Author: Wartawan WartaRakyat

  • “Saya tidak halang Anwar buat demonstrasi setiap minggu”, kata Dr M

    “Saya tidak halang Anwar buat demonstrasi setiap minggu”, kata Dr M

    TUN Dr Mahathir Mohamad membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dakwanya tidak membenarkan orang Melayu membincangkan permasalahan yang mereka hadapi.

    Tegas Dr Mahathir, semasa beliau menjadi Perdana Menteri keempat, Anwar tidak pernah pula dihalang pula untuk mengadakan demonstrasi setiap minggu.

    “Tetapi sekarang sebagai Perdana Menteri, dia (Anwar) tidak benar langsung orang Melayu bincang masalah yang mereka hadapi.

    “Proklamasi yang ditulis tidak salahkan bangsa lain tentang nasib malang mereka. Ia menyalahkan pemimpin perasuah sahaja. Merekalah pemimpin yang salah guna kuasa, mencuri wang, tidak bantu Melayu selesaikan masalah kemiskinan,” katanya menerusi kenyatan hari ini.

    Dalam satu sidang media Ahad lalu, Dr Mahathir mendakwa perhimpunan Proklamasi Orang Melayu tidak dapat dianjurkan disebabkan campur tangan kerajaan.

    Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga Penasihat Sekretariat Proklamasi Orang Melayu mendakwa, kerajaan hari ini takut untuk mendengar suara orang Melayu.

    Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak memperincikan dakwaannya atau memberikan sebarang bukti wujudnya campur tangan kerajaan berkenaan perkara itu.

    Selain itu, bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu menegaskan, kerajaan hari ini seolah-olah mengiyakan kemiskinan dalam kalangan orang Melayu sekiranya tidak mencari penyelesaian kepada masalah dihadapi kaum itu.

    “Perbuatan berat sebelah terhadap Melayu adalah petunjuk sikap perkauman kerajaan dan ia adalah hasutan kerana bertentangan dengan perlembagaan negara kita.

    “Oleh itu, pemimpin kerajaanlah yang perlu didakwa atas hasutan,” kata Dr Mahathir lagi, lapor Astro AWANI.

  • Simpanan KWSP sokong pinjaman bank idea ‘dangkal’ – Bersatu

    Simpanan KWSP sokong pinjaman bank idea ‘dangkal’ – Bersatu

    CADANGAN kerajaan membenarkan pencarum KWSP menggunakan simpanan Akaun 2 mereka untuk menyokong permohonan pinjaman disifatkan Bersatu sebagai “dangkal”.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, ia membuktikan kerajaan tidak kompeten kerana tidak memikirkan kesan negatif bakal berlaku.

    “Jika ramai yang membuat pinjaman menggunakan Akaun 2 sebagai sandaran dan tidak mampu membayar pinjaman itu, dan bank hanya boleh mengambil tindakan hanya selepas simpanan KWSP itu matang untuk dikeluarkan.

    “Ia bakal menyebabkan krisis perbankan yang sangat kritikal,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

    Mengulas lanjut Razali berkata, rakyat yang berdepan masalah kewangan kini tidak mampu untuk membayar pertambahan hutang dan ramai yang mengadu Akaun 2 sudah digunakan untuk membayar pinjaman rumah.

    Menurut beliau, pembangkang bersedia untuk bersama kerajaan mencari “penyelesaian yang logik”.

    “Kita boleh turut menjemput individu dan NGO yang memperjuangkan pengeluaran KWSP bersasar ini untuk duduk bersama,” katanya.

    Semalam, Kementerian Kewangan menjelaskan simpanan KWSP boleh digunakan untuk menyokong permohonan pinjaman.

    Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan simpanan persaraan itu boleh digunakan sebagai cagaran pinjaman.

    Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, kerajaan sedang memuktamadkan inisiatif untuk membenarkan ahli KWSP menggunakan simpanan dalam Akaun 2 sebagai sandaran bagi mendapat pembiayaan institusi perbankan.

    Katanya, inisiatif itu tidak akan membebankan rakyat kerana kadar faedah (konvensional) atau kadar keuntungan (Islam) yang dikenakan bank yang terlibat dalam inisiatif ini dijangka antara 4% hingga 5%.

  • Arab Saudi, Qatar umum Ramadan bermula esok

    Arab Saudi, Qatar umum Ramadan bermula esok

    PIHAK berkuasa Arab Saudi dan Qatar mengumumkan Ramadan akan bermula esok berdasarkan jangkaan kemunculan anak bulan.

    Memetik laporan Saudi Press Agency, Mahkamah Agung Arab Saudi semalam mengumumkan Rabu sebagai hari terakhir bulan Syaban sekali gus menandakan bermulanya ibadah puasa, keesokan harinya.

