Author: Wartawan WartaRakyat

  • Banjir: Ebit Lew selamatkan lembu daripada lemas

    Banjir: Ebit Lew selamatkan lembu daripada lemas

    PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew pada Jumaat, menarik perhatian ramai apabila memuat naik video menerusi aplikasi TikTok menyelamatkan seekor lembu yang hampir lemas dibawa arus banjir.

    Video berdurasi 58 saat itu memaparkan Ebit, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew yang menaiki bot bersama dua lagi lelaki dipercayai sedang melakukan tinjauan banjir di sekitar Segamat telah menyelamatkan lembu berkenaan menggunakan tali dan menariknya hingga ke kawasan yang selamat.

    Ebit turut memuat naik kapsyen ringkas yang keseluruhannya menggambarkan rasa syukur kerana berjaya menyelamatkan lembu berkenaan daripada lemas.

    “Sedih tengok lembu dah nak lemas semalam dekat Segamat. Alhamdulillah, dapat bantu tarik ke atas,” katanya menerusi kapsyen berkenaan, lapor Sinar Harian.

    Video berkenaan berkenaan mendapat sebanyak 4,687 tanda suka daripada netizen yang turut memberikan pelbagai reaksi di ruangan komen.

    Rata-ratanya melahirkan rasa terharu dan menyifatkan haiwan berkenaan bakal menjadi saksi (di akhirat) terhadap Ebit atas tindakan yang dilakukannya itu.

    Untuk rekod, daerah Segamat ketika ini merupakan daerah yang mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi di Johor dengan merekodkan seramai 12,258 mangsa daripada 3,511 keluarga.

    Kesemua mangsa berkenaan kini ditempatkan di 78 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan.

  • Bukan hina Menu Rahmah, ini cara saya makan nasi – Hanafiah

    Bukan hina Menu Rahmah, ini cara saya makan nasi – Hanafiah

    PENGERUSI Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat menafikan dakwaan beliau memperlekeh hidangan Menu Rahmah berikutan penularan sebuah video di media sosial semalam.

    Beliau menegaskan tidak pernah terlintas untuk menghina inisiatif kerajaan bagi meringankan beban sara hidup rakyat berkenaan.

    “Saya hanya sebut sedang makan nasi bersama ikan goreng dan sayur tanpa kuah. Tiada satu perkataan pun dalam video tersebut saya sebut tentang Menu Rahmah. Sebab kebiasaan saya makan dengan berkuah sebab itu curah air (oren) untuk dijadikan kuah,” katanya di Kemaman hari ini, lapor Kosmo!.

    Terdahulu video berdurasi 17 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok Hanafiah tular sehingga mendapat kecaman ramai ekoran didakwa seakan-akan menghina hidangan Menu Rahmah.

    Video tersebut telah disembunyikan daripada tatapan awam daripada akaun TikTok beliau tidak lama kemudian namun sempat disimpan sebelum dimuat naik semula oleh pihak lain.

    Hanafiah menegaskan beliau tidak berniat menghina makanan dengan melakukan demikian malah menikmati hidangan itu sehingga habis.

    Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai dari Pas itu kesal dengan penyebaran video tersebut yang dianggapnya telah disalah erti dan berniat cuba menjatuhkan reputasinya.

  • Depoh simpanan minyak terbakar: 17 maut, 50 melecur

    Depoh simpanan minyak terbakar: 17 maut, 50 melecur

    SEKURANG-KURANGNYA 17 orang dilaporkan maut sementara 50 lagi melecur dalam kejadian paip minyak terbakar di Depoh Pertamina Plumpang, Jakarta Utara, malam tadi.

    Jumlah mangsa yang meninggal dunia dan cedera itu diperoleh berdasarkan data sementara yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Khusus Ibukota Jakarta awal hari ini.

    “15 mangsa yang maut terdiri daripada orang dewasa sementara dua lagi ialah kanak-kanak, lapor portal-portal berita Indonesia,” menurut data berkenaan, lapor Astro Awani.

    Menurut laporan media tempatan juga, seramai 49 orang dewasa dan seorang kanak-kanak pula melecur atau mengalami kecederaan berikutan kebakaran itu.

    Sehingga tengah malam tadi, petugas pemadam kebakaran masih memadamkan api di kawasan Depoh Pertamina Plumpang serta di kawasan pemukiman masyarakat sekitar.
    Kebakaran tersebut berlaku sekitar pukul 8.11 waktu tempatan yang bermula selepas paip minyak di kawasan depo meledak.

    Susulan itu, sebanyak 52 jentera dengan 260 anggota bomba dikerahkan untuk memadamkan api.

