Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bekas calon PRU-15 didakwa terlibat penipuan hartanah

    Bekas calon PRU-15 didakwa terlibat penipuan hartanah

    SEKUMPULAN guru menjadi mangsa penipuan seorang wanita yang juga merupakan bekas calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) membabitkan tanah dan rumah di sekitar Taiping berjumlah ratusan ribu ringgit.

    Bermodalkan sumbangan makanan dan wang tunai, wanita tersebut berjaya memancing guru-guru yang berhasrat membeli rumah dan tanah untuk hari tua mereka.

    Seorang mangsa yang bertugas di sebuah sekolah di negeri itu berkata, wanita itu yang pernah menjadi Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolahnya menawarkan lot tanah kepadanya yang kebetulan sedang mencari sebidang tanah.

    “Beliau meyakinkan saya memang ada sebidang tanah di Asam Kumbang dan menghantar gambar geran kepada saya. Katanya, itu tanah yang beliau boleh dapatkan atas kuota politik,” kata mangsa itu kepada MalaysiaNow.

    Tambahnya, wanita yang juga menggunakan gelaran “Datuk Dr” itu mendakwa tanah berkenaan merupakan milik Jabatan Kastam Diraja yang ingin dilelong kepada orang awam.

    Disebabkan keyakinannya kepada wanita itu, guru tersebut mula membuat pembayaran pada 2021.

    Katanya, dua lagi guru yang dikenalinya turut terjerumus dalam pembelian itu yang turut membabitkan rumah kediaman selain tanah lot.

    Ketiga-tiga mereka menghabiskan hampir RM400,000 untuk urusan pembelian dengan wanita tersebut.

    “Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana dia sering membuat sumbangan kepada sekolah.

    “Lagipun, dia selalu menyebut bahawa dia mengenali tokoh-tokoh politik besar seperti Ketua Umno Bahagian Taiping, Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.”

    MalaysiaNow tidak mendedahkan identiti wanita berkenaan sementara menunggu maklum balas daripadanya.

    Katanya, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, bekas calon itu turut mengadakan majlis bersama Saarani dan menjemput wakil daripada sekolahnya.

    “Pada majlis itu, menteri besar memuji beliau kerana rajin membantu orang ramai tanpa mengharapkan duit daripada kerajaan.

    “Rupanya duit sumbangan yang kononnya daripada dia sendiri selama ini sebenarnya duit mangsa-mangsa penipuan seperti kami,” tambahnya.

    Tembelang wanita itu mula dihidu mangsa apabila mereka tidak menerima kunci, geran mahupun sebarang dokumen berkaitan pembelian hartanah mereka.

    Menurut mangsa, wanita tersebut mula mengelak untuk berjumpa serta memberi alasan perlu menjalani rawatan kemoterapi untuk sakit kanser yang dihidapinya.

    Penipuan wanita itu terdedah apabila mangsa meninjau keadaan rumah yang dikatakan ingin dijual kepadanya.

    “Saya lihat rumah itu ada orang, jadi saya bertanyakan status pemilikan rumah.

    “Rupanya ia dimiliki oleh ibu mertua rakan sekerja saya dan mereka tidak pernah tahu mengenai urusan penjualan rumah itu kepada saya.”

    Wanita tersebut juga licik dalam modus operandi apabila meminta mangsa membuat pembayaran menggunakan mesin deposit tunai.

    Akaun bank yang diberikan kepada mangsa juga berbeza-beza, daripada akaun anak sehingga akaun pembantu peribadi.

    Seorang lagi guru di sekolah lain turut terkena apabila ditawarkan sebidang tanah pada harga kira-kira RM5,000.

    Dia kemudian memujuk guru tersebut untuk menambah satu lot lagi.

    “Saya membayar kira-kira RM10,000 untuk dua lot tanah. Dia kemudian berkata geran akan siap dalam masa dua bulan.

    “Dari situ saya tahu yang saya sudah terkena. Kerana urusan geran mengambil masa enam ke tujuh bulan berdasarkan pengalaman sebelum ini.

    “Dia ada tawarkan lebih banyak lot, namun saya menolak,” katanya.

