Author: Wartawan WartaRakyat

  • “Kami bersama abah” – Penyokong

    “Kami bersama abah” – Penyokong

    LEBIH 500 penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin berkumpul di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberi sokongan moral terhadap bekas perdana menteri itu.

    Laungan ‘Kami bersama abah’ bergema diikuti kemeja-T tanda pagar #abahtabah dikenakan oleh setiap penyokong.

    Mereka yang tiba seawal pukul 8 pagi dipercayai datang dari seluruh negera bagi memberi sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang berdepan beberapa pertuduhan yang disifatkan sesetengah pihak sebagai pendakwaan terpilih.

    Sebahagian daripada penyokong-penyokong menunggu diluar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberi sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan menghadapi tuduhan rasuah, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Di satu sedut sekumpulan anak muda memasang pentas terbuka bagi memberi peluang pemimpin berucap memberi kata-kata semangat kepada penyokong.

    Turut kelihatan pemimpin Bersatu dan PN antaranya, Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Dr Radzi Jidin, Wan Ahmad Fyshal Wan Ahmad Kamal dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, beliau menjangkakan lebih 1,000 penyokong akan terus berkumpul bagi memberi sokongan moral terhadap Presiden Bersatu itu.

    “Kita di sini untuk bersama Tan Sri Muhyiddin bagi memberi sokongan terhadap beliau. Seperti hari ini, hari Isnin minggu hadapan juga kita akan terus bersama dengan penyokong sepeerti anda lihat hari ini,” katanya, lapor SatuBerita.

    Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Pagoh itu dijangka berdepan tujuh pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM230 juta.

    Pertuduhan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 berkaitan dana Jana Wibawa.

  • Anwar diminta henti cari alasan isu peruntukan Ahli Parlimen

    Anwar diminta henti cari alasan isu peruntukan Ahli Parlimen

    PEMBANGKANG di Selangor meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti mencari alasan berhubung isu peruntukan untuk Ahli Parlimen, mendakwa situasi di negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) juga serupa.

    Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Abdul Rashid Asari berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Selangor hanya diberi peruntukan sebanyak RM150,000 setahun, apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan Pusat.

    “ADUN pembangkang di Selangor hanya diberi peruntukan RM150,000 setahun, apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan Pusat.

    “PN mentadbir kerajaan dengan sokongan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak, dan Gabungan Rakyat Sabah dari Mac 2020 hingga Ogos 2021.

    “ADUN pembangkang Selangor tidak diberi peruntukan sama rata dengan Adun PH, yang menerima peruntukan hampir RM1 juta setahun mengikut jumlah pengundi,” katanya yang juga ADUN Selat Klang, lapor FMT.

    Sementara itu, pembangkang di Pulau Pinang mendakwa mereka hanya diberi RM60,000 untuk prasarana, yang disalurkan kerajaan melalui pejabat daerah.

    “Setiap ADUN kerajaan difahamkan mendapat peruntukan RM500,000 setahun,” kata ADUN Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah.

    Anwar pada Selasa menyeru pembangkang untuk berunding dengan pemerintah agar isu peruntukan Ahli Parlimen boleh diselesaikan secepat mungkin.

    Beliau juga mahu PN merenung kembali pemberian kepada wakil-wakil rakyat pembangkang di negeri yang ditadbir gabungan itu.

    Sebelum ini, beberapa wakil rakyat PN mengkritik Belanjawan 2023 baharu kerana didakwa tidak menyediakan peruntukan untuk mereka.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menepis kritikan PN, mengingatkan hanya pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan peruntukan sama rata kepada pembangkang, selepas pemerintah dan PH memeterai perjanjian persefahaman untuk memupuk kestabilan.

  • Cagaran pinjaman peribadi : KWSP perinci kaedah, menilai semua faktor

    Cagaran pinjaman peribadi : KWSP perinci kaedah, menilai semua faktor

    KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan inisiatif terbaharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Khamis.

    Ia berkait penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahli KWSP sebagai sokongan untuk membuat pinjaman peribadi daripada sistem perbankan bagi mereka yang memerlukan bantuan tunai.

    “Pada masa ini, KWSP sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan kemudahan ini dan akan mempertimbangkan semua faktor yang relevan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar.

    “Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan kemudahan ini akan diumumkan oleh KWSP pada masa yang akan datang,” kata KWSP dalam satu kenyataan.

    Ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023), Anwar mengemukakan cadangan supaya KWSP memberi ruang kepada pencarum yang mempunyai baki akaun mencukupi serta terdesak untuk meminjam wang dari bank dengan jaminan cagaran wang agensi berkenaan.

