Author: Wartawan WartaRakyat

  • Peguam Negara perlu jelaskan kenapa Ketua Pendakwa kes Zahid Hamidi digugurkan

    Peguam Negara perlu jelaskan kenapa Ketua Pendakwa kes Zahid Hamidi digugurkan

    SEORANG pemimpin Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menjelaskan mengapa Raja Rozela Raja Toran digugurkan sebagai timbalan pendakwa raya utama dalam perbicaraan rasuah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Ini selepas New Straits Times, yang memetik sumber, melaporkan Raja Rozela tidak lagi mengendalikan kes itu.

    Perkara itu diperkukuhkan lagi apabila beliau tidak hadir semasa prosiding minggu lalu.

    Ketika dihubungi, Raja Rozela hanya berkata kepada akhbar itu: “Saya adalah penjawat awam. Saya tidak dibenarkan untuk memberi komen. Minta maaf,” katanya.

    Usaha FMT untuk mendapatkan maklum balas Idrus berhubung perkara itu juga tidak berjaya.

    Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid Ali berkata, peguam negara tidak boleh berdiam diri berhubung perkara itu dan mesti memberikan penjelasan.

    Dengan kes Yayasan Akalbudi Zahid kini di peringkat pembelaan, Rafique menegaskan Raja Rozela mengendalikan kes tersebut dari awal dan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Presiden UMNO itu.

    “Mengapa ketua pasukan pendakwaan digantikan sekarang? Peguam negara tidak boleh berdiam diri. Rakyat memerhati dan menilai,” katanya dalam Facebook.

    Zahid dibicarakan atas 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi, yang diasaskannya, dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.

    Sebanyak 12 daripada pertuduhan adalah kes CBT, lapan kes rasuah, dan 27 kes pengubahan wang haram.

    Minggu lalu, pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi ia masih mempertimbangkan representasi Zahid berhubung kes rasuahnya yang sedang berjalan.

  • SPR kemas kini sistem, percepat umum keputusan PRN

    SPR kemas kini sistem, percepat umum keputusan PRN

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sedang mengemaskini sistem bagi memastikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini diumumkan seawal mungkin.

    Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, penambahbaikan itu dilakukan bagi membolehkan keputusan diumum lebih awal berbanding pilihan raya sebelum ini.

    “Kita dalam proses update (kemas kini) sistem kita yang ada.

    “Kalau boleh (keputusan diumumkan) seawal yang boleh. Kita berdoa diawalkan daripada masa lepas macam penamaan calon (29 Julai lalu) dapat kita awalkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses undi awal di Pusat Mengundi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam hari ini.

    Dalam masa sama, Abdul Ghani berkata setakat tinjauan pada pagi tadi, peratusan keluar mengundi di enam negeri merekodkan peratusan berbeza-beza.

    Begitupun, beliau yakin peratusan keluar mengundi boleh mencapai tahap yang tinggi melebihi peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

    “Di peringkat ini kita memang kita galakkan semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka.

    “Kita amat berharap peratusan keluar mengundi melebihi daripada PRU lepas, biarlah lebih tinggi daripada itu,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Lebih 9.67 juta pengundi biasa akan menjalankan tanggungjawab dalam PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan.

    Sementara, seramai 97,388 tentera, polis serta pasangan masing-masing terlibat dalam undi awal hari ini.

    Pada PRU15 lalu, peratusan keluar mengundi merekodkan 94.7 peratus berbanding pilihan raya sebelumnya.

  • Bersih ingatkan kerajaan jangan sekat laman media, ulangi rejim zaman dahulu

    Bersih ingatkan kerajaan jangan sekat laman media, ulangi rejim zaman dahulu

    GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) hari ini menzahirkan kebimbangan tentang dakwaan beberapa laman media telah disekat, seolah-olah mengulangi corak pentadbiran kerajaan terdahulu.

    Dalam satu kenyataan hari ini, BERSIH berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu untuk menunaikan ikrar beliau, sebagaimana yang tertulis dalam manifesto gabungan beliau untuk mempertahankan kebebasan bersuara dan melindungi kebebasan media.

