Author: Wartawan WartaRakyat

  • Dr Zakir naik akan pulang ke Malaysia

    Dr Zakir naik akan pulang ke Malaysia

    PENCERAMAH bebas, Dr. Zakir Naik, akan kembali ke negara ini dalam masa terdekat, selepas selesai beberapa program di Oman.

    Peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader, ketika mengesahkan langkah itu, memaklumkan Zakir Naik masih mempunyai program di negara terbabit.

    “Dia (Zakir Naik) akan pulang dalam masa terdekat selepas selesai semua program di sana,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Sebelum ini, Akberdin memaklumkan Zakir Naik berada dalam keadaan selamat dan diberi layanan yang baik sepanjang berada di Muscat, Oman.

    Menurutnya, penceramah terbabit turut mengirimkan pesanan memaklumkan beliau selamat dan berada di hotel.

    “Zakir juga memaklumkan, laporan yang mendakwa penahanannya sekadar berita rekaan,” katanya, lapor BH Online.

    Beliau berkata, selepas itu dia akan pulang semula ke Malaysia namun tidak dapat diperincikan perjalanan pulang itu demi keselamatannya.

    Media sebelum ini melaporkan penceramah bebas, Dr. Zakir Naik yang menjadi buruan di India tiba di Muscat, Oman bagi menyampaikan ceramahnya selepas tarawih pada malam semalam dan esok.

    Zakir Naik yang menetap di Malaysia, berdepan dakwaan mahkamah di India, berhubung pengubahan wang haram, menyokong aktiviti keganasan dan mencetuskan ketegangan agama.

    Malah Kerajaan India pernah menghantar permohonan rasmi bagi mengekstradisinya pada Januari 2018

  • Pahang belum putuskan bentang RUU enakmen antilompat parti

    Pahang belum putuskan bentang RUU enakmen antilompat parti

    KERAJAAN Pahang belum memutuskan sama ada akan membentangkan rang undang-undang (RUU) antilompat parti pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan Mei ini atau sebaliknya.

    Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan masih mempertimbangkan perkara itu dan pada masa sama sedia mengadakan perbincangan dengan pembangkang sebelum membuat keputusan muktamad.

    “Kita sedang fikirkan sebab kalau bentang, kerajaan negeri perlu dapat sokongan dua per tiga (untuk diluluskan).

    “Kerajaan (negeri) yang ada pada waktu ini tidak cukup dua per tiga.

    “Kalau mereka (pembangkang) setuju, kita akan bentang, kalau tak setuju nak bentang buat apa?” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang di Sekolah Kebangsaan Mat Kilau, di Kuantan, hari ini, lapor Malaysiakini.

    Wan Rosdy berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan Pahang akan membawa usul dan membentangkan RUU antilompat parti pada sesi DUN akan datang.

    Setakat ini hanya tujuh negeri membentangkan RUU itu di peringkat sidang DUN masing-masing dan diluluskan.

    Pulau Pinang adalah negeri paling awal memperkenalkan RUU itu dan diluluskan sidang DUN negeri berkenaan pada Nov 2012.

    Negeri lain yang turut meluluskan pindaan bagi mengekang tindakan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti ialah Sarawak, Perak, Kedah, Selangor, Perlis dan Kelantan.

    Kerajaan Terengganu pada November tahun lalu pula memaklumkan tidak ada keperluan untuk RUU itu diperkenalkan di negeri terbabit kerana hanya ada wakil rakyat Pas dan UMNO sahaja di negeri itu.

    Di peringkat persekutuan RUU antilompat parti diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 sebelum dibentangkan dan diluluskan di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022.

    Secara keseluruhan DUN Pahang mempunyai 42 kerusi. Hasil PRU ke-15 pada November tahun lalu, buat pertama kali BN gagal memperoleh majoriti apabila memenangi 17 kerusi, sama seperti PH.

    PN pula hanya memenangi lapan kerusi.

    BN dan PH kemudian mencapai persetujuan untuk bekerjasama sekali gu membentuk kerajaan perpaduan.

  • Peniaga nasi ‘tengah hari’ sorok makanan dalam mesin basuh, tandas

    Peniaga nasi ‘tengah hari’ sorok makanan dalam mesin basuh, tandas

    MUSLIHAT seorang peniaga yang menjual makanan kepada golongan yang tidak berpuasa bertindak menyembunyikan nasi bungkus dalam mesin basuh dan lauk di tandas tengbongkar apabila berjaya dikesan pihak berkuasa.

