihak pawagam TGV yang memiliki tiga pawagam utama di Terengganu.

    “Pihak TGV menerima surat daripada Majlis Perbandaran Kemaman pada 9 Februari supaya filem Pulau tidak ditayangkan di tiga pawagam itu di sana. Keputusan itu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya.

    Ditanya mengenai tindakannya, Fred memaklumkan pihaknya sudah menghantar surat rayuan dan mencadangkan supaya pihak terbabit menonton dan menilai terlebih dulu filem Pulau sebelum membuat keputusan.

    “Saya sudah menghantar surat rayuan kepada kerajaan negeri Terengganu dan mencadangkan kepada mereka, untuk saya ke sana bersama wakil dari TGV serta Finas, dan menayangkan filem itu kepada mereka.

    “Dari situ, mereka sendiri boleh menilai sama filem itu sesuai ditayangkan atau tidak kerana filem ini sudah mengikut prosedur penapisan yang sepatutnya.

    “Sekiranya saya mendapat maklum balas daripada pihak sana, saya sanggup ke sana pada Isnin ini untuk menayangkan filem itu kepada mereka,” katanya.

    Berkongsi mengenai kesan daripada kontroversi yang melanda filem arahan Euho itu, Fred berkata, pihaknya berdepan dengan kerugian besar, lebih-lebih lagi apabila pihak penaja menarik balik tajaan mereka.

    “Kos penghasilan filem ini mencecah hampir RM4 juta dan kami semua meletakkan sepenuh kerja keras kami dalam menghasilkannya. Jadi, apa yang berlaku memberi kesan kepada pihak kami terutamanya sebagai syarikat produksi. Malah, nak bayar kepada stesen radio supaya memainkan lagu OST Pulau pun, kami tak mampu.

    “Kalau melihat semua rangka pemasaran untuk filem-filem saya yang terdahulu, kami memang memberikan pemasaran yang sangat mewah dari papan iklan sehinggalah malam gala yang lengkap dengan acara karpet merah.

    “Namun, untuk Pulau takkan ada semua itu kerana penaja juga sudah menarik balik tajaan sebanyak RM500,000. Niat kami untuk membawa industri perfileman kita ke peringkat yang lebih tinggi kini musnah.

    “Kepada netizen yang menulis komen kecaman dan memboikot, saya rayu anda semua supaya menonton filem ini terlebih dulu sebelum menilainya,” katanya.

    Sebelum kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pengharaman filem itu, Pulau dijangka bakal ditayangkan di 75 pawagam seluruh negara.

    Terdahulu, filem lakonan Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Joey Leong, Sanjna Suri, Pui Yi dan ramai lagi itu terpalit kontroversi selepas treler yang ditayangkan di YouTube, memaparkan adegan-adegan panas yang tidak selari dengan budaya Malaysia.

  • Wanita PN lapor polis jika Muhyiddin terus difitnah

    Wanita PN lapor polis jika Muhyiddin terus difitnah

    WANITA Perikatan Nasional (PN) Johor akan membuat laporan polis sekiranya Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus dijadikan sasaran fitnah isu salah guna kuasa.

    Ketuanya, Datuk Azlinda Abd. Latif berkata, tindakan tersebut akan diselaraskan ke seluruh negara dan gelombang tersebut akan dimulakan di Johor.

    Beliau percaya SPRM menjalankan tugas seperti yang diamanahkan dan berharap gabungan parti politik lain juga disiasat.

    “Sememangnya fitnah ini perlu dihentikan kerana terdapat juga laporan perbelanjaan mewah oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Laporan tersebut telah dihantar ke SPRM pada minggu lalu. Kita harap ada perkembangan terhadap laporan tersebut. Jika hendak siasat, siasat lah kesemua parti politik yang bertanding pada PRU15, bukan Bersatu sahaja.

    “Oleh itu sebagai ahli parti, kita merasakan ia tidak adil kepada pucuk pimpinan. Kami tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis,” katanya pada sidang akhbar Wanita PN Johor di Bilik Gerakan PN negeri di Kulai hari ini.

