Author: Wartawan WartaRakyat

  • PM umum ‘duit raya’ buat Rela, sukarelawan APM, polis, bomba

    PM umum ‘duit raya’ buat Rela, sukarelawan APM, polis, bomba

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pasukan sukarelawan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM), sukarelawan polis dan bomba turut menerima ‘duit raya’ apabila kerajaan bersetuju memberikan sagu hati sebanyak RM300.

    “Saya sebut tadi ada kategori tidak dapat manfaat sama, kategori ini ialah sukarelawan… Ia berbeza daripada pekerja tetap, polis bantuan itu tidak termasuk, tapi kategori sukarelawan ini 200,000 orang, sehubungan itu menjelang Aidilfitri ini maka saya setuju beri sagu hati kepada mereka RM300,” kata beliau.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

    Beliau mengumumkan empat inisiatif tambahan dalam Belanjawan 2023, antara lain melibatkan bantuan Aidilfitri, melanjutkan pelepasan cukai individu dan berkaitan peruntukan kredit perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

  • Padah ugut peminjam, 9 orang suruhan along ditahan polis

    Padah ugut peminjam, 9 orang suruhan along ditahan polis

    TINDAKAN sembilan orang warga tempatan termasuk dua wanita yang menjadi orang suruhan along bagi menakut-nakutkan peminjam mengundang padah apabila mereka ditahan polis.

    Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, sindiket yang menerima upah daripada along ini bergiat aktif sejak Februari lalu di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim GAMBAR: Warta Rakyat

    “Bagi setiap ugutan yang dibuat, sindiket itu akan menerima upah antara RM300 sehingga RM450 mengikut jarak rumah peminjam dan tindakan yang diambil,” katanya.

    Mengulas lanjut, Mohd Iqbaly berkata, kesemua suspek ditangkap dalam serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada Isnin dan Selasa lalu.

    “Berdasarkan siasatan, salah seorang tangkapan ingin membuat pinjaman daripada along.

    “Namun, sebaliknya along telah menawarkan upah kepada suspek itu bagi mengugut peminjam lain,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, hari ini.

    Mohd Iqbal mengatakan, mereka yang terlibat ditugaskan menampal notis, mengunci rumah dan menyimbah cat merah ke rumah peminjam jika gagal membuat bayaran.

    “Sindiket ini berhubung dengan along hanya menerusi aplikasi WhatsApp bagi menerima arahan sebelum menjalankan tugas mereka.

    “Bagi setiap arahan, mereka (suspek) akan merakam dan menghantar video sebagai bukti pekerjaan tersebut telah dilakukan.

    “Kemudian ah long akan membuat bayaran masuk wang ke dalam akaun salah seorang ahli sindiket sebagai upah,” ujarnya.

    Setakat ini menurut beliau, sindiket berkenaan terlibat dalam enam kes di sekitar Shah Alam selain turut dipercayai terlibat di daerah lain di Selangor dan Kuala Lumpur.

    Kesemua suspek berusia lingkungan 21 tahun sehingga 41 tahun direman selama empat hari bermula semalam sehingga Jumaat ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    along, gagal bayar hutang, Hutang, kunci rumah, notis, pdrm, simbah cat, ugut peminjam,

  • Ahmad Said dilantik semula Pengerusi Ketengah, kata Zahid Hamidi

    Ahmad Said dilantik semula Pengerusi Ketengah, kata Zahid Hamidi

    TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan semula Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

    Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, lantikan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

    Menurut Zahid, pembabitan kembali bekas Menteri Besar itu diharap dapat memacu pembangunan di tiga daerah di bawah pentadbiran Ketengah iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

    Katanya, Ketengah juga akan memberi tumpuan dalam melahirkan usahawan baharu di kalangan penduduk kawasan luar bandar.

    Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir di Kuala Nerus, malam tadi.

    Dalam pada itu, Zahid mengesahkan semua calon parti itu akan menggunakan lambang dacing bagi Pilihan Raya Negeri di enam negeri nanti.

    Katanya, parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan pula akan menggunakan lambang pilihan masing-masing bagi calon mereka.