    Guru itu juga tidak mengesyaki apa-apa kerana percaya kepada ketokohan wanita berkenaan.

    Sementara itu, peguam yang mengendalikan kes ini, Mohammad Na’im Samsul Hairi berkata pihaknya sedang menilai semua kes penipuan itu.

    “Memang ada tindakan yang boleh dibawa ke mahkamah terhadap wanita itu.

    “Mangsa juga ramai dan kes ini boleh dikatakan ada prima facie dan locus standi,” katanya lapor Malaysianow.

  • Pelupusan hutang peneroka RM8.3 bilion selesai – Pengerusi Felda

    Pelupusan hutang peneroka RM8.3 bilion selesai – Pengerusi Felda

    PELUPUSAN sebahagian hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion daripada keseluruhan RM12.1 bilion sebagaimana inisiatif dimulakan pentadbiran bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai pada 2021.

    Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh berkata, keputusan itu tidak pernah dibatalkan mana-mana kerajaan, termasuk kerajaan perpaduan dan semua peneroka yang menandatangani perjanjian menikmati manfaat dengan bayaran pinjaman jauh lebih rendah serta mampu dibayar.

    “Buat masa ini, Felda tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang kali kedua memandangkan pelupusan yang dilaksanakan pada 2021 memberi impak besar kepada aliran tunai Felda.

    “Bayaran kembali baki pinjaman akan diteruskan seperti perjanjian pelupusan hutang tersebut demi menjamin kelangsungan organisasi dan membolehkan Felda terus menjaga kebajikan warga peneroka,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

    Dalam pada itu, Idris berkata, kerajaan melalui Felda komited untuk terus membantu peneroka dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif meningkatkan pendapatan mereka serta memastikan hutang ditanggung tidak terus meningkat.

    “Komitmen ini terbukti apabila pada 2022, purata produktiviti ladang peneroka meningkat sehingga 19.43 tan per hektar setahun berbanding 17.29 tan per hektar setahun mewakili peningkatan lebih 12%.

    “Ini sekali gus dapat memberikan pulangan pendapatan lebih tinggi kepada peneroka Felda,” katanya.

    Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sedang menghentikan inisiatif dimulakan Muhyiddin dalam memansuhkan sebahagian pinjaman peneroka Felda.

    Beliau berkata, kutipan untuk bayaran balik pinjaman perlu diteruskan kerana merupakan sumber pendapatan Felda bagi memastikan kelestariannya dan kebajikan peneroka.

    Pada Julai 2021, Muhyiddin mengumumkan pentadbirannya bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion, tertakluk kepada syarat tertentu.

    Ia termasuk pinjaman untuk latihan penanaman semula (92,441 peneroka), baja (52,180 peneroka), saham FGV Holdings Bhd (38,043 peneroka) dan modal pembangunan (6,711 peneroka).

  • Wan Rosdy, Zambry sah tanding Naib Presiden UMNO

    Wan Rosdy, Zambry sah tanding Naib Presiden UMNO

    PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengesahkan akan bertanding jawatan naib presiden UMNO pada pemilihan parti itu.

    Mereka mengesahkan penyerahan borang pencalonan di ibu pejabat UMNO semalam menerusi hantaran di Facebook.

    Terdahulu, Bernama melaporkan bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mengesahkan sudah menghantar borang pencalonan untuk jawatan naib presiden UMNO.

    Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Johari Ghani pula antara muka baharu yang mengumumkan akan bersaing jawatan sama dalam pemilihan UMNO setakat ini.

    Jawatan naib presiden UMNO disandang bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekas menteri pembangunan luar bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

    Khaled dan Mahdzir mengumumkan akan mempertahankan jawatan itu, manakala Ismail belum menyatakan pendiriannya.

    Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad pula akan mempertahankan jawatan itu.

    Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong akan bertembung bekas ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang menyerahkan borang pencalonannya untuk kembali menerajui sayap itu pada 17 Feb lepas.

    Pemilihan bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan diadakan 11 Mac ini, manakala UMNO bahagian serta MKT pada 18 Mac nanti.

  • Polis Jakarta rampas syabu RM121 juta, tahan 6 lelaki

    Polis Jakarta rampas syabu RM121 juta, tahan 6 lelaki

    POLIS Jakarta Barat menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Malaysia selepas penahanan enam lelaki tempatan.

