Author: Wartawan WartaRakyat

  • Syamsul ‘kunci mulut’ isu enggan cerai Puteri Sarah

    Syamsul ‘kunci mulut’ isu enggan cerai Puteri Sarah

    PENGARAH sensasi, Syamsul Yusof mengunci mulut berhubung keputusannya enggan menceraikan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.

    Syamsul atau nama penuhnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, tidak mengendahkan pertanyaan wartawan yang menunggu di luar kamar mahkamah.

    Beliau sebaliknya terus menuju ke lif bersama peguamnya, Roshdan Sujak.

    Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu dilihat menggelengkan kepala apabila ditanya alasan tidak menceraikan isteri pertamanya, selain dakwaan memukul Puteri Sarah, dua tahun lalu.

    Bagaimanapun, ketika beredar dari kamar mahkamah, Syamsul hanya menunjukkan isyarat tangan tanda ‘aman’ dan ‘Allah Yang Satu’.

    Pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof ketika hadir bagi merujuk kes penceraian dengan isterinya, Puteri Sarah kepada Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sementara itu, Roshdan ketika berhujah di mahkamah berkata, setakat ini, Syamsul tidak mahu menceraikan Puteri Sarah kerana menyifatkan masih ada sinar untuk memperbaiki hubungan perkahwinan.

    “Masih ada sinar untuk pasangan ini… pihak kami tidak setuju pelantikan hakam untuk kes perceraian ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Terdahulu, Puteri Sarah dan Syamsul diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

    Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

    Pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof dan pelakon, Puteri Sarah ketika hadir bagi merujuk kes mereka kepada Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.

    Terdahulu, Puteri Sarah nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.

    Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

  • Lebih 30 jemaah umrah Malaysia terkandas di Mekah

    Lebih 30 jemaah umrah Malaysia terkandas di Mekah

    LEBIH 30 jemaah umrah dari Malaysia yang dijadual pulang ke tanah air tiga hari lepas berhadapan pengalaman pahit apabila masih terkandas di Arab Saudi.

    Seorang jemaah yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Am, 40-an berkata, mereka sepatutnya dijadualkan berlepas pulang ke Malaysia, 4 Mac lalu.

    Namun katanya, perancangan itu tergendala apabila penerbangan pulang telah ditunda kepada 6.40 petang Selasa (waktu Malaysia 11.40 malam).

    “Kami mula terkandas setelah daftar keluar dari sebuah hotel di Mekah pada Sabtu lepas. Kemudian, kami dipindahkan ke sebuah hotel lain dari 4 hingga 5 Mac, sebelum dipindahkan pula ke sebuah hotel bajet di Jeddah dari 5 hingga 7 Mac.

    “Secara keseluruhannya, kami terkandas selama tiga hari sehingga saya terpaksa melanjutkan tempoh cuti disebabkan terkandas di sini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

    Cik Am memaklumkan, terdapat tiga rombongan yang berlepas ke tanah suci dari 21 hingga 23 Februari lepas di bawah khidmat syarikat pengurusan umrah terbabit

    Katanya, jemaah yang datang pada 21 Februari dan 23 Februari telah mendapat tiket pulang ke tanah air selepas selesai mengerjakan umrah.

    Menurut Cik Am, mereka yang merupakan peserta dari kumpulan yang datang pada 22 Februari baru sahaja menerima tiket untuk pulang pada Selasa.

    Lebih mengecewakan, Cik Am mendakwa, mereka tidak diberikan penjelasan lanjut oleh syarikat pengurusan umrah terbabit tentang punca terkandas di Mekah.

    Katanya, kebanyakan jemaah terdiri daripada warga emas termasuklah ada berkerusi roda terpaksa pindah hotel beberapa kali dalam tempoh semasa menunggu tarikh dan masa penerbangan untuk pulang ke Malaysia.

    “Kami semua kini bukan sahaja letih, malah amat sedih dan tertekan dengan keadaan ini,” katanya.

