KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki menegaskan, agensi bukan menjadi alat kerajaan.
Katanya, agensi berkenaan tidak pernah memilih untuk melakukan siasatan.
“Sekiranya anda melihat rekod dari 2006 hingga sekarang, kami sangat konsisten.
“Sebagai contoh pada 2016, SPRM memfokuskan kes membabitkan jumlah besar dana awam, seperti isu 1MDB dan skandal air Sabah.
“Jadi, tiada alasan untuk sesiapa melabelkan kami alat, tidak kira parti mana menjadi kerajaan, SPRM tetap konsisten,” katanya menjawab soalan berhubung kritikan terhadap agensi itu, lapor FMT.
Kelmarin, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendakwa parti itu menjadi mangsa pendakwaan terpilih selepas bekas ketua penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas tuduhan rasuah.
Semalam, bekas ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi ketika perbicaraan rasuahnya, seorang pegawai SPRM memaklumkan agensi anti-rasuah itu ‘digunakan’ setiap kali berlaku pertukaran kerajaan.
Sebelum ini, terdapat gesaan supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen untuk memastikan kekal bebas.
DATUK Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mempersoalkan langkah kerajaan yang perlahan dan tidak bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan kemelut anggota keselamatan negara terutamanya isu kebajikan mereka melibatkan kuarters kediaman di kem-kem tentera di seluruh negara.
Menurut beliau, ketika faktor keselamatan dunia semakin mencabar kerajaan perlu mementingkan aspek keselesaan dan kebajikan mereka supaya dapat melahirkan satu suasana tentera yang boleh mencurahkan bakti dalam keadaan yang terbaik.
Namun katanya, beliau berpandangan kerajaan seolah-olah tidak bersungguh-sungguh menyelesaikan kemelut itu apabila tiada cadangan dan langkah yang kukuh untuk menaiktaraf kebajikan para tentera.
“Kita mampu beli ‘submarine’, kita mampu beli peralatan berbilion ringgit tapi masa saya jadi timbalan menteri pertahanan, saya masih ingat satu bilik sahaja.
“Di situlah anak tidur, mak tidur dan anak belajar. Bayangkan,” katanya dalam celahan sewaktu sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini, lapor MalaysiaNow.
Sebelum ini, beberapa ahli Parlimen pernah membangkitkan isu yang sama kepada Kementerian Pertahanan melibatkan isu kebajikan tentera dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Antaranya melibatkan isu kediaman yang semakin daif dan kadar pencen yang lapuk dan tidak munasabah dengan keperluan semasa.
Mengulas lanjut, Shafie mencadangkan supaya pihak menteri dan timbalan menteri pertahanan membuat lawatan dan tinjauan ke kem-kem tentera seperti di Sabah atau Langkawi bagi menyaksikan sendiri keadaan sebenar kediaman para tentera.
“Pergi buat lawatan di kawasan saya Semporna, Masya Allah bila saya lihat. Sebab itu masa saya jadi ketua menteri, saya beri peruntukan untuk bantu mereka.”
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari meminta ahli-ahli Parlimen supaya merujuk kepada Kertas Putih Pertahanan untuk lebih memahami Dasar Pertahanan Negara (DPN) yang turut menekankan isu kebajikan sosial warga pertahanan.
Katanya, terdapat lapan perkara diletakkan dalam laporan lengkap itu termasuk hala tuju dan masa depan kementerian, keselamatan dan kedaulatan negara.
“Sebab itu dalam Perkara 5 Kertas Putih Pertahanan itu ialah tentang warga pertahanan.
“Dan saya yakin bahawa kita di Kementerian Pertahanan sepanjang saya duduk beberapa bulan ini di kementerian dalam mesyuarat post Kabinet tak pernah terlepas dalam membicarakan persoalan tentang warga pertahanan itu sendiri,” katanya.
POLIS merampas 3,000 biji pil kuda bernilai RM45,250 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Gertak Datuk Gunong, Bachok, semalam.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, dalam serbuan pada pukul 1.30 petang itu, tiga lelaki berusia 18 hingga 31 tahun turut ditahan.
Menurutnya, serbuan dilakukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) itu menemukan 3,000 biji pil kuda dalam sebuah bungkusan.
“Ujian saringan awal urin terhadap dua daripada tiga suspek didapati positif dadah jenis morfin. Semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini.
“Polis turut menyita wang tunai dan dua buah kenderaan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM55,000,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati,” katanya, lapor Sinar Harian.
JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas susu tepung, suplemen makanan dan kosmetik bernilai lebih RM400,000 selepas melakukan serbuan di serbuan premis di kedai di Jalan Alsagoff, Pontian, pada 17 Januari lalu.
Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, serbuan dilakukan sepasukan Bahagian Penguatkuasaan Kastam Marin, Sungai Pulai pada pukul 12.30 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan dalam premis tersebut menemukan sejumlah dagangan susu tepung, suplemen makanan dan kosmetik pelbagai jenama disyaki barang tidak berkastam yang disimpan dalam premis berkenaan.
“Anggaran keseluruhan nilai barang yang dirampas sebanyak RM403,867 dan anggaran jumlah duti serta cukai yang terlibat adalah sebanyak RM67,372.
Sazali menunjukkan susu tepung, suplemen makanan dan kosmetik yang dirampas dalam serbuan di Pontian, selepas sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan JKDM Sungai Pulai, Iskandar Puteri, hari ini
“Seorang lelaki warganegara tempatan dan empat wanita terdiri daripada dua wanita tempatan serta dua wanita warga asing ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan JKDM Sungai Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri, hari ini.
Beliau berkata, modus operandi penyeludupan mereka dengan menjadikan premis pemborong sebagai tempat penyimpanan dagangan susu tepung, suplemen dan kosmetik.
Jelasnya, barang dagangan berkenaan dipercayai akan diedar ke pasaran tempatan dengan cara menjualnya secara dalam talian.
Sementara itu, beliau berkata, JKDM Johor melakukan serbuan di sebuah premis yang dijadikan tempat penyimpanan dan penjualan minuman keras di Kawasan Perindustrian SME Indahpura, Kulai, pada pukul 11.20 pagi, 1 Januari lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan dalam premis tersebut, pihaknya menemukan 10,815 tin dan botol minuman keras bersamaan 4,458.48 liter pelbagai jenama.
Susu tepung, suplemen makanan dan kosmetik yang dirampas dalam serbuan di Pontian
Anggaran dagangan barang dirampas itu katanya, bernilai RM17,800 manakala jumlah duti dan cukai terlibat RM66,300.
“Tiga lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan, dua warga asing dan seorang wanita warga tempatan telah ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.
Sazali berkata, suspek kedua-dua bagi kes berkenaan berusia 25 sehingga 45 tahun dan merupakan pekerja serta penyelia.
Katanya, kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
CUBAAN seorang penuntut universiti menyeludup 1 kilogram ganja menggunakan perkhidmatan kurier dari Thailand gagal selepas berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor pada 9 Februari lalu.
Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, penuntut lelaki berusia 21 tahun itu ditahan selepas pihaknya membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang pada pukul 12.15 tengah hari.
“Serbuan dan sitaan satu bungkusan kotak mengandungi ganja oleh Unit Narkotik JKDM Johor itu dibuat hasil maklumat dan risikan dijalankan Unit Mel dan Kurier JKDM Johor Bahru.
“Siasatan awal mendapati ganja tersebut diimport masuk ke Malaysia melalui perkhidmatan syarikat penghantaran dari Thailand di mana pengirim telah membuat pengikraran palsu sebagai laci plastik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan JKDM Sungai Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri, hari ini.
Sazali berkata, hasil pemeriksaan rapi ke atas bungkusan kotak yang dihantar oleh wakil syarikat penghantaran berkenaan mendapati anggaran keseluruhan nilai barang kes yang dirampas adalah RM2,502.
Katanya, siasatan awal tidak menolak kemungkinan ganja tersebut untuk kegunaan sendiri namun pihaknya masih menyiasat sama ada bahan terlarang itu turut diedarkan bagi pasaran tempatan.
Jelasnya, ujian air kencing mendapati suspek juga positif dadah jenis ganja dan pihak JKDM sedang mengesan abang suspek yang juga penuntut universiti berusia 24 tahun bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau berkata, trend pembelian bahan terlarang seperti dadah dilihat semakin menunjukkan peningkatan apabila kaedah penghantaran itu dikesan banyak digunakan dalam penyeludupan dadah.
“Ini kerana kaedah itu sukar dikesan pihak berkuasa kerana sesiapa pun mempunyai akses untuk mendapatkan bekalan tersebut sekiranya tahu ‘website’ yang menjualnya,” ujar beliau.
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan akan terus mempertahankan jawatan yang disandangnya dalam pemilihan parti bulan depan.
Menurut Mahdzir, beliau ingin terus memberi sumbangan kepada parti khususnya bagi membantu kepimpinan tertinggi menempuhi keadaan politik yang mencabar pada masa ini.
“Suka cita saya umumkan akan menawarkan diri sekali lagi untuk bertanding dan mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO.
“Ketika ini UMNO berada dalam situasi yang amat mencabar dan saya ambil pendirian untuk meneruskan perjuangan dan khidmat bakti saya kepada parti ini.
“Saya menawarkan diri bersama-sama dengan saf kepimpinan untuk membantu kepimpinan tertinggi presiden UMNO (Ahmad Zahid Hamidi) dan Timbalan Presiden UMNO (Mohamad Hasan),” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Malaysiakini.