    Situasi itu berjaya dikesan dalam operasi oleh Pejabat Agama Daerah Bachok, Kelantan dan Majlis Daerah Bachok di sekitar kawasan Tangok, semalam.

    Pegawai Agama Jajahan Bachok Suratemi Mat Yusof berkata, dalam operasi itu antara 10 pagi hingga 12 tengah hari itu pihaknya berjaya merampas lebih 20 bungkus nasi berlauk ayam dan minuman teh o ais.

    “Selain itu, seorang wanita juga pemilik rumah yang diserbu berusia 40-an juga diberi amaran agar tidak mengulangi aktiviti terbabit.

    “Operasi itu dilakukan hasil pemantauan dan aduan awam yang mendapati pemilik rumah menjual makanan dan minuman kepada individu tidak berpuasa,” katanya kepada media, hari ini.

    Katanya, hasil operasi menemukan lebih 20 bungkus nasi yang disorok dalam mesin basuh dan ayam yang diperap dalam tandas.

    Pihaknya turut menemukan teh o ais yang disembunyikan dalam bilik tidur.

    “Hasil soal siasat, pemilik rumah mengaku membungkus nasi itu sebelum pembeli menghubunginya untuk mengambil makanan itu.

    “Wanita berkenaan memaklumkan dia menjual dari rumah pada Ramadan kepada individu yang tidak berpuasa,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Tambah Suratemi, pihaknya memberi nasihat kepada wanita itu supaya tidak menjual makanan kepada golongan yang tidak berpuasa dan wanita itu berjanji tidak akan mengulangi perbuatan terbabit pada masa akan datang.

    “Peniaga itu juga akan dipanggil untuk diberi kaunseling supaya tidak menjual makanan pada waktu pagi sepanjang Ramadan ini.

    “Dalam operasi itu, tiada tangkapan dibuat berikutan mereka sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa,” jelasnya.

  • Tiada lagi pelepasan cukai bagi pencarum SSPN tahun ini

    Tiada lagi pelepasan cukai bagi pencarum SSPN tahun ini

    PEMBAYAR cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000, bermula tahun ini kata Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim.

    Memetik laporan Nanyang Siang Pau, Sim mengesahkan, kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN atas pelbagai sebab.

    “Ini adalah disebabkan tambahan senarai pelepasan cukai dan potongan cukai individu termasuk pengurangan sebanyak dua peratus ke atas cukai pendapatan individu, pelepasan cukai perbelanjaan perubatan yang ditingkatkan dari RM8,000 ke RM10,000 dan pelepasan yang lain.

    “Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga menyediakan kemudahan penangguhan bayaran balik untuk peminjam yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM1,800,” kata Sim.

    Berdasarkan portal rasmi SSPN, insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas Simpanan SSPN bagi tahun 2023 tidak diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023, 24 Februari lalu.

  • Lapan penumpang LRT saman Rapid Rail, Prasarana

    Lapan penumpang LRT saman Rapid Rail, Prasarana

    LAPAN penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) memfailkan saman sebanyak RM860,000 terhadap Rapid Rail Sdn. Bhd. dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 9 Mac lalu.

    Saman berkenaan membabitkan kejadian dua buah tren LRT Laluan Kelana Jaya bertembung sehingga menyebabkan beberapa penumpang cedera pada pukul 9.15 malam, 24 Mei 2021 lalu.

    Mereka ialah Tengku Amalie Tengku Alauddin Shah, 47; Marvena Jitol, 28; Riezariel Haeqal, 23; Rozita Che Rus, 28; Ng Siow Nee, 36; Siti Nuraliah Hashim, 26; Nurul Athirah Mohd. K. Jabayee, 36 dan Muhammad Firdaus Mohd. Saleh, 35.

    Menerusi pernyataan tuntutan difailkan menerusi Tetuan Vin Partnership, kesemua penumpang selaku plaintif pertama hingga kelapan, menamakan dua pihak terbabit sebagai defendan pertama dan kedua.

    Kesemua plaintif mengemukakan saman itu kerana Rapid Rail selaku defendan pertama manakala Prasarana defendan kedua, gagal dan cuai dalam memastikan keselamatan mereka sehingga menyebabkan kecederaan, dua tahun lalu.

