Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRN P.Pinang: PN mungkin menang hampir semua kerusi DUN majoriti Melayu

    PRN P.Pinang: PN mungkin menang hampir semua kerusi DUN majoriti Melayu

    BIARPUN masih baru, Perikatan Nasional (PN) dilapor tidak mempunyai masalah memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN majoriti Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang jika trend pengundian pada PRU15 menjadi petunjuk.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, namun agak sukar bagi gabungan politik terdiri daripada Pas, Bersatu dan Gerakan itu untuk menawan Pulau Pinang daripada Pakatan Harapan (PH) kerana tidak mendapat sokongan bukan Melayu yang membentuk majoriti 62% hingga 98% pengundi di 25 daripada 40 kerusi di negeri berkenaan

    Selain itu, satu kerusi majoriti Melayu yang mungkin sukar dimenangi pakatan pembangkang ialah Batu Maung, di mana pengundi Melayu hanya membentuk 54%. Di 14 kerusi majoriti Melayu lain, 60% pengundi adalah Melayu.

    Kebangkitan PN di Pulau Pinang

    Pada PRU15, PN merampas Kepala Batas dan Tasek Gelugor daripada Barisan Nasional (BN), dan menewaskan PH di Permatang Pauh, kerusi sinonim dengan keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Terdapat sembilan kerusi DUN majoriti Melayu dalam kawasan pilihan raya ini.

    Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan PN memenangi bahagian terbesar sokongan daripada pengundi kali pertama, manakala PH kehilangan undi secara keseluruhan berbanding prestasi mereka pada PRU14. Secara umumnya, BN juga menyaksikan pengurangan undi.

    Di Permatang Pauh misalnya, Pas yang menjadi komponen PN memperoleh 37,600 undi, peningkatan sebanyak 23,200 undi daripada 14,400 yang diraih parti itu pada PRU14. Sebagai perbandingan, BN kehilangan 2,895 undi dan PH kehilangan 3,168 undi.

    Di Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan daripada Bersatu memperoleh 16,225 undi baharu manakala BN hanya berjaya meraih 317 undi baharu berbanding PRU14. PH menyaksikan bahagian undinya berkurangan sebanyak 1,892 undi.

    Lima lagi kerusi DUN majoriti Melayu di Pulau Pinang adalah bawah Parlimen Batu Kawan dan Balik Pulau.

    Di Balik Pulau, majoriti PH berkurangan daripada 6,464 kepada 1,582 undi. PN, walaupun kalah, berjaya meningkatkan bahagian undinya daripada 5,298 kepada 22,892.

    PN, PH yakin

    Dr Afif Bahardin daripada PN yakin gabungan itu akan memenangi semua kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang atas sokongan undi simpati disebabkan pendakwaan terhadap pemimpinnya, termasuk bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Wan Saiful.

    Bekas ADUN Seberang Jaya itu juga berkata, beliau percaya PN akan mendapat undi daripada golongan bukan Melayu yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan perpaduan setakat ini.

    ADUN Permatang Pasir Faiz Fadzil dari PH berkata, kejayaan gabungan itu pada PRU15 tidak semestinya menunjukkan bagaimana rakyat akan mengundi pada PRN, kerana isu lain mungkin diutamakan.

    Beliau berkata, kempen PRU15 lebih tertumpu kepada isu nasional berbanding prestasi kerajaan negeri pimpinan PH.

    “Apabila kita menonjolkan kejayaan kita di peringkat negeri, kita boleh mengubah persepsi dan meneutralkan ‘gelombang hijau’ yang kita lihat pada PRU15,” katanya kepada FMT.

    “Gelombang hijau” merujuk kepada prestasi PAS pada PRU15, dengan parti Islam itu memenangi 43 kerusi dan penyokongnya juga membantu rakan komponen PN, Bersatu, meraih 31 kerusi.

    Enam negeri, iaitu Pulau Pinang Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai PH, serta Kedah, Kelantan dan Terengganu pimpinan PAS akan mengadakan PRN dalam tempoh empat bulan akan datang.

  • Berang diajak jumpa psikiatri, polis mengamuk hampir 24 jam maut ditembak

    Berang diajak jumpa psikiatri, polis mengamuk hampir 24 jam maut ditembak

    SEORANG pegawai polis cawangan khas meninggal dunia ketika menerima rawatan selepas cedera ditembak skuad komando di Sat Mai, utara Bangkok kelmarin.

    Memetik laporan Khaosod, suspek yang dikenali sebagai Leftenan Kolonel Kitikarn Sangbun, 51, sebelum itu dilapor mengamuk hampir 24 jam dengan melepaskan beberapa das tembakan di kawasan tempat tinggalnya.

    Dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bhumibol Adulyadej.

    Leftenan Kolonel Kitikarn Sangbun, 51, mempunyai rekod sejarah sakit mental.

    Difahamkan, kejadian bermula pada pagi Selasa selepas suspek melepaskan tembakan ke arah rakan sekerja yang cuba membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan sakit mental yang dihidapi.

    Rakan sekerja telah datang ke rumah suspek bersama ambulans selepas beberapa hari Kitikarn tidak melaporkan diri di balai polis.

    Malah, Kitikarn juga bertindak menghalau rakannya sebelum mengurung diri di dalam rumah.

    Bukan itu sahaja, Kitikarn juga melepaskan beberapa das tembakan sepanjang proses rundingan bersama anggota polis.

    Dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bhumibol Adulyadej.

    Ganja kering yang disimpan dalam balang dan dua pokok ganja ditemui di belakang rumah suspek

    Difahamkan, kejadian bermula pada pagi Selasa selepas suspek melepaskan tembakan ke arah rakan sekerja yang cuba membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan sakit mental yang dihidapi.

    Rakan sekerja telah datang ke rumah suspek bersama ambulans selepas beberapa hari Kitikarn tidak melaporkan diri di balai polis.

    Malah, Kitikarn juga bertindak menghalau rakannya sebelum mengurung diri di dalam rumah.

    Bukan itu sahaja, Kitikarn juga melepaskan beberapa das tembakan sepanjang proses rundingan bersama anggota polis, lapor Utusan TV.

  • Dalang sembilan kes samun sekitar ibu kota diberkas

    Dalang sembilan kes samun sekitar ibu kota diberkas

    SEORANG lelaki disyaki terbabit sembilan kes ragut di sekitar ibu kota ditahan kira-kira dua jam selepas melakukan jenayah sama di Taman Bunga Raya Taman Melati, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek berusia 31 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah dalam serbuan di Flat Taman Melati, Kuala Lumpur pukul 10.45 pagi.

    “Pada pukul 8.36 pagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menerima laporan berkenaan kejadian ragut yang berlaku di Jalan Lorong Mas Ria 3 di Taman Bunga Raya.

    “Suspek terbabit dipercayai tidak bekerja. Siasatan awal mendapati suspek mensasarkan warga tempatan dan warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, pasukan serbuan merampas sebuah beg silang berjenama, telefon bimbit (11), masing-masing satu tablet, topi keledar, motosikal Yamaha Y15 dan beg penghantaran makanan serta plastik lutsinar disyaki dadah dan 21 keping wang asing.

    “Dengan tertangkapnya suspek mereka percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes ragut di sekitar ibu negara,” katanya, lapor Harian Metro.

    Ashari berkata, hasil siasatan lanjut yang dijalankan, suspek mengaku terbabit dalam sembilan lagi kes ragut di sekitar kawasan Setapak dan Wangsa Maju.

    Suspek katanya, direman enam hari bermula 17 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun-ragut).

    Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan ke IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur, 03-21159999 atau balai berhampiran.

  • Sindiket pengedaran dadah tumpas, rampasan RM1 juta

    Sindiket pengedaran dadah tumpas, rampasan RM1 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAH

    DUA penganggur warga tempatan diberkas polis selepas terbabit pengedaran dadah di sekitar Johor Bahru pada 14 Mac lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan dibuat hasil empat serbuan berasingan di Johor Jaya, Bandar Dato Onn dan Taman Setia Indah dari jam 5 petang sehingga 9 malam.

    “Dalam serbuan tersebut, dua lelaki tempatan berusia 32 dan 38 tahun ditahan bersama sejumlah rampasan dadah.

    “Pihak polis berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah melibatkan 21.27 kilogram (kg) atau 21 peket syabu bernilai RM771,362; 727.00 gram (g) serbuk ekstasi melibatkan 71 peket bernilai RM36,350.

    “Selain itu 554.00g ketamin bernilai RM35,600; 110 biji pil ekstasi seberat 40.30g bernilai RM2,015; 48 biji pil Eramin 5 bernilai RM1,050 dan 56.30g ‘magick mushroom’ bernilai RM2,815,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor, Johor Bahru hari ini.

    Kamarul Zaman menunjukkan carta sindiket dadah beroperasi, selepas seidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini. Foto ihsan IPK Johor

    Beliau berkata, pihaknya turut menyita dua buah kereta, sebuah motosikal, seutas jam tangan, wang tunai RM1,350 dan SGD114 (RM380).

    Katanya, semua rampasan dadah tersebut berjumlah 21kg dengan nilai RM849,192 manakala sitaan pula melibatkan RM160,430.

