Author: Wartawan WartaRakyat

  • Buat ketetapan pemimpin kerajaan terkait kes rasuah dibenar bertugas atau tidak – Takiyuddin

    Buat ketetapan pemimpin kerajaan terkait kes rasuah dibenar bertugas atau tidak – Takiyuddin

    DATUK Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menyeru kerajaan agar membuat ketetapan anggota pentadbiran yang mempunyai kes mahkamah dibenar menjalankan tugas-tugas menguruskan kerajaan dan negara.

    Lapor MalaysiaNow, beliau yang juga Setiausaha Agung Pas merujuk kepada lantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kembali menjawat jawatan timbalan perdana menteri.

    Menurut Takiyuddin, Zahid yang kini berada di kedudukan nombor dua teratas dalam pentadbiran kerajaan masih dibenarkan memegang jawatan walaupun mempunyai kes mahkamah.

    Perkembangan itu juga, katanya meletakkan pegawai-pegawai perundangan dan kehakiman di keadaan yang amat sukar kerana perbicaraan melibatkan timbalan perdana menteri.

    “Seorang timbalan perdana menteri berdepan kes mahkamah adalah keadaan yang tersalah arah kepada pegawai-pegawai kehakiman.

    “Saya ingin merujuk satu petikan ketika Bagan Datuk mula-mula didakwa di mahkamah pada tahun 2018, Pemuda Umno membuat satu kenyataan gesa Zahid cuti seketika. Ini gesaan parti beliau sendiri,” katanya dalam ucapan membahas Titah Diraja di Parlimen hari ini.

    Dengan memetik laporan berita pada tahun 2018, katanya, gesaan Pemuda UMNO itu bukan bermaksud beliau sudah didapati bersalah sebaliknya memberikan ruang dan masa agar Zahid boleh memfokuskan diri kepada kes mahkamah sekaligus membersihkan nama baiknya.

    Dalam hal itu, Takiyuddin menegaskan ahli-ahli Parlimen di blok pembangkang mahu kerajaan membuat ketetapan supaya anggota pentadbiran yang mempunyai kes mahkamah mengambil cuti sehingga kes mahkamah selesai.

    Tambahnya, cadangan itu bukannya baru malah pernah dicadangkan oleh MCA Pulau Pinang terhadap Lim Guan Eng (Bagan) supaya cuti sementara sehingga kes rasuah beliau selesai.

    Perbahasan Takiyuddin kemudiannya terganggu oleh celahan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (2) di mana ahli dewan tidak boleh mengatakan apa-apa perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah.

    “Berbahaslah. Dan Bagan Datuk pun belum lagi didapati bersalah,” katanya.

    Kenyataan tersebut kemudian disahut oleh ahli-ahli pembangkang mengatakan Rayer sudah berubah sejak bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional.

    “Dulu cakap lain, sekarang cakap lain ya Jelutong,” kata Takiyuddin.

    Terdahulu, prosiding bela diri Zahid terhadap kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi dijadualkan akan berlangsung pada 10 April ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Mahkamah menetapkan perbicaraan presiden Umno itu dijalankan selama 27 hari, iaitu lima bulan berturut-turut bermula April hingga Ogos depan.

  • Jurukimpal, guru jadi mangsa Macau Scam

    Jurukimpal, guru jadi mangsa Macau Scam

    SEORANG jurukimpal berputih mata apabila kerugian RM339,000, manakala seorang guru pula rugi RM285,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam menerusi dua kejadian berasingan.

    Kejadian menimpa guru lelaki berusia 49 tahun berlaku pada 6 Januari lalu, manakala jurukimpal berusia 52 tahun diperdaya sindiket bermula pada 17 November tahun lalu.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam laporannya guru itu memaklumkan menerima panggilan daripada individu yang mendakwa kakitangan syarikat insurans.

    “Individu itu mendakwa mangsa membuat tuntutan palsu selain terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram yang menyebabkan mangsa perlu membayar sejumlah RM280,000 untuk menyelesaikan kes berkenaan.

