Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pindah lapangan sasar ke kawasan selamat, kata Tuan Ibrahim

    Pindah lapangan sasar ke kawasan selamat, kata Tuan Ibrahim

    KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) dicadang memindahkan lapangan sasar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kampung Penor, Kuantan, ke kawasan yang lebih strategik dan selamat.

    Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, pemindahan lapangan sasar tersebut bertujuan mengelakkan menjadi ancaman kepada penduduk.

    “Isu yang saya nak bangkitkan berhubung satu lapangan sasar TUDM di Kampung Penor, Kuantan.

    “Saya fikir banyak kali sudah perkara ini dibangkitkan, kawasan ini sangat tidak sesuai kerana berada di tengah-tengah perkampungan.

    “Beberapa kali insiden yang menyebabkan lembu penduduk terkena bedilan dari udara ke bumi kerana ia berada berhampiran pantai, ia mendatangkan risiko kepada nelayan pantai yang sentiasa berada di kawasan tersebut,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, walaupun kawasan itu dipagari tetapi sebahagian besar pagar telah rosak.

  • Isu Pasport TPM: Shahidan ‘cadang’ pasport Rosmah turut dipulangkan

    Isu Pasport TPM: Shahidan ‘cadang’ pasport Rosmah turut dipulangkan

    PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) beberapa kali membangkitkan isu pasport antarabangsa yang dikembalikan secara kekal kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Memetik laporan Astro AWANI, sambil menyindir, beliau mendakwa keputusan yang dibuat mahkamah itu adalah ‘keputusan hebat’.

    Malah, beliau juga mencadangkan pasport antarabangsa Datin Seri Rosmah Mansor, 71, turut dipulangkan.

    “Kalau sekiranya kita bagi kepada TPM, kita kena bagi juga kepada Datin Seri Rosmah. Datin Seri Rosmah dapat pasport sementara… Setuju tak Tampin? Kita bagi kepada Rosmah?

    “Kita bagi, mana boleh kita tak bagi. Kenapa boleh bagi kepada TPM, kat Rosmah tak bagi? Kasihan kat Rosmah dan juga rakyat Malaysia yang lain,” katanya sinis.

    Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa kemudian mencelah: “Tampin hanya mempercayai dari sudut undang-undang. Kalau undang-undang kata begitu, reda sajalah,” katanya.

    Shahidan kemudian berkata: “Yang Berhormat, ini saya cadangkan supaya pasport antarabangsa diberi kepada semua, bukan kepada individu tertentu sahaja.

    “Saya menyokong supaya diberi kepada semua sebab ini Madani…Madani maksudnya bagi kepada semua,” katanya lagi.

    Terdahulu media hari ini melaporkan Ahmad Zahid berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa dan diplomatiknya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

    Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Lim Chong Fong.

    Ia susulan pada 3 Februari lalu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequera (yang kini Hakim Mahkamah Rayuan) hanya membenarkan pelepasan sementara dokumen perjalanan itu untuk Ahmad Zahid mendapatkan pasport diplomatik.

    Dokumen perjalanan itu seterusnya perlu menyerahkan semula kepada mahkamah selepas urusan permohonan diplomatik selesai.

    Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

    Sementara itu, pada Selasa lalu, Rosmah dibenarkan untuk mendapatkan pelepasan sementara pasportnya bagi membolehkan dia berlepas ke Singapura bagi melawat anak perempuannya dan seorang daripada cucunya yang tidak sihat.

    Pasport Rosmah diserahkahkan kepada mahkamah pada 2019 selepas dia didakwa atas pertuduhan rasuah.

    Pada 1 September tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion.

    Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, yang berjalan serentak, bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun; di samping denda RM970 juta, yang jika gagal dibayar akan boleh membawa kepada hukuman penjara 30 tahun.

    Rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan hukuman itu akan didengar pada Julai depan.

    Shahidan Kassim, Zahid Hamidi, pasport antarabangsa, Mahkamah Rayuan,

  • Dewan rakyat bising, bertekak pasal UMNO

    Dewan rakyat bising, bertekak pasal UMNO

    SESI petang Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mendakwa RSN Rayer (PH-Jelutong) menyebut UMNO sebagai parti celaka yang dianggap sebagai penghinaan kepada orang Melayu dan orang Islam.

    Ahmad Tarmizi ketika perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, perkara itu dinyatakan oleh Rayer sewaktu menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, sebelum ini.

