Author: Wartawan WartaRakyat

  • Malapetaka jika anggota keselamatan dipaksa undi pihak tertentu – Samsuri

    Malapetaka jika anggota keselamatan dipaksa undi pihak tertentu – Samsuri

    NAIB  Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan malapetaka untuk negara jika anggota keselamatan dipaksa untuk mengundi parti tertentu dalam proses pengundian awal, hari ini.

    Ini, katanya jika benar mesej yang ditularkan dalam media sosial hari ini mengenai perkara itu.

    “Malapetaka untuk negara jika benar mesej yang ditularkan dalam media sosial hari ini, kononnya terdapat anggota keselamatan beruniform dalam negara kita, di Terengganu telah tanpa kerelaan mereka dipaksa untuk mengundi parti tertentu dalam proses pengundian awal pada hari ini dengan ugutan kerja dan imbuhan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Bagaimanapun beliau yang mempertahankan kerusi DUN Ru Rendang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini berharap berita seperti itu tidak benar.

    “Saya berharap berita seperti ini tidak betul kerana aktiviti sebegini adalah layak dicemuh seluruh warga manusia dan merupakan satu kemunduran kepada sistem demokrasi negara,” katanya  yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Terengganu.

    Sesungguhnya, kata beliau manusia mungkin boleh dipaksa, ditahan, diugut tetapi jangan ingat ia  boleh dilupakan begitu sahaja kepada yang terbabit atau menjadi pelaksananya.

    “Jika benar terjadi pada zaman yang sukar untuk menyembunyikan sebarang operasi rahsia seperti ini, maka nantilah saat negara kita yang dicintai ini terpelosok ke zaman lampau yang jauh daripada perpaduan, keharmonian dan sejahtera,” katanya lagi.

    Hari ini adalah pengundian awal yang melibatkan 49,660 anggota tentera dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing di enam negeri yang terlibat PRN.

    Sebanyak 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal sempena PRN di enam negeri, dibuka serentak bermula 8 pagi tadi.

    Menurut laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Daftar Pemilih Pilihan Raya yang digunakan untuk PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta PRK Kuala Terengganu adalah daftar pemilih terkini yang dikemas kini sehingga 21 Jun lalu

  • Akar umbi UMNO bantu calon PN secara senyap elak tindakan disiplin

    Akar umbi UMNO bantu calon PN secara senyap elak tindakan disiplin

    KEMPEN Perikatan Nasional (PN) turut disokong pemimpin akar umbi UMNO yang turut membantu tetapi secara senyap bagi mengelak tindakan diambil terhadap mereka.

    Beberapa sumber dalaman akar umbi UMNO di enam negeri memberitahu, terdapat ahli-ahlinya yang membantu kempen calon lawan secara diam-diam bagi mengelak dihidu pihak atasan dan dikenakan tindakan disiplin parti.

    Malah, ahli-ahli UMNO yang masih kekal berada dalam parti turut menyokong calon PN sama ada secara langsung tidak langsung, namun itu dilakukan secara bersembunyi.

    “Ada ahli-ahli UMNO yang membantu kempen calon PN, tetapi ia dilakukan secara diam-diam… Mereka tidak membantu secara terang-terangan bagi mengelak dikesan pihak atasan parti.

    “Pengalaman semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu dijadikan pengajaran bagi mengelak menerima tindakan daripada parti tersebut,” kata sumber parti itu.

    Untuk rekod, UMNO selepas PRU-15 lalu mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpin dan ahli-ahlinya yang didakwa mensabotaj parti, terdapat ahli dibuang dan digantung keahlian mereka.

    Menurut sumber, kebanyakan mereka yang berkempen secara senyap tetapi tidak mahu dilihat ke depan terdiri daripada pemimpin akar umbi di kawasan.

    “Pemimpin ketua-ketua cawangan banyak yang menyokong PN, ia termasuk pemuda dan wanita cawangan.

