Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lelaki cuba seludup 830kg daun ketum diberkas

    Lelaki cuba seludup 830kg daun ketum diberkas

    Oleh BADLISHAH MAT

    RISIKAN Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd) berjaya menahan seorang lelaki dipercayai cuba melakukan penyeludupan daun ketum di sempadan negara ini di Padang Terap.

    Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan, penahanan dilakukan sekitar pukul 10.45 malam, kelmarin.

    Kata kenyataan tersebut, pemeriksaan menemukan 83 beg plastik yang berisi daun ketum seberat 830 kilogram.

    “Sebelum tangkapan dilakukan, pasukan mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero berwarna kelabu dalam keadaan mencurigakan di Ladang Seraya Durian Burung.

    “Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan tersebut merupakan seorang lelaki warga tempatan yang cuba menyeludup barangan ke negara Thailand,” kata kenyataan itu hari ini.

    Selain kenderaan itu, turut dirampas adalah sebuah motosikal jenis Honda Wave, telefon bimbit, wang dalam matawang Malaysia dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM77,162.

    Tambah kenyataan itu, suspek beserta barang rampasan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut.

  • Wan Saiful tiba di mahkamah untuk didakwa

    Wan Saiful tiba di mahkamah untuk didakwa

    DATUK Wan Saiful Wan Jan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pagi ini untuk didakwa dalam kes berhubung inisiatif Jana Wibawa.

    Ketua penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu (Bersatu) itu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pukul 8.50 pagi.

    Dilaporkan semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka mendakwa Wan Saiful hari ini berhubung kes tersebut.

    Malaysiakini yang memetik sumber melaporkan, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu ditahan selepas beliau hadir ke ibu pejabat SPRM malam tadi.

    SPRM baru-baru ini membekukan akaun Bersatu dalam siasatan ke atas wang yang disyaki hasil aktiviti haram.

    Bersatu menafikan sebarang salah laku berhubung dana berkenaan.

  • Lapan termasuk Ketua Polis Jambi terbabit nahas helikopter

    Lapan termasuk Ketua Polis Jambi terbabit nahas helikopter

    LIMA penumpang dan tiga kru dilaporkan hilang selepas helikopter milik polis dinaiki mereka semalam terhempas di hutan Jambi, Indonesia akibat cuaca buruk, kata pihak polis.

    Nahas itu turut membabitkan Ketua Polis Jambi, Inspektor Jeneral Rusdi Hartono, dengan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang giat dilakukan.

    Menurut jurucakap Polis Persekutuan, Inspektor Jeneral Dedi Prasetyo, semua mangsa nahas terselamat dan rakaman telefon bimbit menunjukkan mereka sudah menerima alat bantuan kecemasan serta makanan yang dijatuhkan pasukan SAR.

    Polis bagaimanapun enggan menyifatkan kejadian itu sebagai nahas dan menegaskan juruterbang helikopter terbabit terpaksa melakukan pendaratan cemas akibat cuaca buruk.

    “Ya, lokasi nahas sudah dikesan dan bantuan sudah diterima rombongan ketua polis. Pasukan SAR sukar untuk ke lokasi nahas susulan keadaan muka bumi di sekitarnya.

    “Alat bantuan kecemasan dan bekalan makanan terpaksa dihantar ke lokasi nahas dan beberapa anggota misi SAR akan tiba ke situ tidak lama lagi.

    “Sembilan anggota pasukan SAR kini menghampiri lokasi nahas. Mereka perlu berjalan sejauh dua kilometer lagi,” katanya merujuk kepada nahas helikopter Bell 412 SP, menurut Berita Harian yang memetika laporan Agensi/portal berita Tempo.

  • Gaduh di pusat hiburan, 2 lelaki ditahan

    Gaduh di pusat hiburan, 2 lelaki ditahan

    POLIS menahan dua lelaki kerana dipercayai terlibat dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di sebuah pusat hiburan di Jalan Nusa Bestari 7/2, Taman Nusa Bestari, Skudai, Iskandar Puteri semalam.

    Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin, berkata kejadian itu tular menerusi media sosial pada 4 pagi dan dipercayai berpunca daripada pergaduhan mulut ketika mereka sedang minum di pusat hiburan tersebut.

    Beliau berkata, bertindak atas maklumat, kedua-duanya berjaya diberkas di sekitar Larkin pada 12.10 tengah malam tadi.

    “Hasil soal siasat, mereka mengaku terlibat dalam kes pergaduhan dan mengatakan kejadian mula berlaku di dalam sebuah pusat hiburan.

    “Kedua-duanya adalah kenalan dan pergaduhan berlarutan sehingga ke luar pusat hiburan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pergaduhan itu turut melibatkan lima individu lain dan polis masih mengesan mereka itu.

    “Polis menggesa orang ramai menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat mengenainya tampil memberikan keterangan,” katanya.

    Rahmat berkata, kedua-dua lelaki itu direman hingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

    Semalam, tular video berdurasi tujuh saat di media sosial memaparkan sekumpulan individu bergaduh dengan seorang daripadanya tidak memakai baju terbaring di tengah jalan.

  • Kerakyatan bayi: Kerja PN ‘senangkan’ kerajaan sekarang, kata Mas Ermieyati

    Kerakyatan bayi: Kerja PN ‘senangkan’ kerajaan sekarang, kata Mas Ermieyati

    BEKAS Timbalan Menteri Undang-undang, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kerajaan sebelum ini patut dipuji kerana meletakkan asas membawa kepada keputusan Kabinet meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan kerakyatan automatik kepada bayi dilahirkan wanita rakyat Malaysia di luar negara.

    Mas Ermieyati (PN-Masjid Tanah) mengucapkan tahniah kepada aktivis yang selama ini memperjuangkan hak sama rata untuk ibu Malaysia.

    “Semasa menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, saya mengetuai kumpulan berkaitan bertemu menteri undang-undang ketika itu Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan beliau (Wan Junaidi) turut menyatakan komitmennya terhadap pindaan itu,” ujarnya.

    Selain Wan Junaidi, katanya, kerajaan sebelum ini membincangkan isu itu dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang sebelum ini masing-masing menerajui kementerian dalam negeri, luar dan pertahanan.

    “Begitu juga dengan kajian juga telah dibuat, komunikasi dengan pihak Istana Negara juga telah dibuat.

    “Kerajaan hari ini tinggal buat keputusan sahaja. Maksudnya apa? Kerja semua kita dah buat, tak ke senang? Kerajaan hari ini buat keputusan saja,” katanya semasa membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

    Kerajaan terdahulu, yang dipimpin oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan mempunyai beberapa menteri daripada PN, berkuasa dari Ogos 2021 hingga November 2022.

    Mas Ermieyati berkata, secara prinsip, PN mempunyai pendirian yang sama dalam isu hak kewarganegaraan dengan kerajaan sekarang, sambil menegaskan ia isu yang ‘tidak boleh didiskriminasi’.

    “Pada prinsipnya yang, kita mempunyai pendirian yang sama tentang soal hak kewarganegaraan ini tidak boleh ada diskriminasi, Perlembagaan perlu dipinda, undang-undang berkaitan perlu diperbaiki, peraturan-peraturan tertentu perlu kita murnikan.

    “Kalau tidak setuju manakan mungkin perkara ini kami masukkan di dalam manifesto Perikatan Nasional (PN),” katanya, lapor FMT.

    Dalam manifesto PN pada Pilihan Raya Umum ke-15, gabunga itu memaklumkan akan memuktamadkan kajian mengenai cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan hak kewarganegaraan bagi kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia.

    Sabtu lalu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan Kabinet telah bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memperuntukkan kerakyatan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia.

    Pindaan itu dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Dewan Rakyat semasa selepas memenuhi keperluan undang-undang.

