Author: Wartawan WartaRakyat

  • Dr Halimah wanita pertama dipilih Naib YDP Pas Kawasan

    Dr Halimah wanita pertama dipilih Naib YDP Pas Kawasan

    AHLI Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali menjadi wanita pertama diangkat sebagai Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Kapar dalam Pemilihan Pas Negeri Selangor bagi sesi 2023 hingga 2025.

    Setiausaha Pas Negeri Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, ia sebahagian daripada keputusan pemilihan parti itu yang antara lain menyaksikan 18 Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan berjaya mempertahankan jawatan masing-masing.

    Menurutnya, mereka terdiri daripada pemimpin tertinggi negeri iaitu Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi di Kuala Langat, Timbalan-timbalan Pesuruhjaya, Shafie Ngah (Bangi) dan Noor Najhan Mohamad Saleh (Kapar), Bendahari Negeri Hasnizan Harun (Hulu Selangor).

    “Pas Negeri Selangor juga menyaksikan muka baru di empat kawasan iaitu Sepang, Sabirin Marsono, seorang Jurutera; di Damansara, Hamzah Abu Seman, seorang pendakwah; Shah Alam, Mohamed Sukri Omar seorang lulusan Pengajian Islam dan Petaling Jaya Mohd Zubir Embong seorang Peguam,” katanya dalam satu kenyataan.

    Roslan Shahir berkata, Pas sentiasa komited terhadap prinsip dan amalan demokrasi dalam proses pemilihan parti bagi membina generasi kepimpinan yang bersih, sejahtera dan toleran.

    Katanya, Muktamar Tahunan PAS Pusat Ke-69 bakal diadakan di Kota Bharu, Kelantan.

    Tambah beliau, Pas dan parti komponen Perikatan Nasional (PN) di Selangor komited mendukung budaya politik matang, sejahtera dan memimpin gelombang hijau bagi membawa perubahan ke arah kebaikan buat negeri itu menjelang Pilihanraya Umum Negeri Selangor ke-15.

  • Muhyiddin mengaku tidak bersalah terima hasil aktiviti haram RM5 juta

    Muhyiddin mengaku tidak bersalah terima hasil aktiviti haram RM5 juta

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM5 juta berkaitan dengan program Jana Wibawa.

    Bagaimanapun Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Rozilah Salleh pagi ini.

    “Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” ujar Ahli Parlimen Pagoh itu, lapor Malaysiakini.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu didakwa menerima RM5 juta hasil daripada daripada Bukhary Equity Sdn. Bhd., yang disalurkan ke dalam akaun Bersatu, pada 7 Jan 2022.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, pada 7 Januari tahun lalu.

    Pertuduhan pengubahan wang haram, yang dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) akta yang sama.

    Beliau boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram berkenaan dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohd. Fadhly Mohd. Zamry, Zander Lim Wai Keong, Kalai Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.

    Muhyiddin pula diwakili sembilan peguam iaitu K. Kumaraendran, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Amiratu Al Amirat Saleh Mohamed Garbaa, Mohd. Isa Mohamad Basir, Shahir Ab. Razak, Teh See Khoon, Varsha Chelvi dan Raja Syuhada Raja Khairuddin.

    Terdahulu Muhyiddin tiba di kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, pagi tadi pada pukul 8.20 pagi dengan ditemani isterinya, Datin Seri Noorainee Abdul Rahman serta beberapa pimpinan parti antaranya Ronald Kiandee dan Mohd Radzi Md Jidin.

    Kenderaan membawanya tiba di pekarangan diiringi sebuah kereta polis dan empat kereta lain.

    Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin, 75, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan berkaitan wang dalam akaun Bersatu.

    Beliau mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan sebagai presiden Bersatu telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta.

    Hakim Azura Alwi kemudian membebaskan Muhyiddin dengan jaminan sebanyak RM2 juta bersama dua orang penjamin serta diperintah menyerahkan pasport antarabangsanya.

  • Label pengundi PN berpendidikan rendah hujah kurang cerdik, kata penganalisis

    Label pengundi PN berpendidikan rendah hujah kurang cerdik, kata penganalisis

    TIDNAKAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melabelkan pengundi yang memilih parti politik lawan sebagai golongan berpendidikan rendah adalah tidak wajar dan merupakan satu hujah yang kurang cerdik.

    Penganalisis politik, Jeniri Amir berkata, ini kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang mana setiap pengundi berhak memilih parti yang dirasakan wajar mewakili mereka.

