Author: Wartawan WartaRakyat

  • Azmin, Radzi bukan calon MB, Bersatu tiada ‘poster boy’ di Selangor

    Azmin, Radzi bukan calon MB, Bersatu tiada ‘poster boy’ di Selangor

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan tidak akan menamakan siapa individu dijadikan ‘poster boy’ dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

    Ketua Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari berkata, perkara berkenaan dimuktamad dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Bersatu (MPT), sebelum ini.

    Selain itu katanya, tiga nama disebut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini juga bukan calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya menawan Selangor dalam PRN nanti.

    Selain Abdul Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, dua lagi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.

    “Kami bertiga sudah bersetuju dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU supaya tidak ada ‘poster boy’ di Selangor,” katanya.

    Mengulas tiga nama disebut Muhyiddin itu, katanya, mereka bertiga diberikan tanggungjawab oleh Pengerusi PN untuk memperkukuhkan parti bagi mendepani PRN nanti.

    “Bukan (calon Menteri Besar Selangor)…sebenarnya apabila Tan Sri Muhyiddin sebut tiga nama kami, ia adalah untuk persediaan PRN Selangor.

    “Tan Sri (Muhyiddin) melantik Dr Radzi sebagai Koordinator (PN) Selangor, Datuk Seri Azmin sebagai Pengerusi PN dan saya sebagai Pengerusi Bersatu Selangor.

    “Jadi arahan Tan Sri (Muhyiddin) supaya kita bertiga ini bersama-sama untuk menguatkan parti dan juga membuat persiapan PRN,” katanya.

    Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan pemimpin dari Bersatu akan dipilih sebagai Menteri Besar di Selangor dan Negeri Sembilan sekiranya PN berjaya menawan dua negeri itu dalam PRN tidak lama lagi.

    Berhubung agihan kerusi bersama parti komponen iaitu Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bagi PRN nanti, Abdul Rashid berkata, ketika ini ia sudah 60 peratus selesai.

    “Ada sasaran kerusi, tetapi keputusan akan diumumkan oleh Jawatankuasa Pusat…kita di Selangor akan cadangkan agihan kerusi dan calon, keputusan muktamad oleh Pusat,” katanya, lapor Berita Harian.

    Terdahulu beliau membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini.

    Laporan polis secara serentak oleh semua 22 Bahagian Bersatu di Selangor berkaitan fitnah dan penganiayaan terhadap Muhyiddin dan Bersatu.

  • Kes Guan Eng: Keadaan tegang lepas peguam, DPP bertikam lidah

    Kes Guan Eng: Keadaan tegang lepas peguam, DPP bertikam lidah

    SUASANA di mahkamah hari ini menjadi lebih panas daripada biasa ketika perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng berkaitan projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

    Ketegangan dapat dirasakan antara ketua pendakwaan Wan Shaharuddin Wan Ladin dan ketua pembelaan Gobind Singh Deo ketika prosiding hari ini.

    Ia tercetus setelah hakim Azura Alwi menolak bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan peguam untuk mendapatkan nota prosiding berkaitan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

    Kes di mahkamah itu melibatkan dakwaan bahawa ahli perniagaan G Gnanaraja memperdaya eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd.(CZC) Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli untuk mendapatkan projek itu.

    Namun, pada Disember 2020, Gnanaraja mengaku bersalah terhadap pendakwaan alternatif di bawah Seksyen 218(1)(A) Akta Syarikat 2016 dan didenda RM230,000.

    Zarul dan Gnanaraja kini menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan terhadap Lim.

    Pasukan pembelaan berhujah mereka memerlukan nota prosiding untuk menguatkan pembelaan Lim dalam perbicaraan ini.

    Selepas Azura menolak bantahan awal pendakwaan, Wan Shaharuddin memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan bersedia untuk meneruskan pendengaran merit permohonan pembelaan untuk mendapatkan nota itu.

    Namun, Gobind kemudian mendakwa pihak pendakwaan telah membayangkan sebaliknya hari ini, iaitu mereka belum bersedia untuk meneruskan pendengaran merit permohonan pada hari ini.

    “Inilah standard (peguam) pembelaan. Drama yang bagus,” sindir Wan Shaharuddin sambil menepuk tangannya.

    Gobind membalas dengan bertanya: “Adakah ini yang telah berlaku kepada standard DPP (timbalan pendakwa raya) kita?”

    Azura kemudian cuba meredakan keadaan dan menegur Wan Shaharuddin.