  • Pemuda Pas lapor polis dakwaan kaitkan parti dengan DAESH

    Pemuda Pas lapor polis dakwaan kaitkan parti dengan DAESH

    PEMUDA Pas menggesa polis menyiasat dakwaan yang mengaitkan parti itu dengan gerakan keganasan antarabangsa termasuk DAESH.

    Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sayap parti itu membuat laporan di Balai Polis Selayang, Kuala Lumpur pagi tadi bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap seoran gpengguna Twitter.

    “Siasatan boleh dibuat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang yang sesuai kerana Pas adalah parti yang sah berdaftar.

    “Tuduhan dibuat itu adalah jelas dan kita meminta polis supaya dapat melakukan tindakan segera dengan membuat siasatan dan tangkapan,” katanya pada sidang media, di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas ciapan di Twitter oleh pemilik akaun, Pak Arman Amin yang mengaitkan perarakan dibuat pemuda Pas dengan membawa replika pedang, lembing dan perisai dengan DAESH.

    Twitter itu yang merujuk kepada perarakan di Setiu, Terengganu, bulan lalu itu dimuat naik pada 5 Mac lalu pada pukul 11.44 malam.

    Ahmad Fadhli menegaskan, dakwaan sebegitu perlu diambil tindakan segera kerana berisiko menimbulkan ancaman terhadap keharmonian di negara ini.

    “Tiada keperluan mengaitkan Pas dengan mana-mana gerakan keganasan antarabangsa yang mana tuduhan seperti ini amat jelas bersifat fitnah,” katanya lagi, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, Ahmad Fadhli berkata, kerajaan seharusnya memberikannya secara terus tanpa perlu melalui rundingan atau desakan.

    Beliau berkata, ini kerana peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang itu termaktub dalam manifesto yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

  • Pencapaian 100 hari Kerajaan Madani, KJ bagi markah ‘B tolak’

    Pencapaian 100 hari Kerajaan Madani, KJ bagi markah ‘B tolak’

    BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) meletakkan gred pencapaian 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui Kerajaan Perpaduan sebagai B- (tolak).

    “Markah ini jauh lebih tinggi daripada kadar lulus (passing rate) kerana dasar jangka panjang kerajaan masih lagi sama.

    “Pencapaian ahli Kabinet juga dilihat tidak konsisten dalam usaha membantu Perdana Menteri menggariskan hala tuju yang lebih jelas,” ujar bekas Ketua Pemuda UMNO itu.

    Jelas, beliau tidak bermaksud jemaah Kabinet tidak bagus namun kurang menyerlah.

    “Kita jangka mereka akan terus ke hadapan dalam membantu Perdana Menteri mentadbir negara.

    “Jadi markah B- yang saya bagi untuk pencapaian 100 hari Kerajaan Madani sudah cukup tinggi,” katanya menerusi Program Podcast Keluar Sekejap episod 1 hari ini.

    Turut hadir ke program tersebut ialah bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

    Khairy Jamaluddin turut berharap Anwar tidak memegang portfolio Menteri Kewangan selepas tempoh lima tahun akan datang.

    “Diharapkan Anwar akan melepaskan jawatan keduanya itu selepas melihat ekonomi negara semakin stabil dan mempunyai hala tuju jelas.

    “Dalam tata kelola kerajaan lebih baik asingkan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” jelasnya.

    Beliau juga berpendapat, kerajaan akan melakukan pengagihan semula sebelum melaksanakan kembali cukai barang dan perkhidmatan (GST).

    “Kalau terus buat GST, ia akan memberi kesan kepada politik Anwar. Berbeza dengan zaman Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ketika itu dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    “Kalau Anwar tiada skandal, agih bantuan kepada rakyat secara konsisten saya percaya ramai yang boleh terima pelaksanaan GST,” ujarnya.

    Sementara itu, Shahril Sufian memberi markah A- kepada pencapaian 100 hari pentadbiran kerana mempunyai isyarat awal dalam pembangunan negara dan kebajikan rakyat.

