Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pembantu tadbir dipenjara 13 bulan, guna wang khairat kematian peneroka

    Pembantu tadbir dipenjara 13 bulan, guna wang khairat kematian peneroka

    SEORANG pembantu tadbir terpaksa menyambut hari pertama Ramadan di penjara selepas Mahkamah Sesyen Kuantan menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan terhadapnya, bermula hari ini.

    Mohd. Azlan Jainal, 36, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan menggunakan cek palsu RM64,734 dan kesalahan itu dilakukan antara Mac hingga April 2021.

    Hakim Datuk Ahmad Zamzani turut menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM68,500 untuk semua pertuduhan terbabit selain mengenakan hukuman penjara 29 bulan jika tertuduh gagal membayar semua denda berkenaan, lapor Harian Metro.

    Menurut fakta kes, tertuduh yang sebelum ini pernah bertugas di Felda Jengka 12 Melor, Maran, telah mengeluarkan 10 keping cek atas namanya sedangkan catatan pada kaki cek yang dibuat oleh tertuduh adalah nama peneroka yang telah meninggal dunia bagi tujuan bayaran khairat kematian.

    Pada masa sama, Pengurus dan Penyelia Felda terbabit turut mengesahkan mereka tidak pernah menandatangani semua cek berkenaan.

    Dalam prosiding rayuan, tertuduh merayu dikenakan hukuman ringan berikutan mempunyai lima tanggungan iaitu isteri dan empat anak, manakala isterinya tidak bekerja.

    Tertuduh juga memberitahu menggunakan wang berkenaan bukan untuk tujuan peribadi sebaliknya untuk membeli peralatan pejabat dan menjayakan program.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Rif’ah ‘Izzati Abdul meminta mahkamah mengambil kira kekerapan dan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh dalam menjatuhkan hukuman.

    Hakim kemudian menjatuhkan hukuman antara lapan bulan hingga 13 bulan penjara yang berjalan serentak selain mengenakan denda antara RM5,000 hingga RM7,500 bagi setiap 10 pertuduhan berkenaan.

  • Dr. Zakir Naik mungkin dihantar pulang ke India

    Dr. Zakir Naik mungkin dihantar pulang ke India

    PENCERAMAH bebas, Dr. Zakir Naik berkemungkinan akan dihantar pulang dari Oman ke India.

    Portal Telegraph India melaporkan, agensi perisikan India berhubung dengan pihak berkuasa Oman untuk menahan Zakir Naik semasa lawatannya ke Oman yang dijadualkan pada hari ini (23 Mac), kata laporan itu.

    Zakir Naik, seorang pendakwah Islam berasal dari India menetap di Malaysia sejak 2017.

    Kerajaan Oman, baru-baru ini, menjemput Zakir Naik untuk menyampaikan dua kuliah agama di ibu kota Muscat, pada 23 Mac dan 25 Mac, sempena Ramadan.

    Menurut laporan itu, Kedutaan India di Oman berhubung dengan agensi kerajaan negara itu untuk menahan Zakir Naik dan menghantarnya pulang ke India.

    India berkemungkinan menghantar pasukan undang-undang untuk tindakan susulan selepas penahanan Zakir Naik, kata laporan itu, sambil menambah bahawa perkara itu sudah dibawa kepada perhatian Duta Oman oleh Menteri Luar India.

    Zakir Naik , 57, melarikan diri dari India pada 2016 selepas organisasinya Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) diharamkan di negara itu.

    Media sebelum ini melaporkan Zakir Naik dituduh dengan pengubahan wang haram oleh pendakwa raya di India.

    Selain pengubahan wang haram, pihak berkuasa India juga menuduhnya menyebarkan ucapan berbaur kebencian dan menghasut keganasan.

    Pada 2019, beliau dilarang menyampaikan syarahan di Malaysia.

    Selain India, rangkaian TV Peacenya juga diharamkan di Bangladesh, Kanada, Sri Lanka, dan United Kingdom.

