Author: Wartawan WartaRakyat

  • Syamsul fail permohonan nusyuz, dakwa Puteri Sarah ‘curang’

    Syamsul fail permohonan nusyuz, dakwa Puteri Sarah ‘curang’

    PELAKON dan pengarah, Syamsul Yusof mendakwa isterinya, Puteri Sarah Liyana curang dengan lelaki lain yang juga bekas kekasihnya.

    Kenyataan itu dibuat Syamsul yang memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, petang tadi.

    Memetik laporan Berita Harian, Syamsul diwakili peguam syarie, Azmi Mohd Rais memfailkan permohonan nusyuz, pukul 3.10 petang.

    Bercakap kepada media, Syamsul memberitahu dia memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah bukan sebab mahu membalas dendam, sebaliknya menyelamatkan rumah tangga.

    “Sebagai suami, saya juga memendam rasa. Saya tak mahu cakap benda ini sebab saya pun malu.

    “Tak mengapalah, biar saya dan peguam sahaja tahu. Saya tahu Puteri Sarah berhubung dengan bekas kekasihnya.

    “Dia bukan pelakon, orang biasa ketika belajar di kolej. Jadi, saya tidak mahu orang salah faham.

    “Siapa boleh terima bila mengetahui isteri menjalinkan hubungan dengan suami orang. Dan benda ini timbul bukannya sebab saya mahu ‘membantai’ Puteri Sarah, tetapi selagi saya diam, lagi teruk,” katanya.

    Mengulas lanjut Syamsul memberitahu, dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengambil tindakan, namun terpaksa berbuat demikian selepas dakwaan dibuat Puteri Sarah.

    “Selama ini, saya banyak berdiam dengan apa yang berlaku dalam rumah tangga. Iyalah, tak elok nak berkongsi semua benda dalam kain kepada umum.

    “Orang tahu saya diam walaupun apapun Puteri Sarah muat naik dalam laman sosial Instagram (IG). Saya tak mahu berkongsi soal rumah tangga, namun sekarang baru saya faham kenapa orang cakap jangan masuk campur urusan rumah tangga orang.

    “Pasal saya dan Puteri Sarah orang tak tahu apa yang berlaku. Mungkin hanya mendengar sebelah pihak terus menghakimi, saya pun tak nak melatah.

    “Saya berdiam sebab fikir Puteri Sarah ibu kepada dua cahaya mata saya. Tetapi, saya terkejut Puteri Sarah menuduh saya memukulnya.

    “Saya tahu Puteri Sarah marah dan membenci saya. Kalau buka mulut macam saya buka aib Puteri Sarah pula,” katanya.

    Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu berkata, ibu bapanya juga tidak mengetahui hal sebenar.

    “Ibu bapa turut menghentam saya, jadi sudah tiba masanya, saya bukan mahu membalas atau melawan Puteri Sarah,” katanya.

    Sementara itu, Peguam Syamsul, Azmi berkata, Puteri Sarah terbabit dalam tuntutan nusyuz atas beberapa alasan dan tarikh sebutan kes ini adalah pada 6 April depan.

    “Hari ini, Syamsul memfailkan kes tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah. Kami berusaha mendapatkan kebenaran menyerahkan saman memandangkan dia tinggal di Wilayah Persekutuan.

    “Jadi, kami akan serahkan saman ini kepada Puteri Sarah dalam masa terdekat ini. Tarikh seterusnya, 6 April depan.

    “Nusyuz adalah isteri tidak taat dan derhaka, jadi Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz kerana beberapa alasan dinyatakan dalam tuntutan.

    “Antaranya, Puteri Sarah meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, masih menghubungi bekas kekasih, enggan mematuhi notis nusyuz dan sudah membuat fitnah terhadap Syamsul seperti memukul dan tidak memberi nafkah,” katanya.

    Terdahulu, Syamsul hadir berseorangan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pukul 3.05 petang, semalam.

  • ‘Cuma ingat mereka disiasat atas kesalahan persetubuhan luar nikah’ – Puteri Sarah

    ‘Cuma ingat mereka disiasat atas kesalahan persetubuhan luar nikah’ – Puteri Sarah

    ISTERI pertama kepada pengarah sensasi, Syamsul Yusof iaitu Puteri Sarah Liyana mempersoalkan tindakan suaminya yang baru tampil memfailkan permohonan nusyuz selepas empat tahun berdepan kemelut rumah tangga.