    Lapor Al Jazeera, pihak berkuasa Palestin dan Mesir turut mengumumkan Ramadan akan bermula esok.

    Namun pihak berkuasa di Jordan, Algeria dan Morocco hanya akan mengumumkan tarikh permulaan puasa pada hari ini.

    Ramadan ditentukan oleh kalendar Islam yang bermula mengikut penglihatan anak bulan

  • Pas gesa DBKL pertimbang semula acara pembukaan bar tampil ‘Thai Hot Guy’

    Pas gesa DBKL pertimbang semula acara pembukaan bar tampil ‘Thai Hot Guy’

    PAS menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menimbang semula kebenaran penganjuran acara pembukaan rasmi sebuah bar yang menampilkan persembahan Thai Hot Guy, sebagai tarikan utamanya yang mempromosi budaya hedonistik, lucah dan seks bebas.

    Berikut adalah kenyataan penuh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung penganjuran acara tidak bermora itu:

    PAS amat kesal dan membantah keras penganjuran acara pembukaan rasmi sebuah bar bernama Privacy Club Tun Razak pada 30 Mac ini bertempat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur atas dasar ia adalah keterlaluan, tidak sensitif, tidak bermoral, malah menjijikkan.

    Menurut makluman mengenainya di akaun Facebook bar berkenaan, acara yang dijadualkan bermula jam 6 ptg dan terhad kepada 250 pengunjung itu akan menampilkan persembahan sekumpulan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian dalam wanita, dikenali sebagai Thai Hot Guy, sebagai tarikan utamanya.

    Jelas bahawa acara ini mempromosi budaya hedonistik, lucah dan seks bebas berdasarkan makluman dalam Bahasa Cina dengan terjemahan Inggeris itu yang turut disertakan dengan gambar-gambar aksi menjolok mata kumpulan berkenaan dengan pengunjung secara terbuka.

    PAS menggesa pihak berkuasa, terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menimbang semula kebenaran penganjuran acara berkenaan yang jelas sangat berlawanan dengan budaya tempatan dan tidak sensitif kepada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, apatah lagi diadakan pada Bulan Ramadhan.

    Selain itu, ia juga tidak mendukung cita-cita negara untuk mewujudkan masyarakat yang bermoral, berakhlak mulia, peka dan menyumbang kepada kesejahteraan bersama. Kebebasan individu atau ekonomi tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membenarkan atau melakukan perbuatan dan kecenderungan negatif seperti ini.

    Sewajarnya semua pihak mempunyai tanggungjawab sivik bagi memastikan masyarakat kita tidak terdedah kepada budaya yang merosakkan dan tidak membina seperti ini.

    Dalam pada itu PAS juga kesal apabila nama bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak dibenarkan untuk digunakan sebagai nama sebuah bar. Perbuatan itu sangat tidak sensitif mahupun bertanggungjawab, malah menghina nama baik pemimpin negara.

    Agensi pendaftaran syarikat juga perlulah lebih berhati-hati dalam hal ini dan tidak sewenangwenangnya membenarkan individu atau syarikat mendaftarkan nama perniagaan mereka tanpa mengambil kira faktor-faktor seperti kesesuaian dan kewajaran.

  • Najib masuk hospital akibat jangkitan paru-paru

    Najib masuk hospital akibat jangkitan paru-paru

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak beberapa hari lalu dipercayai selepas mengalami jangkitan pada paru-paru.

    Menurut laporan MalaysiaGazette, sumber mendedahkan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu pada mulanya dimasukkan ke hospital selepas mengidap influenza.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati beliau menghidapi jangkitan paru-paru selain perlu menjalani beberapa prosedur rawatan.

    “Yang tahu hanya keluarga terdekat namun saya tidak pasti bagaimana media boleh tahu tentang perkara ini. Kita harap semoga semuanya dipermudahkan untuk Datuk Seri,” katanya.

    Sumber berkenaan turut memaklumkan Najib menjalani prosedur rawatan di HKL sama seperti banduan lain yang tertakluk di bawah Akta Penjara 2000.

    Selain itu, sumber juga enggan mendedahkan dengan lebih terperinci tentang perkara itu namun difahamkan Najib kini sudah kembali ke penjara selepas menjalani rawatan susulan.

    Sebelum ini Najib pernah dimasukkan ke hospital kerana mengalami ulser kronik tahun lalu.

    Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

  • Pemuda Pas desak batalkan penganjuran Thai Hot Guy

    Pemuda Pas desak batalkan penganjuran Thai Hot Guy

    KETUA Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari membantah dan mendesak agar penganjuran program ‘Thai Hot Guy’ pada 30 Mac depan dibatalkan.

