Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lima anggota polis termasuk Inspektor ditahan peras ugut ‘scammer’ RM150,000

    Lima anggota polis termasuk Inspektor ditahan peras ugut ‘scammer’ RM150,000

    SEORANG pegawai polis berpangkat Inspektor bersama empat anggota lain direman empat hari bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan wang tunai RM150,000.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata semua lima anggota dan pegawai itu kini dibebaskan dengan jaminan selepas tempoh tahanan reman ke atas mereka berakhir semalam.

    Mengulas lanjut, katanya pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan pada Khamis lalu mendakwa diperas ugut seorang pegawai dan beberapa anggota polis.

    “Pada hari sama, kita menahan seorang pegawai polis berpangkat inspektor, seorang sarjan, dua koperal dan seorang konstabel yang disyaki melakukan pemerasan membabitkan kerugian RM150,000.

    “Mereka kini dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan dilengkapkan dengan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

    Hussein berkata demikian mengulas pendedahan di akaun Telegram Edisi Siasat yang mendakwa pegawai dan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang melakukan pemerasan ke atas satu sindiket ‘scammer’.

    Beliau berkata, setakat ini tiada wang tunai ditemukan daripada semua suspek dan polis percaya kes itu berkaitan serbuan dilakukan polis terhadap kegiatan scammer yang membabitkan warga China.

    “Polis juga sedang menyiasat pengadu dan kumpulan beliau yang kemungkinan terbabit dalam aktiviti jenayah scammer itu,” katanya.

  • Guna khidmat Grab pergi samun rumah, 5 warga Indonesia ditahan

    Guna khidmat Grab pergi samun rumah, 5 warga Indonesia ditahan

    TAKTIK sekumpulan penyamun warga Indonesia yang disyaki menggunakan perkhidmatan aplikasi Grab bagi menghantar mereka ke rumah sasaran sebelum menyamun mangsa sejak November tahun lalu terbongkar selepas ditahan oleh pihak polis.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, enam orang suspek termasuk seorang wanita itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah flat sekitar kawasan Sungai Besi enam jam selepas menyamun sebuah rumah di Sungai Long, Kajang pada 6 Mac lalu.

    “Polis menerima maklumat berhubung kejadian samun di Sungai Long, Kajang apabila tiga orang lelaki memecah masuk rumah ketika pengadu dan ahli keluarga sedang tidur seterusnya mengikat tangan dan kaki mangsa.

    “Berdasarkan siasatan mereka menyasarkan rumah yang senang untuk dipecah masuk seperti rumah yang tidak berpagar, kurang keselamatan atau tingkap yang senang diumpil.

    Sebahagian daripada senjata yang dirampas selepas polis berjaya menahan lima suspek warganegara Indonesia yang melakukan samun bersenjata ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kesemua suspek yang tinggal di Sungai Besi itu akan menggunakan perkhidmatan aplikasi Grab atau meminta rakan untuk menghantar mereka ke rumah sasaran dan menggunakan kenderaan lain untuk pulang ke tempat tinggal mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

    Katanya, berdasarkan siasatan kesemua suspek berusia lingkungan 29 hingga 49 tahun itu turut mengaku terlibat dalam satu kes samun rumah di Kajang, empat di Sepang, dan satu lagi di Seremban.

    Menurut beliau lagi, akibat daripada kejadian di Kajang itu, mangsa telah mengalami kerugian sebanyak RM2,000 termasuk wang tunai mata wang asing, dua buah telefon bimbit dan beberapa jenis barang kemas.

    Katanya, suspek tidak mencederakan mangsa namun mengikat mangsa menggunakan kabel pengecas, tali tangsi atau mana-mana tali boleh didapati sepanjang tempoh menyamun.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan (kiri) bersama pegawainya menunjukkan lima fotofit suspek warga Indonesia melakukan samun bersenjata yang berjaya ditahan ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurut Hussien lagi, pihaknya turut merampas semula sebahagian harta milik mangsa, pisau panjang, kerambit, pakaian, sarung tangan, dan sarung kepala yang digunakan ketika merompak rumah mangsa.

    Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

    “Siasatan turut dijalankan di bawah Akta Imigresen kerana suspek dipercayai tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan disyaki berada di negara secara tidak sah dengan memiliki permit yang telah tamat tempoh.

    “Hasil daripada tangkapan ini, polis berjaya selesaikan enam kes samun dalam rumah di negeri Selangor termasuk satu lagi kes di Negeri Sembilan yang telah melibatkan kerugian RM50,000,” katanya lagi, lapor Utusan TV.

    Tambah beliau, kesemua suspek mula melakukan aktiviti itu sejak mereka memasuki negara ini pada November tahun lalu.

  • PH Selangor gementar gelombang rakyat – Roslan

    PH Selangor gementar gelombang rakyat – Roslan

    PAKATAN Harapan (PH) telah mula merasai kepanasan gelombang kebangkitan rakyat, khususnya orang muda, yang menyokong Perikatan Nasional (PN) sehingga membuat kenyataan yang memperlihatkan ketakutan dan kelemahan gabungan yang kini disertai UMNO.

    Serentak itu, Pas Selangor menolak tuduhan bahawa pengundi di Terengganu dan Kelantan kini menukar alamat tempat tinggal mereka untuk membuang undi di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan beberapa bulan lagi.

    Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir berkata tuduhan Timbalan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Adzman Kamaruddin bahawa sejumlah besar pengundi Pas di Kelantan dan Terengganu sedang giat menukar alamat mengundi mereka ke Selangor, adalah tidak berasas.

    Menurutnya Adzman juga meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang tindakan pengundi dari kedua-dua negeri berkenaan untuk menukar alamat mereka.

    Roslan memberi beberapa sebab tuduhan pengundi di Kelantan dan Terengganu sedang menukar alamat tempat mengundi, tidak berasa, antaranya:

    “Kebebasan dan ketelusan SPR sebagai badan mengurus dan mengendalikan.proses demokrasi berparlimen di Malaysia tidak pernah dipertikaikan. Malah mereka sentiasa menambah-baik kaedahnya sehingga hari ini muncul sebagai pengurus pilihan raya antara yang terbaik di rantau ini.

    “Datang pegawai PKR ini mempertikaikan cara SPR berkerja. Operasi SPR cukup canggih di waktu ini, tiada mana-mana warganegara yang layak mengundi boleh mengundi di dua tempat berlainan dalam satu Pilihan Raya Umum (PRU).

    “Kedua kalau pun betul tuduhan beliau ini apakah ada bukti ? Ada bukti mereka yang tukar alamat ke Selangor tu sebelum ini mengundi PAS di Kelantan dan Terengganu sebagaimana dakwaan beliau. Jangan cakap kalau tiada bukti.

    “Ketiga yang lebih lucu tidakkah beliau (Adzman) sedar bahawa Kelantan, Tetengganu dan Selangor hanya punya PRU-15 Parlimen sahaja tempoh hari. Tiada PRN, sekarang baru mahu PRN.

    “Lantas mana ada undi dua kali? Rakyat Malaysia berhak mengundi untuk Parlimen dan DUN (kecuali Wilayah Persekutuan) sekali setiap penggal PRU, apa masalah?,” katanya dalam kenyataan hari ini (14 Mac 2023), lapor Agenda Daily.

    Sehubungan itu, Roslan mengingatkan pemimpin PH supaya tidak mencipta cerita sesuka hati kerana ia hanya akan mencerminkan betapa lemah dan longgarnya parti berkenaan.

    Menurutnya, kenyataan itu juga jelas menunjukkan bahawa PH mula merasai riak-ria gelombang kebangkitan rakyat yang akan membadai Selangor tidak lama lagi.

    “Taburlah apa yang mampu konon untuk menggagalkannya. Insya-Allah rakyat Selangor khasnya pengundi Melayu cukup matang dan tidak sabar mahu buat perubahan,” katanya.

  • Mahkamah Rayuan tolak rayuan terhadap fatwa isytihar SIS ‘sesat’

    Mahkamah Rayuan tolak rayuan terhadap fatwa isytihar SIS ‘sesat’

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak rayuan terhadap fatwa Selangor yang melabelkan Sisters in Islam (SIS) sebagai kumpulan sesat.

