Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kelantan boleh maju macam Selangor jika ada pelabuhan laut dalam – Wan Fayhsal

    Kelantan boleh maju macam Selangor jika ada pelabuhan laut dalam – Wan Fayhsal

    SEORANG ahli Parlimen pembangkang mendakwa Kelantan mampu membangun seperti Selangor jika ia diberi peluang untuk membina pelabuhan laut dalam untuk sektor perdagangan di Pantai Timur.

    Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) semasa perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat berkata, ini memandangkan negeri yang dipimpin PAS sejak 1990 itu mempunyai kedudukan yang strategik untuk menjana pendapatan negara.

    “Dengan adanya ECRL (Laluan Rel Pantai Timur), dengan adanya pelabuhan dan dengan siapnya Lebuhraya Central Spine Road, Kelantan juga boleh membangun seperti Selangor dan negeri-negeri lain,” katanya, hari ini lapor Malaysiakini.

    Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Bersatu turut menyentuh mengenai projek ECRL dengan mengingatkan agar ia tidak dijadikan projek “gajah putih”.

    Tegasnya, projek itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan perancangan ekonomi yang menyeluruh agar kargo yang dibawa dari Pantai Barat merentasi Banjaran Titiwangsa sampai ke Pantai Timur untuk ke pasaran di Indochina.

    Menyifatkan Kelantan sebagai “pintu masuk” Laluan Sutera Moden, beliau berkata jarak antara Tumpat ke negara-negara Indochina lebih dekat berbanding jarak antara rantau itu dengan Singapura.

    “Jadi apakah salahnya kalau Kelantan diberi peluang untuk membangunkan sebuah pelabuhan laut dalam yang mampu menampung perdagangan yang ada di Pantai Timur dan Semananjung,” katanya lagi.

    Sambil merujuk kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan, beliau memberitahu sekiranya Kelantan tidak mendapat royalti, sekurang-kurangnya biarlah negeri itu diberikan lesen pelabuhan laut dalam.

    “Biar kami cari pendana-pendana swasta untuk bangunkan infrastruktur yang kritikal ini dan kita (Kelantan) akan bantu untuk menambah KDNK (keluaran dalam negara kasar) negara melalui gerbang timur ekonomi Malaysia,” katanya.

    Pada 24 Feb, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus kerana menurut Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

    Perjanjian Pembayaran Wang Tunai yang ditandatangani antara Petronas dan kerajaan Kelantan dan Terengganu memperuntukkan dua negeri itu boleh diberi pembayaran tunai sebanyak lima peratus untuk petroleum yang didapati dan diperolehi dalam jarak tiga batu nautika dari garis air surut.

  • Dugaan banjir menjelang Ramadan

    Dugaan banjir menjelang Ramadan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SUSULAN hujan sepanjang hari di Johor sejak semalam, rata-rata penduduk yang menetap di kawasan rendah mula melakukan persiapan awal bagi menghadapi banjir di kawasan penempatan mereka.

    Antara penempatan yang kini dilanda banjir ialah Kampung Sentosa Dalam, Pasir Gudang melibatkan penduduk yang tinggal berdekatan sungai.

    Mereka sudah pun menyimpan barang berharga, menyimpan dokumen dan memindahkan kenderaan ke tempat selamat.

    Menurut seorang mangsa banjir, Mahani Ahmad, 57, hujan lebat sejak pagi Selasa mengakibatkan air naik setinggi lebih setengah meter sebelum mereka diarahkan berpindah.

    “Kami berpindah pada jam 11 malam tadi ke PPS di Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru. Kami lega kerana sempat menyimpan barang-barang berharga termasuk meletakkan kereta dan motosikal di kawasan selamat.

    “Ini kali pertama banjir melanda pada tahun ini dan ditempatkan di PPS ini. Biasanya dalam setahun banjir akan berlaku sekali atau dua kali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPS berkenaan, hari ini.

    Ibu kepada empat anak itu bersyukur kerana semua penduduk terlibat selamat dipindahkan dan berharap hujan berhenti supaya dapat segera pulang untuk membersihkan rumah.

