Author: Wartawan WartaRakyat

  • Langkah henti pinjaman pelajar perubatan dipersoal – MMA

    Langkah henti pinjaman pelajar perubatan dipersoal – MMA

    KEPUTUSAN mengejut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghentikan penajaan pelajar di universiti tempatan yang berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan perlu dijelaskan.

    Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai menegaskan, langkah menghentikan pinjaman pengajian bukan cara yang tepat bagi kerajaan mengawal bilangan graduan dalam bidang itu.

    “Adakah langkah ini akan menjejaskan kepakaran yang diperlukan untuk sektor penjagaan kesihatan awam dalam masa terdekat dan jangka panjang?

    “Apakah dasar kerajaan mengenai perancangan sumber manusia untuk sektor penjagaan kesihatan awam?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    JPA dalam satu kenyataan pada 25 Mac memaklumkan, bidang perubatan, pergigian, farmasi dan pendidikan adalah antara kursus yang tidak lagi ditawarkan tajaan oleh jabatan tersebut pada tahun ini.

    Kata kenyataan itu, antara lain yang turut tidak ditaja adalah bidang yang memerlukan pelajar mengambil jenis-jenis lesen seperti lesen penerbangan, lesen menyelam dan sebagainya, program-program berbentuk francais universiti awam atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan sebagainya.

    Menurut JPA, tajaan adalah hanya untuk pelajar yang melanjutkan pengajian ijazah pertama di universiti awam, politeknik premier dan universiti berkaitan kerajaan yang telah dipilih oleh jabatan untuk pinjaman boleh ubah.

    Mengulas lanjut Muruga berkata, MMA juga berharap agar JPA dapat berkongsikan unjuran pegawai perubatan, pakar, kakitangan penjagaan kesihatan yang akan diperlukan untuk lima dan 10 tahun akan datang.

    Beliau berkata, sehingga kini, negara masih belum mencapai nisbah seorang doktor untuk 400 pesakit yang disyorkan di fasiliti penjagaan kesihatan awam.

    Katanya, di sesetengah hospital, nisbah boleh menjadi sehingga satu doktor kepada 1000 pesakit dan masih juga terdapat kekurangan bagi pakar penjagaan kesihatan awam.

    “Perlu ada perancangan yang secukupnya untuk penjagaan kesihatan dengan mengambil kira keperluan dan pertumbuhan penduduk. Masa yang mencukupi juga diperlukan untuk melatih pekerja dalam sektor penjagaan kesihatan.

    “Kebimbangan kami adalah mungkin tiada pakar yang secukupnya pada masa hadapan kerana permintaan untuk perkhidmatan ini semakin meningkat dan dijangka terus meningkat berikutan populasi yang semakin tua.

    “Malaysia akan mencapai status negara menua pada 2030 di mana 15 peratus daripada penduduknya akan berumur 60 tahun atau lebih. Bagaimana kita bersedia untuk perubahan demografi dalam populasi kita?” soalnya lagi.

    Muruga menegaskan, pelajar universiti tempatan yang ingin meneruskan kerjaya dalam bidang perubatan masih memerlukan sokongan.

    “Oleh demikian, semua pihak harus terus menyokong mereka disebabkan tidak semua pelajar berasal dari keluarga yang berada,” katanya.

  • Lantikan politik lemahkan peluang parti kerajaan menang PRN

    Lantikan politik lemahkan peluang parti kerajaan menang PRN

    PELUANG parti-parti kerajaan untuk memenangi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi dilihat lemah berikutan isu lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    Menurut penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan hilang kelayakan moral untuk mendakwa mereka berlainan daripada kerajaan sebelumnya.

    Beliau berkata, dengan mengikuti amalan lapuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), pembatalan pelantikan politik sebelum ini akan dipandang sinis sebagai semata-mata untuk merampas imbuhan daripada yang kalah, bukannya untuk menjaga kepentingan awam.

    “Amalan sebegini sudah berlaku di zaman BN dan menjadi paling teruk semasa kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila hampir 90 peratus ahli Parlimen kerajaan yang bukan menteri diberikan jawatan lumayan.

    “Jadi, apabila amalan ini diteruskan, pandangan sinis terhadap kerajaan baharu meningkat, maka pengundi medan tengah yang pada asalnya mungkin cendorong menyokong Kerajaan Perpaduan mungkin malas mengundi.