    Panel tiga anggota yang dipengerusikan oleh Hakim Has Zanah Mehat, dalam keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan oleh kumpulan hak wanita itu.

    Has Zanah bersama Hakim Che Mohd. Ruzima Ghazali membentuk keputusan majoriti manakala Hakim M. Gunalan membuat keputusan tidak bersetuju.

    Rayuan itu adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bidang kuasa sivil) pada 24 Jun 2016, yang menolak semakan kehakiman kumpulan itu terhadap fatwa 2019 pihak berkuasa agama Selangor yang melabelkan mereka sebagai sesat.

    Semasa membacakan keputusan majoriti pagi ini, Ruzima berkata, mereka memutuskan hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk menentukan isu fatwa itu.

    Menurut mereka, SIS sepatutnya membangkitkan isu fatwa tersebut di hadapan mahkamah syariah dan bukannya mahkamah sivil, lapor Malaysiakini.

  • Kami dah lama patuh titah Sultan Selangor-Pas

    Kami dah lama patuh titah Sultan Selangor-Pas

    PAS Selangor tidak mempunyai sebarang masalah untuk terus mematuhi titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang ahli politik menggunakan surau atau masjid sebagai pentas berceramah dan berkempen menjelang pilihan raya negeri (PRN).

    Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, pemimpin parti tersebut sudah sekian lama tidak memberi ceramah di masjid dan surau di negeri terbabit.

    Beliau menganggap titah Sultan Selangor itu sebagai peringatan yang pernah dibuat sebelum ini.

    “Tidak ada pun penceramah Pas di masjid, surau di Selangor sejak sekian lama. Pas sudah lama patuh arahan tersebut, tidak menjadi isu.

    “(Peringatan) tuanku cuma ingatkan kembali larangan ini yang sudah lama dan memang dipatuhi Pas Selangor sejak sekian lama,” katanya memetik laporan FMT.

    Sultan Selangor menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terus mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa melarang ahli politik menggunakan surau atau masjid sebagai pentas berceramah dan berkempen menjelang PRN di negeri tersebut.

    Sultan Sharafuddin sebelum ini berulang kali memberi peringatan kepada ahli politik agar memastikan masjid dan surau bebas unsur politik yang boleh memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.

    Baginda menegaskan, masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa, yang akhirnya membina jurang pemisah dalam kalangan umat Islam atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam yang tiada kesudahan.

  • Trend pengundian PRU15 mampu ancam PH di Selangor

    Trend pengundian PRU15 mampu ancam PH di Selangor

    PENGUASAAN Pakatan Harapan (PH) di Selangor bakal terancam sekiranya trend pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlaku lagi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Di negeri itu, PH kini memegang 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi Perikatan Nasional (PN) mencapai kejayaan dalam PRU15 dengan memenangi enam kerusi Parlimen: Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat.

    Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan bahawa PN memperolehi antara 65 peratus dan 90 peratus pengundi baharu yang ditambah ke dalam daftar pemilih berikutan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun.

    Di Kapar, yang menjadi kubu kuat PH sebelum ini, menyaksikan PN menang sekitar 67.5 peratus atau 34,400 daripada kira-kira 52,000 pengundi baharu.

    PH hanya berjaya menambah kira-kira 5,300 pengundi baharu, manakala BN memperoleh kira-kira 8,700.

    Di Kuala Langat, calon PN daripada Pas memperoleh 52,867 undi berbanding 18,700 yang diperoleh parti Islam itu pada PRU14.

    Sebaliknya, PH hanya berjaya meningkatkan undi sebanyak 7,800 walaupun hakikatnya terdapat lebih 35,800 pengundi baharu di kawasan itu – undi BN turun kira-kira 7,400.

    Ketua sayap pemuda dari Parti Amanah Negara (Amanah), Abbas Salimmi Adzmi berkata, strategi media sosial dan retorik perkauman PN memberi impak, terutamanya dalam kalangan pengundi kali pertama.

    Malah di kerusi Parlimen majoriti Melayu yang menyaksikan PN kalah, termasuk Shah Alam, Gombak, Hulu Langat dan Sepang, gabungan itu menduduki tempat kedua selepas PH. Majoriti PH di kerusi ini berkurangan antara 10,000 hingga 36,000 undi.

    Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali percaya ‘gelombang hijau’ boleh membantu gabungan itu menamatkan pemerintahan 15 tahun PH di Selangor, selepas mendorong PN memenangi 74 kerusi pada pilihan raya.

    “PN mendominasi media sosial terutamanya TikTok dengan video daripada pendakwah selebriti yang pro-PN,” kata Mazlan.

    PN berharap untuk memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN yang akan memberikan majoriti mudah untuk mentadbir Selangor tetapi tidak menamakan kerusi itu.

    Terdapat 10 kerusi DUN dalam enam kawasan Parlimen yang dimenangi PN pada PRU15, semuanya dengan lebih 70 peratus bilangan pengundi Melayu.

    Terdapat juga 12 kerusi DUN lain di seluruh Selangor di mana Melayu Islam merangkumi lebih 70 peratus pengundi. Kerusi ini adalah di kawasan Parlimen Selayang, Gombak, Hulu Langat, Bangi, Shah Alam, Kota Raja dan Sepang.

    Di lapan kerusi DUN lain, pengundi Melayu Islam membentuk lebih 60 peratus daripada pengundi. Permatang, Taman Templer, Lembah Jaya, Pandan Indah, Dusun Tua, Seri Serdang, Meru dan Kota Damansara adalah kerusi yang pernah ditandingi Pas, parti terbesar dalam PN mengikut keahlian, sebelum ini.

    Abbas percaya gelombang hijau PN mungkin tidak mempunyai kesan yang sama dalam PRN seperti yang berlaku pada PRU15.

    Beliau berkata, PH dan sekutu baharunya BN kini menyedari strategi media sosial PN dan akan bersedia untuk menentang naratif mereka.

    “Kerajaan Selangor telah melancarkan pelbagai inisiatif seperti insurans bersubsidi dan diskaun karnival beli-belah. Negeri juga telah menambah dana untuk program sedia ada seperti skim bantuan warga emas, yang membantu keluarga berpendapatan sederhana dan rendah,” kata Abbas.

    Mazlan berkata, pengundi kali pertama yang menyokong PN pada PRU15 mungkin berubah fikiran selepas melihat prestasi kerajaan perpaduan.

    “Keperibadian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerja kerasnya, kelayakannya sebagai pemimpin Islam yang progresif dan bagaimana dia turun ke lapangan untuk bersolat dengan orang yang berbeza setiap Jumaat, boleh mempengaruhi sentimen,” tambah Mazlan, lapor FMT.

  • Kes Jana Wibawa: Anak pemimpin politik dalam radar SPRM

    Kes Jana Wibawa: Anak pemimpin politik dalam radar SPRM

    ANAK seorang pemimpin politik kini dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan lanjut program Jana Wibawa.

    Sumber berkata, penahanan Datuk Roy yang dipercayai dalang kes rasuah dikaitkan dengan program itu mendedahkan anak ahli politik itu yang juga ahli perniagaan untuk disiasat.

    Katanya, nama anak ahli politik itu ‘dibocorkan’ selepas Datuk Roy mendapat senarai nama dikaitkan dengan program itu daripada seorang kenalan SPRM yang dikatakan pegawai kanan.

    “Datuk Roy ini kemudian menghubungi individu dalam senarai itu, menawarkan bantuan bagi mengelakkan tindakan diambil terhadap mereka, sebagai balasan untuk bayaran lumayan,” sumber itu memberitahu FMT.

    Beliau dipercayai menerima sejumlah wang daripada seseorang yang rapat dengan pemimpin politik itu untuk mengelakkan ahli perniagaan terbabit ditahan.

    Sumber itu menyifatkan Datuk Roy atau nama sebenarnya Hussein Nasir, sebagai oportunis yang menyasarkan suspek SPRM.

    “Dia nampak peluang untuk dapat wang daripada mereka yang disiasat dalam kes berprofil tinggi,” katanya.

    Khamis lalu, SPRM menahan empat individu, termasuk seorang pegawai SPRM susulan laporan dibuat ahli keluarga pemimpin politik itu.

    Program Jana Wibawa diperkenalkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada November 2020 sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera.

