Author: Wartawan WartaRakyat

  • Laungan takbir sambut ketibaan Muhyiddin di Ibu Pejabat SPRM

    Laungan takbir sambut ketibaan Muhyiddin di Ibu Pejabat SPRM

    KETIBAAN PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyddin Yassin disambut dengan laungan takbir oleh ratusan penyokong berbaju putih di hadapan ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.

    Bekas Perdana Menteri itu tiba kira-kira pada jam 11.15 pagi dan masuk ke Ibu Pejabat SPRM pada jam 11.23 pagi.

    Sedikit kekecohan berlaku rentetan para penyokong mengerumuni kenderaan yang dinaiki ahli Parlimen Pagoh itu.

    Begitupun, keadaan kembali tenang selepas pegawai bertugas berjaya mengawal situasi di lokasi berkenaan.

    Terdahulu, pemimpin tertinggi Bersatu hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini bagi memberi sokongan kepada Muhyiddin.

    Antara yang hadir ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahamd Faizal Azumu; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Datuk Razali Idris; Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Penerangan Armada Nasional Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

    Menurut Razali, semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan turut hadir bagi memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu hari ini.

    Semalam, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh memaklumkan yang beliau diminta ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 11 pagi.

    Difahamkan bekas Perdana Menteri itu akan didakwa di mahkamah, Jumaat ini berkait dengan tuduhan rasuah.

  • Blok pembangkang kosong, Ahli Parlimen ke Putrajaya sokong Muhyiddin

    Blok pembangkang kosong, Ahli Parlimen ke Putrajaya sokong Muhyiddin

    PERSIDANGAN Dewan Rakyat sesi pagi hari ini menarik perhatian apabila hampir semua kerusi di blok pembangkang kosong tanpa kehadiran ahli-ahli Parlimennya kerana ke Putrajaya untuk memberi sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.

    MalaysiaNow melaporkan ia susulan perkembangan terbaru yang menyaksikan bekas perdana menteri itu dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijadualkan pada pukul 11 pagi.

    MalaysiaNow sebelum ini melaporkan, Muhyiddin dipercayai berada dalam senarai pemimpin pembangkang yang akan didakwa.

    Sehingga kini SPRM masih belum menjelaskan bentuk pertuduhan yang bakal dikenakan terhadap ahli Parlimen Pagoh tersebut.

    Difahamkan bekas perdana menteri itu akan ditahan dan dihadapkan ke mahkamah paling awal esok.

    Sementara itu, di luar perkarangan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, kelihatan beberapa ahli Parlimen PN dan penyokong-penyokongnya sudah hadir untuk menunggu ketibaan Muhyiddin di situ.

    MalaysiaNow difahamkan semua ahli Parlimen PN dan pemimpin-pemimpin parti komponen turut akan hadir bagi memberi sokongan kepada Muhyiddin.

    Sebelum ini, bekas Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor serta seorang lagi pemimpin parti itu ditahan dan didakwa SPRM berhubung dakwaan penyelewengan yang dikaitkan dengan JanaWibawa, program pasca Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

    SPRM turut membekukan akaun bank Bersatu sehinggakan parti itu tidak dapat membayar operasi hariannya.

    Sebelum ini seorang pemimpin PN memberi amaran bahawa pentadbiran Anwar Ibrahim akan melakukan penahanan secara besar-besaran bagi memburuk-burukkan pemimpinnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di mana lima daripadanya mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar.

  • Muhyiddin dilarang ke luar negara

    Muhyiddin dilarang ke luar negara

    BEKAS perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilarang ke luar negara, menurut dokumen mahkamah.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Bersatu mencabar sekatan perjalanan dikenakan terhadap presiden parti itu dalam permohonan semakan kehakiman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    “Sekatan perjalanan dikenakan kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang Muhyiddin akan bercakap mengenai perubahan dan perkembangan politik di Malaysia di forum antarabangsa,” katanya dalam permohonan itu.

    Bersatu mendakwa sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas Muhyiddin adalah menyalahi dan beliau tidak dimaklumkan mengenainya.

    Parti itu berkata, sekatan perjalanan bertujuan mencemarkan nama baik Muhyiddin dan seolah-olah Ahli Parlimen Pagoh itu telah melakukan jenayah dan cuba melarikan diri.

    Sekatan perjalanan itu juga melanggar hak Muhyiddin di bawah Perlembagaan Persekutuan, katanya.

    Sebelum ini dilaporkan Bersatu telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana membekukan akaun bank parti itu.

    Parti itu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi semalam, mendakwa keputusan membekukan akaun banknya dilakukan dengan niat jahat.

    Bulan lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan beberapa akaun bank Bersatu dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan agensi itu terhadap parti itu.

