Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘’Kelantan, Terengganu seperti dianaktirikan, kata Ahli Parlimen Bachok

    ‘’Kelantan, Terengganu seperti dianaktirikan, kata Ahli Parlimen Bachok

    BELANJAWAN 2023 tidak mencerminkan semangat Federalisme yang matang dalam pimpinan kerajaan pada hari ini, kata Ahli Parlimen Bachok Mohd. Syahir Che Sulaiman.

    Katanya, Kelantan dan Terengganu seperti dianaktirikan dengan pemberian wang ehsan.

    “Di samping pendirian terbaru Kerajaan Persekutuan berkenaan hak royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu yang dinafikan.

    “Malah agihan Perbelanjaan Pembangunan (DE) kepada negeri-negeri pembangkang tidak menunjukkan petanda yang positif,” katanya lapor Harakah Daily..

    Mohd Syahir yang juga pengkaji ekonomi turut mempersoalkan, sejauh mana Belanjawan 2023 boleh melonjakkan pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan, dan meringankan beban hidup rakyat.

    Beliau turut mempersoalkan, sama ada strategi yang diambil menepati sasaran serta inisiatif baharu yang diambil kerajaan mencukupi atau tidak.

    Kata beliau, apa yang penting adalah kualiti penyampaian dan keberkesanan segala bantuan dan projek yang diumumkan, diikuti proses pemantauan berterusan, dipandu oleh kecekapan dan integriti yang tinggi di pihak kerajaan, tanpa sebarang unsur pilih kasih dan ‘sabotaj ekonomi’ yang tidak melambangkan agenda perpaduan dan slogan madani.

    “Manakala akses dan kecaknaan rakyat terhadap segala bantuan kerajaan perlu dipertingkatkan, bagi memastikan Belanjawan 2023 dapat diagih secara saksama, dan dikongsi secara bersama.

    “Perlu diingatkan, matlamat utama sesebuah perancangan pembangunan adalah untuk memberi nilai tambah dan limpahan berganda bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan daya saing negara, seterusnya memastikan kemakmuran ekonomi dinikmati secara lebih adil dan saksama,” katanya.

    Selain itu katanya, pemulihan ekonomi perlu menjadi ‘batu lonjakan’ kepada pembaharuan ekonomi.

    Mohd. Syahir berkata,  inilah peluang keemasan untuk penyusunan semula struktur ekonomi negara, khususnya bagi menangani permasalahan kemiskinan, pendidikan dan kemahiran tempatan, kelestarian alam, sekuriti makanan, keupayaan globalisasi, dan ketinggian integriti.

    “Adalah amat mendukacitakan sekiranya kita mampu memulihkan semula ekonomi negara, namun hanya kembali ke tahap sosio-ekonomi sebelumnya, tanpa membawa sebarang ‘perubahan struktural’ dan ‘budaya ekonomi baharu’ bagi mendepani cabaran mendatang yang pastinya lebih mencabar,” katanya

  • Lupus hutang peneroka isu rakyat bukan politik

    Lupus hutang peneroka isu rakyat bukan politik

    Oleh DATUK DR. MARZUKI MOHAMAD 

    KALAU hutang tu dah dilupus, tak payah lah dihentikan. Ini bukan isu politik. Ini isu rakyat.

    Bagaimana rakyat nak percaya kepada kerajaan kalau keputusan yang beri manfaat kepada rakyat seperti ini pun nak diubah.

    Tambahan pula, bagi orang Islam hutang ni penting. Bila meninggal dunia, waris biasanya bertanya sesiapa yang si mati berhutang dengannya boleh lah tuntut hutang dengan waris.

    Bagi pemiutang yang baik hati dia kata tak pe lah. Saya halalkan saja hutang si mati. Jadi terlepas lah beban hutangnya. 

    Inilah yang Tan Sri Muhyiddin beritahu saya ketika beliau buat keputusan untuk hapuskan hutang peneroka FELDA. 

    Bagi beliau ini satu keputusan yang besar kerana sebahagian daripada peneroka yang terlibat telah meninggal dunia. 

    Datang kerajaan Madani, tiba-tiba kena bayar balik. Aduhai.

    Penulis ada bekas Setiausaha Sulit Kanan PM-8

  • Belanjawan tak mampu selesai masalah tekanan kos sara hidup penjawat awam – CEUPACS

    Belanjawan tak mampu selesai masalah tekanan kos sara hidup penjawat awam – CEUPACS

    CUEPACS  menyifatkan Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup yang dihadapi oleh penjawat awam.

    Presidennya Datuk Adnan Mat dalam satu kenyataan berkata tiada sebarang komitmen diberikan oleh kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam supaya lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup.

    “Faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak pada ketika ini kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang naik dengan begitu mendadak terutama membabitkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan.