    Muhyiddin didakwa atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berhubung program itu.

    Bulan lalu, dua ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut didakwa menerima rasuah berkaitan Jana Wibawa, iaitu Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

  • Jana Wibawa: SPRM cekup pasangan didakwa ‘scam’ keluarga sendiri, anak ahli politik

    Jana Wibawa: SPRM cekup pasangan didakwa ‘scam’ keluarga sendiri, anak ahli politik

    SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas program Jana Wibawa membongkar kemelut membabitkan saudara mara seorang ahli politik terkenal.

    Memetik laporan Malaysiakini, sepasang suami isteri dikatakan cuba memperdayakan anak ahli politik berkenaan, yang mempunyai kaitan dengan mereka melalui ikatan perkahwinan salah seorang ahli keluarga, supaya membayar sejumlah RM400,000 sebagai rasuah untuk mengelak daripada ditahan SPRM

    Bercakap dengan syarat enggan dinamakan, seorang pegawai tinggi SPRM mendakwa sepasang suami isteri didakwa menipu ahli keluarga mereka sendiri untuk memberikan sogokan bernilai RM400,000.

    Dakwaan penipuan itu terbongkar apabila SPRM melancarkan siasatan terhadap kontraktor Jana Wibawa yang disyaki mendapatkan projek melalui hubungan dikatakan dengan seorang ahli politik terkemuka.

    Pegawai itu memberitahu Malaysiakini bahawa SPRM dimaklumkan bahawa anak ahli politik itu juga didakwa terbabit.

    Abang ipar keluar RM400,000

    Apabila mengetahui bahawa anak lelaki ahli politik itu berada dalam siasatan suruhanjaya itu, sumber mendakwa bahawa pasangan itu (Suspek 1 dan 2) merangka rancangan dengan tiga yang lain untuk meminta rasuah daripada lelaki itu, mendakwa bahawa mereka boleh menghalang penahanannya.

    Salah seorang rakan sejenayah mereka ialah pegawai SPRM (Suspek 3), yang pernah menjadi sebahagian daripada operasi membanteras rasuah terhadap Jana Wibawa tetapi tidak dalam kedudukan untuk menentukan arah siasatan.

    “Suspek 1 berjumpa dengan anak ahli politik itu dan mendakwa boleh mengatur supaya dia tidak ditahan.

    “Anak lelaki ahli politik itu kemudian dilaporkan pergi kepada abang iparnya, seorang lagi ahli perniagaan yang juga abang kepada Suspek 2, untuk mendapatkan bantuan.

    “Abang ipar (abang kepada Suspek 2) yang mengeluarkan RM400,000 untuk membantu membayar rasuah,” dakwa pegawai itu.

    Menurutnya, wang RM400,000 itu didakwa telah dibayar pada 6 Mac lalu.

    Apabila SPRM mendapat maklumat itu, sumber berkata operasi untuk menahan suspek telah dilancarkan dan sebahagian daripada wang itu ditemui apabila pasukan pencegah rasuah itu menyerbu beberapa premis.

    Pada 9 Mac lalu, SPRM menahan empat suspek termasuk pegawainya yang bersubahat dengan mereka.

    Suspek dalang

    Suspek kelima yang dipercayai oleh SPRM sebagai dalang telah berjaya mengelak daripada ditahan.

    Malaysiakini difahamkan dia telah menghubungi SPRM melalui peguam, menyatakan hasratnya untuk menyerah diri.

    Pegawai itu mendakwa suspek telah cuba memanfaatkan keadaan untuk memerah wang daripada anak ahli politik itu.

    “Pegawai SPRM terbabit tidak bertanggungjawab dalam siasatan. Dia hanya terlibat dalam salah satu operasi,” tambahnya.

    Malaysiakini tidak menyebut nama suspek kerana mereka masih belum didakwa di mahkamah.

    Semalam, Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan suruhanjaya itu menahan empat orang termasuk seorang pegawainya sendiri kerana didakwa meminta dan mengambil rasuah berkaitan siasatan terhadap Jana Wibawa.

    Jana Wibawa, atau Program Penjanaan Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera, diperkenalkan pada November 2020 semasa pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

    Ia merupakan projek rangsangan yang bertujuan memperkasakan kontraktor bumiputera ketika pandemik Covid-19.