  • Banjir: Hampir 41,000 mangsa di enam negeri

    Banjir: Hampir 41,000 mangsa di enam negeri

    JUMLAH mangsa banjir di enam negeri terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 40,710 mangsa dilaporkan berada di 288 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pukul 8 pagi tadi.

    Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan
    berbanding seramai 36,191 petang semalam.

    Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di Johor, seramai 37,098 mangsa membabitkan 10,625 keluarga ditempatkan di 253 PPS.

    Di Pahang, seramai 2,361 mangsa membabitkan 719 keluarga ditempatkan di 22 PPS.

    Sementara di Melaka, sebanyak enam PPS dibuka dan menempatkan seramai 375 mangsa daripada 95 keluarga.

    Di Negeri Sembilan pula, sebanyak lima PPS dibuka dan menempatkan seramai 780 mangsa membabitkan 213 keluarga.

    Di Sarawak, terdapat satu PPS dibuka yang menempatkan 14 mangsa membabitkan lima keluarga.

    Di Selangor juga, terdapat satu PPS dibuka yang menempatkan seramai 82 mangsa membabitkan 17 keluarga, lapor Harian Metro.

  • Berjasa sedia kerjasama dengan PN

    Berjasa sedia kerjasama dengan PN

    PARTI Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam memperjuangkan Malaysia ke arah lebih baik dan membangunkan negara unggul serta bermaruah.

    Menurut Setiausaha Agungnya, Zulkifli Yahya, pendirian parti itu konsisten sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi dan akan kekal selagi tidak bercanggah dengan prinsip perjuangan parti serta etika politik matang.

    “Politik tanah air menampakkan perjalanan cerita yang menarik pasca PRU15 apabila berkemungkinan akan adanya kerjasama baharu untuk membentuk satu pakatan politik.

    “Ini susulan dengan keputusan parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang bertindak keluar dari pakatan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Pada Khamis, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PN, Datuk Seri Takiyuddin dilaporkan berkata, ada dua permohonan daripada parti yang hendak menyertai PN iaitu Pejuang dan Berjasa.

    Bagaimanapun beliau berkata, tarikh mesyuarat masih belum diketahui bagi memutuskan mana-mana parti yang memohon menyertai pakatan itu.

    Dalam pada itu, Zulkifli berkata, semestinya pembentukan kerjasama baharu itu amat dinantikan oleh pemerhati politik tanah air memandangkan suhu politik tanah air akan kembali panas apabila tibanya pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

    Beliau juga menyambut baik kenyataan balas Takiyuddin yang dianggapnya sebagai positif ke arah peluang menerima dua parti itu dalam PN.

  • Bersatu-Pas saling ‘tumpang-menumpang’, tiada parti boleh sendirian- Wan Saiful

    Bersatu-Pas saling ‘tumpang-menumpang’, tiada parti boleh sendirian- Wan Saiful

    BEKAS Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Bersatu dan Pas saling tumpang menumpang dalam memperjuangkan agenda bersama menerusi Perikatan Nasional (PN).

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menyifatkan amalan berkenaan sejajar realiti politik semasa dan turut diamalkan parti politik lain.

    Malah katanya, UMNO sendiri menumpang parti lain demi kelangsungan politiknya.

    “Mana-mana parti dalam Malaysia memerlukan rakan untuk saling tumpang menumpang. UMNO menumpang MCA, menumpang MIC, menumpang semualah yang ada dalam tu. Sekarang UMNO menumpang Anwar Ibrahim, UMNO menumpang DAP,” katanya
    dalam wawancara dengan FMT.

    Menjawab pandangan yang meragui kekuatan Bersatu tanpa Pas, beliau berkata, parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu tidak segan silu mengaku mereka tidak boleh bersendirian dalam perjuangannya.

    Katanya, realiti Malaysia menuntut parti yang ingin memerintah harus sedia bekerjasama dengan gerakan politik lain, dan bijak menggembleng kekuatan gabungan berkenaan.

    “Kami (PN) saling melengkapi sebab itu ia strategi yang berjaya,” katanya, sambil menyorot perhatian kepada prestasi PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang disifatkan ‘amat menggembirakan’.

    Pada PRU15, PN menawan 74 kerusi Parlimen dengan 31 daripadanya disumbangkan Bersatu manakala selebihnya dimenangi Pas.

    Menurutnya, Pas bawa kekuatan jentera, Bersatu bawa kekuatan imej dan reputasi yang dipercayai rakyat manakala Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bawa agenda pelbagai budaya.

    “Kewujudan parti politik ini akhirnya untuk mewujudkan kerjasama yang membolehkan kita membantu rakyat,” katanya.

    Wan Saiful memberitahu, Bersatu kini berada pada kedudukan lebih kuat kerana kehendak generasi baharu rakyat.

