Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bekas IGP kongsi ‘enam jangan’ buat para isteri

    Bekas IGP kongsi ‘enam jangan’ buat para isteri

    SELEPAS terpalit dengan kontroversi klip video yang memaparkan seorang lelaki miripnya bergaduh dengan seorang wanita, bekas ketua polis negara (IGP) Tan Sri Musa Hassan berkongsi pesanan buat para isteri.

    Dalam ciapan di Twitter, beliau berkongsikan enam tabiat yang tidak patut diamalkan oleh isteri.

    “Jangan menghina dan mengumpat suami di depan orang lain, jangan meninggikan suara dan mengherdik suami dan jangan keluar tanpa izin suami.

    “Jangan mendoakan kecelakaan buat suami, jangan membenci kegemaran suami dan jangan menjadi tekanan kepada suami,” ciapnya awal pagi tadi.

    Ciapan Musa Hassan di Twitter

    Semalam Musa menggesa orang ramai untuk menghormati privasinya susulan tersebar klip video memaparkan seorang lelaki yang seakan Musa berbalah dengan seorang wanita.

    “Ini adalah masalah privasi keluarga. Jangan ada yang masuk campur.

    “Jika ada yang membuat spekulasi akan berhadapan dengan tindakan undang-undang,” kata Musa pada ciapannya di Twitter.

    Sementara itu Musa turut menegaskan bahawa isteri yang mendehaka pada suami akan ditempatkan di neraka jahanam.

    Selain itu dalam ciapan berasingan dia turut menggariskan lima ciri-ciri isteri derhaka kepada suami.

    “Tidak mensyukuri kebaikan dilakukan suami, suka menyakiti hati suami, melayani lelaki lain tanpa pengetahuan suami, keluar rumah tanpa izin suami dan meminta cerai dari suami,” ciapnya lapor Malaysiakini.

  • ‘Apa dah jadi dengan UMNO, diheret pula menteri KDN’

    ‘Apa dah jadi dengan UMNO, diheret pula menteri KDN’

    “APA dah jadi dgn UMNO ni?” begitu soal bekas naib presiden yang digantung keanggotaan parti Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

    Anggota parlimen Sembrong itu berkata demikian dalam komen terhadap status bekas ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang telah dipecat, ketika mengulas pengecualian kepada UMNO daripada diharamkan.

    Dalam status video itu, Khairy berkata keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menunjukkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sememangnya memutuskan keputusan UMNO tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO sebagai tidak sah.

    Sementara itu, Hishammuddin yang terpalit kontroversi memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, berkata UMNO kali ini mengheret menteri dalam negeri pula.

    “Sekarang diheret pula Menteri KDN. 

    “Inilah sebab kita dipecat dan digantung – just in case menteri tak bagi pengecualian!” katanya Lapor Malaysiakini.

    Hishammuddin selama ini disebut-sebut berkemungkinan bertanding jawatan tertinggi UMNO bersama bekas perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, walaupun tidak pernah mengisytiharkan secara terbuka.

    Khairy pula memang telah menyatakan mahu mencabar Presiden Datuk Seri Zahid Hamidi tetapi tidak dapat lagi berbuat demikian setelah dipecat daripada parti.

    Semalam Saifuddin menggunakan kuasa budi bicaranya untuk mengecualikan UMNO daripada dibatalkan pendaftaran.

    Pada 20 Jan lalu, dua anggota UMNO memfailkan notis bantahan kepada ROS berhubung ketetapan tidak mempertandingkan dua jawatan utama parti.

    Tindakan itu didakwa tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.

    Bagaimanapun ini  bukan kali pertama dua jawatan itu tidak dipertandingkan.

  • Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah meninggal dunia

    Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah meninggal dunia

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEKAS Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah, 79, meninggal dunia, hari ini.

    Pemergian Allahyarham yang dikenali sebagai pemimpin berjiwa kental disahkan bekas Setiausaha Akhbarnya, Datuk Boon Som Inong, sebentar tadi.

    Katanya, Allahyarham difahamkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi di sebuah hospital swasta di Sungai Petani.

