Author: Wartawan WartaRakyat

  • Shahidan cadang kerajaan larang media lapor berita dari ‘sumber’

    Shahidan cadang kerajaan larang media lapor berita dari ‘sumber’

    DATUK Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mencadangkan kerajaan mengekang media daripada menyiarkan laporan yang memetik sumber tidak didedahkan identitnya.

    Bercakap dalam Dewan Rakyat hari ini, bekas menteri UMNO itu berkata, larangan berkenaan wajar bagi mengelakkan sebarang salah lapor daripada media.

    “Ada wartawan yang memetik kenyataan atau fakta daripada sumber dan laporan mengenainya disiarkan sedangkan fakta diberikan tidak betul.

    “Perkataan sumber ini adakah akan dipastikan supaya tak ada pemberitaan sumber tapi mengikut (identiti) sebenarnya?” soal Shahidan.

    Menjawab pertanyaan itu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pengamal media perlu mencari titik keseimbangan dalam laporan mereka yang melibatkan sumber tidak didedahkan identitinya.

    Menurutnya, ini bagi memastikan sumber yang dipetik itu memberikan fakta yang sahih dan tidak menimbulkan fitnah.

    Pada masa sama kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi, kerajaan menyedari media atau wartawan mempunyai hak tertentu dalam menjalankan tugas masing-masing.

    “Kita juga ambil maklum ada kalangan wartawan, mereka ada hak untuk memastikan keselamatan identiti sumber mereka tapi ia perlu diseimbangkan dengan isu fitnah,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, lapor Malaysiakini.

  • Dua harimau kumbang ditangkap dalam seminggu

    Dua harimau kumbang ditangkap dalam seminggu

    JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menangkap dua harimau kumbang, dalam tempoh seminggu, di Kompleks Perikanan Darat Banding, di Gerik.

    Jabatan itu menerusi kenyataan media sosialnya berkata, harimau kumbang kedua ditangkap menerusi satu operasi kira-kira 8.30 malam tadi di kompleks itu, selepas spesies sama ditangkap di lokasi sama pada Rabu lalu.

    “Harimau ini individu kedua ditangkap di lokasi yang sama dalam masa seminggu. Ia berada dalam keadaan baik dan stabil sepanjang operasi tangkapan ini dijalankan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia, semalam, lapor Harian Metro

    Katanya lagi, kedua-dua haiwan terbabit sudah selamat dilepaskan ke habitat yang sesuai dengan bantuan kakitangan daripada Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC).

    Terdahulu, Perhilitan memaklumkan tangkapan harimau kumbang pertama yang dijalankan pada Rabu lalu, adalah susulan dari operasi tangkapan spesies sama oleh Perhilitan pada 11 Januari lalu juga di lokasi sama.

    Pada 11 Januari lalu, harimau kumbang betina seberat 16 kilogram (kg) selamat dipindah dari kompleks sama dan dilepaskan ke habitat yang sesuai oleh NWRC Sungkai, selepas ia memasuki perangkap yang dipasang dalam kawasan kompleks sejak 4 Januari lalu.

  • Shahrizat jangka isu NFC ‘didendang’ semula dalam saingan ketua Wanita UMNO

    Shahrizat jangka isu NFC ‘didendang’ semula dalam saingan ketua Wanita UMNO

    DATUK Seri Shahrizat Jalil menjangkakan isu NFC terus diulang dalam usahanya kembali menjadi ketua Wanita UMNO, menjelang pemilihan parti itu tidak lama lagi.

    Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu tidak kisah isu berkenaan dimainkan semula walaupun nama suaminya sudah dibersihkan selepas dibebaskan mahkamah, pada 2015.

    “Sebenarnya isu NFC sudah masuk 11 tahun. Masa NFC berlaku saya ketua Wanita. Pihak pembangkang melihat komponen UMNO paling kuat adalah Wanita UMNO, yang ketika itu saya adalah ketua wanitanya.

    “Saya terpaksa menghadapinya tetapi mahu menegaskan saya tidak pernah ada kes. Alhamdulillah, suami akhirnya dibebaskan oleh mahkamah. Isu NFC menjadi titik tolak kepada keluarga, saya belajar menghadapi cabaran getir sebagai pemimpin,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Suami Shahrizat, Salleh Ismail yang sebelum ini didakwa atas dua pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan RM49.7 juta dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 2015.

    Shahrizat ketika mengulas lanjut, berkata hanya pihak menentang UMNO akan sentiasa menjadikan kontroversi NFC sebagai agenda permainan politik.

