Author: Wartawan WartaRakyat

  • Ketua Armada Bersatu pertahan ‘rancang rampas kerajaan’ Hadi

    Ketua Armada Bersatu pertahan ‘rancang rampas kerajaan’ Hadi

    KETUA Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempertahankan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Perikatan Nasional (PN) berhak merancang merampas kerajaan.

    Ahli Parlimen Machang itu berkata, Hadi sekadar menjelaskan bahawa perubahan kerajaan boleh berlaku dalam demokrasi berparlimen walaupun dengan keberadaan Akta Lompat Parti, namun telah disalah erti oleh pihak media.

    “Apakah boleh berlaku penjajaran semula di Putrajaya? Sudah tentu boleh, selagi mana ahli Parlimen diberi ruang untuk memilih seorang perdana menteri,” katanya memetik laporan FMT.

    Katanya, undang-undang dan Perlembagaan tidak menghalang mana-mana ahli Parlimen menyokong mana-mana wakil rakyat sebagai Perdana Menteri.

    “Saya tak nak berspekulasi lah berkenaan ini, cuma saya boleh tegaskan, bahawa pilihan untuk menyokong salah seorang daripada kami menjadi perdana menteri sentiasa ada,” katanya.

    Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, dilapor berkata, PN berhak merancang merampas kerajaan daripada pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan gabungan itu berusaha melalui pilihan raya dan Parlimen.

    Mengulas seruan pemimpin PH yang mahu tindakan diambil terhadap Hadi, Wan Fayhsal berkata, pihaknya melihat PH kini dalam ketakutan.

    “Kalau kamu betul-betul dapat sokongan dua pertiga (di Dewan Rakyat), kenapa kamu takut? Kenapa kamu takut sampai menyuruh menteri dalam negeri menggunakan instrumen keselamatan membuat siasatan terhadap komen yang bersifat ilmiah,” soalnya.

    Beliau menepis dakwaan bahawa kenyataan Hadi itu bersifat menghasut.

    “Kalau tak boleh tukar (pemerintah), kita diperintah oleh diktator,” katanya.

    Sementara itu, Wan Fayhsal menyanggah kritikan penyokong kerajaan perpaduan bahawa PN hipokrit apabila menuntut PH mengotakan janji memberi peruntukan sama rata kepada wakil rakyat pembangkang.

    “Sebab kami tak buat, sekarang kamu pun tak nak buat. Jadi apa beza kamu dan kami, dan untuk rakyat,” soalnya lagi.

    Beliau mengingatkan bahawa meskipun PN tidak pernah menjanjikan peruntukan sama rata, ia sedia menerima cadangan daripada wakil rakyat lain, seperti apabila Perdana Menterinya, Muhyiddin Yassin, memberikan peruntukan khas kepada semua Ahli Parlimen ketika Covid-19.

    “Sekurang-kurangnya, kalau tak nak beri peruntukan pembangunan, sebagai Ahli Parlimen kami berhak terima peruntukan lebih kurang RM300,000 untuk kami wujudkan pusat khidmat,” ujarnya.

    Peruntukan itu jelasnya, bukan untuk bermewah atau perlu diminta dan sepatutnya menjadi hak kepada semua ahli Parlimen.

    Atas kesedaran itu, Wan Fayhsal ditanya mengapa ‘hak’ itu tidak diberikan ketika PN memerintah.

    “Itu kamu perlu ajukan kepada Muhyiddin. Saya tiada jawapan. Ini masalah yang saya sendiri perlu akui.

    “Kalau kita nak reformasi apa yang ada, kita institusikan hal peruntukan ini dalam satu akta yang jelas, supaya sesiapa sahaja yang jadi kerajaan perlu beri peruntukan yang sama adil,” katanya.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyokong prinsip memberikan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen, namun menyeru pembangkang untuk berunding dengan pemerintah.

    Beliau juga mahu PN merenung kembali pemberian kepada wakil-wakil rakyat pembangkang di negeri yang ditadbir gabungan itu.

  • PRN: Srikandi perlu kerja lebih keras pastikan kemenangan PN – Rina

    PRN: Srikandi perlu kerja lebih keras pastikan kemenangan PN – Rina

    SRIKANDI Bersatu perlu bekerja lebih keras dalam memastikan Perikatan Nasional (PN) mampu melakar kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

    Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata selain itu, ahli dituntut untuk terus setia kepada parti dan kepimpinan.

    “Terima kasih kepada Srikandi yang masih setia bersama parti sepanjang berlaku kemelut politik. Srikandi akan terus berdiri gagah dan pastikan Bersatu terus relevan selamanya,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Srikandi di Kuala Lumpur hari ini.

    Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022, yang bermula hari ini dengan Perhimpunan Agung Srikandi, menyaksikan buat pertama kali tiada perasmian serentak bagi sayap itu dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

    Ia susulan terdapat pindaan terhadap perjalanan perhimpunan tiga hari itu berikutan perkembangan semasa membabitkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Perhimpunan Armada pula akan berlangsung esok.

    Selain itu, ucapan dasar presiden sekali gus merasmikan perhimpunan agung parti yang dijadual berlangsung pada 8 malam esok, ditiadakan dan digantikan dengan perhimpunan serta ceramah umum di Pusat Tarbiyah PAS Pusat di Gombak, Selangor. – BERNAMA

  • Bersatu tak pecah, sokongan terhadap Muhyiddin makin kuat, kata Peja

    Bersatu tak pecah, sokongan terhadap Muhyiddin makin kuat, kata Peja

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pendakwaan kes mahkamah dikenakan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mematahkan semangat pemimpin dan ahli parti.

    “Tiada perpecahan berlaku dalam parti sebaliknya taat setia dan sokongan ahli terhadap presiden semakin kuat.

    “Secara jujur saya tidak nampak perpecahan daripada ahli atau pemimpin, malah sokongan dan taat setia kepada presiden parti bertambah kuat di setiap peringkat,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan Agung Tahunan Srikandi Bersatu 2022 di Menara PGRM, Kuala Lumpur, hari ini.

    Bagaimanapun, katanya suasana perhimpunan agung kali ini diselangi pelbagai emosi apabila melihat pemimpin utama parti berdepan pelbagai dakwaan.

    “‘Mood’ perhimpunan agung agak terganggu melihat negarawan kita diperlaku sebegitu rupa, jadi semangat untuk berhimpun sedikit berubah kerana ada sedikit marah dengan kezaliman yang berlaku,” ujar bekas Menteri Besar Perak itu, lapor FMT.

    Terdahulu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

    Muhyiddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

  • Cadangan KWSP sebagai cagaran pinjaman tidak wajar, kata kesatuan pekerja bank

    Cadangan KWSP sebagai cagaran pinjaman tidak wajar, kata kesatuan pekerja bank

    CADANGAN kerajaan untuk membenarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan sebagai cagaran pinjaman disifatkan sebagai bukan sesuatu cadangan yang baik.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU) Andrew Lo, di bawah Akta KWSP simpanan pencarum dilindungi daripada kebankrapan.

    “Justeru, apa yang akan berlaku jika peminjam gagal membayar pinjaman mereka dan adakah bank mahu memberi pinjaman dengan cagaran sedemikian?

    “Memandangkan skim ini adalah untuk mereka yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman, terdapat risiko tinggi mereka lalai dan kedua bank akan mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi daripada dividen KWSP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

    Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang berkata kaedah itu hanyalah bagi mereka yang benar-benar terdesak dan hanya diberikan kepada pencarum yang mempunyai simpanan mencukupi dalam akaun KWSP mereka.

    Mengulas lanjut, Lo berkata memandangkan skim ini adalah untuk mereka yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman, terdapat risiko tinggi mereka lalai dan bank akan mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi daripada dividen KWSP.

    “Jadi pencarum akan terus melihat kedudukan kewangan keseluruhan mereka bertambah buruk.

    “Ia juga akan meningkatkan tahap keberhutangan yang telah mencapai tahap yang membimbangkan,” kata Lo.

  • Srikandi Bersatu tubuh tabung ‘hibah Abah’

    Srikandi Bersatu tubuh tabung ‘hibah Abah’

    SRIKANDI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menubuhkan tabung ‘hibah Abah’ sebagai solidariti bagi membantu Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Tabung tersebut diedarkan kepada 450 perwakilan dalam Persidangan Agung Tahunan Srikandi Bersatu Malaysia 2022.

    Usaha itu adalah sebagai sokongan kepada parti dan Muhyiddin yang didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa.

    Bekas Perdana Menteri itu didakwa menggunakan kedudukan untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn. Bhd. serta Mamfor Sdn. Bhd., bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Bagi dua lagi pertuduhan, Muhyiddin juga didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu pada 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

    Bagaimanapun, hari ini, Muhyiddin selesai membayar wang ikat jamin sebanyak RM2 juta di kaunter Pendaftaran Jenayah Mahkamah Sesyen di sini menerusi dua penjamin, iaitu dua anaknya, lapor Sinar Harian.

  • Tak munasabah pencuri simpan wang dalam akaun bank parti – Peja

    Tak munasabah pencuri simpan wang dalam akaun bank parti – Peja

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata adalah tidak munasabah seseorang yang mencuri wang menyimpannya dalam akaun bank parti politik.