    Siasatan itu dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan pakej rangsangan Covid-19 bernilai RM92.5 bilion oleh bekas kerajaan pimpinan PN.

  • Artikel didakwa fitnah Hadi: Pemuda Pas lapor polis, gesa minta maaf

    Artikel didakwa fitnah Hadi: Pemuda Pas lapor polis, gesa minta maaf

    PEMUDA Pas Terengganu membuat laporan polis berhubung laporan sebuah portal yang didakwa berunsur fitnah terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

    Beliau berkata, ia susulan laporan artikel yang dimuat naik di sebuah portal pada 6 Mac lalu.

    “Laporan ini cukup-cukup melampau, ia jauh menyimpang daripada apa yang diucapkan oleh Tuan Guru (Abdul Hadi) sendiri, kami dapati tulisan ini berniat jahat serta mahu melaga-lagakan antara Tuan Guru dengan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya, semalam.

    Mohd Harun berkata, pihak terbabit digesa membuat permohonan maaf serta menarik balik artikel yang dikeluarkan itu.

    Katanya, jika perbuatan pihak tersebut menyebabkan kesan tidak baik dan berpanjangan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

    “Kami gesa supaya artikel ini segera dipadamkan dan ditarik balik. Kemukakan permohonan maaf. Sekiranya tiada apa-apa tindakan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka,” tegas beliau.

    Ujarnya, artikel berkenaan didakwa bertujuan mengeruhkan hubungan baik antara kerajaan negeri, Presiden Pas dengan pihak istana.

    “Apa yang berlaku pada hari ini melahirkan api untuk menyemarakkan lagi hubungan tidak baik dan bertujuan melaga-lagakan sehingga merebak kepada hubungan parti politik dengan pihak istana.

    “Kita kesal kerana tohmahan dan provokasi ini termasuk isu Himpit 2023 yang apabila diolah secara tidak wajar oleh sesetengah pihak menyebabkan kita dianggap sebagai pengganas,” ujar beliau.

    Pada 2 Mac lalu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengeluarkan kenyataan melarang semua pemimpin dan aktivis politik menggunakan masjid serta surau bagi menyampaikan ceramah atau mengadakan sebarang aktiviti berunsur politik kepartian.

    Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan itu dibuat setelah mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

    Jelas beliau, Sultan Mizan telah menzahirkan rasa dukacita dengan penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid tanpa kebenaran.

    Isu tersebut turut mendapat maklum balas daripada Abdul Hadi yang mengakui akan meneruskan ceramah seperti biasa walaupun dilarang berbuat demikian.

    Ahli Parlimen Marang itu memberitahu, tindakan tersebut tidak menjadi satu kesalahan kerana larangan berkenaan sebelum ini telah dibuat dan katanya dalam Islam sendiri tidak memisahkan politik dan agama. – Sinar Harian

  • “Tujuan mereka hanya satu, untuk melumpuhkan PN”, kata Saifuddin

    “Tujuan mereka hanya satu, untuk melumpuhkan PN”, kata Saifuddin

    SIASATAN berkaitan rasuah terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, sehari sebelum Perhimpunan Agung Tahunan parti itu dikatakan akibat dendam.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, sebagai kerajaan yang sepatutnya reformis, tindakan itu seperti dendam politik yang tidak seharusnya berlaku.

    “Tetapi mereka melakukan perbuatan dendam. Tujuan mereka hanya satu, untuk melumpuhkan PN,” katanya kepada media di hadapan Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, perhimpunan tahunan parti berkenaan akan diteruskan.

    “Agenda perhimpunan tahunan sudah ditetapkan, namun bergantung kepada keadaan dan situasi semasa. Kita mungkin buat sedikit perubahan kepada agenda esok,” katanya.

    Beliau turut mengecam tindakan siasatan oleh SPRM yang disifatkan sebagai dendam politik ke atas PN.

    Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dijangka hadir ke ibu pejabat SPRM, 11 pagi ini.

    Beliau yang juga bekas Perdana Menteri dijadual memberi keterangan tetapi beberapa laporan mengatakan Pengerusi PN itu akan didakwa hari ini.

    Siasatan terhadap Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

  • Baju ‘PN Best’ dengan gambar Muhyiddin diedar kepada penyokong

    Baju ‘PN Best’ dengan gambar Muhyiddin diedar kepada penyokong

    BAJU tertera perkataan ‘PN Best’ dan gambar Tan Sri Muhyiddin Yassin mula diedarkan kumpulan penyokong bekas perdana menteri itu, yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

    Lapor Astro AWANI, baju berwarna putih itu diedarkan kepada mereka yang berkumpul di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dan dipakai sebagai tanda solidariti kepada Ahli Parlimen Pagoh itu.

    Beberapa penyokong turut melaungkan “Hidup Tan Sri” ketika berhimpun.