    Bagaimanapun, katanya, isu itu tidak akan membawa risiko negatif melainkan mereka yang tidak mahukan atau tidak menyokong UMNO.

    “Memanglah buat apa pun, mereka tidak akan undi UMNO, selalunya ‘haters’ sahaja. Sekarang macam saya nak bertanding, akan cakap NFC, NFC, cakaplah sebab mereka pun tidak sokong. Tiada masalah, itu kita jangkalah. Walaupun dah 11 tahun, dah bebas tapi masih cakap,” katanya.

    Beliau berkata, walaupun sebelum ini berdepan isu NFC, namun pada pemilihan parti ketika itu beliau mampu mempertahankan jawatan Ketua Wanita dengan sokongan lebih besar.

    “Lepas isu NFC, UMNO mengadakan pemilihan parti. Pada waktu itu, saya fikir nak bertanding atau tidak, tetapi ahli-ahli Wanita cakap saya kena bertanding dan jangan menyerah kalah, saya pun bertanding dan menang lagi besar berbanding penggal pertama.

    “Sebab itu saya rasa tersentuh, sebab ketika berdepan masalah ramai Wanita UMNO datang ramai-ramai sebab mereka tahu cabaran seorang pemimpin wanita dalam arena politik. Di sini bermula kekuatan sebagai ketua Wanita,” katanya.

    Beliau berkata, tujuannya kembali bertanding bagi mengembalikan ‘taring’ Wanita UMNO agar kembali diyakini dan ke hadapan, berbanding sayap wanita parti lain, selain menjuarai isu kewanitaan dalam suasana dunia sudah berubah.

    “Kita berada dalam kerajaan perpaduan, kita Wanita UMNO mesti kembali menjadi ‘game changer’ dalam politik dan dasar kerajaan,” katanya.

  • Dendam dipercayai punca pemilik kebun dibunuh

    Dendam dipercayai punca pemilik kebun dibunuh

    SEORANG lelaki yang dibunuh dalam kejadian di sebuah kebun buah naga Site A, Tanah Merah di Port Dickson semalam dipercayai akibat dendam.

    Mayat lelaki berusia 44 tahun itu ditemukan dalam keadaan tertiarap serta kedua-dua tangan dan kaki diikat dengan tali.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima maklumat kejadian pada pukul 2.52 petang daripada bapa mangsa.

    “Siasatan di lokasi mendapati, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan hanya memakai seluar warna hitam selain tangan serta kaki berikat dengan tali.

    “Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa menjumpai sebuah dompet yang mempunyai dokumen pengenalan diri dan terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala serta belakang badan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

    Menurutnya, barangan lain milik mangsa iaitu sebuah telefon bimbit dan motosikal jenis SM Sport tidak dijumpai disyaki telah dilarikan oleh suspek.

    “Hasil siasatan mendapati, mangsa mewarisi kebun tersebut daripada keluarganya kira-kira lima tahun lalu dan tinggal di situ seorang diri.

    “Kali terakhir dia dilihat oleh bapanya yang datang menghantar makanan pada Jumaat pukul 6 petang,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Keluarga mangsa katanya, memberitahu mangsa baharu mengambil seorang pekerja warga Myanmar dua minggu lalu namun tidak diketahui butiran peribadinya dan telah menghilangkan diri.

    Bertindak atas maklumat itu, Aidi Sham berkata, sepasukan polis diketuai Cawangan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan dibantu Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis DaerahPort Dickson telah membuat tangkapan terhadap suspek iaitu empat lelaki warga Myanmar di Shah Alam, Selangor, hari ini.

    Tambahnya, polis turut menemui motosikal mangsa yang telah disorokkan di sebuah kebun kelapa sawit Site A, Tanah Merah, Port Dickson.

    “Kesemua suspek berusia lingkungan 19 tahun sehingga 49 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

    “Siasatan awal terhadap suspek yang ditangkap mengaku terlibat dalam kes yang disiasat dan dengan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pada Isnin untuk proses permohonan reman.

  • Sarjan polis ditemukan maut dengan kesan tembakan

    Sarjan polis ditemukan maut dengan kesan tembakan

    SEORANG anggota polis berpangkat Sarjan ditemukan maut dengan kesan tembakan di belakang balai polis Bayan Lepas, dekat Balik Pulau pukul 3.30 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa yang berusia 51 tahun ditemukan meninggal dunia dengan kesan tembakan pada leher, dada dan kepala.

    Jelas beliau, polis turut menemukan sepucuk pistol bersama mangsa.

