Author: Wartawan WartaRakyat

  • Penganalisis politik yakin manifesto PN mampu dilaksanakan

    Penganalisis politik yakin manifesto PN mampu dilaksanakan

    MANIFESTO Perikatan Nasional (PN) Selangor ‘mampu dilakukan’ berdasarkan rekod terdahulu di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Sara Chinnasamy berkata, ini susulan pengalaman Mohamed Azmin yang serba boleh.

    “Selangor mempunyai persaingan sihat daripada segi pengumuman manifesto pilihan raya negeri (PRN) di antara Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) dan PN.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mengadakan sesi soal jawab pada Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Pilihan Raya Negeri Selangor 2023 di Shah Alam, 4 Ogos lalu. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Bagaimanapun, konsep prihatin yang dikemukakan oleh PN lebih sinonim kerana ia dilaksanakan ketika rakyat berhadapan dengan kesusahan sewaktu pandemik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    PN Selangor menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion sempena pilihan raya negeri (PRN) sebagaimana diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bertemakan Selangor Baharu, Kita Bangkit, merangkumi tujuh tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran.

    Sara berkata, jika diteliti semula, kebanyakan manifesto itu merupakan kesinambungan dasar yang dibuat ketika pemerintahan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri.

    Katanya, pengalaman menerusi Majlis Pemulihan Negara telah banyak membantu mengeluarkan tawaran yang mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat serta status pelaksanaan sesuatu program di setiap kementerian.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mengadakan sesi soal jawab pada Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Pilihan Raya Negeri Selangor 2023 di Shah Alam, pada 4 Ogos lalu. GAMBAR: Warta Rakyat

    Meskipun PN dilihat sebagai sebuah parti baharu, beliau berkata, berdasarkan pengalaman dan cabaran ketika mengambil alih tampuk pemerintahan PH pada krisis pandemik Covid-19 adalah suatu perkara yang tidak boleh dinafikan.

    “Rakyat boleh melihat kesinambungan polisi bagi setiap sektor masyarakat daripada golongan belia, ibu tunggal, komuniti berpendapatan rendah (B40) dan sebagainya,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Pada masa sama, Sara memberitahu, terdapat dua perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam membuat perbandingan manifesto antaranya pengalaman figura politik terhadap tadbir urus dan tawaran yang lebih baik serta mengambil kira faktor kos sara hidup semasa.

    “Corak pemikiran rakyat hendaklah setara dengan tahap negara membangun yang membahaskan hujahan politik sihat dari segi tawaran manifesto,” ujar beliau lagi.

    Jelasnya, ideologi politik perlu diketepikan dan mengutamakan perkara yang mahu dicapai sebagai rakyat Malaysia sekali gus dapat membuat perbandingan terbaik sama ada sesebuah parti politik itu praktikal atau hanya menjanjikan bulan bintang sahaja.

  • PRN: ‘Masa dia susah, saya yang bantu dia’ – Rafie terkilan dilabel sebagai pengkhianat

    PRN: ‘Masa dia susah, saya yang bantu dia’ – Rafie terkilan dilabel sebagai pengkhianat

    CALON Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Mohamad Rafie Ab. Malek mengakui terkilan dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggelarnya ‘pengkhianat’ susulan tindakannya bertanding di kerusi berkenaan atas tiket Bebas.

    Selaku individu yang bertanggungjawab menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) suatu ketika dahulu, beliau turut mempersoalkan tindakan pemimpin utama negara itu yang seolah-olah menidakkan haknya sebagai warganegara untuk bertanding dalam pilihan raya.

    “Memang saya sedih, semasa dia susah saya bantu, (tetapi) sekarang dia senang.

    “Maknanya dalam keadaan kehidupan saya selesa semasa itu, saya membantu dengan apa yang ada pada saya termasuk keseluruhan tenaga dan wang ringgit.

    “Sebab itu, saya antara pengasas yang masih ada, ramai yang sudah tidak ada dan keluar parti pun.

    “(Jadi) saya tak nak berbalah atau berhasrat ‘melondehkan’ (buka aib) dan kita lalui proses pilihan raya ini dengan beradab,” katanya dalam sidang media di sini.