    “Tiada keperluan program seperti ini diberikan kebenaran untuk beroperasi ditambah pula pada bulan Ramadan yang mulia,” katanya menerusi Facebook miliknya, hari ini.

    Ahmad Fadhli turut mengajak orang ramai untuk sama-sama menyuarakan bantahan agar program itu tidak diadakan pada bulan suci Ramadan.

    “Tolonglah, hentikan. Suarakan bantahan beramai-ramai,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Semalam, sebuah akaun Facebook bernama KL NOW memuat naik hantaran mengenai program Thai Hot Guy yang difahamkan merupakan sebuah acara pertunjukan lelaki macho di sebuah bar di Kuala Lumpur pada 30 Mac ini.

  • Zuraida tak tanding PRN, fokus MN, sokong PN

    Zuraida tak tanding PRN, fokus MN, sokong PN

    BEKAS Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin tidak berhasrat bertanding dalam mana-mana pilihan raya negeri akan datang.

    Sebaliknya bekas Meneri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu akan menyokong calon Perikatan Nasional (PN).

    “Dari segi bertanding, saya tidak lagi memainkan peranan penting,” katanya kepada FMT apabila ditanya sama ada beliau bercadang bertanding dalam PRN sebagai calon bebas atau atas tiket parti lain.

    Zuraida berkata demikian selepas menghadiri majlis Hari Wanita Antarabangsa anjuran Institut Wanita Berdaya di Klang.

    Katanya, buat masa ini, tumpuannya untuk membantu Muafakat Nasional (MN) yang disertainya Disember lalu bagi mendapatkan dana.

    Zuraida dipecat Parti Bangsa Malaysia (PBM), bersama 10 individu lain Disember lalu, selepas gagal menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan parti itu.

    Bekas ahli Parlimen tiga penggal itu bertanding sebagai calon PBM pada Pilihan Raya Umum ke-15 dalam usaha mempertahankan kerusinya, tetapi tewas kepada Rodziah Ismail dari Pakatan Harapan (PH) dalam pertembungan sembilan penjuru.

    Zuraida kemudiannya menyertai MN, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Annuar Musa dan dilantik sebagai timbalan presidennya Januari lalu.

    Awal bulan ini, Zuraida dilaporkan berkata, beliau akan menyokong PN dalam enam pilihan raya negeri (PRN) yang mungkin diadakan pertengahan tahun ini susulan kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan.

  • Wanita terperangkap, rumah dihempap pokok tumbang

    Wanita terperangkap, rumah dihempap pokok tumbang

    SEORANG wanita berdepan detik cemas selepas terperangkap dalam rumahnya yang dihempap empat batang pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat dan ribut petir di Taman Desa Riang, Damansara Damai di Petaling Jaya pukul 9.45 malam tadi.

    Menceritakan detik cemas tersebut, suami mangsa, Rezal Ibrahim, 49, berkata, isterinya tidak dapat keluar selepas bahagian depan dan belakang rumah rosak dan terhalang oleh pokok berkenaan.

    Menurutnya, dia ketika itu berada di luar dan selepas mendapat tahu kejadian tersebut terpaksa berjalan kaki sejauh 700 meter untuk pulang ke rumah selepas jalan utama turut terhalang susulan kejadian sama.

    “Saya selaku pengerusi surau ketika itu sedang bermesyuarat bagi persiapan Ramadan.

    “Sebaik dihubungi isteri, saya terus pulang ke rumah, namun lebih kurang lima batang pokok tumbang di jalan utama Jalan Sutera ke Desariang 10/5 menyebabkan kenderaan tidak boleh dilalui.

    “Saya ambil keputusan untuk jalan kaki pulang ke rumah bagi melihat keadaan isteri,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Rezal memberitahu mengalami kerugian lebih RM5,000 susulan kejadian tersebut, namun bersyukur isterinya terselamat.

    Ujarnya, kejadian berlaku sekitar jam 9.45 malam, namun agensi penyelamat lewat tiba disebabkan banyak lokasi terjejas susulan kejadian tersebut.

    “Sementara menunggu pasukan penyelemat tiba, kami penduduk melakukan kerja pembersihan bermula jam 10.30 malam hingga lewat pagi.

    “Kerja pembersihan masih lagi dijalankan ketika ini,” katanya.

    Seorang lagi penduduk, Norzela Yaakub, 60, berkata, walaupun ribut petir dan hujan lebat berlaku kurang 30 minit, namun situasi tersebut sudah cukup mencemaskannya yang ketika kejadian berada di rumah bersama suami.

    “Bunyi bising dan berlaku litar pintas sampai saya tidak sedar bahagian tempat letak kereta rumah telah dihempap pokok.