    Ketuanya Pasma Royce dalam satu kenyataan berkata, pihak polis berjaya merampas 227 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM121 juta dalam empat serbuan berasingan di Tangerang, Riau, Medan dan Aceh.

    Kesemua suspek disiasat di bawah Akta dadah berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

    Pasma berkata penahanan itu dilakukan selepas bukti ditemui dan rangkaian penghantaran terbongkar di kawasan Cengkareng, Jakarta Barat.

    Dadah yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari Malaysia menggunakan jalan laut.

    Sementara itu, di Malaysia, polis Perlis pada Khamis menggagalkan cubaan sindiket dadah menyeludup 1.8 tan syabu menggunakan lori tunda bagi menunda sebuah lagi lori yang membawa bahan terlarang itu. – BERNAMA

  • Sindiket dalang skim pelaburan palsu tumpas, 29 ditahan

    Sindiket dalang skim pelaburan palsu tumpas, 29 ditahan

    SATU sindiket penipuan pelaburan yang beroperasi di beberapa negeri tumpas berikutan penahanan 29 individu dalam serbuan secara berasingan, Selasa lalu.

    Kesemua suspek iaitu 19 lelaki dan 10 wanita berusia 24 hingga 38 tahun ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dalam serbuan secara berasingan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Johor.

    Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, polis merampas 75 unit telefon bimbit, wang tunai RM14,501, komputer tiba, kereta, pasport, jam tangan, kad pelajar, barangan kemas, buku cek, cop dan beberapa dokumen lain.

    Beliau berkata, sindiket itu adalah dalang di sebalik beberapa skim pelaburan disyaki palsu yang baru saja diwujudkan dan menawarkan pelaburan pada kadar pulangan yang tinggi.

    “Tawaran itu dibuat melalui pelbagai medium laman sosial dan skim pelaburan berkenaan dikenali Alpha Mineral Global, Asia Investment VIP (AIV Trading), Max Profit Guides Empire (Max Profit) dan GGX Revolution And Management (CGC),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Noorsiah berkata, semua sudah mendapat perintah tahanan reman antara satu hingga empat hari.

    “Polis menjangkakan jumlah mangsa yang terbabit dengan sindiket ini adalah kecil memandangkan skim pelaburan itu baru saja diwujudkan.

    “Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Noorsiah berkata, mana-mana individu yang mungkin menjadi mangsa sindiket itu diminta untuk tampil membuat laporan di balai polis berdekatan.

    “PDRM mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai sebarang skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

    “Dapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan menyertai skim yang meragukan,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Tun Mahathir jadi ahli parti PUTRA pula

    Tun Mahathir jadi ahli parti PUTRA pula

    TUN Dr Mahathir Mohamad  bersama 13 lagi bekas ahli Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) sah menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) hari ini.

    Perkara itu dimaklumkan oleh bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat PEJUANG, Armin Baniaz Pahamin di laman Facebook.

    Armin berkata Dr Mahathir mendaftar keahlian bagi meneruskan perjuangan politiknya bersama PUTRA.

    “Misi dan matlamat kita perlu jelas untuk menjayakan sesuatu perjuangan. Perjuangan utama ialah untuk penyatuan orang, parti dan pertubuhan Melayu.

    “Doakan semoga Allah permudahkan perjuangan kami. Hanya melalui penyatuan orang-orang Melayu dapat kita bersatu menyelesaikan masalah bangsa demi agama dan tanah air,” katanya.

    Sebelum ini, Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau menganggap jemputan untuk menyertai PUTRA sesuai dengan perjuangan dan prinsip politiknya iaitu membela nasib orang Melayu dan menolak amalan rasuah.

    Beliau juga berharap dapat memberi panduan kepada PUTRA dan meneruskan perjuangan serta mencapai matlamat untuk selamatkan kaum Melayu di negara ini.

  • Belanjawan 2023 indah khabar dari rupa

    Belanjawan 2023 indah khabar dari rupa

    Oleh WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL

    HAMBAR, dan mengecewakan! Itulah rumusan saya mendengar pembentangan daripada Menteri Kewangan tadi. Di sebalik bunga-bunga bahasa segala janji kononnya Belanjawan 2023 ini akan menghasilkan lonjakan ekonomi tidaklah seperti yang dicitrakan.