    Sekiranya ada sebarang isu terhadap kandungan daripada sesebuah organisasi media, BERSIH berkata, satu proses yang telus perlu ada melalui surat tunjuk sebab dan peluang memohon sebelum sebarang sekatan dibuat.

    “BERSIH khuatir dengan keputusan kerajaan untuk menyekat akses laman sesawang UtusanTV.com melalui beberapa Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP). Laman ini adalah laman serpihan daripada seksyen gaya hidup di Utusan Malaysia.

    “Satu portal yang lain iaitu MalaysiaNow juga telah disekat daripada 28-30 Jun. Tindakan sebegini adalah adalah serupa dengan sekatan zaman (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak yang menyekat portal berita dan laman sesawang Bersih yang kritikal terhadap kerajaan beliau,” menurut kenyataan itu lagi.

    Semasa era tersebut, BERSIH berkata, Pakatan Harapan (PH) telah dinafikan akses kepada platform media kerajaan dan sebarang laporan terhadap mereka oleh tersebut adalah serong dan buruk.

    BERSIH berkata, PH perlu mengingati kembali manifesto mereka semasa PRU14 dan PRU15 menjanjikan kebebasan media dan menghapuskan peruntukan drakonian dalam Akta yang boleh disalahguna untuk menghalang kebebasan bersuara, seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Akta Percetakan dan Penerbitan 1984.

    Sehubungan itu, badan itu berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi perlu menganjurkan pendengaran awam bagi mendapatkan maklum balas bagi meminda Akta Komunikasi dan Multimedia untuk pendemokrasian operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), salah satu daripada institusi yang lahir pada era autoritariansme.

    “Walaupun ada rakyat Malaysia yang menyokong tindakan sebegini kerana kontroversi isu 3R, kami ingin mengingatkan Kerajaan dan semua pihak berkepentingan bahawa ekstremisme hanya boleh dicegah melalui langkah yang sah, bersasar dan adil, serta menggalakkan perbahasan yang sihat dan konstruktif.

    “Sekiranya tindakan keras dianggap perlu daripada perkiraan yang partisan, suara yang dibungkam ini hanya akan membesar ‘bawah tanah’, yang lebih mengancam inklusiviti dan kestabilan,” tegas BERSIH lagi, lapor Astro AWANI.

    Selain itu BERSIH turut menggesa stesen media seperti Bernama dan RTM untuk memberikan siaran percuma kepada semua pemimpin gabungan politik di peringkat negeri untuk mengemukakan manifesto mereka, liputan media yang saksama dan menganjurkan debat politik antara gabungan dan parti.

    “Pada hari dan era kebolehcapaian media sosial ini, adalah sia-sia bagi mana-mana kerajaan untuk cuba menghalang lawan mereka.

    “Sebaliknya, Kerajaan Madani perlu memimpin jalan untuk menggalakkan wacana terbuka di media milik kerajaan agar rakyat Malaysia dapat menilai sendiri kepelbagaian pandangan dan ideologi yang saling bersaing,” menurut kenyataan itu lagi.

  • Sanusi mungkin ‘terperangkap’ dalam kesesakan, kata Ayob Khan

    Sanusi mungkin ‘terperangkap’ dalam kesesakan, kata Ayob Khan

    POLIS menafikan wujud cubaan ‘memerangkap’ sehingga mengakibatkan ancaman keselamatan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor.

    Sebaliknya, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, istilah ‘perangkap’ yang digunakan mungkin merujuk kepada tersekat dalam kesesakan lalu lintas.

    “Dia (Muhammad Sanusi) mungkin terperangkap dalam kesesakan kot. Itu yang tak dapat pergi kempen.

    “Bila nak pergi syarahan (ceramah) memang ramai orang. Jadi dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Mungkin itu maksud ‘perangkap’,” katanya dalam sidang media selepas meninjau proses undi awal di Pusat Mengundi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

    Terdahulu, media melaporkan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa Muhammad Sanusi dinasihatkan agar tidak hadir ke ceramah kempen pilihan raya bagi menjamin keselamatan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.