    “Sebagai orang biasa, tidak munasabah seorang pencuri akan menyimpan wang yang dicuri dalam akaun bank parti politik.

    “Secara realistik, itu tidak akan berlaku tapi kami tidak akan campur tangan urusan mahkamah,” kata Faizal kepada pemberita di Menara PGRM di Kuala Lumpur selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan parti itu hari ini.

    Mesyuarat yang sepatutnya diadakan pagi ini ditangguhkan bagi membolehkan anggota Bersatu menunjukkan sokongan terhadap presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Faizal, yang pernah menjadi Menteri Besar Perak dan Menteri Belia dan Sukan berkata, pihaknya terkilan dan kecewa dengan tindakan itu, tetapi terpaksa akur.

    Katanya, sudah tentu mereka sedikit terkesan oleh pertuduhan terhadap Muhyiddin.

    Ketika ditanya sama ada dia percaya pendakwaan itu bermotifkan politik untuk menjatuhkan Perikatan Nasional (PN), beliau menjawab: “Ya. Pertuduhan itu mengubah keadaan perhimpunan sebaliknya semua orang berkumpul untuk menyokong presiden kami.”

    “Kemarahan kami sekarang menjadi pembakar semangat untuk parti,” tambah Faizal, lapor MalaysiaKini.

    Menurutnya, suasana mesyuarat agung tahunan (AGM) tahun ini berbeza berbanding tahun lalu kerana parti itu baru sahaja melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Parti itu katanya, amat gembira dengan pencapaian pada PRU15 lalu dan ahli-ahlinya yakin kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Mengulas lanjut, Faizal menyentuh mengenai beberapa masalah dihadapi AGM Bersatu yang menyebabkan ia tertangguh.

    “Kami tidak dapat melakukan gabungan AGM Armada dan Srikandi (sayap pemuda dan wanita) kerana kami berada di mahkamah untuk menyokong Muhyiddin.

    “Namun, kami telah mengikut peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan AGM. Srikandi bermula hari ini dan esok ia akan diteruskan dengan sayap-sayap lain.

    “Ucapan dasar oleh presiden parti sepatutnya malam esok tetapi sekarang kita tangguhkan kepada Ahad,” katanya.

  • Srikandi Bersatu gesa segerakan Akta Pendanaan Politik, senaraikan yayasan dikecuali cukai

    Srikandi Bersatu gesa segerakan Akta Pendanaan Politik, senaraikan yayasan dikecuali cukai

    SRIKANDI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Srikandi Bersatu) mendesak agar pelaksanaan Akta Pendanaan Politik disegerakan bagi memastikan tiada lagi individu menjadi mangsa kezaliman politik.

    Ketuanya, Datuk Seri Rina Harun berkata, pada masa kerajaan sepatutnya tidak bersikap selektif dan menyenaraikan yayasan yang dikecualikan cukai bagi tempoh 2018 hingga 2020.

    “Jadi saya harap kita serahkan (kes pendakwaan) kepada peguam-peguam kita yang bijaksana yang akan membela kes ini di mahkamah. Kita harap Yang Berhormat (YB) yang ada, YB Mas Ermieyati, YB Datuk Seri Ronald Kiandee, usulkan Akta Pendanaan Politik ini disegerakan, kalau tidak ramai lagi mangsa yang menjadi kezaliman ini.

    “Saya juga minta disenaraikan yayasan-yayasan dikecualikan cukai dari tahun 2018 hingga 2020, Kita nak tengok mana yang dikecualikan cukai, jangan hanya memilih satu pihak sahaja,” katanya.

    Beliau berkata demikiian semasa berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Bersatu 2022 di Menara PGRM, Cheras di Kuala Lumpur, hari ini.

    Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kerajaan akan merujuk Akta Pendanaan Politik kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang akan diwujudkan tidak lama lagi.

    Sementara itu, Rina berkata, Akta Pendanaan Politik diharap akan memberi keterangan yang jelas mengenai isu sumbangan politik kepada mana-mana parti.

    “Dimaklumkan, (Presiden) terima duit dari penyumbang. Kita ada peguam-peguam kita di sini. Yang jelas, apabila Tan Sri Muhyiddin menerima (sumbangan) sebagai Presiden, takkan orang nak menyumbang ini dia jumpa yang lain-lain, dia jumlah Presiden sebagai ketua sebuah parti.

