Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pemandu van persendirian cuba rempuh anggota JPJ

    Pemandu van persendirian cuba rempuh anggota JPJ

    SEORANG pemandu van ditahan selepas cuba merempuh anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam kejadian di Jalan Perusahaan Perai pagi tadi.

    Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi tadi itu, lelaki tempatan berusia 40-an berkenaan berjaya ditahan ketika Ops Khas Bersepadu Kenderaan Perkhidmatan Awam.

    Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md. Isa berkata, pemandu itu memberi alasan mahu ke tandas sedangkan hasil pemeriksaan mendapati dia dalam perjalanan menghantar lapan tukang cuci pulang menggunakan van persendirian.

    Malah ujar beliau, semakan lanjut juga mendapati lelaki berkenaan tidak memiliki Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dan memandu kenderaan persendirian yang didaftarkan atas nama individu lain.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) persendirian bagi tujuan perkhidmatan awam,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.

    Menurut Adenan, dalam operasi itu sebanyak 132 kenderaan perkhidmatan awam diperiksa manakala 110 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

    Katanya, sebanyak 17 bas kilang turut disita meliputi pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki lesen PSV, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans kenderaan motor.

    Dalam masa sama, beliau melahirkan kebimbangan selepas mendapati kebanyakan pemandu dikesan melakukan kesalahan berulang.

    Namun, ujar beliau, pihak majikan seolah-olah tidak mengambil peduli kesalahan itu apabila masih lagi menggajikan pekerja yang sama.

    “Sehubungan itu, kita akan kenakan tindakan lebih tegas terhadap pemilik dan pengendali kenderaan bagi memberi pengajaran kepada syarikat lain supaya mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

  • Wanita melecur pada badan, muka tong gas meletup

    Wanita melecur pada badan, muka tong gas meletup

    SEORANG wanita berusia 54 tahun melecur pada bahagian badan dan muka selepas tong gas di rumah sewanya di Flat Taman Sri Bayu, Bayan Lepas, Pulau Pinang meletup dalam kejadian awal pagi tadi.

    Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan jirannya yang menyedari kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 9 pagi.

    Difahamkan, mangsa yang hanya menyewa bilik di kediaman itu berada seorang diri ketika kejadian.

    Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau, Zaiful Arif Mat Ariffin berkata, pihkanya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 9.18 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Menurutnya, sebaik sahaja anggota tiba di tempat kejadian didapati berlaku kebocoran gas sehingga menyebabkan letupan di dalam rumah.

    “Terdapat seorang mangsa wanita melecur hampir 60 peratus pada badan dan muka. Kebakaran terlebih dahulu dipadamkan oleh jiran mangsa sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut beliau, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pukul 10 pagi dan mangsa telah diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

  • Angka korban gempa bumi Turkiye cecah 43,556 orang

    Angka korban gempa bumi Turkiye cecah 43,556 orang

    ANGKA kematian akibat gempa bumi yang melanda selatan Turkiye pada 6 Feb kini meningkat kepada 43,556 nyawa, kata Menteri Dalam Negeri Turki Suleyman Soylu pada Rabu.

    Soylu membuat kenyataan itu ketika bersiaran langsung di Hatay, antara 11 wilayah yang dilanda gempa bumi.

    Kerajaan memerlukan tempoh masa tertentu untuk bertindak balas apabila berhadapan dengan situasi 26,000 kediaman runtuh pada satu jam pertama dan malapetaka itu melanda kawasan seluas 110,000 kilometer persegi (42,471 batu persegi).

    Gempa bumi yang berpusat di Kahramanmaras turut menjejaskan 10 wilayah lain iaitu Hatay, Gaziantep, Adıyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.

    Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata Turkiye akan mula membina lebih 200,000 kediaman seawal Mac di kawasan bencana dan pembinaan dijangka siap dalam tempoh satu tahun. – BERNAMA

  • ‘Biarkanlah… dia terdesak cari tempat’, kata Hamzah

    ‘Biarkanlah… dia terdesak cari tempat’, kata Hamzah

    TINDAKAN Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang cuba bermain dua kolam diselar Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyifatkan langkah bekas pemimpin Bersatu itu sebagai terdesak.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung Bersatu menegaskan, tindakan Mukhriz yang cuba meminta kerusi termasuk mahu bekerjasama dengan kedua belah pihak cuma mahu menjamin kelangsungan karier bekas Ahli Parlimen Jerlun sebagai ahli politik.

    Katanya, dalam keadaan terdesak sekarang, itu tindakan biasa yang akan dilakukan orang politik seperti Mukhriz agar dapat terus ‘hidup’ dalam kancah politik negara.

    “Maknanya dia desprate (terdesak) sekarang untuk mencari tempat. Biarkanlah.

    “Tak apalah, sebagai orang politik dia terpaksa supaya dia boleh bergantung hidup (dengan parti politik lain),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat hari ini, lapor Berita Harian.