    Plaintif berkata, defendan-defendan gagal memastikan LRT yang digunakan beroperasi dengan selamat bergerak ke hadapan dan tiada sebarang halangan oleh tren lain.

    “Mereka gagal melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyumbang kepada insiden itu.

    “Dua defendan itu juga gagal mengambil sebarang tindakan untuk mengelak kemalangan dan gagal untuk memberhentikan, memperlahankan dan mengawal LRT supaya kemalangan dapat dielakkan,” kata pernyataan tuntutan itu, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (ketika itu), turut berjenaka dengan berkata kedua-dua kereta api itu ‘bercium’ antara satu sama lain dan dilihat ketawa ketika sidang media berhubung kejadian berkenaan.

    Justeru itu, kesemua plaintif menuntut ganti rugi am, faedah pada kadar lima peratus setahun dari dari tarikh pemfailan writ sehingga ke tarikh penghakiman.

    Mereka turut meminta ganti rugi khas dan faedah pada kadar sama dari tarikh kemalangan hingga ke tarikh penghakiman dibuat.

    Berdasarkan semakan di laman web kehakiman, pengurusan kes ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mohamad Hafizul Awang pada 11 April ini.

    Pada Mei 2021 lalu, video dan gambar mengenai insiden itu tular di media sosial, menunjukkan ratusan penumpang bergelimpangan termasuk sebahagiannya mengalami kecederaan parah.

    Untuk rekod pada tarikh berkenaan, seramai 213 penumpang tren LRT laluan Kelana Jaya dilaporkan cedera selepas tren berkenaan brek secara mengejut di Stesen KLCC dari arah Kampung Baru di Kuala Lumpur.

    Suasana panik berkenaan dapat dilihat dengan jelas menerusi sebuah rakaman video berdurasi 12 saat yang tular di media sosial.

    Beberapa penumpang juga dilihat terduduk di lantai yang penuh dengan kaca berderai dan terdapat penumpang yang menangis teresak-esak sambil menutup bahagian tubuh yang berdarah selepas terjatuh akibat insiden tersebut.

  • Dua jurutera mangsa ‘scammer’ rugi lebih RM250,000

    Dua jurutera mangsa ‘scammer’ rugi lebih RM250,000

    DUA jurutera di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kerugian lebih RM250,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan ‘scam’ dalam dua kes berasingan pada Rabu dan Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kes pertama melibatkan seorang mangsa berusia 41 tahun yang ditipu oleh sindiket tawaran kerja yang tidak wujud di laman sosial Facebook.

    Katanya, mangsa melihat tawaran kerja sebagai petugas kemasukan data itu sebelum menghubungi ejen syarikat terbabit yang dikenali sebagai ‘Aminah’ menerusi aplikasi WhatsApp.

    Tambahnya, mangsa kemudian ‘diumpan’ sebanyak RM10 untuk setiap tugasan yang diberikan dan dijanjikan komisyen sebanyak 20 peratus apabila membuat transaksi pindahan wang seperti diarahkan.

    Jelasnya, mangsa yang percaya dengan janji itu kemudian membuat pindahan wang ke tujuh akaun berbeza sehingga berjumlah RM126,000 antara 18 hingga 22 Mac lalu.

    “Namun, apabila tiada sebarang komisyen dibayar seperti dijanjikan, mangsa akhirnya menyedari ditipu sebelum membuat laporan polis,”katanya kepada pemberita di SPT hari ini.

    Sementara itu, katanya, seorang lagi jurutera berusia 27 tahun menjadi mangsa sindiket penipuan cabutan bertuah tidak wujud yang menawarkan hadiah sebanyak RM326,000.

    Ujarnya, mangsa sebelum itu menerima panggilan telefon daripada sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong yang memintanya membuat tekaan lagu untuk menyertai cabutan bertuah berkenaan.

    Jelas beliau, mangsa kemudian sekali lagi dihubungi dan dimaklumkan kononnya memenangi cabutan bertuah itu, namun perlu melakukan pembayaran ke tiga akaun berbeza untuk tujuan proses pendaftaran akaun dan perpindahan wang dalam negara.

    “Mangsa yang terpedaya memasukkan wang secara berperingkat sehingga berjumlah RM125,600, namun mula menyedari ditipu selepas suspek memintanya menambah sebanyak RM50,000 lagi,” katanya.

    Ujar Cheng San, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun selain dikenakan sebatan atau denda.