  • Pemandu treler gilis murid sekolah dipukul orang awam

    Pemandu treler gilis murid sekolah dipukul orang awam

    POLIS mengesahkan menerima satu laporan daripada seorang pemandu treler yang dipukul oleh orang awam semasa kejadian kemalangan maut babit kenderaan itu dengan sebuah motosikal di Kampung Telok Gong, di Klang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pemandu berusia 36 tahun itu, cedera di pipi kanan dan telah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) sebagai pesakit luar.

    “Pemandu telah buat laporan di Balai Polis Pandamaran, di Klang petang semalam berhubung kes dia dipukul oleh individu yang belum dikenal pasti.

    “Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pelaku terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menrutnya, punca kejadian dipercayai motosikal ditunggangi wanita berusia 54 tahun dan dua kanak-kanak itu hilang kawalan ketika melalui permukaan berpasir.

    “Semasa kejadian, treler dari arah Klang menghala ke Telok Gong, apabila sampai di persimpangan Jalan Bawal, sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang wanita bersama dua pelajar sekolah iaitu pelajar perempuan (sembilan tahun) dan pelajar lelaki (tujuh tahun) keluar dari simpang menghala ke arah sama dengan treler berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata, penunggang motosikal tidak dapat mengawal motosikal kerana bahu jalan berpasir menyebabkan motosikal dan penunggang serta pembonceng terjatuh di atas jalan raya.

    “Mangsa merupakan seorang pelajar perempuan digilis oleh roda tayar belakang treler, meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

    Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil untuk menyalurkannya ke balai polis berdekatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd. Yunus Abd. Rahim di talian 011-25300305 atau Balai Polis Trafik Klang Selatan melalui talian 0333722222 bagi membantu siasatan.

  • Hakim cenderung jatuhkan hukuman ringan ketika berpuasa

    Hakim cenderung jatuhkan hukuman ringan ketika berpuasa

    SATU kajian yang diterbitkan awal minggu ini mendapati hakim-hakim beragama Islam lebih cenderung menjatuhkan hukuman lebih ringan ke atas pesalah semasa mereka sedang menjalani ibadah puasa.

    Dapatan itu bertentangan dengan kajian terdahulu yang menunjukkan bahawa hakim yang belum menjamah sebarang makanan cenderung untuk menjatuhkan hukuman lebih keras.

    Kajian ‘kesan hakim yang lapar’ pada 2011 mendapati hakim di Israel yang belum menikmati hidangan tengah hari lebih cenderung untuk menolak permohonan parol banduan berbanding selepas mereka kenyang.

    Sultan Mehmood dari Sekolah Ekonomi Baru Rusia yang juga penulis utama kajian baharu itu memberitahu AFP bahawa beliau menjalankan analisis tersebut bagi mengetahui sama ada kesan yang sama berlaku semasa bulan Ramadan, yang menyaksikan umat Islam tidak menyentuh sebarang makanan dan minuman dari subuh hingga matahari terbenam.

    Bagi mengetahui perbezaannya, Sultan bersama dua rakan penyelidik menyaring sejumlah besar data hukuman jenayah termasuk kira-kira setengah juta kes serta 10,000 hakim di India dan Pakistan sepanjang tempoh 50 tahun lalu.

    Menurutnya, dua negara itu menjadi pilihan kerana ia antara tiga negara teratas dengan populasi Muslim terbesar di dunia.

    “Ia amat mengejutkan kerana dapatan kami bertentangan dengan kajian ‘kesan hakim yang lapar’ yang diterbitkan pada 2011.

    “Terdapat peningkatan ketara secara statistik bahawa hakim beragama Islam lebih cenderung menjatuhkan hukuman lebih ringan, menggugurkan kes atau memberi pembebasan awal kepada pesalah semasa Ramadan.

    “Semakin lama hakim tidak makan dan minum, semakin itu jugalah mereka berlembut, tidak seperti hakim yang bukan beragama Islam,” katanya, menurut Sinar Harian yang memetik laporan AFP.

    Kajian diterbitkan dalam jurnal Nature Human itu turut mencadangkan bahawa perubahan dalam membuat keputusan dalam kalangan hakim Muslim semasa Ramadan ada kaitan dengan konsep pengampunan dan kemaafan dalam perspektif Islam.