    “Ia seterusnya melemahkan peluang kemenangan parti kerajaan dalam PRN akan datang,” katanya lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, Chin Huat berkata, pelantikan ahli politik untuk mengisi jawatan tinggi di badan berkanun dan GLC juga akan menimbulkan dua masalah utama.

    “Pertama, kalau ahli-ahli politik ini tidak berkeupayaan untuk memegang tanggungjawab, maka pelantikan ini bermaksud kepentingan awam dikorbankan untuk menyaji orang parti pemerintah. Ini kerana badan-badan berkanun dan GLC dinafikan peluang untuk mendapat bakat terbaik.

    “Kalau yang dilantik ialah wakil rakyat, sekalipun mereka berkeupayaan akan terjadi percanggahan kepentingan kerana mereka yang seharusnya menyelia pantau di Dewan Rakyat kini duduk dalam pihak yang patut diselia pantau,” jelasnya.

    Kerajaan dikritik hebat susulan beberapa siri pelantikan politik untuk mengetuai agensi kerajaan dan GLC dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

    Antara yang dilantik ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) sementara Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub kekal sebagai Pengerusi Felcra.

    Selain itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dilantik sebagai pengerusi cabang pelaburan milik Kementerian Kewangan iaitu MyCreative Ventures Sdn Bhd dan Datuk Husam Musa sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd.

    Terbaharu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad disebut-sebut bakal dilantik sebagai pengerusi Risda.

  • Kebimbangan kebebasan bersuara meningkat di bawah pentadbiran Anwar – Media Singapura

    Kebimbangan kebebasan bersuara meningkat di bawah pentadbiran Anwar – Media Singapura

    KEBIMBANGAN semakin meningkat dalam kalangan kumpulan masyarakat sivil di Malaysia berhubung isu kebebasan bersuara sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri empat bulan lalu.

    Walaupun menghabiskan beberapa dekad berkempen di platform reformasi, yang antara lain menjanjikan kebebasan awam yang lebih besar, beliau dan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya tidak berbuat banyak untuk mengubah undang-undang yang dianggap menindas yang telah lama digunakan oleh kerajaan terdahulu terhadap pengkritik mereka.

    Memetik laporan Straits Times (ST) Singapura, anggota parti gabungan Anwar sendiri sebelum ini telah ditangkap atau dipenjarakan di bawah undang-undang keselamatan Malaysia dan Akta Hasutan ketika mereka berada di pihak pembangkang.

    Insiden perhimpunan awam yang disiasat polis, siasatan berhubung kritikan dalam talian dan gesaan oleh ahli politik kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) untuk menggunakan undang-undang hasutan era kolonial semuanya berterusan di bawah pentadbiran Anwar sejak beliau berkuasa pada November 2022.

    Di tengah-tengah langkah itu adalah tindakan beliau sendiri terhadap pengkritik politik daripada pembangkang, Perikatan Nasional (PN).

    Saman fitnah dan laporan fitnah jenayah telah difailkan terhadap mereka, termasuk terhadap Pengerusi PN yang juga bekas Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Lawyers for Liberty (LFL), kumpulan peguam yang mendesak kebebasan sivil berkata, baru-baru ini, penggunaan polis untuk melindungi Anwar daripada kritikan adalah “melanggar undang-undang dan zalim”.

    “Adakah Anwar lupa bahawa semasa era Najib (Datuk Seri Najib Razak), PH pembangkang ketika itu berada di penghujung penyiasatan polis yang sama kerana kritikan terhadap Najib?

    “Adakah Anwar dan gabungan politiknya tidak belajar apa-apa daripada penganiayaan yang mereka hadapi ketika itu?” kata Pengarah LFL, Zaid Malek dalam satu kenyataan.

    Lapor Straits Times lagi, pihak berkuasa juga mengesan individu yang berada di sebalik kritikan dalam talian yang ditujukan kepada kerajaan, kerana mereka bercadang untuk mengukuhkan peruntukan kontroversi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia bagi mengawal selia media sosial.

    Individu yang menyertai perarakan Wanita pada awal Mac dan perhimpunan menyokong Muhyiddin selepas beliau ditahan sebentar di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, turut disiasat oleh pihak berkuasa

    Walaupun pemimpin kerajaan PH-BN mengulangi komitmen mereka terhadap kebebasan awam, tetapi telah memilih untuk mengutamakan cabaran ekonomi dan kestabilan politik sebagai agenda utama mereka.

