Author: Wartawan WartaRakyat

  • MPT Bersatu belum putus sama ada Muhyiddin kekal Presiden

    MPT Bersatu belum putus sama ada Muhyiddin kekal Presiden

    MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum memutuskan lagi sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kekal sebagai presiden parti susulan beliau dituduh di mahkamah semalam.

    Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, mesyuarat MPT akan diadakan di Taman Melewar petang ini yang akan menyentuh berkenaan perkara itu.

    “Setakat ini belum lagi (bincang jawatan presiden). Tetapi petang ini akan diadakan mesyuarat MPT selepas mesyuarat Pemuda Bersatu kira-kira pada 6.30 petang di Taman Melewar.

    “Jadi media boleh bertanya kepada pimpinan selepas mesyuarat itu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu kali ke-4, di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada MPT sudah memutuskan mengenai kedudukan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu susulan dakwaan yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

    Muhyiddin semalam mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan salah guna kuasa berkait program Jana Wibawa, mendapatkan RM232.5 juta untuk partinya, Bersatu, serta dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM195 juta.

    Dalam pada itu, Wan Fayhsal berpandangan Muhyiddin wajar terus menjadi Presiden Bersatu kerana percaya pertuduhan yang dikenakan itu bermotifkan politik.

    Katanya, beliau juga akan menunggu perbincangan antara kalangan pimpinan MPT hari ini mengenai kedudukan Muhyiddin.

    “Saya fikir dia harus kekal kerana kita percaya ini adalah penganiayaan politik.

    “Saya percaya, kami (pimpinan Bersatu) akan memastikan Muhyiddin kekal sebagai presiden,” katanya, lapor FMT.

  • SPRM sahkan Muhyiddin akan didakwa lagi kes wang haram

    SPRM sahkan Muhyiddin akan didakwa lagi kes wang haram

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dituduh Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) pada Isnin ini.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akan dituduh di bawah AMLATFPUAA di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

    “Pertuduhan di bawah AMLATFPUAA terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu ekoran siasatan melibatkan kes projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang dijalankan siasatannya oleh SPRM.

    “Muhyiddin akan dituduh di bawah AMLATFPUAA di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Azam berkata, mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

    Dalam sidang akhbar yang dilakukan oleh Muhyiddin selepas dibebaskan oleh SPRM kelmarin, Ahli Parlimen Pagoh itu menyatakan akan dikenakan tujuh pertuduhan di mahkamah.

    Enam pertuduhan ke atas bekas Perdana Menteri itu telah dilakukan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, manakala satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin ini.

    Semalam, Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukan bagi mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

    Bagaimanapun Muhyiddin mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

  • ‘Muhyiddin bukan seperti Najib’ – Ahmad Fayhsal

    ‘Muhyiddin bukan seperti Najib’ – Ahmad Fayhsal

    KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan seperti Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Tan Sri Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tidak terlibat dalam skandal kewangan besar seperti yang berlaku ke atas Najib.

    “Saya ingin ingatkan, bahawa Tan Sri Muhyiddin bukan (Datuk Seri) Najib Razak. Jauh sekali terlibat dalam skandal kewangan terbesar dunia seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

    “Orang Melayu lebih pandai menilai mata yang permata dan mana yang kaca,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada di Kuala Lumpur hari ini.

    Dakwa Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang lagi, Muhyiddin yang kini berdepan kes mahkamah menjadi mangsa pendakwaan terpilih.

    Jelasnya, pendakwaan ke atas Muhyiddin ini disebabkan ketakutan melampau terhadap pengaruh Bersatu dalam politik Melayu.

    “Sama-sama kita doakan, agar Presiden kita dikurniakan kekuatan bagi menempuhi ujian yang sedang dihadapi.

    “Saya percaya, seorang yang bernama Muhyiddin Yassin tidak akan mudah luntur semangat juangnya, walau badai setinggi gunung dan desakan maha hebat apa pun,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, beberapa pimpinan tertinggi Bersatu turut hadir antaranya Naib Ketuanya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin, Ketua Penerangan, Datuk Razali Idris dan lain-lain.

    Perhimpunan kali keempat ini juga menyaksikan seramai 429 perwakilan dari seluruh negara yang hadir.

  • Ahli Armada Bersatu meningkat, cecah lebih 120,000

    Ahli Armada Bersatu meningkat, cecah lebih 120,000

    KEAHLIAN Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di seluruh negara ketika ini mencatatkan jumlah keahlian seramai 120,756 orang.