    Beliau tidak gentar dengan permohonan yang dibuat Syamsul kerana percaya dirinya berada di pihak benar.

    Pueri Sarah turut mempersoalkan mengapa baru sekarang memfailkan nusyuz sedangkan masalah itu sudah berlaku sejak empat tahun lalu.

    “Apa yang dia mahukan lagi?

    “Buatlah apapun kerana saya tidak takut. Saya yakin saya di pihak yang benar. Cuma saya ingin ingatkan yang mereka sekarang ini sedang dalam siasatan di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah di bawah seksyen 23 iaitu persetubuhan luar nikah.

    “Isterinya (Ira Kazar) pun sudah dipanggil untuk beri keterangan dan saya sedang menunggu tindakan lanjut dari mahkamah.

    “Saya bersyukur kerana ibu mentua sentiasa berada di belakang saya dan dia sedia untuk menjadi saksi dan pencelah terhadap kes membabitkan saya dengan isteri kedua Syamsul dan ahli keluarganya yang sedang berjalan di mahkamah sekarang,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Puteri Sarah menganggap istilah nusyuz selayaknya diberikan kepada Syamsul kerana mengabaikannya selama ini.

    “Jadi siapa yang nusyuz? Insya Allah segala kebenaran akan terbongkar. Tunggu dan lihat.

    “Doakan semoga urusan saya dipermudahkan dan keadilan berpihak kepada mereka yang berhak dan benar,” katanya.

    Terdahulu Syamsul memfailkan permohonan nusyuz terhadap isteri pertamanya Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, hari ini.

    Antara alasan yang dikemukakan Syamsul adalah mendakwa Puteri Sarah berlaku curang dengan bekas kekasihnya yang juga suami orang, meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.

    Untuk rekod Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

  • Polis buru wanita curi barang jemaah dalam Masjid Taman Temerloh Jaya

    Polis buru wanita curi barang jemaah dalam Masjid Taman Temerloh Jaya

    POLIS kini memburu seorang wanita yang bertindak mencuri barangan milik jemaah wanita di Masjid Taman Temerloh Jaya pada malam Sabtu.

    Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff berkata, pihaknya menerima dua laporan mengenai kejadian pada petang kelmarin.

    Beliau berkata, dalam kejadian pukul 8.48 malam, suspek dipercayai seorang wanita Melayu berusia 40-an dilihat mencuri barang peribadi milik jemaah wanita bernilai RM3,500.

    “Siasatan mendapati suspek menaiki kereta Proton Wira biru atau kelabu dan kertas siasatan kini dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, suspek kini giat dikesan dan sebarang maklumat mengenai kejadian boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Sarja Md Tarmizan Mohamed di talian 013-3418771 atau kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di talian 09-2716222.

  • Mahkamah tolak permohonan Jamal gantung penghakiman saman fitnah Teressa Kok

    Mahkamah tolak permohonan Jamal gantung penghakiman saman fitnah Teressa Kok

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk menggantung perlaksanaan penghakiman yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada bekas Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Kim berhubung dakwaan menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) pada tahun lepas.

    Peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Kok berkata Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Mohd Arief Emran Arifin menolak permohonan Jamal selaku defendan dengan kos RM3,000 yang perlu dibayar kepada Kok iaitu plaintif.

    “Mahkamah menolak permohonan (Jamal) untuk menggantung perlaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi itu dengan alasan tidak wujud apa-apa keadaan istimewa untuk penggantungan,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas prosiding secara dalam talian hari ini.

    Sementara itu, peguam Rejinder Singh yang mewakili Jamal ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan pihaknya akan merayu terhadap keputusan berkenaan.

    Pada 26 Julai 2022, Kok berjaya memperoleh ganti rugi RM300,000 selepas memenangi kes saman fitnah terhadap Jamal atas dakwaan menyalahgunakan dana Yawas selepas Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan saman Kok selaku plaintif terhadap defendan iaitu Jamal, yang difailkan pada 6 April 2017.

    Dalam keputusan itu, JC Mohd Arief turut mengarahkan defendan (Jamal) membayar kos RM50,000 kepada plaintif.

    Ahli Parlimen Seputeh itu yang memfailkan saman tersebut pada 6 April 2017, mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas ketika mengadakan sidang media pada 8 Mac 2017.

    Dalam penyataan tuntutan, Kok mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

    Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

    Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan.