    Ini sebahagiannya disebabkan oleh Anwar mengetuai kerajaan campuran, yang ahlinya termasuk bekas musuh BN yang dipimpin oleh UMNO. BN lah yang memperkenalkan dan menggunakan banyak peruntukan yang mengehadkan kebebasan awam.

    Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan Hak Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy bagaimanapun berkata, memberi tumpuan kepada isu ekonomi tidak bermakna perkara hak asasi manusia harus diketepikan.

    “Kami tidak menjangkakan perubahan dalam sekelip mata tetapi pada masa yang sama ia tidak harus ditangguhkan lagi,” katanya.

    Timbalan Pengarah Urusan Bower Group Asia, Asrul Hadi Abdullah Sani berkata walaupun kumpulan masyarakat sivil perlu belajar untuk lebih bersabar dengan Anwar, penggunaan undang-undang semasa yang menindas lawan politik masih menghantar mesej yang salah dan “mencemarkan agenda reformis pentadbiran” .

    Kerajaan Anwar menghadapi ujian penting terhadap prestasinya kerana ahli gabungannya yang kini disertai BN dan UMNO akan berdepan enam pilihan raya negeri (PRN) yang dijadualkan Julai depan, sebagai rakan kongsi, selepas bertahun-tahun menjadi musuh politik.

  • Muafakat Nasional belum mati lagi, cuma ‘pengsan’ – Tuan Ibrahim

    Muafakat Nasional belum mati lagi, cuma ‘pengsan’ – Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan parti itu dan UMNO masih bernyawa sungguhpun dalam keadaan “pengsan” ketika ini.

    Beliau berkata, walaupun dua parti itu dalam kerangka politik berbeza, mereka perlu bersama “menyatukan umat Islam”.

    Memetik wawancara Free Malaysia Today, Tuan Ibrahim berkata MN tidak patut dilihat sebagai terkubur.

    “MN belum mati lagi, (cuma) sedang ‘pengsan’,” katanya ringkas mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 15 Mac lalu yang partinya akan terus bersikap “husnuzon” (bersangka baik) terhadap MN.

    “Saya lihat atas asas penyatuan ummah, agenda kita tak pernah berhenti dan jangan lihat bila parti itu tak bergabung maka umat ini berpecah, tidak,” kata Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

    Pas dan UMNO sebelum ini saling menuduh mengabaikan piagam MN yang diasaskan mereka empat tahun lalu.

    Hubungan dua parti itu tegang apabila Pas menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu sekali gus mahukan parti serpihan UMNO itu turut menyertai MN.

    UMNO membantah keras tindakan Pas itu kerana melihat Bersatu sebagai pengkhianat yang berusaha “membunuhnya”.

    Zahid turut memberi gambaran hala tuju gagasan itu mungkin akan berubah sekiranya pemimpin parti bertukar.

    MN digagaskan UMNO dan Pas ketika dalam blok pembangkang sebagai usaha penyatuan ummah pasca PRU14 yang dimenangi Pakatan Harapan (PH).

  • PN guna logo Pas dalam PRN di Kelantan, Terengganu

    PN guna logo Pas dalam PRN di Kelantan, Terengganu

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menggunakan logo Pas bagi calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan dan Terengganu.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perkara itu telah dimuktamadkan pucuk pimpinan PN.

    “Saya ingin memaklumkan keputusan PN untuk mengekalkan (penggunaan) logo, Kelantan dan Terengganu (kekal guna) logo Pas.

    “Selain daripada itu, empat lagi negeri akan gunakan logo PN,” katanya dalam sidang media pada Majlis Berbuka Puasa Sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria di sebuah hotel, di Ampang, petang tadi.

    Hadir sama pada majlis itu, Presiden Pas, Tan 6 Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), calon yang bertanding atas tiket PN menggunakan logo Pas di Kelantan dan Terengganu.

    Gabungan parti itu juga berjaya menyapu bersih kesemua kerusi parlimen di kedua-dua negeri berkenaan.

    Tuan Ibrahim berkata, PN telah menggerakkan jentera bersama bagi menghadapi PRN berkenaan dan melantik Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebagai pengarah pilihan raya.

    Tambah Tuan Ibrahim, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) juga akan bertanding dalam PRN kali ini dan akan diperuntukkan kerusi lebih banyak khususnya di Pulau Pinang.

    “Ya (Gerakan akan ada kerusi)…banyak,” katanya ketika ditanya wartawan, lapor Malaysiakini.