    Penolong Setiausaha Armada, Muhammad Faiz Rahmad berkata, jumlah keahlian meningkat sebanyak 11,637 orang berbanding 109,119 pada tahun sebelumnya.

    “Secara keseluruhan sayap parti itu mempunyai sebanyak 173 cawangan.

    “Kalau kita lihat terdapat pertambahan yang sangat positif untuk keahlian Armada dan kita juga aman perbanyakkan lagi program-program pada masa akan datang,” katanya berucap pada Perhimpunan Agung Armada di Kuala Lumpur hari ini.

    Perhimpunan kali keempat ini juga menyaksikan seramai 429 perwakilan dari seluruh negara yang hadir, lapor Sinar Harian.

  • Malaysia berdepan ketidaktentuan politik selepas Muhyiddin didakwa

    Malaysia berdepan ketidaktentuan politik selepas Muhyiddin didakwa

    MALAYSIA mungkin berdepan polarisasi politik berterusan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berisiko berdepan tindak balas negatif apabila pentadbirannya melakukan pendakwaan terhadap musuh dan juga pendahulunya Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.

    Muhyiddin yang merupakan Perdana Menteri selama 17 bulan antara 2020 dan 2021, didakwa atas tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung projek yang dilancarkan di bawah kepimpinannya.

    Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan berkata pertuduhan itu hanya bermotifkan politik.

    Namun begitu perkara tersebut dinafikan Anwar, sambil berkata proses berkenaan dilaksanakan sepenuhnya oleh agensi penguatkuasaan undang-undang.

    Penganalisis politik di Universiti Nottingham Asia Research Institute, Bridget Welsh berkata, kes itu mampu menjadikan kerajaan Anwar lebih tidak popular dalam kalangan kelompok konservatif, dengan pengundi Melayu lebih condong memilih blok pembangkang walaupun pemimpin kanan gabungan itu berdepan pertuduhan rasuah.

    Katanya, ini seterusnya boleh membawa lebih banyak ketidaktentuan politik dalam negara yang menyaksikan lima Perdana Menteri dalam tempoh enam tahun.

    “Kerajaan campuran dipimpin Anwar dijangka berdepan cabaran hebat daripada gabungan Muhyiddin pada enam pilihan raya negeri, yang dijangka berlangsung menjelang Jun ini.

    “Ia adalah ujian besar bagi Anwar, yang mempunyai pemimpin dalam Kabinetnya yang berdepan kes rasuah.

    “Pentadbirannya akan berdepan krisis kredibiliti yang meluas melainkan ada usaha untuk melakukan reformasi sebenar.

    “Naratif penganiayaan ini memberi kesan kepada dinamik polarisasi politik Malaysia,” katanya kepada Reuters.

    Muhyiddin merupakan bekas Perdana Menteri kedua dalam sejarah Malaysia yang didakwa atas tuduhan rasuah sejurus selepas kalah dalam pilihan raya, dan kesnya menarik perhatian kepada pelbagai retakan dalam politik negara.

  • Remaja dikhuatiri lemas di Pantai Cempaka

    Remaja dikhuatiri lemas di Pantai Cempaka

    SEORANG remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi bersama empat rakannya di Pantai Cempaka di Kuantan semalam.

    Mangsa, Nazrul Aimi Shah Kamarul Bahri, 15 dari Taman Kempadang Perdana merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian itu, empat rakan mangsa masing-masing berusia 15 tahun selamat.

    “Siasatan awal mendapati mangsa bersama rakan-rakannya datang ke pantai itu kira-kira pukul 3.30 petang untuk mandi-manda.

    “Semasa sedang mandi di tepi pantai, mereka dipercayai telah dipukul ombak dan hanyutkan arus ke kawasan yang agak dalam.

    “Empat rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai manakala mangsa didapati hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa yang selamat meminta bantuan daripada penduduk berhampiran sebelum kejadian dimaklumkan kepada pihak berkuasa untuk bantuan mencari dan menyelamat.

    Wan Mohd. Zahari berkata, susulan maklumat ditera, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan melibatkan pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pasukan Polis Marin dan Agensi Pengiatkuasaan Maritim Malaysian (Maritim Malaysia).

    “Penugasan SAR bertumpu kepada rondaan di sepanjang pesisir Pantai Cempaka hingga ke Pantai Sepat memandangkan penggunaan bot penyelamat tidak begitu sesuai memandangkan keadaan angin kencang dan ombak tinggi di kawasan pesisir,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, operasi SAR mangsa yang hilang diteruskan pada pagi tadi.