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menerima panggilan atau berurusan dengan orang yang tidak dikenali dan membuat semakan terlebih dahulu terhadap akaun-akaun persendirian sebelum membuat apa-apa bayaran.

    “Semakan boleh dibuat melalui laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my atau menghubungi talian Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) di nombor 997 untuk sebarang aduan,” katanya.

  • Suami isteri maut kereta berlanggar dengan lori

    Suami isteri maut kereta berlanggar dengan lori

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEPASANG suami isteri maut setelah kereta dinaiki mereka kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 38.2, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Alor Setar, petang semalam.

    Dalam nahas pada pukul 6.29 petang itu, mangsa yang disahkan maut di tempat kejadian merupakan lelaki berusia 35 tahun dan isterinya yang berumur 31 tahun.

    Ketika kejadian, kereta jenis Proton Preve tersebut dipandu wanita terbabit, manakala suaminya berada di tempat duduk penumpang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, kejadian terbabit dipercayai berpunca akibat daripada tayar sebuah lori yang pecah.

    “Siasatan awal mendapati lori tersebut berada di lorong kiri manakala kereta Proton Preve pula di lorong kanan. Secara tiba-tiba, tayar belakang sebelah kiri lori itu pecah dan hilang kawalan sebelum berlanggar dengan kenderaan mangsa.

    “Ekoran itu, Proton Preve tersebut terbabas ke kiri jalan lalu melanggar pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Shukri berkata, pemandu lori itu turut mengalami kecederaan di kepala dan telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan.

    “Jenazah kedua-dua mangsa turut dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk dibedah siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, kedua-dua mangsa yang maut didapati tersepit dalam kereta tersebut.

    “Pihak kami terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum jenazah kedua-dua mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Pas Negeri Sembilan terbuka siapa calon MB

    Pas Negeri Sembilan terbuka siapa calon MB

    PAS Negeri Sembilan terbuka untuk menerima siapa saja calon Menteri Besar yang diputuskan oleh kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) meskipun bukan daripada kalangan parti itu.

    Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha berkata, soal siapa Menteri Besar bukan menjadi keutamaan ketika ini kerana paling penting adalah memastikan kemenangan PN dahulu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

    Jelasnya, Pas tidak terlalu mengambil kisah siapa calon Menteri Besar malah itu juga bukanlah isu besar.

    ‘Ini kerana pentingnya kita nak menang dulu sekurang-kurangnya 19 kerusi untuk membolehkan PN memerintah Negeri Sembilan.

    “Ia sasaran yang bukan mustahil walaupun tak mudah untuk dicapai. Jadi kita di peringkat negeri akur saja calon MB yang telah diputuskan oleh PN pusat,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau bagaimanapun mengakui sudah mengetahui secara umum siapa calon Menteri Besar atau ‘poster boy’ PN di Negeri Sembilan, namun enggan mendedahkannya.

    Sebelum ini media melaporkan PN telah memuktamadkan calon Menteri Besar atau ‘poster boy’ mereka di Selangor dan Negeri Sembilan bagi menghadapi enam PRN tidak lama lagi.

    Sementara itu kata Rafiei, soal pembahagian kerusi antara PN di Negeri Sembilan bagi menghadapi PRN sudah hampir pasti dan sedang menunggu masa untuk dimuktamadkan.

    “Secara umumnya kita dah buat perbincangan, cuma akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Perunding Kerusi PN.

    “Saya difahamkan akan ada mesyuarat 8 April nanti yang akan melibatkan semua ketua parti di setiap negeri untuk bantu mereka dalam buat pembahagian kerusi,” katanya.

  • DAPsy usah berkokok di luar gelanggang bela Guan Eng

    DAPsy usah berkokok di luar gelanggang bela Guan Eng

    KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sudah semakin terdesak hingga terpaksa dibela oleh Pemuda DAP (DAPsy) dalam isu berkaitan cukai Yayasan Al-Bukhary.

    Menurutnya, pada awalnya Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba membela Guan Eng, tetapi kenyataan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dalam isu berkaitan semakin mengelirukan.

    “Lain yang ditanya, lain pula yang dijawab. Akhirnya jawapan pembelaan Anwar semakin menjerat dirinya dan melilit lebih ketat leher Guan Eng.

    “Hari ini, satria DAP iaitu Kelvin Yii dari DAP Socialist Youth (DAPsy) pula cuba masuk gelanggang dengan mencabar saya.

