Author: Wartawan WartaRakyat

  • Selepas PN, Ismail Sabri pula gesa kerajaan benarkan pengeluaran wang KWSP

    Selepas PN, Ismail Sabri pula gesa kerajaan benarkan pengeluaran wang KWSP

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta kerajaan supaya mempertimbangkan permohonan rakyat yang memerlukan pengeluaran sejumlah wang Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP) secara bersasar untuk meneruskan kelangsungan hidup.

    Jelas beliau, baru-baru ini beliau bertemu dengan wakil Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin Malaysia (PWRN) yang memaklumkan situasi di mana ramai pekerja berada dalam keadaan terdesak untuk meneruskan hidup.

    Menurut Ahli Parlimen Bera itu, terdapat segelintir pihak yang baru mendapat pekerjaan, tetapi masih bertatih untuk hidup ada juga yang masih menganggur, tetapi mempunyai simpanan KWSP.

    “Malah, ada juga dalam kalangan mereka yang menjadi muflis kerana tidak mampu untuk bayar hutang, meskipun wang simpanan KWSP bertujuan untuk digunakan pada hari tua, namun ianya tidak bermakna apabila memasuki hari tua dalam keadaan yang muflis.

    “Keperluannya yang mendesak adalah hari ini, bukan apabila sampai tempoh hari tua,” katanya dalam Ucapan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

    Atas sebab itu, katanya, beliau bersama-sama PWRN dan rakan-rakan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) seperti Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) untuk meminta kerajaan pertimbangkan permohonan tersebut.

    “Pengeluaran bersasar tersebut jika dibenarkan, syarat-syaratnya boleh ditentukan sendiri oleh kerajaan.

    “Peruntukan daripada pengeluaran wang pencarum KWSP berdasarkan empat kali pengeluaran sejak pandemik Covid-19 melibatkan jumlah yang kecil berbanding jumlah keseluruhan aset badan itu,” tambah beliau, lapor Kosmo!.

  • Ahli Parlimen PKR beri amaran kepada Anwar berhubung pendakwaan terpilih, kerajaan gagal

    Ahli Parlimen PKR beri amaran kepada Anwar berhubung pendakwaan terpilih, kerajaan gagal

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak menggunakan pendakwaan terpilih terhadap seteru politik, susulan siri soal siasat pemimpin Perikatan Nasional (PN) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta penahanan ahli Parlimen Bersatu.

    “Saya di blok backbencher menyedari, kita boleh panggil semua tokoh besar ini, menteri, mantan-mantan perdana menteri, sebab kita ada kuasa, kita eksekutif, ada kuasa. SPRM di bawah kita, PDRM di bawah kerajaan.

    “Jadi saya bimbang sekiranya kalau tak diberi peringatan boleh berlaku pendakwaan yang terpilih, parti lawan kita jadi mangsa.

    “Kalau ada asasnya tidak mengapa, tapi saya takut, bijak pandai dalam tradisi demokrasi menyebut, ‘Kuasa itu boleh membawa kepada korupsi. Sekiranya kuasa itu mutlak, korupsi juga akan menjadi mutlak’,” katanya di Dewan Rakyat hari ini, lapor MalaysiaNow.

    Amaran itu dibuat ketika Datuk Wan Saiful Wan Jan dari Bersatu didakwa atas dua pertuduhan rasuah hari ini, berikutan penahanannya bersama seorang lagi anggota parti itu malam tadi.

    Ini berikutan beberapa siri kenyataan pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim menuduh pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang diketuai pengerusinya Muhyiddin Yassin melakukan rasuah dan salah guna kuasa untuk memanfaatkan tabung parti.

    Muhyiddin yang sejak itu menafikan dakwaan tersebut, berkata terdapat langkah untuk memberi tekanan kewangan ke atas gabungannya menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tahun ini.

  • Pihak berkuasa terus siasat individu disebut dalam Pandora Papers, kata PM

    Pihak berkuasa terus siasat individu disebut dalam Pandora Papers, kata PM

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beberapa individu dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkait siasatan Pandora Papers.

    Anwar memberitahu Dewan Rakyat, pihak berkuasa dan badan yang terbabit seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) serta polis sedang menunjukkan kesungguhan mereka mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana ahli politik disebut dalam laporan berkenaan.

    Tegasnya, semua yang lari daripada cukai, yang melanggar daripada undang-undang itu sedang disiasat dan beberapa tindakan sudah pun diambil.

    “(Tetapi) sebelum pendakwaan dibuat saya tak boleh beri penjelasan lebih daripada itu, namun saya beri jaminan dari sudut badan-badan yang telah melapor kepada saya, arahan daripada saya itu jelas.