  • ‘Lim Guan Eng Menteri Kewangan yang bertanggungjawab ke atas LHDN pada masa itu’ – Muhyiddin

    ‘Lim Guan Eng Menteri Kewangan yang bertanggungjawab ke atas LHDN pada masa itu’ – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan Lim Guan Eng bahawa beliau berbohong berkenaan pembatalan pengecualian cukai yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Yayasan Albukhary yang dinaungi Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

    Menurut bekas Perdana Menteri itu, dakwaan Guan Eng tersebut tidak benar sama sekali dan berikut adalah kenyataan media Muhyiddin berkenaan isu tersebut;

    Saya merujuk kepada beberapa kenyataan media oleh Lim Guan Eng berkaitan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Al Bukhary. Lim Guan Eng tidak menyentuh langsung intipati apa yang telah saya katakan.

    Saya menerima surat rayuan daripada Yayasan Al-Bukhary semasa saya menjadi Perdana Menteri. Saya dimaklumkan bahawa pihak yayasan telah menerima pengecualian cukai untuk kerja-kerja amal Islam. Pengecualian cukai tersebut diberikan di bawah S.127 (3A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

    Selepas Pakatan Harapan mengambil alih kuasa pada bulan Mei 2018, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) enggan melaksanakan pengecualian cukai yang telah diberikan sebelum ini dengan mengenakan semula cukai berserta 45 peratus cukai penalti terhadap Yayasan Al-Bukhary.

    Lim Guan Eng merupakan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab ke atas LHDN pada masa itu. Oleh itu, beliau bertanggungjawab terhadap keputusan untuk mengenakan semula cukai dan cukai penalti 45 peratus ke atas Yayasan Al-Bukhary yang merupakan sebuah pertubuhan yang melakukan kerja-kerja amal Islam.

  • ‘Tak lupa jasa Abah’

    ‘Tak lupa jasa Abah’

    KALAU tidak kerana Abah, mungkin saya dah hilang punca kerana masalah dalam perniagaan, demikian luah seorang individu yang juga penyokong Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Individu yang hanya mahu dikenali sebagai Aziz itu berkata, langkah Muhyiddin yang membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika pandemik Covid-19 lalu disifatkan jasa yang terlalu besar bagi dirinya.

    “Beliau pemimpin yang cakna kepada masalah rakyat, dengan pengeluaran KWSP yang dibenarkan beliau ketika menjadi Perdana Menteri sewaktu pandemik Covid-19 lalu berjaya menyelamatkan perniagaan saya yang bermasalah.

    “Jasa beliau cuma Allah sahaja yang mampu membalasnya, saya tak akan lupa sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui di pekarangan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

    Menurutnya, dia sanggup hadir seawal pukul 6 pagi bagi memberikan sokongan terhadap pemimpin Bersatu itu.

    “Saya datang dari Kedah bersama rakan-rakan yang lain, kami tak kisah walaupun tempuh perjalanan hampir lima jam untuk ke sini.

    “Saya doakan agar Muhyiddin dipermudahkan urusan, doa kami semua sentiasa bersama beliau,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Lebih 200 penyokong Muhyiddin berkumpul di pekarangan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberikan sokongan terhadap beliau.

  • Menteri tak perlu tanding PRN, tumpu tugas hakiki

    Menteri tak perlu tanding PRN, tumpu tugas hakiki

    TIGA menteri Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan UMNO yang ketika ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak perlu bertanding lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada Jun ini.

    Menurut sumber dalaman tiga parti berkenaan, tiga menteri itu iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail daripada PKR yang juga ADUN Pantai Jerejak, Pulau Pinang, Anthony Loke Siew Fook daripada DAP (ADUN Chennah, Negeri Sembilan), dan Datuk Seri Mohamad Hasan daripada UMNO (ADUN Rantau, Negeri Sembilan).

    Saifuddin yang juga senator, adalah Menteri Dalam Negeri, manakala Loke dan Mohamad masing-masing menjawat Menteri Pengangkutan dan Menteri Pertahanan.

    Menurut sumber parti, Saifuddin berkemungkinan tidak mempertahankan kerusi Pulau Jerejak dimenanginya, pada 2018, kawasan sasaran bagi Perikatan Nasional (PN).

    Gabungan itu dikatakan mahu menggunakan ‘gelombang hijau’ merampas kerusi tersebut yang mana pengundi Melayu mewakili 38 peratus.

    Sumber turut merujuk kekalahan Saifuddin di Parlimen Kulim-Bandar Baharu, pada PRU lalu kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Roslan Hasan dengan majoriti lebih 13,000 undi.

