Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bapa tiri, ibu kandung dituduh eksploitasi seks anak OKU

    Bapa tiri, ibu kandung dituduh eksploitasi seks anak OKU

    SEPASANG suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memperdagangkan anak perempuan mereka yang juga golongan orang kurang upaya (OKU) lembam bagi tujuan eksploitasi seksual Januari lalu.

    Bagaimanapun, tertuduh, Salleh Ali, 63, dan Siti Aida Ismail, 40, yang juga bapa tiri dan ibu kandung mangsa mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

    Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa telah memperdagangkan anak perempuan mereka berusia 20 tahun yang juga pemegang kad OKU masalah pembelajaran pada bulan Januari hingga 14 Februari lalu.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah pangsa Desa Wawasan, Jalan Tembikai di Bukit Mertajam antara pukul 6 petang hingga 10 malam.

    Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun tidak menawarkan sebarang jaminan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Salleh yang juga penganggur manakala Siti Aida yang bekerja sebagai tukang urut kelihatan terpinga-pinga dan bingung selepas mahkamah meminta mereka mengemukakan rayuan.

    Noor Aini kemudiannya memaklumkan beliau memberi peluang kepada kedua-dua tertuduh untuk membuat rayuan.

    “Saya bagi peluang buat rayuan, kalau tak jamin, boleh direman, dipenjara,” katanya.

    Noor Aini kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

    Mahkamah kemudian menetapkan 20 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen selain lantikan peguam oleh tertuduh.

    Semalam, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan seorang wanita OKU pembelajaran berusia 20-an yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks oleh ibu dan bapa tirinya sendiri.

    Jelas beliau, wanita berkenaan diselamatkan selepas polis menyerbu sebuah rumah di Desa Wawasan, Jalan Tembikai 2, di sini menerusi Op Pintas pada 15 Mac lalu.

  • Isu tuntutan caj air mentah: Kerajaan Persekutuan diharap jadi orang tengah

    Isu tuntutan caj air mentah: Kerajaan Persekutuan diharap jadi orang tengah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN Persekutuan perlu menjadi ‘orang tengah’ dalam rundingan antara Kedah dan Pulau Pinang bagi menyelesaikan isu tuntutan caj air mentah yang tidak berkesudahan antara dua negeri berjiran tersebut.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tiada perkembangan terbaru melibatkan kedua-dua negeri itu sejak pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Katanya, sikap kerajaan negeri Pulau Pinang terhadap tuntutan Kedah itu juga tampak kekal sama seperti sebelum ini.

    “Sebelum PRU-15, kerajaan Persekutuan ketika itu ada mengusahakan pertemuan antara dua pihak tetapi di bawah kerajaan baharu ini, belum ada apa-apa lagi.

    “Kita harap kerajaan pusat dapat jadi pengendali rundingan itu dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan ambil inisiatif tersebut. Jika tidak isu ini akan berterusan kerana Kedah tidak akan sama sekali berhenti membuat tuntutan itu.

    “Kalau keadaan ni berterusan, kita akan ada langkah lain untuk diambil,” katanya dalam sidang akhbar selepas melepaskan larian sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2023 anjuran Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri di dataran depan Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

    Sebelum ini kerajaan negeri mengemukakan tuntutan bertulis keapda Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bagaimanapun menegaskan, penggunaan air Pulau Pinang dari sungai khususnya di kawasan sempadan negeri ini adalah sejajar dengan hak dan undang-undang antarabangsa.

    Muhammad Sanusi menambah, ketika ini banyak pihak sudah memahami isu tersebut terutamanya penyelenggaraan, pengekalan tadahan air dan ‘river basin’ yang cuma lima peratus saja dimiliki Pulau Pinang.

    “Kita bukan saja menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi malah ‘terlepas’ banyak perkara kerana tidak dapat membangunkan tanah dari kawasan tadahan, demi memastikan bekalan air mentah tidak terjejas.

    “Pulau Pinang tak tahu semua ini kerana mereka cuma tahu ambil air di ‘bawah’ saja. Bayar sajalah,” katanya.