    “Jangan ambil sambil lewa tindakan ini dan biarlah ia sebagai pengajaran dan negara tidak mampu lagi mengizinkan hal ini diteruskan,” katanya menjawab soalan tambahan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian).

    Pandora Papers, diterbitkan pada 2021 mendedahkan transaksi golongan elit dan korup menyembunyikan aset bernilai beberapa trilion dolar Amerika Syarikat (AS) dalam pelbagai akaun luar pesisir.

    Mereka dilapor mengambil langkah tersebut, antara lain bertujuan mengelak membayar cukai.

    Antara pemimpin politik tempatan disebut dalam laporan itu melibatkan Tengku Zafrul Aziz; Yamani Hafez Musa; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Tan Sri Daim Zainuddin; dan Pengerusi Eksekutif Westports, G. Gnanalingam.

    Anwar ketika mengulas lanjut, berkata tindakan pendakwaan hanya dilakukan berdasarkan bukti dan fakta.

    “Kalau ada bukti ada fakta, maka tindakan diambil. kalau tindakan diambil tanpa fakta, maka itu boleh dicabar sebagai penyalahgunaan kuasa ataupun dikatakan motif politik,” katanya, lapor FMT.

  • Penganggur didakwa cederakan anak kekasih

    Penganggur didakwa cederakan anak kekasih

    SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan mencederakan anak kekasihnya yang berusia enam tahun.

    Tertuduh, Muhammad Aiman Razali, 25, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, bekas pemandu lori itu didakwa melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Ipoh sekitar pukul 1 pagi pada 25 November 2022 dan 14 Februari lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, K. Darinee manakala tertuduh diwakili peguam, Dayang Nor Emilia Azman Shah.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan semula kes.

    Difahamkan, tertuduh ditahan polis dan direman selama tujuh hari selepas dipercayai mendera mangsa yang juga anak teman wanitanya minggu lalu.

    Suspek dikatakan kerap kali memukul mangsa dengan menggunakan tangan hingga menyebabkan lebam di bahagian mata kanan.

  • Muhyiddin dakwa Presiden UMNO dalangi pendakwaan

    Muhyiddin dakwa Presiden UMNO dalangi pendakwaan

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan rasa kesal dan sedihnya susulan pendakwaan rasuah ke atas Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan seorang lagi pemimpin lain, hari ini.

    Menurut bekas Perdana Menteri itu, pendakwaan yang dibuat terhadap Bersatu itu didalangi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    “Saya rasa sedih kerana buat pertama kali Bersatu di bawa ke mahkamah.

    “Kalau saudari ingat apa kenyataan yang dikeluarkan Presiden UMNO (Ahmad Zahid), dia kata sekarang ini dia tuduh kami kluster mahkamah dan selepas ini akan adalah satu kluster baru, mahkamah juga.

    “Itu dah macam satu perkara yang dah awal-awal dirancang.

    “Jadi, apa yang berlaku adalah satu perkara yang saya fikir sebagai Presiden Bersatu yang dirancang dan terancang,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu ketika ditemui pemberita di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

    Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, seterusnya menjelaskan bahawa setiap parti memerlukan dana untuk beroperasi dan ini termasuk dana daripada penyokong korporat.

    Katanya, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga telah menerima dana daripada penyokong dan dia mempersoalkan mengapa pemimpin mereka tidak didakwa di mahkamah.

    “Kami sebenarnya jangka ini akan dilakukan oleh kerajaan PH-BN untuk melemahkan Bersatu selepas melihat sokongan yang semakin meningkat kepada Perikatan Nasional,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Jana Wibawa: Zafrul sudah beri keterangan kepada SPRM

    Jana Wibawa: Zafrul sudah beri keterangan kepada SPRM

    TENGKU Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, beliau telah memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung program Jana Wibawa.

    Menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, beliau telah memberikan keterangan kepada SPRM petang semalam.

    “Saya ingin mengesahkan bahawa saya telah memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan Program Jana Wibawa kepada SPRM lewat petang semalam.

    “Saya akan terus memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa jika diperlukan,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini, lapor FMT.

    Program Jana Wibawa ialah inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

    Program tersebut terpalit dengan kontroversi selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kos bagi sesetengah projek terlalu tinggi. Projek-projek tersebut, katanya, diluluskan tanpa melalui proses tender.

    Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mendedahkan bahawa projek tersebut dicadangkan oleh Tengku Zafrul ketika menjadi menteri kewangan, dan beliau mempersetujuinya.

    Awal hari ini, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah menerima rasuah berjumlah hampir RM7 juta berhubung program Jana Wibawa. Dia juga didakwa meminta jumlah yang tidak dinyatakan untuk projek jalan raya bernilai RM232 juta.

    Wan Saiful dan ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad ditahan oleh SPRM semalam.