    Menurut peruntukan sedia ada, kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia tidak berhak mendapat kerakyatan automatik kerana Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan kewarganegaraan melalui bapa.

  • Keputusan representasi kedua Yasin 6 Mac

    Keputusan representasi kedua Yasin 6 Mac

    MAHKAMAH Sesyen di Petaling Jaya hari ini menetapkan 6 Mac ini bagi keputusan representasi kedua yang dikemukakan oleh penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman bagi mengkaji tiga pertuduhan berkaitan dadah.

    Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad turut mengekalkan tarikh sama bagi perbicaraan hari pertama tertuduh yang dijadualkan berlangsung selama 15 hari pada bulan tersebut.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah memaklumkan representasi kedua masih dipertimbangkan oleh peringkat tertinggi Jabatan Peguam Negara (AGC).

    “Mahkamah mengekalkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dan menetapkan perkembangan representasi pada hari yang sama,” ujar beliau lapor Utusan Malaysia.

    Hari ini ditetapkan untuk prosiding sebutan kes tersebut manakala peguam Ariff Azami Hussein hadir mewakili Yasin. Pada 11 Januari lalu, Yasin Sulaiman gagal dalam permohonan untuk mengkaji tiga pertuduhan berkaitan dadah selepas AGC menolak representasi yang dikemukakannya.

    Dengan perkembangan itu, Yasin dijadual dibicarakan selama 15 hari bermula Mac iaitu pada 6 hingga 10, 13 hingga 17 dan 20 hingga 24 Mac manakala 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.

    Pada prosiding sebelum ini, pihak pembelaan memaklumkan representasi antaranya melibatkan dokumen-dokumen perubatan yang agak komprehensif bagi menyokong permohonan agar pertuduhan terhadapnya dikaji. Representasi setebal 47 muka surat itu turut mengandungi rawatan yang diperlukannya, alasan kemanusiaan, rayuan melibatkan keluarga dan keadaan terkini Yasin.

    Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, bernasib baik apabila tidak berdepan dengan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis Kanabis seberat 214 gram.

    Perkara itu berikutan pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan mengedar ditarik dan Yasin dituduh dengan pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

    Mengikut pertuduhan baharu itu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di Petaling Jaya pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

    Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Yasin turut didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

    Yasin turut didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

    Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) akta itu dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun. 

  • Shafee anggap seperti ‘hiasan’ dalam rayuan akhir kes Najib

    Shafee anggap seperti ‘hiasan’ dalam rayuan akhir kes Najib

    PEGUAM bela Datuk Seri Najib Razak dalam prosiding hari kedua semakan kes penyelewengan dana SRC International dihadapi bekas Perdana Menteri itu hari ini, memberitahu beliau ibarat ‘hiasan’ dalam prosiding itu.

    Ini berikutan keengganan Mahkamah Persekutuan membenarkan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik menangguhkan prosiding rayuan akhir pada Ogos tahun lalu.

    Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahannya berkata, ia menyebabkan rayuan akhir itu dijalankan dalam keadaan Najib diwakili secara paksa, sekali gus tidak mendapat perbicaraan yang adil.

    Menurut Muhammad Shafee, Najib sebenarnya tidak diwakili peguam ketika itu dalam usaha terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC.

    Beliau berkata, anak guamnya itu bukan sahaja tidak dibenar mendapat penangguhan, malah Hisyam terpaksa kekal di mahkamah dan mewakili Najib walaupun selepas dua kali memohon untuk menarik diri susulan daripada itu.

    “Saya bukan bermaksud untuk tidak menghormati Tuan Haji Hisham, tetapi ketika rayuan akhir itu, beliau menjadi peguam yang tidak efektif kerana tidak bersedia .. ini sendiri diakui sendiri olehnya.

    “Malah perkara itu sudah dinyatakan olehnya pada 16 Ogos tahun lalu ketika hari pertama pendengaran bahawa jika penangguhan tidak dibenarkan beliau akan menarik diri, kemudian pada 18 Ogos penangguhan tidak dibenarkan jadi beliau mohon untuk menarik diri.