    Sementara itu, Ayob Khan berkata, setakat ini polis tidak menerima laporan daripada Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan terhadap Muhammad Sanusi.

    “Setakat ini laporan tak dibuat. Itu mungkin hanya kenyataan (nak buat laporan),” katanya, lapor Astro Awani.

    Semalam, Vincent dilapor mengemukakan saman terhadap Muhammad Sanusi dengan menuntut pampasan ganti rugi sebanyak RM200 juta.

    Ini susulan kenyataan berunsur fitnah didakwa dibuat Muhammad Sanusi mengenai projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

  • PRN:Shahidan yakin PN menang 36 kerusi di Selangor

    PRN:Shahidan yakin PN menang 36 kerusi di Selangor

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yakin Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi 36 daripada 56 kerusi di Selangor pada 12 Ogos ini.

    Jelas Menteri Besar Perli itu, keputusan itu sekali gus akan membentuk kerajaan negeri yang baharu.

    Beliau memberitahu, keyakinan itu berdasarkan pemerhatian terbaharu dan pengalaman beliau sepanjang turun menyertai ceramah.

    Malah jelas beliau, faktor penyumbang itu juga didorong hasil sokongan daripada pengundi Cina dan India.

    “Kita mendapati kedua-dua kaum itu kini sudah nampak ke arah PN dan kalau mereka menyokong, 36 kerusi itu kita menang kerana pengundi kawasan Melayu Insya-ALLAH (menang),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Ceramah Restart Permatang, Ayuh Bangkit di Kampung Raja Musa di Kuala Selangor malam tadi.

    Shahidan dalam ucapannya berkata, lima negeri diyakini mampu ditawan dalam PRN kali ini.

    “Kedah kita dapat 36 (kerusi), Kelantan 45 kerusi, Terengganu 35 manakala Pulau Pinang pula (peluang sama rata) 50-50.

    “Di Selangor Noh (Tan Sri Noh Omar) kata 33 (menang) dan saya kata 34, namun, berdasarkan perkembangan terbaharu, saya kata 36 (kerusi),” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Noh berkata, manifesto ditawarkan PN Selangor selaras dengan hasrat diperjuangkan beliau selama enam penggal menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang.

    Kata beliau, antara fokus manifesto itu melibatkan kebajikan pesawah, petani dan nelayan yang masih memerlukan bantuan kerajaan negeri.

    “Selain itu, saya sudah lama memperjuangkan penghapusan caj parkir dan penyediaan rumah bagi anak muda di daerah ini,” jelas beliau.

  • PRN Selangor: Khairy bantu kempen calon PN Jeram

    PRN Selangor: Khairy bantu kempen calon PN Jeram

    BERBAKI sekitar empat hari lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), Khairy Jamaluddin dilapor membantu berkempen untuk calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Datuk Harisson Hassan di Puncak Alam, Shah Alam semalam.

    Menerusi satu rakaman video yang tular di TikTok, bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, Harisson boleh menjadi wakil rakyat yang baik bagi mewakili kerusi berkenaan.

    Khairy juga menyifatkan Harisson mempunyai ciri-ciri pemimpin yang berkaliber kerana berpengalaman, rajin serta berpendidikan.

    “Kenapa? Sebab saya kenal dia lebih 20 tahun. Kami sama-sama masuk UMNO, belia sebagai Setiausaha Kerja Pemda UMNO pada waktu itu, dan saya sebagai Exco Pemuda UMNO.

    “… dan memang daripada awal lagi saya menjangkakan antara rakan sebaya yang akan pergi jauh dalam politik adalah Datuk Harisson,” katanya memetik rakaman video berkenaan, lapor Astro Awani.

    Sementara itu, Harisson dalam kemas kini di laman Facebooknya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Khairy kerana meluangkan masa untuk memberikan sokongan moral kepadanya.