    Ketua Pembangkang itu diminta mengulas cubaan Mukhriz bermain dua kolam dengan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PN dan PH, untuk mengadakan kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    BH semalam melaporkan kenyataan sumber PN Kedah yang rapat dengan bekas menteri besar Kedah itu mengenai permintaan berhubung peruntukan sejumlah kerusi dibuat Mukhriz sewaktu bertemu dengan kepemimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

    Ahad lalu, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan berlaku pertemuan antara Mukhriz bersama kepemimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

    Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar turut mengesahkan Mukhriz ada bertemunya di ibu negara kira-kira dua bulan lalu, bagi membincangkan mengenai ruang kerjasama antara Pejuang dan PH bagi menghadapi PRN Kedah.

    Namun, Mahfuz menyarankan Mukhriz bertemu secara terus dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana isu mengenai kerjasama dalam PRN hanya boleh diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

  • Pendedahan Laporan Ketua Audit Negara akan disiasat – SPRM

    Pendedahan Laporan Ketua Audit Negara akan disiasat – SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan akan membuka kertas siasatan berhubung ketirisan dan pembaziran dana awam dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2, baru-baru ini.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tanpa menyebut mana-mana pihak menyatakan, pihaknya sedang meneliti pendedahan LKAN itu.

    “Kami memberi jaminan, jika ada isu selepas meneliti LKAS, kita akan buka.

    “LKAN ini memang menjadi perhatian kita setiap kali ia diumumkan. Perlu diingat bahawa tugas kita ialah melihat soal pelakuan jenayah sesuatu perkara itu,” katanya pada sidang media, di Putrajaya, hari ini.

    Sebelum ini, beberapa pakar ekonomi dan pakar integriti menggesa supaya kerajaan menubuhkan pasukan penyiasatan khas di bawah SPRM bagi menangani isu ketirisan dan pembaziran dana awam, yang hampir setiap tahun didedahkan LKAN.

    Mereka beranggapan, teguran Ketua Audit Negara seolah-olah dipandang ringan tanpa diambil sebagai panduan untuk penambahbaikan.

    Terdahulu, LKAN 2021 Siri 2 mendedahkan pelbagai kepincangan dan kelemahan dalam sistem kerajaan, yang mengakibatkan kerugian, ketirisan dan pembaziran wang rakyat.

    Antara yang didedahkan ialah kehilangan atau kerugian wang awam, pembayaran tidak teratur dan pembaziran sejumlah RM158.08 juta, yang dikesan di tiga kementerian dan empat agensi Persekutuan.

    Kementerian dan jabatan terbabit adalah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) dan Kementerian Pertahanan, manakala empat jabatan terbabit adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

  • Suspek penyeludup ketum direman empat hari

    Suspek penyeludup ketum direman empat hari

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA individu yang ditahan sepasukan pegawai dan anggota tentera kerana disyaki penyeludup ketum di Kampung Sungai Kecil, Kuala Nerang Kedah semalam direman selama empat hari bermula hari ini.

    Perintah tahanan reman terhadap dua lelaki berusia 29 dan 31 tahun itu dikeluarkan Majistret, Nurul Huda Idris, hari ini.

    Terdahulu, suspek berusia 29 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Jitra kira-kira pukul 8.45 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna jingga dan diiringi polis bersama beberapa tahanan lain.

    Selain itu, perintah tahanan reman untuk supek kedua berusia 31 tahun pula dikeluarkan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar kerana individu berkenaan masih menerima rawatan akibat kecederaan dialami.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam, dua suspek ditahan setelah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki mereka terbabas sewaktu cuba melarikan diri daripada ditahan tentera.

    Kedegilan mereka untuk berhenti mendatangkan bahaya kepada orang awam apabila mereka beberapa kali hampir melanggar kenderaan lain menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan oleh pegawai tentera bermotosikal.

    Pemeriksaan dijalankan menemukan bungkusan berisi daun ketum yang berat keseluruhan mencecah 1 tan dan bernilai kira-kira RM38,000.

    Kes tersebut kini disiasat di bawah kanun keseksaan dan Akta Racun 1952.

  • 4 terselamat Perodua Axia terbakar

    4 terselamat Perodua Axia terbakar

    EMPAT individu berdepan detik cemas apabila kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam kemalangan dengan kereta jenis Mercedes Benz di Kilometer 3 Jambatan Pulau Pinang berdekatan kawasan perusahaan Perai, awal pagi tadi.

    Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam.

    Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 1.08 pagi.

    Menurutnya, operasi menyelamat mangsa membabitkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai.

    “Peratusan kemusnahan kebakaran kereta terbabit dianggarkan hampir 100 peratus. Terdapat empat orang mangsa dan mereka berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

    “Kebakaran dapat dikawal pada pukul 1.19 pagi dan berjaya dipadamkan sepenuhnya kurang lima minit kemudian,” katanya kepada kepada pemberita hari ini.