    “Beliau bagaimanapun tidak dibenarkan menarik diri ketika itu, …dan Najib pula tidak boleh untuk melantik peguam (lain). Ketika prosiding beliau (Hisyam) hanya ‘hiasan”, sekadar ilusi dan tidak mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

    Pada hari kedua rayuan akhir terbabit tahun lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri selepas mendapati peguam itu gagal memberikan alasan mencukupi.

    Tengku Maimun dalam keputusannya berkata, mahkamah ada kuasa budi bicara untuk menolak permohonan peguam untuk menarik diri daripada mewakili anak guamnya dalam keadaan di mana tindakan penarikan diri itu boleh mengganggu kecekapan dan fungsi mahkamah.

    Hisyam sebelum itu memohon menarik diri daripada mewakili Najib jika penangguhan prosiding tidak dibenarkan dan merayu supaya diberikan masa yang wajar untuk mengkaji dan melakukan persiapan sebelum mengemukakan hujahan rayuan.

    Sementara itu, Muhammad Shafee berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu yang tidak membenarkan penangguhan adalah satu kesilapan sangat besar yang mewajarkan Najib mengemukakan permohonan semakan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

    Menurut peguam itu, apa yang berlaku pada prosiding berkenaan adalah bertentangan dengan asas perbicaraan yang adil dan tindakan diambil panel pada ketika itu adalah sesuatu yang tidak wajar.

    Katanya, tidak dinafikan peguam sering meminta penangguhan dan mahkamah mungkin tidak berpuas hati, tetapi untuk meneruskan kes dalam keadaan peguam tidak bersedia atau menarik diri bukanlah cara yang terbaik untuk menanganinya.

    “Ada beberapa tindakan yang boleh diambil jika tiada peguam atau peguam tidak bersedia kerana sudah tentu anak guam tidak boleh berhujah sendiri.

    “Antaranya ialah Mahkamah Persekutuan boleh membatalkan rayuan dengan kebebasan untuk memfailkan semula (rayuan berkenaan). Kenapa perlu hukum anak guam saya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Pendengaran semakan berkenaan bersambung hari ini esok.

    Terdahulu prosiding perbicaraan bagi permohonan semakan Najib untuk membatalkan sabitan bersalah terhadapnya serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International bersambung hingga Rabu.

    Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli pada 19 Januari laluprosiding kepada 20 hingga 22 Februari ini.

    Turut bersidang dalam panel itu ialah tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

    Najib tiba di mahkamah pada pukul 8.25 dengan menaiki kenderaan penjara dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir bagi memberi sokongan kepadanya.

    Prosiding hari ini bermula pada 10 pagi, bagaimanapun berhenti rehat seketika ketika peguam Muhammad Shafee Abdullah baru memulakan hujahan, difahamkan akibat masalah teknikal.

    Bekas Perdana Menteri itu memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lalu atau agar rayuannya didengar semula.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon rayuan berkenaan didengar korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

    Beliau yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, turut memohon hukuman ke atasnya itu ditangguhkan sementara menunggu pendengaran permohonan semakan berkenaan.

    Setelah gagal di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, bekas perdana menteri itu memohon panel mahkamah tertinggi baharu untuk mendengar semakan dikemukakannya terhadap sabitan dan hukuman sebelum ini.

    Sementara itu, Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais telah dipilih untuk berada di bangku simpanan berdasarkan Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan, demi kepentingan keadilan.

    Timbalan Pendakwa Raya ad hoc V Sithambaram bertindak sebagai pihak pendakwaan.

    Ini adalah percubaan terakhir Najib, 69, melalui prosiding mahkamah untuk mengetepikan keputusan sabitan yang diputuskan terhadapnya pada Ogos tahun lalu.

    Najib juga telah memfailkan petisyen memohon pengampunan diraja atas sabitan beliau dalam kes SRC International.