    “Malah, inisiatif kerajaan memberikan pengurangan cukai pendapatan individu sebenarnya tidak memberi kesan yang besar kepada pendapatan rakyat terutama penjawat awam,” katanya.

    Adnan turut menegaskan lebihan pendapatan boleh guna hingga RM1,300 melalui pengurangan cukai tidak menggambarkan situasi sebenar rakyat.

    “Penjawat awam ketika ini mengharapkan sebuah sistem saraan yang baharu memandangkan sistem saraan perkhidmatan awam yang digunapakai ketika ini sudah lama tidak dikaji iaitu sejak November 2002. Ia juga tidak sesuai lagi dengan persekitaran ekonomi semasa,” katanya.

    Beliau berkata, seperti yang dinyatakan sebelum ini, kunci kepada negara untuk keluar daripada kancah kos sara hidup ini ialah dengan kaedah meningkatkan gaji dan upah pekerja di samping melaksanakan langkah mengawal kenaikan kos sara hidup.

    “Begitu juga dalam hal pemilikan rumah mampu milik dalam kalangan penjawat awam juga tidak diberi tumpuan dalam belanjawan ini. Kerajaan sewajarnya memperkenalkan semula program perumahan mampu milik untuk penjawat awam seperti sebelum ini, ‘’katanya.

    Sehubungan itu Adnan menegaskan, konsep rumah mampu milik seperti Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) yang dikhususkan kepada anggota ATM perlu diperluaskan kepada semua penjawat awam.

    “Penjawat awam tidak meminta perumahan percuma kerana kami sanggup membelinya tetapi harga yang ditawarkan oleh pemaju ketika ini sangat tidak masuk akal dengan kadar gaji semasa penjawat awam,” katanya.

    Adnan berkata, CUEPACS berharap, kerajaan terbuka untuk memperhalusi semula permintaan penjawat awam selama ini terutama dalam membabitkan kos sara hidup.

    ‘’Sebelum ini sudah beberapa kali kerajaan mahu mengkaji sistem saraan perkhidmatan awam namun hingga kini tiada apa-apa perkembangan atau khabar gembira yang diterima.

    “Adalah besar harapan penjawat awam sekiranya kerajaan dapat mempertimbangkan pandangan dan keluhan kumpulan yang selama ini memberi sokongan yang penuh kepada agenda serta aspirasi kerajaan,” katanya.

    Mengulas mengenai Belanjawan 2023 Adnan berkata,  CUEPACS yakin warga penjawat awam akan memberikan komitmen yang sepenuhnya bagi menjayakan aspirasi yang dibawakan oleh kerajaan supaya  manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

    “CUEPACS juga mengucapkan ribuan terima kasih atas inisiatif kerajaan untuk meneruskan kebenaran penebusan awal Gantian Cuti Rehat sehingga 50 peratus iaitu maksimum 90 hari.

    “Begitu juga pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak. Inisiatif ini adalah perkara yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini dan kekal diteruskan oleh kerajaan semasa,” katanya.

  • Hanya kerana sekeping roti, banduan maut dipukul rakan satu sel

    Hanya kerana sekeping roti, banduan maut dipukul rakan satu sel

    HANYA kerana sekeping roti seorang banduanwarga  yang bertarung nyawa sejak seminggu lalu selepas dipercayai dipukul rakan sebiliknya, disahkan meninggal dunia, di Hospital Melaka, petang semalam.

    Berita Harian melaporkan lelaki berusia 47 tahun disyaki terbabit pergaduhan dengan rakan sebiliknya berusia 33 tahun selepas dikatakan mengambil roti milik lelaki itu.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu berlaku di Penjara Sungai Udang, kira-kira jam 2 petang, pada 17 Februari lalu, dan disedari oleh warden ketika melakukan kawalan penjara, kira-kira 15 minit kemudian.

    “Daripada siasatan dijalankan, kejadian didakwa berpunca apabila suspek yang baharu selesai sembahyang didatangi mangsa dan dia kemudian bertanya adakah lelaki itu ada mengambil bahagian roti miliknya sebelum bertindak memukul mangsa kerana tidak berpuas hati warga asing terbabit meninggikan suara kerana menafikan hal itu.

    “Punca kejadian dipercayai kerana mangsa dikatakan mengambil makanan yang dibekalkan oleh pihak penjara kepada suspek, menyebabkan dia tidak dapat makan. Suspek didakwa turut bertindak memijak bahagia peha mangsa beberapa kali selepas dia terjatuh selain menendang ke arah dada sebelum menghumban ke kawasan bilik air,” katanya.

    Beliau berkata, ketika kejadian pintu bilik berada dalam keadaan terbuka dan ketika itu hanya terdapat mangsa serta suspek sahaja kerana banduan yang lain sedang menjalani aktiviti riadah bebas.