    Sebelum ini, Saifuddin melabelkan golongan muda yang menyokong dan menyumbang undi kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lepas, tidak mempunyai pendidikan tinggi dan tiada pendapatan tetap dalam kehidupan.

    Pada masa sama, pemimpin PKR itu juga menyatakan pengundi muda yang mempunyai pendapatan stabil dan berpendidikan yang lebih tinggi akan cenderung menyokong Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Anwar Ibrahim.

    Jeniri yang juga Felo kanan Majlis Profesor Negara, hal ini dibuktikan melalui dapatan kajian yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) selepas PRU15.

    “Ini adalah satu generalisasi,” kata Jeniri kepada MalaysiaNow.

    “Adakah ini bermaksud hanya menyokong satu parti ‘itu’ cerdik, pintar atau orang yang kewarasan tetapi bila (pilih) parti lain bermaksud tidak waras,” soalnya.

    Ditanya sekiranya mungkin Saifuddin tersalah cakap dan merujuk kepada golongan luar bandar, Jeniri menegaskan hujah itu juga tidak boleh diterima memandangkan ia turut dikategorikan sebagai kenyataan yang generalisasi.

    Katanya, golongan yang menetap di luar bandar juga tidak bermaksud mereka kurang cerdik berbanding golongan yang menetap di bandar.

    “Nak maksudkan pengundi luar bandar kurang bijak pun tidak boleh. Apabila berkata begitu, ini ibarat menghina mereka,” tambah beliau.

    PRU15 menyaksikan PN membuat kejutan apabila berjaya meraih sebanyak 74 kerusi Parlimen dengan Pas merekodkan jumlah kerusi tertinggi.

    Keputusan itu juga menyaksikan PN menyapu bersih di Kelantan, Terengganu dan Perlis serta meraih kerusi terbanyak di Kedah dan Pahang yang merupakan negeri kubu kuat Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

    Mengulas lanjut, Jeniri berpandangan kenyataan yang dibuat Saifuddin itu mungkin akan menimbulkan kemarahan sebahagian daripada masyarakat.

    Akan tetapi katanya, pengundi pastinya akan mengambil kira pelbagai faktor sebelum memilih calon pilihan mereka dan kenyataan sebegini disifatkan tidak cukup untuk mengubah keputusan mereka.

    “Nak kata kenyataan itu boleh jejaskan pola pengundian pun tidak berasas juga,” tambah beliau.

  • Muhyiddin tiba di mahkamah Shah Alam

    Muhyiddin tiba di mahkamah Shah Alam

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, sebentar tadi untuk menghadapi pertuduhan ketujuhnya, hari ini.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dikatakan akan berdepan pertuduhan pengubahan wang haram.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tiba di kompleks berkenaan pada pukul 8.20 pagi dengan ditemani isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta beberapa pimpinan parti antaranya Datuk Ronald Kiandee dan Datuk Dr Mohd. Radzi Md. Jidin.

    Kenderaan membawanya tiba di pekarangan diiringi sebuah kereta polis dan empat kereta lain, lapor Malaysiakini.

  • Pemilihan Pemuda UMNO Titiwangsa akan diadakan semula susulan suasana kecoh, tegang

    Pemilihan Pemuda UMNO Titiwangsa akan diadakan semula susulan suasana kecoh, tegang

    PEMILIHAN Pemuda UMNO Titiwangsa terpaksa diadakan semula selepas berlaku kekecohan berhubung kertas undi semalam.

    Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Titiwangsa, Zaharah Adnan berkata, kekecohan berlaku apabila terdapat lebihan kertas undi semasa pendaftaran ekoran keengganan jawatankuasa Pemuda bahagian menerima pendaftaran dilakukan oleh pihak JPU.

    “Malah terdapat paksaan daripada pihak AJK Pemuda bahagian supaya pendaftaran daripada pihak mereka juga diterima pakai.

    “Akhirnya ia menimbulkan kekecohan sewaktu pengiraan undi dilakukan.

    “Berlaku insiden ugut-mengugut antara AJK Pemuda bahagian dengan pihak JPU menyebabkan suasana terlalu tegang sehingga penyelesaian tidak dapat dicapai,” katanya memetik laporan FMT.

    Bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, maka beliau selaku pengerusi JPU Titiwangsa telah menggantung pemilihan Pemuda kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

    Sementara itu, bercakap kepada FMT, Pengerusi JPU, Tan Sri Shahrir Samad berkata, pihaknya belum menerima bantahan daripada UMNO Titiwangsa berhubung kekecohan yang berlaku.