    “Curahan jasa dan baktinya kepada rakyat Kedah cukup banyak dan tidak terhitung. Beliau pernah berpesan ketika menjadi ‘boss’ saya dahulu ‘di mana ada rakyat, di situlah pejabat kita.

    “Kitalah yang kena keluar pergi jumpa dan selesaikan masalah mereka. Dari situ, kita sudah dapat melihat betapa beliau amat mementingkan kehidupan rakyat,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat.

    Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Syed Razak.

    “Beliau merupakan seorang pemimpin yang memiliki jiwa cukup kental. Dalam keadaan uzur sekali pun, beliau akan tetap cuba memenuhi undangan ke sana-sini dalam apa jua majlis.

    “Sama ada mahu naik atau turun pentas, beliau sentiasa berusaha melakukannya sendiri tanpa mahu dibantu. Tiada siapa dapat menafikan sumbangannya kepada negeri ini kehilangan ini tidak hanya kepada keluarganya saja malah seluruh negeri Kedah,” katanya.

    Dalam pada itu rakan baik Syed Razak yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah turut terkesan dengan kehilangan tersebut.

    “Beliau seorang pemimpin yang baik, memiliki visi dan misi untuk memajukan rakyat serta negeri dalam apa jua keadaan.

    “Kami saling mengenali sejak beliau masih berniaga dan belum menyertai politik lagi. Ketika beliau menjadi Menteri Besar, saya jadi Exco kerajaan negeri dan hubungan yang rapat ini akan dikenang sampai bila-bila,” katanya.

  • Empat termasuk pelakon drama berdepan hukuman mati

    Empat termasuk pelakon drama berdepan hukuman mati

    EMPAT lelaki termasuk seorang pelakon drama, berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada Januari lalu atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, di sebuah kedai rokok elektronik atau ‘vape’.

    Mereka ialah pelakon yang juga pemilik kedai itu, Said Muhammad Ismail Said Pakir, 29, dua pekerjanya, H.S. Sarvinder Singh, 23, dan Delson Dean Samson Akmal, 26, sementara seorang lagi, peniaga burger, Muhammad Amir Hafiz Zamani, 30.

    Ketika prosiding sebutan kes di hadapan Majistret Wong Chai Sia hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Sareeka Balakrishnan memberitahu bahawa, laporan kimia bagi kes berkenaan belum diterima.

    Susulan itu, mahkamah menetapkan sebutan semula kes, pada 31 Mac ini, lapor Sinar Harian.

    Dalam kes ini, tertuduh pertama, Sarvinder Singh diwakili peguam, S Shastidaran manakala tiga tertuduh lain oleh peguam, Mohamed Ashmeer Ashrof.

    Pada 10 Januari lalu, mereka didakwa dengan niat bersama telah mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis dengan anggaran berat 494 gram, di sebuah premis di Taman Oug Parklane Off Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada pukul 9.45 malam, 3 Januari lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan di baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika disabitkan, boleh dijatuhi hukuman mati atau tidak kurang sembilan sebatan dan penjara seumur hidup.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

    Pada 4 Januari lalu, media melaporkan, kegiatan sindiket menjual ganja dalam bentuk cecair rokok elektronik atau ‘vape’ terbongkar selepas empat daripada ahlinya ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

    Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, serbuan pukul 9.45 malam itu berjaya menemukan dadah jenis ganja seberat 494 gram (g) dan cecair ganja sebanyak 3,496 milliliter (ml).

  • DAP Pulau Pinang ‘bunuh diri’ halau 4 ADUN Bersatu

    DAP Pulau Pinang ‘bunuh diri’ halau 4 ADUN Bersatu

    KERAJAAN DAP Pulau Pinang ketika ini mungkin berasakan sudah mencapai kemenangan besar apabila berjaya ‘menghalau’ dan mengarahkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) mengosongkan kerusi masing-masing menerusi usul pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin lalu.

    Namun dari sudut lain, ia sebenarnya memberi lebih banyak kesan buruk dan bukan keputusan menguntungkan buat Kerajaan DAP Pulau Pinang.