    “Ramai ahli-ahli Yang Berhormat bangkitkan isu ini, saya menerima baik teguran-teguran ini. Tapi kita kena ingat prinsip KWSP adalah untuk simpanan hari tua. Prinsip saya ialah wang KWSP adalah untuk simpanan hari tua dan kita beri kelonggaran zaman COVID-19, malah negara yang memberi kelonggaran sama juga sudah membatalkan kaedah itu.

    “Pada prinsipnya saya tidak bersetuju dengan pengeluaran dana simpanan tua ini. Oleh itu saya cadangkan untuk kita perkenalkan satu kaedah bagi memudahkan mereka yang terdesak.

    “Maka saya akan pastikan mereka yang mempunyai wang di dalam KWSP dan dalam keadaan terdesak meminjam dari bank dengan jaminan cagaran dari agensi berkenaan,” katanya.

  • Muhyiddin mengaku tak salah atas enam pertuduhan

    Muhyiddin mengaku tak salah atas enam pertuduhan

    Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

    Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

    “Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan (PN) dan bekas Perdana Menteri, lapor Berita Harian.

    Bagi pertuduhan pertama, Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM200,000,000 dari Bukhary Equity Sdn Bhd bagi milik parti, BERSATU.

    Beliau turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM1,000,000 daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd bagi milik partinya, BERSATU.

    Bagi pertuduhan ketiga, beliau juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM19,500,000 daripada syarikat Mamfor Sdn Bhd bagi milik partinya.

    Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM12,000,000 bagi milik partinya daripada Azman Yusoff.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

    Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

    Muhyiddin juga didakwa sebagai Presiden Bersatu menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik BERSATU.

    Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.

    Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

    Prosiding kes diketuai Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Datuk K Kumarendran, Rosli Dahlan, Datuk Takiyuddin Hassan, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Mohamad Isa Mohamad Basir, Teh See Khoon dan Varsha Chelvi.

    Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan serahan pasport sehingga kes selesai sementara 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan kes.

  • Kesal pendakwaan terpilih terhadap Muhyiddih

    Kesal pendakwaan terpilih terhadap Muhyiddih

    Oleh ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR

    PAS Negeri Selangor menyatakan solidariti ke atas TSMY yang ditahan oleh SPRM yang akan didakwa di hari ini berkaitan isu-isu yang melibatkan peniaga Melayu dan Bumiputera melalui inisiatif JANAWIBAWA dan pengecualian cukai khas terhadap Yayasan Al-Bukhary.

    Pendakwaan ini dilihat dilakukan secara tergesa-gesa selari dengan naratif “hoi ya hoi disebelah sana” yang sentiasa dimainkan oleh Perdana Menteri ketika pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2023 dengan tujuan utama untuk mengekang suara oposisi dan menjejaskan reputasi Perikatan Nasional sebelum PRU Negeri ke 15 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

    Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir

    PAS Selangor mendokong prinsip kedaulatan undang-undang Negara dan yakin bahawa pihak berwajib berhak menyiasat mengikut undang-undang negara, namun kuasa tersebut mesti dilaksanakan dengan suci hati dan hanya dalam kes tulen (collateral purposes) bukannya berpilih-pilih atas agenda dan kepentingan politik.

    PAS dan rakan-rakannya di Selangor komited mendukung budaya politik matang dan sejahtera, dan akan terus membela golongan yang dizalimi tanpa mengira ras dan agama.

    *Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir adalah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

  • PDRM, Rela siap sedia kawal di mahkamah

    PDRM, Rela siap sedia kawal di mahkamah

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bersedia sedia seawal pagi bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

    Selain memastikan suasana terkawal, anggota keselamatan negara itu berusaha memastikan laluan ke lokasi bangunan kehakiman tersebut berjalan lancar.

    Selain anggota polis, petugas daripada Jabatan Sularelawan Malaysia (Rela) turut bersiap sedia di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

    Semua langkah keselamatan itu digerakkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan memastikan suasana terkawal apabila Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di mahkamah pagi ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu akan menghadapi tujuh pertuduhan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan dana parti, lapor Sinar Harian.

  • Muhyiddin didakwa di mahkamah hari ini

    Muhyiddin didakwa di mahkamah hari ini

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa dengan tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

    Pendakwaan itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki semalam.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu semalam hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM selama lapan jam.

    Dalam kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya, Muhyiddin memaklumkan keterangan beliau antaranya menyentuh dua perkara.

    Pertama, projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa atau Jana Wibawa.

    Kedua, isu kelulusan pembatalan cukai ke atas Yayasan Albukhary, lapor Astro Awani.

    SPRM sebelum ini telah membekukan akaun parti Bersatu dan beberapa individu termasuk bekas Ketua Penerangan Parti itu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

    Wan Saiful dan Adam kini berdepan pendakwaan berkaitan projek Jana Wibawa.