    “Mangsa merupakan anggota polis yang bertugas di balai polis Bayan Lepas.
    “Kes masih dalam siasatan dan polis menasihati orang awam tidak menyebarkan sebarang spekulasi,” katanya dalam kenyataan di Balik Pulau malam ini.

  • Suami isteri termasuk seorang kanak-kanak maut

    Suami isteri termasuk seorang kanak-kanak maut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEPASANG suami isteri dan seorang kanak-kanak meninggal dunia selepas motosikal dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Persiaran Tanjung Tampoi, Johor Bahru, hari ini.

    Kejadian tersebut mengorbankan penunggang motosikal, Mohammad Shahril Abdullah, 38, dan isterinya, Habsah Jailani, 41, serta Muhammad Dany Lukman Naim Abdullah, 10.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Pegawai Bomba Kanan II Wan Nor Affendi berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian tersebut pada pukul 4.47 petang.

    Anggota bomba mengangkat mangsa kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan lori di Jalan Persiaran Tanjung Tampoi, Johor Bahru, hari ini

    Susulan itu katanya, seramai 10 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC dengan sebuah Lori Mitsubishi Fuso.

    Seorang daripada tiga mangsa yang terkorban dalam nahas melibatkan sebuah motosikal dan lori di Jalan Persiaran Tanjung Tampoi, Johor Bahru

    “Penunggang dan dua pembonceng meninggal dunia akibat cedera parah. Muhammad Shahril dan Habsah dipercayai suami isteri manakala kanak-kanak terbabit tidak dapat dipastikan hubungan dengan pasangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mayat diserahkan kepada pihak polis manakala pemandu lori, Faizi Mohd Fuad Tan, 30, selamat.

    Tambahnya, operasi menyelamat mangsa tamat pada pukul 5.50 petang.

  • Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas

    Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikhuatiri lemas dihanyutkan air deras sebuah longkang di Taman Pelangi, di Selayang hari ini.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden tersebut pada pukul 6.19 petang.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, seramai 10 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang bergegas ke lokasi kejadian.

    “Pihak bomba sedang menjalankan pencarian di lokasi sehingga ke kawasan sungai berhampiran,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Sindiket penipuan kerja: 5 mangsa selamat dibawa pulang, 14 lagi sedang dikesan di Thailand

    Sindiket penipuan kerja: 5 mangsa selamat dibawa pulang, 14 lagi sedang dikesan di Thailand

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan lokasi 14 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Thailand.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, usaha mengesan itu melibatkan kerjasama Polis Diraja Thailand dan Kementerian Luar Negeri (KLN).

    Jelasnya, mengikut laporan polis terdapat 19 rakyat Malaysia terkandas di Thailand dan pihaknya sudah membawa pulang lima orang dan tinggal 14 lagi masih kita kesan lokasi.

    “(PDRM) berunding supaya pihak berkuasa Thailand percepatkan proses bawa pulang, dan mengkoordinasi agar disegerakan,” jelasnya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Kementerian Luar mengenai isu kepulangan mangsa sindiket penipuan pekerajaan di KLIA pada hari ini.

    Hadir sama, Setiausaha Bahagian Konsular, Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri, Datuk Mohamad Ali Selamat.

    Abd Jalil berkata, hasil siasatan awal mendapati, rata-rata mangsa diperdaya oleh sindiket dengan tawaran gaji lumayan sehingga AS$2,000 (RM9,600) sebulan.

    Bagaimanapun, mangsa akan dibawa ke lokasi tertentu sebelum dipaksa bekerja sebagai scammer.

    “Lima orang (mangsa) ini sebulan atau dua bulan di Thailand, mereka pergi semua dengan cara yang betul, ditempatkan di hotel di Bangkok, sampai sana mereka dibawa ke tempat sulit untuk bekerja sebagai scammer.

    “Apabila bekerja di tempat sulit, mereka ditugaskan di pusat panggilan untuk menipu mangsa-mangsa lain dengan apa cara sekali pun.

    “(Mereka ditawar) AS$2,000 sebulan. Jadi satu tanda tanya … kenapa tanpa kelulusan, tanpa apa-apa pengalaman, mangsa boleh ditawarkan dengan gaji sebegitu,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Sehingga Februari tahun ini, tambah Abd Jalil, pihak telah menerima 267 laporan polis melibatkan 339 mangsa rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

  • ‘Yang pertama kali dedah siasatan SPRM sumber tidak bernama NST’ – Dr. Marzuki

    ‘Yang pertama kali dedah siasatan SPRM sumber tidak bernama NST’ – Dr. Marzuki

    Oleh DATUK DR. MARZUKI MOHAMAD 

    NAMPAKNYA sudah menjadi amalan media arus perdana sekarang memetik sumber tak bernama untuk melaporkan berita.