    “Mereka ini masih berjawatan di kawasan, mereka bimbang jika dipecat parti habis elaun dan manfaat yang diperoleh daripada parti,” ujarnya lagi.

    Jelasnya, tindakan pemimpin akar umbi UMNO tersebut juga menjejaskan peluang calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding kerana jentera dilihat tidak dapat berjalan dengan sebaiknya.

    Antara faktor menyebabkan ahli-ahli UMNO itu menyokong calon PN secara diam-diam adalah disebabkan malu dengan keputusan parti untuk bekerjasama dengan DAP dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    “Mereka yang menyokong PN ini adalah ahli-ahli UMNO yang kecewa dengan tindakan pucuk pimpinan parti menyokong kerjasama dengan DAP dan Anwar sebagai Perdana Menteri.

    “Ahli-ahli UMNO ini berasa tertipu dan seakan diperdayakan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang secara jelas membuat keputusan disebabkan kepentingan diri sendiri,” ujarnya, lapor Agenda Daily.

  • Semakan fakta: Video kononnya Takiyuddin kecam Sanusi tak betul

    Semakan fakta: Video kononnya Takiyuddin kecam Sanusi tak betul

    VIDEO ucapan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang kononnya mengecam Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kini tular dalam media sosial.

    Dalam ucapan itu, Takiyuddin dipaparkan seolah-olah berkata, Pas tidak pernah merestui Sanusi bertanding di mana-mana kerusi di Kedah.

    Walaupun kata-kata yang diungkapkan adalah betul, semakan Malaysiakini mendapati kenyataan Takiyuddin itu sebenarnya diambil di luar konteks.

    Dalam video tular itu, kenyataan Takiyuddin adalah seperti berikut:

    “Keduanya, Sanusi, Menteri Besar Kedahlah, tapi dalam parti dia ketua pengarah pilihan raya.

    “Saya ini Setiausaha Agung parti, (seperti) bagaimana Datuk Seri Hamzah (Zainuddin) dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Saya nak mengesahkan Pas tidak pernah pada bila-bila masa mengiktiraf dia, dan beri laluan kepada dia untuk bertanding dalam mana-mana kerusi DUN di Kedah.”

    Meskipun petikan kenyataan Takiyuddin yang dibuat semasa ceramahnya di Ayer Hangat, Langkawi pada Ahad lalu adalah betul, namun adalah jelas rujukan yang dibuat itu bukan mengenai Sanusi.

    Beliau sebenarnya bercakap tentang Ketua Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie yang bertanding sebagai calon bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat.

    Takiyuddin berkata, Safwan mendakwa mendapat restu daripada Sanusi untuk bertanding di Ayer Hangat, yang dinafikan oleh Setiausaha Agung Pas itu.

    Beliau kemudiannya mengeluarkan kenyataan dalam video tular itu, untuk menegaskan bahawa Safwan tidak disokong oleh Pas.

    Safwan dipecat daripada Pas selepas bertanding sebagai calon Bebas.

    Turut dipecat ialah Timbalan Ketua Pas Langkawi, Mazlan Ahmad yang bertanding sebagai calon Bebas di Kuah.

  • PRN: Peluang besar Pas menang di 3 DUN dalam kawasan Gua Musang

    PRN: Peluang besar Pas menang di 3 DUN dalam kawasan Gua Musang

    TIMBALAN Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, Pas melihat peluang yang besar untuk menang di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Gua Musang yang sebelum ini dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

    Menurut beliau, perkara itu tidak mustahil kerana pihaknya mengambil kira semua melibatkan pengundi Orang Asli dan Cina.

    Tambah beliau, daripada jumlah itu pihaknya menjangkakan Pas akan menang.

    “Orang Asli dari pengalaman lepas memang tidak sokong Pas, kalau ada pun dalam 100 hingga 200 undi sahaja.

    “Tapi kita lihat ada potensi,” katanya semasa sidang akhbar di Kota Bharu hari ini.