    Sebaliknya, keputusan itu memberi kelebihan atau ‘mileage’ politik buat Bersatu atau lebih tepat Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) itu yang dijangka berlangsung antara Julai dan Ogos ini sebaik sahaja DUN Pulau Pinang dibubarkan sekitar Jun ini.

    Ketika ini, ramai pengundi menilai keputusan menghalau empat ADUN Bersatu itu lebih kepada satu tindakan berlandaskan politik semata-mata dan sidang DUN ‘dipergunakan’ untuk memperlihatkan tindakan tersebut adalah benar.

    Ini kerana secara logiknya, tindakan menghalau empat ADUN itu tidak relevan atau perlu diambil memandangkan DUN sendiri akan terbubar dalam tempoh hanya beberapa bulan bagi memberi laluan kepada PRN.

    Lebih daripada itu, kes melibatkan empat ADUN yang didakwa melompat parti itu juga akan dibawa ke peringkat Mahkamah Rayuan yang bermakna masih ada isu yang belum diselesaikan membabitkan usul pengosongan kerusi berkenaan.

    Maka, sewajarnya Kerajaan DAP Pulau Pinang menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terlebih dahulu sebelum meluluskan usul pengosongan kerusi terbabit.

    Bagaimana jika keputusan Mahkamah Rayuan kelak berpihak kepada empat ADUN Bersatu berkenaan dan mereka didapati tidak melanggar Perlembagaan Negeri Pulau Pinang sehingga perlu mengosongkan kerusi?

    Tidakkah ini akan menimbulkan polemik lain dan mendedahkan kepincangan dalam tadbir urus negeri oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang?

    Malah, empat ADUN Bersatu berkenaan juga boleh mengambil tindakan undang-undang jika Mahkamah Rayuan memihak kepada mereka sekali gus menjatuhkan imej dan reputasi Kerajaan DAP Pulau Pinang yang sebelum ini begitu bangga mencanangkan mereka Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

    Adalah jelas keputusan Kerajaan DAP Pulau Pinang ‘menghalau’ empat ADUN Bersatu itu hanya akan menarik lebih simpati pengundi Pulau Pinang kepada PN menjelang PRN negeri itu kelak.

    Dalam situasi gelombang hijau PN yang masih kuat ketika ini, Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu bersedia untuk menerima tindak balas daripada pengundi ekoran keputusan mereka itu pada PRN kelak.

  • ADUN Pas ikrar pertahan Lynas

    ADUN Pas ikrar pertahan Lynas

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berikrar mempertahankan kilang penapisan nadir bumi Lynas dengan semangat yang sama ketika dia pernah menentangnya satu ketika dahulu.

    “Lynas telah beroperasi selama 10 tahun dan sudah banyak data yang dikumpul dan dibentangkan untuk membuat penilaian yang jujur dan adil berkenaan operasi kilang penapisan nadir bumi ini.

    “Saya perlu adil dalam membuat pertimbangan semula terhadap tahap keselamatan operasi kilang ini berdasarkan dapatan dan laporan oleh agensi-agensi ini selain daripada pakar-pakar akademik dan industri,” katanya dalam kenyataan, lapor Malaysiakini.

    Andansura, yang merupakan timbalan Persuruhjaya Pas Pahang, adalah pengerusi Gabungan Stop Lynas dari 2010 hingga 2013.

    Menjelang 2018, beliau mengubah pendiriannya secara terbuka, dengan alasan bahawa kilang nadir bumi itu selamat berdasarkan fakta yang telah disemaknya.

    Andansura berkata, syarat kerajaan agar Lynas memindahkan proses pemecahan dan larut lesapnya ke luar negara adalah tidak adil kepada syarikat itu dan 800 kakitangannya.

    Sehubungan itu, beliau berjanji untuk bekerjasama dengan ADUN lain di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang untuk melibatkan pihak berkepentingan dengan matlamat untuk melindungi kilang berkenaan.

    “Pendirian ini dibuat adalah demi nasib ratusan pekerja dan ribuan isi rumah yang akan terkesan, serta untuk kepentingan ekonomi negeri dan negara.