    “Namun kita bergerak sebagai satu jentera, jentera kebersamaan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

  • Selepas dibantah, kerajaan setuju lanjutkan pelepasan cukai SSPN hingga 2024

    Selepas dibantah, kerajaan setuju lanjutkan pelepasan cukai SSPN hingga 2024

    SELEPAS diasak pelbagai pihak, kerajaan hari ini bersetuju untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu RM8,000 bagi simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sehingga tahun 2024.

    Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau bersetuju selepas mendengar keresahan yang disuarakan rakyat dan teguran kepada kerajaan.

    “Jumlah ini bukan jumlah B40. Ini jumlah pendapatan orang yang lebih sederhana.

    “Bagaimanapun, kerana maksudnya adalah pendidikan dan belanja pendidikan kian meningkat, sebab itu kita beri kelonggaran ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.

    Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pelanjutan pelepasan itu memberi manfaat kepada hampir 400,000 pembayar cukai dalam kategori T20 dan M40.

    Katanya, negara itu akan kehilangan hasil kira-kira RM250 juta untuk tempoh berkenaan.

    Pembatalan pelepasan cukai individu sehingga RM8,000 terhadap pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN dimaklumkan Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim.

    Bagaimanapun langkah itu dibantah beberapa Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang juga bekas Pengerusi PTPTN.

    Menurut pembayar cukai sekiranya diteruskan, kemungkinan ramai pencarum akan berhenti menabung.

  • Keahlian meningkat, tak mustahil PN tawan Selangor

    Keahlian meningkat, tak mustahil PN tawan Selangor

    PERIKATAN Nasional (PN) mampu menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekali gus mengambil-alih kerajaan negeri Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 15 tidak lama lagi melalui kebangkitan dan kesedaran politik rakyat negeri itu.

    Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, perkara itu tidak mustahil berdasarkan trend peningkatan keahlian baharu Pas disokong dengan momentum “Gelombang Hijau” pada Pilihan Raya Umum Ke-15 November lalu.

    Menurutnya, buat masa inipun sempena bulan Ramadan, Pas cawangan-cawangan sedang giat menerima borang keahlian baru terutama dikalangan anak-anak muda yang berminat bersama perjuangan parti itu.

    “Sekiranya trend keahlian baru Pas ini semakin meningkat ditambah dengan momentum “Gelombang Hijau” yang dimaksudkan, tidak mustahil melalui kebangkitan dan kesedaran politik rakyat Selangor, PN mampu menumbangkan PH dan mengambil-alih kerajaan negeri dalam PRN Selangor ke 15 nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Roslan Shahir berkata, Pas Selangor menerima 404 keahlian baharu daripada 4,179 keahlian baharu Pas seluruh negara bagi tempoh Febuari ke Mac tahun ini.

    Katanya, ia merupakan peningkatan sebanyak 76 ahli baharu berbanding tempoh Januari ke Febuari 2023 di mana Pas Selangor ketika itu mencatatkan keahlian baru seramai 328 orang.

    “Ternyata keinginan rakyat Selangor menyokong dan menyertai Pas semakin memuncak selepas berlaku “Gelombang Hijau” pada PRU Parlimen ke 15 pada 20 November 2022 baru-baru ini.

    “Dalam PRU berkenaan Perikatan Nasional telah memenangi 6 kerusi Parlimen dan 3 daripadanya melalui wakil Pas.

    “Rata-rata rakyat Selangor dilihat lebih yakin dan bersedia memberikan kepercayaan kepada Pas dan PN hasil dari kemampuan Pas melahirkan pimpinan yang berkualiti, berintegriti dan memiliki nilai moral yang tinggi,” tambahnya.

  • Tiga lelaki ditahan miliki senapang patah, peluru, busur

    Tiga lelaki ditahan miliki senapang patah, peluru, busur

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIGA lelaki ditahan polis kerana disyaki memiliki senjata berbahaya dalam serbuan di dua rumah dekat Kampung Padang Terap, Kuala Nerang pada 21 Mac lalu.

    Datuk Mohd. Roze Shaari

    Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari berkata, ketiga-tiga mereka yang berusia antara 20 hingga 32 tahun ditahan hasil maklumat awam.

    Menurutnya, pihak polis merampas dua laras senapang patah, peluru hidup dan busur buatan sendiri yang dipercayai digunakan bagi memburu hidupan liar sebagai sumber pendapatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebatan jika disabitkan dengan kesalahan.