    “Saya fikir ada batu-batu asas mengenai usaha semua ahli Kabinet untuk memastikan negara lebih maju pada masa akan datang.

    “Walaupun tidak dinafikan, banyak dasar hanya diteruskan daripada pemerintahan terdahulu namun ia harus dipuji kerana mementingkan rakyat,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Jangan sentuh ‘wang ihsan’ kami, tegas Ahli Parlimen Kelantan, Terengganu

    Jangan sentuh ‘wang ihsan’ kami, tegas Ahli Parlimen Kelantan, Terengganu

    AHLI-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Kelantan dan Terengganu hari ini bersuara terhadap rancangan kerajaan melalui Belanjawan 2023 untuk mengambil sebahagian daripada “wang ihsan” dari negeri itu bagi membiayai program pembasmian kemiskinan.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, ia dibayar oleh Putrajaya kepada dua kerajaan negeri terbabit untuk hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai mereka.

    Menteri kewangan sebelum ini, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menjelaskan, kedua-dua negeri tidak dibayar royalti minyak kerana pengeluarannya dijalankan di luar perairan negeri.

    Pada pembentangan Belanjawan 2023 bulan lalu, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memperuntukkan jumlah yang tidak dinyatakan daripada “wang ihsan” kedua-dua negeri untuk membantu golongan miskin.

    Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) pada sidang media di Parlimen hari ini mendakwa, langkah itu bercanggah dengan pendirian beberapa anggota kerajaan berhubung pembayaran royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu.

    Beliau mendakwa manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) 2018 berjanji untuk membayar royalti tahunan 20% kepada negeri pengeluar minyak. Perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian berkata royalti adalah 20% daripada keuntungan minyak dan gas, bukan hasil.

    Beliau juga mendakwa jawatankuasa kewangan negara bersetuju pada Jun 2018 untuk menghentikan pembayaran wang ihsan, sebaliknya menyalurkan royalti minyak terus kepada Terengganu dan Kelantan.

    Tegas Takiyuddin, kini kerajaan langsung tidak mahu memberikan tuntutan 5% daripada hasil minyak dan gas oleh dua negeri itu.

    “Kami menuntut kerajaan pusat menjelaskan sendiri mengenai perkara itu,” kata setiausaha agung Pas itu.

    Beliau turut disertai Ahli Parlimen PN lain dari Terengganu dan Kelantan pada sidang media itu. Pada PRU15, PN menyapu bersih semua 22 kerusi Parlimen di dua negeri Pantai Timur itu.

    Minggu lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata Akta Laut Wilayah menetapkan kerajaan negeri hanya berhak mendapat royalti minyak jika ia ditemui dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai mereka.

    Sebelum ini, pemimpin dari Kelantan dan Terengganu pimpinan PAS berkali-kali menggesa Putrajaya membayar royalti minyak terus kepada negeri, dengan menegaskan mereka berhak menerimanya bawah perjanjian dengan Petronas yang ditandatangani pada 1975.

    Pada 2021, bekas pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah, juga berkata tiada perkara seperti pembayaran “wang ihsan” kerana perjanjian adalah untuk Petronas membayar negeri-negeri 5% dalam pembayaran tunai sebagai pertukaran untuk mereka meletak hak hidrokarbon atau hak minyak dan gas dalam syarikat minyak.

  • Terengganu luluskan RM4.36 juta biayai lesen motosikal untuk belia

    Terengganu luluskan RM4.36 juta biayai lesen motosikal untuk belia

    KERAJAAN negeri Terengganu meluluskan peruntukan RM4.36 juta bagi membiayai pemberian Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) percuma kepada golongan belia.

    Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, seramai 15,000 golongan belia berusia antara 16 tahun dan 40 tahun layak memohon untuk mendapatkan LMTS secara percuma tahun ini.

    “Permohonan kepada belia dan beliawanis termasuk golongan golongan orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan lesen B2 percuma sudah dibuka mulai semalam hingga 20 Mac ini.