    “Saya nak bertanya. Bagaimana kenyataan ADUN Seri Delima lalu yang hari ini telah menjadi Ahli Parlimen Jelutong, satu ketika beliau telah menyatakan satu penghinaan.

    “Beliau menyebut UMNO parti celaka dan ketika itu, ia dianggap sebagai penghinaan kepada orang Melayu dan orang Islam,” katanya.

    Rayer kemudian bangun sambil meminta agar Ahmad Tarmizi supaya menarik balik kenyataan dibuat dan memohon maaf kerana beliau didapati tidak bersalah apabila ia diputuskan di mahkamah.

    Rayer turut berkata, peguam kes itu adalah Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo yang turut hadir di Dewan Rakyat.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang mengendalikan mesyuarat meminta Ahmad Tarmizi untuk menarik balik kenyataan dibuatnya selepas menilai mengenai keputusan mahkamah itu.

    Ahmad Tarmizi mengambil masa untuk melaksanakan hasrat Rayer walaupun didesak beberapa kali oleh Johari dengan hanya berkata ‘ok’.

    Situasi kekecohan itu terus berlarutan apabila Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pula membangkitkan perkataan dikeluarkan oleh Rayer apabila mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) pernah berkata, Pas sebagai parti ajaran sesat.

    Ayat itu dikeluarkan oleh Rayer ketika gilirannya sewaktu berbahas peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN).

    Ahmad Fadhli menggesa agar Rayer menarik balik ayat itu kerana beliau menggunakan perkataan ‘masih’ menuduh Muhyiddin.

    “Tadi saya terdengar Jelutong menyebut berbanding Pagoh yang ‘masih’ berpendirian bahawa Pas parti ajaran sesat. Macam mana Jelutong boleh tahu Pagoh masih berpendirian Pas parti ajaran sesat?

    “Ini satu tuduhan 36 (12) mana-mana ahli mengeluarkan kenyataan di dewan,” ujarnya, lapor Harian Metro.

    Ketegangan itu akhirnya reda selepas Rayer bersetuju untuk membetulkan semula ayat yang diungkapkannya.

    “Saya akan rephrase (betulkan ayat),” katanya.

  • ‘Kita tidak lupa, tapi Zahid sebenarnya yang lupa’ – Razali Idris

    ‘Kita tidak lupa, tapi Zahid sebenarnya yang lupa’ – Razali Idris

    SASARAN Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu di Pulau Pinang dalam pilihan raya negeri (PRN) bukan angan-angan, sebaliknya realiti berdasarkan sokongan semasa terhadap gabungan itu.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris, ketika ini sokongan terhadap PN khususnya dalam kalangan pengundi Melayu kekal kukuh sepertimana diterima ketika negara berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November lalu.

    “Kami tidak bermimpi di siang hari, tapi Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) sebenarnya yang lupa.

    “(Realitinya) UMNO tidak pernah dapat memegang kerajaan negeri di Pulau Pinang dan semua kerusi Parlimen (yang pernah dikuasai) mereka kini menjadi milik PN,” katanya, lapor BH Online.

    Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang menyifatkan ramalan PN mampu memenangi 15 kerusi DUN majoriti Melayu pada PRN di Pulau Pinang seperti mimpi di siang hari.

    Sebelum ini, sebuah portal meramalkan PN mungkin menang 14 kerusi DUN majoriti Melayu di Pulau Pinang.

    Bagaimanapun, laporan sama mengatakan gabungan itu mungkin tidak dapat merampas kerajaan negeri daripada PH kerana tidak mendapat sokongan bukan Melayu yang membentuk majoriti 62 hingga 98 peratus pengundi di 25 daripada 40 kerusi di Pulau Pinang.

    Dilaporkan Pas dan Bersatu Pulau Pinang mencapai persefahaman untuk membahagikan sejumlah 15 kerusi DUN kawasan majoriti Melayu pada PRN akan datang.

    Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff, berkata, kedua-dua parti komponen PN negeri itu turut mengadakan perbincangan dalam mengenal pasti calon berwibawa.

    Razali berkata, sasaran dan keyakinan merampas kerusi DUN juga hasil tinjauan dan penyelidikan di buat parti, bukannya sekadar andaian semata-mata.

    Katanya, pasukan gerak kerja mengumpul maklumat di peringkat akar umbi dan meneliti sokongan pengundi di bawah.