    Hadir sama, Ketua Muslimat Pas negeri, Zakiah Tukirin dan Ketua Wanita Gerakan negeri, Susan Yong.

    Media hari ini melaporkan, Muhyiddin telah memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan membabitkan dana RM300 juta yang didakwa diterima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Muhyiddin dipanggil dipercayai bagi memberi keterangan berhubung siasatan wang RM300 juta disyaki diterima parti itu daripada dana di bawah pakej rangsangan ekonomi Covid-19.

    Ketika diminta mengulas mengenai dana Bersatu yang masih dibekukan, Azlinda berkata, perkara itu tidak menghalang Wanita PN bergerak membawa agenda rakyat.

    “Realitinya memang sukar tetapi kami bermula dengan gerakan fisabilillah dan infaq. Kami percaya kepada kekuasaan Allah, sebab kita bermula sebagai parti fisabilillah yang ahli parti menyumbang sendiri,” katanya.

    Pada 1 Februari lalu, SPRM dilaporkan membekukan beberapa akaun milik parti Bersatu.

    Sementara itu, Azlinda memberitahu Wanita PN Johor yang terdiri daripada 200,000 ahli akan membantu PN berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

    “Wanita PN Johor juga akan membuka penyertaan sukarelawan bagi membantu PN berkempen. Kita akan fokus kepada tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah,” ujarnya.

  • ‘Speaker Selangor khilaf isytihar kerusi DUN Batang Kali kosong’ – Pejuang

    ‘Speaker Selangor khilaf isytihar kerusi DUN Batang Kali kosong’ – Pejuang

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dengan mengisytiharkan kerusi DUN Batang Kali yang disandang Harumaini Omar, telah kosong.

    Menurut Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali, Suee Lim pada sidang medianya sebelum ini membuat ketetapan bahawa Harumaini tidak hadir selama enam bulan bermula pada 28 Julai 2022 dan tamat pada 27 Januari 2023 menyebabkan kerusi itu dikosongkan.

    Jelas Rafique, perkiraan enam bulan itu seharusnya bermula 23 November 2022 iaitu di mana tarikh bermulanya Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022.

    “Semalam Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim dalam sebuah sidang media telah isytihar bahawa kerusi N.07 Batang Kali yang disandang oleh Harumaini Omar telah dikosongkan.

    “Menurut Speaker sebab kekosongan tersebut adalah kerana Harumaini didapati tidak menghadirkan diri pada sidang DUN Selangor melebihi enam bulan sejak 28 Julai 2022 dan tiada pemakluman ketidakhadiran diberikan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhammad Rafique berkata, DUN Selangor ke-14 pada 2022 telah memasuki penggal kelima dan sebanyak tiga mesyuarat telah diadakan.

    “Mesyuarat pertama, 14 hingga 18 Mac 2022 dan 21 hingga 25 Mac 2022.

    “Mesyuarat kedua, 25 hingga 29 Julai 2022 dan 1 hingga 5 Ogos 2022.

    “Mesyuarat ketiga, 23 hingga 25 November; 29 hingga 30 November; serta 1, 2 Disember; dan 5 hingga 6 Disember 2022,” katanya.

    Menurut Muhammad Rafique lagi, Harumaini telah hadir pada mesyuarat kedua dan ketidakhadiran tanpa kebenaran hanya berlaku pada permulaan mesyuarat ketiga iaitu 23 November 2022.

    “Tarikh luput enam bulan sepertimana Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 adalah pada 22 Mei 2023,” tambahnya lagi.

    Semalam, Suee Lim berkata tahun lalu DUN Selangor bersidang dari 14 hingga 18 Mac, 21 Mac, 25 hingga 29 Julai, 1 hingga 2 Ogos, 23 hingga 30 November, 1 hingga 2 Disember dan 5 hingga 6 Disember dalam Penggal Kelima DUN Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022.