    Dalam pada itu, beliau tidak tidak menolak dakwaan parti itu tergugat pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    Katanya, ini kerana terdapat undi majoriti di bawah 1,000 di beberapa kerusi dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

    “Antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat ialah Apam Putra 348 undi, Wakaf Bharu (387), Dabong (589), Semerak (632), Melor (647) dan Kemahang (923).

    “Persaingan ini sengit dan peluang untuk menang adalah 50-50. Berdasarkan pengalaman saya, jika majoriti 3,000 ia adalah stabil tetapi kalau bawah padanya, kena kerja keras lagi untuk lawan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Suspek kes dadah maut gantung diri dalam lokap

    Suspek kes dadah maut gantung diri dalam lokap

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG suspek kes dadah maut setelah menggantung dirinya sendiri dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di lokap kerana berada dalam tahanan reman selama tujuh hari bermula 4 Ogos lalu bagi disiasat mengikut Seksyen 39B Akta dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    “Pihak koroner telah hadir ke lokasi kejadian dan mayat telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya siasatan berhubung kematian individu tersebut dijalankan di bawah Laporan Mati Mengejut (LMM) oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman.

    “Sebagai langkah awal, semua anggota yang bertugas semasa kejadian akan dipindahkan sementara ke cawangan lain hingga siasatan selesai.

    “Siasatan juga akan memastikan semua arahan pentadbiran berkaitan lokap dan Kaedah-Kaedah Lokap 1953, dipatuhi,” katanya.

    Tambahnya, pihak polis akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil, apatah lagi kes tersebut melibatkan kepentingan awam.

  • Pengundi Selangor sedia ‘beralih’ undi PN – Tinjauan

    Pengundi Selangor sedia ‘beralih’ undi PN – Tinjauan

    MESKIPUN mengakui tawaran Pakatan Harapan (PH) terbukti dirasai semua lapisan masyarakat khususnya golongan rentan, namun segelintir pengundi di Selangor sedia ‘mengalih’ undi mereka kepada Perikatan Nasional (PN) yang menjanjikan 112 tawaran jika menang pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini.

    Beberapa pengundi menyambut baik inisiatif ditawarkan PN antaranya memperluaskan bantuan kesihatan dan air percuma kepada golongan berpendapatan isi rumah antara RM5,000 hingga RM15,000.

    Pengundi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan, Suriati Azmi, 33, tertarik dengan tawaran PN untuk memperluas skim peduli sihat kepada isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 kerana golongan itu antara terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.

    “Bagi saya mereka yang berpendapatan RM5,000 ke atas juga bergelut dengan kos sara hidup semakin meningkat,” katanya ketika ditemui FMT.

    Peruntukan itu meningkat sedikit berbanding skim peduli sihat bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), yang menyediakan RM500 setahun kepada isi rumah bawah RM3,000 ketika ini.

    Untuk rekod, program berkenaan diperkenalkan pada 2017 ketika pentadbiran Datuk Seri Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor.

    Jumaat lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion bertemakan Selangor Baharu, Kita Bangkit, antaranya bantuan RM400 sebulan bagi pembelian barangan asas kepada 65,000 keluarga memerlukan, air percuma untuk 20 meter padu pertama kepada isi rumah berpendapatan bawah RM15,000 dan memperluas Skim Peduli Sihat.

    Bagi pengundi kali pertama, Azahari Yahya, 18, dia tertarik dengan bantuan awal pengajian berjumlah RM1,500 yang terbuka kepada semua anak Selangor tanpa mengira kumpulan pendapatan, berbanding sebelum ini terhad kepada keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah.

    “Ini secara tidak langsung membakar semangat kami untuk meneruskan pengajian ke tahap lebih tinggi, tidak kira teruskan ke peringkat IPT ataupun matrikulasi serta Tingkatan 6,” katanya.

    Ibu tunggal, Hasnah Diran, 44, tertarik dengan bantuan bulanan bernilai RM400, yang disifatkan amat diperlukan oleh golongan sepertinya.