    “Dua daripada tiga suspek telah berjaya dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 27 Mac 2023,” katanya.

    Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar mengelak daripada membeli mahu pun memiliki sebarang senjata api tanpa lesen sah.

    “Orang ramai juga digalakkan untuk membantu pihak polis dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pemilikan atau penjualan senjata api serta jenayah melalui talian MERS 999,” katanya.

  • Menteri Besar Kedah dihalang sertai majlis kerajaan Persekutuan?

    Menteri Besar Kedah dihalang sertai majlis kerajaan Persekutuan?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat keputusan menghalang beliau menghadiri majlis-majlis rasmi Kerajaan Persekutuan.

    Menurutnya, antara majlis dimaksudkan termasuklah Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada Mei depan.

    Menerusi status dimuat naik di Facebook, Muhammad Sanusi turut meninggalkan pesanan sinis kepada pihak yang didakwa membuat keputusan itu.

    “What to do (Apa nak buat)?

    “If ‘you’ ‘panaih’, please don’t koyak…” katanya.

    Menerusi ruang komen, beberapa pihak turut menyatakan rasa terkejut selain mempersoalkann motif tindakan Kabinet berbuat demikian.

    Antara yang meninggalkan komen termasuklah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Awat lagu tu Datuk Seri! Ini koyak rabak!” katanya.

    Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Perikatan Nasional (PN) selama ini sememangnya dikenali sebagai pemimpin pembangkang yang tidak gentar menyatakan perkara dianggapnya benar.

    Antara isu yang hangat melibatkan beliau dan Perdana Menteri adalah pembinaan Kedah Aerotropolis baru-baru ini dengan Muhammad Sanusi dilihat sentiasa memiliki jawapan terhadap apa juga kenyataan Anwar berkaitan projek itu.

    Selain itu Muhammad Sanusi ketika ini turut berdepan saman dari Anwar berhubung ucapannya ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15.

    Beliau bagaimanapun dalam pembelaannya menegaskan tidak memiliki apa-apa niat jahat dan memfitnah Ahli Parlimen Tambun itu.

  • Kumpulan sivil tetap mahu Azam Baki letak jawatan

    Kumpulan sivil tetap mahu Azam Baki letak jawatan

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki digesa meletak jawatan walaupun siasatan masih dijalankan terhadap pemimpin pembangkang termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Gesaan itu dibuat kumpulan sivil dan individu yang sebelum ini menuntut peletakan jawatan pegawai tertinggi antirasuah yang menegaskan pendirian mereka mengenai perkara itu tidak berubah.

    Memetik laporan MalaysiaNow, Azam didakwa terlibat dalam kontroversi berhubung dakwaan konflik kepentingan dalam pemilikan sahamnya.

    SPRM di bawah pimpinannya membuka siasatan terhadap Muhyiddin dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    Muhyiddin, yang menjadi perdana menteri selama 17 bulan antara 2020 dan 2021, dikenakan tujuh pertuduhan berkaitan inisiatif JanaWibawa, program pasca Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

    Wan Saiful pula didakwa meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta, juga berhubung projek yang sama.

    Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy berkata, pertuduhan itu tidak bermakna rakyat perlu melupakan kes Azam.

    “Walaupun siasatan SPRM ke atas kes-kes korupsi adalah terpuji, SPRM tidak boleh melaksanakan mandatnya menyiasat korupsi dalam semua sektor tanpa menunjukkan tauladan dalaman dan memastikan pegawai terutamanya kepimpinan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan berintegriti,” katanya.

    Beliau turut mengulangi seruan Suaram agar Azam meletakkan jawatan atau digantung daripada jawatannya sekarang.

    “Tidak melakukan ini bukan sahaja mencemarkan integriti SPRM, tetapi menggagalkan komitmen pentadbiran Anwar Ibrahim untuk melawan korupsi,” katanya.

    Azam berada di bawah penelitian berhubung dakwaan pembelian saham dan waran pada 2015 serta 2016 di dua syarikat tersenarai awam.

    Beliau berkata ia dibeli oleh adiknya menggunakan akaun dagangan sahamnya, dengan menegaskan bahawa beliau tidak melakukan kesalahan.

    Isu itu didedahkan oleh aktivis Lalitha Kunaratnam, yang berdepan perbicaraan kes saman fitnah difailkan Azam terhadapnya pada Julai.