  • Orang Islam di Johor boleh lawat rumah ibadat agama lain- Sultan Ibrahim

    Orang Islam di Johor boleh lawat rumah ibadat agama lain- Sultan Ibrahim

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, orang Islam di negeri itu boleh melawat rumah ibadat agama lain selagi mereka tidak terbabit dalam sebarang upacara dan sembahyang.

    “Ini adalah jelas dan saya percaya pada orang Islam kerana kepercayaan mereka kukuh dan tidak goyah. Saya tidak mahu terus memanjangkan isu ini. Tidak perlu lagi sebarang polemik isu ini,” titahnya dalam satu wawancara bersama The Star.

    Sultan Ibrahim bertitah, tiada sebarang isu mengenai keharmonian agama di negeri itu kerana semua rakyat menerima konsep Bangsa Johor yang mempromosikan kepelbagaian bangsa dan agama serta toleransi, perpaduan dan persefahaman.

    “Inilah yang dilakukan di Johor. Kami menghormati orang bukan Islam dan mereka juga menghormati orang Islam,” titahnya.

    Semalam, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, melawat rumah ibadat agama lain bukan satu masalah di negeri itu kerana kebanyakan penduduknya termasuk beliau sendiri belajar di sekolah mubaligh.

    Katanya, melawat gereja atau kuil tidak menyebabkan seseorang itu ‘kurang Islam’ dan juga tidak menyebabkan kepercayaan mereka berubah.

    Karim mengulas kecaman terhadap Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, ekoran pembabitan kementerian dalam program Jom Ziarah Gereja.

    Dalam perkembangan berasingan, Sultan Ibrahim bertitah, baginda dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bekerja dengan baik.

    “Saya boleh kata (hubungan kerja) lebih baik berbanding mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

    “Kami berbincang antara satu sama lain dan bertukar-tukar pendapat bagaimana kami boleh membangunkan negeri ini dengan lebih baik,” titahnya.

  • PKNS, Parkson diperintah teruskan pertikaian di Mahkamah Tinggi

    PKNS, Parkson diperintah teruskan pertikaian di Mahkamah Tinggi

    MAHKAMAH Rayuan telah membenarkan anak syarikat Parkson Retail Asia Ltd, Parkson Corporation Sdn. Bhd., untuk membatalkan saman yang dikemukakan oleh PKNS Andaman Development Sdn. Bhd. terhadapnya.

    Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat tersebut berkata rayuan yang dilakukan oleh PKNS Andaman Development terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Malaya pada 29 Januari 2021 boleh dibatalkan dengan kos RM10,000.

    Ini bermakna saman yang dikemukakan oleh PKNS Andaman terhadap Parkson Corporation berhubung dakwaan kegagalan syarikat tersebut membayar sewa ruang runcit di EVO Shopping Mall di Bangi pada Disember 2019, akan terus dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

    “Lembaga Pengarah ingin memberi makluman terkini bahawa pada 21 Mac 2023, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan PKNS terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Malaya pada 29 Januari 2021 yang membenarkan permohonan Parkson Corporation membatalkan saman itu, dengan kos RM10,000 (kira-kira S$2,985) dan telah memerintahkan supaya perkara itu diteruskan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi Malaya,” kata pengerusi eksekutif Parkson Retail Asia, Tan Sri William Cheng Heng Jem dalam kenyataan tersebut.

    Parkson Retail Asia disenaraikan di Singapore Exchange merupakan pengendali kedai berjenama Parkson di Malaysia dan Vietnam manakala Parkson Holdings Bhd tersenarai di Bursa Malaysia sebagai pemegang saham terbesarnya dengan lebih kurang 68% pegangan saham.

    PKNS Andaman dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Andaman Group, sebuah syarikat pembangunan hartanah.

    Pada 29 Disember 2019, Parkson Retail Asia mengumumkan di Singapore Exchange dan turut diterbitkan oleh Parkson di Bursa Malaysia bahawa PKNS Andaman, dalam pernyataan tuntutannya bertarikh 13 September dan disampaikan pada 23 Disember tahun yang sama, menuduh Parkson Corporation gagal membayar sewa sebagai diperuntukkan dalam perjanjian penyewaan bertarikh 2 Oktober 2017.