    Wan Shaharuddin kemudian meminta mahkamah mempertimbang cara peguam Lim dalam menyampaikan hujah lisan, yang didakwa seperti membuat ancaman terhadap pendakwaan.

    Gobind menafikannya dan mendakwa pihaknya hanya cuba membuat permohonan untuk mendapatkan nota perbicaraan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan memberi peringatan berkenaan kesalahan menghina mahkamah terhadap Wan Shaharuddin.

    “Jangan ancam saya,” kata Gobind kepadanya, lapor Malaysiakini.

    Azura kemudian sekali lagi mengarahkan kedua-dua pihak untuk bertenang.

    “Baik, hentikan semua hujah,” tegasnya ketika menegur kedua-dua pihak.

    Azura kemudian menangguhkan prosiding dan menetapkan 23 Mac ini untuk mendengar merit permohonan pihak pembelaan.

  • Dakwa fitnah Muhyiddin, 22 ketua Bersatu lapor polis terhadap Anwar, Zahid

    Dakwa fitnah Muhyiddin, 22 ketua Bersatu lapor polis terhadap Anwar, Zahid

    SEBANYAK 22 ketua bahagian Bersatu di Selangor membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Laporan itu dibuat selepas Bersatu mendakwa Anwar dan Zahid memfitnah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Ketua Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari yang mengetuai laporan polis itu mendakwa, Anwar dan Zahid serta sekutunya cuba menjatuhkan kepimpinan PN dan Bersatu menjelang PRN enam negeri.

    Dakwanya, Anwar dan Zahid lebih mendahului kuasa pihak berkuasa apabila menuduh Muhyiddin menyeleweng wang kerajaan berjumlah RM600 bilion dan kini angka itu berubah kepada RM300 juta.

    “Bagi melumpuhkan kekuatan politik gabungan PN menghadapi PRN, mereka (Anwar dan Zahid) melemparkan fitnah.

    “Ini termasuk membekukan akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mendakwa serta mengheret kepimpinan parti ke mahkamah. Kita perlu berhati-hati sebelum membuat apa-apa kenyataan sebagai seorang perdana menteri,” katanya di luar IPD Shah Alam.

    Katanya, ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri, beliau difitnah menyeleweng dana RM600 bilion.

    “Angka itu kemudian diturunkan kepada RM530 bilion…kemudian turun lagi kepada RM92.5 bilion kepada RM4.5 bilion dan akhirnya RM300 juta.

    “Apabila membuat kenyataan mengenai sesuatu perkara besar melibatkan rasuah dan sebagainya, mestilah mendapatkan atau menyediakan fakta terperinci sebelum membuat apa-apa kenyataan,” katanya lapor FMT.

    Beliau turut memaklumkan, laporan polis itu dibuat secara berasingan oleh ketua bahagian Bersatu di seluruh Selangor hari ini.

  • Tipu pelaburan online, 2 warga UK dipenjara 6 bulan, denda RM100,000

    Tipu pelaburan online, 2 warga UK dipenjara 6 bulan, denda RM100,000

    DUA lelaki warga United Kingdom (UK) dipenjara enam bulan dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan terlibat dalam sindiket penipuan atas talian antarabangsa membabitkan kerugian hampir RM53,000.

    Tertuduh, Lloyd George Bedwell, 48, dan Roger Hoi Wing Wu, 46, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Hukuman penjara ke atas mereka ditetapkan bermula dari tarikh mereka ditahan iaitu 21 Februari lalu.

    Mengikut dua pertuduhan itu, Lloyd dan Roger bersama seorang lagi yang masih bebas iaitu Jacob Yazdi didakwa telah menipu dua warga Austria, Trevor Ronald John Curtis dan Kimberley John Buist Walker.

    Ia bagi memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa beliau dijamin akan mendapat kentungan yang tinggi daripada satu pelaburan jangka masa singkat dengan membuat pembelian saham di syarikat dikenali sebagai Devon Energy Corporation yang kedua-dua tertuduh ketahui tidak wujud.

    Dengan itu, mereka dituduh dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan sejumlah AUD8,991.92 (RM27,018.28) dan AUD8,573 (RM25,759.54) ke dalam akaun RHB Bank Berhad milik MB International Sdn. Bhd..

    Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di Island Plaza Tower, Tanjong Tokong, Pulau Pinang pada 16 Disember 2022 dan 5 Januari lalu.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

    Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib; Noor Azura Zulkifli dan Afiqa Liyana Rozman manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam V. Muniandy dan A. Ashok.