    “(Sumbangan) itu dimasukkan ke dalam akaun Bersatu, bukan akaun individu. Ini juga dianggap di Malaysia, ada undang-undang berkaitan pendanaan parti politik. Semua kenal, beliau (penyumbang) ini merupakan ahli perniagaan Bumiputera yang berjaya, bukan jutawan, tetapi billionaire. Melayu nak bantu parti Melayu. Banyak jasanya,” ujarnya lagi.

    Srikandi Bersatu juga yakin parti itu akan menang dalam kes pendakwaan di mahkamah dan sokongan tidak berbelah bahagi akan sentiasa diberikan kepada pemimpin utama Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

  • Penyokong yakin ‘Abah’ tak salah

    Penyokong yakin ‘Abah’ tak salah

    LAUNGAN ‘Hidup Abah’, ‘Tolak Kezaliman’ dan ‘Kami Sayang Abah’ kedengaran ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 11.55 pagi tadi.

    Kira-kira 300 penyokong berada di luar kompleks mahkamah berkenaan sejak pukul 8.30 pagi sebagai tanda sokongan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

    Penyokong berkenaan ada yang memakai kemeja-T putih dengan tulisan ‘Kami Bersama Abah’ manakala terdapat juga penyokong yang memakai kain ikat kepala berwarna merah dengan tanda pagar #AbahTabah.

    Mereka terpaksa berkumpul di luar kompleks mahkamah kerana pintu masuk utama menuju ke lobi ditutup kepada orang ramai atas faktor keselamatan.

    Mereka menunggu Muhyiddin membayar wang jaminan sebanyak RM2 juta yang mengambil masa kira-kira tiga jam.

    Sambil menunggu, mereka turut melaungkan slogan seperti ‘Tolak Pakatan Harapan’ dan ‘Hidup Perikatan Nasional’.

    Seorang penyokong, Bukhari Hashim, 30, yang tiba dari Terengganu tengah malam tadi berkata, beliau percaya pertuduhan terhadap Muhyiddin itu bermotifkan politik.

    Sebahagian daripada penyokong-penyokong menunggu diluar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberi sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan menghadapi tuduhan rasuah, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kami tahu ‘Abah’ tidak bersalah. Ini adalah cubaan untuk mencemarkan imej baik beliau yang dibina dan diperkukuhkan semasa memegang jawatan ketika menangani wabak Covid-19 di negara ini.

    “Beliau mentadbir negara ini dengan baik dan disebabkan itu ada yang cemburu. Mereka tidak mempunyai idea lain untuk mengaitkannya, jadi ini adalah satu-satunya cara untuk menjatuhkannya.

    “Dan kami sangat berharap dengan pertolongan Allah, Muhyiddin akan dibebaskan. Rakyat tahu bahawa tuduhan itu tidak berasas,” katanya, lapor Berita Harian.

    Muhyiddin, 76, hari ini didakwa dengan enam pertuduhan penggubahan wang haram dan rasuah berjumlah RM472.5 juta. Beliau mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu.

    Ketika Muhyiddin keluar dari pekarangan lobi berkenaan, penyokong dilihat mengepung kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri itu yang diletakkan di luar kompleks mahkamah.

    Laungan ‘Hidup! Hidup! Hidup! Abah!’ semakin kuat dilaungkan apabila Muhyiddin dan rombongannya termasuk ahli keluarga mendekati penyokong.

    Walaupun terdapat kumpulan polis yang diletakkan bersama dengan penyokong, namun tetap berlaku sedikit kekecohan apabila sekumpulan besar penyokong itu tidak berpuas hati dengan beberapa jurugambar menghalang mereka yang ingin melihat Muhyiddin dengan lebih dekat.

    Muhyiddin juga tidak melepaskan peluang untuk melaungkan ‘Lawan Tetap Lawan’ dan ‘Takbir! Allahuakhbar!’ sebelum meninggalkan kompleks berkenaan.

    Terdahulu Muhyiddin tiba di kompleks itu pada pukul 8.40 pagi ditemani isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan pemimpin Bersatu.

    Ini termasuk Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Faizal Azumu; Ahli Majlis Tertinggi parti, Datuk Seri Azmin Ali dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Dr. Radzi Jidin, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan ramai lagi.

    Difahamkan, penyokong terbabit datang ke kompleks itu menaiki dua buah bas dan mula melaungkan ‘Bebas Abah!’ apabila melihat kereta Muhyiddin tiba di mahkamah.

    Bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun juga dilihat tiba di kompleks mahkamah pukul 8.15 pagi, manakala anak-anak Muhyiddin dilihat berjalan masuk kira-kira 8.20 pagi.