    Parkson Corporation berkata PKNS Andaman menuntut daripadanya RM3.66 juta dalam sewa bulanan terakru untuk tempoh dari 2 April 2018 hingga 2 Disember 2019 serta RM182,958 sebulan sehingga ruang runcit itu dipulangkan.

    Sebagai alternatif, Parkson Corporation juga boleh membayar PKNS Andaman RM3.84 juta, mewakili sewa terakru dari 27 Februari 2017 hingga 27 November 2019, termasuk RM182,958 sebulan sehingga ruang runcit dipulangkan.

    Selain itu, PKNS Andaman menuntut RM1.86 juta sebagai pampasan bagi sumbangannya kepada kos pengubahsuaian gedung serbaneka itu serta mahu ruang runcit itu kembali kepada keadaan asal dalam tempoh 14 hari dari penghakiman dan Parkson Corporation perlu membayar kos mahkamah dan perundangannya.

    Bagaimanapun, Parkson Corporation telah menolak dakwaan tersebut dengan mengatakan tiada sewa perlu dibayar kerana PKNS Andaman ‘gagal memenuhi syarat-syarat terdahulu seperti yang dinyatakan dalam perjanjian penyewaan untuk permulaan sewa dicetuskan’.

    Parkson Corporation juga berpandangan bahawa tindakan PKNS Andaman memundurkan tarikh permulaan penyewaan dalam notis permulaan ‘tanpa memenuhi syarat duluan’, adalah menyalahi undang-undang, lapor DagangNews.

  • Ibu hamil lima bulan maut tercampak tengah jalan

    Ibu hamil lima bulan maut tercampak tengah jalan

    SEORANG ibu yang hamil lima bulan maut dipercayai tercampak ke tengah jalan selepas motosikal yang ditungganginya terlanggar dua buah kereta di Bukit Bakar, Machang, pukul 7.13 malam tadi.

    Mangsa, Che Suriani Mahmod, 22, dikatakan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Machang.

    Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati, sebuah kereta yang dipandu seorang pengawal keselamatan dari arah Kuala Besut, Terengganu menghala ke Kuala krai melalui jalan Bukit Bakar.

    Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, motosikal jenis Yamaha Nouvo LC yang ditunggang oleh suri rumah terbabit datang dari arah bertentangan terus masuk kelaluan pengawal keselamatan yang berusia 31 tahun itu.

    “Lelaki tersebut kemudian telah mengelak ke sebelah kanan jalan lalu motosikal mangsa terlanggar bahagian sebelah sisi kiri keretanya.

    “Motosikal tersebut kemudian telah terlanggar sebuah lagi kereta jenis Proton Pesona yang berada di belakang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, akibat daripada pelanggaran itu, ibu mengandung terbabit telah tercampak ke tengah jalan.

    Mohd. Adli berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor Sinar Harian.

  • Kapal kargo hilang: Tiada masalah dedah laporan siasatan

    Kapal kargo hilang: Tiada masalah dedah laporan siasatan

    KEMENTERIAN Pengangkutan sedia mendedahkan secara terbuka laporan siasatan berhubung punca sebenar kehilangan kapal kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 9 Janauri lalu.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya memang ada berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia serta mengambil pendekatan serius dari segi laporan siasatan tersebut, malah ia juga telah pun disiapkan oleh Jabatan Laut.

    “Laporan ini masih kita teliti di peringkat kementerian dan kita akan mendapatkan ulasan daripada Jabatan Peguam Negara.

    “Tiada masalah untuk membuka laporan ini untuk perhatian atau dijadikan laporan terbuka kepada orang ramai,” katanya semasa menjawab pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai sejauh mana kerjasama kerajaan dengan pihak berkuasa dalam mengenal pasti punca kehilangan kapal kargo MV Dai Cat 06.

    Sementara itu, beliau turut menafikan ada unsur pengabaian mahupun soal kos perbelanjaan yang dipertimbangkan dalam operasi mencari kapal yang dilaporkan hilang berkenaan.

