Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kereta masuk sungai, lelaki dikhuatiri lemas cuba selamat anak

    Kereta masuk sungai, lelaki dikhuatiri lemas cuba selamat anak

    SEORANG lelaki dikhuatiri lemas ketika menyelamatkan anak berusia lima tahun yang terperangkap dalam kereta selepas terhumban ke dalam sungai di Kampung Imbahan, Putatan semalam.

    Insiden berlaku pada pukul 5.30 petang apabila Lasibi Lawahidu, 40-an, terjun ke dalam sungai selepas Perodua Myvi yang dinaiki anaknya, Mushab Umair Lasibi, 5, tiba-tiba menggelongsor ke dalam sungai.

    Ketua Polis Penampang, Mohd. Haris Ibrahim berkata, sebelum kejadian mangsa sedang memancing di tebing manakala anaknya berada dalam kenderaan terbabit dalam keadaan enjin dihidupkan.

    “Kereta terbabit tiba-tiba bergerak sebelum jatuh ke dalam sungai, menyebabkan mangsa terus terjun untuk menyelamatkan anaknya.

    “Mangsa dikatakan sempat mengeluarkan anaknya daripada kenderaan itu sebelum dibantu seorang lelaki yang kebetulan berada di situ untuk memancing.

    “Ketika lelaki terbabit menyambut kanak-kanak itu, mangsa dikatakan tiba-tiba hilang dipercayai tenggelam,” katanya, menurut Harian Metro.

    Anak mangsa yang diselamatkan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

    Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Rony Sikawan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.53 petang.

    “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kota Kinabalu.

    “Setakat 11 malam, mangsa masih belum ditemui,” katanya yang memaklumkan operasi akan bersambung hari ini.

  • Pukul, sepak, pijak kepala ibu kerana tak dapat RM20

    Pukul, sepak, pijak kepala ibu kerana tak dapat RM20

    SEORANG penagiha dadah memukul, memijak, menampar dan menyepak ibu selepas enggan memberikan wang berjumlah RM20 bagi membeli bahan terlarang itu untuk melampiaskan nafsu ketagihannya di Kampung Gual Jedok, Tanah Merah semalam.

    Perbuatan berkenaan menyebabkan warga emas berusia 65 tahun mengalami kecederaan bengkak di kepala, dahi dan mata serta sakit pada bahagian badan.

    Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di hadapan pintu rumah mereka.

    Beliau berkata, ibu dan anaknya yang berusia 32 tahun itu dikatakan tinggal berdua di rumah tersebut.

    “Semasa kejadian suspek telah bertindak menarik, menampar, menendang dan memijak kepala mangsa.

    “Kejadian tersebut telah dirakam oleh cucu wanita terbabit yang tinggal bersebelahan dengan rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, kejadian itu berpunca daripada keengganan warga emas berkenaan memberikan wang kepada suspek sehingga dia sanggup bertindak luar kawalan.

    Ujarnya, sebelum ini juga suspek yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sering mengamuk meminta wang dengan mangsa.

    Mohd. Haki memberitahu, lelaki berkenaan yang merupakan bekas anggota tentera dan telah dibuang kerja pada tahun 2013 serta merupakan anak keempat daripada lima beradik.

    “Ekoran daripada kejadian itu mangsa telah alami kecederaan dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tanah Merah.

    “Suspek telah berjaya ditangkap dan hasil soal siasat awal mendapati dia telah mengaku memukul ibunya kerana tidak memberikan wang yang diminta.

    “Hasil ujian air kencing menunjukkan lelaki berkenaan positif methamphetamine dan mempunyai dua rekod lampau berkait dengan dadah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau memberitahu, suspek ditahan untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 323/18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

  • ‘Beri bukti saya bolot kekayaan diri dan keluarga’ – Tun M

    ‘Beri bukti saya bolot kekayaan diri dan keluarga’ – Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti berhubung dakwaan beliau membolot harta kekayaan terhadap dirinya dan keluarga sewaktu memegang tampuk pemerintahan negara.