  • Formula baharu bayaran haji lebih lestari diperlukan – TH

    Formula baharu bayaran haji lebih lestari diperlukan – TH

    PENGARAH Eksekutif (Haji) Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, formula baharu mengenai bayaran haji yang ditanggung oleh jemaah haji diperlukan untuk memastikan kelestarian kewangan Tabung Haji secara menyeluruh.

    Menurut beliau, Tabung Haji (TH) bukan sahaja bertanggungjawab kepada jemaah haji, bahkan juga kepada 8.8 juta pendeposit yang menjangkakan pulangan dividen sewajarnya setiap tahun.

    “Saya rasa rajah yang kita tunjukkan dari tahun 2001 sehingga 2022 menggusarkan kita. Dari segi kos kita lihat meningkat secara mendadak. Dalam masa yang sama bayaran haji tidak mencerminkan kenaikan yang sepatutnya.

    “Jadi saya rasa sudah sampai masanya kita lihat dengan lebih serius mengenai bayaran haji dan bagaimana kita boleh mengolah suatu formula baharu. Supaya jemaah haji masih mampu pergi haji dan dari segi kelangsungan, TH akan dapat diteruskan,” katanya dalam program Agenda AWANI baru-baru ini.

    Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata, adalah tidak wajar sejumlah kos besar disalurkan hanya kepada lebih 30,000 jemaah haji dan mengabaikan aspek agihan keuntungan yang wajar kepada pendeposit lain.

    “Kita perlu lihat kembali had sebenar jumlah daripada dana pendapatan yang boleh diberikan kepada Bantuan Kewangan Haji (Hajj Financial Assistance atau HAFIS) dan selebihnya kita nak beri kepada agihan keuntungan setiap tahun pendepositi yang 8.8 juta ini.

    “Untuk 30,000 ini perlu ada had dari segi jumlah tunai atau nisbah ke atas jumlah dana yang kita ada. Ini sedang dikaji dan diusahakan. Yang penting untuk tahun lepas dan tahun ini, sudah ada permulaan dan momentum,” tambah beliau.

    Berdasarkan data TH, bayaran hanya dinaikkan tiga kali antara tahun 2001 hingga 2022.

    Peningkatan pertama pada tahun 2002 kepada RM9,445 daripada RM8,585, sementara peningkatan kedua pada tahun 2009 kepada RM9,980 dan kali terakhir pada tahun 2022.

    Pada tahun tersebut, pertama kali diperkenalkan kategori B40 yang perlu membayar RM10,980, manakala Bukan B40 pula RM12,980.

    bantuan kewangan, Tabung Haji, Haji, Syed Saleh Syed Abdul Rahman,

  • Penjawat awam Kelantan dapat bonus raya RM700

    Penjawat awam Kelantan dapat bonus raya RM700

    KERAJAAN negeri Kelantan hari ini mengumumkan pemberian bonus Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua kakitangan awam negeri dan lantikan politik.

    Selain itu Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob juga mengumumkan elaun penghulu dinaikkan dari RM1,100 kepada RM1,500.

    “Saya ingin umumkan bonus Aidilfitri sebanyak RM700 untuk semua penjawat awam dan juga lantikan politik.

    “Pada masa sama, saya mengumumkan kenaikan elaun penghulu daripada RM1,100 kepada RM1,500,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian pada sesi sidang dewan undangan negeri (DUN) di Kota Bharu, hari ini.

  • Abang Stacy Anam meninggal dunia

    Abang Stacy Anam meninggal dunia

    ABANG penyanyi Stacy Anam iaitu Chaq, 35, meninggal dunia di Hospital Sibu, Sarawak awal pagi ini selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Bintangor, 12 Mac lalu.

    Pemergian Chaq atau nama sebenarnya Camellus Delleli Anam pada pukul 3.30 pagi tadi disampaikan oleh adik lelakinya, Aldrich Andy Anam.

    “Abang saya sudah tiada. Jantungnya terhenti sekitar pukul 3.30 pagi,” kata Aldrich kepada Astro AWANI.

    Selain Aldrich, turut berada di sisi Chaq semasa mendiang abangnya itu menutup mata buat kali terakhir ialah ibu mereka Agnes Carlos.

    Kata Aldrich, mereka sekeluarga reda dan berlapang dada menerima takdir itu.