    “Mangsa yang takut kemudian membuat pinjaman bank sebanyak RM280,000 pada 12 Januari sebelum pinjaman itu diluluskan dan kesemua wang terbabit dimasukkan ke dalam akaun Bank Islam.

    “Pada masa sama, mangsa menukar kad ATM yang baharu sebagaimana yang diarahkan sindiket berkenaan dan berkongsi maklumat berkenaan dengan sindiket,” katanya pada sidang media di Kuala Krai, hari ini.

    Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu beberapa hari selepas itu dan kerana curiga, dia membuat laporan polis manakala kerugian dialami sebanyak RM285,000.

    Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, kejadian yang membabitkan jurukimpal menggunakan modus operandi hampir sama, dengan mangsa menerima panggilan telefon daripada anggota polis yang mengatakan mangsa bersalah kerana menjual kad pengenalan miliknya.

    “Susulan itu, pengadu diminta membuat akaun bank baharu dengan memasukkan jumlah duit yang ada ke dalam akaun terbabit selain dilarang memaklumkan sesiapa mengenai panggilan diterima.

    “Mangsa yang takut melakukan apa yang disuruh ‘Puan Aisyah’ dan melakukan 30 transaksi ke dalam akaun baharu yang dibuka dengan nilai keseluruhan RM339,000 selain berkongsi maklumat akaun bank kepada sindiket.

    “Kejadian penipuan itu terbongkar selepas adik mangsa terdengar perbualan mangsa dengan sindiket berkenaan sebelum membuat laporan polis baru-baru ini,” katanya.

    Beliau berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Saya ingin mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah tertipu dengan sebarang panggilan yang diterima. Sebarang kes membabitkan polis tidak diselesaikan menerusi panggilan telefon, sebaliknya kita akan hadir ke rumah mereka,” katanya, lapor SatuBerita.

  • Wan Fayhsal dakwa berlaku ‘penganiayaan politik’

    Wan Fayhsal dakwa berlaku ‘penganiayaan politik’

    KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa perkara yang dilaporkan sebelum ini berhubung konspirasi politik jahat yang dikenakan ke atas pemimpin parti itu dan Perikatan Nasional (PN) telah pun berlaku.

    “Ini terbukti dengan ‘penganiayaan politik’ terhadap Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menghadapi proses pertuduhan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

    “Pada 15 Februari lalu, wakil Armada Bersatu telah memfailkan laporan polis berhubung konspirasi politik jahat yang dikenakan ke atas pemimpin kami.

    “Sasaran sebenar dan utama ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan tertinggi lain dalam Bersatu, Pas dan PN.

    “Hari ini, apa yang Armada laporkan telah pun terjadi dengan penganiayaan politik (political persecution) terhadap Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Wan Ahmad Fayhsal turut memuat naik salinan laporan polis di Facebooknya yang memaparkan kandungan berhubung konspirasi politik jahat dan tohmahan palsu terhadap Muhyiddin, PN dan Bersatu.

    Antara isi kandungan laporan polis itu bagi mengekang perbuatan jenayah dan salah guna kuasa untuk merosakkan nama Muhyiddin dan kepimpinan Bersatu selain memohon pihak polis menyiasat perkara berkenaan.

    Pagi tadi, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas dua pertuduhan kes rasuah bagi projek ‘Central Spine Road’ bernilai RM232 juta, tahun lalu.

    Sementara itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa tindakan mengheret anggota parti terlibat dalam kes pertuduhan rasuah melibatkan Jana Wibawa seperti sesuatu yang ‘dirancang’ dan ‘terancang’.

    Beliau turut mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai ‘dalang’ rancangan untuk mengheret anggota parti terlibat dalam kes pertuduhan rasuah melibatkan Jana Wibawa.

  • ‘Jangka lebih ramai pemimpin PN jadi mangsa pendakwaan terpilih’

    ‘Jangka lebih ramai pemimpin PN jadi mangsa pendakwaan terpilih’

    PERIKATAN Nasional (PN) menjangkakan lebih ramai pemimpin daripada gabungan parti itu akan dikaitkan dengan pendakwaan ‘terpilih’.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini susulan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang didakwa di mahkamah hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa.