    Norliza Atan, 52, berkata, penduduk yang menjadi mangsa banjir sudah berwaspada dan berkemas apabila hujan mula melanda termasuk apabila melihat paras sungai berdekatan rumah naik.

    “Disebabkan sebelum ini kampung ini kerap dilanda banjir, kami membuat para di dapur dan untuk tempat meletak televisyen dengan binaan semen. Kami juga beli katil besi. Dulu beli katil dan perabot kayu tetapi setiap kali banjir akan rosak.

    “Beli secara ansuran untuk dua tahun tapi belum habis bayar dah kembang dan rosak kena banjir,” ujarnya yang merupakan suri rumah dan ibu kepada lima anak.

    Seorang lagi penduduk, Shaliza Ahmad, 57, berkata, mereka reda apabila banjir kali ini sekali lagi berlaku menjelang Ramadan kerana situasi itu pernah dialami mereka.

    “Sebelum ini kami pernah berdepan banjir semasa bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri, apa nak buat, hadap sahajalah. Kami sudah biasa. Pernah sekali tu banjir berlaku pada 1 Januari 2021, pada hari pertama tahun baharu,” katanya yang mempunyai empat cahaya mata.

    Nurul Huda Abdul Rani, 55, pula mendakwa, banjir di kampung berkenaan berpunca daripada air dari Taman Scientex dan Taman Kota Masai masuk ke parit di kampung tersebut.

    Ibu kepada empat anak itu berkata, keadaan berkenaan bertambah buruk apabila berlaku air pasang sebelum masuk ke parit dan sungai di kampung itu sehingga mengakibatkan banjir.

    “Air banjir tidak dapat mengalir dengan sempurna ke laut di Kong Kong walaupun sungai di kampung ini sudah dibesarkan,” katanya.

  • PN gesa polis siasat dakwaan MB Selangor salah guna kuasa beri projek RM700j

    PN gesa polis siasat dakwaan MB Selangor salah guna kuasa beri projek RM700j

    PERIKATAN Nasional (PN) Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pembabitan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan sebuah syarikat didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus oleh kerajaan negeri itu.

    Gesaan itu dibuat selepas tular di media sosial semalam mendakwa Amirudin menyalah guna kuasa dan konflik berkepentingan dengan menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar bagi menganugerahkan projek terbabit kepada syarikat berkenaan.

    Menurut Ketua Penerangan PN Selangor, Mohd Shukor Mustaffa, pihaknya tampil membuat satu laporan polis berkaitan isu berkenaan bagi membolehkan pihak PDRM memulakan siasatan terhadap Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua yang didakwa mempunyai kepentingan dalam projek berkenaan.

    Katanya, laporan polis dibuat berdasarkan laporan berita disiarkan sebuah portal berita semalam berkaitan Amirudin dan EXCO Selangor, Izham Hashim yang didakwa mempunyai kepentingan di dalam syarikat yang dianugerahkan projek mega itu iaitu Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB).

    “Syarikat itu dianugerahkan satu projek untuk mendalamkan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer berjumlah RM700 juta secara rundingan terus.

    “Tujuan saya membuat laporan supaya pihak polis menyiasat perkara ini kerana ia membabitkan salah guna kuasa yang serius,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kinrara, di Serdang, hari ini.

    Katanya, laporan berita diterbitkan portal berita itu adalah berdasarkan pendedahan dibuat Setiausaha Agung Parti Hijau Malaysia, Abdul Razak Ismail setelah menyemak maklumat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

    Abdul Razak mendakwa Amirudin dan Izham yang juga EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor disenaraikan sebagai pengarah syarikat terbabit bersama empat lagi individu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

    Semalam, Abdul Razak menerusi laporan portal berita dipetik berkata syarikat LLB dianugerahkan projek Gerbang Maritim Selangor, yang membabitkan pembersihan sungai dan pembangunan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dari Mid Valley City di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, yang dikatakan menelan belanja RM700 juta.