    “Mak okey dan kami (sekeluarga) reda dan berserah sejak Chaq masuk hospital lagi,” ujar Aldrich lagi.

    Mengulas lanjut, Aldrich berkata, mayat Chaq masih berada di Hospital Sibu dan mereka sekeluarga akan menguruskan membawa mayat kembali ke kampung halaman di Penampang, Kota Kinabalu, Sabah untuk urusan pengebumian.

    Katanya, kakaknya, Stacy pula dijangka tiba di Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur esok bagi bersama-sama keluarga memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Chaq.

    Mendiang Chaq terlibat dalam kemalangan di Bintangor, Sarawak sehingga mengakibatkan dia mengalami pendarahan dalam kepala.

    Berikutan tragedi itu, Chaq yang juga peserta sebuah program realiti dan penyanyi sambilan bertarung nyawa di hospital walaupun sudah menjalani dua pembedahan disebabkan pendarahan itu.

    Beberapa organ dalaman Chaq mengalami gangguan antaranya masalah jantung selain hati dan limpa mengalami luka.

    Beberapa hari lalu, Stacy turut meminta doa ramai berharap agar abangnya terus kuat berjuang dan kembali sihat seperti sedia kala.

    “Mohon doakan kesembuhan buat abang saya Chaq. Harap dia terus kuat, tetapi saya dapat rasa dia tengah melawan. Insya-Allah mesti dia boleh,” katanya.

  • Norjuma diisytihar bankrap oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang

    Norjuma diisytihar bankrap oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang

    USAHAWAN selebriti, Norjuma Habib Mohamed diisytiharkan bankrap oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini selepas gagal melunaskan tuntunan berjumlah RM260,400 yang dibuat oleh syarikat Fame Up Entertainment pada 2022.

    Pengisytiharan bankrap itu diputuskan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Siti Zulaikha Nordin.

    Peguam Fame Up Entertainment, Muhammad Hassanuddin Roslan berkata, notis kebangkrapan itu difailkan pada 26 Oktober tahun lalu.

    ”Mahkamah telah mengisytiharkan Norjuma bankrap, buat masa sekarang kami akan teruskan dengan failkan perintah mahkamah dan Jabatan Insolvensi akan teruskan dengan proses kebangkrapan.

    ”Tiada peguam bagi pihak Norjuma dan dia juga tidak hadir ke Mahkamah Tinggi pada hari ini, notis telah diberikan kepada Norjuma, mahkamah juga telah keluarkan perintah, namun dia tidak hadir,” katanya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Georgetown hari ini.

    Yang turut hadir di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ialah pemilik syarikat Fame Up Entertainment, Zuriawati Zaidi.

    Sebelum ini, syarikat Fame Up memfailkan Notis Bankrap di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap Norjuma bagi menuntut usahawan selebriti berkenaan membayar RM260,400 selepas diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Selain itu, usaha untuk menahan Norjuma yang dikenakan waran tangkap oleh mahkamah juga gagal selepas dia tiada di kediamannya.

    Fame Up Entertainment sebelum ini memfailkan dua saman fitnah terhadap Norjuma sejak 2019 dan 2020 berkaitan penyebaran fitnah usahawan itu pada syarikat berkenaan sekitar 2018 hingga 2020.

    Menurut Muhammad Hassanuddin, prosedur untuk waran tangkap masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

    ”Kami masih berkomunikasi dengan pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mahkamah Tinggi Shah Alam serta balai-balai berkenaan.

    “Waran tangkap juga telah diserahkan kepada balai-balai berkenaan iaitu di Kuala Lumpur dan di Selangor,” katanya.

    Tambahnya, syarikat Fame Up juga mendapati Norjuma banyak mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan-tindakan yang diambil oleh syarikat itu adalah palsu.

    ”Kami percaya berdasarkan perintah yang dikeluarkan, tindakan yang diambil oleh syarikat Fame Up adalah betul dan ia masih berjalan di mahkamah.

    ”Kami harap Norjuma berhenti keluarkan kenyataan yang tidak betul lebih-lebih lagi melibatkan prosiding mahkamah,” katanya.