    “Pendakwaan terpilih ibarat sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana mendakwa persepsi negatif terhadap PN telah dibina lebih awal menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Ya (jangka ramai pemimpin PN akan terpalit pendakwaan terpilih). Saya tengok ia lebih bersifat pendakwaan terpilih. Ini persiapan untuk PRN, tentu ada kaitan kenapa kita boleh buat dan sebagainya.

    “Bahkan kes PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) sudah selesai semua, sudah bincang satu persatu tetapi persepsi terus dibina atas benda macam itu.

    “Sepatutnya bila sudah teratur, PAC sendiri pun kita (Parlimen) telah tubuhkan, kita beri mandat sepatutnya…Kita hargai keputusan PAC,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya membuat spekulasi awal sebaliknya perlu menyerahkan kepada jawatankuasa penyiasatan.

    “Bila perdana menteri buat persepsi awal, itu yang menimbulkan gelombang yang tidak betul. Kalau ada kes, kita serahkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada pagi tadi, mendakwa parti itu menjadi mangsa pendakwaan terpilih selepas Wan Saiful didakwa atas dakwaan rasuah bernilai RM6.9 juta.

    Jelasnya, setiap politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti parti malah Perlembagaan membenarkan sumbangan diterima daripada ahli, orang ramai dan juga individu yang menyokong perjuangan parti.

    Muhyiddin turut mendakwa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga telah menerima dana daripada penyokong dan beliau mempersoalkan mengapa pemimpin mereka tidak didakwa di mahkamah.

  • 5 ADUN UMNO Sabah umum keluar parti, sertai Gagasan Rakyat

    5 ADUN UMNO Sabah umum keluar parti, sertai Gagasan Rakyat

    LIMA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah, mengumumkan keluar dari parti itu berkuat kuasa serta merta, hari ini.

    ADUN berkenaan ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk); Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut).

    Lapor Berita Harian, kesemua ADUN itu menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Pengumuman itu dibuat pada sidang media khas dipengerusikan Yusof di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di Kota Kinabalu, sebentar tadi.

    Turut mengumumkan menyertai Gagasan Rakyat ialah tiga ADUN Parti Warisan (WARISAN) yang mengumumkan keluar parti awal bulan ini.

    Mereka ialah Norazlinah Arif (Kunak), Chong Chrn Bin (Tanjung Kapor) dan Mohammad Mohamarin (Banggi).

  • Pendakwaan rasuah alih perhatian rakyat kegagalan kerajaan, kata Wan Saiful

    Pendakwaan rasuah alih perhatian rakyat kegagalan kerajaan, kata Wan Saiful

    KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa dua pertuduhan rasuah dihadapinya adalah cubaan untuk mengalihkan perhatian terhadap kegagalan kerajaan dalam mengeluarkan idea baharu bagi menyelesaikan masalah rakyat.

    Memetik laporan Berita Harian, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menegaskan, kerajaan mewujudkan pertuduhan kes yang tidak sepatutnya untuk menutup kegagalan mereka.

    Beliau menzahirkan rasa kesal kerana kerajaan sepatutnya memfokuskan kebajikan rakyat seperti kos sara hidup, harga barang keperluan melambung naik dan tuntutan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar yang disuarakan rakyat setiap hari daripada pelbagai peringkat.

    “Saya bersyukur sebab ada satu pasukan peguam bela yang bagi saya kukuh dan akan dapat membuktikan bahawa pertuduhan yang dikenakan kepada saya tidak sepatutnya berlaku dan saya mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan.

    “Saya yakin melalui proses mahkamah akan dapat membuktikan bahawa tiada sebarang kesalahan yang dilakukan. Saya penuh yakin bahawa mahkamah adalah mahkamah yang adil, yang kita ‘bina’ sewaktu dalam kerajaan dahulu.