    “Bersatu tak perlu pamer (sebagai) alternatif kepada UMNO. Memang rakyat menganggap kita lebih baik daripada UMNO sekarang,” katanya.

  • Bekas Presiden MCA, Tan Sri Lee San Choon meninggal dunia

    Bekas Presiden MCA, Tan Sri Lee San Choon meninggal dunia

    BEKAS Presiden MCA, Tan Sri Lee San Choon, meninggal dunia pada usia 88 tahun, pagi tadi.

    Dilahirkan di Pekan, Pahang, mendiang pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) bagi kerusi Parlimen Kluang Utara dan memenangi kawasan itu pada 1959 semasa berusia 24 tahun.

    Mendiang seterusnya dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Parti Perikatan dan dilantik berkhidmat sebagai Ketua Pemuda MCA.

    Ramai yang menggelarkan mendiang sebagai ‘Young Turk’ selepas beliau bersuara secara terbuka bagi mendesak beberapa pemimpin MCA untuk meletak jawatan pada 1963.

    Selepas tragedi rusuhan 13 Mei, mendiang pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Tugas-Tugas Khas.

    Selepas itu, pada 1971, mendiang dilantik sebagai Menteri Buruh.

    Mendiang turut pernah dilantik memegang beberapa portfolio menteri antaranya Menteri Kerja Raya dan Kemudahan Awam dan Menteri Tekonologi, Penyelidikan dan Penyelaras Kampung Baru.

    Pada 1974, San Choon pernah menjadi Pemangku Presiden MCA susulan pemergian Tan Siew Sin.

    Setahun kemudian, San Choon dipilih sebagai Presiden MCA dan berkhidmat bagi jawatan itu sehingga mendiang bersara daripada arena politik pada 1983, lapor Berita Harian.

  • SPRM serbu bank, pengurup wang bersekongkol sindiket penipuan

    SPRM serbu bank, pengurup wang bersekongkol sindiket penipuan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa premis bank, pengurup wang dan pendaftar syarikat di sekitar ibu kota disyaki bersekongkol dan menjadi orang tengah kepada sindiket penipuan.

    Serbuan pasukan khas Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (SPRM) yang dilakukan hari ini adalah susulan daripada Op Tropicana yang diketuai Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.

    Sumber berkata, serbuan itu melibatkan beberapa buah institusi kewangan, pengurup dan pendaftar syarikat di sekitar ibu kota.

    “Mereka disyaki memberi kemudahan kepada sindiket penipuan antarabangsa dalam pembukaan syarikat dan akaun-akaun bank di Malaysia.

    “Kemudahan yang diberikan itu menyebabkan sindiket tersebut memilih Malaysia sebagai salah satu negara bagi aktiviti penipuan,” katanya.

    Sumber juga memaklumkan, SPRM telah menahan seorang lelaki warga asing berusia 41 tahun yang merupakan seorang ahli sindiket yang dikehendaki berhubung kes penipuan pelaburan.

    “Individu berkenaan telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 oleh pasukan khas pada Selasa lalu ketika dia tiba dari Kemboja untuk pergi ke United Kingdom (UK).

    “Individu tersebut disyaki mencipta laman web palsu untuk diberikan kepada mangsa penipuan bagi menyakinkan mangsa untuk melabur di pelaburan yang tidak wujud,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Mohamad Zamri ketika dihubungi hari ini mengesahkan serbuan berkenaan, namun tidak mengulas lanjut.

    Terdahulu, SPRM menumpaskan sindiket pelaburan antarabangsa didalangi warga United Kingdom (UK) dalam serbuan di 24 premis berasingan menerusi Op Tropicana yang dilaksana bermula 21 Februari lalu.

    Operasi dijalankan serentak termasuk di tiga pusat panggilan, syarikat dan kediaman ahli sindiket di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang tanpa kehadiran pihak polis.

    Difahamkan, sindiket dipercayai beroperasi sejak 2019 dan mengaut hampir RM200 juta daripada mangsa warga Australia dan UK, malah dipercayai memberi suapan kepada pihak berkuasa supaya mereka boleh terus beroperasi.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, modus operandi sindiket adalah menawarkan portfolio pelaburan tidak wujud menerusi iklan dalam media sosial dan ahli sindiket terdiri daripada warga Australia, Britain, Afrika Selatan dan Filipina.

    Katanya, sindiket ini sebahagian daripada sindiket antarabangsa yang dipercayai menipu mangsa di seluruh dunia sehingga RM1 bilion.

    Seramai 11 suspek disyaki terbabit dalam kegiatan itu ditahan, manakala 70 individu lagi ditahan Jabatan Imigresen dalam operasi itu.