  • Mahkamah benar pelepasan pasport Rosmah lawat anak dan cucu di Singapura

    Mahkamah benar pelepasan pasport Rosmah lawat anak dan cucu di Singapura

    MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini membenarkan pelepasan sementara pasport Datin Seri Rosmah Mansor bagi membolehkannya ke Singapura untuk bertemu anak perempuan dan cucunya yang tidak sihat.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, panel tiga hakim dipengerusikan oleh hakim Kamaludin Md Said mengeluarkan perintah itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Rosmah, Jagjit Singh.

    Timbalan pendakwa raya Poh Yih Tinn tidak membantah permohonan itu.

    Kamaludin berkata pasport itu akan dikeluarkan hari ini untuk Rosmah berada di Singapura antara 23 Mac dan 6 Mei.

    “Memandangkan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan, permohonan ini dibenarkan dengan sebulat suara,” kata Kamaludin yang bersidang bersama hakim Hadhariah Syed Ismail dan Azman Abdullah.

    Rosmah diarahkan menyerahkan kembali pasportnya kepada mahkamah, sebelum atau pada 10 Mei.

    Pada 1 Sept tahun lalu, Rosmah, 71, disabit bersalah meminta suapan RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya, Rizal Mansor, sebagai dorongan membantu syarikat itu mendapatkan projek tenaga solar RM1.25 bilion melibatkan sekolah pedalaman di Sarawak.

    Beliau juga didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi, menerusi Rizal, di Seri Perdana, Putrajaya, pada 20 Dis 2016, dan disabit menerima RM1.5 juta daripada Saidi, di Jalan Langgak Duta, pada 7 Sept 2017.

    Hakim perbicaraan, Zaini Mazlan menjatuhi hukuman penjara 10 tahun terhadap semua tiga pertuduhan, namun mengarahkan hukuman berjalan serentak.

    Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah akan menjalani hukuman 10 tahun lagi penjara sekiranya gagal membayar denda RM970 juta.

    Rosmah dibenar ikat jamin RM1 juta sementara menunggu rayuannya, dijadual pada 11 Julai.

    Dalam perkembangan berasingan, beliau sedang berdepan perbicaraan terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7.09 juta dan lima pendakwaan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Tarikh bicara dijadual, pada 12 Mei.

    Ini merupakan kali kedua Rosmah membuat permohonan bagi mendapatkan pasportnya. Permohonan pertama dibuat pada 15 Okt 2021, juga ketika mahu ke Singapura.

    Nooryana berkahwin dengan seorang warga Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev. Pasangan itu bersama dua anak lelaki mereka menetap di Singapura.

    Dalam usul difailkan pada 6 Mac, isteri kepada bekas perdana menteri, Najib Razak, berkata beliau perlu melakukan perjalanan ke Singapura kerana seorang daripada cucunya sakit.

  • Dua lelaki didakwa jual gelaran ‘Datuk Seri’ RM600,000

    Dua lelaki didakwa jual gelaran ‘Datuk Seri’ RM600,000

    TINDAKAN dua lelaki warga tempatan disyaki menjual gelaran ‘Datuk Seri’ dari Istana Selangor Darul Ehsan dengan harga RM600,000 mengundang padah apabila dituduh di Mahkamah Shah Alam.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya ditipu dalam urusan mendapatkan pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan, Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’, Februari lalu.

    “Untuk meyakinkan mangsa, suspek telah memberikan sepucuk surat yang kononnya dikeluarkan oleh pihak istana bagi pengurniaan darjah tersebut dan mangsa yang terpedaya telah menyerahkan wang sebanyak RM140,000 secara berperingkat.

    “Bagaimanapun mangsa berasa telah ditipu oleh suspek apabila mendapati namanya tidak ada dalam senarai penerima darjah membuatkan dia tidak menjelaskan baki bayaran kepada suspek sebaliknya membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Astro AWANI.

    Mengulas lanjut, Hussien berkata, pihaknya melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan jenayah penipuan.

    Katanya, pihak Istana Negeri Selangor juga telah mengesahkan bahawa surat dikeluarkan suspek untuk diberikan kepada mangsa adalah palsu.

    Sehubungan itu, pada 15 Mac dan 17 Mac pihaknya telah membuat dua siri serbuan di Melaka dan Selangor yang membawa kepada penahanan dua suspek yang terlibat dalam kes tersebut.