    “Penyata Rasmi dan Buku Kedatangan Ahli DUN Selangor menunjukkan ADUN Batang Kali, Harumaini Omar, didapati tidak hadir tanpa kebenaran Speaker DUN Selangor pada keseluruhan persidangan dewan dari 23 hingga 30 November 2022, 1 hingga 2 Disember 2022 dan 5 hingga 6 Disember 2022,” kata Suee Lim.

    Mengulas lanjut Muhammad Rafique turut memaklumkan bahawa Harumaini juga telah mengutus surat kepada Suee Lim bagi memohon perisytiharan kekosongan DUN berkenaan ditarik balik.

    “Pejuang menyatakan hak kebebasan untuk hadir dan berbahas bagi rakyat di Dewan Negeri atau Dewan Rakyat adalah tunjang kepada sistem Demokrasi Berparlimen.

    “Malah dengan keadaan tidak menentu senario politik negara dan negeri serta pembubaran dewan yang boleh berlaku bila-bila, tiada apa-apa prejudis jika Harumaini dibenarkan terus berkhidmat sebagai ADUN Batang Kali,” katanya.

    Muhammad Rafique juga menggesa agar Suee Lim memberikan jawapan segera berkenaan perkara itu agar ia tidak dijadikan mainan politik semata-mata.

    “Rakyat adalah pemegang taruh paling besar dalam demokrasi dan rakyat jugalah berada dalam posisi paling merugikan sekiranya politik terus menjadi mainan pihak-pihak tertentu,” katanya, lapor Agenda Daily.

  • Menu Rahmah pendekatan retorik, rakyat mahu naik gaji, keluar KWSP, kata Muqharabbin

    Menu Rahmah pendekatan retorik, rakyat mahu naik gaji, keluar KWSP, kata Muqharabbin

    KONSEP Menu Rahmah disifatkan hanya pendekatan retorik untuk mengalih isu dan desakan rakyat yang mahu kenaikan gaji dan pengeluaran Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP).

    Bekas EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, ini kerana impak hasil pelaksanaan program itu kepada peniaga dan rakyat tidak menyeluruh, biarpun konsep itu pernah dilaksana kerajaan sebelum ini ada kebaikannya.

    “Sebenarnya konsep ini sudah dilaksanakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ia diketepikan.

    “Memang ada kebaikannya (Menu Rahmah), tetapi impaknya kepada peniaga dan juga rakyat tidak menyeluruh. Rakyat lebih mahu kenaikan gaji dan juga pengeluaran wang KWSP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Muhamad Muqharabbin berkata, sejak tahun 2000 hingga kini, setiap kali pilihan raya mahu diadakan, isu membabitkan kenaikan gaji dijanjikan, tetapi selepas menang, jawapan yang akan dimaklumkan hanya membabitkan penubuhan pasukan petugas khas untuk mengkajinya.

    “Rakyat kini sudah mampu menilai janji manifesto yang langsung tidak berfungsi selepas menang PRU,” katanya.

    Susulan itu, Muhamad Muqharabbin berkata, beliau berharap Kerajaan Perpaduan sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun ini dapat membawa berita gembira berhubung kenaikan gaji di Malaysia.

    “Saya juga berharap kerajaan dapat membenarkan pengeluaran kali terakhir KWSP sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus daripada baki simpanan setiap penyimpan.

    “Kita tahu tahun ini, keadaan ekonomi negara agak meruncing dan membimbangkan. Jadi, bukan mudah untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan memulakan perniagaan,” katanya.

  • Hidup dalam kesempitan, 320,000 pencarum desak benarkan pengeluaran KWSP

    Hidup dalam kesempitan, 320,000 pencarum desak benarkan pengeluaran KWSP

    SEBANYAK 320,000 pencarum yang mempunyai baki simpanan RM100,000 ke atas di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran bersasar.

    Menurut Presiden Global Human Rights Federation (GHRF), S Shashi Kumar, pencarum tersebut kini berada dalam kesempitan untuk meneruskan hidup dan membina semula kehidupan yang hampir musnah selepas pandemik Covid-19.