    “Alhamdulillah sehingga kini, petunjuk yang diberikan meyakinkan, namun kita berserah kepada Allah,” katanya.

  • Guru pusat asuhan bongkar budak 6 tahun didera bapa tiri

    Guru pusat asuhan bongkar budak 6 tahun didera bapa tiri

    SEORANG lelaki ditahan kerana disyaki mendera anak tirinya berusia enam tahun di Kampung Alor Lanchang Jejawi, di Arau.

    Menurut Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi, pihaknya menerima laporan daripada guru pusat asuhan tempat kanak-kanak itu belajar pada 22 Mac lalu.

    Guru wanita terbabit katanya, telah membuat pemeriksaan terhadap tubuh kanak-kanak berusia enam tahun berkenaan dan menemui beberapa kesan lebam lama dan baharu pada tubuh mangsa.

    “Guru terbabit bertanya mangsa sebelum diberitahu dia telah dipukul oleh bapa tirinya kerana tidak menuruti kata-kata suspek.

    “Guru terbabit kemudian menghubungi ibu mangsa dan ibu mangsa turut maklumkan bahawa dia dan anaknya telah menjadi mangsa pukul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Mohsin berkata, hasil siasatan mendapati mangsa merupakan anak sulung daripada tiga beradik.

    Katanya, pemeriksaan di hospital mendapati terdapat kesan parut lama pada bahagian belakang, tangan kanan dan kiri, paha kanan serta pipi kanan mangsa.

    “Doktor juga mengesahkan tiada sebarang kesan kecederaan atau parut pada bahagian badan ibu mangsa dan dua adik mangsa yang lain,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

    Suspek berusia 34 tahun itu direman bermula hari ini sehingga 30 Mac untuk membatu siasatan di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan penderaan fizikal terhadap kanak-kanak dan seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Harga makanan dijangka terus naik pada Ramadan, Aidilfitri

    Harga makanan dijangka terus naik pada Ramadan, Aidilfitri

    HARGA makanan dijangka terus meningkat semasa Ramadan dan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

    Menurut CGS-CIMB Research, unjuran peningkatan berkenaan dibuat berdasarkan kepada lonjakan permintaan yang akan berlaku pada bulan tersebut.

    Firma itu memberitahu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa harga ayam meningkat sebanyak lapan peratus.

    “Bagaimanapun, sub komponen makanan luar rumah menjadi sederhana kerana pelancaran Menu Rahmah oleh kerajaan yang merupakan inisiatif popular di seluruh negara untuk menggalakkan peniaga menjual makanan pada harga murah.

    “Jadi untuk mengehadkan potensi kenaikan harga, maka kerajaan baru-baru ini melancarkan Jualan Rahmah iaitu inisiatif di bawah Payung Rahmah bermula 23 Mac hingga 22 April depan dengan menawarkan diskaun 40 peratus bagi lebih 150 barangan keperluan asas,” katanya memetik laporan portal berita Dagang News hari ini.

    Selain itu, CGS-CIMB menyatakan kerajaan juga bercadang untuk mengumumkan skim kawalan harga tempoh cuti sama seperti telah dilancarkan pada musim perayaan sebelum ini.

    Pada Februari lepas, Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat 0.2 peratus dari bulan ke bulan dan 3.7 peratus dari tahun ke tahun selain lebih tinggi dari jangkaan firma itu dan Bloomberg.

    Bagi makanan dan makanan subkomponen di rumah adalah pemangkin utama meningkat 5.8 peratus didorong oleh subkumpulan daging (sembilan peratus) dan nasi (6.6 peratus).

    Bagaimanapun, peningkatan lebih perlahan berlaku bagi kumpulan pengangkutan iaitu 3.7 peratus berbanding Januari lepas (empat peratus) sedikit sebanyak mengimbangi inflasi daripada terus meningkat.

    Firma itu mengekalkan unjuran inflasi negara pada paras tiga peratus pada tahun ini.

  • Bekas MP DAP, Charles Santiago Pengerusi SPAN baharu

    Bekas MP DAP, Charles Santiago Pengerusi SPAN baharu

    BEKAS Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago dilantik sebagai pengerusi baharu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkuat kuasa pada 20 Mac lalu.

    Pelantikan bekas Ahli Parlimen DAP itu secara amnya telah melengkapkan barisan kepimpinan Anggota Suruhanjaya baharu SPAN bagi penggal 2023 hingga 2025.