  • Tiada sebab SPRM mahu panggil saya, kata Hamzah

    Tiada sebab SPRM mahu panggil saya, kata Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan spekulasi bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu memanggilnya untuk siasatan.

    Ahli Parlimen Larut itu menegaskan, tiada sebab SPRM mahu memanggilnya untuk siasatan.

    “Hentikan spekulasi tidak berasas. Tiada sebab saya hendak dipanggil SPRM,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Bersatu, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau sekali gus menekankan, pendakwaan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan ahli dan perwakilan.

    “Sesiapa pun yang didakwa, parti ini akan tetap menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran, bukan dikira siapa bakal didakwa… sesiapapun yang didakwa secara salah, kami akan pertahankan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Pagi tadi, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan, meliputi empat pertuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

    Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

  • Cadangan keluar KWSP dengan cagaran bank jerat leher pencarum

    Cadangan keluar KWSP dengan cagaran bank jerat leher pencarum

    LANGKAH membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk dijadikan cagaran kepada bank bagi membuat pinjaman terus mendapat bantahan orang ramai.

    Seorang kerani, Nurul Najjat Mohd. Yusof, 37, mempersoalkan cadangan tersebut yang dilihat tidak menguntungkan rakyat.

    “Kenapa saya perlu berhutang untuk membayar hutang tertunggak? Saya perlukan wang tetapi tidak sanggup menanggung faedah yang dikenakan bank apatah lagi dalam situasi ekonomi ketika ini.

    “Kaedah kolateral dicadangkan kerajaan itu disifatkannya seperti menjerat leher pencarum yang terdesak.

    Dia mahu menyelesaikan masalahnya termasuk tunggakan hutang dengan pengeluaran wang sendiri melalui caruman KWSP dan bukannya membuat pinjaman wang daripada bank atau mana-mana pihak.

    “Sebelum ini pihak berkenaan menggalakkan rakyat tidak berhutang tetapi sekarang sebaliknya pula. Saya tak bersetuju dengan cadangan itu kerana apa gunanya berhutang dengan mencagarkan KWSP sedangkan kami boleh keluarkan duit sendiri.

    “Saya sudah tidak sanggup membuat pinjaman dan pastinya kadar faedah ketika ini juga akan semakin tinggi dan akhirnya masalah tiada penyelesaian apabila rakyat terus berhutang,” katanya.

    Semalam, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, kerajaan bersetuju memperkenal kaedah secara kolateral iaitu menggunakan wang caruman KWSP sebagai cagaran kepada bank untuk membuat pinjaman.

    Katanya, kaedah itu boleh ditawarkan kepada pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

    Dalam pada itu, pekerja sektor perkapalan, L. Amalraj, 34, pula berkata, setakat ini dia tidak bercadang mengeluarkan wang carumannya, namun mengakui cadangan yang diumumkan itu tidak membantu rakyat.

    “Seperti tidak logik kerana kaedah itu dilihat hanya menguntungkan sebelah pihak saja dan pencarum pula yang perlu menanggung beban faedah yang menambah hutang mereka.

    “Saya berpandangan biarlah pencarum yang betul terdesak mengeluarkan wang mereka tetapi boleh dihadkan peratusan pengeluaran wang itu kerana kita sedia maklum KWSP adalah simpanan untuk hari tua nanti,” katanya.

    Bagi Robo Ding, 44, dia berpandangan kaedah itu dapat membantu mana-mana pihak yang sebelum ini tidak layak membuat pinjaman dengan bank kerana tidak melepasi syarat sebelum ini.

    Bagaimanapun katanya, tidak menafikan kaedah itu tidak sesuai untuk semua rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah dan caruman sedikit.

    “Cadangan ini adalah jalan alternatif untuk mereka yang terdesak berbanding meminjam daripada ceti haram yang akan memudaratkan kehidupan kelak,” katanya.

    Sementara itu, Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) Azmi Mohd. Tahir berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pencarum menerusi emel dan khidmat pesanan ringkas yang membantah cadangan pengeluaran KWSP secara kaedah kolateral.

    “PGIRM juga sudah mendapat makluman daripada peguam kami bahawa di dalam Akta KWSP di bawah Seksyen 51, menyatakan deposit caruman KWSP tidak boleh dicagarkan kepada pihak ketiga.

    “Justeru cadangan itu akan membebankan rakyat yang sedia maklum tuntutan pengeluaran kecemasan bersasar itu bertujuan untuk menyelesaikan hutang yang tertunggak daripada pihak bank, pinjaman syarikat kredit, ceti haram, pinjaman kenalan terdekat dan permasalahan lain yang sedang dihadapi oleh rakyat sekarang ini,” katanya, lapor Harian Metro.