    SPRM sebelum ini membongkar satu sindiket ‘scammer’ pelaburan yang didalangi warga UK bersama beberapa negara lain kerana turut terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram serta rasuah menerusi Op Tropicana.

    Mereka dipercayai menipu mangsa yang terdiri daripada warga Australia dan UK dengan memperdayakan mereka membuat pelaburan tidak wujud.

    Modus operandi sindiket itu adalah mencari mangsa menerusi platform media sosial dan panggilan telefon.

  • ‘Datuk Roy’ direman kali kedua

    ‘Datuk Roy’ direman kali kedua

    SEORANG individu dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ yang ditahan semula oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, direman empat hari bermula hari ini.

    Lelaki berusia 54 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, bagi permohonan reman untuk membantu siasatan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

    Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

    Peguamnya, Fahmi Abd. Moin berkata, SPRM memohon tujuh hari lanjutan reman terhadap Datuk Roy bagi siasatan kes membabitkan beberapa individu dan pegawai SPRM.

    “Bagaimanapun, kami (peguam bela) membantah reman dilanjutkan kerana tiada keperluan untuk menahan Datuk Roy dengan lebih lanjut.

    “Ini kerana, anak guam kami akan memberikan kerjasama berterusan untuk membantu siasatan,” katanya lapor Harian Metro.

    Namun, mahkamah membenarkan permohonan SRPM untuk melanjutkan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 20 Mac.

    Sebelum ini, Datuk Roy direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Lelaki itu yang dibebaskan semalam, ditahan semula di Pejabat SPRM pukul 3.45 petang semalam.

    Terdahulu, dia diburu SPRM kerana didakwa menjadi perancang utama dalam siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan program Jana Wibawa.

    Empat individu, termasuk seorang pegawai SPRM ditahan, namun kemudian dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berkenaan atas tujuan sama.

    Datuk Roy yang beralamat di Kuantan, Pahang pernah dipenjara kerana terbabit kes rasuah.

  • Pemandu mabuk mengamuk, pukul polis ditahan

    Pemandu mabuk mengamuk, pukul polis ditahan

    SEORANG lelaki yang bertindak agresif apabila mengamuk dan memukul dua anggota polis di hadapan pos pengawal Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di Ipoh, ditahan malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, dalam kejadian pukul 12.05 tengah malam, suspek warga tempatan berusia 30 tahun itu memandu kereta dan terlanggar penghadang jalan berhampiran pos pengawal PLPGU.

    “Lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol itu kemudiannya telah mengamuk dan memukul dua pegawai rendah polis yang berada di lokasi ketika pemeriksaan dijalankan.

    “Akibat serangan itu, dua anggota terbabit cedera ringan dan telah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

    Katanya, suspek direman selama tiga hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

    Katanya, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

    “Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Remaja maut motosikal ditunggang laju rempuh belakang Perodua Kancil

    Remaja maut motosikal ditunggang laju rempuh belakang Perodua Kancil

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG remaja berusia 17 tahun maut apabila motosikalnya yang dipercayai ditunggang laju, merempuh belakang sebuah kereta di jenis Perodua Kancil di Kilometer 83 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), menghala arah utara awal pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1.55 pagi ketika cuaca berada dalam keadaan baik serta jalan lengang dan cerah dengan bantuan lampu jalan.

    Katanya, kejadian itu berlaku ketika kedua-dua kenderaan tersebut bergerak di lorong kiri dari arah Plaza Tol Sungai Petani menuju ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa dengan laju gagal mengelak kereta Perodua Kancil tersebut di bahagian belakang sebelah kiri.

    “Pelanggaran tersebut menyebabkan motosikal berkenaan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar besi penghadang tepi jalan,” katanya.

    Akibat kemalangan itu katanya, mangsa yang tidak bekerja dan berasal dari Taman Keladi, Sungai Petani maut di lokasi kejadian akibat kecederaan serius di kepala.

    “Pemandu serta penumpang kereta itu yang kedua-duanya lelaki, bekerja sebagai mekanik kereta dan berusia 38 serta 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

    Tambahnya siasatan awal setakat ini menunjukkan kemalangan berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang menunggang laju hingga melanggar kereta tersebut.