    “Saya juga menyeru ahli masyarakat prihatin agar dapat bersama-sama mengambil pendirian yang adil berhubung perkara ini dan memberikan informasi dan pencerahan yang telus kepada masyarakat awam,” katanya.

    Andansura mendakwa, nilai sumbangan kepada ekonomi tempatan daripada kemudahan retak dan laurt Lynas yang akan ditutup kira-kira RM200 juta setahun.

    Kerajaan sebelum ini memutuskan bahawa Lynas mesti memindahkan loji retak dan larut lesapnya ke luar negara sebelum Julai 2023.

    Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan penutupan kilang penapisan nadir bumi itu.

  • Lans Koperal mengaku tidak bersalah terima rasuah RM900

    Lans Koperal mengaku tidak bersalah terima rasuah RM900

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM900 sejak 2016 hingga 2018.

    Bagaimapaun, tertuduh, Muhamad A. Jalalal, 33, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh yang ketika kejadian bertugas di Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman didakwa menerima RM900 daripada syarikat Kedah Coastal Transport & Trading Company Sdn. Bhd.

    Dia didakwa menerima rasuah itu daripada pengarah syarikat menerusi akaun bank CIMB yang mana syarikat itu terbabit dengan kerja-kerja rasmi membabitkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Muhamad dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di bank Maybank dan CIMB di Jalan Bahru, Taman Chai Leng dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) antara November 2016 hingga Februari 2018.

    Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkifli dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Dalam pada itu, Muhamad yang kini bertugas sebagai Lans Koperal Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Ipoh, Perak memohon mahkamah mengurangkan jaminan ke atasnya dengan alasan hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.

    Selain itu, katanya, dia juga perlu menanggung anak autisme dan bapa yang menghidap sakit jantung selain baru kematian bapa mentua.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.

    Selain itu, Hakim turut mengarahkan tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan sehingga perbicaraan kes itu selesai serta melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

    Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 April depan.

  • SPRM tahan tiga individu termasuk Pengurus Pusat Giat Mara terbabit kes rasuah, salah guna jawatan

    SPRM tahan tiga individu termasuk Pengurus Pusat Giat Mara terbabit kes rasuah, salah guna jawatan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna jawatan dan menerima rasuah.

    Tangkapan dilakukan secara berasingan di pejabat SPRM Pahang dan Raub semalam.

    Sinar Harian melaporkan, seorang daripada yang ditahan merupakan pengurus sebuah Pusat Giat Mara di negeri berkenaan.

    Lelaki berusia 39 tahun itu disyaki menyalahgunakan jawatannya dengan mencadangkan syarikat milik adik-beradik isterinya dilantik untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih dan bina baharu Program Perumahan Termiskin (PPRT) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada 2021 hingga tahun lalu.

    Nilai keseluruhan bagi kerja-kerja tersebut berjumlah RM38,521.

    Suspek ditahan pada pukul 8.15 malam selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang di Kuantan.

    Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini untuk perintah reman.

    Majistret Fatinah Abu Bakar membenarkan perintah reman ke atas suspek selama tujuh hari sehingga 14 Mac ini.

    Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 ASPRM 2009.

    Sementara itu, SPRM turut menahan dua kakitangan di pejabat tanah daerah Raub dan Lipis untuk siasatan kerana disyaki menerima rasuah RM4,000 bagi membantu mempercepatkan proses permohonan permit sebuah syarikat untuk aktiviti pengeluaran pasir Sungai Semantan dan Sungai Jelai.

    Suspek berusia 37 tahun itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009 sebelum dilepaskan dengan bon jaminan SPRM.

    Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan semua tangkapan tersebut.

  • Polis buka dua kertas siasatan kes mafia korporat

    Polis buka dua kertas siasatan kes mafia korporat

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan berhubung artikel ‘Rahsia mafia korporat Malaysia Victor Chin Boon Long’ yang didakwa memperalatkan penguat kuasa tempatan.

    Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menerima laporan polis berhubung perkara itu pada 25 Mei 2022 dan kertas siasatan dibuka.