    Selain itu, Najib juga melalui Tetuan Shafee & Co pada 5 Januari memfailkan petisyen di kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penahanan Arbitrari (UNWGAD).

    Petisyen itu difailkan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva melalui penghujahan digital dan dia memohon pembebasan atau perbicaraan semula berikutan pendengaran rayuan Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa.

  • Wanita berpakaian mencolok mata di Terengganu akan diambil tindakan

    Wanita berpakaian mencolok mata di Terengganu akan diambil tindakan

    KERAJAAN Terengganu bersedia untuk menguatkuasakan pematuhan etika pemakaian patuh syariah di negeri ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, sebelum ini mereka yang ditahan kerana berpakaian mencolok mata hanya diberi nasihat oleh penguat kuasa Majlis Agama Islam Negeri dan daerah di negeri ini.

    Justeru katanya, sudah tiba masanya kerajaan negeri akan menguatkuasakan pematuhan etika pemakaian patuh syariah.

    “Malah, Dewan Undangan Negeri (DUN) juga sudah meluluskan rang-rang undang berkaitan perkara ini sebelum ini dan kita bersedia untuk melaksanakannya.

    “Sebelum ini kerajaan negeri sudah melaksanakan penguatkuasaan terhadap penunggang dan pembonceng bukan mahram yang membonceng bersama.

    “Walaupun mengikut fesyen terkini, namun mereka terutama golongan muda ini dapat mematuhi etika pakaian dengan patuh syariah,” katanya.
    selepas merasmikan Sambutan Terengganu Hijab Day di Kuala Nerus, hari ini.

    Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Negeri Terengganu, Zuraida Md Noor dan Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Wan Nur Sakinah Din.

    Sementara itu, Zuraida berkata, pihaknya sentiasa cakna dan tidak mengenepikan peranan dan sumbangan wanita bagi pembangunan negeri sama ada pembangunan material mahupun pembangunan insan.

    “Selagi mana menjaga batasan dan peraturan syariah, wanita boleh menyumbangkan kemahiran dan kepakaran yang dimiliki.

    “Menyedari betapa pentingnya peranan wanita dalam melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera, kerajaan Terengganu sudah menggubal dan menetapkan satu Dasar Wanita Terengganu untuk memelihara, melindungi, memperkasa dan membangunkan wanita,” katanya, lapor Harian Metro.

  • ‘Jangan takut, Pas bukan parti ekstrem’

    ‘Jangan takut, Pas bukan parti ekstrem’

    “PAS tidak pernah mencetuskan provokasi, rusuhan atau sebarang tindakan melanggar undang-undang walaupun kalah dalam pilihan raya, kata Penolong Setiausaha Pas Terengganu, Hanafiah Mat.

    Jelas beliau, Pas bukan sebuah parti yang ekstrem dan ganas malah tidak perlu ditakuti oleh mana-mana pihak kerana tidak pernah membangkitkan sentimen perkauman dan agama di negara ini.

    Menurutnya, isu yang ditimbulkan mengenai replika senjata yang dibawa kontinjen Pemuda Pas ketika program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 di Setiu baru-baru ini merupakan provokasi politik.

    “Isu perarakan yang melibatkan replika senjata itu sebenarnya tidak wajar dipolitikkan kerana ia hanyalah sebahagian daripada pertandingan dalam program tersebut.

    “Mengenai perarakan itu, ia juga bukanlah satu perkara baharu kerana ia telah dianjurkan sejak 10 tahun lalu dan tidak pernah timbul sebarang isu.

    “Ia hanya pertandingan yang bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam. Peserta juga tidak bawa senjata tajam kerana semuanya adalah replika,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Terengganu Hijab Day di Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, di Kuala Nerus, hari ini.

    Hanafiah yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional Terengganu menjelaskan, beliau percaya isu itu dibangkitkan oleh ‘tangan ghaib’ bagi tujuan memberikan imej buruk terhadap parti itu.