    Semalam, Anwar yang juga PKR, menegaskan parti akan menghukum ahli yang mengkhianati perjuangan parti menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

    Katanya, perbuatan mereka yang terlibat itu tidak akan diampunkan selain mengaitkan tindakan pengkhianatan parti dengan sejarah budaya Melayu, Raja Mendeliar dan Si Kitol.

    Beliau memberikan contoh dua kerusi iaitu DUN Ampangan dan Hulu Kelang yang masing-masing ditandingi Mohamad Rafie dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Mengulas lanjut, Mohamad Rafie yang juga penyandang kerusi DUN Ampangan bagaimanapun tidak mahu berbalah dengan Anwar dan percaya rakyat bijak menilai berdasarkan rekodnya sebelum ini.

    “Saya telah menghantar pesanan menerusi WhatsApp pagi tadi kepada Anwar dan menyatakan dengan pengisytiharan tersebut, beliau secara tidak langsung hendak memutuskan hubungan silaturahim bersama saya.

    “Janganlah takut sangat dengan saya, berilah saya peluang (bertanding) sebagai warga negara, janganlah sampai label-melabel.

    “Kita negara berdemokrasi, saya bukan lakukan apa-apa kesalahan,” tambahnya menurut Astro Awani.

    PRN Negeri Sembilan Sabtu ini menyaksikan DUN Ampangan antara kerusi panas selepas Mohamad Rafie selaku penyandangnya daripada PKR bertanding sebagai calon Bebas.

    Beliau bakal menentang Ketua Wanita PKR Cabang Seremban, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan Muhammad Ghazali Zainal Abidin mewakili Perikatan Nasional (PN).

  • Polis siasat hantaran tular dakwaan BN beri RM200 kepada pengundi awal

    Polis siasat hantaran tular dakwaan BN beri RM200 kepada pengundi awal

    POLIS Terengganu menerima laporan berhubung hantaran tular yang mendakwa calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) memberi RM200 kepada pengundi awal untuk mengundi calon tersebut.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, laporan itu diterima di Balai Polis Chukai semalam.

    “Berdasarkan laporan itu, pengadu mendapati terdapat hantaran tular ketika melayari laman Facebook yang telah memfitnah calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai memberi RM200 kepada polis untuk mengundi calon berkenaan.

    “Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Selain itu, beliau memberitahu, pihak polis menerima tiga lagi laporan pada hari sama berkenaan aduan wujud unsur sogokan oleh calon yang bertanding, risalah memburukkan imej calon dan ceramah tanpa permit.

    “Laporan itu disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Pilihan Raya 1954, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” ujarnya lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, beliau berkata, satu aktiviti ceramah dikesan dijalankan tanpa mendapat permit dan terdapat dua permohonan ceramah yang bertindih dengan permohonan parti lain semalam.

    “Secara keseluruhan pihak polis telah menerima 88 permohonan dan daripada jumlah itu sebanyak 86 permohonan telah diluluskan semalam (Selasa).

    “Sebanyak 38 permohonan ceramah oleh BN, 46 permohonan oleh Perikatan Nasional (PN) dan masing-masing satu permohonan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda),” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Mazli memberitahu, aktiviti kempen semakin rancak di semua kawasan khususnya melibatkan PN dan BN.

    Justeru, katanya, parti-parti bertanding diingatkan supaya berkempen secara berhemah dan tidak membuat sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

  • PRN: Kepala babi diletak depan bilik gerakan PN DUN Juasseh

    PRN: Kepala babi diletak depan bilik gerakan PN DUN Juasseh

    BILIK gerakan Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh di Kuala Pilah hari ini dikejutkan dengaa kepala babi yang diletakkan di atas bendera parti gabungan itu di hadapan bilik gerakan berkenaan.

    Calon PN DUN Juasseh, Datuk Eddin Syazlee Shith mendapat maklumat mengenai kejadian tersebut pukul 8.30 pagi, disertai dengan gambar.

    Menurutnya, selain bilik gerakan di situ, beliau difahamkan terdapat kejadian sama berlaku membabitkan sebuah kediaman seorang pegawainya sekitar di Kuala Pilah.

    “Dalam politik macam itulah kan, kita sudah menjangkakan lebih teruk daripada itu pun mungkin berlaku.

    “Tetapi tidak mengapalah kita kekal tenang, saya ingat ini mungkin tindakan-tindakan untuk mengalihkan tumpuan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang tinggal berbaki dua tiga hari sahaja.