    “Ramai yang telah hilang pekerjaan, sukar untuk dapatkan pekerjaan kembali kerana faktor umur dan sebagainya,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan bangunan Perdana Putra, hari ini.

    Anwar pula diwakili oleh Pegawai Khas Setiausaha Sulit Kanan, Muhammad Fikri Khalid.

    Shashi Kumar berkata, kerajaan sepatutnya bertanggungjawab mendengar rintihan dan membantu rakyat.

    “(Datuk Seri) Ahmad Maslan mengatakan KWSP tidak dibenarkan untuk dikeluarkan…

    “Tidak mengapalah, rumahnya besar, dapat elaun, minyak kereta, bil elektrik dan telefon kerajaan bayar,” katanya.

    Beliau berkata, Kerajaan PH-BN yang dipimpin Anwar perlu ingat jasa rakyat sehingga mereka dapat membentuk kerajaan.

    “Tanpa rakyat kerajaan tidak akan ada,” katanya.

    Shashi Kumar berkata, rakyat seolah-olah menagih untuk mengeluarkan wang hak milik mereka.

    “Kita tidak mahu merayu kerana ini hak kita. Ramai yang terpaksa tidur dalam kereta.

    “Mana ada ahli Parlimen yang turun bantu rakyat melainkan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya, lapor BeritaBersatu.

    Dalam pada itu, seorang ibu tunggal, S B Uma Devi merayu kerajaan membenarkan pengeluaran terbabit bagi menampung kehidupannya bersama dua anak.

    Dia berkata, kehidupannya menjadi sukar selepas syarikat tempatnya bekerja menamatkan perkhidmatan pekerja pada tahun 2018.

    “Sejak itu, saya hidup dengan duit simpanan untuk besarkan anak-anak kerana gagal mendapat pekerjaan tetap sehingga kini,” katanya.

    Dia yang kini berusia 49 tahun berkata, tiada sebarang bantuan yang diluluskan terhadapnya meskipun telah membuat permohonan.

    “Saya ada dua anak dan kerajaan bantu tiap bulan RM100 untuk kedua-dua mereka, tapi itu tidak cukup,” katanya.

    Selain itu, dia turut bergantung hidup dengan bantuan dan ihsan badan bukan kerajaan (NGO).

    “Sekarang ini saya memerlukan wang untuk membiayai persekolahan anak-anak saya. “Sebab itulah saya terdesak mahukan KWSP kali ini,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Mohammad Farhan Jailani berkata, NGO memahami kegusaran kerajaan terhadap hari persaraan, tetapi rakyat perlu hidup pada hari ini.

    “Hari tua bukanlah semata-mata bergantung kepada wang caruman KWSP, namun bergantung kepada kehidupan hari ini.

    “Lagipun, wang ini titik peluh pencarum, bukan hak kerajaan,” katanya.

  • Politik Malaysia antara tumpuan firma Israel pengaruhi pilihan raya seluruh dunia

    Politik Malaysia antara tumpuan firma Israel pengaruhi pilihan raya seluruh dunia

    MALAYSIA dilapor antara negara yang pilihan rayanya mungkin terjejas disebabkan syarikat Israel yang beroperasi untuk mempengaruhi pilihan raya di seluruh dunia dengan menyebarkan maklumat palsu, dedah siasatan bersama oleh wartawan dari beberapa media Barat.

    Memetik laporan MalaysiaNow, pendedahan itu muncul tidak sampai tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang buat pertama kali menyaksikan Parlimen tergantung dan berakhir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan (PH) dilantik sebagai perdana menteri.

    Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada terdapat sebarang peranan yang dimainkan untuk mempengaruhi PRU15, tetapi ia ada memetik skandal 1MDB yang menjadi nadi PRU pada 2018, apabila perkhidmatan firma Israel itu digunakan untuk menyebarkan maklumat salah bagi memburukkan pemberi maklumat.