  • Jana Wibawa: Adam Radlan didakwa minta, terima rasuah

    Jana Wibawa: Adam Radlan didakwa minta, terima rasuah

    AHLI perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah melibatkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

    Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta rasuah sejumlah 3.5 hingga 7 peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd. Mat Jusoh Mamat sebagai dorongan untuk membantu syarikat mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek di bawah program Jana Wibawa daripada Kerajaan Malaysia.

    Pertuduhan dijalankan bawah Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama, lapor Astro Awani.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

    Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menerima rasuah wang tunai sejumlah RM500,000 ke dalam Akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd., Mat Jusoh Mamat sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47,800,000.

    Dia didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
    Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun; dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

    Dia dibenarkan diiikat jamin sebanyak RM120,000 serta pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah dan melapor diri di SPRM setiap bulan.

    Kes disebut semula pada 23 Mac.

  • Dua lagi gempa bumi gegar selatan Turkiye

    Dua lagi gempa bumi gegar selatan Turkiye

    DUA gempa bumi menggegarkan wilayah Hatay di selatan Turkiye pada Isnin, hanya dua minggu selepas gempa kuat melanda wilayah itu, menurut agensi pengurusan bencana negara itu.

    Menurut agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye, gempa pertama berlaku kira-kira 8.04 malam waktu tempatan (1704GMT) di daerah Defne di Hatay, berukuran 6.4 pada skala Richter manakala satu lagi gempa bermagnitud 5.8 berlaku tiga minit kemudian, berpusat di wilayah Samandag di Hatay.

    Gempa pertama berlaku pada kedalaman 16.7 kilometer (km) manakala gempa kedua pada kedalaman 7 km. Kedua-dua gegaran turut dirasai di kawasan sekitar, lapor Agensi Anadolu.

    AFAD mengeluarkan amaran menggesa penduduk supaya mengelak kawasan pantai sebagai langkah berjaga-jaga terhadap risiko kenaikan paras laut yang boleh mencecah sehingga 50 cm (1.6 kaki).

    Naib Presiden Turki Fuat Oktay pula meminta penduduk di wilayah itu supaya menjauhi bangunan yang rosak ketika pihak berkuasa memeriksa kawasan yang terjejas.

    Menteri dalam negeri negara itu berkata sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 213 yang lain cedera dalam gempa bumi itu.

    “Tiga rakyat terkorban, masing-masing satu di daerah Antakya, Defne dan Samandag,” kata Suleyman Soylu pada taklimat berita.

    Usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan di tiga lokasi terbabit, katanya.

    Sekurang-kurangnya 32 gegaran susulan direkodkan setakat ini, menurut AFAD.

    Wartawan Anadolu Agensi melaporkan bahawa beberapa bangunan runtuh selepas gempa bumi yang turut dirasai di negara jiran Syria.

  • Bersatu mangsa pendakwaan terpilih, kata Muhyiddin

    Bersatu mangsa pendakwaan terpilih, kata Muhyiddin

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) , Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa parti itu menjadi mangsa pendakwaan terpilih selepas Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas dakwaan rasuah.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, setiap parti memerlukan dana untuk beroperasi dan ini termasuk dana daripada penyokong korporat.

    “Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga telah menerima dana daripada penyokong dan beliau mempersoalkan mengapa pemimpin mereka tidak didakwa di mahkamah.

    “Kami sebenarnya jangka ini akan dilakukan oleh kerajaan PH-BN untuk melemahkan Bersatu selepas melihat sokongan yang semakin meningkat kepada Perikatan Nasional,” kata pengerusi PN itu dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, lapor FMT.

  • Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan rasuah kes Jana Wibawa

    Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan rasuah kes Jana Wibawa

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengalu tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM6.9 juta berhubung inisiatif Jana Wibawa.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu juga didakwa meminta satu jumlah yang tidak ditentukan untuk projek jalan raya bernilai RM232 juta.

    Beliau membuat pengakuan berkenaan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di mahkamah sesyen di sini di hadapan hakim Azura Alwi, lapor Astro Awani.

    Mengikut kertas pertuduhan, bagi pertuduhan pertama, beliau dituduh meminta rasuah berbentuk suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek Central Spine Road Sertik ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara Pra-Kelayakan yang jumlah keseluruhannya bernilai RM232,000,000.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 Akta 694 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

    Bagi pertuduhan kedua, Wan Saiful secara rasuah menerima bagi diri kamu suatu suapan, iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694 pada 08 Julai 2022 hingga 30 September 2022 di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala Wan Saiful diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

    Mahkamah mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai dan dia diarahkan melaporkan kepada ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap dua bulan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM400,000.

    Kes akan disebut semula 22 Mac 2023.

    Wan Saiful ditahan pada malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

    Turut didakwa Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Muhammad.