    Nur Qyira Yusri, pengasas Undi18 yang terlibat dalam Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki berkata, semua pihak perlu terus menuntut akauntabiliti.

    “Ini terutamanya kerana SPRM masih belum diletakkan di bawah Parlimen.

    “Sekurang-kurangnya, kaji semula kes itu,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Jawatankuasa itu pada awal tahun lepas menuntut Azam meletakkan jawatan dan ditangkap ekoran keterlibatan beliau dalam kontroversi pembelian saham.

    Mereka turut menganjurkan satu perhimpunan di ibu kota untuk menyuarakan tuntutan tersebut.

    Ia dianggotai antara lain Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil, Persatuan Patriot Kebangsaan dan Angkatan Belia Islam Malaysia, selain beberapa parti politik.

    Azam sebelum ini berkata, pemilikan saham itu sebenarnya milik adik beliau, Nasir Baki.

    Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM ketika bersidang untuk mendapatkan penjelasan Azam mendapati tiada konflik kepentingan dalam urusan pembelian saham itu.

    Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada awal tahun lalu membersihkan nama Azam daripada dakwaan konflik kepentingan berdasarkan siasatan badan itu.

    “SC tidak dapat secara muktamad memutuskan pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Sicda berlaku.”

    Sementara itu, ahli akademik Edmund Terence Gomez yang meletakkan jawatan sebagai panel SPRM sebagai protes terhadap Azam berkata pendiriannya tidak berubah.

    “Saya tidak pernah menyatakan perubahan pendirian.

    “Beliau harus letak jawatan jika SPRM ada kredibiliti,” katanya.

  • PRN: ‘Poster boy’ PN di Selangor belum muktamad

    PRN: ‘Poster boy’ PN di Selangor belum muktamad

    PERIKATAN Nasional (PN) masih belum memutuskan calon menteri besar Selangor yang juga “poster boy” dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Menurut Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, soal sama ada calon menteri besar daripada Pas atau Bersatu masih lagi dalam rundingan.

    “Belum ada keputusan (calon menteri besar Selangor PN),” katanya menurut laporan Malaysiakini.

    Pada soalan sama ada PN telah mempunyai nama-nama yang akan diketengahkan sebagai calon menteri besar, Roslan Shahir berkata: “Belum sampai ke situ lagi, (masih) dalam rundingan”.

    Semalam, Pas Kedah mengesahkan menteri besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merupakan ‘poster boy’ untuk negeri itu dalam menghadapi PRN.

    Perkara itu disahkan Setiausaha Pas Kedah Musoddak Ahmad yang menyifatkan prestasi serta sokongan rakyat kepada Muhammad Sanusi menjadi asas untuk diangkat sebagai ‘poster boy’.

    Sanusi juga pengarah pilihan raya PN bagi PRN akan datang, yang melibatkan enam negeri iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

    Pada 12 Mac lalu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Bersatu akan memegang jawatan menteri besar di Selangor dan Negeri Sembilan, manakala Pas kekal mentadbir di Kedah, Kelantan dan Terengganu jika PN menang di negeri-negeri tersebut dalam PRN akan datang.

    Sementara itu sumber Bersatu turut mengesahkan bahawa soal calon menteri besar Selangor masih lagi dalam perbincangan.

    “Masih dalam perbincangan dan belum ada nama-nama yang boleh disebut sehingga kini.

    “Bagaimanapun kita sudah ada beberapa calon yang dikenal pasti,” katanya.

  • Jho Low dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Kuwait

    Jho Low dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Kuwait

    SEBUAH mahkamah di Kuwait mensabitkan kesalahan ke atas ahli perniagaan Low Taek Jho tanpa kehadirannya semalam atas tuduhan pengubahan wang haram berhubung skandal 1MDB.

    Malaysiakini yang memetik laporan akhbar Kuwait Al-Qabas, seorang sheikh, bersama rakan kongsinya, dan dua warga asing telah dijatuhkan hukuman penjara sepuluh tahun, manakala seorang peguam dijatuhkan hukuman tujuh tahun, atas tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana Malaysia itu.

    Mereka juga diarah memulangkan AS$1 bilion (RM4.4 bilion) selain membayar denda berjumlah KD145 juta (RM2 bilion).