    Lebih menyedihkan amat-amat sedikit disinggung peranan kerajaan untuk membantu ekonomi Melayu dan Bumiputera: negeri-negeri majoriti Melayu dan Bumiputera di Semenanjung seperti Kedah, Kelantan, Terengganu tidak langsung diberi insentif dan peruntukan pembangunan yang dapat mengubah nasib rakyat di sana. Tiada projek pemangkin ekonomi yang mahu disebut walhal keutamaan dari segi keadilan ekonomi adalah di sana seperti yang dilaporkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

    Dendam politik juga belum surut: Peruntukan untuk semua ahli parlimen pembangkang dinafikan terus. Walhal kami mendapat mandat yang besar dan jelas daripada rakyat! Manifesto Pakatan Harapan jelas berjanji memberi peruntukan sama adil buat semua wakil rakyat. Nampaknya seperti janji PTPTN dan AUKU dalam manifesto – semua itu DUSTA belaka.

    Lebih malang, tiada belas ihsan untuk peneroka FELDA yang mana hutangnya telah Tan Sri Muhyiddin Yassin langsaikan tapi kini dibatalkan semula. Benda baik teruskan saja, mengapa dibuat begini? Adakah kerana majoriti pengundi FELDA memilih Perikatan Nasional tempoh hari?

    Lain pula nikmatnya untuk negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP: lapangan terbang dibesarkan tapi untuk Kedah, dibatalkan projek lapangan terbang untuk Kulim yang mampu mengangkat taraf sosio ekonomi dan industri orang Melayu di sana.

    Banyak lagi perkara tempang yang kami akan angkat dan bahaskan minggu hadapan. Bak kata pepatah: “the devils are in the details”!

    Oh lupa nak tanya: syarikat swasta mana nak bangunkan pelabuhan di Pulau Carey yang diumumkan tadi? Khabar angin bertiup kencang dari kalangan orang-orang pelabuhan: jangan harus digadaikan kedaulatan negara dalam perang proksi kuasa besar!

    Kami akan semak dan imbang nanti semua butiran yang tempang ini dalam perbahasan minggu hadapan.

    Penulis ialah Ketua Armada Bersatu

  • ‘’Subsidi mana yang sudah dikurangkan?- tanya Hishammuddin

    ‘’Subsidi mana yang sudah dikurangkan?- tanya Hishammuddin

    AHLI Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendakwa Kementerian Kewangan menurunkan peruntukan subsidi tahun ini.

    Katanya, angka itu menurun berbanding RM70 bilion seperti yang diunjurkan bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zarful Abdul Aziz, tahun lalu.

    “Subsidi sudah dikurangkan daripada RM70 bilion kepada RM64 bilion. Jadi, apa yang jadi tanda tanya sekarang. Subsidi mana yang sudah dikurangkan? Dan, harga apa yang akan meningkat kerana kekurangan subsidi berkenaan,” katanya lapor Berita Harian.

    Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini mengumumkan kerajaan menyediakan dana RM64 bilion tahun ini dalam bentuk subsidi, bantuan serta insentif.

    Beliau berkata, sejumlah besar dana itu untuk meminimum kos sara hidup melalui kawalan harga barang, bantuan kewangan, di samping bertujuan memberi perkhidmatan kepada rakyat.

    Sementara itu,  Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan gembira tumpuan terus diberikan kepada perumahan anggota tentera.

    “Saya harap apa yang sudah pun diperuntuk dalam belanjawan kali ini untuk perumahan dapat diselaraskan dengan ‘Blueprint’ (pelan induk) perumahan kita yang sudah pun dibentangkan dulu sehingga 2023,” katanya.

    Berkait selenggaraan dan perolehan aset keselamatan, beliau berkata, pengumuman pembinaan dan pembelian Kapal Misi Pesisir (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan diteruskan juga menggembirakan.

    “Ini menggembirakan saya kerana mahu menunggu projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan mengambil masa. Jadi ‘stop-gap measure’ yang kita fikirkan dulu ialah untuk memperolehi LMS kita.