    Katanya, jika tiada bantahan sehingga Selasa, maka pihak yang menimbulkan kekecohan itu akan dipanggil oleh parti.

    “Belum terima laporan. Hanya melihat video tanpa apa-apa penjelasan. Ia mengundang pelbagai spekulasi dan proses pemilihan terkesan.

    “Minta Pemuda dan JPU Titiwangsa perjelas perkara itu,” gesanya yang juga veteran UMNO.

    Sejak semalam, tersebar beberapa klip video memaparkan keadaan tegang antara Zaharah bersama seorang lagi wakil JPU Titiwangsa dengan kumpulan Pemuda UMNO Titiwangsa.

    Video berkenaan tersebar menerusi aplikasi Whatsapp sejak tengah hari semalam tanpa butiran lanjut.

  • Pelakon Kamal Adli cedera dipukul dengan cota di Singapura

    Pelakon Kamal Adli cedera dipukul dengan cota di Singapura

    PELAKON popular tanah air, Kamal Adli cedera teruk di kepala selepas dipukul oleh seorang lelaki dengan menggunakan cota di Singapura, malam tadi.

    Menurut isterinya yang juga pelakon Uqasha Senrose, insiden itu berlaku selepas kedua-dua mereka menghadiri suatu acara di bandar raya berkenaan.

    Susulan kecederaan yang dialami Kamal itu juga, Uqasha berkata, suaminya dikejarkan ke hospital dan perlu ditidurkan sebelum dibedah.

    “Kejadian itu berlaku semasa kami berdua melayan permintaan seorang wanita berkerusi roda yang mahu merakamkan gambar kenangan sekitar pukul 9 hingga 10 malam.

    “Saya dan Kamal bergambar dengan mak cik itu. Tiba-tiba, datang seorang lelaki dan bertanya, Kamal mana? Kami fikir dia peminat.

    “Kamal kemudian tegur lelaki itu. Tiba-tiba lelaki itu keluarkan cota dari poket dan pukul belakang kepala Kamal berkali-kali.

    “Darah Kamal berjurai di baju. Apabila Kamal angkat kepala, dia pukul tulang pipi. Lelaki itu kemudian pukul berkali-kali pada badan Kamal,” dakwa Uqasha kepada portal Berita Harian yang menghubunginya di Singapura.

    Tidak lama selepas insiden berkenaan, Uqasha berkongsi video pendek di akaun Instagram (IG) peribadinya.

    Dalam tangisan, Uqasha menulis nota memohon doa orang ramai untuk suaminya yang terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

    “Saya tidak boleh masuk bilik pembedahan sekarang. Cuma, saya boleh buat laporan polis di Singapura,” katanya.

    Tidak hanya menyerang Kamal, bahkan, dakwa Uqasha lagi, adik-beradiknya yang bersama-sama dengan mereka ketika insiden itu turut diugut individu terbabit.

  • Anak Zahid lapor Jawatankuasa Pemilihan, dakwa wujud pelanggaran etika

    Anak Zahid lapor Jawatankuasa Pemilihan, dakwa wujud pelanggaran etika

    ANAK kepada Presiden UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mendakwa wujud pelanggaran etika ketika proses pemilihan itu berlangsung semalam, sekali gus mengakibatkannya kalah dalam saingan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk.

    Menurutnya, pelanggaran itu membabitkan Perkara 4, Tataetika Pemilihan UMNO 2023, berkaitan pengaruh tidak wajar sambil menyertakan tangkap layar perbualan di WhatsApp untuk menyokong dakwaannya.

    “WhatsApp pada malam pemilihan 10 Mac daripada seorang yang sudah dikenal pasti. Manipulasi, tipu helah, mendorong dan mengganggu.

    “Perjuangan saya belum lagi tamat. Saya tidak kalah cuma belum lagi menang. Undi saya 115/268 dan yang ‘masih menang’ 133/268. Ini sudah dibawa ke Jawatankuasa Pemilihan UMNO,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

    Berdasarkan gambar yang dikongsikan bersama kenyataan itu, yang dipercayai tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp, antara lainnya mengandungi ayat berbentuk arahan, meminta supaya perwakilan Wanita UMNO di bahagian itu supaya menyokong penyandang Ketua Wanita UMNO Bagan Datuk, Zarozatin Isa.

    Jumlah 268 itu merujuk kepada perwakilan layak mengundi untuk pemilihan Wanita Umno Bagan Datuk.