    “Mangsa dan suspek adalah rakan sebilik. Mangsa kini sedang menjalani hukuman dibawah Akta Imigresen manakala suspek pula menjalani hukuman selama 13 tahun dibawah Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan,” katanya.

    Christopher berkata, mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dibawa ke klinik penjara (RSD) sebelum dihantar ke Hospital Melaka bagi rawatan lanjut.

    “Doktor yang merawatnya mengesahkan mangsa mengalami kecederaan pendarahan dalam kepala, benjol di bahagian kiri kepala, luka mata dan telinga kiri.

    “Dia kemudian disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.28 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Kereta langgar kerbau hingga melambung, wanita parah

    Kereta langgar kerbau hingga melambung, wanita parah

    LIMA beranak berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka berlanggar dengan seekor kerbau dalam kejadian di KM 2.6 Jalan Bypass Pasir Puteh ke Tok Bali, malam tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu mengakibatkan seorang wanita cedera parah manakala suami dan tiga anaknya cedera ringan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria, ketika kejadian wanita berusia 27 tahun itu berada di bahagian hadapan penumpang manakala kereta dipandu suami mangsa serta tiga anak mangsa berada di bahagian belakang.

    Katanya, apabila sampai di lokasi kejadian, kereta mereka dipercayai terlanggar kerbau yang berada di laluan Tok Bali.

    “Pelanggaran itu menyebabkan haiwan itu melambung dan menghempap bumbung kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

    Difahamkan wanita berkenaan mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

    Mengulas lanjut, Zaizul berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Kita masih jalankan siasatan lanjut berkaitan kejadian,” katanya.

    Bagi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik,Sarjan Mohd Jailani Mokhtar di talian 019-9899469.

  • Kerajaan tambah RM500 simpanan ahli KWSP kurang RM10,000

    Kerajaan tambah RM500 simpanan ahli KWSP kurang RM10,000

    KERAJAAN bersetuju untuk menambah sebanyak RM500 dalam caruman simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan Akaun 1 pencarum yang mempunyai simpanan kurang RM10,000.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu akan diberikan kepada ahli yang berumur antara 40 hingga 54 tahun.

    “Program ini akan memberi manfaat kepada hampir 2 juta ahli KWSP melibatkan peruntukan hampir 1 bilion ringgit,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

    Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan beriltizam untuk membantu rakyat membina semula simpanan persaraan mereka bagi memastikan simpanan yang ada kelak mencukupi untuk membiayai hari persaraan.

    Katanya ini kerana, setelah negara dibelenggu dengan musibah pandemik COVID-19, rakyat terpaksa beberapa kali mengorbankan simpanan hari tua mereka bagi menampung keperluan hidup sewaktu pandemik.

    “Kini setelah rakyat beransur-ansur bangkit untuk membina semula kehidupan, kebanyakan rakyat menggunakan pendapatan yang diterima untuk menyera kehidupan sementara simpanan hari tua masih rendah.

    “Kerajaan berharap rakyat yang mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi akan terus menyumbang supaya semua lapisan pencarum mendapat manfaat,” tambahnya.

  • Golongan M40 diberi pengurangan cukai individu dua peratus

    Golongan M40 diberi pengurangan cukai individu dua peratus

    DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, bermula tahun ini, kerajaan bersetuju menambah pendapatan boleh guna golongan pertengahan M40 melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu sebanyak dua peratus.

    Menurut Perdana Menteri, pengurangan cukai itu membabitkan banjaran antara lebih RM35,000 hingga RM100,000.

    “Selama ini, golongan B40 sering diberikan pelbagai bentuk bantuan sementara kumpulan pertengahan, M40 menunjukkan kesabaran mereka meski terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang mencengkam.

    “Pengurangan ini (kadar cukai) dijangka dapat memberikan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata, sementara M40 mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai, kerajaan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi antara 0.5 sehingga 2 peratus membabitkan lebih RM100, 000 hingga RM1 juta.

    Namun katanya, kurang daripada 150,000 pembayar cukai akan dikenakan cukai yang lebih tinggi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menambah, menerusi pendekatan itu, cukai bersih kerajaan berkurang sebanyak RM900 juta yang dimanfaatkan sepenuhnya rakyat, khususnya golongan M40.

  • Cukai terhadap cecair rokok elektronik – Belanjawan 2023

    Cukai terhadap cecair rokok elektronik – Belanjawan 2023

    DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mengenakan cukai terhadap produk cecair bagi rokok elektronik yang mengandungi nikotin.

    Perdana Menteri berkata, penggunaan rokok elektronik yang mengandungi nikotin telah dijual secara berleluasa meskipun ia masih tidak sah disisi undang-undang.

    “Walaupun rokok elektronik atau vape belum sah disisi undang-undang tetapi hakikatnya ia dijual secara berleluasa dan dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion.