    Sebanyak 74 akaun milik individu dan syarikat dibekukan, dianggarkan berjumlah RM11 juta.

  • Bekas pengarah, pegawai kewangan dibebas kes tuntutan palsu

    Bekas pengarah, pegawai kewangan dibebas kes tuntutan palsu

    BEKAS bekas pengarah syarikat pembekal ubat-ubatan dan bekas ketua pegawai kewangan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini berhubung tuntutan palsu lebih RM1.2 juta kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), pada 2014 lalu.

    Hakim Rozina Ayob memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Gulam Rusol Md. Ismail, 60, dan Kamaruzzaman Kamaludeen, 50, pada akhir kes pendakwaan.

    Semasa membaca keputusan penghakimannya, hakim berkata: “Berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, eksibit yang dikemukakan dan membaca serta mendengar hujahan, mahkamah mendapati terdapat kecacatan pada pertuduhan berkenaan.”

    Katanya, pasukan pendakwaan gagal menyatakan secara lengkap butiran palsu yang didakwa telah memperdayakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

    “Ketiadaan mesin berkenaan di syarikat itu semasa juru audit hadir adalah disebabkan pembatalan pembelian oleh saksi pendakwaan ke-12, Pengarah Natureceuticals Sdn Bhd, Dr. Amin Malik Shah Abdul Majid dan bukannya kedua-dua tertuduh.

    “Hal tersebut bukan lagi berada bawah kawalan tertuduh-tertuduh, maka mereka dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri bagi pertuduhan masing-masing,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Pada 17 Julai 2020, Gulam Rusol sebagai presiden dan pengarah Syarikat Natureceuticals mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengemukakan permohonan bagi tuntutan bayaran balik pembelian ‘stickpack machine’ berjumlah RM1.225 juta kepada Nordanial Rohimi, di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan niat memperdayakan ejen itu.

    Dokumen tersebut didakwa mengandungi butiran palsu iaitu salinan invois Nothern Petrochem Sdn Bhd, salinan pesanan pembelian Natureceuticals Sdn. Bhd, dua salinan masing-masing baucar pembayaran dan cek Maybank, sedangkan mesin itu tidak pernah dibekalkan.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pembangunan Herba, di kementerian itu, di Aras 2, Bangunan Galeri PjH, Lot 29, Jalan P4W, Prensint 4, Persiaran Perdana, Putrajaya, pada 16 Disember 2014.

    Sementara itu, bekas ketua pegawai kewangan Kamaruzzaman Kamaludeen, 50, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Gulam Rusol berhubung perkara sama di tempat dan masa serupa.

    Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM), yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah dipalsu atau RM10,000, jika sabit kesalahan.

    Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi dan Natrah Fareha Rahmat.

    Pembelaan untuk Gulam Rusol pula oleh peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin sementara peguam, Muhammad Irzan Iswatt Mohd. Noor bagi pihak Kamaruzzaman.

  • Kerajaan hormat keputusan mahkamah bebas Najib, kata Fahmi

    Kerajaan hormat keputusan mahkamah bebas Najib, kata Fahmi

    KERAJAAN menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan bekas Perdana Menteri, DatuK Seri Najib Razak daripada pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan menyebabkan pindaan pada laporan akhir audit 1MDB.

    Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu sudah diperjelaskan Perdana Menteri, DatuK Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

    “Perdana menteri dah kata (kerajaan) tidak akan campur urusan mahkamah. Dakwaan kerajaan campur tangan dalam kes itu adalah penghinaan kepada mahkamah.

    “Ini adalah proses mahkamah dan kami menghormati keputusannya,” katanya dalam sidang akhar hari ini, lapor FMT.

    Terdahulu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy turut dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dengan Najib dalam melakukan kesalahan itu.

    Hakim Zaini Mazlan mendapati pendakwa raya gagal membuktikan bahawa ada kes prima facie terhadap Najib, bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 7 Sept 2022 selepas memanggil 16 orang saksi, termasuk Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa, bekas ketua setiausaha negara.

    Mahkamah juga sebelum ini membenarkan permohonan pendakwa raya untuk memanggil Arul Kanda memberikan keterangan bagi pihaknya.

    Najib didakwa menyalahgunakan kuasa untuk mendapat kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan pindaan pada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentang dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

    Arul Kanda dituduh bersubahat dengannya dalam melakukan kesalahan itu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

    Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata keputusan berkenaan memulihkan semangat bekas pemimpin UMNO itu yang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

    Peguam Najib, Tan Sri Shafee Abdullah berharap pembebasan Najib dan Arul Kanda berhubung kes pindaan laporan audit 1MDB hari ini akan menjadi permulaan kepada ‘banyak perkara baik yang akan datang’.