    “Ia juga mungkin tindakan orang terdesak dan kita anggap ini sebahagian daripada cabaran. Kita tak boleh tuduh sesiapa sebab kita nak jaga sensitiviti banyak pihak,” katanya ketika ditemui pemberita di bilik gerakan berkenaan.

    Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah itu berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut mengikut lunas undang-undang.

    Dalam pada itu, Eddin yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Pilah turut mengingatkan supaya jentera partinya kekal positif.

    “Dalam ceramah saya malam tadi, saya nasihatkan jentera parti kalau kita nampak bendera pihak lawan itu tumbang kita sama-sama naikkan. Kita mahu satu budaya politik yang sihat dan positif.

    “Sebab peredaran zaman dan pendekatan politik itu lebih matang, tetapi kalau ada sesetengah orang yang masih nak gunakan cara begini, itu sangat memalukan agama,bangsa dan juga masa depan anak-anak kita yang melihat perkara negatif dan tak sihat macam ini,” katanya.

    Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh pengarah pilihan raya PN DUN Juasseh.

    Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan laporan dan ia masih dalam siasatan polis.

  • Perlu langkah tak popular untuk reformasi ekonomi, kata KJ

    Perlu langkah tak popular untuk reformasi ekonomi, kata KJ

    MALAYSIA memerlukan seorang pemimpin yang sanggup mempertaruhkan kerjaya politiknya dengan mengambil langkah tidak popular untuk mereformasi ekonomi dan meletakkannya kembali pada kedudukan fiskal yang kukuh.

    Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin bersetuju dengan pandangan bahawa siri reformasi struktur yang diperlukan negara adalah memeritkan dan boleh menyebabkan kerajaan hari ini kehilangan sokongan rakyat.

    “Inilah sebabnya saya berkata anda perlu mempunyai pembuat dasar yang tidak begitu peduli apa berlaku kepada mereka,” katanya dipetik sebagai berkata dalam temu bual dengan The Edge.

    Khairy, yang juga bekas menteri kesihatan berkata, rasionalisasi subsidi, cukai barang dan perkhidmatan (GST), dan pembaharuan pencen kerajaan adalah tiga tugas utama yang mesti dilaksanakan Putrajaya lebih awal berbanding kemudian.

    “Saya bercakap mengenai rasionalisasi subsidi dan pembaharuan pencen sektor awam pada masa lalu. Ia memeritkan, sudah tentu, kerana sesetengah orang tidak akan mendapat (sasaran) subsidi dan mereka akan ‘marah’.

    “Itulah sebabnya anda perlu mendidik orang ramai, dan ini adalah satu-satunya cara yang akan menjadikan kita mampan, dan kita akan menggunakan hasil (wang yang disimpan) untuk barangan awam, pendidikan, kesihatan, perkara yang membantu semua orang, pengangkutan awam dan infrastruktur.”

    Khairy percaya kerajaan sedia ada keberatan untuk memperkenalkan semula GST, yang dihapuskan kerajaan Pakatan Harapan apabila menawan Putrajaya pada 2018.

    Beliau percaya peluang untuk memperkenalkan semula cukai telah ditutup.

    “Anwar (Perdana Menteri dan Menteri Kewangan) mungkin mempunyai masa sehingga bajet akan datang (Bajet 2024) untuk mengumumkannya, dan ia akan mengambil masa satu tahun sahaja untuk pasaran bersedia memandangkan sistem itu sudah ada.

    “Jika anda mengumumkannya tahun depan, maka ia akan berkuat kuasa pada 2025. Pilihan raya umum akan datang pada 2027, dan anda tidak mahu bermain-main dengan cukai apabila ia begitu hampir dengan pilihan raya,” katanya, lapor FMT.

    Mengenai isu pencen, Khairy berkata, terdapat keperluan untuk memperbaharui skim pencen penjawat awam bagi mengurangkan perbelanjaan mengurus.

    Kerajaan Persekutuan kini membelanjakan hampir separuh daripada pendapatannya untuk emolumen perkhidmatan awam serta pencen dan ganjaran.

    Perbelanjaan mengurus kerajaan pada masa ini mengambil 99% daripada hasil awam.