    “Alangkah baiknya sekiranya dikawal selia dan dikenakan cukai supaya tidak menggalakkan penggunaan vape,” katanya pada sesi pembentangan Bajet 2023 di Parlimen, hari ini.

    Anwar menjelaskan, pihaknya menyokong penuh pelaksanaan Generational End Game (GEG) selain bersetuju untuk menyalurkan hasil cukai berkenaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Langkah itu katanya bagi meningkatkan mutu kualiti perkhidmatan kesihatan dan sokongan terhadap kempen anti rokok dan sebagainya dengan lebih berkesan.

  • Paranoid dijangkiti Covid-19, dua beranak kurung diri selama 3 tahun

    Paranoid dijangkiti Covid-19, dua beranak kurung diri selama 3 tahun

    TERLALU paranoid dijangkiti COVID-19, seorang wanita di India mengurung diri dan anak lelakinya di rumah mereka di Chakkarpur, Gurugram dekat New Delhi, selama tiga tahun.

    Portal NDTV dalam laporan yang di petik Berita Harian melaporkan, kisah itu terbongkar apabila suami wanita berkenaan, Sujan Majhi, yang juga jurutera di sebuah syarikat swasta, memaklumkan perkara itu kepada polis bertugas di pos Chakkarpur.

    Sepasukan polis, pegawai kesihatan dan anggota jabatan kebajikan kanak-kanak kemudian tiba di kediaman berkenaan atas permintaan lelaki itu, baru-baru ini.

    Mereka memecah pintu utama rumah itu sebelum menyelamatkan wanita dikenali sebagai Munmun Majhi dan anak lelakinya yang berusia 10 tahun.

    Imej sempat dirakam menunjukkan timbunan pakaian, rambut, sampah dan barangan runcit berselerak di rumah berkenaan.

    Difahamkan, wanita terbabit turut memotong sendiri rambutnya dan anak di rumah itu.

    Sementara itu, dia memasak menggunakan dapur elektrik dan bukannya dapur gas.

    Sampah di rumah itu tidak dibuang selama tiga tahun dan difahamkan, selama ini, tiada sesiapa yang berkunjung ke situ.

    Kanak-kanak itu pernah membuat lukisan di dinding rumah dan hanya belajar dengan menggunakan pensel.

    Apa yang mengejutkan, anak lelaki wanita itu dikatakan tidak pernah melihat matahari, sejak tiga tahun lalu.

    Difahamkan, selama tempoh sama, jiran sekeliling tidak tahu bahawa dua beranak itu berkurung di dalam rumah.

    Seorang pegawai polis berkata, wanita itu berada dalam keadaan panik akibat COVID-19 dan percaya anaknya akan mati, jika keluar dari rumah.

    Sepanjang tiga tahun berkurung dengan anaknya, wanita itu tidak membenarkan suaminya masuk ke dalam rumah.

    Suaminya dikatakan keluar dari rumah untuk ke pejabat pada 2020 selepas kerajaan menarik balik sekatan pergerakan (lockdown) kali pertama. Sejak itu, lelaki itu tidak dibenarkan memasuki kediaman berkenaan.

    Satu-satunya cara Majhi kekal berhubung dengan keluarganya adalah melalui panggilan video.

    Bagaimanapun, dia tetap membayar sewa bulanan rumah, menjelaskan bil elektrik, mendepositkan yuran sekolah anaknya, membeli barangan runcit dan sayuran, di samping meninggalkan beg barangan keperluan di luar pintu utama rumah itu.

    Selepas diselamatkan, wanita dan anak lelakinya itu dikejarkan ke hospital awam.

  • Guru didakwa laku amang seksual terhadap murid 11 tahun

    Guru didakwa laku amang seksual terhadap murid 11 tahun

    SEORANG guru di sebuah pusat pendidikan Islam didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang murid perempuan berusia 11 tahun.

    Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Zakri Amirsah, 29, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, menurut Berita Harian.

    Dia yang mula mengajar di sekolah terbabit pada akhir 2021 didakwa melakukan perbuatan itu sejak Mac 2022 hingga Januari lalu ketika mengajar mangsa membaca Iqra dalam bilik guru muslimin.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, sesi mengaji sebelum ini diadakan setiap Sabtu dan Ahad pada waktu siang di surau berkenaan, namun tertuduh menukar waktu itu sekitar Mac 2022 kepada malam Isnin dan Selasa.

    Mangsa menghadiri kelas mengaji berkenaan bersama seorang adik lelakinya.

    Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Ia dibaca bersama Seksyen 16(c) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun dan rotan tidak kurang dua sebatan.

    Terdahulu, mahkamah membenarkan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin.

    Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus dan Najiha Farhana Che Amat mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali.

    Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 24 Mac depan.