    Akhbar harian Perancis, Le Monde, salah satu daripada 30 organisasi media yang mengambil bahagian dalam siasatan itu, berkata “Team Jorge” digunakan “pelanggan tidak dikenali” untuk menjalankan kempen maklumat palsu terhadap Xavier Justo, pegawai bank Switzerland yang mendedahkan skandal 1MDB pada 2015.

    Skandal rasuah itu antara penyebab kekalahan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya 2018.

    Menurut Le Monde, kempen untuk memburukkan Justo bermula pada penghujung tahun 2020, dengan laman sesawang dan saluran YouTube menirunya, di mana beliau diwar-warkan sebagai individu yang tidak boleh dipercayai yang mahu membuat duit.

    “Laman sesawang dan saluran YouTube kemudiannya dimuat naik di media sosial secara meluas oleh rangkaian avatar Team Jorge, sebagai sebahagian daripada operasi fitnah yang lebih besar, menggelar Justo sebagai pencuri, penagih dadah, pemeras ugut,” kata akhbar itu, menambah yang matlamat sebenar kempen itu tidak jelas.

    Malaysia secara umumnya diketahui sebagai penentang kuat Israel kerana pendudukannya di Palestin, dengan negara Yahudi itu sering dijadikan isu dalam politik negara.

    Ketika kempen PRU15, Anwar dicabar supaya membuktikan yang elemen Israel tidak menyusup masuk dalam PKR.

    Ia berikutan penahanan sekumpulan rakyat Malaysia yang dikatakan diupah perisikan Israel Mossad untuk menculik seorang pengaturcara komputer Palestin yang dikehendaki rejim itu pada September.

    PKR kemudiannya menafikan ada kena mengena dengan salah seorang penculik, Raibafie Amdan, yang pernah memuat naik gambar mengibarkan bendera parti itu di media sosialnya.

    Akan tetapi ia tidak menghalang pengkritik Anwar daripada mendesaknya menyatakan pendirian terhadap Israel, memetik kenyataannya sebelum ini yang menyokong “segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel”.

    Selepas Anwar menjadi perdana menteri, pengarang kanan akhbar Israel berpengaruh Haaretz berkata, ia merupakan lembaran baru dalam hubungan negara Yahudi itu dengan Malaysia, di mana setiap kerajaan sebelum ini menyokong perjuangan Palestin.

    “Israel sukakan hubungan yang lebih erat dengan Kuala Lumpur. Mungkinkah ini peluangnya?”

    “Israel akan menyukai hubungan yang lebih erat dengan Kuala Lumpur. Mungkin ini adalah peluang?” kata Ketua Pengarang Haaretz Esther Solomon dalam komen di Twitter, beberapa hari selepas Anwar mengangkat sumpah.

    Pendedahan tentang “Team Jorge” mengingatkan skandal yang melibatkan Cambridge Analytica, firma perunding politik Britain yang ditutup berikutan dakwaan membocorkan data pengguna Facebook dan mengugut dalam menjalankan kempen pilihan raya di beberapa negara.

    Pada 2020, bocor fail yang mendedahkan syarikat itu, melalui firma induknya SCL Group, pada 2013 mengemukakan cadangan kepada Umno di bawah presiden parti ketika itu Najib Razak untuk mempengaruhi corak pengundian di 40 kerusi semasa PRU 2018.

    Fail yang bocor itu turut mendedahkan timbalan presiden Umno ketika itu Ahmad Zahid Hamidi akan bersarapan pagi dengan wakil Kumpulan SCL di New York pada 2016.

    Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno bagaimanapun menafikan penglibatan Cambridge Analytica dalam kempen pilihan rayanya.

    Menu pelbagai khidmat fitnah

    Siasatan terhadap “Team Jorge” dilakukan oleh wartawan yang menyamar sebagai bakal pelanggan, yang menghubungi Tal Hanan, bekas perisik Israel yang mengetuai firma itu dan merakamnya secara rahsia.