    “Kejadian itu bagaimanapun masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Saman fitnah: Sanusi berhujah guna kes Anwar pada 2004

    Saman fitnah: Sanusi berhujah guna kes Anwar pada 2004

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, ucapannya semasa berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berdasarkan rekod awam mengenai kes Liwat 1 Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perkara lain yang berkaitan moral.

    Dalam pernyataan pembelaannya terhadap saman fitnah dikemukakan Ahli Parlimen Tambun itu, Sanusi berkata, beliau bersedia untuk membuktikan di mahkamah kandungan ucapan dibuatnya merujuk kepada kenyataan Mahkamah Persekutuan 2004.

    Menurut dokumen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 13 Februari lalu dan dilihat Malaysiakini, Sanusi berkata, pembelaan itu membabitkan justifikasi, keistimewaan yang layak dan ulasan yang adil.

    Justifikasi adalah pembelaan bahawa kenyataan atau dakwaan yang dibuat berdasarkan fakta dan jika terbukti di mahkamah, ia akan menjadi pembelaan mutlak terhadap tindakan fitnah yang dikenakan.

    Keistimewaan yang layak pula ialah pembelaan yang terpakai dalam situasi apabila seseorang itu mempunyai kepentingan, kewajiban undang-undang, tanggungjawab moral atau sosial untuk mengeluarkan sesuatu perkataan.

    Ulasan yang adil ialah ialah kenyataan yang disangkal itu dibuat sebagai ulasan yang adil, bukannya kenyataan fakta mengenai isu kepentingan awam.

    Sebelum ini Anwar mengemukakan tindakan sivil ekoran atas ucapan Sanusi di kawasan Parlimen Tambun pada 13 November tahun lepas ketika dia berkempen untuk memenangkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di situ.

    Dalam PRU tersebut Anwar mengetepikan Ahmad Faizal yang juga bekas Menteri Besar Perak.

    Sanusi mendakwa antara fakta yang diketahui umum ialah Anwar dipecat daripada kabinet oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1998 kerana isu moral.

    Kenyataan Ketua Hakim Negara Abdul Hamid Mohamed di Mahkamah Persekutuan pada 2004 pula menyatakan ‘terdapat bukti’ untuk mengesahkan Anwar terlibat dalam aktiviti homoseksual dan panel hakim cenderung untuk mempercayai insiden didakwa berlaku di Tivoli Villa ‘memang berlaku kadang-kadang’.

    Abdul Hamid bagaimanapun berkata mahkamah hanya boleh membuat sabitan jika pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan didakwa itu melampaui keraguan munasabah.

    Anwar sebelum ini mengemukakan permohonan undang-undang untuk meminta mahkamah tertinggi menghapuskan kenyataan itu namun ditolak.

    Sanusi juga merujuk kepada sabitan Anwar atas kesalahan salah guna kuasa dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun, yang dikekalkan oleh mahkamah tertinggi negara pada 2002.

    Defendan turut merujuk kepada tindakan sivil yang sedang dijalankan oleh bekas pegawai penyelidik Anwar, Muhammad Yusoff Rawther, berhubung dakwaan serangan seksual.

    Sanusi menambah Anwar tersalah faham konteks ucapannya kerana ia tidak dilakukan kerana niat jahat untuk memfitnah di hadapan khalayak umum sebaliknya sekadar mengkritik perdana menteri terbabit berdasarkan fakta yang diketahui secara meluas.

    Defendan mendakwa plaintif sendiri telah melemparkan pelbagai tuduhan terhadap parti lain sepanjang tempoh kempen PRU ke-15.

    “Oleh yang demikian, adalah tidak munasabah dan menghairankan untuk seorang politikus seperti plaintif (Anwar) yang suka menuduh politikus-politkus lain dengan kata-kata seperti ‘penyamun’, ‘bodoh’ dan pelbagai lagi tiba-tiba sensitif apabila parti lawan memberikan komen dan kritikan berdasarkan latar belakang beliau yang sudah diketahui umum.

    “Plaintif tidak seharusnya menjadi seorang yang mudah tersinggung (thin skinned) terutamanya ketika kempen pilihan raya memandangkan plaintif sendiri bersikap suka menuduh,” katanya.

    Sementara itu dalam jawapan yang difailkan pada 13 Mac, Anwar mendakwa bukan sahaja sandaran Sanusi terhadap isu Liwat 1 dan tentang pemecatannya sekadar khabar angin, bahkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018 telah memadam sepenuhnya sabitan serta hukuman terdahulu.