    Setakat pukul 10 pagi, kumpulan penyokong dilihat semakin ramai, dengan turut dihadiri Ahli Parlimen Indera Mahkota merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    Difahamkan, Ahli Parlimen dari PN juga akan hadir ke SPRM pagi ini bagi memberikan sokongan.

    Muhyiddin dijadual tiba di ibu pejabat SPRM pada jam 10.30 pagi nanti.

    Astro AWANI semalam melaporkan SPRM akan memanggil Muhyiddin selaku Presiden Bersatu pada Khamis.

    Sumber SPRM mengesahkan kepada Astro AWANI berhubung berita tentang Muhyiddin dipanggil ke ibu pejabat agensi tersebut.

    Muhyiddin semalam menafikan ditahan ketika bermain golf di sebuah padang di Selangor.

    Pada 17 Januari lalu, SPRM memanggil Muhyiddin untuk memberi keterangan berhubung siasatan wang RM300 juta disyaki diterima parti itu daripada dana di bawah pakej rangsangan ekonomi COVID-19.

  • Bersatu mahu cabar keputusan SPRM beku akaun di mahkamah

    Bersatu mahu cabar keputusan SPRM beku akaun di mahkamah

    BERSATU mengambil tindakan undang-undang terhadap keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun banknya.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, parti itu memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi semalam, mendakwa keputusan membekukan akaun bank itu berniat jahat.

    Bersatu berkata, SPRM “menyalahgunakan kuasa” dengan menjalankan “pendakwaan politik” terpilih terhadap Perikatan Nasional (PN).

    Dalam permohonan yang difailkan itu, Bersatu meminta mahkamah menarik balik perintah pembekuan yang dikeluarkan SPRM.

    “Bersatu tidak pernah diserahkan dengan sebarang perintah pembekuan,” katanya dalam permohonan tersebut.

    “Bersatu hanya menyedari bahawa akaun bank (kami) telah dibekukan apabila beberapa transaksi bank tidak dapat dilakukan.”

    Parti itu turut mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi menyalahgunakan kuasa, membawa kepada siasatan SPRM terhadap akaun parti itu.

    Bulan lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan beberapa akaun bank milik Bersatu dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap parti itu.

    Siasatan itu berhubung dakwaan penyelewengan dana yang dimaksudkan untuk pakej rangsangan Covid-19 bernilai RM92.5 bilion yang dilaksanakan kerajaan terdahulu pimpinan PN.

  • Kes Musa Hassan, polis buka kertas siasatan

    Kes Musa Hassan, polis buka kertas siasatan

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung kejadian membabitkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan isterinya, yang rakaman video berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

    Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

    Menurutnya, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dalam masa terdekat.

    “Saya sahkan kita (polis) terima laporan dan kertas siasatan sudah dibuka.

    “Kita akan rujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja siasatan selesai dalam masa terdekat,” katanya, lapor Astro AWANI di sini hari ini.

    Difahamkan kedua-dua pihak sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

    Sebelum ini, tiga rakaman video berdurasi sembilan saat, 56 saat dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak.

    Susulan itu, Musa menerusi ciapannya di Twitter meminta orang ramai supaya menghormati privasi dan tidak mencampuri urusan keluarganya.
    Beliau turut mengesakan, mereka yang membuat spekulasi akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

  • ‘Ahli boleh cabar pengecualian lulus usul UMNO di mahkamah’, kata Saifuddin

    ‘Ahli boleh cabar pengecualian lulus usul UMNO di mahkamah’, kata Saifuddin

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian kepada UMNO mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 mengenai isu pemilihan parti itu, dibuat selepas mendapat nasihat dan pandangan pegawai undang-undang kementerian.

    Tegas beliau, tindakan menggunakan peruntukan itu bukan keputusan peribadinya, sebaliknya ia telah mengambil kira semua proses yang dijalankan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), UMNO serta pandangan pegawai di KDN.

    Jelasnya, jika masih ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, beliau menegaskan ahli UMNO yang membuat aduan kepada RoS boleh mencabar pengecualian berkenaan di mahkamah.

    “Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 ini memberi kuasa secara khusus kepada menteri untuk membuat beberapa pengecualian.

    “Di kementerian, kita ada pegawai undang-undang dan pegawai berkenaan. Ia bukan soal menteri secara peribadi membuat keputusan.

    “Bila kita gunakan Seksyen 70, pengecualian itu terarah kepada pematuhan Seksyen 13 dalam Akta Pertubuhan 1966.

    “Pilihan seterusnya, jika pengadu tidak berpuas hati dan mengatakan menteri melampaui batas kuasa, pilihan yang ada adalah dia mesti mengemukakan asas pernyataan dan afidavit mengikut saluran undang-undang.