    Menurut Kamarul Zaman, keseluruhan nilai rampasan dan sitaan bagi serbuan berkenaan kira-kira RM1 juta.

    “Sindiket ini bersedia untuk mengedar apa jenis dadah yang berada di pasaran, dia bukan tumpu pada satu jenis dadah sahaja dan kalau lihat paket paket kecil yang ini, kita syaki diedarkan kepada pengguna pengguna untuk digunakan di pusat hiburan,” katanya.

    Datuk Kamarul Zaman Mamat

    Semua dadah itu katanya, dipercayai diseludup masuk dari negara di segi tiga emas dan mampu diedarkan kepada seramai 111,888 penagih.

    Ujian air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis ketamin dan semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    Kedua-dua suspek direman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Remaja tembak ibu sendiri sebelum bunuh 2 anggota polis

    Remaja tembak ibu sendiri sebelum bunuh 2 anggota polis

    SEORANG remaja 16 tahun dilapor menembak ibunya sebelum membunuh dua anggota polis yang tiba di kediaman mereka di Edmonton, Kanada.

    Ketua Polis Edmonton, Dale McFee berkata, kedua-dua anggota polis itu ditembak ketika mereka tiba di sebuah bangunan pangsapuri selepas menerima panggilan berhubung pertelingkahan domestik pada pukul 12.47 tengah malam, awal Khamis.

    Pasukan polis yang dikerah ke apartmen itu kemudian menemukan mayat suspek remaja itu dengan kesan tembakan yang dipercayai dilakukannya sendiri.

    Suspek tidak dinamakan kerana masih berada di bawah umur.

    Ibu suspek dilapor dalam keadaan kritikal ketika dibawa ke hospital namun kini berada dalam keadaan stabil.

    Anggota polis yang terkorban dikenal pasti sebagai Travis Jordan, 35, yang telah berkhidmat dengan pasukan Edmonton selama lebih 8 tahun, dan Brett Ryan, 30, yang berkhidmat lebih 5 tahun.

    “Ini adalah hari yang sangat tragis bagi Perkhidmatan Polis Edmonton dan bandar ini.

    “Anggota polis ini berkorban nyawa ketika cuba melindungi komuniti di sini.

    “Pengorbanan mereka tidak akan dilupakan,” kata McFee dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

    Tiada kenyataan lanjut berhubung tindakan dilakukan suspek dan polis masih menyiasat punca kejadian.

  • Berdepan risiko diisytihar muflis, MP Kepong rayu bantuan

    Berdepan risiko diisytihar muflis, MP Kepong rayu bantuan

    AHLI Parlimen Kepong, Lim Lip Eng hari ini melancarkan kempen mengumpul dana untuk membayar ganti rugi RM2.25 juta kepada firma e-dagang Monspace (M) Sdn. Bhd. dan pengasasnya Jessy Lai.

    Tindakan itu selepas beliau tewas dalam saman fitnah semalam yang berisiko diisytiharkan muflis dan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika tidak dapat membayar denda itu tepat pada masanya.

    Wakil rakyat DAP itu berkata, beliau perlu menyerahkan jumlah itu dalam tempoh tujuh hari sebaik menerima perintah mahkamah, yang dijangka dihantar kepadanya minggu depan.

    Tidak seperti kes jenayah, beliau perlu membayar ganti rugi sebelum keputusan rayuannya diumumkan dalam saman fitnah sivil ini.

    Pada sidang media di pusat khidmatnya di Kepong, hari ini, Lip Eng menjelaskan bahawa dirinya telah memberikan bantuan secara sukarela kepada ramai mangsa yang terjebak dengan skim ‘membuat duit’ di alam maya sejak beberapa tahun lalu.

    Beliau terlibat dalam kes saman fitnah itu dengan Monspace dan Jessy Lai selepas membantu sekumpulan individu yang memohon bantuannya pada 2016.

    “Ganti rugi sebanyak RM2.25 juta adalah jumlah yang tidak pernah diberikan sebelum ini, ramai peguam berpengalaman menganggapnya sukar dipercayai. Bagaimanapun, ini tidak akan menghalang saya daripada menegakkan keadilan.

    “Saya sentiasa bertanggung jawab atas tindakan saya, tetapi jumlah itu terlalu tinggi dan amat sukar untuk mengumpul wang tunai RM2.25 juta dalam tempoh yang singkat.

    “Jika saya gagal membayar tepat pada masanya, saya akan berdepan dengan risiko diisytiharkan muflis, dan saya tidak akan lagi dapat terus bersuara untuk rakyat dan negara di Parlimen.