  • Dua lelaki maut pacuan empat roda rempuh pokok

    Dua lelaki maut pacuan empat roda rempuh pokok

    SANDAKAN – Dua lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok dalam kemalangan di Jalan Batu 5 Sandakan pukul 1.15 pagi.

    Raynerd Noell Tan, 22, yang merupakan pemandu kenderaan terbabit disahkan maut di lokasi manakala penumpang yang juga berusia 22 tahun meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan.

    Ketua Polis Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kemalangan itu melibatkan kenderaan jenis Toyota Hilux yang terbabas sendiri.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati sebelum kemalangan berlaku kenderaan terbabit dari Batu 4 menghala ke Taman Mawar.

    “Sebaik tiba di lokasi, kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke tengah pembahagi jalan dan merempuh pokok.

    “Akibat kejadian itu kedua-dua pemandu dan penumpang maut akibat kecederaan parah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, pemandu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di HDOK.

    Tambah beliau, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Hina Islam, Nabi: Pengikut ajaran sesat Si Hulk diburu

    Hina Islam, Nabi: Pengikut ajaran sesat Si Hulk diburu

    KUMPULAN ajaran sesat Si Hulk yang menyebarkan video tular menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW sedang giat dikesan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, JAINJ sudah menerima laporan berhubung penularan video berkenaan di TikTok sejak Isnin.

    Katanya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada Julai 2021, memutuskan fahaman serta ajaran Si Hulk yang diasaskan Suhaini Mohammad adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

    “Di dalam video yang tular itu, dengar seperti mereka sebut Syiah tetapi ia adalah Si Hulk. Penyebaran video tular mengenai ajaran Si Hulk ini memberi gambaran ajaran sesat ini masih ada pengikut setia walaupun sudah diharamkan dua tahun lalu.

    “Kerajaan negeri memberi amaran keras kepada pelaku di dalam video terbabit dan mana-mana pihak agar menghentikan penyebaran ajaran sesat ini. Jika tidak, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

    Video tular berdurasi seminit 17 saat itu memaparkan empat lelaki mengaku menyokong ajaran Si Hulk dan menyebut beberapa ayat antaranya Nabi Muhammad SAW adalah tuhan.

    Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, sekurang-kurangnya 21 ajaran sesat dikesan di Johor dan telah diletakkan dalam senarai fatwa dan warta berkaitan akidah di negeri ini.

    Antaranya ajaran sesat yang disenaraikan ialah ajaran Ismail Arifin@lepat, fahaman Hizbut Tahrir, ajaran Azman Samat, ajaran Millah Abraham dan kumpulan Layar Bahtera.

    “Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah diharamkan dan dilarang berpegang dengan fahaman dan ajaran sesat itu.

    “Justeru, fahaman dan ajaran sesat hendaklah disekat dengan apa cara sekali pun daripada disebarkan di Johor dan mana-mana orang Islam yang terbabit dengan ajaran ini hendaklah bertaubat,” katanya.

    ajaran sesat, Si Hulk, TikTok, Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

  • Wujud keraguan pemilihan, UMNO Puchong buat bantahan isu bekalan elektrik terputus

    Wujud keraguan pemilihan, UMNO Puchong buat bantahan isu bekalan elektrik terputus

    AHLI UMNO Bahagian Puchong membuat bantahan rasmi selepas proses pemilihan jawatan kuasa UMNO dibimbangi wujud unsur sabotaj selepas bekalan elektrik terputus ketika proses pengiraan undi.

    Ketua Cawangan UMNO Kampung Sri Puchong, Azmi Ja’afar berkata, kejadian yang berlaku pada proses pemilihan undi Sabtu lalu itu menyebabkan timbul keraguan dalam kalangan ahli berhubung keputusan yang dibuat.

    “Bekalan elektrik terputus dan suasana bergelap berlaku dalam tempoh kira-kira dua minit sekitar jam 1.37 tengah hari pada 18 Mac

    “Kita telah buat laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil pada 19 Mac, bagi memohon pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya supaya kejadian ini dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya pada sidang akhbar di Puchong, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pihaknya juga akan memfailkan aduan rasmi dan akan menghantar surat kepada jawatankuasa pemilihan parti.

    Beliau berharap parti akan mengambil tindakan sewajarnya dan berharap pemilihan semula dengan langkah lebih telus.

    Kejadian seumpama itu ujarnya, pernah berlaku sebelum ini dan ia adalah satu strategi untuk mereka menjalankan kerja yang tidak beretika.