    “Kita menyasar untuk melaksanakan program ini bermula April,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Boling Jalinan Mesra Golek Santai bersama Media, anjuran bersama Majlis Sukan negeri (MSN), di Kuala Terengganu, hari ini.

    Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita negeri, Zuraida Md. Noor dan Pengarah MSN negeri, Ahmad Shahrizal Yahaya.

    Wan Sukairi yang juga ADUN Wakaf Mempelam, berkata kerajaan negeri hanya akan menanggung kos pendaftaran, ujian komputer lesen L dan latihan memandu serta ujian memandu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM310 setiap individu termasuk perlindungan insuran.

    Katanya, sebanyak 12 Institut Memandu (IM) dilantik oleh kerajaan negeri bagi mengendalikan ujian memandu lesen motosikal B2.

    “Belia dan beliawanis termasuk OKU, boleh membuat permohonan untuk mendapatkan LMTS melalui dalam talian yang sudah dibuka mulai semalam.

    “Latihan dan ujian bagi mendapatkan lesen motosikal percuma melalui program LMTS untuk golongan belia dan beliawanis mula diperkenalkan kerajaan pada 2019,” katanya, lapor BH Online.

    Wan Sukairi berkata, seramai 40,000 golongan belia dan beliawanis di seluruh negeri ini, sudah mendapat manfaat program itu sejak diperkenalkan mulai 2019.

    Ketika pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengumumkan langkah kerajaan untuk membiayai kos mendapatkan lesen memandu Kelas B2, Lesen Teksi, Bas serta e-hailing kepada belia B40 di negara ini.

    Namun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kemudiannya menjelaskan tidak semua belia layak mendapat kemudahan pembiayaan itu, sebaliknya hanya individu daripada kategori itu yang berdepan kesulitan keupayaan kewangan sahaja, akan dipertimbangkan menerima manfaatnya.

    Bagaimanapun, katanya mekanisme dan syarat itu akan diperincikan terlebih dahulu sebelum pengumuman dibuat.

  • Polis tahan 8 individu termasuk seorang berpangkat Datuk, rampas 300kg syabu

    Polis tahan 8 individu termasuk seorang berpangkat Datuk, rampas 300kg syabu

    POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam lima serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan dengan anggaran nilai rampasan dan sitaan berjumlah RM11.2 juta menerusi Op Greyhound, 3 Mac lalu.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman berkata, serbuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan JSJN Kuala Lumpur itu berjaya menahan lapan individu termasuk seorang berpangkat Datuk yang disyaki terlibat dalam sindiket itu.

    Katanya, penahanan lapan individu itu melibatkan tujuh orang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 27 sehingga 61 tahun.

    Sebahagian daripada dadah jenis syabu bernilai RM10.8 juta yang dirampas selepas polis menahan 8 individu termasuk seorang bergelar ‘Datuk’ serta berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah menerusi Op Greyhound ketika Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurut beliau, menerusi serbuan itu pihaknya turut merampas 300kg dadah jenis syabu dan 2kg pil ekstasi bernilai RM10.8 juta yang dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 600,000 orang penagih dadah.

    Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sebanyak tujuh buah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk mengedar dadah disita menerusi serbuan itu selain barang kemas bernilai RM17,566 dan wang tunai berjumlah RM8,400 dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM481,966.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman (tengah) bersama pegawainya menunjukkan salah sebuah kenderaan yang dirampas selepas menahan 8 individu termasuk seorang bergelar ‘Datuk’ serta berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah menerusi Op Greyhound ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Modus operandi sindiket ini adalah dengan mendapatkan bekalan dadah dari Utara semenanjung Malaysia untuk pasaran Lembah Klang dan negara jiran.

    “Bekalan dadah itu dibawa menggunakan kenderaan yang telah diubah suai bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kuala Lumpur.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman. GAMBAR: Warta Rakyat

    Jelas beliau lagi, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 4 Mac sehingga 10 Mac ini bagi membantu siasatan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Polis Kuala Lumpur khususnya JSJN Kuala Lumpur akan terus berusaha mengesan saki baki ahli sindiket yang terlibat untuk diheret ke muka pengadilan,” jelasnya lagi, lapor UtusanTV.