    “Ada ‘tangan ghaib’ yang menularkan perkara itu untuk memberi gambaran seolah-olah ada satu gerakan untuk menjatuhkan kerajaan, sedangkan ia tidak benar sama sekali.

    “Jangan takut kepada Pas kerana kita sudah perjuangkan Islam hampir 60 tahun. Kita warnai parti politik dalam negara bahkan kita sudah sertai 15 kali Pilihan Raya Umum (PRU) di negara ini, ” tegasnya.

    Bagaimanapun Hanafiah berkata, kesemua pemimpin Pas sedia bekerjasama dengan pihak polis yang kini menjalankan siasatan terhadap perkara itu.

    “Kita sedia dipanggil untuk disiasat. Bagi kita isu ini juga tidak menjejaskan persediaan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    “Saya yakin gelombang hijau ini akan berterusan hingga berlakunya PRN sekitar bulan Jun atau Julai nanti, malah saya yakin enam negeri akan berjaya ditawan ‘gelombang hijau’,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Hanafiah berharap provokasi politik itu dihentikan segera kerana tumpukan sebenar yang perlu diberikan ialah terhadap usaha mensejahterakan rakyat.

    Ahad lalu tular di media sosial gambar sekumpulan lelaki membawa replika berbentuk senjata sambil berarak dalam program yang dianjurkan di Setiu, Terengganu.

    Selain replika senjata yang dipegang oleh sekumpulan lelaki yang memakai kostum perang, terdapat juga replika sebilah pedang gergasi dibawa kenderaan pacuan empat roda yang difahamkan antara alatan bagi pertandingan dalam program tersebut.

  • Polis lumpuhkan sindiket dadah, heroin base RM4.05 juta dirampas

    Polis lumpuhkan sindiket dadah, heroin base RM4.05 juta dirampas

    SEORANG pemandu bas kilang antara tiga individu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Selangor dan Kedah yang menemukan 123 ketulan dadah jenis heroin base bernilai RM4.05 juta untuk pasaran Lembah Klang pada Rabu lalu.

    Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak November tahun lalu itu ditumpaskan menerusi serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

    “Ketiga-tiga suspek yang diberkas merupakan lelaki warga tempatan berumur lingkungan 37 sehingga 53 tahun.

    “Serbuan pertama dijalankan di sekitar Klang menerusi tangkapan ke atas seorang lelaki yang dipercayai sedang menjalankan urusan pengedaran dadah.

    “Pemeriksaan kereta jenis Mercedes Benz yang dinaiki suspek menemui satu plastik hitam mengandungi 10 ketulan mampat heroin base seberat 3.8 kilogram,” katanya.

    123 ketulan dadah jenis heroin base bernilai RM4.05 juta untuk pasaran Lembah Klang dirampas pada Rabu lalu

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

    Menurutnya, hasil siasatan berdasarkan serbuan pertama seterusnya membawa kepada tangkapan suspek kedua pukul 4.20 petang di sebuah rumah di Kapar, Klang.

    Tangkapan suspek kedua kata beliau, kemudiannya membawa kepada serbuan di sebuah rumah kedai di Jalan Kapar, Klang yang berjaya menemukan satu plastik hitam mengandungi 113 ketulan heroin base seberat 42.5 kilogram di bahagian ruang tamu.

    “Siasatan dijalankan berdasarkan serbuan dijalankan ini turut membawa kepada penangkapan suspek ketiga di sebuah rumah di kawasan Kupang, Kedah,” katanya.

    Tambahnya, seorang suspek bekerja sebagai pemandu bas kilang dan dua lagi suspek tidak bekerja.

    Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Semakan dijalankan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes di bawah penipuan dan dadah.

    “Ujian saringan mendapati kesemua suspek negatif dadah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Ujar Sasikala, kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

    “Keseluruhan heroin dirampas ini dipercayai boleh dibekalkan kepada 2.51 juta penagih dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.2 gram.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.