    “Kita pastikan ada kebebasan di sisi mahkamah dan akan membuktikan tidak melakukan apa-apa kesalahan, Insya-Allah. Saya juga berterima kasih kepada media dan kepemimpinan Bersatu serta Perikatan Nasional (PN) sebab menunjukkan solidariti,” katanya pada sidang media di lobi mahkamah di ibu negara, hari ini.

    Sebelum itu, Wan Saiful dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

    Bagaimanapun, Wan Saiful mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Berdasarkan pertuduhan, Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara pra kelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.

    Dia juga juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd.

    Ia sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, di sini, antara 8 Julai hingga 30 September 2022.

    Wan Saiful berkata, kerjasama penuh diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang proses siasatan kes berkenaan.

    “Saya berterima kasih kepada pegawai SPRM yang menjalankan siasatan dengan penuh dedikasi dan baik. Saya tiada rungutan apa yang dilakukan membabitkan proses siasatan,” katanya.

  • ‘Saya tak sebut pun Menu Rahmah’, kata Halimah sangkal dakwaan media

    ‘Saya tak sebut pun Menu Rahmah’, kata Halimah sangkal dakwaan media

    AHLI Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali sekali lagi menafikan kenyataannya yang mengaitkan makanan bermutu rendah dengan autisme dan kanser, ada kaitan dengan inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan.

    Ini selepas beliau terus diasak Malaysiakini yang cuba mendapatkan maklum balasnya berkenaan usaha Ahli Parlimen Kuching Kelvin Yii agar beliau dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas kenyataan itu.

    Hansard kenyataan Dr Halimah yang mencetuskan kontroversi.

    Halimah mendakwa Malaysiakini dan KiniTV mencetuskan salah faham itu dan menegaskan kenyataannya langsung tidak menyebut langsung “Menu Rahmah”.

    “Mengapa anda kata saya sebut ‘Menu Rahmah sebabkan kanser’? Saya tak sebut pun Menu Rahmah!

    “Tidak disebut Menu Rahmah (dalam kenyataan asal),” katanya ketika ditemui Malaysiakini di lobi Parlimen hari ini.

    Apabila pemberita cuba membangkitkan bahawa beliau merujuk inisiatif itu dalam perbahasannya di Dewan Rakyat seperti dinyatakan hansard, iaitu rekod rasmi parlimen ahli parlimen Pas itu sekali lagi menyangkalnya.

    “Tetapi tiada (disebut) ‘Menu Rahmah’. Baca (hansard) satu per satu,” katanya kepada Malaysiakini.

    “Anda (Malaysiakini dan KiniTV) yang menyebabkan semua salah tanggapan ini,” katanya lagi.

    Dalam perbahasan di Dewan Rakyat semalam, Halimah juga menafikan beliau ada menyebut Menu Rahmah menyebabkan kanser dan meminta semua pihak agar merujuk hansard.

    Berikut adalah kenyataan Halimah berdasarkan hansard:

    “Saya nak sebutkan tentang food security dan health security. Ini semua keperluan asas. Kita tak mahu – saya selaku doktor perubatan, takut apabila keterjaminan makanan ini mendesak, ada membingungkan kerajaan.

    “Kita tidak mahu shortcut, kita tidak mahu kompromi daripada bekalan makanan yang low quality.

    “Saya tidak ada masalah dengan istilah ‘rahmah’ atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang low quality dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autisme dan sebagainya.”

    Dihujani kritikan

    Sementara Halimah menafikan beliau menyebut Menu Rahmah, kenyataannya berhubung istilah “rahmah” dan “makanan yang low quality” memberikan gambaran sebaliknya.

    Inisiatif Menu Rahmah diperkenalkn kerajaan pada Januari lalu sebagai sebahagian usaha menangani masalah kos sara hidup yang tinggi.

    Di bawah inisiatif ini, restoran dan kedai makan akan menyediakan makanan pada harga RM5 ke bawah.