    “Ada penduduk beritahu ternampak puting beliung yang menyebabkan banyak pokok tumbang, namun saya tidak pasti kerana berada dalam rumah,” katanya.

    Norzela mengakui trauma dengan kejadian pertama kali berlaku di kawasan perumahan itu, namun bersyukur tiada penduduk terlibat dalam kejadian tersebut.

    Dalam masa sama, Norzela turut berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membuat pemantauan dan melakukan penebangan pokok berisiko dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

    Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat memberitahu, tujuh rumah dan enam kenderaan rosak akibat dihempap 15 pokok tumbang di Taman Desa Riang, Damansara Damai.

    Seramai 29 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara, BBP Sungai Buloh, BBP Kota Anggerik dan BBP Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.

  • Program ziarah gereja: Polis rekod keterangan 5 individu

    Program ziarah gereja: Polis rekod keterangan 5 individu

    SERAMAI lima individu dipanggil polis untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung program ‘Jom Ziarah Gereja’.

    Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, ketika ini kertas siasatan sudah di peringkat akhir penelitian sebelum diserahkan kepada pejabat Pendakwa Raya.

    “Setakat ini, kita telah memanggil lima individu termasuk Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Badrul Hisham Shaharin (Chegubard),” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Mengulas mengenai dakwaan Chegubard berkaitan isu kaum terhadap pegawai polis yang mengambil keterangannya dan Hannah, Eng Lai berkata, siasatan polis adalah adil dan saksama tanpa mengira bangsa.

    “Mungkin secara kebetulan sahaja, penyiasatan polis adalah adil dan saksama tidak kira bangsa seseorang pegawai penyiasat dan pengadu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Kelmarin media melaporkan, polis membuka satu kertas siasatan berhubung penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata, walaupun program itu telah dibatalkan pada Sabtu, namun satu laporan polis telah diterima berhubung kes itu.

    Pada 14 Mac lalu, Hannah ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa, program ‘Jom Ziarah Gereja’ tidak melibatkan individu beragama Islam.

  • Ejen insurans liwat, rakam video porno remaja lelaki

    Ejen insurans liwat, rakam video porno remaja lelaki

    SEORANG ejen insurans dijatuhi hukuman penjara 33 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal serta merakam video pornografi terhadap seorang remaja lelaki, pada 2019.

    Hakim Mazdi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ahmad Jalaludeen Rahumathulla, 36, didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan berkenaan tanpa sebarang keraguan dengan menimbangkan keseluruhan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

    Menurut pertuduhan pertama dia didapati melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang pada ketika itu berusia 14 tahun dan belajar di sebuah sekolah menengah di Georgetown.

    Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga, Ahmad Jalaludeen sekali lagi didakwa melakukan amang seksual fizikal selain membuat rakaman pornografi terhadap remaja lelaki terbabit.

    Semua perbuatan itu dilakukan di rumah tertuduh di Desa Mawar di Georgetown antara pukul 1 tengah hari dan 3 petang sekitar bulan Disember 2019, lapor Harian Metro.

    Bagi dua kesalahan melakukan amang seksual fizikal tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Bagi kesalahan melakukan rakaman pornografi tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan minimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun, serta 14 sebatan untuk pertuduhan pertama dan kedua dengan tambahan hukuman penjara 15 tahun serta 10 sebatan bagi pertuduhan ketiga.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aimy Zainul Anwar manakala tertuduh diwakili peguam, V. Parthipan.

    Prosiding hari ini turut dihadiri Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim yang memohon tiada penangguhan hukuman terhadap tertuduh.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman berkuat kuasa hari ini dan tidak membenarkan penangguhan hukuman yang dijatuhkan kepadanya.

    Tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia empat bulan mengemukakan tiga saksi manakala pihak pandakwaan menampilkan tujuh saksi sepanjang kes berjalan sejak 2020.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh pada mulanya menyamar sebagai wanita berkenalan dengan remaja itu melalui platform media sosial dan memancing mangsa supaya berkongsi gambar bogel miliknya sebelum mengugut remaja itu untuk menyebarkan foto berkenaan.

    Kemudian, tertuduh menyamar sebagai individu lain yang kononnya berpura-pura mahu membantu mangsa menyelesaikan isu itu sebelum membawa remaja itu pulang ke rumahnya.

    Dalam pertemuan itu, tertuduh melakukan amang seksual, meliwat dan melakukan perbuatan onani terhadap mangsa selain merakam aksi jijik berkenaan dan menyebarkannya kepada rakan mangsa dalam media sosial.

    Kejadian itu terbongkar selepas rakan sekolah mangsa melihat video aksi tersebut yang hanya memaparkan wajah mangsa sebelum mamaklumkannya kepada pihak sekolah.