    Muhamad Sanusi turut yakin PN akan berjaya mengekalkan kemenangan di tiga negeri serta merampas negeri Pakatan Harapan (PH) khususnya di Negeri Sembilan dan Selangor.

  • Suami isteri maut, anak lelaki parah nahas lima kenderaan

    Suami isteri maut, anak lelaki parah nahas lima kenderaan

    SEPASANG suami isteri maut manakala anak lelaki mereka cedera parah dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 46, Kampung Selamat, Sungai Tong di Setiu hari ini.

    Kemalangan pukul 1.17 tengah hari itu melibatkan sebuah lori, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) iaitu Proton Exora dan Toyota Wish, sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara serta Perodua Axia.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, mangsa, Faizul Azman, 44, dan isterinya, Habsah Ismail, 44, yang menaiki Proton Exora meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

    Katanya, anak lelaki mereka iaitu Muhammad Daniel Dzulkarnain, 13, yang mengalami kecederaan parah pada bahagian muka dikejarkan ke Hospital Setiu.

    “Seramai 13 individu termasuk pemandu dan penumpang kenderaan lain yang terlibat nahas itu terselamat termasuk lima kanak-kanak berusia 2 bulan hingga 13 tahun yang berada di dalam sebuah Toyota Wish,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sementara itu, Komander Operasi Bomba, Sulaiman Merah berkata, seramai 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu dibantu BBP Kuala Nerus dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pukul 1.17 tengah hari.

    “Anggota penyelamat membersihkan sisa kemalangan menggunakan aliran hose reel air tangki jentera dan operasi tamat pukul 3.22 petang,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Penyertaan KJ beri kelebihan kepada PN – Muhammad Sanusi

    Penyertaan KJ beri kelebihan kepada PN – Muhammad Sanusi

    PENYERTAAN bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam Perikatan Nasional (PN) diyakini mampu memberi kelebihan kepada gabungan parti itu untuk berdepan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.

    Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, setakat ini belum ada pengesahan bahawa bekas Menteri Kesihatan itu akan menyertai parti berkenaan.

    “Itu hanya spekulasi lagi tapi insya-Allah kalau beliau masuk (PN), ia satu kelebihan untuk kita,” katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa Khairy akan menyertai PN selepas dipecat daripada UMNO baru-baru ini.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Iftar Ramadan Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria anjuran PasRelief di Kuala Lumpur hari ini.

    Turut hadir, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, PasRelief menyasarkan menyalurkan bantuan 100 buah rumah kontena bernilai RM3 juta kepada mangsa bencana gempa bumi di Turkiye menerusi kempen #Aid4Turkiye&Syria.

    Katanya, setiap rumah kontena tersebut bernilai RM30,000 yang turut dilengkapi tandas dan bakal memberi lebih keselesaan kepada mangsa terlibat.

    “Kita yakin boleh kumpul dana yang cukup untuk membiayai 100 rumah kontena ini jika 6,514 masjid seluruh negara boleh menyumbang.

    “Sekarang di Turkiye dan Syria musim sejuk, mangsa masih tinggal dalam khemah dan tandas pula berada di luar jadi tidak selesa bagi mereka.

    “Jika ada rumah kontena, ia bakal memberi keselesaan dalam tempoh yang panjang buat mereka,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • PRN: PN sudah ada calon MB Selangor, Negeri Sembilan

    PRN: PN sudah ada calon MB Selangor, Negeri Sembilan

    PERIKATAN Nasional (PN) sudah memuktamadkan calon Menteri Besar atau ‘poster boy’ mereka di Selangor dan Negeri Sembilan bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya yakin mampu merampas semula kedua-dua negeri berkenaan selain mengambil sebahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

    “PN dah ada calon Menteri Besar di Selangor dan Negeri Sembilan iaitu calon ‘poster boy’ kita. Kita akan ketengahkan calon Menteri Besar kita.

    “Kita dah siap sedia untuk berjuang dan akan pertahankan negeri (pimpinan) kita serta akan ambil negeri Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam sidang akhbar pada Iftar Ramadan sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria anjuran PasRelief di Kuala Lumpur hari ini.

    Hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

    Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PasRelief memberitahu, bagi berdepan PRN, PN telah hampir selesai pembahagian kerusi di enam negeri yang terlibat.

    PN juga telah lancarkan jentera PRN iaitu gegar gempur 100 hari selain menubuhkan jawatankuasa jentera PRN di peringkat DUN, Parlimen dan negeri.