    “Apakah kerana kuda tua Guan Eng tidak lagi berupaya mempertahankan dirinya maka budak suruhannya disuruh menyalak kuat,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

    Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli Parlimen Marang berkata Kevin tidak perlu mencabar beliau kerana perbuatan seperti itu seperti menegakkan benang basah.

    Malah katanya, adalah terlalu kebudak-budakan untuk beliau melayan cabaran Pemuda DAPsy itu, sedangkan isu yang dibangkitkan adalah mudah dan jelas, namun Guan Eng gagal menjelaskannya.

    Beliau menggariskan beberapa perkara berkaitan hal itu iaitu:

    Bukankah benar Yayasan Al-Bukhary adalah badan kebajikan Islam yang layak dan telah mendapat pengecualian cukai?;
    Bukankah benar LHDN tidak iktiraf pengecualian cukai tersebut dan mengenakan cukai penalti terhadap yayasan itu?;
    Bukankah benar hal ini terjadi semasa Guan Eng Menteri Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di bawah kawalan Menteri Kewangan?;
    Bukankah benar Anwar mengatakan di Dewan Rakyat bahawa kuasa Ketua Pengarah LHDN adalah mutlak?
    Bukankah benar kenyataan Anwar adalah bohong kerana Seksyen 44(6B) dengan jelas menyatakan keputusan Ketua Pengarah LHDN boleh dirayukan kepada Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan boleh buat keputusan yang sewajarnya?; dan
    Bukankah benar terdapat satu lagi peruntukan Seksyen 127(3) yang lebih meluas yang merupakan kuasa Menteri Kewangan berkenaan pengecualian cukai?

    “Oleh yang demikian bukankah benar Anwar tidak menyatakan sepenuhnya hal yang saya sebutkan di atas sehinggakan jawapannya adalah ‘half truths’ iaitu satu pembohongan?

    “Maka, bukankah wajar Anwar dirujukkan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana beliau telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan bersifaf menghina Dewan Rakyat pada 21 Mac 2023?

    “Itulah yang akan dilakukan oleh Armada dan ketika itulah Ahli Parlimen DAPsy boleh berhujah di Dewan Rakyat. Jangan sekadar berkokok di luar gelanggang seperti anjing menyalak bukit!,” katanya, lapor Agenda Daily.

  • 47 tahun terima RM114, kerajaan digesa kaji pencen hilang upaya ATM

    47 tahun terima RM114, kerajaan digesa kaji pencen hilang upaya ATM

    KERAJAAN digesa mengkaji semula pemberian kadar pencen hilang upaya (PHU) bekas anggota Angkatan Tentera (ATM).

    Gesaan tersebut dibuat Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang merujuk kadar RM114 diterima seorang bekas veteran ATM yang kehilangan buku lali dan ke bawah kerana terkena jerangkap samar, ketika dalam perkhidmatan sebelum ini.

    “Timbalan Menteri lawat dia Jumaat lepas, seorang anggota saya, berpangkat koperal dari buku lali hilang kerana jerangkap samar.

    “Tahu tak berapa dia terima, RM114 sebulan selama 47 tahun sehingga sekarang. Jadi kenapa tak dapat nak kaji lagi perkara ini,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

    Cadangan Khlir itu turut mendapat sokongan Ahli Dewan Rakyat yang lain.

    Selain itu, Khlir juga menggesa kerajaan menilai semula skim pencen bekas anggota ATM secara menyeluruh.

    “Apabila kita buat penyelarasan gaji mesti buat penyelarasan pencen. Jadi kita dengar tadi sejak 1 Januari 2013 tidak ada penyelarasan pencen menyebabkan unjuran antara pencen orang yang bekerja selepas 2013 dengan sebelum 2013 amat-amat jauh.

    “Sebagai contoh sarjan mejar kelas 1 yang pencen tahun 1995 terima RM600 sahaja, tapi sekarang sarjan mejar yang pencen sekarang terima RM3,500 hingga RM4,500. Jadi ada jurang yang amat besar,” katanya.

    Menurutnya, veteran ATM bukan meraih simpati sebaliknya ia perkara wajib ditunaikan kerajaan.

    “Saya berharap menteri dan Perdana Menteri dengar keluhan saya dan urus penyelarasan pencen secepat mungkin untuk bantu mereka sangat daif,” katanya, lapor FMT.