    Dalam perkembangan sama, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Jay Jay Denis memaklumkan projek itu bukan dianugerahkan oleh kerajaan negeri secara terus kepada LLB.

    “LLB sedang mengumpul dana melalui Inisiatif Kewangan Swasta (PFI). Syarikat ini adalah anak syarikat kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).

    “Beliau (Amirudin) adalah pengarah syarikat itu memandangkan projek itu berada di bawah MBI,” katanya ketika dihubungi.

    Tambahnya, Amirudin ada dalam syarikat itu sebagai Menteri Besar Selangor bagi memastikan usaha kerajaan negeri memulihkan kualiti air dan pemulihan Sungai Klang tercapai, selaras dengan keputusan mesyuarat EXCO kerajaan negeri.

  • Empat kru bot Jabatan Perikanan Johor ditemukan di perairan Indonesia

    Empat kru bot Jabatan Perikanan Johor ditemukan di perairan Indonesia

    EMPAT kakitangan Jabatan Perikanan Johor yang dilaporkan hilang selepas terputus hubungan, semalam ditemui selamat oleh pasukan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di perairan negara itu tengah hari tadi.

    Mereka yang menaiki bot PL87 itu ditemui pada jarak kira-kira 13 batu nautika dari lokasi terakhir mereka dikesan atau satu batu nautika dari Pulau Kepalajerih, Batam, Indonesia, pada pukul 1.45 tengah hari.

    Bot PL87 diketuai Fatimah Razak, 36; bersama tiga kru lain, Zaharin Baharudin, 33; Abdul Halim Sanip, 52; dan Marzuki Jusuh, 53.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata hasil maklumat awal diperolehi, bateri bot berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan.

    “Bot kemudian tidak dapat berfungsi dengan baik sebelum dihanyutkan.

    “Ketika ditemui, semua kru dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sihat,” katanya pada sidang media di Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai di Iskandar Puteri, hari ini lapor, Berita Harian.

    Nurul Hizam dalam pada itu mengesahkan ketika ini, bot berkenaan masih di perairan Indonesia dan pihaknya sedang menjalankan urusan membawa pulang semua mangsa dengan kerjasama TNI.

    “Bot PL87 kini dalam proses pembaikan oleh TNI, jika ia boleh dibaiki, bot akan bergerak sendiri dengan diiringi TNI sebelum diserahkan kepada kita.

    “Kita berharap semua urusan membawa pulang bot PL87 dan mangsa dapat diselesaikan hari ini dan proses serahan dijangka dibuat di perairan Johor Barat,” jelasnya.

    Semalam, bot yang dalam perjalanan pulang dari Tanjung Pengelih, Kota Tinggi ke Pengkalan Jabatan Perikanan di Tampoi, Johor Bahru, sejak j 12.45 tengah hari semalam, gagal dikesan dan dihubungi kira-kira 3 petang.

    Bot berkenaan dijadualkan tiba di Tampoi pada 6.30 petang.

    Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) kemudian dilancarkan bermula malam tadi membabitkan keluasan carian sehingga 47 batu nautika.

    Lapan aset digerakkan termasuk helikopter APMM, bot Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor dan Jabatan Perikanan Negeri Johor.

    “Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada TNI, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Republik Indonesia dan Singapore Police Coast Guard (SPCG) yang turut membantu dalam operasi SAR ini,” katanya yang menamatkan SAR kes berkenaan 2 petang tadi.

  • ‘Alangkah baik jika Top Glove kongsi keuntungan dengan penoreh’ – Tuan Ibrahim

    ‘Alangkah baik jika Top Glove kongsi keuntungan dengan penoreh’ – Tuan Ibrahim

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN – Kubang Kerian) menggesa pengeluar sarung tangan, Top Glove berkongsi keuntungan dengan penoreh getah bagi membantu meringankan beban mereka.

    Kata Timbalan Presiden Pas itu, Top Glove mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit ketika gelombang Covid-19 dengan membekalkan sarung tangan ke seluruh dunia.

    Justeru katanya, Top Glove sewajarnya mencontohi Padibernas Nasional Berhad (Bernas) yang berkongsi keuntungan dengan pesawah.