    “Saya benar-benar merayu semua rakyat Malaysia untuk bersama saya untuk menegakkan keadilan dan membantu saya mengumpul RM2.25 juta dalam tempoh tujuh hari ini,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Ketika ditanya tentang apa yang akan dilakukannya jika gagal mengumpul jumlah yang diperlukan itu, beliau berkata, mungkin terpaksa menjual rumah dan keretanya, tetapi ini juga akan mengambil masa untuk mendapatkan dana berkenaan.

    Beliau berjanji bahawa sekiranya berjaya dalam rayuannya nanti dan dibenarkan mendapatkan semula wang ganti rugi tersebut, akan menderma kesemua wang berkenaan kepada pertubuhan amal dan badan pendidikan.

    Pada 24 Mei 2017, Lip Eng membawa sekumpulan individu yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Lai di Bukit Jalil. Suasana kemudiannya menjadi hangat ketika mereka berhadapan dengan pekerja Lai dan Monspace.

    Lai dan MonSpace memfailkan saman terhadap Lip Eng pada Jun 2019, kerana mendakwa defendan itu mengeluarkan kenyataan fitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur.

    Pada tahun yang sama, beberapa pengasas Monspace turut didakwa di mahkamah jenayah atas dakwaan menjalankan skim piramid dan aktiviti pengubahan wang haram.

    Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Lip Eng membayar sejumlah RM2 juta sebagai ganti rugi dan RM250,000 sebagai kos kepada Monspace dan Lai.

  • Anggota APMM minta suapan didenda RM5,000

    Anggota APMM minta suapan didenda RM5,000

    SEORANG anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) didenda RM5,000 selepas mengaku salah meminta suapan daripada seorang pemilik kapal selepas menahan kapalnya di perairan Sepanggar, Kota Kinabalu, tiga tahun lalu.

    Jazul Abdullah, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Jason Juga ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini.

    Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara enam bulan jika tertuduh gagal membayar denda, lapor Harian Metro.

    Berdasarkan fakta kes, kira-kira 11 pagi pada 17 Mac 2021, pemilik kapal yang juga pengadu dalam kes itu dihubungi oleh tekong kapal mengatakan kapal miliknya ditahan APMM di perairan Sepanggar.

    Ketika pemeriksaan, lesen kapalnya didapati tamat tempoh sebelum seorang anggota APMM yang memperkenalkan diri sebagai Alif kemudiannya bercakap dengan pengadu dan meminta wang sebanyak RM2,000.

    Bayaran itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pengadu dan kapalnya.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa atas pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan satu pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh mengaku salah atas pertuduhan pilihan sebelum hakim menjatuhkan hukuman penjara RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsham Saharom.

  • Mahkamah kekal kemenangan calon GPS di Lubok Antu

    Mahkamah kekal kemenangan calon GPS di Lubok Antu

    MAHKAMAH Tinggi Kuching mengekalkan kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Roy Angau Gingkoi di Parlimen Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selepas menolak petisyen difailkan pencabarnya.

    Menurut laporan Borneo Post, Hakim Duncan Sikodol berkata, calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Johnical Rayong Ngipa gagal membuktikan dakwaan terhadap Angau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pegawai pengurus pilihan raya.

    Rayong yang juga Adun Engkilili tewas kepada Angau dengan majoriti tipis 100 undi dalam pertembungan empat penjuru pada PRU15 November lalu.

    Beliau mendakwa permohonannya untuk kiraan semula undi ditolak pegawai pengurus pilihan raya tanpa sebarang alasan.

    Rayong juga mendakwa beberapa stesen televisyen melaporkan PSB menang, tetapi kemudiannya Angau pula diisytiharkan sebagai pemenang.

    Timbalan Presiden PSB itu memberitahu wartawan di luar mahkamah, beliau tidak akan merayu terhadap keputusan itu.

    Katanya, beliau ‘sangat sedih’ dengan keputusan itu dan akan menumpukan usaha pada PRU16.

  • Berang ditegur ambil lauk guna jari, pelanggan mabuk pukul pekerja mamak ditahan polis

    Berang ditegur ambil lauk guna jari, pelanggan mabuk pukul pekerja mamak ditahan polis

    GARA-GARA berang ditegur, tiga lelaki bertindak memukul dua pekerja kedai mamak sehingga cedera dalam kejadian di sebuah restoran dekat Glomac, Cyberjaya, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, suspek pertama dan kedua berada di bahagian nasi kandar sementara suspek ketiga mengambil lauk dengan menggunakan jari dalam keadaan mabuk.

