Author: Wartawan WartaRakyat

  • Exco Johor sah menang Naib Ketua Pemuda UMNO

    Exco Johor sah menang Naib Ketua Pemuda UMNO

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MOHD. Hairi Mad Shah sah memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO selepas menang tipis ke atas pencabar utamanya, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham.

    Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor itu memperoleh 87 undi, melebihi tiga undi diraih Ikmal.

    “Kemenangan bagi Hairi bagi jawatan naib ketua Pemuda hanya ditentukan pada 12 tengah hari tadi apabila keputusan dari bahagian akhirnya semua dapat diperoleh,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

    Semalam, Shahrir berkata, keputusan bagi pemilihan jawatan itu belum boleh dimuktamadkan memandangkan terdapat lapan bahagian belum menghantar keputusan undian mereka.

    Di peringkat Wanita, katanya, Noraini Ahmad mempertahankan kedudukannya yang dicabar Shahrizat Jalil, manakala Norliza Abdul Rahim turut mempertahankan jawatannya sebagai naib ketua Wanita.

    Sementara itu, Mohd. Hairi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Johor Bahru petang ini, melahirkan harapan agar mereka yang kalah dalam pemilihan UMNO agar terus berjuang dan bersama-sama mengukuh parti.

    Ketua Pemuda UMNO Johor itu berkata, tanggungjawab dan semangat tersebut perlu dikekalkan bagi mengelak perpecahan dalam parti.

    “Mereka yang menang, bukan menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua. Sebagaimana yang dituntut dalam agama kita bahawa Islam membentuk kita supaya menjadi umat yang bersatu.

    “Kita dituntut bukan sahaja beriman dengan tuhan yang satu, sebarang bentuk perpecahan hendaklah kita tangani dengan sebaiknya.

    “Ini seperti perintah dalam Surah Al-Anfal, ayat 46:Dan janganlah kamu bersengketa kerana dengan persengketaan akan menyebabkan kamu hilang kekuatan kamu,” katanya.

    Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin melahirkan rasa syukur dengan kemenangannya dan berazam akan terus berusaha lebih gigih lagi bagi memastikan segala perancangan parti tercapai.

    “Saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua para perwakilan pergerakan Pemuda UMNO di seluruh negara yang telah memberikan kepercayaan kepada saya sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO.

    “Ironinya, genap setahun selepas saya diumumkan memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin sebagai wakil rakyat tahun lalu, hari ini secara rasminya saya diumumkan sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia,” katanya.

  • Gaji minimum naik, harga barang juga naik

    Gaji minimum naik, harga barang juga naik

    PELAKSANAAN gaji minimum RM1,500 pada 1 Julai ini dikhuatiri masih tidak seimbang dengan kenaikan kos sara hidup rakyat.

    Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata, walaupun pelaksanaan gaji minimum akan meningkatkan pendapatan rakyat, namun tidak berguna jika harga barang turut meningkat.

    “Justeru itu, apakah tindakan kerajaan agar perkara sama tidak berulang? Walaupun naik gaji minimum, tetapi harga barang semakin naik, jadi kuasa pembeli semakin berkurangan.

    “Apakah perancangan jangka masa panjang, daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk kita mencari punca supaya perkara ini dapat diselesaikan, khususnya untuk meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Dalam pada itu, Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh berkata, situasi berkenaan diyakini dapat diselesaikan jika nilai mata wang Malaysia kembali meningkat dan stabil.

    “Apabila nilai mata wang meningkat, kita juga mengawal harga barang walaupun kita tidak boleh kawal semuanya,” katanya.

    Bagi jangka masa panjang pula, kata Fuziah, ia memerlukan peranan daripada kementerian-kementerian, terutama Kementerian Ekonomi dalam inisiatif pendapatan rakyat.

  • 93 kilang tutup operasi sejak 2018 hingga 2022

    93 kilang tutup operasi sejak 2018 hingga 2022

    LEBIH 17,000 pekerja kilang diberhentikan dalam tempoh 2018 hingga Julai 2022, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Liew Chin Tong.

    Beliau berkata, jumlah berkenaan direkodkan susulan 93 syarikat perkilangan ditutup operasi sepenuhnya.

    “Syarikat pengilangan yang telah menutup operasi sepenuhnya dalam tempoh 2018 hingga Julai 2022, iaitu 93 syarikat pengilangan telah menutup operasi sepenuhnya melibatkan pemberhentian seramai 17,648 pekerja,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang meminta Miti menyatakan apakah usaha kerajaan bagi memastikan syarikat besar tidak beralih arah dari Malaysia ke negara lain.

    Menurut Chin Tong, dalam tempoh sama juga, sebanyak 3,893 projek pengilangan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM503.3 bilion diluluskan.