    “Alangkah baik jika syarikat lain seperti Top Glove, yang mengaut untung jutaan ringgit membekalkan sarung tangan ke seluruh dunia semasa Covid turut menyumbang kepada penoreh getah yang berdepan masalah kos dan harga getah tak stabil dan tidak mampan,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian semasa berucap membahaskan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

    Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, walaupun kerajaan menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.50 sen kepada RM2.70 sen sekilogram, namun langkah itu tidak memadai dalam membantu penoreh getah yang berdepan kesulitan.

    “Hari ini penoreh getah berdepan dengan masalah penyakit (pokok getah) yang melanda seluruh negara, sebelum ini dengan (tanaman) pisang. Sampai sekarang kerajaan tak ada penyelesaian kepada penyakit yang melanda penanam pisang.

    “Getah meluruh tiga kali setahun, menyebabkan susu tak keluar hasil dan penoreh getah berdepan dengan masalah serius,” katanya.

    Tuan Ibrahim sementara itu meminta kerajaan mengenal pasti keluasan tanaman getah yang dijangkiti penyakit dan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi perkara itu.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 baru-baru ini mengumumkan Bernas bersetuju berkongsi keuntungan daripada import beras dengan menyumbang 30 peratus daripada keuntungan bersihnya kepada pesawah.

    Anwar,yang juga menteri kewangan, berkata ia adalah tambahan kepada sumbangan RM60 juta yang akan terus disalurkan Bernas.

  • Jalan Labis-Chaah terputus, BBP Yong Peng ambil alih usaha menyelamat

    Jalan Labis-Chaah terputus, BBP Yong Peng ambil alih usaha menyelamat

    USAHA menyelamatkan mangsa banjir di sekitar Chaah oleh Balai Bomba Penyelamat (BBP) Labis terjejas apabila Jalan Labis-Chaah, dekat Segamat, terputus hubungan akibat dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.

    Bagaimanapun, Ketua BBP Labis Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Hafifie Md Sarif berkata operasi menyelamat mangsa di kawasan itu diambil alih oleh pasukan BBP Yong Peng dan pasukan Bomba Sukarela Chaah.

    “Misi menyelamat di sekitar Chaah dilapor berjalan lancar dengan sokongan dari BBP Yong Peng dan pasukan sukarela Chaah.

    “Hujan lebat telah menyebabkan banyak kawasan dinaiki air dan jumlah mangsa yang terperangkap akibat banjir dijangka terus meningkat. Kerja-kerja memindahkan mangsa banjir masih berjalan dan beberapa kawasan terputus hubungan seperti di Kampung Tenang, Pekan Air Panas dan Kampung Juaseh,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

    Beliau berkata BBP Labis kemudiannya menumpukan perhatian pada misi menyelamat di sekitar Labis yang dijalankan oleh dua pasukan. 

    Muhammad Hafifi berkata situasi banjir di pekan Labis dan sekitarnya serta beberapa perumahan, dinaiki air sedalam satu meter dengan paras air paling dalam dikenal pasti di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin, dekat sini.

    “Antara aset yang digunakan adalah Jentera Scania J1-30, Ambulans J2-18, lori 3 tan, hilux, kembara, bot getah dan bot fiber.

    “Hujan lebat masih berterusan dan dijangka berlarutan sehingga esok. Seawal 4 pagi tadi, kami dah pindahkan 209 keluarga melibatkan 746 mangsa ke enam PPS di sekitar Labis,” kata beliau.

    Sementara itu, seramai 6,694 mangsa banjir dipindahkan ke 63 pusat pemindahan sementara di tujuh daerah terjejas banjir setakat 2 petang ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri. – BERNAMA

  • Terperangkap atas bumbung rumah, mangsa banjir rayu diselamatkan

    Terperangkap atas bumbung rumah, mangsa banjir rayu diselamatkan

    SEPASANG suami isteri bersama tiga anak dan seorang lagi ahli keluarga terperangkap di atas bumbung rumah mereka di Kampung Jawa, Chaah, dekat Segamat sejak pagi tadi merayu pasukan keselamatan menyelamatkan mereka.