  • PRN: Jentera UMNO ‘berkocak’, masa terbaik PN rampas kerusi Hulu Besut

    PRN: Jentera UMNO ‘berkocak’, masa terbaik PN rampas kerusi Hulu Besut

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PERIKATAN Nasional (PN) memiliki peluang terbaik untuk menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut yang dikuasai UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

    Ini tidak mustahil memandangkan kedudukan UMNO Bahagian Besut ketika ini dikatakan sedang berkocak menyebabkan jentera parti itu seakan berpecah dengan wujudnya kem tertentu.

    Difahamkan rasa tidak berpuas hati itu timbul berikutan kepimpinan parti masih mencalonkan Datuk Nawi Mohamad sebagai calon di kerusi Hulu Besut sedangkan beliau telah tewas dalam dua ‘perlawanan’ dengan ‘pukulan TKO’ sebelum ini.

    Dua ‘perlawanan’ tersebut ialah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Besut ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 19 November lalu.

    Selain itu beliau juga gagal untuk mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Besut apabila tewas kepada Datuk Muhammad Pehimi Yusof baru-baru ini.

    Datuk Nawi Mohamad (BN)

    Kekalahan dialami Nawi menyebabkan timbul rasa tidak berpuas hati dalam kalangan ahli dan para penyokong UMNO di bahagian berkenaan.

    Ada di antara mereka mendakwa atas dasar apa calon yang tewas dalam PRU15, ditolak rakyat dan penyokong ditampilkan semula untuk bertanding bagi kerusi DUN.

    Lebih malang calon terbabit juga kini dikatakan tidak memegang sebarang jawatan dalam parti setelah tewas kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih.

    Nawi yang merupakan penyandang kerusi Hulu Besut sebelum itu dikatakan pernah ‘menentang’ Datuk Seri Idris Jusoh bagi merebut jawatan Ketua UMNO Besut.

    Bagaimanapun, sebelum bertanding Idris mengumumkan untuk melepaskan jawatan tersebut dan menyerahkan jawatan itu kepada beliau.

    Pada awal tahun ini pula, Nawi terus menimbulkan kocakan dalam parti berikutan tularnya sepucuk surat yang ditandatanganinya bagi menamatkan Pehimi sebagai Pengerusi Ketua Urusetia DUN Kota Putera dan DUN Jertih Besut bagi tempoh 27 Februari 2023 hingga 19 Mac 2023.

    Surat pemecatan Pehimi yang bertarikh 27 Feb 2023 itu dikatakan ada kaitan dengan tindakan beliau yang bakal bertanding jawatan Ketua UMNO bahagian itu.

    Justeru, apabila Nawi dicalonkan semula di kerusi Hulu Besut banyak pihak cuba mempertikaikan perkara itu kerana kepimpinan parti cuba meminggirkan Timbalan Ketua UMN0 Bahagian itu, Mahadi Hasan.

    Selain itu, ada pihak mengatakan menyisihkan Mahadi menyebabkan tiada lagi legasi Idris Jusoh dalam PRN kali ini kecuali Pehimi.

    Maka itu, ada dalam kalangan ahli dan penyokong UMNO Besut dikatakan amat kecewa dengan keputusan tersebut.

    Berdasarkan maklumat terkini, kem UMNO termasuk jentera parti dikatakan akan melakukan penolakan sekali lagi terhadap Nawi sepertimana berlaku sewaktu PRU15.

    Pemilihan Nawi sebagai calon dalam PRN di Hulu Besut kali ini juga dikatakan beliau berjaya melobi Presidennya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

    Dalam PRU15 lalu, beliau yang mendapat 30,903 undi tewas kepada calon PN, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh yang menang dengan majoriti 18,666 undi.

    Turut bertanding ialah calon PH, Abdul Rahman Abdul Aziz yang mendapat 4,339 undi dan Wan Nazari Wan Jusoh (Pejuang) yang mendapat 553 undi.

    Bagi penganalisis dan pemerhati politik di Terengganu, kocakan politik dalaman yang berlaku ini membuka ruang terbaik kepada calon Parti Bersatu mewakili PN, Hussaimi Hussin untuk merampas kerusi tersebut yang selama ini dikuasai UMNO.

    Mohd Husaimi Hussin (PN)

    Ini kerana selain berhadapan dengan masalah dalaman dan ditolak oleh ahli dan penyokong sendiri, kehadiran calon Bebas juga sedikit sebanyak bakal merencatkan keegoan calon UMNO-BN.