    Harisson yang merupakan bekas Timbalan Ketua UMNO Sungai Buloh dipecat daripada UMNO selepas beliau diumumkan sebagai calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram mewakili PN.

    Harrison berdepan saingan satu lawan satu menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Jahaya Ibrahim bagi kerusi DUN Jeram.

    Sebelum ini, Khairy turut ditawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, jika bekas Ahli Parlimen Rembau menyertai parti itu.

    Tawaran itu dikemukakan selepas Khairy dipecat UMNO, bagaimanapun bekas Menteri Kesihatan itu memohon ‘masa tambahan’ untuk memikirkan tawaran menyertai Bersatu yang dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin.

  • Polis Pulau Pinang pantau aktiviti judi libat keputusan PRN

    Polis Pulau Pinang pantau aktiviti judi libat keputusan PRN

    POLIS Pulau Pinang memantau rapi aktiviti perjudian membabitkan pertaruhan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) itu yang akan berlangsung Sabtu ini.

    Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, aktiviti itu setakat ini dikesan dilakukan dalam skala kecil dan tidak melibatkan mana-mana sindiket.

    “Setakat ini kita monitor (pantau), ada (aktiviti judi pilihan raya) bukan melalui sindiket, secara kecil-kecilan itu ada.

    “Mereka bertaruh siapa menang dan siapa kalah, setakat ini tiada tangkapan dilakukan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di George Town hari ini.

    Terdahulu, Kok Chin meninjau proses undi awal yang dijalankan di Dewan Mutiara, IPK hari ini.

    Seramai 6,451 pegawai kanan dan pegawai rendah polis akan melaksanakan undi awal di 28 pusat mengundi melalui 33 saluran di IPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.

    Dalam pada itu, Kok Chin berkata, setakat ini, jumlah kawasan panas yang dikesan di Pulau Pinang masih kekal dua lokasi iaitu di DUN Permatang Pasir di Parlimen Permatang Pauh dan DUN Bayan Lepas di Parlimen Balik Pulau.

    Jelas beliau, pihaknya mengekalkan kawalan di kawasan tersebut dan tidak melihat keperluan untuk menambah anggota atau pegawai di kedua-dua lokasi ini setakat ini.

    “Setakat ini semua dalam keadaan baik dan lancar serta tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

    Sementara itu, tambah beliau, seramai 217 pegawai polis telah ditugaskan bagi melancarkan proses pengundian awal hari ini.

    “Setakat ini kita boleh lihat proses pengundian awal berjalan lancar dan ramai anggota serta pegawai telah melaksanakan tanggungjawab mengundi,” katanya.

  • Pelawak S. Gana berkempen di kubu kuat PH

    Pelawak S. Gana berkempen di kubu kuat PH

    PELAKON dan pelawak, S. Gana yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Subang Jaya di Selangor dalam pilihan raya negeri (PRN) tetap bersemangat walaupun mengakui kerusi itu merupakan kubu kuat PH.

    Katanya, walaupun maklum dengan tanggapan bahawa pengundi di kawasan itu mungkin ragu-ragu dengannya, beliau mendapati beberapa pengundi yang ditemuinya menyambutnya dengan mesra.

    “Saya telah diberi mandat oleh pucuk pimpinan PN untuk bertanding di kerusi ini. Walaupun orang ramai mengatakan pengundi bandar ragu-ragu dengan PN, saya masih nampak muka mesra ketika bertemu dengan pengundi di sini.

    “Mereka tidak menolak risalah saya dan sedia mendengar dengan saya,” katanya ketika ditemui semasa lawatan berjalan kaki.

    Gana berdepan saingan tiga penjuru dengan penyandan kerusi itu Michelle Ng dari Pakatan Harapan (PH) dan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Zayd Shaukat Ali.

    Pada Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ng memenangi kerusi itu dengan majoriti 48,272 undi – kerusi itu mempunyai 74,023 pengundi.

    Kata Gana, beliau boleh berinteraksi dengan pengundi kerana perwatakannya yang mudah bergurau.