    “Projek ini telah menyediakan 331,509 peluang pekerjaan, daripada jumlah ini sebanyak RM388.2 bilion atau pun 70 peratus pelaburan langsung asing (FDI) manakala RM115.2 bioion atau 22.9 peratus merupakan pelaburan langsung domestik (DDI),” katanya.

    Katanya, kerajaan melalui Miti dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) juga sentiasa mengambil langkah proaktif menarik pelabur pelbagai sektor di Malaysia, termasuk memperkemaskan semula fokus dan strategi semasa.

    Jelasnya, negara merekodkan prestasi memberangsangkan dengan kelulusan pelaburan RM309.4 bilion dan RM264.6 bilion, masing-masing pada 2021 dan 2022.

    “Jumlah pelaburan yang diluluskan ini berpotensi mewujudkan 140,370 peluang pekerjaan baharu bagi tahun 2022,” katanya, lapor FMT.

    Katanya, Miti akan meneruskan dasar diperkenalkan kerajaan terdahulu untuk menarik FDI dan DDI termasuk tawaran gaji tinggi kepada pekerja bagi menarik rakyat tempatan terus bekerja dalam negara, berbanding berhijrah ke Singapura.

  • MP BN pertikai peranan J-KOM

    MP BN pertikai peranan J-KOM

    SEORANG ahli Parlimen kerajaan hari ini mempersoalkan peranan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Jabatan Perdana Menteri sama ada sebagai lidah kerajaan atau parti politik.

    Menurut Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu), agensi itu sepatutnya menjadi lidah rasmi kepada kerajaan dan bukan parti.

    “Saya mencadangkan adalah lebih baik kerajaan melantik semula bekas-bekas pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang ditamatkan perkhidmatan oleh kerajaan sebelum ini.

    “Mereka mempunyai banyak pengalaman dan itu perlu diambil kira bagi mengisi jawatan J-KOM yang ditubuh kerajaan Malaysia Madani sekarang,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian pada perbahasan peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

    J-KOM ketika ini diketuai bekas pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Dr Muhamad Agus Yusoff, manakala kalangan pegawainya difahamkan termasuk aktivis Pakatan Harapan (PH).

    Menyentuh isu sama, Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, penubuhan J-KOM tidak dapat dinafikan lagi adalah bagi tujuan politik.

  • Lelaki ‘wanted’ didenda RM5,000 cuba rasuah polis

    Lelaki ‘wanted’ didenda RM5,000 cuba rasuah polis

    MAHKAMAH Sesyen Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap seorang penganggur selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi rasuah kepada anggota polis, Selasa lalu.

    N. Suresh Rao membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi suapan wang tunai berjumlah RM200 kepada seorang koperal polis di hadapan kedai di Jalan Persiaran Batu Gajah Perdana, Batu Gajah, kira-kira jam 6 petang, 7 Mac 2023.

    Ia sebagai dorongan untuk anggota polis berkenaan tidak melakukan tangkapan ke atas tertuduh kerana mempunyai rekod pesalah yang dikehendaki oleh pihak polis bersangkut ‘Kepong Report 00010118/14’.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, yang boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh berhadapan hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan, lapor Astro Awani.

    Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah RM200 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Setiausaha Pas Kedah, ADUN Bayu dipilih ke Dewan Negara

    Setiausaha Pas Kedah, ADUN Bayu dipilih ke Dewan Negara

    Oleh BADLISHAH MAT

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Kedah bersetuju memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd. Nasir Idris dan Setiausaha Perhubungan Pas Kedah, Musoddak Ahmad sebagai Ahli Dewan Negara yang baharu mewakili negeri itu.

    Mereka menggantikan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya dan bekas Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz yang mengosongkan jawatan pada 1 November lalu sebelum bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ahmad kini merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena merangkap Ketua Dewan Ulama Pas, manakala Othman tewas di Parlimen Jerlun pada PRU15.

    Cadangan dua nama itu dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum disokong oleh ADUN Tokai, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri.

    “Mewakili rakyat Kedah tercinta, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Negara terdahulu untuk khidmat yang telah diberikan,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keenam DUN Kedah yang ke-14, hari ini.

    Dalam pada itu, Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat memaklumkan, pihaknya hanya menerima cadangan nama Abd. Nasir dan Musoddak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Ahmad serta Othman.

    “Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah atas pemilihan Abd. Nasir dan Musoddak sebagai Ahli Dewan Negara bagi negeri Kedah bermula 20 Mac ini.

    “Semoga mereka berada dalam keadaan sihat untuk terus berkhidmat bagi membangunkan Malaysia dan Kedah khususnya,” katanya.