    Akhbar itu tidak menamakan syeikh tersebut, rakan kongsinya, mahupun peguam berkenaan, tetapi hanya menyebutnya sebagai “dana Malaysia”.

    Menurut laporan itu, ini adalah kes pengubahan wang haram terbesar. Ia juga mengenal pasti warga asing itu sebagai Low dan ahli perniagaan Syria-Perancis Bachar Kiwan.

    Sementara itu laman Sarawak Report pula berkata dana Malaysia yang dimaksudkan tersebut ialah 1MDB.

    Ia juga menamakan syeikh itu sebagai Sheikh Sabah Jaber Al-Mubarak Al-Sabah, yang adalah anak kepada bekas perdana menteri Kuwait. Rakan kongsinya dikenal pasti sebagai sekutu Low, Hamad Al Wazan, dan peguamnya sebagai Saud Abdelmohsan.

    Menurut Al-Qabas, kelima-lima mereka didakwa melakukan pengubahan wang haram dalam bentuk mata wang China bersamaan dengan KD343,700,000 (RM4.95 bilion) dengan mengetahui bahawa ia adalah hasil haram yang digelapkan daripada dana pelaburan Malaysia.

    Akhbar itu juga melaporkan bahawa kes berkenaan telah ditangguhkan selama dua tahun sebelum dibuka semula kerana pihak pendakwaan menghadapi halangan mendapatkan maklumat dari luar negara.

    Laporan itu tidak menghuraikan mengenai kesukaran tersebut atau siapa yang terlibat, tetapi Sarawak Report berkata ia menunjukkan kurangnya kerjasama daripada Malaysia.

    “Sarawak Report dimaklumkan bahawa Kuwait tidak menerima kerjasama yang berguna daripada kerajaan Malaysia sepanjang tempoh ini dalam usaha mengembalikan berbilion-bilion negara yang dicuri.

    “Sarawak Report hanya boleh merumuskan bahawa kegagalan Malaysia untuk bertindak berpunca secara langsung kepada hasrat (bekas perdana menteri Najib Razak) dan sekutu BN yang menyokong kerajaan Muhyiddin (Yassin) untuk menutup bukti lebih lanjut tentang rasuah oleh Najib.

    “Kekurangan kerjasama ini nampaknya berterusan sehingga hari ini, menyebabkan pihak berkuasa Kuwait meneruskan kes itu tanpa kerjasama Malaysia dan sememangnya tanpa Malaysia membuat tuntutan sewajarnya terhadap wang berkenaan.

    “Sememangnya, laporan media Kuwait hari ini (Selasa) menjelaskan bahawa perkara ini berlaku, membawa kepada kegusaran kepada pihak berkuasa Kuwait mengenai ‘kegagalan menerima maklumat daripada pihak antarabangsa’ (yang bermaksud kurang kerjasama dari Malaysia),” katanya.

    Pada tahun 2020, The Wall Street Journal melaporkan bahawa penyiasat Malaysia menemui jejak wang dari China ke sebuah bank China di Kuwait dan seterusnya ke entiti di Kepulauan Cayman yang dikawal oleh Low, dan digunakan untuk membayar hampir AS$1 bilion untuk aset yang dikuasainya di Malaysia untuk membayar hutang-hutang 1MDB.

    Urus niaga itu dilakukan dalam mata wang China, Yuan untuk mengelak pemeriksaan daripada pihak berkuasa AS yang sedang menyiasat aktivitinya.

    Low menafikan salah laku tersebut, tetapi setakat ini tidak mengulas mengenai laporan WSJ itu.

    Tahun lalu, Bachar yang berasal dari Kuwait memberitahu Malaysiakini bahawa dia ada menawarkan diri untuk membantu siasatan SPRM.

    Low didakwa menggunakan syarikat Bachar, Al Waseet untuk mengubah wang. Bachar berkata apabila dia enggan bekerjasama, pegawai Kuwait mendakwa dirinya bersama keluarga dan rakan kongsinya, sehingga memaksa dia melarikan diri dari negara itu ke Perancis.

    Bachar berkata dia percaya bahawa dana itu adalah komisen yang diterima Low daripada firma China yang terlibat dalam projek infrastruktur besar di Malaysia