    Dalam PRN pada Sabtu ini, kerusi Hulu Besut bakal menyakaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon BN, PN dan seorang calon Bebas, iaitu bekas pesara guru Dr. Che Harun Kamariah.

    Dr Che Harun Kamariah (Bebas)

    Pertandingan ini dijangka sengit dan dikatakan bakal menentukan masa hadapan Nawi bersama UMNO Besut.

    Pada PRU14 lalu Nawi yang mendapat 8,045 undi menang di Hulu Besut dengan majoriti 1,469 undi menewaskan calon Pas Ustaz Mat Daik yang mendapat 6,576 undi dan Ismail Abdul Kadir (PKR) yang mendapat 860 undi.

  • Menantu Muhyiddin nafi larikan diri

    Menantu Muhyiddin nafi larikan diri

    MENANTU Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan bahawa beliau melarikan diri.

    Sebaliknya Muhammad Adlan Berhan mendakwa meninggalkan negara ini secara sah.

    Peguam Adlan, Baljit Singh Sidhu menjawab kenyataan akhbar yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 7 Ogos lalu, memaklumkan agensi itu sedang mengesan lelaki berusia 48 tahun itu serta Mansoor Saat, 69.

    Adlan berkahwin dengan Nabilah, anak kedua Muhyiddin.

    “Kenyataan akhbar itu setakat ini bertujuan untuk memberikan tanggapan bahawa anak guam kami adalah seorang pelarian yang melarikan diri, anak guam kami menolak sama sekali, tohmahan sedemikian.

    “Anak guam kami, seperti mana-mana warganegara Malaysia yang bebas, mempunyai hak untuk bergerak dan melancong, termasuk ke luar negara, dan lebih-lebih lagi untuk menjalankan perniagaannya di mana-mana tempat di dunia.

    “Penggunaan hak ini oleh anak guam kami tidak boleh ditafsirkan atau diselewengkan sebagai percubaan untuk mengelak atau menghalang siasatan.

    “Anak guam kami menyatakan bahawa sebelum dia meninggalkan Malaysia secara sah, dia: tidak pernah ditangkap; (dan) tidak pernah dipanggil oleh SPRM untuk perjumpaan atau untuk membantu dalam apa-apa jenis siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini, lapor Malaysiakini.

  • Azam Baki telefon Anwar kes menantu Muhyiddin?

    Azam Baki telefon Anwar kes menantu Muhyiddin?

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki dipertikai kerana melaporkan terus kes melibatkan menantu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu Khairuddin Abu Hassan berkata, Azam tidak sepatutnya berbuat demikian kerana Anwar merupakan musuh politik Muhyiddin.

    “Sebab itu saya kata Azam Baki seorang Ketua Pesuruhjaya SPRM yang tidak layak memimpin SPRM.

    “Nampak sangat Azam Baki tidak profesional serta ‘kaki bodek’ PMX!” kata pendukung kuat kempen yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.

    Anwar dalam ceramah di Paroi, Negeri Sembilan malam tadi mendedahkan Azam menelefonnya dan memberitahu menantu Muhyiddin, Muhammad Adlan Berhan, ingkar janji untuk kembali ke tanah air selepas dibenarkan keluar negara.

    SPRM memburu Adlan dan individu bernama Mansoor Saat bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan dalam projek biometrik pekerja asing.

    Dalam kenyataan sebentar tadi, Khairuddin mengingatkan SPRM supaya tidak dijadikan sebagai “ejen untuk mengenakan mana-mana musuh politik” bagi pihak pemimpin kerajaan.

    “Dalam isu ini saya jugak ingin merafak sembah pada DYMM Yang di-Pertuan Agong untuk memerhati sedikit perilaku tidak bermoral Azam Baki ini.

    “Kenapa Azam Baki harus menelefon PMX khususnya mengenai kes siasatan yang melibatkan musuh politiknya?

    “Reputasi Azam Baki dan SPRM sudah lama mengalir ke ‘longkang’,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Aktivis Chegubard dakwa MB Selangor berbohong isu tanah, kemukakan saman

    Aktivis Chegubard dakwa MB Selangor berbohong isu tanah, kemukakan saman

    AKTIVIS politik Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berbohong mengenai status tanah yang terlibat dalam projek Selangor Maritime Gateway (SMG) yang bernilai RM10 bilion.