    Ini setelah petempatan itu dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.

    Memetik laporan Berita Harian, Azizah Bani, 53, berkata, dia terpaksa memecahkan bumbung rumah mereka di Jalan Sidek, berhampiran Masjid Chaah itu sebelum bersama abangnya, suami dan tiga anak memanjat keluar untuk menyelamatkan diri setelah rumahnya mula ditenggelami air, kira-kira 8 pagi tadi.

    Dia turut menggunakan laman Facebook melalui tayangan video secara terus, meminta diselamatkan dengan segera.

    “Saya mohon bantuan segera untuk selamatkan saya sekeluarga atas bumbung ini. Tolong hantar bantuan helikopter dengan kadar segera.

    “Kami sehelai sepinggang, tiada makanan minuman dan basah akibat hujan lebat.

    “Suami saya kesejukan dan tidak dapat menahan rasa sejuk di atas bumbung dengan hujan lebat yang turun tanpa henti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Suami saya kesejukan dan tidak dapat menahan rasa sejuk di atas bumbung dengan hujan lebat yang turun tanpa henti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

  • Batal 6 projek tebatan banjir, Tuan Ibrahim pelik PM umum jimat RM2b

    Batal 6 projek tebatan banjir, Tuan Ibrahim pelik PM umum jimat RM2b

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) hairan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penjimatan kira-kira RM2 bilion selepas enam projek tebatan banjir ditamatkan.

    Memetik laporan Astro AWANI, Timbalan Presiden Pas itu bertanya bagaimana boleh adanya penjimatan sedangkan projek tersebut belum lagi bermula?

    “Saya rasa pelik sebab projek yang nak ditamatkan ini belum mula, belum laksana, belum ada Surat Setuju Terima, belum lantik kontraktor.

    “Bagaimana kerajaan tiba-tiba nak umum tamat perkara yang belum mula…yang peliknya umum penjimatan.

    “Saya fikir kalau kita tunda projek tersebut, bukan penjimatan (dapat dicapai) tapi kerajaan berdepan kerugian pula,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Anwar kata beliau perlu menjelaskan isu penamatan kontrak itu kepada Dewan Rakyat.

    Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) kemudian mencelah, menyatakan Perdana Menteri mungkin tidak faham apa yang dikatakan beliau berhubung isu tersebut.

    “Projek tebatan banjir, setuju atau tidak apa yang dicakapkan PM mungkin tak faham apa yang diperkatakan atau tidak faham macam ‘burung tiung’ bercakap?” soal Rosol.

    “Burung tiung itu saya setuju, sebab dia pun tak faham apa yang dia cakap.

    “Dewan kena dapatkan penjelasan yang jelas tentang isu ini,” balas Tuan Ibrahim.

    Anwar pada 6 Disember 2022 mengarahkan beberapa kelulusan terakhir termasuk projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion dibatal dan dihentikan serta-merta kerana tidak mematuhi peraturan serta diluluskan secara rundingan terus.

    Sehubungan itu, katanya, beliau telah mengarahkan pegawai Kementerian Kewangan untuk meneliti semula kelulusan itu bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.

    Begitupun, pada 24 Februari lepas, Astro AWANI melaporkan kerajaan akan menilai semula tender kerajaan membabitkan projek-projek tebatan banjir bagi memastikan proses yang berjalan akan dilaksanakan secara telus.

    Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan mengeluarkan semula tender bagi enam projek tebatan banjir selewat-lewatnya pada Jun tahun ini.

  • Banjir: 89 calon SPM di Johor terkandas

    Banjir: 89 calon SPM di Johor terkandas

    SEBANYAK 89 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Segamat dan Kulai terkandas akibat banjir serta tidak dapat menduduki peperiksaan itu hari ini.

    Menurut Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh menerusi kenyataan, kesemua pelajar yang terkandas itu membabitkan tujuh pusat peperiksaan di Segamat dan satu di Kulai.