    “Cuma saya harap LMS fasa kedua ini akan dilengkapkan dengan persenjataan yang mencukupi, dalam kita menunggu mahu hidupkan semula projek LCS,” katanya.

  • Pembangkang sifatkan peruntukan tidak adil, seperti ‘balas dendam’

    Pembangkang sifatkan peruntukan tidak adil, seperti ‘balas dendam’

    AHLI Parlimen blok pembangkang kecewa apabila Belanjawan 2023 dibentangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberi peruntukan secara adil kepada mereka.

    Sehubungan itu mereka menyifatkan tindakan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan itu sebagai membalas dendam dan hak Ahli Parlimen pembangkang untuk mendapatkan peruntukan yang sama rata dinafikan.

    Bagaimanapun mereka menegaskan akan terus menjadi semak dan imbang kepada kerajaan dalam memastikan kesaksamaan dalam pentadbiran negara.

     Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, melihat pada pembentangan Belanjawan 2023, pembangkang dalam keadaan ‘tertekan’.

    “Dalam keadaan ini, kami tertekan kerana tidak ada peruntukan. Peruntukan ini bukan kami minta duit siapa-siapa, kami minta duit rakyat ahli Parlimen tidak dibeza-bezakan.

    “Kerajaan sekarang ini adalah kerajaan MADANI — MADANI istilahnya keadilan, namun nampaknya kami tak dapat keadilan. Kami pihak pembangkang kecewa. Kata rakyat tidak akan dibezakan, tapi negara ahli Parlimen perlu dibezakan. Pendekatan untuk membalas dendam ini tidak wajar dibuat,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

    Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Akmal berkata, pengagihan Belanjawan 2023 tidak memberi penekanan kepada keadilan sumber pendapatan negara kepada negeri-negeri pimpinan pembangkang.

    “Sepatutnya, seorang sosok seorang reformis yang telah berpuluh tahun melaungkan keadilan, kesaksamaan malah berjanji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bahawa peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen merentasi parti, malangnya perkara ini tidak diendahkan beliau (Anwar).

     “Sedangkan bajet sebesar zaman Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob) pun yang banyak ‘gula-gula’ itu orang Melayu tolak ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), apatah lagi ini? soalnya.

    Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) pula Ahmad Fadhli Shaari memberitahu, beliau memberikan ‘penilaian’ atau rating lima daripada 10 bintang terhadap Belanjawan 2023 yang dibentangkan itu.

    Katanya, ia berikutan belanjawan yang dibentangkan itu bersifat ‘ menjaga hati’.

    Mengambil contoh kesungguhan Ahli Parlimen Tambun itu untuk memerangi rasuah, namun isu besar seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak disentuh dalam pembentangan berkenaan.

    “Perdana Menteri tidak menyebut satu patah pun tentang 1MDB yang merupakan kepala kepada ketirisan yang berlaku (dalam negara). Saya fikir Perdana Menteri masih lagi cuba berdolak-dalik dalam isu penyelewengan dan rasuah,” katanya.

    Sementara itu, ditanya sama ada pembangkang akan menyokong atau sebaliknya belanjawan berkenaan, Ahmad Fadhli yang Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, keputusan mengenainya akan diputuskan minggu depan.

    “Kami ahli Parlimen pembangkang akan bincang sesama kita dan akan nyatakan pendirian minggu depan,” katanya.

  • 4 warga emas maut kereta bertembung treler di Taiping

    4 warga emas maut kereta bertembung treler di Taiping

    EMPAT warga emas terbunuh apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler  di Jalan Sungai Baru,Trong, Taiping, hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 5.31 petang.

    ‘’Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping diketuai oleh Penolong Bomba Kanan 2, Mohd Rizan Shahrudin, segera kelokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

    “Kemalangan membabitkan sebuah treler muatan arang batu bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dan mengakibatkan empat mangsa tersepit. Kesemua mangsa masing-masing dua lelaki dan dua perempuan berusia antara 63 hingga 77 tahun disahkan meninggal dunia  di lokasi kejadian,’’ katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan semua mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan lanjut masih dijalankan.