    Amirudin sebelum ini berkata, dana dan hutang syarikat ditanggung sepenuhnya pihak Berjaya Land yang terbabit dengan projek itu namun menurut perjanjian antara syarikat-syarikat terbabit dengan SMG, kenyataan tersebut tidak benar.

    “Mengikut perenggan 4.1 dan 4.2(A), semua pinjaman yang diambil oleh LLBSB adalah menjadi 45% tanggungan kepada kerajaan negeri. 

    “Kalau syarikat ini rugi, rakyat Selangor menanggung hutang yang telah diikat dan dipindah janji melalui perenggan 5.1(D) dan 6.3,” katanya pada satu sidang media hari ini.

    Malaysianow melaporkan,Badrul yang juga ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu turut menafikan kenyataan Amirudin berhubung status tanah seluas 600 ekar yang dikatakan oleh penyandang Menteri Besar itu sebagai milik kerajaan negeri.

    “Sama ada beliau keliru, tak pandai undang-undang atau sengaja menipu. Mengikut perenggan 6.4, Landasan Lumayan Sdn Bhd kepada Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLSB), semua tanah diserahkan kepada LLSB tertera kepada perenggan 7.6 dan 8.4.”

    Perjanjian itu menurut Badrul mempunyai tandatangan Vincent Tan dan Syed Ali Shahul Hameed, ketua pegawai eksekutif Berjaya Group yang menunjukkan syarikat berkenaan mengawal sepenuhnya projek berkenaan.

    Ini sekali gus menafikan dakwaan Amirudin bahawa projek tersebut dikawal oleh kerajaan negeri.

    LLSB juga mendapat lesen dan permit mengeluarkan batuan dan pasir di kawasan Sungai Klang yang terbabit dengan SMG. 

    Amirudin dan Tan mengambil tindakan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung kenyataan beliau mengenai projek itu.

    Dalam pada itu, Badrul berkata dia akan menghantar surat tuntutan kepada Amirudin. 

    Amirudin dalam sidang akhbar semalam mendakwa Badrul ‘boleh dibeli’ dan ‘tiada kredibiliti’.

    “Maka atas penyelewengan fakta ke atas saya, selewat-lewatnya petang ini dan esok pagi, saya akan memulakan tindakan saman ke atas penyandang Menteri Besar Selangor.

    “Dia harus menarik semula fitnah, kedua minta maaf atau bertemu saya di mahkamah,” katanya.

  • Kerajaan pusat mungkin berubah jika PN menang PRN enam negeri – Abdul Hadi

    Kerajaan pusat mungkin berubah jika PN menang PRN enam negeri – Abdul Hadi

    KEMENANGAN Perikatan Nasional (PN) di enam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti memungkinkan berlakunya perubahan kepada kerajaan Pusat.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, kemungkinan itu berlaku dengan mengambil kira terdapat ahli Parlimen daripada UMNO serta daripada Sabah dan Sarawak akan menyokong gabungan tersebut nanti.

    “Ada (ahli Parlimen) yang menunggu (keputusan) PRN di enam negeri, maka kemenangan (kepada) PN sangat penting (kerana) bukan untuk Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan sahaja tetapi untuk buat perubahan kerajaan Pusat.

    “Ia (kemenangan kepada PN) sangat penting (kerana) akan jadi tekanan (kepada kerajaan Pusat) apabila enam negeri ditadbir PN.

    “Ini kerja politik yang kita kena faham. Bukan kita fikir di sini sahaja (untuk mengundi semata-mata) tapi fikir kuasa orang Islam,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Mega PRN Setiu 4-0 di Langkap malam tadi.

    Turut hadir, calon Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, Dr. Azman Ibrahim, Mohd . Yusop Majid (Permaisuri), Azmi Maarof (Langkap) dan Mohd. Shafizi Ismail (Batu Rakit).

    Dalam pada itu, Abdul Hadi turut menggesa semua pihak untuk tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab apabila tibanya hari mengundi nanti.

    Katanya, mengundi adalah hak semua rakyat yang berpegang kepada prinsip demokrasi dengan memilih pemimpin yang bakal mentadbir negeri dan negara ini.

    “Pilihan raya dalam Islam mestilah pilih pemimpin yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia. Itu syarat (memilih pemimpin),” katanya menurut Sinar Harian.