    Menurut Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin, menerusi laporan itu ada menyatakan wujud salah laku dan penyelewengan kewangan membabitkan wang berjumlah RM30.7 juta dalam pengurusan syarikat Caely (M) Sdn Bhd (anak syarikat milik Caely Holdings Berhad).

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah amanah oleh ejen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Susulan itu, katanya, satu laporan polis dibuat oleh polis pada 21 September lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

    “Ia bagi kesalahan menyebabkan hilangnya keterangan mengenai satu kesalahan dilakukan atau memberi dimaklumkan atau memberi maklumat palsu mengenai kesalahan itu untuk mengelak pesalah daripada hukuman,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kedua-dua kertas siasatan itu sudah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara, Putrajaya pada 27 Februari lalu untuk arahan dan keputusan lanjut.

    Terdahulu, satu portal menerbitkan artikel berhubung sekumpulan individu melakukan cubaan merampas syarikat senarai awam Caely Holdings dan sebuah syarikat lain.

    Kemelut perebutan mengakibatkan kejatuhan harga saham malah ia mendakwa turut membabitkan agensi penguatkuasaan, penyiasatan, penahanan dan pembekuan akaun ahli Lembaga Pengarah syarikat itu.

  • Rafizi puji perancangan baik ditinggalkan Tok Pa

    Rafizi puji perancangan baik ditinggalkan Tok Pa

    MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, perancangan baik yang ditinggalkan oleh kementerian itu sebelum ini di bawah teraju bekas Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed wajar dikekalkan.

    Menurutnya, itu merupakan pandangan beliau apabila mengambil alih tugas sebagai Menteri Ekonomi yang sebelum ini sebahagian besarnya dilaksanakan Mustapa yang lebih mesra dipanggil Tok Pa.

    “Saya tidak tahu perasaan orang lain seperti saya yang menjadi menteri terutama jika ia kali pertama menjadi menteri.

    “Ramai mengucapkan tahniah dan saya selalunya tidak tahu reaksi macam mana perlu dibalas atas ucapan tahniah tersebut kerana tugas itu adalah satu beban yang besar.

    “Bagi saya, tugas sebagai menteri tidaklah berbeza dengan tugas seorang ‘pengurus besar’. Organisasi yang kita sertai sudah ada perancangan yang dibuat,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

    Rafizi berkata, keberkesanan seorang pengurus besar ialah kebolehannya membaiki perancangan itu dan melaksanakannya dengan lebih baik supaya matlamat dicapai.

    “Bila sudah sampai masa untuk kita beralih ke tugas yang baharu sebaiknya kita tinggalkan organisasi itu dalam keadaan yang lebih baik dan manfaatnya dirasakan oleh ramai orang.

    “Yang baik ditinggalkan oleh pengurus besar sebelum kita, wajar dikekalkan. Kalau ada ruang untuk diperbaiki pelaksanaan, kita tumpu kepada perkara itu,” ujarnya.

    Sementara itu, Rafizi menjelaskan lebih-lebih lagi latar belakang beliau dengan Mustapa lebih kurang sama iaitu mempunyai latihan profesional dalam bidang ekonomi dan kewangan.

    “Minat kami pun banyak persamaan, seperti usaha membasmi kemiskinan dan membantu orang susah. Tok Pa berkunjung ke pejabat lama hari Isnin baru-baru ini.

    “Saya berbesar hati agar Tok Pa terus mendapat ruang untuk menyumbang khidmatnya (walau dalam persaraan) dalam perkara-perkara di bawah Kementerian Ekonomi yang rapat dengan hatinya seperti pembasmian kemiskinan dan meningkatkan kelestarian ekonomi menepati sasaran pembangunan lestari (SDG),” jelas Rafizi.

    Sudah tiba masa katanya, untuk beliau menyerahkan amanah tersebut kepada pengurus besar selepasnya pada suatu hari nanti diharapkan ada kesinambungan baik.

    “Saya juga berharap ada kesinambungan yang baik seperti (dilakukan) antara saya dan Tok Pa,” ujar Ahli Parlimen Pandan itu, lapor Sinar Harian.

    Untuk rekod, Tok Pa merupakan menteri Kabinet semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan selepas itu di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.