    Selain itu, katanya, anaknya yang boleh bercakap dalam bahasa Mandarin juga turut membantunya.

    “Ini membantu saya untuk melibatkan diri dengan mereka tentang isu-isu yang mempengaruhi mereka di sini dan harapan mereka untuk masa depan,” katanya sambil menunjuk anak keduanya Tharen Vishal, 19.

    Kata Vishal, beliau selalunya hanya mengikut ayahnya apabila dia berkempen dan akan membantu ayahnya apabila bertemu dengan pengundi yang sukar bercakap dalam bahasa Melayu atau Inggeris.

    “Saya akan bercakap dengan mereka dalam bahasa Mandarin. Pada mulanya, mereka terkejut mendengar saya bercakap Mandarin, tetapi kemudian, mereka mula berkongsi isu yang membimbangkan mereka,” kata Vishal.

    Sementara itu, Gana berkata, isu utama yang diketengahkan penduduk di Subang Jaya ialah infrastruktur, kebersihan dan masalah lalu lintas.

    “Saya sudah biasa bergaul rapat dengan orang ramai dalam pelbagai watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini, sebagai pelakon, pelawak, dan kini sebagai ahli politik.

    “Saya percaya orang ramai berkongsi masalah mereka dengan saya, kerana mereka percaya saya boleh membantu menangani isu mereka jika saya dipilih,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Gana merupakan pelakon popular yang membawa watak hero dan komedi dalam filem tempatan seperti Kampung Kuttua, Pattanathu Thaatha dan turut muncul dalam pelbagai siri Tamil dan produksi tempatan.

    Beliau terkenal dengan filem Appalam arahan Afdlin Shauki. Filem itu memenangi Filem Terbaik di Festival Filem India Malaysia 2012.

    Sementara itu, Gana menepis tanggapan bahawa kemasyhurannya sebagai seorang artis adalah faktor pendorong untuknya berkempen di kerusi itu.

    “Kebanyakan pengundi di sini tidak pernah mendengar tentang saya atau menonton filem saya. Sudah tentu, ada seorang dua yang tahu tetapi majoriti tidak mengenali saya.

    “Jadi, tidak benar apabila orang kata kemasyhuran sebagai pelakon membantu,” katanya yang juga menghasilkan animasi Tamil pertama Malaysia Estate Boy.

    Mengakui beliau muka baru buat pengundi Subang Jaya, Gana berkata bahawa dia memanfaatkan interaksi di media sosial, termasuk mesej langsung dan komen untuk siarannya.

    “Sesetengah komen sangat mengecewakan dan menyakitkan hati. Saya cuma nak cakap, tolong jangan pandang rendah sesiapa dan jangan hanya jadi panglima keyboard. Komen di media sosial tidak mengapa tetapi saya hanya meminta untuk mengulas secara adil.

    “Tanya diri anda, sebagai pengundi, apa yang anda mahu saya lakukan? Apakah isu yang anda mahu saya bincangkan? Dan komen kemudian,” katanya.

    Beliau juga menggalakkan golongan muda mendaftar sebagai pemerhati atau ejen pengiraan undi (PACA) bagi memahami proses pilihan raya dengan lebih baik.

    “Datang dan lihat sendiri bagaimana sistem ini berfungsi. Fahami dan kemudian anda boleh mencadangkan bagaimana untuk menjadikan keadaan lebih baik untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

  • PRN:Rina yakin menang di Batu Tiga, manifesto PN jadi sandaran

    PRN:Rina yakin menang di Batu Tiga, manifesto PN jadi sandaran

    KETUA Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Harun menafikan timbul isu beliau sukar meraih keyakinan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga pada pilihan raya di Selangor pada 12 Ogos ini.

    Beliau berkata, faktor yang dipersoalkan sebelum ini iaitu sudah beberapa kali berpindah kawasan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan menjadi masalah atau isu.

    Ujar Rina, tidak menjadi masalah untuknya menambat keyakinan pengundi dan dirinya berpegang kepada tawaran Perikatan Nasional (PN) untuk Selangor diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat lalu.