    Charles sebelum ini memegang jawatan itu dari November 2018 hingga April 2020 ketika Pakatan Harapan berada dalam kerajaan.

    Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, penyerahan watikah bagi pelantikan itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

    Beliau berharap kepimpinan baharu SPAN dapat membantu mencapai objektif agenda Transformasi Sektor Air (WST 2040).

    “Saya percaya bahawa barisan ini akan mampu memacu SPAN untuk terus kekal menjadi sebuah organisasi yang progresif, proaktif dan disegani dalam pengawal seliaan perkhidmatan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang kepakaran masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini lapor Sinar Harian.

    Nik Nazmi dalam pada itu berkata, mendepani cabaran yang lebih getir terhadap perkhidmatan air di masa hadapan, SPAN melalui warga kerjanya serta anggota suruhanjaya perlu bergerak secara sinergi dalam memastikan perkhidmatan air dapat dilestarikan melalui perancangan strategik, pengawal seliaan yang rapi serta penguatkuasaan terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

    “Pada kesempatan ini juga, saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada barisan anggota suruhanjaya terdahulu yang telah menjalankan tugas mereka dengan berdedikasi,” katanya.

  • Dua warga asing maut selepas langgar belakang treler

    Dua warga asing maut selepas langgar belakang treler

    DUA lelaki warga asing maut selepas motosikal yang dinaiki melanggar belakang sebuah lori treler di Kilometer 3.5, Jalan Bukit Pasir-Tongkang Pechah, Batu Pahat lewat malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada orang awam pada pukul 11.20 malam.

    Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu lori treler berusia 37 tahun meletakkan kenderaan di bahu jalan untuk pulang ke rumah.

    “Tiba-tiba datang sebuah motosikal yang dinaiki oleh dua lelaki lalu melanggar belakang treler.

    “Akibat perlanggaran tersebut, kedua-dua lelaki mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, mayat dibawa ke hospital bagi bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • 2 penjawat awam antara 7 ditahan terlibat sindiket pengedaran dadah

    2 penjawat awam antara 7 ditahan terlibat sindiket pengedaran dadah

    DUA penjawat awam antara tujuh ditahan kerana disyaki terbabit sindiket pengedaran dadah di sekitar pusat bandar di Tawau, baru-baru ini.

    Semua suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama BSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada Isnin dan Selasa lalu.

    Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan pertama membabitkan lima lelaki dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kenderaan berhampiran sebuah kawasan perumahan pada pukul 2 pagi.

    “Hasil pemeriksaan lanjut turut ditemukan dadah jenis syabu seberat 103.4 gram di dalam kenderaan terbabit.

    “Selain itu, kesemua lima suspek juga masing-masing mempunyai antara satu hingga empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya pada sidang media di Tawau, hari ini.

    Jasmin berkata, susulan tangkapan itu, pihak polis kemudiannya membuat satu lagi serbuan dan tangkapan ke atas dua lelaki tempatan pada 12.30 tengah malam pada Selasa.

    “Kedua-dua suspek masing-masing berusia 34 dan 36 tahun yang juga penjawat awam itu ditahan bersama lima bungkusan plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu seberat 1177.5 gram,” katanya, lapor Harian Metro.

    Semua suspek berusia antara 30 hingga 59 tahun itu direman tujuh hari sehingga 29 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Tarawih 10 minit: JAIPk siasat, beri teguran

    Tarawih 10 minit: JAIPk siasat, beri teguran

    SUSULAN video tular sekumpulan jemaah menunaikan solat tarawih dengan cepat di sebuah masjid, semalam Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan membuat siasatan lanjut berhubung bacaan imam dalam solat berkenaan.

    Menurut Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim, tindakan lanjut termasuk teguran akan diberikan sekiranya didapati bacaan berkenaan tidak menepati hukum tajwid.

    “Setakat ini belum ada laporan dibuat, namun sekiranya kami dapati bacaan imam tidak menepati hukum tajwid, maka teguran akan diberikan kepada pihak berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Video berdurasi 1 minit 29 saat itu dimuat naik di laman Twitter sejak Jumaat menunjukkan sekumpulan jemaah menunaikan solat tarawih di sebuah masjid di Perak.

    Keadaan itu menjadi pertikaian orang ramai apabila solat lapan rakaat itu didirikan dengan cepat dan hanya selesai dalam tempoh 10 minit.