    Beliau berkata, pekerja telah menegur perbuatan suspek ketiga dan memberitahu akan melayan pelanggan lain dahulu yang sedang menunggu giliran.

    “Akibat ditegur, ketiga-tiga suspek bertindak agresif dan mula memukul pekerja kedai.

    “Salah seorang suspek menggunakan pengepit makanan besi dan memukul pekerja di kepala serta badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, pengadu iaitu seorang pengurus restoran berusia 48 tahun mendakwa kejadian tersebut mengakibatkan barangan kedai termasuk 60 biji pinggan besar, 80 biji pinggan kecil rosak manakala lauk pauk tercemar dan terpaksa dibuang.

    Wan Kamarul Azran berkata, mangsa pertama mengalami lebam di leher, kepala, bahu kiri dan kedua-dua belah telinga, sementara mangsa kedua mengalami luka di badan, bengkak di kepala dan sakit tangan kanan.

    “Mangsa juga mendakwa telah diugut oleh dua suspek yang mengatakan akan memotongnya sekiranya jumpa di luar premis kedai,” ujarnya.

    Malah, pengadu mendakwa ketika beliau meleraikan pergaduhan tersebut, suspek telah mengeluarkan kata-kata kesat dan hinaan terhadap polis dalam bahasa Tamil.

    “Suspek mengatakan mereka tidak takut pada polis kerana tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap mereka,” ujarnya.

    Wan Kamarul Azran berkata, suspek pertama berusia 50 tahun ditahan di Perkarangan Balai Polis Cyberjaya pada pukul 1.40 pagi tadi.

    “Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan tidak mengaku memukul mangsa,” katanya.

    Sementara dua lagi suspek yang bekerja sebagai pemandu pelancong dan pemandu teksi masing-masing berusia 51 tahun ditahan di pekarangan Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Sepang pada pukul 1 pagi.

    “Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

    “Polis turut merampas sebatang penyepit besi yang digunakan ketika kejadian,” katanya, lapor UtusanTV.

    Kes kini disiasat di bawah Seksyen 324/427/506 Kanun Keseksaan.

  • Beri royalti kepada Kelantan sebelum cakap masalah air – Tok Him

    Beri royalti kepada Kelantan sebelum cakap masalah air – Tok Him

    PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mahu UMNO yang menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan memulangkan semula royalti kepada rakyat dan kerajaan Kelantan sebelum bercakap soal bekalan air bersih.

    Menurut Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengatakan masalah air Kelantan akan selesai sekiranya BN menang dan kembali memerintah negeri itu disifatkan sebagai ‘meriam buluh semasa waktu berbuka puasa’.

    “Saya nak lihat, mampukah Ahmad Zahid menasihati Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya melunaskan royalti minyak mengikut perjanjian atau sanggupkah terus mengalas dosa yang akan menerima hukuman Allah kelak?

    “Walaupun wujud perbedaan politik dan parti…namun hak yang termaktub dalam perjanjian wajib di hormati dan di laksanakan.

    “Berjanji apa yang sudah termaktub dalam perjanjian dengan syarat undi UMNO dulu adalah suatu pendustaan yang amat mengaibkan dan memalukan,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Tahunan Putra Bahagian Pasir Mas di Bunut Susu, Pasir Mas hari ini.

    Ibarhim memberitahu, janji atau sumpah akan menjadi pemimpin bersih dan menolak rasuah lebih baik dan rakyat pasti akan menghargainya.

    Katanya yang juga dikenali sebagai Tok Him, budaya janji sudah lapuk dan tidak releven dengan dunia hari ini apabila rakyat sudah bijak membuat penilaian khususnya golongan muda.

    “Janji UMNO selama ini sudah bertimbun yang tidak di tunaikan. Apakah…masih tidak sedar bahawa zaman mempersendakan minda rakyat sudah berakhir.

    “Dasar UMNO, selagi tidak di beri kuasa mentadbir negeri, tiada pertolongan kerajaan Pusat. Bagi menang UMNO dulu, baru ada pertolongan dan apa jua masaalah untuk diselesaikan. Perkara ini sungguh tidak ada hati budi dan tidak menghormati Perlembagaan negara,” tegasnya.

    Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, Pas tidak mampu untuk membangun negeri tanpa wang atau peruntukan yang cukup kerana mereka tidak mempunyai pemimpin kreativiti dan inovasi.

    Katanya, pemimpin Pas lebih suka berceramah dengan ungkapan retorik sepanjang masa walaupun Kelantan mempunyai sumber berpotensi untuk dimajukan.

    “Jika dapat royalti minyak pun, belum tentu akan diguna sebaik mungkin untuk kepentingan rakyat,” katanya lapor Utusan Malaysia.