    “Walaupun tambahan hanya RM100 berbanding sekarang (pentadbiran PH), nilai itu cukup besar bagi saya yang hanya bekerja sebagai pembantu gerai. Harga barang semua dah naik, dapat tambah sikit pun kurang juga beban saya,” kata ibu empat anak yang akan mengundi di DUN Lembah Jaya.

    Skim bantuan prihatin keluarga Selangor itu seakan sama seperti program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), inisiatif PH yang menyediakan RM300 sebulan untuk keluarga kurang berkemampuan.

    Sementara itu, Faizul Rahman, 27, pengundi di Kota Damansara pula menyambut baik perluasan bantuan air percuma kepada mereka berpendapatan bawah RM15,000, berbanding terhad untuk kumpulan berpendapatan RM5,000 ke bawah seperti dilaksanakan kerajaan Selangor pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari.

    Namun, beliau mencadangkan skim bantuan turut diperluaskan kepada bil elektrik yang ketika ini agak membebankan pengguna.

    “Ia sedikit-sebanyak membantu meringankan beban, sekarang kos sara hidup tinggi tetapi saya rasa perlu ada pembaharuan kerana bil air agak terkawal dan tidak semahal bil elektrik, rakyat terbeban dengan bil mencecah ratusan ringgit setiap bulan,” katanya.

  • Nik Abduh tarik balik keputusan ‘berpuasa’ politik

    Nik Abduh tarik balik keputusan ‘berpuasa’ politik

    BEKAS Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menarik balik keputusannya untuk ‘berpuasa’ daripada arena politik negara.

    Nik Abduh berkata demikian dalam satu hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    “Saya berbuka puasa. Payah puasa politik rupanya. Kelat mulut,” ujarnya.

    Rata-rata komen yang ditinggalkan oleh pengikutnya meminta Nik Abduh kembali meneruskan perjuangan politik bagi menyambung legasi arwah bapanya, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

    Media pada 31 Julai melaporkan, Nik Abduh mengesahkan ‘berpuasa’ dan berehat daripada politik tanah air untuk satu tempoh.

    Perkhabaran tersebut dikongsikan beliau menerusi satu hantaran yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook miliknya..

    “Saya berpuasa dan berehat daripada politik tanah air untuk satu tempoh. Ia tempoh paling sukar untuk saya dan bonda.

    “Semoga Pas bertambah gagah dengan kepimpinan terbaik untuk memacu masa depan negara,” katanya.

  • PRN: Pas tagih sokongan perantau untuk kekal di Kelantan

    PRN: Pas tagih sokongan perantau untuk kekal di Kelantan

    ANAK Kelantan yang berada di luar negeri itu terus menjadi kekuatan kepada Pas untuk kekal mentadbir negeri pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.

    Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, kepulangan perantau akan menambahkan lagi kekuatan parti itu.

    “Perantau dituntut pulang mengundi kerana ia adalah tanggungjawab besar untuk masa depan negeri dan rakyat.

    “Walaupun perantau baharu pulang untuk sambutan hari raya lalu, namun saya berharap mereka dapat kembali ke Serambi Makkah,” katanya semasa sidang akhbar di Kota Bharu hari ini.

    Menurut Mohd. Amar, semua perantau diingatkan supaya mengundi Perikatan Nasional (PN) yang akan menggunakan logo Pas.

    “Kalau nak undi BN-PH, tidak balik pun tidak mengapa,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam perkembangan lain, beliau turut berpesan kepada pengundi tempatan untuk keluar mengundi.

    Tambahnya, pada Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini ramai yang tidak keluar mengundi.

  • Pas sudah lama laksana tawaran BN-PH Kelantan- Mohd. Amar

    Pas sudah lama laksana tawaran BN-PH Kelantan- Mohd. Amar

    PAS Kelantan mendakwa sebahagian daripada tawaran yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto untuk pilihan raya negeri (PRN) kali ini sebagai bukan sesuatu yang baru.

    Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan Mohd. Amar Abdullah berkata, tawaran seperti potongan bayaran cukai l sudah pun dilaksanakan oleh kerajaan negeri sekarang.

    “Diskaun (dikemukakan BN-PH), kita pun ada buat, begitu juga dengan tunggakan cukai tanah kita bagi diskaun sehingga 50 peratus.

    “Ada juga cukai pintu yang kita hapuskan. Itu kita dah buat dan bukan satu benda baru dengan manifesto mereka,” katanya ketika tampil dalam sidang media harian sempena PRN Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

    Terdahulu Malaysiakini melaporkan tawaran potongan bayaran premium tanah, bayaran pecah lot tanah dan diskaun tunggakan serta cukai pintu antara perkara yang menarik ditawarkan BN dan PH sekiranya diberi mandat mentadbir Kelantan.

    Mohd. Amar yang juga calon dan penyandang kerusi dewan undangan negeri (DUN) Panchor berkata, di sebalik pelbagai janji itu manifesto BN-PH tidak pun menyebut perancangan mereka untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan.

    Beliau berkata, BN dan PH selalu sebut masalah besar di Kelantan ialah masalah air sebelum ini.

    “Tiba-tiba dalam manifesto, dia tidak sebut masalah air termasuk apa perancangan, apa usaha, langkah dan program yang nak dibuat untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan.

    “Jadi sepatutnya itu menjadi keutamaan dalam manifesto mereka. Di situ kita nampak apa tujuan mereka serang dan kritik kerajaan (negeri) dalam isu air,” katanya.

    Tambah Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, Pas mengakui dan tidak pernah menafikan wujudnya masalah air di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

    “Kita tidak pernah menafikan adanya masalah air sama ada di dalam dewan (DUN) atau di luar dewan. Saya mengakui ada masalah air, cuma gambaran yang diberikan oleh musuh politik kita ini melampau.

    “Ia seolah-olah satu negeri tidak air, satu negeri air keruh. Masalah kita, bantuan (daripada) kerajaan Pusat dan kita akui (memang) ada sumbangan (dari Putrajaya) tetapi tidak cukup.

    “Contohnya, kita perlu RM2 bilion, tapi dia bagi RM100 juta, RM200 juta… mana nak selesai,” katanya.

  • Wanita dituduh dera anak sendiri bersama rakan

    Wanita dituduh dera anak sendiri bersama rakan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG wanita mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen 2 Sungai Petani, Kedah hari ini atas dua pertuduhan mendera anaknya sendiri pada bulan lalu dan awal bulan ini.

    Tertuduh yang berusia 41 tahun membuat pengakuan itu di depan Hakim, Azman Abu Hassan sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil kepadanya oleh jurubahasa.

    Mengikut kertas pertuduhan pertama, wanita berkenaan yang bekerja sebagai pencuci pinggan, dituduh menganiaya kanak-kanak tersebut yang berusia 13 tahun dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan di muka, dahi, kepala, tangan dan siku kiri.

    Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan perbuatan sama yang mungkin mengakibatkan kecederaan di depan badan.

    Sementara pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 11.30 pagi, 1 Ogos lalu manakala untuk pertuduhan kedua, dia dituduh melakukannya pada Julai lalu di sebuah rumah di Blok H, Flat Paya Nahu 1, Sungai Petani.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 6 September depan dengan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua kes dengan seorang penjamin.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nabilah Md. Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzanna Abdul Rahim.

    Sementara itu di Mahkamah Sesyen 1, rakan tertuduh yang merupakan seorang wanita berperwatakan lelaki berusia 34 tahun, turut mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan mendera mangsa sama.

    Mengikut kertas pertuduhan, individu berkenaan didakwa menganiaya kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan di muka dan kepala.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Wan Muhammad Fitri Wan Azizan di depan Hakim, Roslan Hamid dengan tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tertuduh kemudiannya dibenarkan diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

    Semua pertuduhan melibatkan kedua-dua individu berkenaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.