    “Plaintif adalah seorang yang tidak bersalah. Sebarang kenyataan lanjut yang dibuat berhubung perkara sama adalah bersifat fitnah dan boleh boleh diambil tindakan,” katanya.

    Anwar menegaskan rekod jenayah termasuk penghakiman yang dilaporkan tidak boleh dikemukakan dalam prosiding mahkamah sivil untuk saman tindakan fitnah yang berlangsung itu kerana ia dilarang oleh Akta Keterangan 1950.

    Plaintif juga berhujah Sanusi subjudis apabila cuba membawa masuk tindakan sivil Yusoff ke dalam tindakan undang-undang sekarang.

    Di bawah undang-undang, sub judice merujuk kepada perkara yang masih dipengerusikan oleh mahkamah dan oleh itu tidak boleh dibawa ke perbincangan umum di tempat lain.

    Anwar diwakili peguam Sankara Nair manakala Yusfarizal Yussof bertindak bagi pihak Sanusi.

    Tindakan sivil itu ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada Isnin depan.

  • Tarawih: Selangor larang guna khidmat imam luar negara

    Tarawih: Selangor larang guna khidmat imam luar negara

    SELANGOR tidak membenarkan masjid, surau dan musolla di negeri itu menggunakan khidmat imam luar negara bagi mengimamkan solat tarawih sepanjang Ramadan ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, imam yang dibenarkan itu merupakan mereka yang mendapat lantikan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

    “Selain imam lantikan MAIS, imam yang dilantik kariah masjid berkenaan turut dibenarkan.

    “Khidmat imam luar negara tidak dibenarkan melainkan telah mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

    “Solat tarawih hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dengan membaca surah atau ayat-ayat pendek.

    “Pelaksanaan tazkirah hendaklah dilaksanakan selepas selesai solat sunat tarawih oleh penceramah bertauliah dan tempohnya tidak melebihi 20 minit,” katanya menerusi kenyataan semalam.

    Ujarnya, pelaksanaan solat fardu, solat Jumaat dan aktiviti program melibatkan masjid dan surau dibenarkan dengan kapasiti penuh mengikut syarat ditetapkan.

    Tambah beliau, berikutan peralihan fasa endemik Covid-19 yang sedang dilalui ketika ini, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga

    “Pihak pentadbir masjid, surau dan musolla serta jemaah digalakkan untuk memakai pelitup muka.

    “Selain itu, individu yang mempunyai gejala atau kurang sihat tidak digalakkan hadir ke masjid dan surau,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kerajaan teruskan usaha kembali dana SRC di luar negara – Azalina

    Kerajaan teruskan usaha kembali dana SRC di luar negara – Azalina

    KERAJAAN tidak pernah berhenti daripada meneruskan usaha mengembalikan mana-mana aset Malaysia di luar negara yang berkait dengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usaha berterusan digerakkan bukan hanya untuk mendapatkan kembali aset terbabit sama ada di Switzerland, tetapi juga di mana-mana negara lain.

    Beliau berkata demikian melalui jawapan kepada pertanyaan lisan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen.

    Berdasarkan soalan, Ka Siong meminta penjelasan jika kerajaan mempunyai perancangan untuk mendapatkan kembali baki dana SRC berjumlah ASD$1.2 bilion yang dibekukan kerajaan Switzerland, serta langkah bakal diambil untuk mengembalikan dana terbabit.

    Azalina berkata, Jabatan Peguam Negara tidak mendapat apa-apa pengesahan bahawa terdapat dana SRC berjumlah AS$1.2 bilion dibekukan oleh kerajaan Switzerland pada peringkat ini.

    “Bagaimanapun, kerajaan melalui Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang menjalankan usaha yang berterusan untuk mendapatkan kembali mana-mana aset sama ada di Switzerland atau mana-mana negara lain yang terbabit,” katanya, lapor Berita Harian.

    SRC ialah anak syarikat 1MDB sebelum ia diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada 2012, dengan beban kewangannya ditanggung sepenuhnya Kerajaan Persekutuan.

    Daripada dana RM4 bilion yang dipinjam, sebanyak RM3.6 bilion (AS$1.1 bilion) dilapor dipindahkan melalui beberapa anak syarikat luar pesisir kepada beberapa entiti dan bank di luar Malaysia, termasuk BSI Bank di Switzerland (lebih AS$800 juta), Bank Julius Baer & Co Ltd di Hong Kong (AS$250 juta) dan sebuah syarikat eksplorasi arang batu di Mongolia (AS$ 60 juta).