  • Muhyiddin tiba di Kompleks Mahkamah KL

    Muhyiddin tiba di Kompleks Mahkamah KL

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini dipercayai untuk didakwa atas tuduhan rasuah.

    Bekas Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tiba pada pukul 8.40 pagi manakala para penyokongnya telah berkumpul di luar kompleks mahkamah sejak kira-kira 8 pagi.

    Menjelang 8.30 pagi, hampir 100 orang telah berkumpul, dengan kebanyakannya memakai baju putih terpapar wajah Muhyiddin dan tertera slogan ‘Kami Bersama Abah’.

    Sementara itu, Ketua PN Pahang l, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut dilihat memasuki kompleks mahkamah, lapor FMT.

  • Kes 1MDB: Roger Ng dihukum penjara 10 tahun

    Kes 1MDB: Roger Ng dihukum penjara 10 tahun

    BEKAS  pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun susulan tuduhan membantu menggelapkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Ini selepas Mahkamah Persekutuan Brooklyn, New York pada April lalu mensabitkan Ng dengan tuduhan tersebut.

     Berbilion dolar wang yang dicuri dari dana tersebut digunakan untuk merasuah dan membiayai parti mewah, kapal layar, hartanah serta pembikinan filem Wolf of Wall Street.

    Ng kekal, mempertahankan dia bukan satu-satunya yang bersalah. Sebaliknya, ia merupakan konspirasi dengan dua lagi individu untuk mengubah wang haram dan merasuah, lapor Astro Awani.

    Pendakwa raya Amerika Syarikat sebelum ini meminta hakim agar menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun ke atas Ng.

    Ng, bekas Ketua Perbankan Pelaburan Goldman di Malaysia didapati membantu bekas bosnya, Tim Leissner yang pernah menjadi ketua Goldman di Asia Tenggara menggelapkan wang 1MDB.

    Mereka didakwa melakukan pengubahan wang haram dan merasuah pegawai kerajaan untuk memenangi perniagaan.

    Tuduhan ke atas Ng bertitik tolak pada AS$6.5 bilion (RM29.09 bilion) bon yang diterbitkan oleh Goldman bagi membantu 1MDB.

    1MDB diasaskan untuk membiayai projek pembangunan di Malaysia yang dijual pada 2012 dan 2013.

    Namun begitu, pendakwa raya berkata, sebanyak AS$4.5 bilion (RM20.14 bilion) daripada jumlah itu telah digelapkan oleh pegawai, bank dan sekutu mereka dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.

  • Sejarah berulang di Pusat Tarbiah Pas pusat

    Sejarah berulang di Pusat Tarbiah Pas pusat

    SEJARAH  berulang di Pusat Tarbiah Pas Pusat, Taman Melewar, yang dahulu menjadi tempat himpunan rakyat menentang kezaliman ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada Timbalan Perdana Menteri dan UMNO pada tahun 1998.

    Himpunan rakyat menentang kezaliman berulang pada malam tadi  di Dewan Dato’ Fadzil Noor, bagi menyatakan solidariti kepada Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

    Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menegaskan apa yang berlaku pada hari ini untuk melindungi pentadbiran kerajaan PH-BN.

    Menurut beliau, kehadiran pada malam ini ramai anak-anak muda.

    “Adakah kita boleh terima tuduhan mengatakan anak-anak muda tak ada pelajaran? Ini pandangan yang mereka letakkan kepada anak muda. Anak-anak muda menjadi pejaung medan TikTok, twitter dan Facebook dan menjadi benteng pertahanan.

    “Insya-Allah anak-anak muda ini akan bayar pada pilihan raya negeri di enam buah negeri nanti,” katanya pada ceramah umum Selamatkan Negara dan Menentang Kezaliman di Taman Melewar, malam tadi, lapor Harakah Daily.

    Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, orang muda ada maruah ada harga diri dan tidak rela bersekongkol dengan nepotisme dan rasuah.

    Beliau yang mengimbau suatu ketika dahulu berkata, dewan markas tabiah itu adalah dewan yang mencetuskan reformasi dan kebangkitan rakyat.

    “Kita berdoa agar sistem kehakiman berjalan dengan baik dan Tan Sri diberi semangat untuk menghadapi cabaran,” ujarnya.

    Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyudin Hassan menegaskan bahawa penjara boleh memenjarakan diri tetapi penjara tidak boleh memenjarakan roh dan semangat seseorang.

    “Kita menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya penyokong Perikatan Nasional, jangan gusar, jangan bimbang, jangan takut, jangan kecewa kerana insya-Allah, Allah bersama kita. Teruskan berdoa,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

    Selain Muhyiddin, turut berucap ialah Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin. –