    Tegas bekas Perdana Menteri itu, adalah mudah untuk seseorang itu membuat tuduhan, namun, jika tidak disertakan bukti, dakwaan berkenaan bersifat fitnah.

    Pada masa sama beliau tidak menolak, dakwaan yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya itu adalah sebagai usaha untuk menghalang Perhimpunan Proklamasi Melayu yang telah dibatalkan.

    “Dalam usaha untuk menghalang perhimpunan Melayu yang menjemput saya hadir, Anwar telah berkata, ada orang dulu, 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa, sekarang mengeluh Melayu hilang segala-galanya, hilang harta, hilang saham,

    “Saya ingin dapat bukti daripada Anwar bahawa saya bolot untuk saya, untuk keluarga saya dan anak-anak saya,

    “Membuat tuduhan memang mudah. Tetapi tuduhan yang tidak dibukti dengan jelas, tidak boleh diterima sebagai benar. Ia adalah fitnah,” katanya dalam hantaran terbaharu di akaun media sosialnya hari ini.

    Bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu turut berkata, beliau mengeluh sekarang kerana kaum Melayu dilihat hilang segala-galanya selepas beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

    Oleh itu, beliau bersetuju menyertai usaha untuk menyedarkan kaum Melayu menerusi pelancaran Proklamasi Melayu.

    Namun, seperti yang dilaporkan sebelum ini, Dr. Mahathir mendakwa, Proklamasi Orang Melayu tidak dapat dianjurkan disebabkan campur tangan kerajaan.

    Negarawan itu juga berkata, isi kandungan Proklamasi tersebut menepati peruntukan Perlembagaan negara dan UMNO.

    “Isi kandungan proklamasi ini menepati peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia dan juga Perlembagaan UMNO.

    “Perhalangan pelancaran ini bermakna Kerajaan Anwar menolak Perlembagaan negara dan Perlembagaan UMNO,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Beliau juga menyifatkan tiada usaha daripada UMNO dalam memastikan proklamasi ini berlangsung adalah kerana UMNO tidak lagi berpegang kepada matlamat penubuhannya.

    “Sebab itu puak lain perlu diadakan untuk melindungi hak orang Melayu dan Bumiputera lain,” tegas Dr Mahathir lagi.

  • Pemimpin PKR Sabah kesal PH dapat kurang jawatan lantikan politik

    Pemimpin PKR Sabah kesal PH dapat kurang jawatan lantikan politik

    TIMBALAN Pengerusi parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Sazalye Donol mendakwa Pakatan Harapan (PH) diketepikan dalam pelantikan politik oleh kerajaan negeri, termasuk di peringkat kampung.

    Menurut beliau, sekiranya amalan ini berterusan mungkin menyusahkan kerajaan negeri, lapor Malaysiakini.

    “Jika seandainya perkara ini berterusan saya khuatir akan mengakibatkan kelancaran pemerintahan Kerajaan Perpaduan di Sabah tidak akan tercapai dan laungan kerajaan perpaduan di Sabah hanya omongan kosong sahaja,” katanya pada satu kenyataan malam tadi.

    Sazaly berkata demikian selepas beliau bagi pihak PH Kota Marudu Harapan menyerahkan memorandum kepada Presiden UPKO, Ewon Benedick.

    Memorandum itu menyeru Ewon untuk menyampaikan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor tuntutan PH untuk jawatan dalam majlis tempatan, jawatankuasa kampung dan lain-lain.

    Pada masa ini, Sazaly yang juga Ketua Cabang PKR Kota Marudu berkata, pelantikan politik di daerah itu kebanyakannya didominasi oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

    GRS pimpinan Hajiji pada mulanya merupakan cabang Perikatan Nasional di Sabah.

    Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum ke-15, Hajiji menyelaraskan semula GRS untuk berpihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Hajiji juga telah melantik dua pemimpin PH Sabah, Christina Liew dan Phoong Jin Zhe memegang jawatan dalam Kabinet negeri.

  • Zahid dapat pasport ke luar negara secara kekal

    Zahid dapat pasport ke luar negara secara kekal

    MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke luar negara tanpa kebenaran mahkamah.