    “Turut dirampas di dalam serbuan berkenaan adalah surat palsu dan beberapa telefon bimbit yang digunakan oleh kedua-dua suspek dalam aktiviti penipuan ini.

    “Polis ingin menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan tipu helah yang dilakukan oleh individu atau kumpulan individu dalam urusan pembelian darjah kebesaran.

    “Pihak polis telah mendapat pengesahan dengan pihak istana bahawa tidak sesekali wujud penjualan darjah kebesaran daripada pihak istana dan kegiatan jenayah ini juga mencemarkan nama baik dan imej istana Selangor Darul Ehsan.

  • 2 pejalan kaki maut, 2 parah dirempuh kereta terbabas di Jalan Raja Laut

    2 pejalan kaki maut, 2 parah dirempuh kereta terbabas di Jalan Raja Laut

    DUA daripada empat pejalan kaki maut selepas dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan di Jalan Raja Laut, di ibu negara awal pagi semalam.

    Dalam kejadian pukul 3 pagi itu dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi melanggar Proton Wira yang mengubah haluan sebelum hilang kawalan.

    MenurutnKetua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, kemalangan itu membabitkan empat kenderaan dan empat pejalan kaki.

    “Siasatan awal mendapati, Perodua Myvi terbabit hilang kawalan sebelum melanggar empat pejalan kaki menyebabkan dua daripadanya maut.

    “Seorang mangsa berusia 22 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi pejalan kaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Noor Dellhan berkata, dua mangsa pejalan kaki yang lain cedera parah dan masih dirawat di hospital.

    “Pemandu Proton Wira berusia 22 tahun dan pemandu Perodua Myvi berusia 20 tahun tidak mengalami kecederaan dan sedang direman selama 4 hari untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu merbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03- 20260267/69 atau mana- mana balai polis berampiran.

  • Jalan sesak, sistem tol lama antara punca rakyat hadapi ‘gangguan mental’

    Jalan sesak, sistem tol lama antara punca rakyat hadapi ‘gangguan mental’

    SEORANG Ahli Parlimen menggesa kerajaan menggunakan sistem lebih maju bagi pembayaran tol kerana kaedah sedia ada terlalu lama menyebabkan kesesakan di lebuh raya.

    Pada sidang Dewan Rakyat, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkata, kesesakan jalan raya yang antaranya berpunca daripada sistem tol tidak moden menyebabkan “gangguan mental” kepada rakyat.

    “Soal masalah kesesakan ini sangat penting sekarang, tahap tekanan pengguna jalan raya semakin tinggi bukan sebab apa, sebab jalan sesak, bukan Kuala Lumpur saja. Antara faktornya adalah disebabkan tol.

    “Saya nak tanya, sudah berapa tahun kita bagi tol kepada syarikat konsesi? Takkan konsep kutipan tol masih sama, pakai palang yang sudah tua itu sekejap naik, sekejap turun?

    “Kenapa tak guna ‘sensor’? Saya setuju dengan negara maju, kita pakai ‘sensor’, kereta lalu dan rekod, kita ada RFID, Touch ‘n Go, SmartTAG dan sebagainya.

    “Saya nak tanya, berapa lama kita bagi kepada syarikat konsesi tapi tak ada kemajuan? Itu jadi gangguan mental kepada rakyat Malaysia. Ini fakta, tol naik, tapi pergi sampai tol RFID sangkut, bila sangkut saja kenderaan kena undur, sangkut undur, nak pergi lorong lain tak boleh,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat.

    Jalaluddin mencadangkan kerajaan tidak lagi menggunakan sistem palang, sebaliknya menaik taraf sistem tol dengan mempelbagaikan penggunaan teknologi dalam satu lorong.

    “Kenapa tak guna pemikiran satu lorong semua boleh masuk, sama ada SmartTAG, RFID dan sebagainya dan sistem palang yang sudah tua itu dikeluarkan,” katanya sambil menyarankan penubuhan jawatankuasa kesesakan jalan raya.

    Ini kerana katanya, kesesakan jalan raya yang berterusan akan menyebabkan rakyat mengalami tekanan, gangguan mental dan akhirnya merugikan rakyat.