  • Masih bertaring, Khairy, Shahril lancar podcast ‘Keluar Sekejap’

    Masih bertaring, Khairy, Shahril lancar podcast ‘Keluar Sekejap’

    BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan hari ini melancarkan siaran podcast, ‘KeluarSekejap’ di saluran YouTube.

    Khairy turut memaklumkan perkara berkenaan menerusi perkongsian di Instagram Story beliau minggu lalu.

    Setakat pukul 3 petang tadi, podcast ‘KeluarSekejap’ telah meraih 467 followers dan 720 tontonan, lapor Astro Awani.

    Segmen pertama menampilkan tajuk ‘Pencapaian 100 Hari Madani’ yang membincangkan secara konstruktif pencapaian dan hala tuju Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Sebelum ini, Khairy berdepan tindakan pemecatan daripada UMNO selepas dikatakan telah melanggar undang-undang disiplin parti.

    Selain beliau, Sharil juga antara individu yang menerima tindakan daripada UMNO apabila beliau digantung selama enam tahun.

    Dalam pada itu, kedua-dua mereka sebelum ini menegaskan bahawa platform berkenaan tidak akan digunakan untuk melepaskan ‘dendam’ politik.
    Siaran podcast ‘KeluarSekejap’ akan dibuat setiap minggu dan akan bersiaran selama setengah jam.

  • Pemilihan UMNO: Surat didakwa daripada RoS tular di Facebook

    Pemilihan UMNO: Surat didakwa daripada RoS tular di Facebook

    TULAR dalam media sosial hari ini apabila surat didakwa daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) supaya dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan.

    Astro Awani melaporkan, ia selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian kepada UMNO berhubung usul tiada pertandingan bagi dua jawatan teratas parti berkenaan dalam pemilihan akan datang pada 18 Mac.

    Surat berkenaan yang disiarkan menerusi laman Facebook Planetmalaya antara lain memaparkan kandungan surat terbabit yang dikatakan keputusan RoS terhadap usul tambahan tersebut.

    “Ini adalah surat RoS di mana keputusan usul tambahan Ucapan Dasar Presiden Di Perhimpunan Agung UMNO 2022 jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada penggal pemilihan parti yang akan datang adalah TIDAK SAH,” dakwa planetmalaya.

    Surat terbabit turut mengatakan bahawa UMNO hendaklah mengambil tindakan pembetulan dengan tidak mengetepikan Perlembagaan UMNO di bawah Fasal 9.3 dalam pelaksanaan Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO.

    Petikan perkongsian di Facebook berkenaan surat RoS UMNO
  • 2 bot bawa 19 penumpang bertembung, 3 maut

    2 bot bawa 19 penumpang bertembung, 3 maut

    TIGA orang dilaporkan terbunuh dalam kejadian dua bot bertembung di perairan berdekatan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, malam tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu melibatkan sebuah bot membawa 17 penumpang bersama seorang tekong dari arah Lumut ke Pulau Pangkor yang berlanggar dengan sebuah lagi bot membawa dua penumpang serta seorang tekong.

    Lapor Harian Metro, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 9.17 malam.

    Katanya, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Manjung serta dibantu TLDM kemudian bertindak melakukan misi mencari dan menyelamat mangsa.

    “Akibat pertembungan itu, 10 penumpang bot dari arah Lumut ke Pulau Pangkor jatuh ke dalam laut dan kemudiannya diselamatkan oleh kedua-dua tekong bot terbabit. Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Laut (HAT) untuk mendapatkan rawatan,” katanya menerusi satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Nor Omar berkata, pihak HAT memaklumkan tiga mangsa wanita berumur linkungan antara 26 hingga 43 tahun meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

    “Seorang lagi wanita berumur 43 tahun sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala 17 orang mangsa lagi dirawat sebagai pesakit luar,” katanya lagi.

    Menurutnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.