    Presiden UMNO itu yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dibenarkan mendapatkan semula pasport peribadi dan diplomatiknya secara kekal.

    Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hanipah Farikullah membenarkan permohonan Zahid selepas mahkamah berpuas hati ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

    “Permohonan untuk dilepaskan pasport kepada beliau dibenarkan,” katanya, lapor FMT, hari ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memberitahu mahkamah, beliau mendapat arahan untuk tidak membantah permohonan itu.

  • Ziarah rumah ibadat bukan Islam: Pas junjung kasih titah Sultan Selangor

    Ziarah rumah ibadat bukan Islam: Pas junjung kasih titah Sultan Selangor

    PAS Selangor menjunjung kasih atas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan kembali pernyataan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkenaan larangan ke atas umat Islam untuk melawat rumah ibadat bukan Islam bagi maksud mempelajari kepercayaan lain.

    Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, dengan penuh tanggungjawab dan prihatin Tuanku Sultan mengingatkan rakyat negeri itu bahawa demi mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah-faham tambahan, telah sedia ada undang-undang yang melarang penyebaran agama dan kepercayaan lain dikalangan umat Islam.

    Katanya, maka keputusan larangan oleh MAIS itu sangatlah tepat dan wajar.

    “Justeru atas kebijaksanaan titah Tuanku itu, Pas Selangor mengambil kesempatan ini menyeru semua umat Islam Selangor agar akur dan taat pada larangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

    Dua minggu lalu, MAIS berkata program yang dibuat untuk memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam dilarang di Selangor dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

    MAIS bagaimanapun menjelaskan program mempelajari agama lain selain Islam di gereja atau rumah ibadat agama lain memerlukan kawalan dan sekatan tertentu.

    Ini tegas MAIS, supaya memastikan tiada elemen memujuk orang Islam terpengaruh dan minat dengan agama lain selain Islam, selain tiada penglibatan orang Islam dalam ritual agama lain.

    Mengulas lanjut, Dr Ahmad Yunus berkata, sikap toleran dan saling hormat-menghormati sangat penting dan Pas Selangor akan pastikan tiada mana-mana pihak menganggu ketenteraman sedia ada.

    Katanya, Pas akan sentiasa menekankan aspek ini dan dalam waktu yang sama memastikan agar larangan pihak MAIS ini dipatuhi semua pihak.

    “Keharmonian antara agama dan kehidupan rukun damai di kalangan rakyat Selangor yang berbilang kaum sangat penting demi kestabilan dan kemakmuran negeri ini,” katanya.

  • Mansuh hukuman mati mandatori perlu referendum rakyat

    Mansuh hukuman mati mandatori perlu referendum rakyat

    AHLI-ahli Parlimen disaran mendesak kerajaan untuk menangguhkan langkah pemansuhan hukuman mati mandatori penjenayah berat bagi mendapat maklum balas keluarga mangsa dan pihak-pihak berkepentingan.

    Memetik laporan Harakahdaily, pemerhati politik dari UPSI Dr Zulkeflee Yaacob berkata, kerajaan dijangka mengemukakan rang undang-undang untuk menghapuskan hukuman mati mandotari atas kesalahan jenayah termasuk membunuh pada 3 April ini.

    Menurut beliau, hukuman mati itu hanya pilihan pada budi bicara (discretion) hakim ketika menjatuhkan hukuman sama ada hukuman mati atau penjara.

    “Akta itu kalau diluluskan kelak akan meneliti kes-kes jenayah lampau yang melibatkan pembunuhan termasuk kes profil tinggi hartawan kosmetik, Sosilawati yang mati dibunuh.

    “Kita menyokong terhadap kesalahan jenayah lain seperti memiliki dadah dan senjata api yang tidak melibatkan kehilangan nyawa tetapi kesalahan yang menyebabkan kematian dengan niat membunuh mesti kekal hukuman mati mandotari,” katanya di sini.

    Menurut laporan media hukuman mati mandatori akan ditukar kepada penjara seumur hidup antara 30-40 tahun dan bakinya ditolak atas ‘remission’ membolehkan penjenayah dipenjara 15-20 tahun sahaja dan selepas itu akan kembali bebas.