    Terdahulu, Juhari turut mengumumkan persetujuan gabungan pembangkang untuk melantik ADUN Suka Menanti, Datuk Zamri Yusuf daripada PKR sebagai Ketua Pembangkang yang baharu.

    Beliau menggantikan bekas ADUN Gurun, Datuk Johari Abdul yang kini berkhidmat sebagai Speaker Dewan Rakyat setelah tidak mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Petani pada piilhan raya lalu.

  • Rasuah: Pengurus jabatan Persekutuan di Terengganu direman

    Rasuah: Pengurus jabatan Persekutuan di Terengganu direman

    SEORANG pengurus jabatan kerajaan Persekutuan di Terengganu direman tujuh hari bagi membantu siasatan menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan suapan untuk dirinya.

    Suspek berusia 44 tahun itu direman mulai hari ini sehingga Ahad depan bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, SPRM Terengganu menahan suspek ketika hadir memberi keterangan pada pukul 4.50 petang semalam.

    Suspek dikatakan menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan untuk dirinya melalui perolehan kerja pembaikan kenderaan jabatan sekitar 2019 hingga 2022.

    Suspek yang kini ditahan di lokap SPRM Terengganu dikatakan mengambil suapan kira-kira RM1,500 hingga RM6,000 bagi setiap perolehan.

  • Kumpulan hak asasi desak Saifuddin digugurkan

    Kumpulan hak asasi desak Saifuddin digugurkan

    SEBUAH kumpulan hak asasi manusia menggesa Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail digugurkan daripada portfolio keselamatan dalam negeri.

    Menurut Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet), ini kerana jawatan Menteri Dalam Negeri perlu digalas seseorang yang menghormati hak asasi manusia dan mahu menegakkan keadilan.

    Madpet merujuk kenyataan Saifuddin yang dilaporkan bahawa 401 orang dihukum mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma, pada 2022.

    Saifuddin juga berkata, daripada 624 orang ditahan bawah Sosma tahun lalu, seramai 140 dibebaskan, 71 didakwa di mahkamah, dan 12 masih disiasat.

    Jurucakap Madpet, Charles Hector berkata, undang-undang itu tidak boleh digunakan untuk menghukum sesiapa melainkan mereka didakwa, diberi perbicaraan, didapati bersalah oleh mahkamah, dan dijatuhi hukuman.

    “Hukuman (oleh mahkamah) satu-satunya tindakan yang dibenarkan oleh undang-undang. Penangkapan dan penahanan sebelum sabitan tidak boleh disalah guna untuk menghukum sesiapa.

    “Sosma bukanlah undang-undang penahanan tanpa perbicaraan. Penahanan selepas tangkapan tanpa perbicaraan hanya bagi tujuan penyiasatan. Polis tidak boleh menggunakan penahanan, walaupun bawah Sosma, bagi tujuan ‘menghukum’ mana-mana orang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau turut mengulangi gesaan agar Sosma dimansuhkan, walaupun Saifuddin menegaskan undang-undang itu diperlukan. Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menjanjikan pemansuhan Sosma dalam manifesto pilihan rayanya.

    Terdapat undang-undang lain sedia ada yang boleh digunakan polis, katanya, memandangkan Sosma membenarkan polis menahan seseorang sehingga 28 hari tanpa arahan majistret. Perkara ini bercanggah dengan Perlembagaan, tambahnya.

    “Sayangnya, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan kita sekarang gagal memahami keperluan Sosma dimansuhkan segera, walaupun dengan gesaan Badan Peguam, Suhakam, masyarakat sivil, dan rakyat yang cintakan keadilan.

    “Saifuddin, setiausaha agung PKR dan PH, mungkin seorang Ahli Parlimen dan ahli politik yang bagus, tetapi bagi Madpet, beliau tidak layak untuk kekal sebagai menteri dalam negeri.

    “Madpet menyeru agar menteri itu meletak jawatan atau, sebagai alternatif, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memecatnya sebagai menteri dalam negeri atau daripada Jemaah Menteri,” katanya, lapor FMT.

  • Isu banjir Johor, kita pun naik malu nak cakap – TMJ

    Isu banjir Johor, kita pun naik malu nak cakap – TMJ

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa satu langkah segera diambil bagi menangani isu banjir melanda beberapa daerah di Johor.

    Masalah banjir yang berlarutan setiap tahun dengan membabitkan kerugian harta benda di Johor perlu diatasi secepat mungkin, kata Tunku Ismail yang menggesa keperluan sistem tebatan banjir yang baik perlu dilaksanakan pada kadar segera.

    “Kasihan pada rakyat yang susah kerana barang dan rumah rosak. Saya harap kerajaan boleh bertindak sebaik mungkin.