    Salah satu syarikat yang menyertai inisiatif itu, Mydin menafikan harga yang murah menandakan makanan yang disediakan bermutu rendah.

    Kenyataan yang dibuat Halimah itu mengundang kritikan, antaranya berhubung perkaitan antara mutu makanan dan autisme.

    Pada Khamis lalu, beliau menjelaskan tidak berniat mengaitkan makanan bermutu rendah boleh menyebabkan autisme.

  • Bunuh: Lelaki tidur dengan mayat rakan, dihukum gantung

    Bunuh: Lelaki tidur dengan mayat rakan, dihukum gantung

    SEORANG lelaki yang tidur bersama mayat rakannya dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini selepas didapati bersalah membunuh mangsa, lima tahun lalu.

    Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed terhadap Mohd. Azhud Ibrahim, 33, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, keterangan tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata, lapor Astro Awani.

    Katanya, tertuduh dalam keterangannya menyatakan dia tiada niat membunuh si mati, malah selepas pergaduhan, telah keluar membeli makanan dan minuman untuk lelaki itu.

    Bagaimanapun, ujarnya, menurut pakar patalogi, hasil bedah siasat mendapati perut si mati mengumpul makanan yang belum dihadam selain pemeriksaan luaran dan dalaman si mati terdapat kecederaan dan luka di pipi, mulut serta leher.

    Oleh itu, katanya, disimpulkan bahawa si mati makan terlebih dahulu sebelum pergaduhan berlaku selain keadaan kecederaan si mati yang tidak memungkinkan dia makan dalam keadaan mulut sedemikian.

    Tambah beliau, tertuduh mendakwa memukul si mati untuk mempertahankan diri, tetapi daripada laporan tangkapan, tiada keterangan menunjukkan tertuduh mengalami kecederaan.

    Selain itu, ujarnya, penemuan sebatang cangkul di atas tanah berdekatan dengan lubang yang digali di belakang rumah tertuduh adalah tidak konsisten dengan keterangan lelaki itu.

    Abdul Wahab mempersoalkan mengapa tertuduh menggali lubang itu jika benar dia tiada untuk membunuh si mati dan tertuduh sepatutnya melaporkan kepada polis, bukannya menyembunyikan mayat si mati.

    Mengikut pertuduhan, Mohd. Azhud yang ketika itu berusia 28 tahun telah melakukan bunuh terhadap Ahmad Azam Ahmad, 43, dengan cara memukul menggunakan sebatang buluh dan sebatang tebu serta memijak sehingga mengakibatkan kematian.

    Perbuatan itu dilakukan di alamat No 2A Lorong Mohd. Ali Kampung Bahagia, Teluk Intan pada pukul 10 malam hingga 8 pagi pada 10 Ogos 2018.

    Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fitri Sadarudin manakala Mohd. Azhud diwakili peguam, Gurbachan Singh.
    Sepanjang tempoh prosiding, pihak pendakwaan telah memanggil seramai 20 saksi manakala dua saksi lagi di pihak pembelaan.

  • Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir, dakwa MP Pas

    Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir, dakwa MP Pas

    DATUK Awang Hashim (PN-Pendang) mendakwa, sikap pendendam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pendakwaan terpilih sewaktu pentadbirannya lebih teruk berbanding ketika pimpinan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau yang merujuk kepada pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ia merupakan satu permulaan daripada “permainan” Anwar.

    “Kami (PN) sebagai pembangkang, ugutlah apa saja… segala tribulasi dan fitnah yang kami hadapi lebih teruk.

    “Bagi saya, kalau inilah permulaan PM, dia adalah perdana menteri paling teruk di Malaysia. Malah Dr Mahathir yang dikata zalim pun tak (sezalim itu) setakat ini.

    “Sifat balas dendam PM ini sangat kuat dan sangat pendendam,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, menurut laporan Malaysiakini.

    Wan Saiful dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

    Wan Saiful kemudian mengaku tidak bersalah berhubung dua pertuduhan itu dan memohon kes berkenaan dibicarakan.