    Mengulas lanjut, Dr Zulkeflee berkata, impak perubahan hukuman tersebut memberi momentum psikologi kepada keluarga mangsa yang berdepan dengan pembunuh terbabit.

    Katanya, keluarga mangsa tentunya sedih kerana kehilangan satu jiwa selama-lamanya, sebaliknya penjenayah kembali dalam komuniti yang bersifat suci dalam debu.

    Malah katanya, dalam syariat Islam kesalahan membunuh hukumannya mati jika keluarga mangsa tidak bersedia memaafkan pelaku.

    Oleh itu katanya pindaan tersebut tidak wajar dibuat tergesa-gesa tanpa mengambil pandangan keluarga mangsa dan refrendum rakyat terhadap hukuman besar implikasi dalam keharmonian masyarakat majmuk.

    “Tidak perlu beria-ria hasrat menyelamatkan pembunuh kerana kekidupan keluarga mangsa tidak terpelihara, malah mereka sepatutnya dilindungi bukan penjenayah yang dilihat menggalakkan kes pembunuhan,” tambahnya.

  • Dania Garage tawar tayar motosikal rahmah RM5

    Dania Garage tawar tayar motosikal rahmah RM5

    DENGAN niat untuk meringankan beban pengguna, sebuah bengkel motosikal di Kajang, Selangor baru-baru ini telah menawarkan tayar motosikal pada harga Rahmah RM5.

    Dinamakan Program Amal Tayar Rahmah, ia ditawarkan oleh Bengkel Dania Garage pada 20 Mac lalu.

    Menurut pemilik bengkel itu, Mohd Mustakim Mohd Munawir, beliau menganjurkan jualan amal itu sebagai sebahagian sumbangan penghargaan kepada pelanggan bengkelnya.

    Dinamakan Program Amal Tayar Rahmah, ia ditawarkan oleh Bengkel Dania Garage pada 20 Mac lalu.

    “Saya berterima kasih kepada semua pengguna dan pemilik motosikal yang menjadi pelanggan dan menyokong bengkel saya selama ini.

    Jadi sempena bulan Ramadan ini juga saya menawarkan tayar motosikal pada harga Rahmah, juga dengan tujuan untuk membantu meringankan beban pemilik motosikal,” katanya kepada media.

    Kata beliau, jualan amal yang dianjurkan selama sehari itu telah berjaya menarik kehadiran kira-kira tiga ribu pemilik motosikal.

    Bagaimanapun pihaknya memperuntukkan sejumlah seribu unit tayar untuk dibeli oleh pemilik motosikal pada harga RM5 seunit.

    “Program jualan amal ini merupakan jualan tayar motosikal bersaiz 70/90-17 serta 80/90-17, harga jualan sebenar tayar tersebut adalah RM60 seunit yang mana harga Rahmah tayar itu tidak ada dijual di mana-mana tempatlah, setakat ini hanya di bengkel Dania Garage sahaja.”

    “Saya memikirkan bahawa pada bulan Mac tahun ini merupakan bulan yang amat mencabar kepada pengguna semua kerana sesi persekolahan bermula dan persiapan raya datang serentak yang mana rata-rata memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi”.

    “Sebab itu saya tampil menawarkan tayar motosikal pada harga Rahmah memandangkan sebahagian besar pemilik motosikal ini adalah golongan B40”, kata Mustakim.

    Dania Garage merupakan bengkel motosikal 100 peratus milik Bumiputera yang berpusat di Sungai Chua, Kajang.

    Bengkel tersebut mula beroperasi pada 2016 dan kini mempunyai tiga cawangan iaitu dua di Kajang dan satu di Serdang.

    Bengkel Dania Garage amat popular di media sosial khususnya di Tiktok dengan jumlah pengikut lebih 506 ribu orang.

  • Imam masjid diserang lelaki ketika solat Subuh

    Imam masjid diserang lelaki ketika solat Subuh

    SOLAT Subuh di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan, awal pagi tadi gempar apabila seorang lelaki dipercayai kurang siuman menyerang imam ketika solat Subuh.