    “Setiap tahun, saya pergi (melawat mangsa banjir) terpaksa cakap benda yang sama, bersabar. Sampai bila saya nak suruh orang sabar? Kita pun naik malu nak cakap.

    “Saya harap kita boleh atasi secepat mungkin,” kata Tunku Ismail dipetik laporan BH menerusi segmen Bekpes Hot di Hot FM, pagi tadi, lapor Agenda Daily.

    Tunku Ismail juga menzahirkan rasa simpati terhadap rakyat di negeri itu yang terpaksa berdepan dengan isu terbabit selain malu kerana hanya mampu meminta mereka bersabar atas musibah yang melanda.

    Sebelum ini, kira-kira 10 daerah di negeri itu terjejas susulan banjit antaranya Segamat, Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi, Muar, Tangkak, Johor Bahru, Mersing, Kulai dan Pontian.

    Namun, laporan terbaharu menyaksikan jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatatkan penurunan kepada 40,846 mangsa banjir daripada 11,496 keluarga setakat jam 8 pagi ini berbanding 41,661 orang daripada 11,664 keluarga pada jam 8 malam tadi.

    Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani, berkata semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 139 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah yang masih terjejas.

  • Cukup bukti untuk dakwa kes rasuah kepada pengundi Marang

    Cukup bukti untuk dakwa kes rasuah kepada pengundi Marang

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah (SPRM) mempunyai bukti yang mencukupi untuk membawa pertuduhan terhadap seorang ahli Pas seperti yang dipaparkan dalam rakaman video ketika menyerahkan wang tunai kepada pengundi di Marang semasa pilihan raya umum lalu.

    Menurut seorang pegawai kanan SPRM, pihaknya telah membuat temu bual dengan saksi kejadian dan akan mencadangkan tuduhan rasuah kepada pendakwa raya tidak lama lagi.

    “Mereka sedang menyiapkan satu bahagian terakhir sebelum melengkapkan siasatan yang membabitkan permintaan formaliti untuk mendapatkan beberapa dokumen rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “SPRM perlu mendapatkan dokumen pendaftaran pemilih daripada SPR, yang perlu kita mohon melalui mahkamah.

    “Apabila kita mendapat dokumen dan merekodkan beberapa lagi kenyataan, maka kertas siasatan akan dihantar semula kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan mereka.

    “SPRM akan mencadangkan kepada AGC untuk mengenakan tuduhan rasuah terhadap individu yang memberikan wang tunai itu (kepada pengundi),” kata sumber berkenaan yang bercakap kepada Malaysiakini dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

    Menurut sumber SPRM itu, penyiasat telah menyoal beberapa saksi, termasuk kira-kira 90 pengundi yang didakwa telah menerima bayaran daripada PAS untuk mengundi calon parti tersebut.

    Daripada siasatan SPRM, pegawai penyiasat dikatakan menemui unsur rasuah yang jelas dalam kejadian itu.

    “Terdapat unsur-unsur rasuah, seperti yang dapat dilihat dengan jelas daripada video yang tular,” kata sumber lagi.

    Di sebalik dakwaan pembabitan parti dan kawasan pilihan raya itu, Malaysiakini difahamkan bahawa pertuduhan dan siasatan tertumpu semata-mata kepada mereka yang memberi rasuah, dan bukannya ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU15) November lalu, timbul dakwaan dalam media sosial bahawa Pas telah menyogok pengundi.

    Dalam salah satu video tular, beberapa individu kedengaran bersumpah di hadapan seorang yang didakwa ahli Pas, mengatakan bahawa mereka telah mengundi parti itu, sebelum bayaran wang tunai dibuat.

    Satu lagi video tular menunjukkan orang ramai menunggu di hadapan sebuah bangunan untuk mengambil bayaran daripada Pas selepas selesai mengundi.

    Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor segera menafikan perkara itu dengan mendakwa ia hanya helah parti pesaing untuk memburuk-burukkan Pas dan parti Islam itu tidak mempunyai dana untuk membayar pengundi.

    Bulan lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa siasatan SPRM telah mengenal pasti sehingga 90 individu yang didakwa menerima wang tunai di Terengganu untuk mengundi sebuah parti.

    Suruhanjaya itu dilaporkan berjaya mengenal pasti penerima wang tunai daripada dokumen yang mereka rampas semasa siasatan.

    Ini termasuk dokumen yang perlu ditandatangani oleh penerima apabila mereka menerima bayaran, selain perlu mengangkat sumpah.

    Dakwaan pembelian undi itu menjadi subjek petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan pengundian di Marang.

    Mahkamah Pilihan Raya Terengganu telah menolak bantahan awal Hadi bagi menolak petisyen pilihan raya difailkan calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman untuk membatalkan kemenangannya.