  • Jana Wibawa: Kerajaan PN sedia RM7.1 bilion biaya 67 projek

    Jana Wibawa: Kerajaan PN sedia RM7.1 bilion biaya 67 projek

    KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) terdahulu memperuntukkan RM7.163 bilion untuk membiayai 67 projek bawah Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    “Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) ada dua projek, Jabatan Perdana Menteri (2), Kementerian Air dan Sumber Asli (7), Kementerian Kesihatan (1), Jabatan Kerja Raya (3), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (42).

    “Kementerian Pendidikan (4), Kementerian Pendidikan Tinggi (4), Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pertahanan masing-masing satu projek. Jumlah keseluruhannya sebanyak RM7.163 bilion,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat. lapor Free Malaysia Today.

    Terdahulu, bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan tujuh pertuduhan berkait projek Jana Wibawa.

    Pagi tadi, pengerusi PN itu mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi tuduhan pengubahan wang berhubung program Jana Wibawa, selepas beliau meminta dibicarakan atas empat tuduhan meminta rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta pada Jumaat lalu.

    Hutang 1MDB

    Menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung jumlah hutang 1MDB, Ahmad berkata, jumlah hutang diambil alih sebanyak RM53.5 bilion.

    Setakat ini, katanya, RM24.5 bilion dibayar kerajaan melalui “shareholder advance” atau pinjaman dan bayaran melalui akaun amanah sebanyak RM19.3 bilion, menjadikan keseluruhan hutang dilangsaikan berjumlah RM43.8 bilion.

    “Jumlah baki hutang belum dibayar ialah RM9.7 bilion yang merupakan prinsipal RM5 bilion dan faedah RM4.7 bilion.

    “Tetapi, kita dapat aset diperoleh daripada 1MDB adalah RM20.3 bilion dan kita juga dapat penyelesaian International Petroleum Investment Company (Ipic) lebih kurang RM8 bilion,” katanya.

    Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan dua firma pelaburan Abu Dhabi itu bersetuju membayar USD1.8 bilion kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan 1MDB.

    Katanya, penyelesaian itu dicapai menerusi prosiding di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.

  • Kedah ada pilihan syarikat lain bina KXP – Sanusi

    Kedah ada pilihan syarikat lain bina KXP – Sanusi

    KERAJAAN negeri Kedah mempunyai pilihan syarikat untuk cadangan pembangunan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) sekiranya tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary menarik diri daripada projek tersebut.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata masih ada lagi syarikat lain yang berkemampuan telah menghantar kertas cadangan pembangunan KXP kepada kerajaan negeri.

    Beliau berkata kerajaan negeri juga akan memanggil KXP Airport City untuk memberikan taklimat tentang sejauh mana urusan dengan syarikat Syed Mokhtar itu mengenai projek berkenaan.

    “Kalau dia (Syed Mokhtar) terpaksa menolak, silalah menolak, saya tak ada masalah dengan dia, mungkin dia boleh terlibat dengan projek lain, kalau dia menolak, kita akan buat penilaian baharu (terhadap syarikat lain).

    “Kita akan tengok keputusan muktamad Kumpulan Albukhary berdasarkan jawapannya nanti,” katanya demikian pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di Alor Setar, hari ini.

    Sanusi berkata kerajaan negeri memberi tawaran kepada dua syarikat termasuk syarikat Syed Mokhtar untuk kerjasama (JV) bagi pembangunan projek KXP dan syarikat satu lagi itu yang mempunyai kepakaran kargo telah pun memberikan maklum balas bersedia dengan kerjasama itu.

    Dalam pada itu, beliau memaklumkan 12 rumah baharu dibina pihak kerajaan negeri untuk mangsa banjir akibat kepala air di Kampung Iboi dekat Baling, tahun lepas, dijangkakan siap sebelum 27 April depan.

    “Peserta telah membuat cabutan undi rumah yang akan diberikan kepada mereka,” katanya yang turut memaklumkan lapan lagi rumah baharu tekag siap dibina oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk mangsa kepala air itu.

    Persidangan DUN Kedah bersambung esok. – BERNAMA