    Operasi tersebut tamat sepenuhnya pukul 2.20 pagi dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

  • Siasatan SPRM terhadap Muhyiddin masih berjalan, kata Azam

    Siasatan SPRM terhadap Muhyiddin masih berjalan, kata Azam

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkait program Jana Wibawa masih diteruskan.

    Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan berkenaan juga masih belum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

    “Belum lagi. Masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media hari ini di Putrajaya, lapor Berita Harian.

    Ditanya sama tindakan Muhyiddin yang memberi kenyataan dianggap mengganggu siasatan, beliau bagaimana enggan mengulas perkara itu.

    “Itu saya tidak boleh komen tapi siasatan terhadapnya yang dijalankan kita teruskan seperti biasa,” katanya.

    Sabtu lalu, Muhyiddin mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada SPRM mengenai projek Jana Wibawa.

    Keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih di bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan.

    Muhyiddin menjelaskan, agensi itu memaklumkan beliau dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan dan bukan suspek yang dikaitkan untuk sebarang tindakan pendakwaan.

    Ditanya sama ada akan ada lagi kertas siasatan dibuka berkait kes itu, Azam berkata ‘tiga atau empat’ lagi kertas siasatan berkaitan kes itu yang sedang disiapkan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

    “Siasatan masih lagi dijalankan seperti saya sebut sebelum ini di mana beberapa kertas siasatan telah dibuka, yang telah siap kita kemuka ke peguam negara dan sudah pun dijalankan pertuduhan.

    “Ada beberapa kertas siasatan yang masih lagi dijalankan siasatan dan pegawai saya sedang menyiapkan kertas siasatan berkenaan.

    “Jadi saya tidak menolak, mana-mana pihak pun bukan sahaja pemimpin sekiranya terbabit dalam menerima suapan untuk sesuatu perkara yang menyalahi akta kita maka akan dicadangkan pertuduhan di mahkamah,” katanya.

    Ditanya dakwaan beberapa pihak bahawa SPRM menjalankan pendakwaan terpilih, Azam menegaskan, SPRM menjalankan siasatan dengan profesional dan agensi itu bergantung kepada aduan dan maklumat diterima.

    “Bila kita terima satu maklumat dan aduan dan ia mengandungi kesalahan jenayah dan di bawah akta kami maka siasatan akan dijalankan.

    “Seperti saya sebut sebelum ini, kita bukan satu alat untuk mana-mana parti politik, kita jalankan siasatan berdasarkan maklumat yang ada, tiada pendakwaan terpilih dalam isu ini,” katanya.

    Sebelum ini Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU mendakwa parti itu menjadi mangsa ‘pendakwaan terpilih’ selepas ketua penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas dakwaan rasuah RM6.9 juta.

    Beliau berkata, setiap parti politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti parti dan Perlembagaan membenarkan sumbangan diterima daripada ahli, orang ramai dan juga individu yang menyokong perjuangan parti.

  • Dua mesin ATM bank diletupkan penjenayah

    Dua mesin ATM bank diletupkan penjenayah

    DUA buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) diletupkan penjenayah dalam rompakan di sebuah bank di Setia Alam di Shah Alam, pagi ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 pagi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, siasatan lanjut masih dijalankan di lokasi kejadian.

    “Ada berlaku kejadian sebuah mesin ATM diletupkan penjenayah, siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis.

    “Perkembangan akan dikongsikan selepas ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

  • Dakwa SPRM tawar RM10 juta, pengguna TikTok ditahan

    Dakwa SPRM tawar RM10 juta, pengguna TikTok ditahan

    PENGGUNA TikTok, Mohamad Shafiq Abdul Halim yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, baru-baru ini, ditahan agensi itu semalam.

    Penahanan suspek disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

    Menurutnya, Shafiq ditahan mengikut Akta SPRM 2009 kerana mengganggu siasatan.

    “Dia datang ke pejabat setelah dapat arahan kita dan kemudian ditangkap di pejabat SPRM (Putrajaya) semalam, pukul 3.30 petang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, lapor Free Malaysia Today.

    Shafiq dalam kenyataan di Facebook, berkata dakwaan tawaran RM10 juta hanyalah berdasarkan khabar angin semasa di mahkamah, bahawa SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful untuk menukar kenyataan bagi menganiayai Muhyiddin.

    Wan Saiful tidak lagi menjadi ketua penerangan berkuat kuasa semalam selepas peletakan jawatannya diterima Muhyiddin selaku presiden Bersatu.

    Mengulas lanjut, Azam berkata, secara peribadi dakwaan Shafiq itu tidak boleh dimaafkan kerana merosakkan reputasi SPRM.

    “Mana saya nak ambik RM10 juta nak bagi kepada Wan Saiful?

    “Benda (video) ini tidak boleh dipadamkan. Mana-mana dan rata-rata pun masih lagi mempercayai wujudnya perkara ini,” katanya.

    Walaupun Shafiq memohon maaf semalam, beliau berasa tindakan itu seperti sengaja mahu dimainkan oleh pengguna TikTok itu.