    “Kami (KDN) akan diminta menjawabnya, dan kemudian mahkamah adalah saluran yang akan menentukannya,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Berita Harian.

    Semalam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mendedahkan wujud surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO menyatakan bahawa usul tambahan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sebagai tidak sah.

    Menurut surat bertarikh 2 Mac lalu, Ketua Whip Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa RoS berpandangan usul tambahan itu tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

    Ia susulan, kenyataan Saifuddin Nasution semalam yang memaklumkan, KDN memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

    Pengecualian itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

    Susulan penjelasan Saifuddin Nasution di Dewan Rakyat hari ini, Takiyuddin bangun mencelah dan menuntut Setiausaha Agung PKR itu menjelaskan sama ada surat RoS berkenaan adalah tulen atau tidak, serta sama ada pengecualian kepada UMNO itu turut mengikat parti dan pertubuhan lain secara perundangan.

    Bagaimanapun, Saifuddin Nasution enggan menjawab secara langsung pertanyaan Takiyuddin, namun menegaskan beliau sudah memikirkan dan mempertimbang secara mendalam sebelum memutuskan untuk menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 70.

    Katanya, antara yang dipertimbangkan termasuklah peruntukan dalam Perlembagaan UMNO, khususnya Fasal 9.3, dengan Saifuddin Nasution menegaskan beliau masih menghafalnya berikutan pernah menjadi Setiausaha Pemuda UMNO suatu ketika dahulu.

    “Ketika mengguna pakai (Seksyen 70), sudah tentu sebagai menteri, kita ada bahagian berkenaan yang akan berikan input dan pandangan. Pada akhirnya, kita membuat keputusan dan itulah keputusannya.

    “Saya sendiri meneliti fasal-fasal (dalam Perlembagaan UMNO) sebelum membuat keputusan sehingga saya betul-betul puas hati, saya buat dan dengan kefahaman yang jelas bahawa keputusan ini ada implikasinya yang boleh mengundang tindakan atau proses seterusnya di mahkamah,” katanya.

    BH semalam melaporkan keputusan KDN itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

    Seksyen 13(1)(c)(iv) akta berkenaan pula memperuntukkan Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan berdaftar yang didapati melanggar secara sengaja mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu.

    Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO yang dikatakan dipetik dalam surat RoS yang dibacakan Takiyuddin, memperuntukkan semua jawatan tertinggi UMNO, termasuk Presiden dan Timbalan Presiden perlu dipilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian setiap tiga tahun.

    Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO memfailkan notis bantahan kepada RoS berhubung ketetapan PAU 2022 untuk tidak mempertandingkan dua jawatan itu yang didakwa tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.

  • Mayat nelayan ditemukan terapung, tersangkut pada pokok bakau

    Mayat nelayan ditemukan terapung, tersangkut pada pokok bakau

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG warga emas yang hilang semasa menangkap ikan di kawasan Sungai Lintang, Pasir Gudang pada petang kelmarin, ditemukan mayatnya terapung dan tersangkut pada pokok bakau hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mayat Abdul Latif Mahmud, 61, ditemukan pasukan penyelamat berdekatan Sungai Nyor, Kong Kong, Masai di Pasir Gudang pada pukul 11.45 pagi.

    “Warga emas berkenaan yang berusia 61 tahun sebelum itu keluar menangkap ikan pada jam 5 petang kelmarin sebelum tidak pulang ke rumah.

    “Anak perempuannya kemudian membuat laporan di Balai Polis Scientex pada pukul 12.02 tengah malam tadi memaklumkan bapanya masih tidak pulang ke rumah selepas keluar menangkap ikan dan gagal dihubungi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

    Beliau berkata, susulan laporan tersebut anggota dari balai polis berkenaan dibantu Pasukan Polis Marin Wilayah 2 serta Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang menjalankan usaha mencari mangsa.

    Katanya, selepas mayat ditemukan, proses pengecaman dilakukan dan anak perempuan mangsa mengesahkan lelaki tersebut adalah bapanya.

    Mayat ditemukan pasukan penyelamat berdekatan Sungai Nyor, Kong Kong, Masai di Pasir Gudang pada pukul 11.45 pagi.

    Menurutnya, mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk bedah siasat.

    “Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas. Mangsa bekerja sebagai seorang nelayan,” ujar beliau.

    Sementara itu, Komander Operasi dari BBP Pasir Gudang, Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata, mangsa dikatakan lemas ketika melakukan aktiviti memancing di sungai berkenaan.

    “Tindakan operasi membuat ‘size up’ di sekitar kawasan mangsa dipercayai lemas dengan menggunakan sebuah bot milik orang awam.

    “Pihak bomba membuat operasi mencari dan menyelamat di kawasan mangsa dilaporkan hilang. Mangsa dijumpai oleh orang awam pada jarak 1 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas,” katanya.