    NST sebelum ini melaporkan Tan Sri Muhyiddin akan dipanggil oleh SPRM dengan memetik sumber tak bernama. (https://www.nst.com.my/news/nation/2023/02/879800/macc-call-muhyiddin).

    Kemudian, NST juga memetik sumber tak bernama kononnya TSMY dipanggil sebagai orang yang disyaki, bukan saksi. (https://www.nst.com.my/news/crime-courts/2023/02/881387/macc-muhyiddin-suspect-zafrul-also-under-investigation-updated).

    Prosedur biasa bila dipanggil untuk disoal siasat, orang yang dipanggil akan tanya samada dia dipanggil sebagai saksi atau orang yang disyaki. Kalau saksi lain haknya. Kalau orang yang disyaki lain pula haknya dalam memberi keterangan. TSMY diberitahu dia saksi.

    Bila ditanya wartawan, itulah yang diberitahu oleh TSMY. Dia saksi, bukan orang yang disyaki.

    Sekarang, NST lapor dengan sekali lagi petik sumber tak bernama, TSMY adalah orang yang disyaki dan beri amaran TSMY tak sepatutnya dedahkan maklumat siasatan.

    Eh, yang pertama sekali mendedahkan siasatan ini bukankah sumber tak bernama NST? Jadi, apabila ditanya wartawan, mestilah TSMY jawab kepada wartawan apa yang dia tahu dan apa yang dia diberitahu. Takkan dia nak bohong?

    Entah betul entah tidak sumber tak bernama NST ni? Wallahua’lam. Nak semak pun tak boleh sebab tak ada nama.

    Mungkin kerja petik sumber tak bernama ini amalan baru media arus perdana agaknya.

    Saya cuba buat kajian amalan NST sebelum ini. Maka saya terjumpa berita NST dan BERNAMA (nama pun bernama) tahun 1999.

    Pada ketika itu, UMNO mendedahkan senarai penerima saham khas yang diberikan oleh Kementerian Kewangan ketika PMX menjadi Menteri Kewangan. Antara yang menerimanya ialah ahli keluarga PMX sendiri dan juga bekas Ketua Pemuda UMNO yang kini adalah Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri dalam kabinet PMX.

    Pada ketika itu NST tak sebut sumber tak bernama. Dia sebut senarai yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan secara rasmi.

    Mungkin etika kewartawanan dah berubah agaknya.

    Penulis ada bekas Setiausaha Sulit Kanan PM-8

  • DAP akui perlu masa sesuaikan diri dengan BN

    DAP akui perlu masa sesuaikan diri dengan BN

    DAP mengakui bahawa parti itu masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan Barisan Nasional (BN), kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

    “Ini kerana secara tradisinya parti itu tidak sebulu namun memilih untuk membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya ya juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan.

    Berikutan itu katanya, Konvensyen DAP Negeri Sembilan yang berlangsung hari ini, parti itu tidak menjemput UMNO.

    Jelasnya, ini sama seperti Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang tidak menjemput wakil Parti Keadilan Rakyat(PKR) dan Perdana Menteri.

    “Ini adalah proses untuk sesuaikan diri yang mungkin belum sampai ke tahap itu. Masing-masing masih perlu satu masa untuk beri penerangan kepada akar umbi,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen DAP Negeri Sembilan 2023 di Seremban, hari ini.

    Bagaimanapun katanya, konteks politik hari ini telah berubah berikutan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang menyebabkan wujud persefahaman dengan parti yang menentang PH sejak dahulu.

    Oleh sebab itu katanya, penting untuk setiap ahli parti terutama akar umbi belajar menyesuaikan diri.

    “Saya tahu rakan-rakan di akar umbi belum dapat sesuaikan diri. Tapi proses kita sesuaikan diri dalam fasa politik ini perlu sampai ke peringkat akar umbi.

    “Dalam konteks kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan hari ini ia bukan antara parti tetapi kerjasama antara gabungan parti,” ujarnya.

    Beliau percaya bukan sahaja DAP, malah PKR dan Amanah juga masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

    Selain itu beliau turut mengingatkan semua parti dalam PH supaya bersatu hati supaya gabungan yang terbentuk terus kekal utuh dan kuat.

    “DAP juga nak bagi komitmen yang kita tidak akan bergerak solo. Kerusi kita adalah kerusi PH,” jelasnya, lapor Sinar Harian.