    Bagaimanapun suspek berusia lingkungan 40-an itu kemudiannya ditahan polis dalam kejadian pukul 6.18 pagi.

    Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Ilhan Muhammad Irham, adalah pelajar Maahad Tahfiz Thurath yang menjadi imam jemputan untuk solat Subuh sempena Program Khatam Subuh 2.0 Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.

    Katanya, suspek berpakaian baju Melayu ungu dan berkain pelekat serta berseluar hitam itu menyerang mangsa dari belakang secara tiba-tiba ketika solat jemaah.

    “Ketika solat memasuki rakaat kedua dengan anggaran 80 jemaah, kedengaran suara lelaki menjerit dari arah pintu masjid.

    “Kira-kira seminit selepas itu ketika imam masih membaca surah, seorang lelaki dipercayai kurang siuman meluru menolak jemaah dari belakang dan terus menuju ke imam sambil cuba memukul imam dengan selipar.

    “Mangsa terus mengelak, sekali gus menyebabkan solat dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Tambah beliau, pihak keselamatan masjid dan jemaah terus menghalang lelaki itu serta menahannya sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • Tak salah umat Islam kunjungi tempat ibadat agama lain – Sultan Selangor

    Tak salah umat Islam kunjungi tempat ibadat agama lain – Sultan Selangor

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, tiada apa yang menghalang umat Islam daripada mengunjungi tempat ibadat agama lain.

    Bagaimanapun, baginda bertitah, kunjungan itu mestilah tanpa mengambil bahagian dalam sebarang upacara atau amalan agama berkenaan.

    “Tidak salah untuk menghadiri majlis perkahwinan atau berada di gereja misalnya, tetapi umat Islam hanya perlu memerhati.

    “Orang Islam tidak boleh mengambil bahagian dalam upacara atau amalan sama ada di kuil atau gereja,” titah baginda menurut The Star.

    Sultan Sharafuddin percaya penganut Kristian juga tidak akan menyertai sembahyang atau ritual di kuil Tao.

    Baginda turut mengimbau kisah silamnya ketika almarhum datuknya, Sultan Alam Shah, menghadiri pertabalan Ratu Elizabeth II pada 1953 di gereja Westminster Abbey di London.

    “Baginda baru pulang dari Mekah, kemudian berunding dengan mufti negeri jika berkenan untuk menghadiri pertabalan.

    “Mufti berkata tidak ada salahnya asalkan beliau tidak mengambil bahagian dalam mana-mana ibadat,” titah baginda.

    ‘Baca dan buat rujukan’

    Sultan Sharafuddin juga dilaporkan menggesa ahli politik untuk “membaca dan membuat rujukan” sebelum mengulas kenyataan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) baru-baru ini bahawa haram bagi orang Islam mengunjungi rumah ibadat bukan Islam seperti kuil, gereja dan gurdwara untuk mengenali agama lain.

    Sambil menyifatkan pandangan Mais sebagai betul dan jelas, baginda bertitah adalah baik untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham kerana terdapat undang-undang yang menghalang penyebaran agama lain kepada umat Islam.

    Sultan Sharafuddin turut memberi peringatan kepada semua pemimpin politik tanpa mengira kaum supaya tidak menjadikan agama untuk mempopularkan diri mereka.

    Baginda bertitah, larangan itu dibuat atas kapasitinya sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di Selangor bersama Mais.

    “Hanya saya sebagai ketua agama Islam di Selangor dan Mais pihak berkuasa agama di negeri ini,” titah baginda.

    Khamis lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa umat Islam di negeri itu boleh melawat rumah ibadat agama lain selagi mereka tidak terbabit dalam sebarang upacara dan sembahyang.

    “Ini adalah jelas dan saya percaya pada orang Islam kerana kepercayaan mereka kukuh dan tidak goyah. Saya tidak mahu terus memanjangkan isu ini. Tidak perlu lagi sebarang polemik isu ini,” titah baginda.