    Muhammad Sanusi berkata, PN turut melantik mas’ul atau koordinator di enam negeri yang terlibat PRN membabitkan pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Menurutnya, di Negeri Sembilan koordinator yang dilantik adalah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu,r dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Idris (Pulau Pinang) dan Tuan Ibrahim serta Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin di Selangor.

    “Dengan pendekatan ini kalau ada isu yang timbul, mas’ul akan bincangkan agar ia boleh diselesaikan dengan cepat dan pantas,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Katanya, PN menjangkakan PRN akan diadakan pada minggu keempat Julai atau minggu pertama Ogos nanti.

  • Guan Eng tak perlu ugut saya – Wan Fayhsal

    Guan Eng tak perlu ugut saya – Wan Fayhsal

    Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mengingatkan Lim Guan Eng supaya tidak menggunakan ugutan terhadap dirinya susulan laporan polis yang dibuat terhadap pengerusi DAP itu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Katanya, Guan Eng juga perlu patuh kepada peruntukan undang-undang apabila menuduh orang lain dan bukannya melakukan ‘drama’ dan propaganda.

    “Tidak perlulah Lim Guan Eng nak mengugut saya. Saya yakin apa yang saya cakapkan dan akan mempertahankan pemimpin saya yang dianiayai.

    “Laporan polis Armada adalah jelas. Ia mudah dibaca dalam bahasa yang tidak rumit atau mengelirukan. Tidak seperti pembohongan yang dilakukan DAP dan PM Anwar Ibrahim. Itukah sebabnya YB Lim meloncat, menyerang dan mengugut saya?” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Guan Eng sebelum ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa bekas Menteri Kewangan itu membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    Armada kemudian memfailkan laporan balas terhadap Guan Eng serta Anwar kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

    Ini menyebabkan Guan Eng memberi amaran kepada Wan Fayhsal bahawa tindakan membuat laporan palsu adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

    Wan Fayhsal dalam pada itu mendakwa fitnah yang dilakukan Anwar terhadap Muhyiddin lebih ‘dasyat’ dan berniat jahat.

    “Lupakah Guan Eng fitnah dasyat yang lebih besar yang dilontarkan oleh Anwar bahawa Muhyiddin selewengkan RM600 bilion, kemudian turun RM530 bilion, kemudian bertukar kepada RM92.5 bilion, kemudian jatuh merudum kepada RM4.5 bilion.

    “Yang terkini dan yang cuba dipalitkan kepada Muhyiddin bukan lagi seleweng duit tapi salah guna kuasa. Jumlahnya bukan yang dituduh awal-awal dulu. Itu bukan fitnah jahat,” soalnya.

    Tambahnya, orang ramai kini dapat melihat bahawak erajaan menggunakan kuasa untuk menindas pembangkang, dengan pemimpin daripada parti kerajaan galak membuat laporan polis terhadap musuh politik mereka.

    “DAP dah tidur sekatil dengan UMNO jadi biarlah ‘strange bed fellows’ ini dengan asmara politik mereka.

    “UMNO dan DAP akan dihukum dalam 6 pilihan raya negeri nanti. Kita tunggu dan lihat. Sementara itu janganlah main kotor,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • PRN: Gerakan tanding di semua negeri

    PRN: Gerakan tanding di semua negeri

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyuarakan hasrat meletak calon parti itu bertanding di semua negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, rundingan pemilihan kerusi pada PRN akan datang juga telah dibuat bersama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN).

    “Kita menghantar kurang daripada 70 nama kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk dipertimbangkan,” katanya pada sidang media Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Yang Ke-51 di ibu negara hari ini.

    Mengenai kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini berhubung Gerakan patut dibubarkan kerana tidak dapat mandat rakyat.

    Dominic berkata, walaupun tidak mendapat mandat daripada rakyat tetapi Gerakan akan terus kekal relevan.

    Beliau berkata, Anthony Loke tidak faham kenapa Gerakan terus kekal relevan walaupun sudah kalah dalam beberapa pilihan raya.

    “Ini kerana Gerakan bukan seperti DAP. Mendapat mandat daripada menipu rakyat dengan janji-janji kosong.

    “Sebelum pilihan raya mereka cakap ingin iktiraf UEC (Sijil Peperiksaan Bersama), AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971), dan pilihan raya kerajaan tempatan. Mana janji-janji itu? Penipuan ini dibuat untuk mendapat mandat rakyat tetapi mereka hanya diam selepas mendapat mandat,” jelasnya, lapor Sinar Harian.