    Pemilihan UMNO Bahagian Puchong telah menyaksikan kemenangan majoriti Datuk Dr. Mohamad Satim Diman dengan 152 undi, Azmir Yuzaimi Mohd. Yunos (110) dan Kamsani Kamaruddin (62).

  • PRN: PN guna logo Pas di Kelantan dan Terengganu, lambang PN di 4 negeri

    PRN: PN guna logo Pas di Kelantan dan Terengganu, lambang PN di 4 negeri

    MAJLIS Tertinggi Perikatan Nasional (MTPN) membuat ketetapan mengekalkan penggunaan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, logo Pas pula akan digunakan di Kelantan serta Terengganu sebagaimana berlaku semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu.

    “Majlis Tertinggi turut mengarahkan jentera pilihan raya di enam negeri tersebut agar memperkukuhkan persiapan dan kesiapsiagaan di tahap tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut Hamzah berkata, MTPN turut membuat tiga pelantikan baharu semasa mesyuarat semalam.

    Katanya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional.

    “Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional Negeri Sabah manakala Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan.

    “Turut diputuskan ialah pelantikan Tuan Mohamad Siddiq Mohd Azani dan Tuan Muhd Khidir Izaidin sebagai Penolong Setiausaha Eksekutif
    Perikatan Nasional,” tambahnya.

  • Pas mahu tinggalkan Bersatu berita palsu, kata Ahmad Samsuri

    Pas mahu tinggalkan Bersatu berita palsu, kata Ahmad Samsuri

    PAS menafikan dakwaan kononnya parti itu akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas beberapa pemimpinnya terpalit kes mahkamah.

    Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, desas desus tersebut merupakan berita palsu yang tidak berasas.

    Menteri Besar Terengganu itu menegaskan, ini kerana Pas masih setia bersama Bersatu serta Perikatan Nasional (PN).

    “Yang diviralkan itu berita palsu. Memang tidak ada (tinggalkan Bersatu). Sesetengah orang kata kalau tidak ada angin masakan pokok boleh bergoyang (tapi) memang tiada angin cuma ada orang pergi goncang pokok.

    “Saya tidak tahu siapa yang pergi goncang pokok,” katanya kepada media selepas hadir menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri Terengganu di Lembaga Muzium Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu, hari ini.

    Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani.

    Katanya, hubungan antara Pas dan Bersatu tiada sebarang masalah dan perjumpaan bersama kepimpinan parti turut diadakan sama seperti biasa.

    “Baru malam tadi saya bermesyuarat bersama kepimpinan PN termasuk pemimpin tertinggi Bersatu dan Pas. Tidak ada sebarang desas desus ke arah itu (tinggalkan Bersatu)…tiada,” katanya.

    Ditanya mengenai perbincangan diadakan malam Isnin, beliau berkata, ia lebih menjurus kepada beberapa perkara penting termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

    “(Agihan kerusi) belum lagi, kita sedang menyiapkan beberapa perkara termasuk asas-asas perundingan kerusi dan insya-ALLAH dalam masa terdekat kita akan duduk berbincang mengenai rundingan kerusi,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • PN tolak kemasukan Pejuang sebagai parti komponen

    PN tolak kemasukan Pejuang sebagai parti komponen

    MAJLIS Tertinggi Perikatan Nasional (PN) memutuskan menolak permohonan kemasukan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai anggota parti komponen gabungan politik itu.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu diputuskan semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Perikatan Nasional, semalam.

    “Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Perikatan Nasional semalam telah dipengerusikan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr. Dominic Lau dan semua wakil parti-parti anggota.

    “Majlis Tertinggi telah membuat keputusan menolak permohonan kemasukan parti Pejuang Tanahair ke Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pejuang pada 2 Mac lalu memohon untuk menjadi anggota parti komponen dalam PN.

    Menurut Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, surat permohonan itu telah dihantar kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan salinan kepada Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.

    Menurut Mukhriz, keputusan itu tidak dibuat berseorangan, sebaliknya mendapat persetujuan Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang dalam mesyuaratnya.

    “Keputusan ini telah disepakati MEP selepas meneliti dan menilai semua pilihan gabungan atau kerjasama politik yang ada.

    “Perjuangan PN adalah sesuai dengan mandat yang kami perolehi dari Perhimpunan Agung Pejuang kali ke-2 baru-baru ini,” katanya.