Dalam pemilihan kali ini, Mahdzir yang meruakan bekas menteri pembangunan luar bandar dan memegang jawatan itu sejak 2018 menjelaskan akan bergerak secara sendirian tanpa menyertai mana-mana kem.
Namun pada Pilihan Raya Umum Ke-15, beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap yang dipegangnya sejak 2013 selepas tewas di tangan Nurul Amin dari PN dengan perbezaan 10,959 undi.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, beliau membawa gagasan kebersamaan dalam pemilihan UMNO kali ini bagi memulihkan semula parti.
“Kebersamaan itu penting, disiplin juga kena ada. Jadi, kebersamaan dan disiplin dalam parti penting untuk kita bawa. Perbezaan pendapat boleh dinyatakan tetapi apabila keputusan dibuat parti, kita akur,” katanya.
Katanya menambah, beliau telah menyerahkan borang pencalonan kepada sekretariat pemilihan di ibu pejabat UMNO hari ini.
PERDANA Menteri berkata, 71 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) aktif yang berumur 55 tahun ke bawah tidak mempunyai wang mencukupi untuk bersara di atas paras kemiskinan negara.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini susulan empat pengeluaran khas KWSP semasa wabak Covid-19 menular.
Menteri Kewangan itu berkata, bilangan ahli aktif yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada usia 55 tahun) menurun daripada 36 peratus pada tahun 2020 kepada 29 peratus pada akhir tahun 2022.
“Situasi ini secara langsung menunjukkan bahawa 71 peratus, atau lebih dua pertiga daripada ahli aktif mencarum berumur 55 tahun dan ke bawah berada dalam situasi yang serius di mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.
“KWSP menganggarkan ahli perlu bekerja antara 4 sehingga 6 tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan semasa pandemik,” katanya di Dewan Rakyat, lapor Malaysiakini.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Amirudin Shari (PH-Gombak) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian mengenai pengeluaran awal KWSP dan rancangan kerajaan untuk membantu pencarum membina semula simpanan mereka.
Anwar berkata sehingga 31 Dis 2022 sebanyak 6.7 peratus pencarum atau bersamaan 51 peratus daripada jumlah keseluruhan mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan KWSP
Justeru katanya, pengeluaran tambahan tidak berjadual akan menyebabkan lebih banyak masalah kepada pencarum dan akan menjejaskan pendapatan KWSP.
Menurutnya, empat pengeluaran khas KWSP sejak 2020, menyaksikan sebanyak RM145 bilion simpanan telah dikeluarkan.
“Ini menyebabkan kekangan bagi penyertaan ke dalam peluang-peluang pelaburan baru dan akan memberikan kesan secara langsung dari segi kehilangan potensi pulangan jangka masa panjang yang turut menjejaskan peluang bagi menjana pendapatan untuk tujuan pembayaran dividen kepada ahli pada masa hadapan,” katanya.
Menjawab soalan Hajah Salamiah Mohd. Nor (PN-Temerloh), Anwar berkata skim Bayaran Caruman Sukarela KWSP, yang diperkenalkan pada Julai 2022 mendapat sambutan menggalakkan.
Sehingga 31 Jan, katanya, seramai 315,702 ahli menyertai skim itu dengan menyumbang sebanyak RM527.7 juta.
Anwar turut menggalakkan mereka yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyertai skim i-Saraan, yang ditetapkan kerajaan sebanyak 15 peratus atau sehingga RM250 setahun.
Skim Bayaran Caruman Sukarela dan skim i-Saraan dihadkan pada RM60,000 setahun.
Anwar berkata, ahli KWSP juga boleh menambah akaun KWSP pasangan, ibu bapa atau anak mereka sehingga RM60,000 setahun.
Bagi ketua isi rumah atau pasangan yang berada dalam pangkalan data eKasih, mereka boleh menyertai skim i-Suri di mana kerajaan akan menyediakan intensif sehingga RM480 setahun.
SEORANG pemimpin DAP memuji keputusan Datuk Wan Saiful Wan Jan meletak jawatannya selaku Ketua Penerangan Bersatu, semalam dan menyeru semua pemimpin politik yang mempunyai kes mahkamah melakukan perkara serupa.
Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau yang dikenali lantang bersuara itu berkata, peletakan jawatan Ahli Parlimen Tasik Gelugor berkenaan tanpa paksaan harus menjadi contoh kepada ahli politik Malaysia daripada semua parti.
“Ia suatu keputusan bertanggungjawab yang dibuat oleh Wan Saiful bukan sahaja kepada Bersatu, tetapi untuk orang lain yang mahu memulakan kebertanggungjawaban individu baharu sebagai seorang tokoh masyarakat.