    “Memang pihak kita bersungguh-sungguh mencari. Saya rasa dan yakin kepada agensi kita bahawa tiada soal dari segi kos yang dipertimbangkan. Ini nyawa manusia, kita bukan lihat kepada kos tersebut,” katanya.

    Beliau menafikan kerajaaan mengabaikan operasi mencari dan menyelamat kapal tersebut, lapor FMT.

    “Memang saya telah mengarahkan pihak jabatan laut untuk terus melakukan pemantauan secara serius serta memastikan bahawa misi diteruskan bersama pihak berkuasa Indonesia,” katanya menjawab soalan tambahan Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) berhubung perbelanjaan operasi mencari kapal tersebut.

    pada 18 Jan lalu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan dan memanggil pemilik kapal, keluarga anak kapal termasuk ejen kapal berkenaan bagi menjawab beberapa soalan mengenai kehilangan kapal itu.

    Pada 9 Januari, kapal kargo didaftarkan di Malaysia itu yang membawa muatan batang paip bernilai RM726,205 berserta lima kru, dipercayai hilang di perairan Indonesia dan laporan berhubung kejadian itu dibuat ejen kapal berkenaan pada hari sama.

    Malah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal kargo itu selama tujuh hari ditamatkan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia pada 14 Jan, selepas semua usaha dilaksanakan tidak menemukan sebarang petunjuk.

    Zubil juga berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kapal terbabit ialah kapal pasir, namun membawa muatan batang paip pada hari berkenaan.

  • Hakim baharu dengar kes Rosmah ubah wang haram RM7 juta

    Hakim baharu dengar kes Rosmah ubah wang haram RM7 juta

    PERBICARAAN kes pengubahan wang haram RM7 juta dan gagal menyerahkan penyata pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan didengar oleh hakim baharu iaitu K. Muniandy.

    Ini susulan kenaikan pangkat Hakim Mohamed Zaini Mazlan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya.

    Peguam, Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu berkata, perkara itu disahkan ketika pengurusan kes berkenaan di hadapan Muniandy pada Khamis.

    Mahkamah sebelum ini menetapkan tarikh perbicaraan kes ini pada 12 Mei; 28,30 Jun; 6, 7, 28, 31 Julai; 1, 2, 11, 24, 25 Ogos dan 7, 8 September depan.

    Bagaimanapun, semasa prosiding, Geethan berkata, perbicaraan pada 27 Julai ini dilapangkan kerana pasukan pembelaan tidak berkelapangan.

    “Kami juga ingin memaklumkan, anak guam telah menarik balik permohonan untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram, memandangkan Timbalan Pendakwa Raya Kanan itu telah meninggal dunia pada akhir Januari lalu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn berkata, pendakwaan menjangkakan seramai 13 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

    Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

  • Jangan biar keluarga berlapar, tampil minta bantuan LZS

    Jangan biar keluarga berlapar, tampil minta bantuan LZS

    MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) menyeru umat Islam yang berada dalam kesusahan terutamanya memerlukan bantuan makanan tampil kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

    Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, dalam keterujaan menyambut Ramadan, pastinya ada dalam kalangan rakyat di Selangor kesusahan dan memerlukan bantuan, tambahan pula dengan keadaan ekonomi tidak menentu.

    Justeru pihaknya menyeru mereka tampil terus memohon bantuan terutamanya melalui LZS sama ada terus ke Cawangan LZS yang berhampiran atau melalui penolong amil kariah masing-masing.

    “Ini kerana sudah pastinya tidak semua mereka yang memerlukan bantuan dapat ditemui oleh pihak LZS.

    “Tampillah kepada kami, pastinya jika menepati kelayakan, umat Islam yang diuji dengan kesusahan ini akan dibantu sewajarnya terutamanya di saat umat Islam menyambut Ramadan ini,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Pada masa sama, Abdul Aziz berharap umat Islam khususnya di Selangor menyambut Ramadan dengan penuh keberkatan dan menghidupkan Ramadan ini dengan amalan mulia.

    Selain itu beliau mengingatkan semua umat Islam supaya mengimarahkan masjid dengan sebaik mungkin.