    “Seramai 89 calon SPM di Segamat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenang Stesen, SMK Bandar Putra, SMK Tinggi, SMK Gemereh, SMK LKTP Pemanis, SMK Dato Bentara Dalam dan SMK Labis Segamat.

    “Di Kulai pula membabitkan SMK Taman Putri. Hari ini melibatkan peperiksaan subjek Sains dan Fizik manakala sebelah petang SRT (Sains Rumah Tangga),” katanya hari ini lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut Norliza berkata, terdapat calon SPM di beberapa buah pusat peperiksaan di Pasir Gudang, Johor Bahru, Kluang, Batu Pahat dan Kota Tinggi turut terjejas akibat banjir menyebabkan peperiksaan dimulakan lewat dan terpaksa menumpang di pusat peperiksaan yang lain.

    “Seramai 127 calon SPM di daerah Kota Tinggi menumpang di pusat peperiksaan yang lain melibatkan SMK Laksamana, SMK Tun Habab, SMK Agama dan SMK Bandar,” katanya.

    Beliau menambah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sedang memantau keadaan terkini terutama membabitkan keselamatan calon di semua pusat peperiksaan di negeri ini.

  • Pesara maut dirempuh pemandu mabuk kerana tegur buat bising

    Pesara maut dirempuh pemandu mabuk kerana tegur buat bising

    SEORANG pesara berusia 57 tahun maut akibat dilanggar kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk selepas menegur suspek agar tidak membuat bising, dalam kejadian di Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga, di Melaka, awal pagi kelmarin.

    Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 2.04 petang semalam selepas bertarung nyawa kira-kira 11 jam di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, akibat pendarahan dalaman kepala, selain kecederaan pada badan dan kaki.

    Menurut anak mangsa, sebelum kejadian iaitu kira-kira 12 tengah malam, dua lelaki minum arak dalam sebuah kereta di parkir belakang sebuah restoran di Plaza Pandan Malim.

    “Kira-kira pukul 2.40 pagi saya dan ayah terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi muzik membingitkan dari arah kawasan parkir itu.

    “Ayah kemudian pergi menegur mereka dengan baik sebelum kedua-dua lelaki itu beredar meninggalkan kawasan terbabit,” katanya ketika ditemui hari ini, lapor Berita Harian.

    Anak mangsa mendakwa, kira-kira 10 minit kemudian, kedua-dua lelaki terbabit datang semula dengan menaiki kereta sama sambil memasang muzik yang lebih kuat sebelum beredar meninggalkan kawasan itu.

    “Baru saja hendak baring, mereka sekali lagi datang membuat bising beberapa minit selepas itu membuatkan saya dan ayah keluar untuk meminta kedua-dua lelaki itu beredar.

    “Namun, secara tiba-tiba kereta itu cuba merempuh saya, tapi mujur saya sempat mengelak dan berlari ke belakang sebuah restoran 24 jam di bangunan plaza berkenaan.

    “Saya kemudian lihat kereta itu berpusing dan menuju ke arah bapa yang tidak sempat mengelak dan hanya mampu berpaut di atas bonet hadapan dan terseret sejauh kira-kira 20 meter ke arah belakang kedai,” katanya.

    Menurutnya, dia menjerit meminta tolong dan berkejar ke arah ayahnya yang terjatuh dan berlumuran darah di belakang kepala, dipercayai akibat terhantuk pada tebing batu longkang sebelum kedua-dua lelaki itu terus memecut kenderaan dan meninggalkan lokasi.

    Katanya, berikutan awal pagi, tiada jiran menyedari kejadian dan dalam keadaan panik itu dia segera menghubungi ambulans yang membawa ayahnya ke Hospital Melaka.

    Jenazah arwah yang juga bapa kepada tujuh anak akan disembahyangkan di Masjid Kampung Padang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi berkata, hasil siasatan, pihaknya memberkas lelaki berusia 28 tahun yang direman tujuh hari mulai semalam dan masih mengesan seorang lagi lelaki tempatan berusia 27 tahun bagi membantu siasatan kes ini

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.