“Terus terang, PH (Pakatan Harapan) juga mempunyai segelintir pemimpin ‘kluster mahkamah’ ini juga. Mereka harus mengikuti teladan Wan Saiful dan berundur daripada jawatan mereka,” kata Dr Boo kepada Malay Mail, semalam.
Bekas ketua DAP Johor dan Ketua Pembangkang negeri itu mengulas tindakan Wan Saiful yang meminta Bersatu membenarkannya berundur sebagai ketua penerangan parti itu berikutan pertuduhan rasuah ke atasnya kelmarin.
Dr Boo berkata, walaupun Wan Saiful berasal dari parti politik berbeza, beliau menghargai tanggungjawabnya dan percaya ia perlu dicontohi oleh semua ahli politik.
“Saya tidak pernah bertemu Wan Saiful secara peribadi, tetapi pernah membaca artikelnya semasa beliau bersama Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) sebelum 2018.
“Saya menganggap beliau sebagai seorang intelektual yang berbakat di mana beliau melakukan dengan baik sebagai penyelidik sebelum beliau memasuki politik,” katanya.
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengesahkan peletakan jawatan Wan Saiful sebagai ketua penerangan parti mulai berkuatkuasa serta merta.
Bagaimanapun, tegas Muhyiddin, keputusan itu bukanlah satu pengakuan bahawa Wan Saiful bersalah.
Kelmarin, ahli politik berusia 47 tahun itu didakwa atas dua pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, berhubung program Jana Wibawa kerajaan pada 2022.
SEBANYAK 1.8 tan metrik dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM64.8 juta dirampas dalam pemeriksaan bersepadu dijalankan di sekitar Jalan Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis Ahad lalu.
Rampasan tersebut yang merupakan terbesar di Malaysia untuk tahun ini dibuat dalam pemeriksaan dijalankan kira-kira pukul 4 pagi dengan pihak polis turut menahan lima suspek membabitkan empat lelaki dan seorang wanita.
Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, mereka yang ditahan berusia antara 29 hingga 49 tahun.
“Salah seorang suspek turut cuba menawarkan wang sogokan berjumlah antara RM200,000 kepada sepasukan anggota polis yang terlibat dalam operasi tersebut sebagai habuan bagi menutup kes itu.
“Kegiatan haram itu berjaya dikesan setelah pihak polis memeriksa sebuah lori satu tan yang sedang ditunda sebuah lori lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar.
Tambahnya, taktik licik itu bagaimanapun gagal mengelirukan pihak berkuasa yang terus memeriksa lori berkenaan.
“Pemeriksaan dijalankan menemukan dadah jenis syabu seberat 1.8 tan dianggarkan bernilai RM64.8 juta,” katanya.
Tambahnya, kesemua pegawai dan anggota polis terlibat menolak wang sogokan ditawarkan seorang suspek sebanyak RM200,000 bagi menutup kes tersebut.
“Wang itu dirampas untuk tindakan di bawah langkah pencegahan rasuah,” katanya.
Menurutnya, ujian urin dijalankan mendapati dua individu ditahan positif dadah jenis methamphetamine.
Selain itu, polis turut menyita pelbagai aset lain milik suspek bernilai RM406,603.65 membabitkan tiga buah kenderaan, 31 barang kemas, seutas beg tangan mewah dan wang tunai.
“Kesemua dadah itu jika terlepas di pasaran mampu menampung keperluan kira-kira sembilan juta penagih. Dipercayai dadah tersebut untuk dipasarkan di semenanjung tanah air.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak kami tidak menolak kemungkinan tangkapan lain selepas ini,” katanya.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad lalu sehingga Sabtu ini.
SEORANG remaja lelaki bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret Jelebu hari ini atas dua pertuduhan merogol adik kandungnya sehingga melahirkan anak di Jempol minggu lalu.
Tertuduh berusia 15 tahun itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Norshazwani Ishak selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan adik kandungnya sendiri pada jam 11 malam hingga 12 tengah malam di antara 21 Jun hingga 30 Jun 2022 di sebuah kediaman di Jempol.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan sama pada waktu sama di antara 1 September 2022 hingga 10 September 2022, lapor Sinar Harian.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B ( 1) Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga serta dikenakan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.
Tertuduh juga dikehendaki tinggal berasingan dan dilarang menghubungi, mendekati mangsa dengan apa jua cara sekali pun.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Nizam Rafii manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi mengemukakan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM).
Mengikut fakta kes, adik kandung tertuduh berusia 14 tahun melahirkan bayi lelaki cukup sifat.
Ketika seorang pegawai perubatan bersama kakitangan klinik kesihatan datang ke rumah, remaja itu berada di atas katil di ruang tamu dan bayi berkenaan berada di dalam besen serta keadaan uri masih bersambung.
Pegawai berkenaan, kemudiannya memotong tali pusat bayi dan membawa ibu dan anak ke klinik kesihatan untuk rawatan sebelum dirujuk ke hospital.