    “Timbul kebimbangan pengundi di Pantai Jerejak juga akan menolaknya kali ini dan ini boleh memalukan kerajaan,” kata sumber itu kepada FMT.

    Pada 2018, Saifuddin menang dengan selesa selepas meraih 10,716 undi menentang ketua Gerakan Pulau Pinang yang juga Timbalan Presiden, Oh Tong Keong, Farhan Yusri (Pas), dan Yim Boon Leong dari Malaysian United Party.

    Sumber berkenaan berkata, menteri juga ‘terlalu sibuk di peringkat pusat’ dan tidak mampu menguruskan kawasan diwakili di peringkat negeri.

    Dalam pada itu, DAP dikatakan belum lagi memutuskan sama ada membuka laluan kepada Loke bertanding.

    Setiausaha agung DAP itu menjadi ADUN sejak 2004, di Lobak dan Chennah.

    Sumber memberitahu FMT, parti sedang meneliti kemungkinan Chennah diwakili calon DAP lain.

    “Keutamaan Pakatan Harapan adalah mempertahankan negeri, jadi setiap kerusi dianggap penting.

    “Namun, logiknya, menteri tidak sepatutnya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), jadi membolehkan mereka menumpukan perhatian bagi hal ehwal Pusat. Ada cukup calon kuat di peringkat negeri untuk dipilih bertanding,” kata sumber itu.

    Dalam pada itu, sumber UMNO berkata, parti perlu membuat keputusan sukar sama ada membenarkan Mohamad bertanding mempertahankan kerusi Rantau.

    Mohamad, lebih dikenali sebagai Tok Mat, menjadi wakil rakyat kawasan terbabit sejak 2004 dan mengekalkan kerusi itu dengan majoriti besar.

    Sumber berkata, calon di kerusi majoriti Melayu itu perlu mengambil kira sentimen pengundi setempat berdasarkan perkembangan politik semasa negara dan dalam parti.

    “Walaupun gabungan BN dan PH menyumbang 79 peratus undi di Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), merangkumi Rantau antara empat kerusi DUN lain, bagaimanapun lain halnya pada PRN.

    “Ada juga cakap-cakap jika orang lain dicalonkan selain Tok Mat, ada peluang untuk BN kalah,” katanya.

  • Blog muat naik gambar Mat Sabu bersama ahli perniagaan Deepak – Laporan

    Blog muat naik gambar Mat Sabu bersama ahli perniagaan Deepak – Laporan

    SEBUAH blog memuat naik beberapa keping gambar yang didakwanya menunjukkan ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan ketika dalam penerbangan ke India bersama-sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

    Memetik laporan MalaysiaNow, gambar tersebut tersebar ketika persoalan berhubung pemberian kontrak kerajaan kepada sebuah syarikat tunggal untuk membekalkan telur ayam dari India.

    Beberapa gambar yang disiarkan di blog “Checkmatebro” turut menunjukkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan duduk bersama pemimpin Amanah itu.

    Gambar itu didakwa diambil semasa penerbangan mereka ke Chennai, India Januari lalu untuk bertemu pembekal bagi menangani masalah kekurangan telur ayam di Malaysia.

    “Betul ke Mat Sabu ke India tengok ladang ayam bawa Deepak dan Saravanan? Kalau betul, kenapa? Apa peranan dia orang?” soal blog tersebut.

    MalaysiaNow cuba mendapatkan maklum balas daripada Mat Sabu dan Deepak namun tidak berjaya.

    MalaysiaNow juga telah menghubungi Saravanan untuk mendapatkan maklum balas.

    Awal bulan ini, Mohamad memberitahu Dewan Rakyat hanya sebuah syarikat dianugerahkan permit khas untuk mengimport telur dari India sehingga Jun tahun ini.

    Langkah itu mendapat kritikan daripada Presiden MCA Wee Ka Siong yang mempersoalkan kualiti telur import.

    Kenyataan Wee yang dibuat di Dewan Rakyat atas kapasitinya sebagai ahli Parlimen Ayer Hitam.

    Kenyataan itu menyebabkan Wee menerima surat tuntutan saman daripada firma undang-undang yang mewakili pengimport telur J&E Advance Tech Sdn Bhd.

    Semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan dua pemegang saham dalam syarikat itu iaitu Jeena Giri dan Shahrizal Ahmad, kedua-duanya adalah pemegang saham berjumlah RM850,000.

    Nama Deepak menjadi perhatian selepas mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor terlibat dalam pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

    Beliau juga menyaman Najib dan Rosmah atas dakwaan konspirasi yang didakwanya menyebabkan beliau mengalami kerugian.