    Biarpun tewas dalam pemilihan Ketua Wanita UMNO di bahagian Bagan Datuk semalam, namun Nurulhidayah menang jawatan EXCO Wanita UMNO pusat.

    UMNO Bahagian Bagan Datuk diterajui Ahmad Zahid yang menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini.

  • ‘Pernah presiden kamu tawar diri letak jawatan’, Pemimpin Bersatu tanya Isham

    ‘Pernah presiden kamu tawar diri letak jawatan’, Pemimpin Bersatu tanya Isham

    KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris membidas rakan sejawatnya dari UMNO, Isham Jalil yang mempertikaikan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan bertanya sama ada Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah menawarkan diri meletak jawatan selepas didakwa di mahkamah.

    Beliau menegaskan, Muhyiddin ada menawarkan peletakan jawatannya sebagai presiden Bersatu, namun ditolak mesyuarat khas semalam dan perhimpunan agung tahunan parti itu hari ini.

    “Saya nak tanya ketua penerangan UMNO, apakah presiden kamu pernah menawarkan diri meletak jawatan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO atau dalam PAU (Perhimpunan Agung UMNO)?

    “Beza presiden Bersatu dengan UMNO seperti langit dan bumi, presiden Umno dituduh 47 kes, manakala Muhyiddin tujuh kes, tiada tuduhan kemasukan wang dalam akaun peribadi, tetapi presiden kamu ada kegunaan peribadi,” dakwanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

    Terdahulu, Isham menyindir Muhyiddin masih mengetuai Bersatu, walaupun sedang menghadapi tuduhan di mahkamah.

    Katanya, sebelum ini pemimpin Bersatu sering mendesak pemimpin UMNO yang mempunyai kes mahkamah meletak jawatan.

    “Lepas itu, bila Ketua Penerangan Bersatu (Wan Saiful Wan Jan) kena dakwa dan letak jawatan, Muhyiddin kata ini standard Bersatu, kononnya bila ada kes mahkamah mereka akan letak jawatan.

    “Kemudian Muhyiddin kata dia akan letak jawatan jika ada pertuduhan dan dakwaan, tetapi bila sudah ada pertuduhan dan dakwaan, dia tidak letak jawatan sebab kononnya kawan-kawan dia tidak izin,” kata Isham yang juga ahli MKT UMNO.

    Jumaat lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.

  • Penyertaan Pejuang diputuskan Majlis Tertinggi PN – Muhyiddin

    Penyertaan Pejuang diputuskan Majlis Tertinggi PN – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) hanya akan diputuskan oleh peringkat tertinggi gabungan politik berkenaan.

    Presiden Bersatu itu berkata, buat masa ini ia belum diputuskan kerana masih belum dibincangkan.

    “Saya akan bentangkan perkara ini dan tunggulah keputusan peringkat tertinggi,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata pada sidang media selepas ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2022, di Cheras, hari ini.

    Pejuangsebelum ini memaklumkan sudah menghantar surat permohonan bagi menyertai PN sebagai anggotanya.

    Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, surat berkenaan diutuskan kepada Muhyiddin manakala salinan turut diserahkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

  • MB dari Bersatu jika menang PRN Selangor, N. Sembilan, kata Muhyiddin

    MB dari Bersatu jika menang PRN Selangor, N. Sembilan, kata Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Menteri Besar daripada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) akan mentadbir Selangor dan Negeri Sembilan jika parti itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, kedua-dua negeri itu akan dipimpin oleh parti berkenaan.

    “Pulau Pinang kita akan dihalusi dan diteliti macam mana situasi keadaannya, mungkin ada pihak kata sukar untuk menang. Tetapi tidak sukar untuk kurangkan majoritinya, jadi pastinya ada.

    “Yang lain-lain kita dah dengar sendiri tentang azam, tekad dan iltizam daripada ahli parti yang agak nyata dan jelas. Bersatu juga sudah bersedia untuk menghadapi apa juga cabaran daripada mana-mana pihak sekali pun,” katanya, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, kerusi yang ada di pihak Pas dan Bersatu akan dikekalkan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), kecuali ada persefahaman untuk melakukan pertukaran.

    Katanya, bagi kerusi yang tidak dimiliki sesiapa kecuali oleh parti pembangkang, ia akan dirundingkan.

    “Siapa nak dapat kerusi berkenaan akan diputuskan dalam perbincangan nanti,” katanya.