    “Keyakinan daripada rakyat dan pengundi itu daripada manifesto dibawa Muhyiddin. Apa yang kita janji dikotakan dan tidak memainkan perasaan rakyat,” katanya memetik laporan FMT.

    Rina berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid dan Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen (Parti Ikatan Demokratik Malaysia-MUDA).

    Jumaat lalu, Muhyiddin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ yang antaranya menjanjikan elaun khas tahunan berjumlah dua hingga tiga bulan gaji kepada penjawat awam negeri itu.

    Ia turut menawarkan bantuan RM400 sebulan bagi pembelian barangan asas kepada 65,000 keluarga memerlukan, elaun bulanan imam (RM1,700), bilal (RM800), siak (RM600) serta nazir (RM600) dan air percuma untuk 20 meter padu pertama kepada isi rumah berpendapatan bawah RM15,000.

    Rina merupakan bekas menteri pada era pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu mula bertanding di Titiwangsa.

    Bagaimanapun pada PRU15 beliau tewas di Parlimen Sepang dan PRN 12 Ogos ini dipertaruhkan PN di DUN Batu Tiga.

    Kritikan terhadap pencalonan Rina turut datang daripada bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman yang menyifatkan pemilihan calon PN daripada parti itu sebagai ‘lemah dan bermuslihat’.

    Mengulas lanjur, Rina berkata, meskipun Batu Tiga boleh dikatakan sudah matang dari segi pembangunan namun realitinya masih berlaku ketidakseimbangan antara taraf sosial dan ekonomi, pendidikan dan infrastruktur.

    Justeru menurutnya, wujud keperluan merapatkan jurang itu agar tiada rakyat tercicir.

  • Calon MB Selangor PN masih rahsia, akan diumum bila menang-Hamzah

    Calon MB Selangor PN masih rahsia, akan diumum bila menang-Hamzah

    PERIKATAN Nasional (PN) hanya akan mengumumkan calon Menteri Besar Selangor selepas calon itu memenangi pilihan raya di Selangor.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beberapa nama telah disenarai pendek bagi jawatan berkenaan dan akan diumum selepas mereka menang pilihan raya negeri (PRN) tersebut pada 12 Ogos ini.

    “Calon Menteri Besar kita sedang dalam perbincangan untuk kita umumkan dalam waktu terdekat. Ada beberapa telah disenarai pendek. Semua mereka yang bertanding adalah layak.

    “Yang pentingnya mereka mesti menang, kita tak mahu umum nanti ada orang kalah pula, sebab itu kita akan tengok dulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Selangor Baru, DUN Sungai Pelek, Zanas Villa D’Klia, Kampung Labu Lanjut, Salak Tinggi, malam tadi.

    Hamzah mengulas isu berkenaan selepas PN sehingga kini masih tidak mengumumkan calon Menteri Besar mereka.

    Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar PN supaya mengumumkan calon Menteri Besar Selangor.

    “Ini hantam kat Selangor, hantam (Datuk Seri) Amirudin Shari. Calon kamu Menteri Besar siapa?

    “Calon kami, saya dah umumkan Amirudin,” katanya dalam satu ceramah baru-baru ini.

    Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu memutuskan untuk tidak mengumumkan calon Menteri Besar mereka di Selangor.

    Muhyiddin berkata, nama-nama calon menteri besar itu hanya akan diumumkan apabila tiba waktunya.

    “Yang penting kita tak perlu umumkan. Pada prinsipnya, dalam senarai yang kita (ada) sudah kenal pasti ramai tokoh-tokoh dan sampai masa sesuai… tahu siapalah Menteri Besarnya,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Bagaimanapun Muhyiddin menggesa Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya menghadiahkan kemenangan kepada PN di Selangor.

    Azmin sebelum ini disebut-sebut bakal mengisi semula jawatan itu sekiranya PN dapat menawan Selangor.

    Azmin memegang jawatan itu dari 2014 hingga 2018 ketika bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).