    “Kami kini terlibat dengan satu pilihan raya di Afrika… Kami ada pasukan di Greece dan satu pasukan di Emirates [UAE]… Anda ikut petunjuk. [Kami menyelesaikan] 33 kempen peringkat presiden, 27 daripadanya berjaya,” kata Hanan dipetik sebagai berkata oleh The Guardian, sebuah lagi media yang terlibat dalam siasatan itu.

    Firma Hanan menawarkan pelbagai perkhidmatan yang antara lain termasuk “kempen fitnah dan maklumat palsu” daripada penggodaman e-mel, kepada penyebaran khabar angin menggunakan laman berita palsu serta melalui profil palsu di rangkaian media sosial.

    Antara produknya ialah Advanced Impact Media Solutions, atau Aims, sebuah perisian yang boleh mengawal lebih daripada 30,000 akaun palsu di pelbagai platform media sosial untuk menyebarkan maklumat salah dengan pantas.

  • Lima nelayan bergayut 10 jam pada bot terbalik

    Lima nelayan bergayut 10 jam pada bot terbalik

    LIMA nelayan selamat selepas bot yang mereka naiki karam pada kedudukan kira-kira 3.6 batu nautika dari Pelabuhan Kerteh, tengah malam tadi.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Kemaman, Rashidilhadi Abd Rashid berkata, mereka terdiri daripada seorang tekong tempatan dan empat awak warga Myanmar.

    “Sebelum kejadian semua mereka yang berusia 21 hingga 53 tahun itu keluar menangkap ikan dari jeti Kuantan petang semalam, menuju ke Pulau Tenggol.

    “Setibanya di perairan Kerteh tengah malam tadi, bot yang mereka naiki itu mengalami kerosakan pada sistem pam menyebabkan air laut mula memenuhi bot mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Berikutan itu katanya, bot mereka itu terbalik yang menyebabkan kesemua nelayan terbabit terjun ke dalam laut dan bergayut pada bot.

    Rashidilhadi berkata, kesemua nelayan itu terpaksa bergayut selama 10 jam sebelum mereka ditemui dua buat bot tunda nelayan tempatan, pada pukul 10.15 pagi tadi.

    “Kami menerima panggilan kecemasan bersama enam anggota dengan sebuah bot bergegas ke lokasi kejadian.

    “Bagaimanapun, kesemua nelayan itu dibawa naik ke bot nelayan tempatan dan kesemua nelayan itu selamat tiba di jeti Pelabuhan Kerteh, pukul 10.45 pagi, “katanya.

    Menurutnya, mereka diberi rawatan oleh pasukan perubatan Pelabuhan Kerteh sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    “Pihak kami menasihati kepada bot dan kapal supaya berhati-hati ketika melalui kawasan kejadian supaya tidak melanggar bangkai bot terbabit yang masih terapung di situ,” katanya, lapor Harian Metro.

  • RM87,406 ‘hangus’ lepas teman wanita terpedaya dengan scammer

    RM87,406 ‘hangus’ lepas teman wanita terpedaya dengan scammer

    SEORANG wanita berusia 23 tahun kerugian RM87,406 selepas terpedaya tawaran kerja sambilan secara dalam talian.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan laporan, mangsa dari Raub dan tidak bekerja itu melihat iklan kerja sambilan di aplikasi Xiahongshu pada 15 Februari lalu.

    “Selepas berbincang secara dalam talian bersama suspek, mangsa berminat dengan tawaran kerja itu.

    “Kerja itu memerlukan mangsa menaikkan rating aplikasi permainan video.

    “Mangsa ditawarkan satu peratus keuntungan untuk setiap tugasan yang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa kemudian membuat dua tugasan yang diberikan oleh suspek dan mendapat keuntungan sebanyak RM295.54.

    Beliau berkata, dengan keuntungan itu, mangsa mula percaya dan membuat sembilan pindahan wang ke akaun bank berlainan dengan meminjam wang daripada teman lelakinya berjumlah RM87,406.81.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Sehubungan itu, Ramli menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.

    “Selain itu diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.