    Lebih ramai pemimpin PN jadi sasaran

    Awang pada masa sama mempertikaikan pendakwaan terhadap Wan Saiful yang sebelum ini hanyalah anggota parti biasa tetapi menjadi sasaran.

    “Bagi saya, ini ialah satu signal kepada pemimpin lain bahawa kalau yang tak ada jawatan pun SPRM pun boleh diarah untuk mendakwa, apatah lagi kamu yang duduk dalam executive. You all be ready to be charged,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menjangkakan bahawa akan lebih ramai pemimpin PN dipanggil agensi menjelang pilihan raya negeri yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

    “Ya, saya tengok ini lebih bersifat pendakwaan terpilih…ni persiapan untuk PRN, tentu ada kaitan,” katanya apabila ditanya sama ada akan ada lebih ramai pemimpin PN yang akan dipanggil selepas pendakwaan Wan Saiful hari ini.

    Katanya, pendirian Anwar itu tidak selari dengan kempen Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum sebelum ini, yang sering menyuarakan pelbagai slogan berhubung pentadbiran yang adil dan saksama.

    Pada masa sama, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut bersetuju dengan kenyataan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) yang menyuarakan kebimbangannya berhubung pendakwaan terpilih dalam pentadbiran Anwar.

    “Kuasa boleh bawa kepada korupsi. Kalau kuasa mutlak, korupsi itu mutlak dalam hal ini saya berterus terang, saya amat bimbang.

    “Dalam titah diraja ‘kerajaan banteras rasuah secara agesif’. Ada perkataan agresif di situ. Saya bersangka baik kepada presiden parti – integriti, iltizam banteras rasuah,” kata Hassan dipetik sebagai berkata dalam membahaskan titah dirajanya di Dewan Rakyat hari ini.

  • Pertuduhan rasuah tidak ganggu tumpuan PN pada PRN, kata Azmin

    Pertuduhan rasuah tidak ganggu tumpuan PN pada PRN, kata Azmin

    KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pertuduhan rasuah terhadap anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melibatkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) tidak akan mengganggu tumpuan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Dakwa beliau, tindakan mahkamah itu sebaliknya menunjukkan ada perancangan untuk melumpuhkan parti itu.

    “Tidak (mengganggu) kerana kita yakin ini merupakan satu pertuduhan yang terpilih, Presiden parti dengan jelas menyatakan bahawa kenyataan Presiden UMNO yang dibuat sebelum ini, membuktikan sudah ada perancangan untuk melumpuhkan Bersatu dan PN.

    “Ini membuktikan satu ketakutan PH dengan rakan baharu mereka, UMNO, yang dilihat terhadap dukungan begitu kuat rakyat terhadap PN,” katanya kepada media di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

    Mengulas lanjut Azmin menegaskan, PN yakin rakyat akan memberi satu lagi isyarat kepada PH dan UMNO kerana tidak menunaikan janji dalam pilihan raya yang lalu.

    “Sudah hampir tiga bulan, tetapi tidak ada satu langkah dan tindakan Kerajaan untuk membantu rakyat.

    “Hari ini, yang kita lihat dilakukan musuh kita ialah untuk menutup kelemahan mereka. Untuk menutup kelemahan ini, maka mereka menyerang PN. Saya yakin rakyat hari ini cukup matang melihat gelagat PH dan UMNO untuk mentadbir Kerajaan,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Sementara itu, Azmin meminta semua pihak tidak menyalahtafsir pendiriannya yang mahu berehat ‘seketika’ daripada arena politik.

    “Jangan andaikan (rehat) seketika itu sehari ke, seminggu ke, sebulan ke,” jelasnya.

    Bagaimanapun apabila ditanya sama ada beliau akan turut bertanding pada PRN nanti, jelasnya, soal calon pilihan raya hanya akan dibincangkan bersama parti-parti di bawah naungan PN.

    “Apabila DUN dibubarkan, parti-parti akan meneliti calon-calon yang akan dikemukakan. Belum bubar, jadi belum (ada apa-apa) lagi,” tambahnya.